BAB 26
“ ASHRAF buat apa?” tanya Auni tidak percaya. Tergesa-gesa dia mengambil tempat duduk di sebelah Najwan yang sedang leka menghadap Dell di atas riba. Bersepah atas meja kopi itu dengan kertas kerja Najwan. Najwan mengangguk. Dia menoleh kepada Auni yang sedang memeluk bantal di atas sofa.
“ Betul ke Ashraf minta nombor Adda tadi, bang?” Auni mengulangi soalannya. Hidungnya dijentik oleh Najwan. Auni mencebik. Hidungnya digosok. Suka betul jentik macam ni!
“ Kenapa, Nini tak percaya?” tanya Najwan pula tanpa mempedulikan untuk menjawab pertanyaan Auni. Auni diam sejenak. Cuba memikirkan kembali pada yang telah dikatakan oleh Najwan sebentar tadi.
“ Nini tahu tak, tadi Ash mintak nombor Adda? Terpaksalah abang curi-curi buka Contact dalam telefon Nini semata-mata nak ambil nombor Adda dan beri pada dia.”
“ Jadi, betullah apa yang Nini fikirkan selama ni. Betullah yang Ashraf sukakan Adda. Betullah andaian Nini yang Ashraf sukakan Adda?” kata Auni, mengulangi andaiannya sejak dari dahulu lagi. Najwan mengangguk sahaja, melayan karenah isterinya yang sudah mula naik.
“ Betullah tu, sayang,” balas Najwan sabar sambil meneruskan kerjanya.
Esok, dia kena persembahkan semua kerjanya itu pada baba walaupun esok merupakan hari minggu. Baba sudah berulang kali mengingatinya sepanjang mereka di pejabat tadi. Baba takut dia terlupa. Terpaksalah dia ke rumah baba esok hari. Nasib baik rumah mereka berdua agak dekat. Dengan berjalan kaki pun boleh sampai.
“ Alhamdulillah, merasa juga Nini nak tengok Adda naik pelamin. Betul tak, abang?” kata Auni. Wajahnya berubah ceria. Najwan mula ketawa. Sekali lagi Auni mencebik. Cubitan halus Auni singgah pada lengan kirinya.
“ Kenapa abang ketawa ni?” Auni geram. Ada ke patut ketawakan aku?
“ Yalah. Mereka belum ada apa-apa lagi Nini dah sibuk nak tengok Adda dan Ash naik pelamin,” kata Najwan. Auni buat muka.
“ Tak ada salahnya kan, kalau Nini doakan kebahagian mereka berdua? Mereka pun nak bahagia macam kita juga,” balas Auni. Najwan tersengih. Macam-macamlah isteri aku ni.
“ Ya, abang tahu wahai cinta hatiku. Abang pun doakan bahagia untuk kita berdua juga, sayang,” balas Najwan sabar. Ini satu perkara yang Auni suka pada suaminya ini. Najwan sabar melayan karenah dia yang kadang-kadang tidak tentu pasal itu.
“ Bahagia sampaikan sanggup pergi cari pasu bunga ibu sebab tak nak ibu pecahkan pula bahagia kita ni,” kata Najwan tanpa riak muka bersalah. Tergelak Auni dengan kata-kata itu.
Pulang sahaja dari nurseri itu tempoh hari, terus Najwan menelefon baba. Nasib baik baba sedia menabur khidmat. Khidmat untuk memberitahu Najwan di mana ibu membeli pasu bunga tersebut dan khidmat untuk merahsiakan semuanya daripada ibu. Banyak betul jasa baba terhadapnya. Rasa terharu pun ada.
“ Abanglah penyebabnya,” Auni mengusik. Najwan turut ketawa. Memang kena betul dengan ibu kalau ibu tahu.
“ Abang rasa patut ke Nini telefon Adda sekarang? Nini tak sabarlah nak tahu pasal mereka berdua tu,” kata Auni kembali mengenai soal hubungan Adda-Ashraf yang dibincangkan oleh mereka tadi. Dia mencapai Xperia yang terletak di atas meja kopi. Pantas Najwan menghalang. Dia menggeleng pantas.
“ Abang rasa baik Nini jangan telefon Adda lagi. Abang takut tiba-tiba Nini tanya pasal Ashraf, Adda jadi pelik. Kita biarkan Ash telefon Adda dulu. Lepas tu, baru kita tengok macam mana perkembangan mereka.”
Auni mengangguk sahaja. Ada benarnya juga kata-kata Najwan itu. Dia tersenyum simpul. Tidak sabar rasanya menanti respon Adda terhadap Ashraf. Xperia kembali diletakkan di atas meja.
“ Ingatkan abang yang akan padankan mereka. Tak sangka Ash yang ambil langkah dulu.” Najwan ketawa. Auni mengangguk sahaja. Padahal itu merupakan rancangan suaminya. Tidak disangka-sangka, Ashraf turut menyimpan perasaan terhadap sahabat baiknya itu.
Auni duduk bersila di atas sofa sambil memeluk bantal. Matanya tertumpu kepada skrin plasma yang sedang menyiarkan Episod 5 drama High School King yang sudah dua kali diulang tonton oleh Auni manakala Najwan kembali meneruskan kerjanya. Sesekali dia terkuap menahan kantuk.
Apasal mengantuk sangat malam ni? Malam masih mudalah.
Matanya masih lagi tertumpu pada kaca televisyen. Tidak mahu mengalah kepada perasaan mengantuknya itu.
“ Nini?”
Auni mengangguk perlahan. Pandangannya beralih kepada suami di sebelah.
“ Ya? Abang nak apa-apa ke?”
Najwan menggeleng. “ Abang tengok Nini macam dah mengantuk aje ni. Pergilah tidur kat atas. Ni paksa diri tengok drama pula.”
Auni tarik senyum. “ Tak adalah. Abang sambunglah buat kerja. Nini nak tengok sikit aje lagi ni.”
Najwan tersengih. Degil betul isteri aku ni.
Detik demi detik berlalu. Auni langsung tidak menyedari dirinya sudah terlalu mengantuk. High School King di kaca televisyen hanya dipandang kosong. Akhirnya dia terlena juga. Najwan yang menyedari keadaan isterinya itu terus tersenyum.
Nini, Nini. Abang suruh tidur awal malam ni tak nak.
Dell diletakkan di atas meja. Najwan mengeliat seketika sebelum dia mendapatkan Auni yang sudah tertidur di atas sofa. Wajah mulus isterinya dipandang penuh kasih. Dahi Auni dikucup lembut.
“ Selamat malam, sayang abang,” Najwan berbisik lembut.
Tubuh kecil Auni dicempung perlahan. Berhati-hati dia berjalan menaiki tingkat atas untuk ke bilik tidur mereka. Tidak mahu tidur Auni terganggu dengan langkahnya.
ASHRAF merenung kosong kepada mesej Najwan kepadanya tadi. Nombor telefon Adda tertera di situ. Dia jadi buntu. Patut atau tidak dia menelefon Adda pada waktu seperti ini? Malam masih lagi muda. Malah, jam baru sahaja menunjukkan pukul 9.40 malam. Esok pun bukannya hari bekerja. Biasanya, pada malam-malam seperti ini, anak-anak muda sepertinya akan tidur lewat.
Patut atau tidak aku telefon dia? Tapi, aku takut kalau aku terlambat mulakan langkah, dia akan terlepas ke tangan orang lain sedangkan kadang-kadang aku keliru dengan perasaan aku sendiri. Patut atau tidak? Ashraf teringatkan perbualannya di telefon dengan Najwan pada petang tadi.
*
“ Qimi, kau kena tolong aku!”
Najwan yang baru sahaja menjawab salam Ashraf terus disembur dengan soalan. Terkebil-kebil lelaki itu mendengar nada suaranya yang kedengaran agak cemas.
“ Tolong apa pula ni? Tiba-tiba aje. Kau ada masalah ke sekarang ni?” tanya Najwan hairan. Mana tidaknya, tidak pernah Ashraf menelefonnya untuk meminta tolong.
“ Tolong aku minta nombor Adda dengan isteri kau?”
“ Eh?”
*
Ketukan di muka pintu mengejutkan Ashraf daripada lamunannya. Wajah Nadira terjengul di muka pintu. Ashraf tergamam. Cepat-cepat dia menyorokkan telefon bimbitnya di belakang.
Nadira tersenyum sinis. “ Tak payahlah Angah sorok telefon tu. Nad dah perasan dari tadi, Angah asyik tenung aje telefon tu. Kenapa Angah?”
Ashraf senyum kelat. Pandai-pandai aje si Nadira ni kenakan dia.
“ Angah dah dapat… nombor dia,” tergagap-gagap Ashraf menutur kata. Nadira terkejut. Wajahnya berubah ceria. Dia lekas duduk di atas kerusi di meja kerja Ashraf.
“ Betul? Angah dapat dari mana? Abang Qimi ya?” tanya Nadira. Ashraf merenung Nadira hairan. Apa kes si Nad yang terlebih gembira daripada aku ni? Nampak gaya macam terbalik aje. Sepatutnya akulah yang terlebih gembira, bukannya dia.
Ashraf mengangguk sahaja. Nadira bertepuk keriangan. Jelas dia suka dengan perkembangan itu.
“ Abang dah telefon dia? Dah?”
Gelengan Ashraf mematikan senyuman Nadira. Nadira mengeluh.
“ Apalah Angah ni. Kata lelaki sejati sangat, Kashah lagi berani daripada Angah tahu masa dia mula-mula nak mengorat Nad dulu,” bebel Nadira. Akashah pula yang menjadi bandingan.
“ Angah takutlah Nad. Kalau dia tak nak Angah, macam mana?” tanya Ashraf. Nadira mengeluh sekali lagi.
“ Angah cubalah dulu. Nad percaya, tak ada seorang pun gadis kat dunia ni yang takkan jatuh cinta dengan Angah Nad yang menawan ni,” kata Nadira cuba memberi semangat pada Angahnya yang sudah mengalah sebelum berjuang.
“ Tapi…”
Sebelum sempat Angahnya menyudahkan ayat, pantas Nadira bangun daripada kerusi itu dan merampas telefon bimbit yang Ashraf sorokkan tadi. Tergamam Ashraf dengan tingkah laku Nadira. Nadira merenung skrin BlackBerry itu. Mesej Najwan kepada Ashraf masih tertera di situ.
Kau ayatlah dia baik-baik. Lagi cepat aku boleh makan
nasi minyak kau. Semoga berjaya!
Adda :
Tanpa mempedulikan Ashraf yang masih terkebil-kebil, Nadira segera menyimpan nombor telefon Adda dalam senarai nombor telefon BlackBerry Ashraf. Nama Bakal Isteri dijadikan panduan. Selepas menekan Save, Nadira menekan Call. Dia menyerahkan BlackBerry kembali kepada Ashraf. Ashraf menyambutnya tanpa banyak soal. Bulat matanya melihat apa yang Nadira telah lakukan.
“ Nad, kamu…”
“ Nad dah tolong telefon. Sekarang ni Angah cuma tunggu dia jawab aje. Semoga berjaya,” kata Nadira selamba. Segera dia keluar dari bilik Ashraf. Ashraf merenung kembali pada skrin BlackBerry.
MAJALAH yang bertaburan di atas katil disusun sebaik mungkin. Adda merebahkan badannya di atas katil. Sebuah majalah dicapai. Jam baru sahaja menunjukkan pukul 9.50 malam. Esok dia tidak bekerja. Baru sahaja dia membelek muka surat pertama sebelum dia mendengar nada dering Man in Love nyanyian INFINITE berlagu daripada telefon bimbitnya. Adda bingkas bangun. Matanya melilau mencari telefon bimbit yang entah dicampak di mana.
Matanya tertumpu pada meja solek. Nokia masih lagi sedang berlagu, cuba meraih perhatian tuannya. Tergesa-gesa Adda bangun dan mencapai telefon bimbitnya. Berkerut dahinya apabila melihat nombor yang tidak dikenali muncul pada skrin.
Siapa ni?
“ Assalamualaikum, Adda ni. Siapa tu?” tanya Adda. Dia kembali merebahkan badan di atas katil. Sedapnya dapat bergolek di atas katil ni.
“ Wa… walaikumussalam, … Adda?”
Zap!
Adda bingkas bangun. Terkejut apabila mendengar suara garau seorang lelaki menyapa telinganya. Siapa pula ni? Mamat mana pula yang ada nombor aku ni?
“ Encik ni siapa?” tanya Adda gugup.
Mamat manalah yang telefon aku malam buta ni? Dia langsung tidak dapat mengesan pemilik suara garau itu. Nak kata adiknya Zafran yang menelefonnya sekarang ini pun bukan.
“ Saya Ashraf, Adda.”
Suasana sepi seketika. Mata Adda terkedip-kedip melihat pada dinding biliknya yang terbentang di hadapan. Ashraf?
“ Awak… awak Ashraf? Awak dapat dari mana nombor saya ni?” tanya Adda. Dia makin gugup. Dia langsung tidak teringat untuk menelefon Ashraf seperti mana yang diminta oleh lelaki itu tempoh hari. Kesibukan bekerja membuatkan dia terlupa.
“ Saya minta dari Auni dan Qimi. Harap awak tak kisah,” kata Ashraf. Kali ini suaranya kembali tenang.
Adda mengangguk sedikit. “ Tak... tak apa...”
“ Adda, saya ganggu awak ke?” tanya Ashraf. Bimbang jika tidur gadis itu terganggu dengan panggilannya.
“ Eh.. tak! Tak! Saya tengah rehat-rehat aje ni. Kenapa?” tanya Adda kembali. Tanpa sedar, terasa dunianya mula dihiasi dengan bunga-bunga indah. Bagaikan tidak percaya sahaja dia sedang bercakap dengan Ashraf di talian. Malah, lelaki itu yang menelefonnya sendiri.
“ Baguslah macam tu. Saya…”
Ashraf diam buat seketika. Dia buntu bagaimana mahu memulakan perkenalan mereka secara rasmi. Dia diam, menarik nafas. Memohon jiwanya ditenangkan.
“ Saya Ahmad Ashraf Hakim b. Ahmad Fauzi. Saya nak berkenalan dengan Cik Adda. Boleh?”
Adda tergamam. Lidahnya kelu. Perlahan-lahan, dia menarik senyum.
“ Saya Alia Syuhada bt. Sohaimi.”
Di rumahnya, Ashraf berulang kali memanjatkan syukur di dalam hati.
Share this novel