BAB 19
BAU dari dapur menggamit perhatian Najwan dan Syah yang baru sahaja pulang daripada berjoging dengan baba di sekitar kawasan rumah mereka. Masuk sahaja ke dapur, kelihatan dua orang perempuan sedang sibuk memasak manakala dua orang lagi sedang enak bersantai di kaunter dapur. E-jat turut serta bersama keempat-empat mereka.
Auni dan Nawal sedang memasak manakala ibu sedang berbual-bual dengan Mak Bedah.
“ Amboi ibu! Mentang-mentanglah Nini dah sah jadi isteri Naj, suka hati aje ibu nak buli dia masak kat dapur,” kata Najwan sebaik sahaja dia memasuki dapur. Syah mengekorinya dari belakang. Ibu yang sedang berbual-bual dengan Mak Bedah mencebik mendengarkan kata-kata anak sulungnya itu.
“ Nak aje ibu cabaikan mulut kamu tu. Nini yang beria-ria nak buat sarapan untuk hari ni, bukannya ibu yang dera dia. Nanti kamu juga yang suka sebab dapat merasa masakan isteri kamu tu,” balas ibu serta-merta. Tawa mereka yang berada di dalam dapur itu serentak bergema lantaran lucu melihatkan Najwan dan ibu.
“ Nini masak apa tu?” soal Najwan berminat. Dia mendekati isterinya yang sedang menggoreng ayam. Kalau diikutkan hati mahu sahaja dia memeluk isterinya itu. Itu pun kalau dia nak merasa cubitan Auni.
“ Nasi lemak ayam berempah. Abang pergilah mandi dulu. Lepas ni Nini panggil,” kata Auni apabila Najwan semakin mendekati dirinya. Sebenarnya dia segan dengan ibu mentua dan orang lain yang turut berada di situ. Najwan kelihatan seperti mahu bermanja dengannya. Auni berpura-pura membetulkan tudungnya.
Walaupun Najwan dan baba sudah menjadi mahramnya, namun Auni tetap perlu bertudung dan berbaju lengan panjang sekiranya dia ingin keluar dari biliknya dan Najwan di banglo ini. Ini kerana auratnya tetap haram dilihat oleh Syah yang merupakan birasnya.
Janggal rasanya apabila terpaksa bertudung di dalam rumah namun Auni lebih takutkan dosa yang bakal ditanggung sekiranya dia memperagakan aurat kepada bukan mahramnya. Najwan juga selalu berpesan agar Auni berhati-hati dalam menjaga auratnya. Auni juga hanya berseluar track sepanjang dia berada di banglo ini. Untuk berseluar legging yang melekat terus ke kaki itu tidak akan sesekali dipakainya. Itu bungkus aurat! Bukan tutup aurat!
“ Tak nak abang tolong masak ke?” Najwan tersenyum nakal. Tangannya sudah gatal untuk meraih pinggang Auni.
“ Tak apalah. Abang naik atas, mandi. Lepas ni Nini panggil turun makan.”
“ Abang boleh tolonglah. Nak …”
“ Najwan Faqqimi! Pergi naik atas, mandi! Tak malu ke nak manja-manja dengan isteri depan kami ni? Malu Nini tu ibu tengok!”
Suara ibu yang meninggi mengejutkan mereka berdua. Tajam mata ibu merenung kepada anak lelaki sulungnya yang sudah tersengih-sengih. Auni pula sudah merah mukanya. Dia meneruskan kerjanya tanpa mempedulikan si suami.
“ Alah ibu ni. Naj baru nak manja-manja,” kata Najwan separuh merungut namun ibu menggeleng dengan wajah yang serius.
“ Dah, dah. Kamu pergi naik mandi. Belengas aje ibu tengok kamu ni. Syah, kamu pun sama. Pergi heret abang ipar kamu ni naik atas sebelum miang dia menjadi-jadi,” kata ibu seraya menoleh ke arah Syah yang baru sahaja selesai meneguk air kosong. Syah tergamam.
Apa aku pun kena juga ni?
“ Dahlah tu wahai abang iparku. Jom naik atas, mandi. Nanti ibu membebel lagi dengan kau tu,” kata Syah. Dia menarik Najwan agar menjauhi Auni yang tidak surut-surut warna merah pada wajahnya. Najwan buat muka terkejut.
“ Takkan kau nak mandi dengan aku pula?” Najwan buat muka tidak percaya. Sengaja mahu mengusik adik iparnya. Syah menjegilkan matanya.
“ Tak ingin aku mandi dengan kau! Mengarut aje kerja kau kan? Tak senonoh punya abang ipar,” balas Syah serta merta. Najwan tergelak.
“ Habis kau fikir kau tu senonoh sangat?”
Pertikaman lidah antara Najwan dan Syah berlarutan sehinggalah mereka berdua keluar dari dapur. Ibu hanya mampu menggelengkan kepalanya. Wanita itu mengeluh seraya melihat ke arah anak dan menantunya itu.
“ Mereka berdua tu boleh buat darah tinggi ibu naiklah,” kata ibu perlahan. Serentak, tawa mereka semua bergabung. Ibu hanya tersengih. E-jat pula terkebil-kebil melihat ke arah mereka semua.
Usai menghidangkan makanan di atas meja makan, Auni naik ke tingkat atas untuk memanggil suaminya. Perlahan dia menguak daun pintu. Auni hanya mampu menggelengkan kepalanya tatkala dia melihat Najwan sedang tidur di atas sofa. Dia mendekati suaminya selepas menutup pintu bilik.
“ Abang?” lembut Auni memanggil. Sekejap sahaja Najwan sudah membuka matanya. Lelaki itu hanya tidur-tidur ayam sahaja.
“ Dah boleh makan?” Najwan tersengih. Auni mengangguk. Dia menarik tangan Najwan.
“ Jomlah. Semua orang dah tunggu kat bawah tu,” pujuk Auni melihatkan suaminya masih lagi malas untuk bangkit.
“ Alah… Kejap aje lagi,” rengek Najwan. Auni ketawa perlahan.
“ Dah, dah. Nanti ibu bising pula,” Auni terus memujuk. Najwan tergelak apabila mendengar nama ibu disebut. Cepat-cepat dia bangun.
“ Okey, okey. Jom turun. Abang dah tak sabar nak makan nasi lemak Nini ni,” kata Najwan. Auni hanya tersenyum.
“ Nini ingat tak apa yang abang janjikan lepas majlis kita kat hotel tu?” tanya Najwan seraya merangkul pinggang isterinya. Muka Auni berkerut kehairanan.
“ Yang mana ya?” Auni ingat-ingat lupa akan apa yang dijanjikan oleh Najwan kepadanya.
“ Yang abang kata nak bawa Nini ke suatu tempat tu,” kata Najwan mengingatkan. Auni pantas mengangguk. Ingat pun!
“ Lepas sarapan, kita pergi ya? Siap-siap teruslah lepas makan nanti,” sambung Najwan.
“ Okey!” sahut Auni tidak sabar-sabar. Entah ke manalah suaminya itu ingin membawa dia pergi.
“ Pengantin baru kat atas tu! Tak nak turun makan lagi ke? Along jangan nak bermanja sangatlah dengan Kak Long tu! Kami dah lapar!”
Najwan dan Auni dikejutkan dengan jeritan Nawal daripada balik pintu. Tawa Najwan dan Auni bersatu. Ada-ada aje si Nawal ni. Macamlah dia tu bukan penganti baharu juga.
AUNI diam tidak mampu berkata apa-apa. Bulat matanya melihat kepada sebuah rumah yang terletak di hadapannya kini. Najwan membuka pintu Priusnya sebelum dia bergegas membuka pintu di tempat duduk penumpang sebelah pemandu. Auni masih lagi tergamam dengan apa yang dilihatnya kini.
“ Rumah siapa ni, bang?” tanya Auni tatkala dia dipimpin Najwan masuk ke halaman depan rumah itu. Langsung tidak kelihatan walau sesiapa pun di kawasan rumah itu. Najwan membisu sahaja. Pintu pagar dibuka.
Mata Auni masih melekat pada banglo itu. Banglo dua tingkat itu memang cantik. Warna biru pastel melatari setiap dinding banglo itu. Ada juga diselitkan dengan warna putih. Halaman rumah itu juga luas. Namun tidaklah seluas halaman rumah ibu dan baba.
“ Masuk dulu,” kata Najwan tanpa membalas pertanyaan Auni. Dia membuka pintu hadapan rumah. Dia menolak Auni masuk ke dalam. Sekali lagi Auni tergamam dengan apa yang sedang dilihatnya kini.
“ Apa semua ni, bang? Ni rumah…”
Najwan mengangguk. “ Ini rumah kita.”
Wajah suaminya direnung tidak percaya. Najwan mengangguk sekali lagi. Dia tersenyum melihat wajah isterinya yang kelihatan bingung.
“ Abang beli rumah ni masa Nini dah setuju nak kahwin dengan abang, sebelum Aidilfitri lagi. Baba yang pesan, kata yang abang patut mula cari rumah sendiri sekarang. Abang juga yang uruskan soal perabot dan halaman rumah ni. Ummi kata Nini suka gaya klasik Perancis. Jadi, inilah dia,” jelas Najwan. Teragak-agak Auni mengangguk. Matanya melihat pada suasana sekeliling.
Sama seperti luar banglo itu, warna biru pastel menghiasi seluruh ruang banglo itu. Langsir putih pula menambahkan seri banglo tersebut. Auni tersenyum.
“ Macam mana kalau Nini tak jadi bertunang dengan abang lepas persetujuan tu? Abang nak buat apa dengan rumah ni?” tanya Auni. Wajah suaminya direnung lagi. Najwan ketawa.
“ Abang akan bakar rumah ni,” balas Najwan mudah. Auni turut tertawa.
Najwan mengajak Auni naik ke tingkat atas. Satu per satu ruang dalam banglo itu diterjahnya. Boleh dikatakan semua isi rumah itu sudah dilengkapi dengan perabot. Tidak perlu Auni menyusahkan dirinya sendiri untuk memikirkan soal hiasan dalaman rumah. Rumah itu sudah dihias cantik.
“ Yang ni pula…” Najwan membuka pintu sebuah bilik di tingkat atas. Dia menguntum senyum kepada isteri tercinta. “ … bilik kita berdua.”
Daun pintu dikuak seluas mungkin. Mereka berdua masuk ke dalam sebuah bilik yang dicat dengan warna ungu pastel dan merah jambu. Auni menoleh ke arah suaminya.
“ Kenapa warna bilik ni lain?” soal Auni sambil tersenyum.
“ Ummi kata Nini suka warna ungu pastel dan merah jambu untuk bilik,” jawab Najwan. Dia mengenyit mata sekaligus mengundang tawa Auni.
“ Memang abang selidik pasal Nini sampai macam ni ke?” tanya Auni tidak percaya. Najwan turut meledakkan tawanya. Dia mengangguk.
“ Mestilah. Nama lagi Nini bakal isteri abang,” kata Najwan. Auni mencebik. Tentu dah lama berkomplot dengan ummi pasal aku ni. Ada ke patut?
Mereka mengatur langkah ke balkoni. Auni berdiri sambil menyandar pada pagar balkoni. Najwan tersenyum apabila melihat Auni menggeliat.
“ Kenapa abang sampai beli rumah ni? Bukan ke ibu nak kita tinggal sekali dengan dia? Lagipun setahu Nini, abang dah ada kondo sendiri kan?” tanya Auni.
Pandangannya dilemparkan pada kawasan sekitar banglo itu. Banglo itu bukannya jauh sangat daripada rumah ibu dan baba, malah berada dalam kawasan perumahan yang sama. Cuma banglo ini terletak lebih ke dalam sedikit dari kawasan rumah ibu dan baba.
“ Abang dah fikir masak-masak. Abang nak hidup macam pasangan lain, ada rumah sendiri, ada kehidupan sendiri. Abang tak nak bergantung dengan ibu atau baba. Tanggungjawab abang untuk jaga Nini, cuma abang aje yang kena pikul. Pasal kondo itu pula, abang fikir tempat tu tak sesuai untuk hidup berkeluarga. Tinggal seorang dua bolehlah walaupun kondo tu luas.”
“ Apa jadi dengan kondo tu?”
Najwan sengih. “ Abang jual. Duit tu abang guna untuk tampung bayar duit rumah ni. Lagipun, kesian pula abang tengok Nini kalau kita tinggal lama-lama dengan ibu dan baba,” jelas Najwan. Berkerut dahi Auni mendengar kata-kata itu.
“ Kenapa abang cakap macam tu?”
Najwan mengukir senyuman. “ Nawal dan Syah kan tinggal dengan ibu dan baba untuk sementara waktu, sebelum Syah ke ke Jerman atas urusan kerja? Nawal akan ikut dia sekali lepas ni. Untuk sementara waktu ni, Ninilah yang kesian, sebab kalau nak keluar bilik kena pakai tudung sebab Syah ada. Maksudnya, abang jadi penyelamat Ninilah ni.”
Auni tersenyum puas hati. Ternyata Najwan perasan akan ketidakselesaan dia berada di rumah ibu dan baba. Jika Syah tiada, barulah dia boleh menanggalkan tudungnya. Nasib baik sahaja Najwan tidak punya adik lelaki yang lain. Jika tidak, makin parah pula jadinya.
“ Terima kasih, abang,” balas Auni. Matanya dilirikkan manja kepada Najwan. Najwan ketawa lantas menggelengkan kepalanya.
“ Nini ni suka betul tengok abang macam tu sejak kita kahwin ni. Boleh tergugat iman, tahu tak?” kata Najwan. Auni senyum sahaja. Dia berlari keluar dari bilik itu selepas menyedari dia akan dikejar Najwan selepas ini.
“ Nini!”
Auni ketawa. Memang benarlah tekaan dia. Najwan sudah angkat kaki untuk mengejarnya. Riuh ruang dalaman banglo itu dengan jeritan Auni tatkala Najwan mengejarnya. Najwan galak menghamburkan tawanya saat dia berjaya mendapatkan Auni.
KOPI yang dihidangkan dihirup perlahan. Mata baba melirik pada Najwan yang sedang khusyuk membaca Top Gear di tangan. Memang Najwan hantu kereta! Nasib baik sahaja dia bukannya jenis yang sanggup berhabis ribuan ringgit untuk keretanya atau membeli kereta yang sentiasa berkenan di hati. Kata Najwan, Prius itu sudah baik untuknya walau dia turut meminati Subaru, Audi dan kereta berkuasa tinggi yang lain.
“ Nini mana?” tanya baba. Najwan angkat muka daripada majalah. Dia menoleh sekilas pada baba yang duduk di seberang meja bulat kecil itu.
“ Tengah layan ibu berborak kat atas,” balas Najwan. Dia meletakkan majalah itu di atas meja. Sekeping biskut oat dicapai daripada piring.
“ Mujurlah Nini tu jenis yang baik dengan orang tua. Kalau tak, merungutlah sebab kena layan ibu kamu tu,” kata baba yang sudah tertawa. Najwan tersengih. Kata-kata baba ada benarnya. Sudahlah Auni tu memang menantu kesayangan, tentu ibu makin suka mengajak Auni untuk bersama-samanya jika ada apa-apa.
“ Gembira betul ibu sebab hajat nak bermenantukan Nini tu tercapai,” kata Najwan. Biskut oat itu dikunyah perlahan.
Baba mengangguk. “ Jadi, macam mana dengan rumah kamu? Bila nak pindah?”
“ Baba ni gaya macam nak halau Naj keluar dari rumah ni aje,” seloroh Najwan. Baba ketawa. Dia menggelengkan kepala.
“ Insya-Allah, minggu depan. Lagipun, Naj nak cakap dengan E-jat dulu. Naj nak bawa E-jat sekali, tapi Naj takut Nini tak selesa. Lagipun, ibu pun tak kasi Naj bawa E-jat tinggal sekali. Naj pun fikir macam tu, sebab lepas ni Naj dan Nini akan sama-sama sibuk dengan kerja, siapa nak pedulikan pasal E-jat kalau kami ke tempat lain ada mesyuarat? Kesian pula E-jat tu,” balas Najwan.
Baba tersenyum. Kopi pekat itu dihirup lagi sebelum dia kembali berbicara.
“ Baba fikir, tak ada masalah. Baba pernah tanya E-jat sebelum Naj kahwin dulu, macam mana kalau Naj dah tak boleh jaga dia macam sekarang? E-jat kata okey. Biar pun dia tu kecil lagi, tapi kadang-kadang fikiran dia macam orang dewasa. Naj boleh bawa dia tinggal dengan Naj bila Naj tak sibuk, kan?”
Najwan mengangguk sahaja. Dia membiarkan baba menyambung bicara.
“ Jadi, Naj dah ada penyelesaiannya. Baik Naj pergi cakap dengan E-jat sekarang, biar dia biasakan diri dulu sebelum Naj pindah, okey?” Baba senyum. Najwan mengangguk sekali lagi. Dia bangun daripada kerusi. Sebelum sempat dia pergi, baba menahannya.
“ Kenapa, baba?” tanya Najwan. Baba ketawa.
“ Kamu nak bawa Nini pergi bulan madu bila? Baba boleh luluskan cuti kamu kalau kamu nak bawa dia pergi bulan madu lepas ni. Kamu dan Nini pun cuma ambil cuti seminggu aje untuk kahwin ni. Mana sempat nak pergi bulan madu kalau cuti sekejap macam ni.”
Najwan turut ketawa. Dia mengangkat bahu.
“ Kena tanya Nini dulu.”
Baba ketawa lagi. Dia melihat sahaja langkah Najwan masuk ke dalam rumah.
PERLAHAN-LAHAN Najwan mengetuk pintu bilik E-jat. Pintu itu dibuka perlahan. E-jat sedang meniarap di atas katil bereka bentuk kereta sambil membaca buku cerita Disney di tangan. Najwan masuk lalu duduk di birai katil.
“ Papa!” seru E-jat gembira. Buku yang pada asalnya sedang dibaca diletak ke tepi. Najwan ketawa. Kepala E-jat diusap perlahan.
“ Macam mana? E-jat baik-baik aje tidur seorang diri, kan?” tanya Najwan. Laju E-jat mengangguk.
“ Papa dah lupa? E-jat kan lelaki? Jadi, E-jat mana boleh takut-takut ni,” jawab E-jat bersemangat. Najwan ketawa lagi.
“ Bagus. Anak papa kenalah berani,” kata Najwan. E-jat tersengih.
“ E-jat dah tahu kan yang papa kena pindah rumah dengan mama lepas ni?” tanya Najwan. Teragak-agak dia bersuara. Bimbang E-jat akan berkecil hati dengan khabar itu. Tetapi reaksi daripada E-jat kelihatan berlainan daripada apa yang dia fikirkan.
Pantas E-jat mengangguk dengan wajah yang ceria. Najwan mula tersenyum lega. Syukur.
“ Tahu. Tok ibu yang beritahu.”
“ Jadi… E-jat tak kisah kalau papa pindah?” tanya Najwan lagi. Laju E-jat menggeleng.
“ Tak kisahlah papa. Bukannya papa tak kasi E-jat pergi jenguk papa pun, kan?” kata E-jat petah. Najwan mengangguk. Dahi E-jat dikucup.
“ Papa bimbang E-jat tak biasa,” kata Najwan. E-jat ketawa mengekeh.
“ E-jat okey. Tapi papa kena janji yang papa akan belanja E-jat aiskrim nanti,” kata E-jat. Najwan hanya ketawa. Kepala E-jat diusap lagi.
“ Papa janji.”
E-jat senyum. Dia merangkul leher Najwan.
“ E-jat sayang papa,” katanya perlahan di telinga Najwan. Najwan mengangguk. Dia membalas pelukan E-jat.
“ Papa pun sayang E-jat.”
“ MASUK pejabat aje, terus jumpa Adam ya?” pesan Najwan saat Auni membuka pintu kereta untuk keluar daripada perut Prius. Spontan Auni menoleh kepada suaminya. Kenapa pula kena jumpa dengan Encik Adam?
“ Kenapa perlu jumpa dia?” tanya Auni pelik. Najwan sengih sahaja.
Auni keluar dari Prius dengan wajah yang penuh dengan kerutan. Najwan tidak mahu memberitahunya sebaliknya Auni perlu bertemu dengan Adam jika ingin mengetahui sebabnya.
“ Berkerut aje muka kau ni? Takkan gaduh dengan suami kot?” tanya Adda sebaik sahaja melihat Auni memasuki pejabat. Segera Auni menggeleng.
“ Mengarutlah kau ni. Tak adalah,” balas Auni. Adda tersengih.
Selepas meletakkan begnya di atas meja, dia terus mengatur langkah ke pejabat Encik Adam. Walau lelaki itu merupakan sahabat baik suaminya, namun Auni tetap menghormati lelaki itu sebagai majikannya.
“ Selamat pagi, Cassy. Encik Adam ada kat pejabat?” tanya Auni pada Cassy yang sedang membaca berita di laman sesawang. Cassy mengangguk.
“ Dia baru aje masuk,” balas Cassy.
“ Terima kasih.”
Pintu pejabat Encik Adam diketuk perlahan. Setelah mendengar suara lelaki itu membenarkan dia masuk, barulah dia membuka pintu. Encik Adam sedang duduk meneliti fail di meja kerjanya. Auni memberi salam.
“ Ni mesti Qimi yang suruh jumpa saya awal pagi macam ni, kan?” teka Adam sambil tersengih. Auni mengangguk pantas. Tahu tahu aje ya Encik Adam ni?
“ Dia suruh saya beritahu awak, mulai minggu depan awak cuti selama seminggu,” kata Adam. Matanya kembali melilau pada isi fail di hadapannya.
“ Cuti? Tapi kenapa?” tanya Auni pelik? Bukan ke cuti kahwin aku dah lepas? Aku minta cuti seminggu aje sebab nak kahwin hari tu.
Adam ketawa. “ Dia kata nak bawa awak pergi bulan madu.”
Eh?
“ Baik awak yang tanya dia sendiri,” kata Adam lagi apabila melihat kerutan di dahi Auni kian bertambah. Adam cukup pasti Najwan merahsiakan mengenai percutian bulan madu mereka daripada pengetahuan Auni sendiri.
“ O… okey.” Auni mengangguk. Selepas dia memberi tunduk hormat, dia terus keluar dari pejabat majikannya. Adam tergelak. Kepalanya digeleng perlahan.
“ Nasiblah aku kerja dengan bini kau. Pandai betul kau pujuk aku luluskan cuti yang kau minta tu. Qimi, Qimi.”
Adam ketawa lagi. Teringatkan perbualan dia dengan Najwan semalam.
NAJWAN ketawa kecil apabila nada dering Eternal Love nyanyian Michael Learns to Rock berkumandang dalam pejabatnya. Matanya beralih kepada BlackBerry di atas meja. Telefon bimbitnya dicapai.
“ Assalamulaikum, sayang. Kenapa?” tanya Najwan. Sekadar mahu berpura-pura dengan Auni. Semestinya Auni sedang mencebik sekarang. Tekaannya betul apabila mendengar isterinya merengus.
“ Abang ni, buat malu Nini aje pergi minta cuti dengan Encik Adam,” kata Auni sebal. Najwan ketawa perlahan.
“ Alah, takkan Nini tak nak pergi bulan madu? Papa pun dah luluskan cuti abang ni,” kata Najwan. Dia melihat pada bingkai gambar yang diletakkan gambarnya bersama-sama Auni ketika majlis persandingan mereka di hotel minggu lepas. Dia tersenyum sendirian.
“ Bukan macam tu maksud Nini,” sambung Auni. Najwan ketawa.
“ Jadi? Bunyi macam tak nak aje tu,” usik Najwan.
“ Siapa kata tak nak? Abang nak ajak Nini pergi mana ni?” tanya Auni. Mata bulatnya bersinar. Tertarik dengan percutian yang dikatakan oleh suaminya.
Najwan beralih ke tingkap. Matanya melihat ke sekitar kawasan bangunan syarikatnya.
“ Nini nak ke luar negara ke?” tanya Najwan. Auni mengeluh perlahan. Dia menggeleng pantas.
“ Kalau bulan madu, mesti luar negara. Tak naklah. Kita pergi tempat lain ajelah dulu. Tempat yang jarang orang pergi kalau bulan madu, okey tak? Luar negara tu lain kali pun boleh pergi. Kat dalam Malaysia ajelah abang,” kata Auni. Sejurus, dia mengetuk kepalanya. Kenapalah aku ni memilih sangat? Mujur Naj nak bawa aku pergi bulan madu aje.
Najwan diam seketika. Mindanya mencongak kata-kata Auni. Akhirnya dia mengangguk.
“ Abang rasa abang tau kita nak bulan madu kat mana. Nini mesti suka kalau abang bawa Nini ke sana,” kata Najwan. Terangkat kening Auni mendengarkan kata-kata itu. Dahinya berkerut kembali.
“ Abang nak bawa Nini ke mana?” tanya Auni. Najwan tersenyum. Dia diam sahaja. Mungkin dia harus merahsiakan destinasi bulan madu yang difikirkannya sebentar tadi. Tetapi Najwan cukup yakin, Auni akan gembira dengan pilihannya ini.
“ Abang? Cakaplah, abang nak bawa Nini ke mana?,” Auni menyoal sekali lagi tetapi Najwan tidak memberi sebarang respon.
“ Kalau abang tak nak cakap, tak apalah. Tapi pastikan yang Nini akan suka tempat tu,” kata Auni berbaur sedikit ugutan. Tawa Najwan kembali menyapa telinganya.
“ Nini akan suka, abang yakin.”
Auni mencebik. Entah ke manalah Najwan mahu membawa dia pergi.
Share this novel