BAB 45
NAJWAN hanya mampu menggelengkan kepala tatkala melihat Auni sedang termenung di kerusi taman. Akhbar yang masih belum dibaca sepenuhnya dilipat lalu diletakkan sahaja di atas meja kopi. Dia bangun untuk mendapatkan isterinya.
“ Nini, kenapa termenung ni?” Najwan menyoal lembut. Kedua-dua bahu isterinya dipegang.
Auni mengangkat wajah. Suaminya sedang berdiri di belakangnya.
“ Tak ada apa-apa,” balas Auni pendek.
Najwan senyum sahaja. Dia menarik kerusi lalu duduk di sebelah isterinya. Auni masih lagi kelihatan termenung. Pipi Auni menjadi mangsa cubitan tangan Najwan.
“ Kenapa ni? Termenung aje abang tengok dari tadi,” ucap Najwan untuk menarik perhatian Auni untuk berbual-bual dengannya. Gelengan Auni menghampakan Najwan.
Kenapa dengan isteri aku ni? Ada masalah ke?
“ Nini?”
Tangan Auni digenggam. Lambat-lambat Auni menoleh pada suaminya.
“ Jom pergi rumah ummi dan walid, nak tak? Dah lama kita tak jenguk mereka kan?” Najwan memujuk lagi dengan cara lain. Serta merta senyuman terbit pada wajah Auni.
“ Tu, kan nampak comel kalau senyum. Dah, dah. Nini pergi bersiap, okey?”
“ Okey,” pendek sahaja balasan Auni namun wajahnya sudah kelihatan ceria.
Auni meminta diri untuk berlalu ke tingkat atas. Najwan membenarkan sahaja. Namun dia masih tidak puas hati. Kenapa tiba-tiba sahaja Auni muram sebegitu? Sedangkan jarang baginya melihat tingkah Auni seperti itu.
Nak kena korek rahsia ni.
BUNTU Najwan buat seketika tatkala melihat Auni ceria sahaja di rumah walid dan ummi, tiada lagi kemurungan pada wajahnya. Menyedari perkara itu, Najwan tersenyum. Mungkinkah isterinya merindui walid dan ummi kerana sudah lama mereka tidak datang melawat kedua-duanya?
“ Naj dan adik makan tengah hari kat sini ya? Ummi ada masak lebih, Angah pun ada kat rumah hari ni,” kata ummi. Najwan dan Auni hanya bersetuju dengan pelawaan itu. Rezeki jangan ditolak.
“ Nak ikut ummi ke dapur,” kata Auni sewaktu melihat ummi ingin ke dapur.
Hanya tinggal walid dan Najwan sahaja di ruang tamu. Najwan melayan sahaja apa yang ingin dibualkan oleh walid. Dengan walid, dia banyak belajar ilmu agama. Walid memang tegas dengan anak-anak apabila soal agama timbul.
Di dapur pula, ummi melayan kerenah Auni. Alin yang baru turun dari tingkat atas turut menyertai mereka.
“ Adik ada masalah kan?”
Auni tersentak. Lambat-lambat dia mengangguk untuk mengiyakan kata-kata ummi. Ummi memang tahu-tahu aje kan?
“ Ummi tahu sangat kalau adik nampak ceria semacam aje tu depan ummi dan walid, adik tentu ada masalah. Adik tak gaduh dengan Naj kan?” ummi menyoal lagi. Dengan pantas Auni menafikan apa yang ummi katakan itu.
Gaduh dengan Naj? Gaduh-gaduh manja tu adalah ummi. Tiap-tiap hari lagi.
“ Habis tu?”
Auni diam. Malu pula nak berkongsi dengan ummi dan Angah. Dengan Najwan? Lagilah dia segan. Tapi dia sedih sebenarnya. Gara-gara membaca suatu artikel yang telah mencuit hatinya.
“ Adik?”
Auni mengeluh. Ummi dah seperti mendesak walaupun tidak kelihatan pada zahirnya. Tidak sedap hati pula sekiranya membuat ummi tertanya-tanya sebegitu. Lambat-lambat Auni membuka mulut.
“ Pasal… anak…”
Serentak tangan Auni memegang pada rahimnya. Bilakah rahimku akan terisi dengan zuriat kami?
Ummi menarik senyum. Angah cuba untuk menahan tawa. Pasal ni rupanya. Ingatkan apalah yang membuatkan adik bongsunya itu monyok sahaja mukanya.
“ Kenapa pasal anak pula? Adik tengah fikir kenapa tak dapat anak lagi ke?” ummi menyoal lembut.
Sudah beberapa bulan Auni dan Najwan berkahwin. Mungkin Auni kesal kerana sehingga sekarang dia masih belum mampu mengandungkan anaknya dengan Najwan.
Auni mengangguk teragak-agak. Mukanya sudah merah tatkala ini. Malu pula apabila membincangkan soal seperti ini dengan ummi dan Angah.
“ Adik dan Naj memang tak ada rancang apa-apa kan?” Angah pula yang menyoal. Manalah tahu adik dan adik iparnya itu merancang. Namun Auni pantas menggeleng bagi menafikan soalan Alin.
“ Kami memang tak buat rancangan. Cuma, adik rasa macam…” kata-kata Auni tersekat. Tidak tahu bagaimana untuk meluahkannya. Mindanya kembali mengingati sedikit petikan awal artikel yang pernah dibacanya itu.
Setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga mengharapkan kehadiran cahaya mata sebagai penyeri hidup dan bukti kasih sayang. Paling penting sebagai penyambung zuriat.
Namun tidak semua yang dirancang akan dimakbulkan Allah SWT kerana setiap orang pasti akan diuji dengan pelbagai dugaan. Tidak terkecuali pasangan yang baru menempuh gerbang perkahwinan. Ada pasangan yang cepat dikurniakan zuriat dan ada juga yang bertahun-tahun menunggu tetapi belum diberi rezeki.
Adakah aku tergolong dalam golongan yang menunggu bertahun-tahun itu?
Ummi memeluk Auni yang masih murung. Dia faham apa yang Auni rasakan. Isteri mana yang tidak ingin melahirkan benih suami mereka sendiri. Sudah tentu kalau boleh mereka inginkan zuriat dengan kadar yang segera.
“ Adik, ummi nak pesan satu perkara. Ummi tahu adik dan Naj dah berbulan-bulan kahwin. Tapi, adik masih lagi baru dalam alam perkahwinan ni. Ada banyak sebab kenapa kamu tidak dikurniakan zuriat lagi,” lembut ummi berpesan.
Benar. Mereka baru sahaja berkahwin. Tetapi, selepas Auni membaca artikel mengenai zuriat itu, hatinya tersentuh. Jikalau boleh, dia inginkan zuriat dalam masa yang terdekat selepas perkahwinan mereka.
Hatinya meronta-ronta untuk membelai anak yang lahir daripada rahimnya sendiri. Memanjakannya, menjaga anak itu dengan penuh kasih sayang. Sungguh. Dia teringin.
“ Sebab yang utama rezeki. Rezeki itu ada, cuma cepat atau lambat aje. Allah tak akan berikan apa yang kita nak, Dia akan kurniakan apa yang kita perlu. Allah perancang yang terbaik. Mungkin ada sebabnya kenapa adik tidak dikurniakan zuriat lagi,” ummi menyambung lagi. Hangat pelukan ummi pada Auni seakan-akan tidak mahu dilepaskan.
“ Mungkin ini bukan masa yang sesuai lagi, mungkin Dia rindu nak dengar doa kamu dan Naj kepada-Nya agar dikurniakan zuriat. Kita tak tahu kan? Adik dan Naj kenalah berdoa juga, dikurniakan anak-anak yang soleh dan solehah.”
Dahi anak bongsunya itu kucup lembut. Auni tersenyum juga. Alin pula sudah tergelak-gelak.
“ Doa, doa juga. Jangan lupa usaha tahu?”
“ Angah!”
Paha Nawal menjadi mangsa cubitan Auni. Muka Auni merah padam. Malu dengan usikan Angah tadi. Ummi dan Nawal galak mengetawakan Auni yang hanya mendiamkan diri. Merah pipi anak bongsu ummi gara-gara usikan Alin.
Najwan yang berada di balik pintu dapur hanya mampu tersenyum hambar.
HARI ini Auni pulang lewat seperti minggu-minggu yang sebelumnya. Memandangkan waktu Maghrib sudah masuk, dia singgah untuk solat dahulu di masjid sepanjang perjalanannya pulang ke rumah.
Najwan sudah dimaklumkan tentang kelewatan dia tiba di rumah. Berkali-kali Najwan berpesan agar menjaga keselamatan. Sewaktu Auni masih berada di rumah Sarah lagi sudah banyak kali mesej Najwan masuk ke telefon bimbitnya. Berpesan agar berhati-hati. Najwan tidak dapat menjemputnya untuk malam ini.
“ Ya Allah, aku bermohon kepada-Mu. Kurniakanlah kami zuriat yang akan bersama-sama untuk mengembangkan syiar-Mu di bumi ini. Sesungguhnya kami hanyalah hamba-Mu yang lemah. Kami bermohon hanya kepada-Mu Ya Allah.”
Lama Auni duduk berteleku di sejadah masjid. Pandangannya kosong memerhati ke sekeliling. Dia merasakan jiwanya kosong saat ini. Auni bersujud sekali lagi. Lama dia berdoa di dalam hati memohon agar jiwanya ditenangkan sebelum dia bangun untuk meninggalkan masjid tersebut.
Saat Auni menuruni anak-anak tangga masjid, Xperia berdering perlahan. Auni menguntum senyum tatkala melihat nama suaminya tertera pada skrin Xperia. Salam diberi sejurus mengangkat panggilan.
“ Ya abang, kenapa?” Auni menyoal selepas Najwan membalas salamnya.
“ Kenapa Nini tanya? Nini kat masjid lagi ke ni? Abang dah risau ni. Cepatlah balik sayang,” kata Najwan. Suaranya berbaur resah. Auni tergelak mendengarkan kerisauan suaminya.
“ Nini gelak pula. Abang tengah risau, boleh pula dia gelak? Nak merajuklah macam ni,” ucap Najwan berjauh hati. Tawa Auni bersambung lagi.
“ Abang merajuklah dulu. Balik nanti Nini pujuk ya? Nini dah nak balik ni. Abang sabarlah,” kata Auni dengan sisa tawanya.
Najwan mengeluh. Isteri aku ni, boleh buat main-main pula? Aku dah tak sabar tunggu dia sampai rumah ni.
“ Okey, okey. Jangan singgah mana-mana tahu? Kalau ada kereta yang minta Nini berhenti kat jalan tu, jangan berhenti. Tak kiralah mereka hon ke apa ke, pecut terus. Cari balai polis terdekat. Sekarang ni macam-macam boleh jadi. Okey sayang?”
Auni mengangguk sahaja. Tidak sampai hati untuk mengetawakan suaminya lagi. Makin merajuk pula Najwan nanti. Dia juga yang susah.
“ Baiklah Encik Najwan Faqqimi. Nini dengar pesanan abang tu. Nini dah nak memandu ni, jumpa kat rumah ya. Assalamualaikum.”
Xperia terus disimpan di dalam tas tangan selepas mendengar salamnya dibalas. Auni tersenyum riang. Baru seketika tadi dia murung, kini dia sudah gembira. Bahagia rasa kerana diambil berat oleh suami sendiri. Auni tersenyum meleret.
Kerana terlalu melayan perasaan, Auni langsung tidak terasa akan lamanya masa untuk tiba di rumah. Bibirnya menguntum senyum apabila melihat Najwan sedang berdiri menunggunya di hadapan pintu masuk rumah. Namun senyumannya mati tatkala melihat baju yang tersarung pada tubuh suaminya. Kemeja hitam dengan seluar putih.
“ Abang nak ke mana pula ni? Ada majlis ke malam ni?” Auni menyoal selepas menyalami tangan suaminya. Najwan pantas menggeleng. Dahi isterinya dikucup.
“ Isyak dah masuk. Nini pergi mandi dan solat terus ya? Lepas tu turun bawah. Kita makan malam sama-sama. Nini tak makan lagi kan?” tanya Najwan. Dia merangkul pinggang isterinya lalu mereka masuk ke dalam rumah. Beg kerja Auni dibimbit di sebelah tangannya lagi.
“ Belum. Lapar...” Auni merengek. Najwan ketawa lembut. Pipi isterinya pula menjadi sasaran bibirnya.
“ Dah, pergi naik atas. Abang tunggu bawah ya? Lepas ni kita makan, okey sayang?” Najwan memujuk apabila melihat Auni sudah membuat muka kelaparan. Auni tergelak.
“ Okey, okey. Nini naik mandi dan solat dulu ya?”
Auni mendongak sedikit lalu mencium kedua-dua belah pipi Najwan dengan pantas sebelum dia berlari naik ke tingkat atas. Najwan yang terpinga-pinga pada mulanya mula ketawa. Lucu apabila mengenangkan aksi isterinya itu.
Nini... Nini... Sabar ajelah. Najwan gelak dalam hati.
Terpaku seketika Auni sebaik sahaja dia membuka pintu biliknya. Ada satu jambangan bunga ros yang terdiri daripada ros merah, merah jambu dan putih di atas katil mereka. Kelopak-kelopak bunga ros daripada tiga warna tersebut menghampari lantai bilik itu.
Abang ni.. Kenapa tiba-tiba romantik habis ni?
Auni mencapai jambangan berkenaan lalu dihidu haruman bunga ros segar. Wanginya. Matanya tertancap pula pada sekeping kad yang terselit sama. Pantas dia membuka kad berkenaan. Senyuman Auni menguntum lagi.
Mereka kata, ros merah menggambarkan cinta,
Bagi abang, ros merah menggambarkan cinta kita selama-lamanya, insya-Allah.
Mereka kata, ros merah jambu menggambarkan kebahagiaan dan rasa syukur,
Bagi abang, ros merah jambu menggambarkan rasa syukur dan bahagia abang untuk perkahwinan kita.
Mereka kata ros putih menggambarkan cinta yang suci,
Bagi abang, ros putih menggambarkan diri Nini.
-Hero Auni-
Senyuman Auni kian lebar. Hatinya berbunga bahagia selepas membaca apa yang dicoretkan oleh suaminya pada kad itu. Kata-kata ini terlalu bermakna buatnya. Kehadirannya dalam hidup Najwan terlalu dihargai suaminya. Tidak pernah walau sekali Najwan menyesali kehadiran seorang Auni Ammaleeyna dalam hidupnya.
Ada suatu nota kecil terselit di belakang kad tersebut. Auni sambung membaca lagi. Namun kali ini dia tertanya-tanya sendirian.
Lepas siap, pakai baju yang abang letak dalam almari.
Kemudian, turun ke bawah. Abang tunggu.
Pantas Auni membuka pintu almari yang menempatkan pakaiannya. Dia tergamam saat matanya terpandang pada sehelai jubah cantik berwarna putih dan sehelai selendang besar berwarna merah jambu. Ada kuntuman ros merah pada bahagian bawah jubah tersebut.
Cantiknya...
Auni menggelengkan kepalanya. Apalah yang suaminya tengah fikirkan sekarang. Dia kembali menutup pintu almari lantas mencapai tualanya. Lebih baik dia segera mandi dan solat. Tidak pula membuatkan Najwan ternanti-nanti akan kehadirannya di tingkat bawah.
Dengan sabar Najwan menanti ketibaan Auni di tingkat bawah. Walau bagaimanapun hatinya tetap resah. Harap-harap rancangannya pada malam ini akan berjalan dengan lancar. Lampu di ruang tamu dipadamkan. Hanya lampu dinding sahaja yang melimpahkan cahaya keemasan sepanjang tangga dari tingkat atas ke tingkat bawah.
Bunyi pintu dibuka menarik perhatian Najwan. Dia berjalan ke hadapan anak tangga. Perlahan-lahan Auni menuruni tangga. Pandangan mata mereka bersatu. Senyuman berbunga pada wajah masing-masing.
“ Dah sedia?” Najwan bersuara romantis. Dia menghulurkan sebelah tangannya seperti lagak seorang lelaki berbangsa Inggeris.
“ Dah,” balas Auni lembut. Huluran tangan suaminya disambut.
Banyak soalan yang ingin dikemukan oleh Auni namun dia merasakan ini bukannya masa yang sesuai. Suaminya sedang mencipta suasana romantis untuk mereka berdua. Setiap saat yang berlalu pergi dihargai sebaik mungkin. Tidak lepas-lepas Najwan merenung isterinya.
“ Cantik isteri abang malam ni,” kata Najwan. Auni ketawa perlahan.
Jubah putih itu terletak elok pada tubuhnya. Tidak labuh atau singkat sangat. Jubah itu juga longgar, tidak mengikut bentuk tubuhnya. Selendang yang diberikan oleh suaminya itu juga labuh menutup paras dada. Bolehlah Auni pakai untuk mana-mana majlis nanti.
“ Terima kasih, abang. Abang pun nampak kacak,” Auni memuji. Baru dia perasan kemeja yang tersarung pada tubuh Najwan itu merupakan kemeja yang dihadiahkannya dahulu.
“ Bukankah abang sentiasa kacak?” Najwan mengusik. Pantas Auni mencebik. Sempat lagi nak menyakat.
Najwan membawa Auni ke luar rumah. Sebuah khemah putih yang berhias cantik sudah tersedia di situ bersama-sama meja dan kerusi taman mereka. Hanya lilin yang menerangi sekitar kawasan khemah itu. Najwan memilih kawasan taman mereka yang tersorok daripada pandangan jiran. Apatah lagi pagar yang mengeliling rumah mereka itu agak tinggi.
“ Duduklah.”
Auni melabuhkan duduk di atas kerusi yang sudah ditarik oleh Najwan. Najwan berlalu pula untuk mendapatkan tempat duduknya. Meja itu sudah tersedia dengan pelbagai jenis makanan.
“ Ada apa-apa ke malam ni?” Auni bertanya hairan. Dia sudah tidak mampu membendung rasa ingin tahunya itu.
Najwan tersenyum lantas menggeleng. “ Tak ada alasan yang spesifik pun. Abang cuma nak buat Nini gembira.”
Kening Auni bertaut. Apa maksud suaminya?
“ Nini, makan dulu ya? Penat tahu abang masak semua ni untuk Nini aje. Lepas tu baru kita sembang, okey?” Najwan memujuk. Dia ada agenda lain lagi selepas makan malam mereka.
Segelas minuman diletakkan di hadapan Auni. Auni mengangguk sahaja. Dia memang lapar sekarang ni. Tambahan pula apabila melihat hidangan di hadapannya. Memang mampu membuatkan dia kecur liur.
Stik daging, kentang goreng dan salad yang dilimpahi dengan mayonis Thousand Island terhidang di hadapan mereka. Puding trifel pula menanti sebagai hidangan pencuci mulut. Auni menelan liur namun dia teragak-agak untuk makan.
Mampu ke aku nak habiskan semua ni? Banyaknya abang masak.
Satu demi satu Auni suap ke dalam mulutnya. Sedap. Najwan memang pandai memasak namun lelaki itu jarang menunjukkannya. Sesekali dia akan melayani Najwan berbual. Berbual mengenai kehidupan masing-masing. Kadang kala kedengaran juga tawa kedua-duanya.
“ Abang ada sesuatu untuk Nini,” kata Najwan usai mereka menghabiskan hidangan makan malam. Auni tersenyum. Lepas makan dapat hadiah pula?
Najwan bangun daripada kerusinya lantas dia mengeluarkan sesuatu daripada bawah meja. Dia bergerak untuk berdiri di sebelah isterinya. Sebuah kotak segi empat tepat yang bersaiz sederhana besar berhias dengan reben merah dihulurkan kepada Auni. Auni menyambutnya dengan senyuman.
“ Apa ni?” Auni tertanya-tanya.
Najwan turut tersenyum. Dia menggesa Auni untuk terus membukanya.
Auni merasakan debar pada dadanya di saat dia ingin membuka penutup kotak itu. Najwan yang masih berdiri di sebelahnya hanya tersenyum. Auni tergamam sebaik sahaja dia melihat isi kotak berkenan.
Sehelai baju bayi berwarna biru muda yang tertulis Mommy’s Hero dan sehelai baju bayi berwarna merah jambu yang tertulis Daddy’s Heroine berada sebelah menyebelah di dalam kotak berkenaan. Auni merasakan dadanya terasa sesak.
“ Abang terdengar perbualan Nini dengan ummi dan Angah tempoh hari,” ucap Najwan perlahan. Dia tahu isterinya sedang bersedih. Tentunya Auni sedang memikirkan yang bukan-bukan sekarang.
“ Maaf, abang... Nini tak..”
“ Nini, dengar dulu apa yang abang nak cakap,” potong Najwan lembut. Dia menarik Auni bangun daripada kerusinya. Wajah keruh Auni dipandang redup. Kedua-dua tangan Najwan melekap pada wajah isterinya. Dia mengesat air mata yang mula bertakung pada tubir mata Auni.
“ Abang tidak bermaksud nak salahkan Nini. Abang mengaku yang abang pun nak anak dalam masa yang terdekat. Tapi, rezeki kita tak ada lagi. Abang tak nak Nini sedih-sedih pasal ni lagi. Percayakan Dia, ya? Allah perancang terbaik. Insya-Allah, kita akan punya zuriat kita juga nanti, ya sayang?”
Lembut Najwan berkata-kata. Cukuplah dengan apa yang Auni ceritakan pada ummi tempoh hari. Sejak hari itu Najwan asyik melihat Auni murung. Dia tidak betah dengan sikap Auni yang sebegini.
“ Abang hadiahkan Nini baju tu. Manalah tahu nanti anak kita kembar?” Najwan mula mengusik. Auni ketawa perlahan. Dia mengangguk.
“ Nini tak tahu nak kata apa. Nini...”
“ Tak perlu cakap apa-apa. Cuma janji dengan abang jangan sedih lagi pasal ni ya?”
Auni tersenyum. Pantas dia memeluk suaminya. Kepalanya disembamkan ke dada Najwan.
“ Baiklah.”
Najwan menarik nafas lega. Kepala isterinya yang ditutupi dengan selendang pemberiannya diusap lembut. Matanya beralih pada kotak hadiah yang masih menunjukkan dua helai pakaian bayi itu. Senyuman Najwan terbit. Wajahnya berseri-seri.
Share this novel