Chapter 51

Romance Completed 17236

BAB 51

AUNI tercegat di hadapan pintu besar yang menghubungkan kawasan luar Al-Azwar dengan lobi syarikat berkenaan. Dia menarik nafas panjang. Cuba untuk mengurangkan debaran pada dadanya. Nafasnya dihembus perlahan.

Ini merupakan kali pertama dia ke sini selepas bergelar isteri Najwan walaupun sudah lama usia perkahwinan mereka. Selepas merasakan dirinya tenang sedikit, Auni terus masuk lalu manuju ke kaunter pertanyaan.

“ Selamat datang ke Al-Azwar cik. Boleh saya bantu?”

Seorang gadis yang bertag nama Nurin ramah melayannya di kaunter. Auni tersenyum. Dia masih lagi gugup.

“ Encik Najwan Faqqimi ada? Atau dia sudah keluar untuk makan?”

Nurin tersenyum walaupun dia kehairanan kenapa gadis di hadapannya ini mencari salah seorang orang paling penting di syarikat ini. Adakah gadis ini salah seorang kenalan Encik Najwan? Atau mungkin isteri beliau yang sering menjadi buah mulut para pekerja perempuan di sini kerana ramai yang mengatakan mereka berdua terlalu padan untuk digandingkan bersama.

“ Encik Najwan masih ada di pejabatnya. Cik ada temu janji dengan Encik Najwan ke?” Nurin terus menyoal. Soalan itu dibalas dengan gelengan.

“ Tak perlu beritahu pada dia, boleh? Saya isteri dia. Boleh beritahu saya pejabat Encik Najwan di tingkat berapa?”

Nurin kelihatan terkejut dengan pengakuan gadis comel di hadapannya itu. Namun dengan segera dia memaniskan wajah. Selepas memberi panduan buat seketika, Auni terus berlalu dari situ dengan ucapan terima kasih.

Sampai sahaja Auni di tingkat yang menempatkan pejabat suaminya, debarannya kian melanda. Tidak ramai orang yang berada di tingkat ini. Mungkin mereka sudah turun untuk rehat dan makan tengah hari. Perlahan-lahan dia menapak untuk mencari pejabat Najwan.

Auni berhenti di hadapan sebuah pintu. Nama dan jawatan Najwan tertera pada plak nama yang tergantung pada muka pintu. Dengan lafaz Bismillah, Auni membuka daun pintu dengan perlahan. Dia terpaku di hadapan muka pintu.

Najwan sedang lena di sofa yang ditempatkan di dalam pejabatnya. Auni menggagahkan dirinya untuk masuk ke dalam. Dia terpaku dengan apa yang dilihatnya dalam pejabat suaminya.

Kurang daripada sepuluh bingkai gambar pelbagai saiz yang memaparkan foto mereka bersama-sama menjadi penghias di dalam pejabat itu. Hanya senyuman dan kebahagiaan yang terpancar daripada setiap foto berkenaan. Bukannya kedinginan atau kesengsaraan.

Abang…

Auni mendapatkan Najwan yang masih lena di sofa panjang. Dia duduk bersimpuh di hadapan suaminya. Jelas kelihatan kepenatan pada wajah bersih itu. Auni mengetap bibir. Rasa bersalahnya terhadap Najwan kian menebal.

Tangan kanan Najwan yang terletak merentangi dadanya ditarik perlahan oleh Auni, berhati-hati kerana tidak mahu lena suaminya terganggu. Tapak tangannya dan tapak tangan suaminya disatukan. Sebak terasa mencengkam dadanya tatkala Auni sedar sudah lama tangannya tidak berada dalam hangat genggaman suaminya. Dia mula tersendu-sedan.

Abang… Nini minta maaf.

Banyak perkara yang disesali Auni lantaran hubungan mereka yang dingin. Auni menyalahkan dirinya sebagai penyebab semua itu terjadi. Kalaulah dia tidak termakan hasutan Sarah, sudah tentu hubungan dia dan suaminya akan seperti biasa sahaja.

Auni tidak sedar sendunya didengari Najwan. Perlahan-lahan lelaki itu membuka kelopak mata. Telinganya menangkap suatu suara yang sentiasa dirindui. Tapak tangan kanannya juga terasa hangat dalam genggaman seseorang yang sentiasa dicintainya.

“ Ni.. Nini?”

Perlahan Najwan menyeru nama isterinya. Dia terkejut apabila melihat Auni sedang duduk bersimpuh di atas lantai berhadapan dengannya. Cepat-cepat Najwan bangun daripada pembaringannya. Tangannya tidak dilepaskan daripada genggaman Auni.

Auni terpaku apabila menyedari suaminya telah sedar. Wajah itu sedang menguntum senyum buatnya. Senyuman yang tidak akan sesekali pudar untuk Auni.

“ Nini… buat apa kat sini?”

Sungguh. Najwan terkejut kerana menyangkakan dia hanya bermimpi pada saat wajah Auni menjengah pandangannya. Namun Najwan sedar dia tidak bermimpi. Dia dapat merasakan hangatnya genggaman Auni pada tangannya. Seakan-akan tidak akan dilepaskan lagi.

“ Nini…”

Auni kematian kata-kata. Najwan masih lagi mengukir senyum. Dia mengelap mutiara yang bergenang pada tubir mata isterinya. Dahi isterinya dikucup lama.

“ Nini perlukan apa-apa ke?”

Auni diam. Tidak berani untuk berkata-kata. Dia masih mengumpul kekuatan untuk berbicara dengan suaminya. Lama mereka saling bertentangan mata sebelum mulut Auni kembali mengeluarkan bicara.

“ Nak makan sama-sama dengan abang… boleh?”

Najwan tergamam buat seketika. Namun senyumannya kian lebar. Dia tunduk untuk mengucup sekali lagi dahi isterinya. Dia mengucap syukur yang tidak terhingga dalam hatinya. Gembira kerana Auni sudah kelihatan seperti dahulu.

“ Boleh sayang. Anak kita pun nak makan juga, kan?”

Auni tersenyum pahit. Pantas dia bangun lalu leher suaminya segera dirangkul erat. Dia tidak dapat membendung air matanya lagi. Dia menangis teresak-esak pada bahu Najwan. Najwan terus membalas pelukan isterinya. Tubuh isterinya dibawa rapat ke tubuhnya.

“ Nini… rindu abang…”

Najwan terharu. Dia sungguh tidak menyangka bahawa sinar untuk bahagianya bersama Auni masih lagi bersinar di hadapannya. Setiap kata-kata yang keluar daripada bibir isterinya itu terlalu bermakna buat dirinya.

“ Abang pun.. rindukan Nini juga…”

NAJWAN melabuhkan duduk betul-betul di sebelah Auni yang hanya duduk dengan kedua-dua kakinya dirapatkan ke dada sejak daripada tadi lagi. Menyedari akan kehadiran suaminya, terus Auni memeluk lengan Najwan. Kepalanya dilentokkan ke bahu lelaki itu. Najwan tergelak perlahan.

“ Dah rindu abang balik?” Najwan sengaja mengusik. Hidung isterinya dicuit. Auni mengangguk perlahan. Agak malu untuk mengaku sebenarnya.

Sejak peristiwa di pejabatnya tadi, Auni semakin manja dengan dirinya. Najwan tidak putus-putus mengucap syukur. Dia teramat gembira kerana Auni sudah kembali kepada dirinya yang asal. Bukannya seperti minggu lepas. Hubungan mereka berdua juga sudah kembali pulih seperti sedia kala.

“ Nini minta maaf, abang…”

Najwan tersenyum. Ubun-ubun Auni dicium. Sejak tengah hari tadi juga Auni tidak habis-habis memohon maaf. Jelas di matanya betapa Auni menyesal dengan apa yang berlaku antara mereka.

“ Nini, abang tak nak dengar pasal itu lagi, boleh sayang? Cukuplah dengan apa yang terjadi. Abang dah bersyukur sangat sebab kita dah baik balik. Okey sayang?” pujuk Najwan lembut.

Auni mengangguk perlahan. Pelukannya pada lengan suaminya semakin kuat.

“ Tapi, boleh abang tahu kenapa Nini berubah fikiran?” Berhati-hati Najwan menutur kata. Dia tidak mahu hati Auni tergores dengan kata-katanya. Namun dia tidak dapat menahan diri daripada tidak menyoal soalan seperti itu.

Auni mengangkat wajah. Pandangan mereka saling bertaut. Redup pandangan si suami menerpa pada sepasang matanya. Dia menarik senyum.

“ Sebab Nini tahu yang Nini patut percayakan abang. Nini ingat yang abang pernah cakap, walau apapun yang berlaku, abang nak Nini percayakan abang. Mulai sekarang, Nini akan sentiasa percayakan abang. Nini pun tak nak sesekali rosakkan kepercayaan abang pada Nini,” balas Auni jujur.

Kerana sebaris ayat yang pernah diucapkan oleh Najwan lama dahulu itulah membuatkan Auni memberanikan dirinya untuk pergi ke syarikat Najwan. Hubungan mereka tidak akan pulih sekiranya hanya Najwan sahaja yang bersungguh-sungguh untuk memulihkan kembali keretakan hubungan mereka. Auni sedar yang dia terlalu menghargai ikatan perkahwinan antara dia dengan suaminya. Dia tidak mahu kehilangan apa yang dihargai kerana kesilapan dirinya sendiri.

Najwan meletakkan sebelah tangannya ke atas perut Auni. Wajahnya berseri-seri apabila mengenangkan ada tanda cinta mereka di dalam rahim isterinya. Apatah lagi selepas mendengar penjelasan daripada isterinya. Rasa bahagianya terasa semakin berganda-ganda.

“ Terima kasih untuk bayi kita… atau lebih daripada seorang?” Najwan kembali mengusik. Hidungnya digeselkan pada hidung Auni. Auni ketawa mengekeh.

“ Mana tahu lagi. Nini baru dua bulan hamil,” balas Auni dengan tawanya yang masih bersisa. Geli kerana diperlakukan seperti itu.

“ Ibu bapa kita dah tahu?” tanya Najwan. Rasa-rasanya keluarga kedua-dua belah pihak masih belum mendapat berita ini. Jika tidak dah tentu Najwan sudah mendapat berbakul-bakul pesanan daripada ibu supaya menjaga Auni dengan baik. Kepada baba juga tidak dimaklumkan walaupun mereka hanyalah berada di bawah bumbung syarikat yang sama.

“ Belum. Nini ingatkan nak beritahu lambat sikit. Hujung minggu ni ke? Yalah, tak elok gembira berlebih-lebih,” kata Auni. Najwan mengangguk sahaja.

“ Nini?” Nama itu diseru romantis. Auni hanya mengangguk perlahan sebagai respon. Sebelah tangan Najwan dimasukkan ke dalam seluar tiga sukunya. Dia mengeluarkan sesuatu.

“ Abang nak Nini dengar lagu ni,” kata Najwan seraya menunjukkan sebuah MP3 di hadapan Auni. Auni terdiam. Tertanya-tanya apakah lagu yang ingin ditujukan oleh Najwan kepadanya.

Najwan meletakkan sebelah fon telinga ke telinga kanan Auni manakala sebelah lagi dimasukkan ke dalam lubang telinga kirinya. Butang Play ditekan. Alunan muzik mula kedengaran menyapa pendengaran mereka. Mata Najwan tidak lepas daripada merenung wajah isterinya.

“ Tolong dengar elok-elok ya?”

Tangannya menggenggam erat tangan Auni.

Hard to find a way to get through, it's a tragedy

Pulling at me like the stars do, you're like gravity

Even if the wind blows

It makes it hard to believe

Auni merapatkan genggaman tangan Najwan. Dia mengenali lagu ini. Antara lagu kegemarannya. Lirik lagu ini amat bermakna bagi dirinya.

How you gonna love, how you gonna feel?

How you gonna live your life like the dream you have is real?

If you lost your way, I will keep you safe

We'll open up all the world inside, see it come alive tonight

I will keep you safe

Abang akan pastikan Nini sentiasa selamat. Walau apapun yang berlaku.

Doesn't even matter to you to see what I can see

I'm crawling on the floor to reach you, I'm a wreck you see

When you're far from home now

Makes it hard to believe

Dah lama hati Nini hanya untuk abang. Tapi Nini tak sanggup nak tengok abang merana sebab Nini andai suatu hari nanti, sesuatu yang buruk menimpa kita.

So how you gonna love, how you gonna feel?

How you gonna live your life like the dream you have is real?

If you lost your way, I will keep you safe

We'll open up all your world inside 'til you come alive tonight

I will keep you safe

Rasa? Aku cuma merasakan yang indah sahaja jika dia ada bersama-sama. Serikandi milikku seorang. Hanya dia.

We all fall down

We all feel down

'Cause rainy days and summer highs

The more we pray the more we feel alive

How you gonna love, how you gonna feel?

How you gonna live your life like the dream you have is real?

“ Abang tahu, apa yang Nini rasa tu sama macam apa yang abang rasa. Kan?” ucap Najwan perlahan lantas mengucup setiap jari isterinya yang masih digenggam erat. Auni tersenyum terharu.

How you gonna love, how you gonna feel?

How you gonna live your life like the dream you have is real?

If you lost your way, I will keep you safe

We'll open up all your world inside so you come alive tonight

I will keep you safe

I will keep you safe

I will keep you safe

“ Abang tak pernah menyesal jadikan Nini isteri abang. Jadi, abang minta Nini jangan salahkan diri Nini kalau ada apa-apa yang terjadi. Abang tak sempurna, tapi abang akan pastikan kebahagiaan kita akan sentiasa terpelihara.”

“ Nini tahu, abang. Nini pun ada tanggungjawab itu juga.”

Auni dibawa rapat ke tubuhnya. Air mata lelaki Najwan tumpah juga selepas sekian lama. Kehadiran Auni di dalam hidupnya tidak dapat diungkap dengan apa-apa. Isterinya sudah menjadi separuh daripada jiwanya. Cinta dan kasih sayang yang Auni berikan kepadanya terlalu tulus dan Najwan terlalu menghargai setiap apa yang Auni berikan kepadanya.

“ Abang sentiasa doakan kebahagiaan kita. Cuma... tolong. Jangan sesekali Nini lepaskan abang pergi, ya? Tunggu abang... walau di mana pun abang berada. Abang janji, abang akan pulang juga pada Nini.”

Auni mengangguk. Tubuh suaminya juga dipeluk erat. Dia merasakan kelainan dalam hangat pelukan Najwan dan setiap kata-kata yang diungkapkan oleh pemilik cintanya sebagai seorang isteri.

Ada suatu perasaan yang tidak dapat diungkap. Seolah-olah itu merupakan pelukan yang terakhir daripada suaminya dan Auni berasa takut. Takut akan kehilangan. Takut akan ditinggalkan.

Tidak akan sesekali dia melepaskan tangan yang sekian lama setia menghulurkan cinta yang ikhlas kepadanya. Akan digenggam erat tangan itu walau pelbagai badai datang melanda selepas ini. Insya-Allah. Itu janji Auni kepada suaminya yang tercinta.

“ Tidurlah, sayangku.”

Dan... moga Dia sentiasa pelihara keselamatan Nini. Sebab abang terpaksa pergi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience