BAB 53
PERLAHAN-LAHAN E-jat melangkah masuk ke dalam bilik tidur Najwan dan Auni. Tok ibu dan tok baba meminta dia tidur sahaja di rumah ini untuk menemani Mama Auni. Tanpa banyak soal, E-jat bersetuju. Apatah lagi sudah lama dia tidak bermanja dengan Mama Auni kesayangannya. Malangnya, Papa Najwan pula tiada.
“ Mama?”
E-jat menyapa perlahan. Dia melihat Mama Auni kelihatan tekun melipat kertas-kertas yang berwarna-warni menjadi bentuk swan di atas katil. Cepat-cepat E-jat memanjat naik ke atas katil. Dia betul-betul teruja apabila melihat origami swan pelbagai warna sedang bertaburan di atas katil besar itu.
“ Cantiknya mama! Mama buat untuk siapa ni?” E-jat mula menyoal. Dia bermain-main dengan salah satu origami swan yang berwarna merah. Auni tersenyum hambar. Dia melihat pada sekeping kertas yang belum dilipat lagi. Ada coretan tangan Auni di situ.
Nini tunggu abang
“ Mama buat untuk papa.”
Ringkas sahaja jawapan Auni. Nada suaranya juga bergetar. Dia merasakan air matanya mula bergenang kembali. Pantas Auni mengesat pelupuk matanya sebelum E-jat perasan akan kehadiran air matanya di situ. Auni menoleh ke meja kecil di sisi katil. Dia mencapai sebuah balang kaca sederhana besar yang terisi dengan klip kertas berbentuk hati pelbagai warna.
“ Abang tinggalkan sesuatu untuk Nini dalam bilik bacaan.”
Selepas Najwan menelefon dia pada pagi itu, Auni terus bergegas mendapatkan barangan peninggalan Najwan buatnya. Balang kaca ini ditemui di bawah meja, seperti mana yang Najwan telah beritahu kepadanya.
Hampir separuh balang kaca itu terisi dengan klip kertas sebegini. Entah berapa lama masa diambil oleh Najwan untuk menyiapkan semua klip kertas ini. Apatah lagi hujung jarinya akan sakit jika membuat klip kertas yang biasa ke bentuk hati dalam jumlah yang agak banyak. Bukan itu sahaja, Najwan juga menitipkan sedikit pesanan. Dan Auni masih ingat lagi pada ayat yang tertera pada kad kecil itu.
Sentiasa percayakan abang. Sentiasa percayakan 464 abang hanya untuk Nini.
“ Eh? Mama tulis apa tu?” E-jat menyoal lagi apabila melihat Auni menulis sesuatu pada sekeping kertas yang belum dilipat. Auni tersenyum. Dia mengusap kepala E-jat.
“ Mama tulis pesanan untuk papa,” kata Auni perlahan.
Setiap kali sebelum dia melipat kertas-kertas itu ke bentuk swan, dia akan mencoret sesuatu. Auni bukannya pandai menulis ayat-ayat yang puitis. Dia sekadar menyampaikan perasaannya sahaja. Dia mahu Najwan tahu apa yang dia rasakan selama ini.
“ Papa tentu gembira bila baca semua ni,” kata E-jat lagi. Anak kecil itu kelihatan gembira apabila mendengar kata-kata Auni.
Kata-kata E-jat makin meruntun hati Auni. Dia cuba menahan sebak yang semakin mencengkam dadanya. Swan yang telah siap dilipat itu dimasukkan ke dalam balang kaca. E-jat ditarik ke dalam pelukannya. Dia menangis di situ.
E-jat diam sahaja. Anak kecil itu seakan-akan faham akan masalah yang mama kesayangannya itu sedang hadapi sekarang.
AUNI duduk bersendirian di hadapan televisyen. Skrin televisyen kini sedang menayangkan Fated to Love You Episode 7. Set DVD drama itu kelihatan bertaburan bersama-sama beberapa set DVD drama Korea yang lain. Sememangnya mata Auni tepat pada kaca televisyen tetapi nampaknya otak dia tidak dapat menghadam jalan cerita bagi episod Fated to Love You yang sedang bermain di hadapannya kini.
E-jat sudah lama lena. Selepas solat Isyak tadi, anak kecil itu terus naik ke tingkat atas. Barangkali terlalu keletihan kerana tadi Nawal datang ke rumah mereka lantas mereka bersama-sama keluar ke taman permainan yang berdekatan. Auni turut terasa keletihannya kerana leka melayan E-jat yang lincah bermain. Hampir semput Auni dibuatnya. Tambahan pula badannya sering sahaja berasa sakit-sakit sejak disahkan hamil.
Pada petang tadi juga ummi dan walid datang menjenguknya. Kedua-duanya mengekori Auni ke taman permainan berkenaan. Wajah walid dan ummi kelihatan tenang sahaja saat mereka membuka cerita mengenainya dan Najwan. Pelbagai pesanan daripada ummi dan walid cuba disematkan dalam fikiran. Pelukan ummi sebelum ibu bapanya pulang tadi masih lagi terasa hangatnya.
Nada dering Safe nyanyian Westlife berlagu di sekitar ruang tamu itu. Perlahan-lahan Auni mencapai Xperia yang terletak di atas meja. Bulat matanya merenung skrin Xperia. Suatu nombor antarabangsa terpapar pada skrin. Auni tahu siapakah pemanggilnya. Terketar-ketar jari Auni menjawab panggilan itu.
“ He.. Helo?”
“ Assalamualaikum, Nini?”
Auni terdiam di situ, seakan-akan sudah tidak boleh bersuara. Salam Najwan dijawab di dalam hati. Dia merasakan air matanya boleh tumpah pada bila-bila masa sahaja. Sungguh, dia amat merindui lelaki itu.
“ Nini sihat, kan? Bayi pun sihat, kan?” suara Najwan kedengaran menyapa telinga sekali lagi. Auni menggumam perlahan. Dia menguatkan dirinya untuk bersuara. Dia tidak kisah sekiranya air matanya mengalir. Dia terlalu ingin bercakap dengan lelaki itu.
“ Sihat… Abang?”
Nada itu kedengaran bergetar pada pendengaran Najwan. Najwan mengeluh perlahan. Dia berasa serba salah kerana meninggalkan Auni yang sedang hamil berseorangan di Malaysia tetapi dia terpaksa. Pencarian di bumi Eropah ini masih lagi berjalan. Dia tidak boleh pulang ke Malaysia lagi.
“ Abang minta maaf, Nini. Abang tinggalkan Nini masa Nini tengah hamil. Maaf,” ucap Najwan perlahan. Sememangnya dia berasa bersalah yang teramat, tetapi keadaan yang memaksa dia berbuat demikian. Jika tidak, hatinya tidak akan sesekali tega untuk meninggalkan Auni berseorangan tanpa seorang suami di sisi sewaktu isteri kesayangannya itu hamil.
“ Tak.. tak apa….” Perlahan sahaja Auni menjawab.
Keadaan sepi buat seketika. Masing-masing kekok untuk berbicara. Auni berkira-kira untuk mengatakan sesuatu tetapi hatinya terasa berat untuk meluahkan. Najwan yang terlebih dahulu mengambil peluang untuk menyambung bicara mereka.
“ Abang janji, abang akan pulang tak lama lagi. Abang nak Nini jaga diri baik-baik, jaga kesihatan bayi juga. Amalkan baca Surah Yusuf, Surah Mariam, Surah Luqman masa Nini tengah hamil ni. Al Fatihah dan Surah Yassin jangan lupa sama sekali. Surah Al Mulk juga. Insya-Allah, baik untuk bayi kita dan Nini. Abang juga akan baca, walaupun tak bersama Nini. Okey?”
Pesanan demi pesanan dititipkan buat isteri kesayangan. Auni hanya mengangguk tanpa sebarang kata walaupun dia sedar, Najwan tidak dapat melihat anggukan itu. Najwan menghela nafasnya perlahan.
“ Abang terpaksa pergi. Jaga diri Nini baik-baik, abang sentiasa doakan keselamatan Nini. Assalamualaikum.”
Najwan mematikan talian sebelum sempat Auni membalas salamnya. Dia tidak mahu hatinya goyah hanya kerana rasa serba salahnya terhadap Auni. Dia harus menyelesaikan semua ini secepat mungkin. Selagi perkara ini tidak selesai, dia tidak akan pulang ke Malaysia selagi tiada perkara yang mendesaknya untuk pulang ke sana.
Di rumahnya, Auni tersandar pada sofa. Lututnya terasa lemah untuk berdiri. Spontan, jari jemari kanannya mendarat pada bahagian rahimnya. Dia perlu kuat untuk anak ini.
Auni tersenyum hiba. Dia biarkan sahaja air matanya berlinangan. Perlahan-lahan dia mengucapkan istighfar, berharap dosa-dosanya yang dilakukan secara sengaja atau tidak dapat diampunkan.
Ya Allah, aku pasrah atas segalanya. Kau berikanlah kepadaku dan suamiku kekuatan agar segala-galanya dapat diharungi oleh kami berdua. Aku bermohon kepada-Mu, Ya Rabb.
ADDA mengeluh perlahan melihat wajah murung Auni buat kesekian kalinya. Dia menghulurkan surat yang diamanahkan oleh Encik Adam kepadanya tadi. Surat itu harus sampai kepada Auni secepat mungkin. Adda tidak tahu apa kandungan surat itu, tetapi amanah majikannya harus disampaikan secepat mungkin.
“ Auni, ada surat untuk kau. Encik Adam yang beri,” kata Adda perlahan. Auni mengangkat muka daripada skrin Asus. Dahinya berkerut seribu. Auni mengambil surat itu. Dia melihat pada Adda.
“ Surat apa ni?” tanya Auni. Perlahan-lahan dia mengoyak sampul surat itu, bimbang sekiranya isi dalam surat itu akan terkoyak sama.
Adda menjongket bahu. “ Aku tak tahu. Encik Adam tak ada beritahu apa-apa pun, cuma dia kata kena sampaikan pada kau hari ni juga.”
Auni mengangguk sahaja. Matanya mula membaca setiap patah perkataan yang tertera pada setiap inci kertas putih bertaip itu. Dahinya kian berkerut. Auni meletakkan surat itu di atas meja. Adda melihat dengan penuh kehairanan akan perubahan riak wajah sahabatnya itu.
“ Kenapa?”
Auni mengeluh. Dia menghulurkan surat itu kepada Adda.
“ Encik Adam beri aku cuti sehingga tempoh yang akan diberitahu kemudian. Aku rasa, hal ni ada kaitan dengan suami akulah, Adda,” jawab Auni. Adda tersenyum hambar.
“ Aku setuju dengan Encik Adam. Kau perlukan rehat, Auni. Kau tak boleh tumpu pada kerja kau kalau kau berterusan macam ni. Aku yang tengok saja ni pun rasa macam tak bersemangat,” kata Adda. Dia cuba memujuk Auni menerima keputusan Encik Adam.
Dia mengetahui segala-galanya mengenai masalah yang menimpa Auni sekarang. Sejak pemergian Najwan, Auni kian murung. Dia seakan-akan tidak dapat menumpukan perhatiannya kepada kerja. Ditambah lagi dengan perubahan hormon dalam badan Auni kerana hamil. Nasib baik gadis itu tidak mengalami sebarang alahan yang teruk. Jadi, tidaklah sukar sangat buat Auni untuk menjalani hidupnya tanpa Najwan di sisi.
Suaminya, Ashraf juga ada menceritakan kepadanya serba sedikit mengenai masalah antara Najwan dan Auni. Ashraf meminta dia tolong tengok-tengokkan Auni yang sedang hamil. Ashraf juga bimbangkan mereka berdua. Auni sedang hamil sedangkan Najwan jauh di bumi London. Hanya kepada Adda dan ahli keluarga Auni dan Najwan sahajalah tempat dia bergantung harap agar Auni dijaga dengan baik.
Auni menggumam perlahan. Walau dia ingin membantah sekalipun, keputusan daripada pihak atasan sudah pun diterima. Mulai hari esok, Auni akan mula bercuti sehingga tarikh yang akan dikemukakan oleh Encik Adam kelak.
“ Aku ikut aje, Adda. Aku tak dapat nak fikir banyak buat masa ni,” kata Auni. Adda tersenyum. Dia menepuk bahu Auni yang masih murung.
“ Ibu mengandung tak boleh masam-masam macam ni, tahu tak? Aku bimbang anak kau akan jadi macam ni bila dah lahir nanti. Aku tak nak muka anak kau masam aje 24 jam,” Adda cuba mengusik. Manalah tahu mood Auni akan baik sedikit. Dia tersenyum lega apabila melihat senyuman berbunga di wajah Auni.
“ Pandai aje kenakan aku.” Satu cubitan singgah di lengan Adda. Mereka sama-sama ketawa.
SABAR sahaja Auni menanti kemunculan E-jat di halaman tadika. Sudah beberapa hari berlalu semenjak dia meminta kebenaran dengan ibu untuk mengambil E-jat pulang dari tadikanya. Ibu tidak boleh membantah banyak kerana baba dan Nawal ada untuk menyokong cadangannya.
Sepanjang dia datang mengambil E-jat, Auni langsung tidak ternampak kelibat Sarah datang menjemput Qausar. Situasi ini sedikit sebanyak melegakan Auni. Dia tidak sanggup untuk berhadapan dengan Sarah selepas apa yang terjadi.
Auni takut. Takut sekiranya akan ada lagi perkara yang tidak enak mengenai suaminya ingin disampaikan oleh Sarah.
“ Mama!”
Auni tersenyum simpul apabila melihat E-jat sedang berlari-lari anak mendapatkannya. Dia mendepangkan lengannya lantas memeluk E-jat yang sedang ketawa keriangan. Dia mengusap kepala E-jat dengan penuh kasih sayang.
“ Kenapa gembira sangat ni?” tanya Auni. Dia mengambil beg sandang E-jat lalu diletakkan di dalam Swift. E-jat masih lagi ketawa keriangan. Dia masuk ke dalam Swift Auni lalu duduk di sebelah tempat duduk pemandu.
“ E-jat suka sebab hari-hari mama datang ambil E-jat kat tadika,” jelas E-jat sebelum menyambung tawanya. Auni tersenyum lantas menggeleng perlahan.
“ Hari ni kita makan kat luar. Dah lama kita tak makan kat luar sama-sama, kan? E-jat nak makan apa?” Sekali lagi Auni menyoal. Dia memandu Swift keluar daripada perkarangan tadika itu.
“ E-jat nak makan piza, boleh tak mama?” tanya E-jat. Sudah lama dia tidak makan piza. Auni mengangguk bersetuju tanpa banyak soal.
“ Okey.”
Auni membawa E-jat ke Domino’s Pizza. Dia memesan sahaja piza yang menjadi pilihan E-jat. Mereka berdua duduk sementara menanti pesanan tiba. Auni dikejutkan dengan kehadiran seseorang. Bulat matanya melihat insan di hadapannya kini.
“ Kak… Kak Sarah…” Tergagap-gagap Auni menegur perempuan itu. Dia agak terkejut dengan kehadiran wanita itu secara mengejut. Adakah wanita ini mengekorinya? Jika tidak, bagaimana Sarah boleh tiba-tiba sahaja muncul di hadapannya?
Sarah tersenyum manis kepada Auni yang sudah gugup di hadapannya. Auni menelan liur. Sekiranya tiada peristiwa yang terjadi antara mereka, sudah pasti senyuman itu mendamaikan Auni.
“ Maaf ganggu, Auni. Dah lama tak jumpa Auni sejak hari tu. Tiba-tiba rindu pula,” kata Sarah yang masih tersenyum manis. Seakan-akan tiada apa-apa yang terjadi antara dia dengan Auni sebelum ini.
Auni mula curiga dengan senyuman Sarah tetapi dia tidak boleh membuat apa-apa. Di sini tempat awam dan dia tidak mahu mencetuskan apa-apa yang boleh menarik perhatian orang lain kepada mereka berdua.
“ Kak Sarah buat apa kat sini?” tanya Auni. Dia memaniskan wajah. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu sesuatu yang buruk terjadi. Sarah menguntum senyum lagi.
“ Mana suami Auni? Kenapa dia tak ada sekali?” tanya Sarah. Matanya menyeringai kepada gadis di hadapannya kini. Auni tergamam.
“ Dia tak ada. Kenapa Kak Sarah cari dia?” tanya Auni.
Sarah menggeleng kepalanya. Dia menghulurkan sekeping sampul surat kepada Auni. Auni biarkan sahaja sampul surat itu di atas meja. E-jat hanya memerhatikan sahaja mereka berdua.
“ Saja tanya. Akak nak serahkan sampul ni pada Auni. Manalah tahu Auni nak tahu pasal kisah kami yang dah lepas. Akak pergi dulu. Jumpa lagi nanti,” ucap Sarah. Dia meninggalkan Auni tanpa mengucapkan apa-apa lagi.
Auni membiarkan sahaja pemergian Sarah malah dia langsung tidak berniat untuk menghalang wanita itu pergi. Teragak-agak dia mencapai sampul surat itu. Dia mengeluarkan isi sampul berkenaan. Beberapa keping gambar berada dalam tanggannya. Auni tersentak. Matanya melekat pada kepingan gambar-gambar itu. Itu bukannya gambar-gambar Najwan bersama-sama Sarah tetapi…
Siapa ni?
Kesemua gambar itu merupakan gambar Sarah yang sedang bergambar mesra dengan seorang lelaki, hanya gaya sahaja yang berlainan. Yang pastinya, gambar-gambar itu merupakan gambar sewaktu Sarah dan lelaki itu berada di luar negara. Auni mula musykil sendirian.
Kak Sarah dengan… siapa ni?
Namun, hati Auni tersentuh tatkala melihat riak pada wajah Sarah yang terdapat pada gambar-gambar berkenaan. Sarah kelihatan ceria di sisi seorang lelaki yang boleh tahan rupa parasnya itu. Terpancar rasa cinta dan kebahagiaan pada wajah cantik itu.
Kak Sarah?
Share this novel