BAB 50
SUDAH beberapa hari berlalu namun hubungan Auni dan Najwan masih lagi dingin. Makan pakai Najwan masih lagi diuruskan oleh Auni namun untuk mereka berbual mesra seperti dahulu dan menonton televisyen bersama-sama kelihatannya seakan-akan mustahil buat masa sekarang.
Sudah beberapa kali Najwan mencuba memujuk isterinya tetapi Auni seperti menjauhkan diri daripadanya. Tetapi Najwan tetap tidak melupakan janjinya. Dia tetap akan menyelitkan klip kertas berbentuk hati di dalam dompet Nini pada setiap hari. Najwan langsung tidak melupai janjinya yang itu.
“ Nini?”
Sapaan Adda pada pagi itu agak memeranjatkan Auni. Dia mengangkat muka daripada kertas projek baharu yang berada di bawah pengurusannya. Namun, bukannya setiap baris ayat pada kertas projek itu yang menjadi tumpuan Auni, sebaliknya dia lebih memikirkan masalahnya dengan suaminya.
“ Nini?” Adda memanggil lagi apabila merasakan Auni seakan-akan kelam dalam dunianya sendiri. Memang benar yang Auni perasan akan sapaannya tadi, tetapi Adda lihat gadis itu kelihatan seperti khayal memikirkan sesuatu.
“ Adda, minta maaf. Aku tak perasan,” jawab Auni lemah. Dia menundukkan kepalanya. Keluhan Adda kedengaran menyapa telinganya.
“ Kenapa dengan kau sejak akhir-akhir ni? Aku tengok kau lain macam aje. Kau lagi banyak termenung daripada buat kerja. Kau ada masalah ya?” tanya Adda. Ternyata serkap jarangnya mengena apabila dia dapat mengesan perubahan riak wajah Auni.
“ Aku sihatlah. Cuma… tak tahu macam mana aku nak beritahu. Aku… pening kepala sikit. Tekak pun rasa loya aje. Kau ada mint tak? Clorets aku dah habis,” kata Auni. Dia menggoyangkan bekas kecil gula-gula Clorets. Muka Adda berubah cuak.
“ Dah lama ke kau rasa macam tu?” Adda menyoal tanpa ragu-ragu. Pandangan penuh syak wasangka diberikan kepada Auni yang kelihatan kebingungan.
“ Sejak minggu lepas lagi rasanya. Kenapa?”
Adda menepuk kuat dahinya. Dia berdiri sambil berpeluk tubuh. Auni semakin hairan dengan tingkah Adda.
“ Bila kali terakhir kau datang bulan?” tanpa malu-malu Adda terus menyoal dengan nada perlahan. Auni diam sejenak. Mindanya ligat mengaitkan simptom-simptom yang sedang dia alami dengan pertanyaan Adda. Dia terkaku apabila Adda terus menariknya bangun.
“ Aku nak bawa kau jumpa doktor sekarang juga. Kalau betullah tekaan aku, kau tengah mengandung,” kata Adda.
Auni terdiam dan mengikuti sahaja langkah Adda. Sempat juga Adda meminta kebenaran keluar dari pejabat daripada Encik Adam. Tanpa banyak soal, majikan mereka itu terus membenarkan. Auni dipaksa masuk ke dalam kereta Adda.
“ Tapi, Adda… aku tak pasti. Kau jangan…”
“ Kau jangan nak mengada. Aku nak bawa kau ke klinik sekarang juga. Jangan banyak cakap, okey? Kau duduk diam-diam dan beri aku bawa kereta dengan aman, faham?” Laju Adda memotong pertuturan Auni. Teragak-agak Auni mengangguk. Dia duduk diam sahaja sambil menahan debaran yang kian terasa.
Macam mana kalau apa yang Adda teka tu betul?
SEJAK selepas menunaikan solat Isyak lagi, Auni duduk di lantai beranda biliknya bersama kedinginan malam. Kedua-dua lututnya dirapatkan pada tubuhnya sebelum kedua-dua tangannya memeluk lutut. Dagunya direhatkan di atas lutut. Matanya merenung pada kawasan perumahan itu.
Abang balik lambat malam ni. Jaga diri.
Mesej yang dihantar oleh Najwan sebelum dia pulang daripada pejabat lagi itu dibaca berulang-ulang kali. Najwan tidak pernah begini. Jika ada apa-apa yang ingin diberitahu, dia akan terus menelefon, bukannya dengan menghantar mesej seperti ini.
Auni sendiri perasan yang mereka sudah lama tidak berbual mesra seperti kebiasaannya. Sewaktu mereka makan bersama-sama pun, kedua-duanya akan mendiamkan diri. Jika Najwan bertanya sepatah, sepatah juga yang dijawab oleh Auni. Dia perasan banyak kali juga Najwan mencuba untuk bercakap dengan lebih banyak dengannya tetapi semua usaha Najwan itu sia-sia apabila Auni tidak melayannya.
Aku terlalu ikutkan hati. Dia suami aku, aku patut utamakan dia tapi…
Suatu keluhan terhembus daripada bibir Auni. Dia mengutuk kebodohannya sendiri. Peristiwa yang terjadi pada pagi tadi juga menjadi mainan mindanya. Auni langsung tidak menyangka yang tekaan Adda mengenai dirinya ternyata betul. Doktor sendiri mengesahkan yang kini dia sudah hamil hampir dua bulan.
Auni tidak tahu bagaimana untuk menggambarkan perasaannya saat itu. Suka, gembira, sedih mahupun takut semuanya bercampur menjadi satu. Dia sendiri merasa tidak keruan. Auni tidak tahu bagaimana untuk memberitahu suaminya, tambahan lagi sewaktu hubungan mereka agak dingin seperti pada masa ini.
Tapak tangannya diletakkan pada bahagian rahim. Auni tersenyum simpul. Akhirnya impian mereka suami isteri dimakbulkan juga. Baru sahaja tempoh hari dia murung kerana memikirkan mengenai perkara ini. Langsung dia tidak sedar sebenarnya dirinya sudah pun hamil pada saat itu.
Eh?
Sehelai kain lembut diletakkan di atas bahunya sekaligus menutupi bahagian belakang tubuhnya. Teragak-agak Auni menoleh ke belakang. Wajah Najwan yang kelihatan kusut berada pada pandangannya. Wajah itu mengukir senyuman buatnya. Auni tergamam.
“ Kenapa duduk kat sini? Sejuk tahu tak? Kalau Nini demam macam hari tu macam mana?” Lembut setiap pertanyaan itu dilontarkan. Auni seakan-akan tidak mampu untuk berkata-kata.
Ini merupakan salah satu sebabnya kenapa rasa bersalahnya terhadap Najwan akan semakin bertambah dari hari ke sehari. Walau dingin macam mana sekalipun sikapnya terhadap suaminya, layanan Najwan terhadapnya akan sentiasa mesra seperti layanan kebiasaannya.
“ Nini okey? Tadi Adam telefon abang, kata pagi tadi Adda bawa Nini ke klinik. Adam tanya abang, Nini tak sihat ke? Abang terkejut juga sebab Nini tak ada beritahu abang apa-apa.”
Najwan sedar bahawa emosi isterinya masih belum pulih sepenuhnya sejak hari itu. Dia menggangap perkara itu mungkin berkaitan dengan keadaan Auni yang sering kali sahaja tidak sihat. Najwan cuma mampu menyabarkan hati. Dia yakin bahawa Auni masih lagi keliru dengan perkara yang menimpa hubungan mereka buat masa sekarang.
“ Nini?”
Panggilan Najwan buat kali kedua membuatkan Auni terpaku. Tanpa disedari, kepalanya mengangguk sedikit. Respon yang diberikan oleh isterinya membuatkan senyuman Najwan berubah kepada hambar. Dia mengusap lembut kepala isterinya.
“ Abang nak mandi dulu. Jangan duduk kat luar ni lama sangat. Kalau demam nanti susah pula,” pesan Najwan lembut. Dia mula beralih mahu masuk ke dalam bilik. Auni tersentak. Dia segera berdiri di luar kawalannya. Mulutnya mula memberitahu sesuatu.
“ Tadi Adda bawa Nini jumpa doktor!”
Langkah Najwan terhenti di situ. Dia agak terkejut dengan nada Auni yang kelihatan seolah-olah terdesak untuk memberitahunya sesuatu. Dia segera menoleh ke belakang. Auni sedang merenungnya. Pandangan mereka saling bertautan.
“ Nini? Kenapa…”
“ Nini hamil. Dah hampir dua bulan. Nini cuma… nak abang tahu. Lagipun, ini anak abang juga,” beritahu Auni tanpa menunggu Najwan menyudahkan soalannya. Tiba-tiba sahaja Auni merasakan wajahnya sudah mula panas.
“ Kita akan jadi ibu bapa….”
Najwan terus terkaku di situ. Lidahnya kelu untuk berkata-kata buat seketika. Matanya tidak lepas daripada melihat pada wajah Auni yang kelihatan cuak semacam. Perlahan-lahan dia mendapatkan Auni yang masih berada di beranda. Kakinya terhenti betul-betul beza setapak daripada tempat Auni berdiri.
“ Betul ke?”
Teragak-agak Auni mengangguk. Dia cuba melihat ke wajah Najwan yang sedang berdiri berhadapan dengannya. Auni terpaksa mendongak kerana perbezaan ketinggian antara dia dengan Najwan yang agak ketara.
Auni nampak senyuman yang Najwan ukirkan buatnya pada saat ini kelihatan lain daripada kebiasaannya. Senyuman kebahagiaan yang tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata. Auni tertunduk malu. Kedua-dua tangannya ditautkan ke bawah melekap pada bahagian rahimnya.
“ Adda bawa Nini jumpa doktor pagi tadi… kemudian… doktor beritahu yang Nini hamil. Nini rasa… Nini patut beritahu abang… sebab…”
Kata-kata Auni hilang di situ sahaja. Pelukan Najwan mematikan setiap kata-katanya. Auni terkedu di situ. Lembut Najwan mengusap rambutnya.
“ Syukurnya Ya Allah. Abang tak sangka, secepat ni abang dapat berita baik ni,” ucap Najwan yang tidak putus-putus mengucap syukur. Hatinya benar-benar dilimpahi kegembiraan.
“ Terima kasih Nini… terima kasih…”
Auni bungkam. Dia mengetap bibirnya. Tubuh Najwan ditolak sedikit, merenggangkan pelukan suaminya. Wajah suaminya direnung sayu.
“ Abang… minta maaf…”
Najwan menggeleng perlahan lantas memotong bicara Auni sekali lagi. Hidung Auni dipicit sedikit. Dia tersenyum manis. Najwan tahu permohonan maaf itu untuk apa.
“ Tak apa. Abang tahu Nini tak boleh lupakan lagi. Tak apa, abang tak kisah. Jaga bayi ni baik-baik. Nini nak jadi seorang ibu yang baik, kan?”
Najwan senyum lagi sebelum mengucup dahi isterinya. Perlahan-lahan dia melangkah meninggalkan beranda itu untuk masuk ke bilik. Sebelah tangan Auni melekap pada dahinya yang menjadi sasaran bibir suaminya tadi. Hatinya mula terasa lapang.
“ Nini?”
Auni mengangkat muka. Pandangannya terus kepada Najwan yang sedang membelakanginya. Telinganya dapat menangkap keluhan yang keluar daripada mulut suaminya.
“ Tolong jaga diri Nini dan bayi kita baik-baik. Abang risau… abang tak boleh... Dan jangan sesekali… lupakan abang.”
Auni terdiam di situ. Lirih suara Najwan tatkala mengatakannya. Habis sahaja berkata-kata, Najwan terus keluar dari bilik mereka, tidak sanggup untuk berlama-lama berada di satu tempat dengan si isteri. Dia meraup wajahnya penuh penyesalan.
Dan… Auni masih terpaku di beranda. Air matanya mengalir juga.
Share this novel