Chapter 58

Romance Completed 17236

BAB 58

“ AUNI! Rindunya aku dengan kau!”

Awal-awal pagi lagi Auni disambut dengan suara nyaring Adda. Pantas Auni mengelak sebelum dirinya menjadi mangsa pelukan Adda. Adda mula buat muka sedih. Cassy dan Firas yang menyaksikan mereka berdua mula menghamburkan tawa masing-masing.

“ Sejak kau tak kerja, aku tengok Adda tu macam sasau aje. Yalah, selama ni dia asyik usik kau aje kerjanya, bila kau tak ada macam tulah jadinya,” ucap Firas yang turut berhenti menyertai mereka berdua. Cassy turut menghampiri mereka.

“ Kau ni kan Firas, apasal kau suka sangat dengki dengan aku? Sebab tulah kau tak kahwin-kahwin sampai sekarang,” balas Adda dengan muka cemberutnya. Firas ketawa sinis. Adda dan Auni mula tayang muka pelik.

“ Awak tak tahu lagi ke? Si Firas ni dah nak bertunang. Dengan pilihan mak dia kat kampung,” celah Cassy.

Auni dan Adda berpandangan antara satu sama lain. Seakan-akan susah buat mereka untuk menghadam setiap kata-kata Cassy yang baru sahaja didengari mereka tadi. Mereka sama-sama melihat pada wajah Firas yang masih dengan senyumannya.

“ Betul ke apa yang aku dengar tadi? Ke telinga aku yang salah dengar? Ada ke perempuan nakkan kau?” tanya Adda sambil menyeringai. Cassy dan Auni mula tergelak. Ada ke tanya macam tu? Agak pedas juga soalan Adda.

Firas tarik balik senyuman yang melebar pada wajahnya. “ Telinga kau tak salah dengar. Suka betul bagi soalan panas macam tu. Macam inilah kawan, tak nak aku ajak kau ke majlis aku nanti.”

“ Yalah tu. Yalah, aku percaya. Apa pun, tahniah ya? Jangan lupa hantar kad undangan kahwin nanti. Jangan nikah senyap-senyap pula,” balas Adda. Firas mengangguk sahaja. Nampak benar seri bakal pengantin pada wajah lelaki itu.

“ Sudahlah kau berdua ni, baik ke meja masing-masing. Nanti Encik Adam masuk lepas tu dia nampak kita borak-borak macam ni, naya. Kerja aku pun belum siap lagi,” ucap Firas sebelum berlalu pergi. Mereka berempat terus bersurai. Kerja yang bertimbun jangan ditangguhkan. Nanti bertambah pula timbunannya itu.

“ Auni?”

“ Ya?” Auni menyahut sahaja panggilan Adda daripada mengalihkan tumpuannya pada skrin Asus. Dia harus menyelesaikan sedikit sebanyak projek baharu yang diberikan oleh Encik Adam kepadanya itu. Susah dia kalau klien merungut kerana lambat siap.

“ Kau makan kat mana hari ni?” Adda mendekati meja kerja Auni. Leka betul Auni dengan kerjanya pada hari ini. Mungkin kerana sudah lama berehat daripada kerja membuatkan gadis itu bersemangat untuk bekerja semula.

Saat mendengar perkataan itu, Auni kaku buat seketika. Dia ragu-ragu dengan keputusan yang dia ambil sejurus mendapat mesej daripada Sarah beberapa hari sebelum ini. Namun dia kuatkan hati. Dia tidak akan pergi! Suaminya tidak akan redha atas perbuatannya itu dan Auni tidak mahu bergelar seorang isteri yang derhaka. Dia menarik balik keputusannya daripada pergi menemui Sarah.

“ Auni? Kau dengar tak soalan aku tadi?” rungut Adda. Dia melambaikan tangannya di hadapan Auni. Pantas Auni tersenyum sebagai respon.

“ Aku makan dengan kaulah. Suami aku ada kerja tengah hari ni,” balas Auni. Wajahnya ceria. Adda tergelak.

“ Suka betul aku tengok kau lepas Naj dah kembali. Tak adalah monyok macam sebelum ni. Kalau tak, masam betul muka tu. Aku rasa tahap masam muka kau tu lebih masam daripada asam tau tak?” galak Adda mengusik. Dia masih lagi ketawa.

“ Kau! Kalau tak kenakan aku tak sah!” Auni mencubit geram lengan Adda. Pantas Adda menarik lengannya daripada terus menjadi manga cubitan Auni. Tempat yang terkena cubitan itu digosok.

“ Kau ni suka sangat jadi ketam berjalan, kan? Macam manalah si Naj tu kat rumah. Memang hari-hari makan gulai sepit ketam kau tu. Janganlah anak kau tu menurut perangai sepit ketam kau tu,” Adda merungut. Sakitnya…

Auni tersenyum. Macam-macamlah isteri Ashraf Hakim ni. Sabar ajelah.

Auni memulakan kerjanya. Dia tidak mahu membuang masa lagi. Sudah terlalu lama dia bercuti. Itu pun cuti tanpa gaji. Adam mengatakan gajinya selama dia bercuti itu akan dibayar oleh suami kesayangannya. Auni hanya tersenyum tatkala diusik oleh majikannya.

Perhatiannya pada kerja terganggu dek bunyi yang datang daripada Xperia yang menandakan ada mesej baharu. Auni berdebar-debar di saat dia melihat nama yang tertera pada skrin. Sarah. Mesej itu segera dibuka.

Jangan lupa temu janji kita.

Keluhan berat terpacul daripada bibir Auni. Xperia segera disimpan ke dalam tas tangannya selepas disetkan kepada mod senyap. Dia tidak mahu membaca mesej atau menerima panggilan daripada Sarah. Dia sudah bertekad. Larangan Najwan tidak akan diingkarinya. Tidak sama sekali.

“ AH!”

Auni dipusing kasar lantas tubuhnya terdorong mengenai pintu keretanya. Dia bungkam tatkala melihat susuk tubuh seseorang yang amat dikenalinya sedang berdiri betul-betul di hadapannya. Sarah! Sebelah tangannya dipegang kuat oleh Sarah mengakibatkan Auni tidak mampu untuk melepaskan dirinya daripada perempuan itu. Sebelah lagi tangannya pula sarat dengan barangan miliknya.

“ Akak! Apa Kak Sarah buat kat sini?”

Hati Auni membisikkan resah sewaktu melihat senyuman yang Sarah tujukan kepadanya. Ada sesuatu yang menakutkan di sebalik senyuman itu. Senyuman yang penuh dengan misteri. Suatu misteri yang tidak mampu bagi Auni untuk singkapkan.

“ Kenapa tak datang jumpa akak?”

Muka Auni berkerut menahan kesakitan. Bertambah kuat cengkaman Sarah pada pergelangan tangan kirinya. Dia cuba untuk melepaskan dirinya daripada wanita itu namun Sarah lebih bijak menguasai keadaan. Auni tersepit di antara keretanya dan Sarah.

“ Kenapa tak datang jumpa akak?” Sarah mengulangi soalannya. Matanya menyeringai memandang Auni dengan senyuman yang menakutkan.

“ Saya…” Auni bingung tidak tahu ingin memberi alasan apa. Sakit pada pergelangan tangannya semakin memeritkan. Tenaga Sarah seakan-akan tenaga lelaki. Kenapa dengan perempuan ni?

Auni ingin menjerit untuk meminta tolong. Tapi kawasan yang menempatkan tempat kerjanya itu sudah lengang. Tiada sesiapa yang boleh membantu.

“ Esok.. datang kondo akak..” Sarah tersenyum sinis, “… akak ada parti istimewa untuk Auni. Kalau Auni tak datang, jangan menyesal dengan apa yang akan berlaku nanti.”

Lengan Auni direntap kasar sebelum Sarah berlalu pergi dari situ. Nafas Auni terasa sesak. Cepat-cepat dia masuk ke dalam kereta. Auni beristigfar panjang untuk menenangkan hatinya yang gelisah.

Pap!

“ Ahh!”

Auni menjerit terkejut. Ada sesuatu dengan cecair berwarna merah melekat pada cermin keretanya sebelum turun secara perlahan-lahan lalu hilang daripada pandangan. Teragak-agak Auni membuka pintu kereta. Sekali lagi dia mengalami kejutan.

Usus binatang yang masih berdarah betul-betul berada di atas tanah!

Dada Auni terasa perit. Tanpa sebarang pilihan Auni terus keluar daripada keretanya. Kelam kabut dia mengelap kesan darah yang masih melekat pada pintu kereta. Sesekali dia mencuri pandang. Risau sekiranya Sarah akan muncul sekali lagi dan membuat kejutan yang boleh menyesakkan lagi nafasnya.

Ya Allah… tolonglah… tolonglah… astagfirullah…

Swift terus dipandu meninggalkan kawasan itu. Auni tidak sanggup untuk berlama-lama lagi. Dia harus segera pulang. Hanya rumah sahaja tempat yang dirasakan selamat untuknya kini. Tubuhnya menggigil jika dia terkenangkan apa yang terjadi. Pergelangan tangan kirinya juga masih lagi sakit kerana cengkaman kuat Sarah.

Auni hanya boleh menarik nafas lega selepas Swift memasuki perkarangan rumah. Najwan sedang bersantai di bangku taman tunggal yang diletakkan bersebelahan dengan pintu masuk rumah. Tablet Samsung berada di tangan lelaki itu. Melihatkan sahaja Auni sudah menghentikan keretanya, terus sahaja dia bangun lantas mendapatkan Auni.

“ Assalamualaikum, sayang. Selamat pulang,” ucap Najwan seraya mengucup dahi Auni. Auni bersalaman dengan suaminya. Wajah Auni kelihatan pucat. Najwan tersengih.

“ Letih sangat ya? Dah, jom masuk,” kata Najwan. Dia mengambil barangan milik Auni lalu menarik tangan Auni untuk masuk ke dalam. Langkah Najwan terhenti di saat dia mendengar isterinya mengaduh kesakitan. Pegangan tangannya terlepas.

“ Nini?”

Najwan kebingungan. Auni terus membuat wajah selamba. Nanti tidak pasal-pasal suaminya dapat menghidu ada sesuatu yang tidak kena dengannya. Dia tidak mahu menghebohkan mengenai perlakuan Sarah terhadapnya tadi. Rasa sakit pada pergelangan tangan kirinya cuba ditahan.

“ Nini, kenapa ni? Tangan Nini sakit ke?” Najwan menyoal risau. Dia baru sahaja menarik tangan kiri Auni untuk masuk ke dalam rumah, namun secepat itu juga Auni menarik tangannya dan mengaduh kesakitan.

Auni menggeleng pantas. Dia terus mengukir senyum plastik. Najwan mendiamkan diri. Tiada guna dia memaksa jika Auni tidak mahu memberitahu apa-apa. Walau bagaimanapun dia akan terus menyoal Auni malam ini. Biarlah isterinya berehat dahulu.

Auni didudukkan di atas sofa. Leganya kerana dapat berehat. Najwan pula menghilangkan diri ke dapur sebelum kembali dengan segelas jus oren. Gelas itu disua kepada Auni sebelum dia mengambil tempat di sebelah isterinya.

“ Ni, bayi kita sihat tak? Bayi kita dah makan belum?” Najwan mengusap perut Auni yang kian membesar dari hari ke sehari. Auni tersenyum lega kerana Najwan tidak terus mengasaknya dengan soalan. Seronok dia melihat wajah gembira suaminya bercakap-cakap dengan bayi yang masih berada dalam kandungan.

“ Mama nak makan masakan papa tak?” Najwan mencuit dagu isterinya. Auni tergelak. Gembira betul suaminya dengan gelaran baharu yang akan digunakan dalam masa beberapa bulan akan datang.

“ Tak apa ke? Dah banyak kali abang masak untuk minggu ni,” Auni bertanya serba salah. Dia sudah jarang memasak untuk mereka berdua kerana Najwan pula yang mengambil alih tugasnya itu.

Najwan tersenyum. “ Tak apalah. Tak sampai hati nak biarkan Nini letih kat dapur tu. Nini nak makan apa?”

Manjakan isteri tercinta dengan menghidangkan masakan yang dimasak oleh si suami. Bukankah itu suatu perkara yang bagus? Najwan gelak dalam hati.

“ Ikut suka abanglah. Nini tak kisah,” balas Auni.

“ Okey. Banyak lagi bahan basah kat dapur tu. Nini rehat dulu ya? Dah solat Asar kan? Lepas ni mandi dan tunggu abang untuk solat sama-sama, okey?” Najwan senyum buat muka comel. Auni mengekeh ketawa. Pipi suaminya dicium.

“ Baiklah encik suami. Terima kasih,” ucap Auni gembira. Hilang seketika resahnya gara-gara pertemuannya dengan Sarah tadi.

“ Sama-sama kasih. Abang nak pergi masak ni, Nini rehatlah dulu,” kata Najwan seraya bangun daripada sofa. Sempat lagi dia mencium dahi isterinya sebelum berlalu ke dapur. Auni tersenyum bahagia.

Melihat sahaja Najwan sudah masuk ke dapur, Auni menyelak sedikit lengan jubahnya. Pergelangan tangan kirinya direnung. Lengannya berbekas tanda kemerah-merahan yang agak ketara. Auni mula cuak. Macam mana nak jawab kalau Najwan bertanya lagi?

Dan, Auni tidak sedar. Najwan sedang memerhatikan setiap kelakuannya dari pintu dapur. Dia mengeluh. Apa yang telah terjadi?

USAI solat Maghrib secara berjemaah dan mengaji al-Quran, Najwan mengiringi Auni untuk turun ke bawah. Hidangan makan malam sudah disediakan sebelum masuk waktu Maghrib lagi. Dia mengerling ke arah pakaian yang tersarung pada tubuh Auni. Sehelai kemeja T berwarna merah jambu yang longgar berserta skirt hitam paras lutut. Sehelai kardigan lengan panjang yang berwarna kelabu turut disarung oleh isterinya.

“ Nini sejuk ke? Nini pakai kardigan tu,” Najwan berpura-pura menyoal. Walhal dia mengerti, Auni ingin menyorokkan kesan merah pada pergelangan tangannya.

Sebelum menyarungkan kain telekungnya lagi Auni sudah mengenakan kardigan lengan panjang itu. Najwan hanya menunggu masa yang sesuai untuk bertanya.

Auni tarik senyum namun kelihatan hambar pada pandangan Najwan. Tidak ceria seperti kebiasaan. Memang sesuatu telah berlaku kepada isterinya itu.

“ Sejuk sikit malam ni,” balas Auni perlahan. Najwan mengangguk sahaja.

Dengan penuh tertib Najwan melayan isterinya makan. Sesekali gelak ketawa mereka akan kedengaran di ruang makan. Najwan senang hati apabila melihat isterinya gembira seperti itu. Hatinya pula masih lagi resah selagi tidak mendapatkan jawapan daripada Auni. Disabarkan hatinya sebaik mungkin.

Selesai sahaja makan malam, Najwan meminta Auni menunggunya untuk solat Isyak sementara dia membasuh pinggan mangkuk yang sudah kotor. Auni menurut sahaja. Pada asalnya dia ingin membantu Najwan tetapi Najwan menghalaunya naik ke atas pula. Terpaksalah Auni menurut.

Malam itu mereka menghabiskan masa di dalam bilik sahaja. Auni tidak larat untuk memikirkan apa-apa. Dia mahu mengosongkan fikirannya daripada pertemuan dan ancaman Sarah terhadapnya. Auni duduk sahaja di sofa untuk membaca novel sementara Najwan turun ke dapur selepas mereka solat Isyak.

“ Nini,” Najwan menyapa dengan sebekas La Cremeria Chocolate Hazelnut Temptation di tangan kanan. Dia mengambil tempat di sebelah Auni yang sedang membaca Fractured karya Dani Atkins.

Lama Auni merenung pada bekas aiskrim itu. Dahinya berkerut.

“ Abang memang nak berat badan Nini naik ya?” Auni bertanya berterus-terang. Gelak Najwan menjadi balasan soalannya. Auni mencebik. Geram dengan Najwan yang sedang mengetawakannya.

“ Tak adalah sayang. Abang nak kongsi dengan Nini, bukan romantik namanya tu?” ucap Najwan selepas menyedari wajah isterinya masih lagi cemberut.

“ Romantiklah sangat,” balas Auni tersenyum.

Tak boleh tarik muka lama-lama dengan Najwan. Nanti dia pula yang ikut sama tergelak.

Bekas ais krim itu dibuka. Najwan menghalakan sudu yang sudah berisi dengan aiskrim ke arah isterinya. Auni mula tersenyum manja lalu membiarkan sahaja Najwan menyuapnya. Aiskrim itu cair di dalam mulutnya. Sedapnya!

“ Nah.”

Najwan menyua sudu itu kepada Auni. Auni ketawa. Dapat menangkap maksud suaminya.

“ Nak Nini suap ya?” Auni mengambil sudu itu lalu diambil sedikit aiskrim. Najwan tersengih lantas mengangguk.

“ Abang pun nak juga manja dengan Nini. Ingat Nini seorang aje yang boleh manja dengan abang?” balas Najwan selamba. Auni menggelengkan kepalanya. Ada-ada sahaja suaminya itu.

Habis juga aiskrim di dalam bekas itu dimakan oleh mereka. Najwan meletakkan bekas ais krim dan sudu tersebut di atas meja kecil yang berhadapan dengan sofa. Dia duduk bersandar, kepalanya dihala ke arah Auni. Niat Auni untuk menyambung pembacaannya terhenti apabila perasan sudah lama Najwan merenungnya sebegitu.

“ Kenapa dengan abang?” Auni bertanya. Dia turut duduk bersandar dan menghalakan kepala ke arah Najwan. Kakinya diangkat ke atas sofa untuk duduk bersimpuh.

Diam sahaja Najwan tanpa menjawab pertanyaan isterinya. Dia mengambil tangan kiri Auni. Auni diam tanpa mampu berkata apa-apa sewaktu lengan kardigannya disingsing hingga ke pangkal siku. Matanya jatuh pada kesan biru gelap yang baru sahaja timbul.

“ Sakit sangat ke?” Najwan melalukan jarinya pada kesan lebam itu. Air muka Auni berubah sedikit. Dia tunduk saat Najwan merenung terus ke matanya.

“ Kenapa nak sorok daripada abang? Macam mana boleh jadi macam ni?” lembut Najwan bertanya. Pipi Auni diusap perlahan.

Auni tidak mampu untuk mengatakan apa-apa. Dia mahu menyorokkan mengenai pertemuannya dengan Sarah petang tadi. Biarlah perkara itu menjadi rahsia. Auni tidak mahu kecoh-kecoh.

Najwan mengeluh kerana Auni tidak memberikan sebarang reaksi. Dia bangun lalu menuju ke meja solek isterinya. Najwan mengambil ubat gamat daripada laci meja itu sebelum kembali ke sofa.

“ Tahan sikit ya,” kata Najwan. Nadanya masih lagi lembut biarpun dia agak kecewa kerana Auni masih belum mahu berterus-terang dengannya. Auni hanya mengangguk. Dia masih tidak mampu untuk berbicara.

Berhati-hati Najwan menyapu ubat itu di sekitar pergelangan tangan kiri Auni lantaran tidak mahu Auni merasa perit. Auni hanya mampu memandang sayu kepada perlakuan suaminya. Najwan terlalu baik. Lelaki itu sabar sahaja dengan kerenahnya.

“ Abang…”

Najwan mengangkat wajah. Fokusnya kepada kesan lebam di tangan Auni beralih kepada wajah suram isterinya. Senyumannya menguntum.

“ Hei.. Kenapa muka monyok ni?”

Auni bingung. Dia tidak pasti sama ada dia perlu menceritakan mengenai kejadian petang tadi atau pun tidak kepada suaminya. Auni ingin mengelak daripada membuat lelaki itu risau akan dirinya. Tambahan pula masalah Najwan dengan Sarah sendiri pun belum selesai. Dia tidak mahu menambah masalah suaminya.

“ Janganlah buat muka murung macam ni…” Najwan menunduk, lalu meletakkan sebelah telinganya rapat pada kandungan Auni, “… nanti bayi tak suka. Kesian bayi kita kalau mama sedih macam ni.”

Hanya Allah sahaja yang tahu betapa bahagianya Najwan setiap kali dia merenung kandungan isterinya. Suatu perasaan indah yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata akan memenuhi segenap hatinya. Tidak lama lagi akan lengkaplah keluarga yang mereka bina sebaik sahaja bayi ini lahir. Semoga anaknya dapat dididik untuk menjadi anak yang soleh. Itulah impiannya selepas mengetahui berita kehamilan isterinya.

“ Nini minta maaf.. abang…” Auni mengetap bibir. Rasa bersalah semakin mencengkam hatinya namun dia lebih rela menanggung perasaan itu daripada menambah beban masalah suaminya. Biarlah. Asalkan Najwan tidak diheret sama dalam masalahnya.

“ Dahlah, tak ada apa-apalah. Tapi, kalau Nini rasa dah sedia nak kongsi dengan abang, abang ada. Sentiasa ada untuk Nini, okey sayang?” Najwan bangun untuk menghadap Auni. Wajah yang sering tersenyum manis untuknya itu hanya muram sahaja malam ini dan ianya menyakitkan hati Najwan kerana dia tidak mampu untuk membawa senyuman manis itu kembali.

Kepala Auni diangguk perlahan. Najwan ketawa perlahan. Dia bangun daripada sofa. Tangannya mencapai bekas aiskrim tadi.

“ Abang nak ke dapur kejap. Kalau Nini nak tidur, tidurlah dulu. Abang tengok Nini penat sangat malam ni,” kata Najwan separuh memujuk. Auni mengangguk sahaja. Tidak terluah kata-kata yang ingin diucapkan kepada suaminya.

Auni bangun untuk menuju ke katil. Benar kata Najwan. Dia teramat penat untuk hari ini. Penat dari segi fizikal kerana tidak mendapat rehat yang cukup apatah lagi dengan sakit pada pinggangnya untuk menampung berat kandungannya. Penat dari segi mental kerana perbuatan Sarah kepadanya. Sungguh. Dia penat.

Selimut ditarik untuk menutupi badannya. Namun perbuatan Auni terganggu dengan bunyi mesej masuk daripada Xperia. Hatinya berasa tidak enak tetapi dia terpaksa juga melihat isi kandungan mesej itu. Adakah Sarah? Tepat jangkaan Auni. Nama Sarah tertera sebagai penghantar mesej. Terketar-ketar Auni menekan skrin untuk membaca mesej tersebut.

Ingat apa yang akak beritahu tadi?

Jumpa esok.

Xperia terjatuh ke atas lantai. Nafas Auni tercungap-cungap. Ada maksud yang tersembunyi di sebalik mesej Sarah. Apa yang Auni takutkan, adakah Sarah fikir dia yang merosakkan ‘hubungan’ Sarah dan Najwan?

Tak! Tak! Abang tak pernah ada hubungan dengan dia! Tak! Dia tipu!

Auni menutup wajahnya dengan selimut. Tubuhnya menggigil ketakutan.

Dia mental! Jangan terpengaruh dengan dia Auni! Jangan sesekali! Jangan biarkan dia kacau bilaukan perasaan kau!

Kedengaran hatinya berbisik sebagai penguat semangat. Auni mengeluh. Dia mengalami kesukaran untuk bernafas. Kedua-dua tangannya dicengkam ke dada. Penat dia memikirkan di sebalik setiap tindak tanduk Sarah. Apa yang perempuan tu nak?

Terasa lembutnya sentuhan pada sebelah bahunya. Perlahan-lahan Auni menurunkan selimut yang menutupi wajahnya. Najwan sedang duduk di atas katil di sebelahnya. Wajah suaminya berkerut jelas menunjukkan kerisauan yang sedang melanda fikirannya.

“ Nini… Nini pasti Nini okey?”

Sewaktu dia masuk kembali ke dalam bilik, Najwan merasa tidak sedap hati apabila melihat Auni menyelimuti seluruh tubuhnya dengan selimut. Ianya seakan-akan tanda untuk menguatkan lagi rasa tidak enak di hatinya. Tambah Najwan terkejut tatkala melihat wajah isterinya semakin pucat.

Auni menggeleng. Dia tersenyum lemah. Lengan suaminya dicapai.

“ Temankan Nini tidur?”

Najwan hanya mampu mengeluh di dalam hati. Dia mengiyakan permintaan Auni. Najwan terus mengambil tempat tidurnya selepas mematikan lampu tidur utama. Tubuh isterinya dibawa rapat ke arahnya. Tubuh kecil itu sedang menggigil perlahan.

“ Jangan fikir apa-apa lagi. Tidur terus ya? Assalamualaikum,” ucap Najwan berserta kucupan pada dahi Auni. Kedengaran salamnya dijawab lemah. Wajah Auni direnung dalam malap cahaya lampu di meja kecil.

Macam mana abang nak selamatkan hati Nini kalau Nini tak benarkan abang berbuat demikian?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience