Chapter 9

Romance Completed 17247

BAB 9

LAMA Najwan merenung wajah sembap gadis kecil molek di hadapannya itu. Niatnya untuk bertanya mengenai apa yang terjadi kepada Auni tadi terbantut saat melihat air mata Auni masih lagi belum berhenti mengalir.

Najwan membawa Auni ke sebuah restoran untuk berbuka puasa bersama-sama. Niatnya hanya untuk menemani Auni pulang ke rumah tetapi tidak sanggup pula dia melihat keadaan Auni yang kelihatannya sedang bersedih. Tambahan lagi kehadiran lelaki yang ditemuinya tadi bersama-sama Auni mengundang curiga dalam hatinya. Namun Najwan cuba untuk berlagak tenang. Penjelasan yang baik diperlukan untuk menyelesaikan masalah yang mengundang.

Najwan memilih tempat yang agak tersorok untuk mereka berbual-bual. Yang pasti, Najwan tidak mahu mereka menjadi tumpuan ramai dalam restoran tersebut.

“ Auni, boleh tak awak berhenti menangis? Saya tak reti nak pujuk orang,” kata Najwan perlahan. Matanya masih melekat pada wajah Auni.

Auni hampir tergelak. Boleh Najwan bagi alasan macam tu?

“ Auni? Kenapa ni? Boleh beritahu saya?” berhati-hati Najwan bertanya.

Kalau E-jat, bolehlah aku pujuk dengan mainan, geletek dia ke. Ni aku nak pujuk dengan apa? Mainan juga ke? Nak geletek macam aku geletek E-jat, tak sah lagi.

“ Auni?” Lembut nada itu memanggil.

Auni mengangkat wajah. Air matanya dilap. Malu pula menangis depan Najwan. Sabar Najwan menunggu Auni membuka bicara.

“ Awak… jangan marah ya?” Perlahan Auni menuturkan ayat. Bimbang sekiranya apa yang bakal diceritakan kepada Najwan kelak akan mengundang salah faham lelaki itu.

Najwan tersenyum tenang padahal dalam hati, hanya Tuhan yang tahu betapa gelisahnya hati. “ Pasal lelaki tadi tu ke? Dia bekas kekasih awak ke? Atau kekasih awak sekarang?”

Janganlah dia kata lelaki tadi tu teman lelaki dia. Menangis tak berlagulah aku. Pengantin tak jadi nanti.

“ Dia tak pernah jadi kekasih saya. Dia senior saya dulu,” jawab Auni perlahan. Masih lagi takut untuk memulakan bicara.

“ Jadi, dia suka awak?” Air muka Najwan masih lagi menampakkan ketenangan.

“ Awak, saya nak beritahulah ni. Tapi… tolong jangan marah ya? Saya tak nak ada salah faham antara kita,” balas Auni. Najwan tersenyum lantas mengangguk.

Antara kita? Bagus! Dia dah terima aku betul betul ke ni? Najwan gelak dalam hati.

“ Awak jangan marah ya?” Belum apa-apa lagi Auni dah cuak.

“ Awak tak cerita lagi, macam mana nak tau saya marah ke tak?”

Auni ketawa perlahan. Najwan senyum lagi. Boleh pun ketawa.

“ Beritahu saya, saya akan dengar daripada A hinggalah Z barulah saya menyampuk, okey? Saya tak marah, ya?”

Auni kerutkan dahi. Takkan marah? Najwan ketawa perlahan melihatkan perubahan pada wajah Auni.

“ Tak percaya? Okey. Dengan ini saya berjanji dengan Cik Auni, Encik Najwan tidak akan memarahi Cik Auni. Setuju?”

Najwan mengangkat tangan kanannya. Auni tergelak lagi. Macam macam la dia ni.

“ Okeylah, saya cerita. Sebenarnya dia…”

Apa sahaja yang berkaitan dengan Wafiy diceritakan kepada Najwan. Auni tidak faham akan dirinya. Kalau boleh dia mahu merahsiakan mengenai Wafiy daripada Najwan. Tetapi nasihat Adda tempoh hari telah membuatkan dia berfikir lama. Sebelum sesuatu yang tidak baik terjadi pada masa hadapan, lebih baik dia bersikap jujur dengan Najwan.

Lama dia bercerita sehinggalah waktu berbuka puasa sudah masuk. Wajah tenang Najwan sepanjang tempoh dia bercerita mengundang damai di hati Auni. Dia bersyukur kerana Najwan tidak cepat melatah dengan apa yang terjadi. Tenang sahaja lelaki itu mendengar cerita dan penjelasan Auni. Najwan hanya membuka mulut selepas dia selesai mendengar ceritanya.

“ Maaf, sebab dah ambil masa awak,” ucap Auni. Najwan senyum lagi.

Mereka berdua sedang berdiri di hadapan pintu pagar rumah Auni. Swift sudah selamat diparkir di dalam halaman rumah. Prius Najwan masih berada di luar rumah Auni. Hanya Alin sahaja yang berada di rumah. Ummi dan walid sudah ke masjid untuk solat terawikh berjemaah bersama-sama jiran-jiran yang lain.

Awal-awal lagi Najwan sudah menelefon walid Auni. Memohon kebenaran untuk berbuka puasa bersama-sama Auni. Nasib baik walid tidak banyak soal. Terus sahaja bersetuju asalkan Auni pulang dengan selamat. Selesai sahaja berbuka puasa, Najwan mengajak Auni singgah untuk solat Maghrib di sebuah masjid dahulu sebelum mengiringi Auni pulang.

“ Tak apa. Awak masuk lepas ni, mandi, solat, rehatkan badan. Tak payah fikir sangat. Okey?” lembut Najwan menutur kata.

Auni senyum malu. Baik juga bakal suami aku ni?

“ Baiklah Encik Najwan,” balas Auni. Najwan senyum lagi.

“ Kalau ada apa-apa lagi pasal Wafiy tu, beritahu saya. Saya tak marah, okey? Lagipun bukannya awak nak pergi kahwin lari dengan Wafiy tu,” kata Najwan selamba.

Auni tarik muka. Kahwin lari? Dengan Wafiy pula tu. Tak nak!

“ Okey. Awak baliklah dulu. Terima kasih. Assalamualaikum, selamat malam,” ucap Auni. Najwan mengangguk.

“ Waalaikumussalam. Selamat malam.”

Senyum Najwan tidak lekang daripada wajahnya. Auni mengangguk perlahan. Dia terus berjalan untuk masuk ke dalam rumah. Najwan masih lagi setia menunggu di luar pintu pagar rumah keluarga Auni. Ingin diajak masuk, tidak sopan pula dipandang orang. Apatah lagi hanya Auni dan Alin sahaja yang berada di dalam rumah.

Masuk sahaja ke dalam rumah, Auni mengintai Najwan daripada balik langsir. Najwan masih lagi di luar rumah. Memastikan Auni masuk ke dalam rumahnya dengan selamat sebelum pulang.

Ya Allah, aku bersyukur sangat. Ternyata dia seorang yang sabar. Adakah ini yang terbaik?

Saat dia terkejut kerana menyedari kehadiran Najwan tadi sewaktu Wafiy datang memulakan sengketa, Najwan tidak terus bertanya soalan kepadanya. Dengan lembut lelaki itu mengatakan niat untuk membawa Auni pulang bersama-samanya. Dengan sabar, Najwan menunggu Auni memulakan bicara.

Adakah dia memang sesabar ini?

Auni terkejut dengan bunyi mesej masuk daripada Xperia. Nombor yang tidak dikenali muncul pada skrin. Cepat-cepat dia membuka mesej itu. Auni menarik senyum. Daripada Najwan rupanya.

Dapat nombor awak daripada ummi. Jaga diri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience