Chapter 27

Romance Completed 17236

BAB 27

“ ADDA!”

Pantas Adda menoleh ke belakang. Tergamam dia dengan sapaan Auni yang mengejutkan dia di pagi hari itu. Auni yang baru sahaja turun daripada kereta suaminya kelihatan tergesa-gesa menaiki tangga mendekati dia.

Berat beg sandang di bahu kiri Auni dan beg laptop di sebelah kanan tidak menghalang gadis itu daripada menaiki tangga dengan pantas bagi mendapatkan Adda. Sampai sahaja kaki Auni di hadapan Adda, terus dia merentap lengan Adda. Adda tergamam.

“ Kenapa dengan kau pagi-pagi ni? Nampak aje aku terus kau panggil,” tanya Adda pelik. Dia melepaskan pegangan Auni. Auni sengih memanjang.

“ Macam mana kau dengan Ashraf?” tanya Auni tanpa berkias-kias.

Adda ni bukannya faham sangat kalau dia berkias-kias. Lebih baik berterus-terang aje. Dan Auni senyum lagi apabila menyedari muka Adda dah mula merah.

“ Ni mesti sebab dia minta nombor aku dengan kau, kan? Kalau tak, macam mana kau tahu,” gumam Adda rendah. Auni tersengih lagi. Kawan bahagia, dia tumpang sekaki.

“ Aku tanya kau, kau dan Ashraf macam mana? Okey tak?” desak Auni. Dia pula yang terlebih gembira untuk mengetahui perkembangan hubungan antara Adda dan Ashraf. Merasa jugalah aku makan nasi minyak Adda tak lama lagi.

Adda senyum malu. Dia mengangguk perlahan.

“ Baguslah macam tu! Jadi, bila aku nak makan nasi minyak kau?” tanya Auni lagi. Serentak dengan itu tamparan Adda hinggap pada bahunya. Suara Auni yang mengaduh kesakitan tidak dipedulikan oleh Adda. Bukannya sakit sangat pun. Mengada aje lebih.

“ Bertunang pun belum, kau dah nak makan nasi minyak aku? Aku dengan dia baru aje ‘ada apa-apa’, kau dah mula tanya pasal nasi minyak?” omel Adda. Auni buat bodoh.

“Tak salahnya aku tanya, kan? Kau dah makan nasi minyak aku, kali ni giliran aku pula untuk makan nasi minyak kau,” balas Auni tanpa mempedulikan Adda yang ingin mencubitnya pula. Pantas tangannya menepis jemari Adda yang mula hinggap pada lengan kanannya.

“ Ikut suka hati kaulah.” Adda buat muka malas nak layan. Auni pula masih lagi sengih memanjang. Mereka berdua beriringan masuk ke dalam lif. Jam baru sahaja menunjukkan pukul 7:30 pagi. Masih tidak ramai pekerja yang datang ke syarikat mereka.

NAJWAN mengetuk pintu bilik pejabat baba. Ada sesuatu yang harus mereka bincangkan sekarang. Seawal jam 9 pagi lagi baba sudah memesan untuk menemuinya. Najwan menurut sahaja permintaan baba itu tanpa banyak soal.

“ Selamat pagi, baba,” sapa Najwan. Baba tersenyum. Kaca mata yang melurut ke bawah ditolak kembali ke pangkal hidung.

“ Tak bagi salam macam biasa? Kenapa ni?” sindir baba. Sindiran baba memang tepat mengenai muka Najwan. Najwan mula tersengih-sengih.

“ Lupa.”

Baba hanya mampu menggeleng. Najwan dipersilakan duduk. Baba membuka sebuah fail projek. Najwan melihat sahaja apa yang dilakukan oleh baba tanpa banyak soal. Baba masih belum memberitahunya apa-apa yang akan dibincangkan.

“ Baba nak Naj siap sedia untuk ke Tioman dalam masa dua minggu lagi. Baba nak Naj tolong seliakan projek resort kita kat sana untuk seminggu. Encik Haris terpaksa ke Ireland, anak dia yang belajar kat sana ada masalah sikit. Baba tak boleh halang, lagipun Encik Haris dah banyak berjasa pada kita. Boleh, Naj?”

Najwan termangu. Pergi ke Tioman dalam masa seminggu? Habis tu, macam mana dengan Nini? Ini merupakan kali pertama mereka akan berpisah.

“ Naj?”

Najwan mengangguk teragak-agak. Ini urusan kerja. Dia harus bersikap profesional dalam tugasnya. Apatah lagi, arahan ini datang daripada baba sendiri.

“ Kalau Naj bimbang pasal Nini, biar Nini tinggal kat rumah baba dan ibu. Sekurang-kurangnya ada orang yang boleh jaga dia. E-jat pun tentu suka.” Baba seakan mengerti apa yang difikirkan oleh Najwan. Yalah, nama lagi pengantin baharu. Macam mana nak berpisah? Seminggu pula tu.

Najwan senyum kelat. “ Baiklah, baba. Naj ikut aje.”

“ Bagus. Macam tulah anak baba. Kamu jangan risau, balik ni beritahu Nini baik-baik, ya? Baba percaya yang Nini faham dengan kerja kamu.”

Najwan mengangguk. Fail itu diambil daripada tangan baba. Dia harus meneliti serba sedikit kandungan projek tersebut. Selepas memberi tunduk hormat, Najwan segera keluar. Dia terus menuju ke pejabatnya.

Potret perkahwinan dia dan Auni yang digantung pada dinding direnung lama. Mentang-mentanglah tak pernah berpisah, berat pula hati Najwan nak meninggalkan Auni. Apatah lagi dalam masa seminggu. Nasib baik seminggu aje, dibuatnya sebulan macam mana? Dia lagi rela Auni berhenti kerja dan mengikutnya daripada meninggalkan isterinya keseorangan di rumah.

BlackBerry Najwan mula berlagu. Lekas dia mencapai telefon bimbitnya daripada saku seluar. Nama Safwan tertera di hadapan skrin. Panggilan segera diangkat.

“ Helo? Assalamualaikum?”

Najwan mengambil tempat di sofa yang sememangnya sudah tersedia dalam pejabatnya. Fail yang terasa memberat di tangan, dia letakkan di atas meja. Najwan bersandar mencari keselesaan.

“ Macam mana Sabtu ni, jadi tak kau datang?” tanya Safwan, merujuk kepada sesi perjumpaan yang akan diadakan pada hari Sabtu malam Ahad depan. Najwan ketawa. Dahinya ditepuk.

“ Aku nyaris-nyaris terlupa. Insya-Allah, aku ikut aje. Majlis tu mula 8:30 malam, kan? Lepas Maghrib aku datang dengan isteri aku,” kata Najwan Kedengaran Safwan menggumam berpuas hati.

“ Kau tak datang, aku cari kau heret datang sana,” Safwan mengugut. Najwan ketawa.

“ Insya-Allah.”

“ Lagipun, majlis tu bukan sebab perjumpaan aje. Kan 22 April tu tarikh arwah Ikhwan meninggal? Faiz nak buat 22 April tu sebenarnya, tapi tak boleh. Jadi, dia buat sehari lepas tu,” kata Safwan. Nadanya berubah perlahan.

Tersentap Najwan mendengar kata-kata Safwan. Ikhwan. Ikhwan Rahaman. Sahabat serumah bersamanya dengan Safwan ketika mereka mengaji di UK dahulu, sebelum Ikhwan berkahwin dengan seorang pelajar Malaysia dan tinggal bersama.

“ Kau rasa kehilangan lagi ke, Qimi?” tanya Safwan.

Najwan mengangguk teragak-agak. Terasa perit tekaknya untuk menelan liur. Ikhwan lebih rapat dengannya berbanding Safwan. Malah, apa yang melucukan kesemua hujung nama mereka ialah ‘Wan’. Najwan, Safwan dan Ikhwan. Cuma, Najwan dikenali sebagai Qimi, Safwan tetap dikenali sebagai Safwan manakala Ikhwan pula dipanggil dengan singkatan Wan atau kadang-kadang, Man.

“ Jujur, aku memang rasa kehilangan lagi. Dia kawan baik aku, Safwan. Susah senang dia, susah senang aku juga. Kadang-kadang aku masih tak percaya yang dia dah tak ada,” ujar Najwan mendatar. Dia cuba menahan sebak yang mula bertamu di dadanya.

Safwan menghela nafas berat. “ Aku tahu. Kau ingat Reena? Isteri Wan?”

Najwan mengangguk. Masakan dia boleh lupa akan gadis itu. Pada tahun kedua di universiti, Ikhwan mengahwini gadis yang sudah tiada ibu bapa yang berasal dari utara itu. Reena juga merupakan pelajar di universiti berkenaan. Malah, sewaktu Ikhwan mula sakit di UK dahulu, dialah yang bertanggungjawab menjaga Reena atas amanat sahabatnya yang semakin tenat itu.

“ Sejak kita pulang, aku dah lama tak jumpa Reena. Kau ada jumpa dia?” Najwan mula menyoal.

Gadis itu seakan menghilangkan diri selepas kematian suaminya. Ibu bapa Ikhwan terbang ke UK dan jenazah Ikhwan dikebumikan di sana. Pada masa itu, Reena masih ada bersama sebelum menghilangkan diri.

Tetapi, sahabat-sahabat mereka yang lain mengatakan Reena masih di UK selepas pengebumian Ikhwan. Mungkin Reena tidak mahu meninggalkan tempat yang mempunyai kenangan indahnya bersama-sama Ikhwan dahulu. Ternyata kehilangan Ikhwan membawa impak yang besar dalam kehidupan Reena. Apatah lagi gadis itu sudah tidak punya ahli keluarga lain.

“ Langsung tak ada. Mungkin dia masih di UK. Tapi, kawan-kawan kita yang lain kata dia orang semua pun dah putus hubungan dengan Reena. Tak tahulah dia macam mana sekarang,” jelas Safwan. Teringat pada wajah ayu milik balu arwah Ikhwan itu.

“ Insya-Allah, kalau ada jodoh kita akan jumpa balik dengan dia. Aku pun tak tahu nak cari dia kat mana. Sejak aku balik Malaysia, tumpuan aku pada anak saudara aku aje lepas arwah Najwa meninggal. Aku kahwin ni pun dengan pilihan keluarga aku. Alhamdulillah, aku bahagia sekarang,” balas Najwan.

Ketika arwah Ikhwan berkahwin dahulu, Najwan jugalah yang menjadi pengapit dia. Masih tersimpan kemas dalam kotak memori Najwan mengenai majlis yang disambut dengan meriah itu. Ceria pada wajah Ikhwan membuatkan dia merindui arwah sahabatnya itu. Malah, Ikhwan pernah berjanji akan menjadi pengapit Najwan kelak. Namun, janji itu tidak tertunai lantaran pemergian Ikhwan terlebih dahulu.

“ Tak apalah, Qimi. Sabar ya? Dah Allah lebih sayangkan dia. Okeylah, aku ada hal sikit ni. Kita jumpa hari Sabtu inilah ya?” kata Safwan. Najwan mengangguk.

“ Okey. Jumpa kau nanti. Assalamualaikum.”

Najwan meneruskan kembali tugasnya yang terbengkalai buat seketika. Namun fikirannya agak terganggu buat masa sekarang. Bayangan wajah arwah Ikhwan semakin menganggu fikirannya. Ikhwan seorang sahabat yang baik. Teramat baik buat sesiapa yang mengenali jejaka berwajah tenang itu.

Selama Ikhwan sakit, segala-galanya diuruskan oleh Najwan. Reena pergi ke kuliah pun dihantar oleh Najwan atas dasar pesahabatan. Malah, hasrat terakhir Ikhwan untuk dibawa ke Rom juga ditunaikan oleh Najwan. Ikhwan sudah lama berhasrat untuk melihat seni bina bangunan lama di Rom. Segala urusan penginapan dan pengangkutan diuruskan oleh Najwan dengan Safwan.

Moga kau tenang di sana, sahabat. Kau tahu aku selalu rindukan kau, kan? Insya-Allah, kita akan bertemu lagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience