Chapter 48

Romance Completed 17236

BAB 48

“ NINI! Dah siap atau belum? Nanti menangis pula kalau abang tinggal!”

Najwan melaung dari tingkat bawah. Berulang kali dia melihat pada muka jam dinding di ruang tamu. Terasa lama pula Auni bersiap pada kali ini. Jarang benar isterinya mengambil masa yang agak lama untuk bersiap ke sesuatu tempat melainkan acara yang akan dihadiri itu teramat penting.

Sempat lagi Najwan berkaca di hadapan cermin besar yang dipasang di ruang tamu. Dia membetulkan kemeja T yang berwarna coklat gelap yang tersarung di tubuhnya. Sesekali dia membetulkan gaya rambutnya. Selepas berpuas hati, Najwan mengukir senyum. Dia ternanti-nanti akan Auni yang masih belum turun.

“ Nini!”

Nadanya naik lagi seoktaf namun Auni masih tidak membalas laungannya. Najwan mula rasa tidak sedap hati. Sudah agak lama dia menanti di bawah tetapi sehingga sekarang Auni masih belum turun-turun. Cepat-cepat dia berlari naik ke tingkat atas.

“ Nini?”

Hampir sahaja pintu biliknya yang ingin dibuka menghempap Auni yang baru sahaja membuka pintu dari dalam. Dia agak tergamam apabila menyedari wajah Auni yang pucat. Nampak berlainan daripada kebiasaannya.

“ Nini sakit ke? Pucat semacam aje ni,” tanya Najwan yang sudah mula risau. Dia meletakkan belakang tapak tangannya pada dahi Auni tetapi langsung tidak terasa bahang yang luar biasa di situ. Auni menepis perlahan tangan suaminya. Dia cuba mengukir senyum.

“ Nini okey aje. Jomlah, bang. Kalau lewat nanti, ramai orang pula.” Auni menarik tangan suaminya lalu turun ke tingkat bawah. Najwan tidak dapat menghalang tindakan isterinya walaupun dia tahu yang Auni tidak berapa sihat.

“ Nini okey? Kalau Nini tak sihat, abang bawa ke klinik.” Najwan menyoal sekali lagi sewaktu Prius sudah memasuki jalan besar. Auni ketawa mengekeh. Dia mengerling sekilas pada suami di sebelahnya.

“ Nini okey. Cuma tadi rasa pening sikit aje. Abang yang risau lebih-lebih,” balas Auni. Dia sengaja melunakkan suaranya. Mungkin perasaan risau suaminya akan berkurangan sedikit selepas ini.

Najwan menggumam perlahan. Dia mengangguk buat seketika. Tangan Auni yang berada di ribaan dipegang erat.

“ Kalau Nini rasa tak sihat, beritahu abang. Kalau bukan abang, siapa lagi yang akan jaga Nini? Nini dah jadi tanggungjawab abang sekarang. Allah dah amanahkan abang untuk jaga Nini. Abang tak nak kalau abang tak jaga Nini betul-betul, Allah akan persoalkan tentang tanggungjawab abang di dunia. Nini faham kan?” Najwan memujuk lembut. Dia mengukir senyum.

Auni mengangguk perlahan. Tidak berani rasanya dia untuk merenung ke wajah suaminya. Najwan terlalu baik. Kadang kala dia merasakan bahawa dia tidak layak untuk menjadi pasangan hidup lelaki itu.

“ Nini faham,” akhirnya dia menjawab juga. Auni merasakan bahawa matanya sudah digenangi dengan mutiara. Cepat-cepat dia mengesatnya, tidak mahu Najwan menyedari tindak-tanduknya.

Auni langsung tidak faham. Sejak akhir-akhir ini dia bukan sahaja mudah merasa letih, tetapi dia juga kerap tersentuh dengan sesuatu. Dia langsung tidak memahami perubahan dirinya kini.

Seperti biasa, Najwan yang akan bertindak sebagai penolak troli ke mana sahaja Auni melangkah. Biasanya mereka akan ke bahagian barangan dapur tetapi tidak kali ini tumpuan Auni hanya pada bahagian yang menjual peralatan dan bahan untuk membuat kek sahaja.

“ Nini nak buat tart keju biasa?” Najwan bertanya apabila melihat Auni sedang memilih krim keju yang tersenarai dalam senarai barangan yang ingin dibeli. Sesudah memilih, Auni meletakkan kotak krim keju itu ke dalam troli. Pertanyaan Najwan hanya dijawab selepas memilih krim keju tersebut.

“ Nini rasa, tart coklat dah okey. Budak-budak pun suka coklat ni,” jawab Auni. Dia meneruskan pencarian bahan yang diperlukan olehnya. Najwan tetap setia mengekori ke mana sahaja langkah isterinya.

Tidak ramai pelanggan di bahagian bahan membuat kek pada malam hari sebegini. Kebanyakan daripada mereka tertumpu pada bahagian-bahagian seperti bahagian pakaian wanita, kanak-kanak atau peralatan rumah.

“ Abang rasa… Nini patut pilih coklat atau strawberi?” tanya Auni secara tiba-tiba. Dia menunjukkan pada botol jem yang berada dalam tangannya. Sebotol jem strawberi berada dalam pegangannya..

“ Bukan tadi Nini kata nak buat tart keju coklat?” kata Najwan yang kelihatan kehairanan. Baru aje tadi dia menyoal isterinya dan Auni menjawab coklat. Takkanlah secepat itu Auni terlupa.

“ Nini tahu tu, tapi rasa macam keliru pula. Rasa macam nak pilih strawberi aje,” kata Auni. Berkerut-kerut dahinya melihat pada botol jem itu. Seperti hendak memilih barangan yang penting seperti telefon bimbit pun ada.

Tergelak juga Najwan kerana geli hati melihat kerut yang kelihatan lucu pada wajah isterinya. Dia melepaskan pegangannya pada troli dan mengambil botol jem itu daripada tangan Auni. Tersentak Auni dengan tindakan drastik Najwan. Dia melihat sahaja perlakuan suaminya itu.

“ Kenapa abang ambil?” tanya Auni hairan.

“ Macam ni ajelah, Nini. Apa kata kalau Nini buat tart keju coklat dan separuh lagi buat inti strawberi. Abang rasa lagi ramai yang suka. Kita variasikan rasa tart tu. 150 biji untuk tart keju coklat, 150 lagi untuk tart keju strawberi. Nini kata nak buat 300 biji kan?”

Auni teragak-agak mengangguk membenarkan kata-kata Najwan. Ada benarnya juga kata suaminya. Dia mengukir senyum manis.

“ Okey!”

Auni berjalan di sebelah Najwan yang sedang menolak troli ke kaunter. Tiba-tiba Najwan menghentikan langkahnya. Hayunan kaki Auni turut terhenti sama.

“ Kenapa?”

Najwan tersengih. “ Auni tunggu dulu kat sini. Abang nak ambil sesuatu kejap.”

Auni mengangguk sahaja. Dia mengalihkan troli berdekatan dengan dinding. Dibuatnya laluan orang ramai terganggu hanya kerana dia yang menunggu di tengah-tengahnya, boleh makan amarah sesiapa yang tidak bertimbangrasalah jawabnya.

Auni memerhati ke sekeliling. Sesekali dia merasakan dunianya seakan-akan berputar. Auni segera berpaut pada pemegang troli. Rasa loya yang dirasakan sejak dari dalam kereta lagi cuba ditahan sebaik mungkin. Sewaktu dia bersiap-siap sebelum ke pusat beli belah ini juga dia sudah merasa badannya tidak seperti kebiasaan.

Rasa loyanya semakin tidak dapat ditahan. Cepat-cepat Auni membuka tas tangan yang tergantung pada bahu kanannya. Dia mengeluarkan sebotol kecil Clorets dan menelan dua biji. Rasa gula-gula itu dapat membantu dia menahan loya buat masa ini. Auni tunduk sahaja ke lantai. Najwan pula masih belum muncul.

“ Auni?”

Auni mengangkat muka apabila mendengar namanya diseru seseorang. Dia ternampak hujung baju kurung seorang wanita. Terbeliak biji matanya apabila menyedari Sarah yang menegurnya.

“ Kak Sarah! Apa akak buat kat sini?” tanya Auni berpura-pura gembira.

Sejak hari terakhir dia di kondominium Sarah, dia tidak dapat melawan rasa syak wasangka pada wanita itu. Sarah memang baik dengan dirinya tetapi kadang-kadang Auni merasakan Sarah seakan-akan tidak sedar dengan apa yang dikatakan oleh dirinya sendiri. Persoalan mengenai mengapa dia menafikan kewujudan anaknya juga tidak dapat difahami Auni sedangkan dia mendengar perbualan Kak Sarah bersama-sama seorang anak kecil yang memanggilnya ibu.

“ Beli barang untuk anak akak. Dia kata esok nak buat majlis sikit,” jawab Sarah yang kelihatan gembira. Auni terkesima buat seketika. Sarah mengaku… akan anaknya? Tapi…

“ Oh… baguslah kalau macam tu. Saya pun ada beli barang sikit, hajatnya nak buat tart keju. Ada jamuan sikit kat tadika anak adik ipar saya,” jelas Auni jujur.

Walaupun dia tidak menyenangi akan kehadiran Sarah, tetapi dia tidak boleh menunjukkan perasaannya itu. Walau bagaimanapun, mungkin Sarah ada sebab-sebab yang tertentu kenapa dia menafikan mengenai anaknya tempoh hari. Mungkin juga Sarah tersalah cakap. Tambahan lagi, wanita itu terlalu baik akannya. Dia menghargai setiap layanan baik Sarah sewaktu dia bekerja mereka hiasan dalaman buat kondominium wanita itu.

“ Baguslah kalau macam tu. Akak pergi dulu, ya? Jangan risau, akak yakin tak lama lagi kita pasti akan bertemu kembali. Akak harap Auni akan gembira dengan kejutan yang akan datang,” ucap Sarah berteka-teki.

Wanita itu terus meninggalkan Auni yang kelihatan kebingungan dengan kata-katanya tanpa mengucapkan salam perpisahan. Auni memerhatikan sahaja pemergian wanita itu.

“ Nini?”

Sekali lagi Auni tersentak. Dia terkejut apabila melihat Najwan sudah muncul di hadapannya. Terkebil-kebil dia melihat Najwan yang muncul secara tiba-tiba di hadapannya. Tadi Sarah yang menyapanya secara tiba-tiba, baru sahaja Sarah pergi Najwan sudah terpacul di hadapannya.

“ Kenapa Nini nampak terkejut?” soal Najwan bingung. Dia baru aje datang daripada belakang isterinya. Nini ni, macam nampak pembunuh bersiri pun ada. Muka pucat pula tu.

Auni menggeleng perlahan. “ Tak.. tak ada apa-apa. Abang pergi ambil apa?”

Najwan tersenyum lantas menunjukkan sebekas Nestle’s La Cremeria Chocolate Hazelnut Temptation yang berada di tangan kanannya. Dia tersenyum lebar.

“ Dah lama tak makan aiskrim. Terliur juga abang bila tengok iklan kat TV.”

Kata-kata Najwan disambut dengan senyum Auni. Mengidam nak makan aiskrim sangatlah tu. Kalah ibu mengandung. Mereka beriringan ke kaunter. Sesudah membayar kesemua barangan yang dibeli, Najwan terus membawa Auni pulang ke rumah.

Najwan yakin bahawa isterinya tidak sihat tetapi Auni cukup degil. Dia tidak mahu dibawa ke klinik atau hospital. Tadi, dia ternampak Auni sedang bercakap dengan seorang wanita yang kelihatan mencurigakan. Sebaik sahaja dia bertentang mata dengan wanita itu yang bercakap berhadapan dengan Auni, terus sahaja wanita itu beredar dari tempat itu. Tidak sempat pula untuk dia mengecam siapakah wanita tersebut.

SEPERTI kali pertama Auni dan Najwan menyertai Hari Keluarga di tadika E-jat beberapa bulan lepas, kemeriahan pada hari ini tidak ada kurangnya juga. Kebanyakan ibu bapa yang hadir turut membawa sedikit buah tangan untuk dikongsi bersama-sama tetamu yang lain. Auni turut tidak ketinggalan menyumbangkan tart keju yang dibuatnya semalam.

“ Mama! Papa!”

E-jat yang sudah mengenakan topi berlogo kepala Transformer berwarna biru sedang melompat-lompat riang di antara mereka berdua. Najwan dan Auni tidak dapat mengatakan tidak kepada ketawa jika E-jat berada bersama-sama mereka. Setiap tindak tanduk E-jat pasti mengundang tawa mereka berdua.

“ Lepas ni E-jat ada bola sepak! Papa dan mama kena tengok E-jat main! E-jat nak jadi macam Messi!” kata E-jat riang. Dia membuat gaya menggelecek bola. Najwan menarik topinya ke bawah lalu menutupi sebahagian besar muka E-jat.

“ Nak jadi macam Messi pun, pastikan E-jat main jangan sampai cedera. Nanti susah hati pula mama E-jat ni,” kata Najwan seraya memandang pada Auni. Auni buat muka tidak layan. Najwan tergelak perlahan.

Mana tidaknya, setiap kali E-jat cedera atau luka kerana bermain bola sepak atau aktiviti lasak yang lain, sudah semestinya Auni yang akan kalut semacam kerana bimbangkan E-jat. Gaya Auni sudah seperti ibu yang turut bimbang sekiranya E-jat terluka.

“ Yalah! Yalah! Mama, papa, jom teman E-jat jumpa ibu Qausar. Kali ni ibu dia datang. Mama dan papa tak pernah jumpa ibu dia kan?” ajak E-jat bersungguh-sungguh. Dia menarik lengan Najwan dan Auni lalu berlari ke bawah sebatang pokok yang agak jauh daripada tempat orang ramai berkumpul. Najwan dan Auni tidak dapat menolak ajakan E-jat.

Seorang wanita bertudung putih sedang melayan Qausar makan di bawah pokok yang rendang itu. Tetapi mereka tidak nampak wajahnya kerana wanita itu duduk membelakangi mereka.

“ Qausar! Saya bawa mama dan papa saya,” kata E-jat gembira. Qausar yang ternampak E-jat turut kelihatan gembira. Anak kecil itu menarik ibunya ke belakang. Sebaik sahaja melihat wajah itu, Auni terpaku. Sarah?

“ Auni? Auni ke tu?” tanya Sarah yang kelihatan teruja. Auni mengangguk perlahan. Matanya berlabuh pada wajah naif Qausar. Jadi, inilah anak Sarah? Kenapalah mereka boleh bertemu sedemikian rupa? Apa semua ni?

Sarah berjalan setapak demi setapak mendekati mereka. Dia berhenti tidak jauh daripada kedudukan Auni dan Najwan. Pandangan matanya berubah arah.

“ Wan?”

Mata Sarah melekat pada wajah Najwan dengan senyuman pada wajahnya. Namun pandangan Najwan pada Sarah kelihatan tajam tidak setenang wajahnya. Seakan-akan haiwan pemangsa yang sedang memerhatikan mangsanya.

“ Abang kenal… Kak Sarah?” Auni menyoal perlahan. Dia tergamam apabila menyedari riak serius pada wajah suaminya.

Auni pula kelihatan resah. Dia merenung silih berganti pada wajah Sarah dan Najwan. Adakah mereka berdua pernah bertemu? Kalau benar, kenapa Sarah sahaja yang kelihatan teruja apabila ternampak Najwan tetapi suaminya pula berubah dingin. Apa semua ni?

“ Awak dah tak cam saya ke, Wan? Tak cam Qausar? Budak ini kan anak kita,” kata Sarah lagi.

Kata-kata Sarah terasa menikam terus ke jantung Auni. Wajahnya berubah pucat. Namun riak muka Najwan tetap tidak berubah. Matanya jatuh pada wajah gembira Qausar yang sedang bermain-main dengan E-jat tidak jauh daripada mereka. Jauh di sudut hatinya dia merasa tersentuh apabila melihat wajah polos itu.

Dia anak kau ke?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience