MAJLIS kedua-dua belah pihak berlangsung dengan begitu cepat sekali. Kata Papa, inilah kenduri paling pantas dan ringkas yang pernah dia kendali dan hadiri. Tambah Papa lagi, dia suka dengan majlis yang sebegini. Walaupun sederhana, semuanya berjalan dengan lancar. Mungkin faktor usia menyebabkan dia cepat letih. Dia terkilan juga kerana majlis perkahwinan aku tidaklah semeriah majlis kakak-kakakku. Tapi aku tidak kisah. Apa yang penting ialah aku dan Han selamat diijabkabulkan dan keluarga aku tidak ada yang jatuh sakit seperti majlis Kak Kasih dahulu. Dulu Papa pernah demam seminggu sebab siang malam tidak berehat. Sebaik sahaja majlis Kak Kasih selesai, Papa pengsan. Mujurlah Dr. Suri ada ketika itu.
Keluarga Han mengadakan kenduri di rumah agam mereka sehari selepas majlis di pihakku. Sebaik sahaja selepas sarapan di rumah Aunty Elis, Han minta diri untuk kembali ke Kajang kerana ada urusan yang perlu disegerakan. Dia bersalaman dengan ahli keluargaku sebelum meninggalkan kami di situ. Majlis di sebelah keluarga Han akan diadakan tengahari ini. Menurut kata Mama, Han mahu majlis kecil hanya untuk keluarga dan kenalan rapat sahaja. Kalau buat lebih-lebih, Han kata dia akan angkat kaki. Mahu atau tidak, Mama terpaksa menurut sahaja cakap anak lelakinya itu.
Selesai waktu Zohor, keluargaku pun berangkat menuju ke rumah Han. Aku memakai pakaian yang disediakan oleh Mama Jah. Sehelai baju kurung pesak yang bersulam songket. Warna krim keemasan. Aku padankan tudung krim keemasan. Pada mulanya aku ingin memakai tiara kecil sebagai mahkota di atas tudung kepala. Mungkin aku mahu nampak seringkas yang mungkin, aku lupakan sahaja tiara itu. Kalau aku berhias bagai nak rak pun, bukannya Han akan beri perhatian kepadaku. Kenduri di rumah Han tiada bezanya daripada kenduri di rumahku. Bezanya kenduri di rumah Han lebih meriah dengan bilangan saudara mara dan kenalan yang ramai. Puas aku dan Han ke hulu ke hilir melayan tetamu. Aku hanya mengekori Han di sisinya. Bila ada soalan yang ditanya, Han menjawab dengan penuh yakin walaupun aku tahu dia tidak bermaksud begitu.
Kira-kira lewat petang, keluargaku pun beransur pulang. Tetamu yang tinggal hanyalah saudara terdekat keluarga Han. Aku disuruh oleh Mama untuk masuk berehat dalam bilik Han. Terkejut aku melihat bilik yang sudah bertukar rupa. Mama telah menjadikan bilik itu sesempurna yang mungkin. Aku meninjau di sekitar bilik. Semuanya nampak serba serbi baru dari katil sehinggalah ke langsir dan permaidani. Aku duduk di atas katil. Empuk sungguh tilam ini. Terasa ingin beradu bagaikan puteri. Malangnya, aku bukan seorang puteri. Tanpa berlengah, aku terus ke bilik mandi dan menukar pakaian. Mami Zan sediakan sepasang baju kurung untukku. Sehelai kurung Kedah dari kain kapas. Katanya untuk dipakai ketika bertandang. Selesai bersiap, aku segera keluar dari bilik. Niatku hanya satu. Membantu keluarga mertuaku mengemas. Aku terus ke bahagian dapur rumah kerana itulah pesanan Kak Suri kepadaku. Tolong orang mengemas di situ. Aku berjumpa dengan Umi yang sedang duduk di kerusi makan sambil mencicah biskut dengan air teh panas.
“Umi lapar ke?” soalku. Rasanya masih ada lagi makanan kenduri.
“Tak adalah. Teringin nak cicah biskut ni. Marilah duduk sini Chahaya,” ajaknya.
“Biar Chaya tolong bibiklah, Umi. Sambil-sambil tu masih boleh berbual dengan Umi,” kataku sambil bersimpuh di atas lantai. Bibik tengah sibuk mengelap beberapa perkakasan dapur. Aku siap menyoal bibik kalau ada apa yang aku boleh bantu.
“Tak payah Chaya. Duduk sajalah teman Umi tu. Bibik pun dah nak siap tu,” kali ini Mama pula bersuara sebaik sahaja dia melangkah masuk ke dalam dapur. “Umi makan biskut saja? Nasi kenduri tu ada lagi. Umi nak tak?”
“Tak naklah. Dah kenyang pun. Cuma rasa nak mengunyah saja,” balas Umi sekali lagi.
Memandangkan ibu mertuaku yang suruh aku duduk dengan Umi, aku pun duduklah. Kalau tidak ikut cakap, boleh masuk kes tidak hormat ibu mertua. Sama macam menderhaka. Aku tarik kerusi dan labuhkan punggungku. Memang tadi aku tengok bibik pun dah hampir selesai dengan tugasnya. Aku lihat di sekeliling pun tidak ada banyak yang nak dibuat lagi.
“Mana Nora dengan Kak Maiza?” soalku.
“Nora dalam biliklah tu. Berehat. Maiza pula baru saja keluar melayan anak-anak dia di luar. Ada pula yang bekalkan bunga api. Kalau Chaya nak keluar, pergilah. Han pun ada tu,” kata Mama.
Hendak pergi atau tidak? Aku berbelah bahagi. Kalau aku keluar mestilah aku kena duduk dengan dengan Han. Sebagai isteri, itulah kedudukanku dengannya. Aku tahu dia tak suka aku sekarang. Tapi kalau aku tak pergi, aku tiada peluang untuk rapat dengan Han. Tambahan lagi, dia kata kalau kami ada dengan ahli keluarga, aku kena berlakon. Jadi, apa salahnya aku berlakon demi untuk keluarga kami. Aku bangun dan minta izin dari Umi untuk keluar ke taman. Aku akan cuba lakonkan watakku sebagai seorang isteri yang amat mencintai suami. Perkara itu tidak sukar untukku kerana aku betul cintakan Han. Sepenuh hati.
HAN sedang duduk di salah satu kerusi yang disediakan untuk tetamu. Dia sedang berbual dengan Abang Farid dan Papa. Aku merapati mereka dan memberi salam. Aku memandang Han yang turut memandangku. Aku masih berdiri.
“Hi,” tegurku dengan lembut.
“Hah! Chahaya. Mari duduk sekali,” ajak Papa.
“Chaya tak ganggu ke Papa tengah berbual tadi?”
“Tak adalah. Bual-bual kosong saja,” balas Papa.
“Duduklah,” kali ini Han pula bersuara sambil menarik kerusi di sebelahnya. Teguran sebegitu pun boleh buat darah aku berderau. Aku duduk sahaja. Papa dan abang Farid meneruskan perbualan mereka. Entah apa yang mereka ceritakan pun aku tidak beri perhatian. Fikiranku tertumpu kepada tangan kanan Han yang sedang mengetuk-ngetuk meja perlahan. Seolah-olah mengikut rentak muzik yang tidak kedengaran.
“Bual apa?” tiba-tiba Umi bersuara dari belakangku. Terkejut aku sebab terlalu asyik memerhati Han sehinggakan Umi di belakang pun aku tidak perasan.
“Tak ada apa Umi. Papa ni cerita pasal pergi Mekah dulu,” balas Farid.
“Umph! Tak habis-habis. Tentu pasal cerita dia jumpa duit syiling sepanjang jalan tu,”
“Betul tu Umi,” kata Farid.
“Itulah. Kalau di sana tu, mulut nak kena jaga, niat nak kena elok,” Umi ceritakan sedikit tentang pengalaman Papa.
“Itulah. Papa cerita duit yang dia jumpa tu pun Papa sedekahkan.”
“Mmm…Alhamdulillah. Baik di sana mahupun di sini, semuanya selesai. Han dengan Chaya pun dah selamat. Kamu berdua ni tak ada rancangan ke nak pergi berbulan madu?” soal Papa.
Aku hanya diam saja.
“Hah pergilah mana-mana. Bawa Chahaya ni berjalan-jalan,” kata Umi.
“Nanti Han fikirkan Umi.”
“Apa kata kamu bawa Chahaya ni bercuti ke Cameron Highlands?” Abang Farid pula memberikan cadangan.
“Elok juga tu. Kamu pun bukannya bekerja. Pergi sajalah esok lusa. Tinggal sana seminggu dua ke. Baru-baru kahwin ni elok juga lapangkan masa bersama-sama,” balas Papa.
“Tengoklah Pa,” kata Han sebelum Mama keluar membawa seteko kopi panas.
AKU boleh rasakan Han sedang menungguku. Mulanya aku perasan Han masuk ke dapur untuk mengambil air. Dia duduk di meja bulat yang ada di dapur dan minum air yang diambilnya. Bila aku toleh sedikit, aku boleh nampak kedua kakinya sedang bersilang. Perlakuannya agak misteri bagiku. Aku tolong Mama basuh teko, cawan dan piring memandangkan bibik sudah pun masuk tidur. Selesai mengemas, Mama duduk bersebelahan dengan Han. Aku hanya mendengar sahaja perbualan mereka sambil mengelap kawasan sinki.
“Penat Ma?” soal Han.
“Penat Sayang. Mama bukannya muda macam dulu lagi. Rambut pun dah beruban penuh.”
“Kalau tak mahu rambut beruban, Ma pergi salon warnakan uban tu.”
“Pandai anak Mama beri nasihat. Lain kali kalau nak beri nasihat, tu isteri kamu tu kan ada.”
“Kalau dia nak dengar cakap Han. Kalau tidak, Han tak boleh nak cakap apa pun.”
Eh? Bunyinya macam perli aku?
“Mama nak minta satu perkara dari Han ni. Bawalah Chaya pergi ke mana-mana untuk bulan madu kamu berdua. Kamu tu perlu selesaikan apa yang kamu belum selesaikan.”
“Jangan bimbanglah Mama. Memang Han plan pun nak ke suatu tempat.”
“Eloklah tu. Mama nak masuk tidur dulu. Han jangan biarkan isteri Han tu kerja sampai lewat malam pulak. Pergilah masuk berehat.”
“Good night, Ma,” katanya ketika Mama melangkah keluar dari kawasan itu. Aku ada beberapa pinggan yang perlu dilap sebelum aku angkat dan masukkan ke dalam almari. Sedang aku tekun membuat kerja, Han datang dekat denganku.
“Mari kita ke bilik. Aku ada hal nak bincang dengan awak,” katanya berbisik.
“Han masuk dulu. Kejap lagi saya datang. Biar saya habiskan dulu kerja ni,” balasku kepadanya tetapi Han masih berdiri di sebelahku.
“Mama kan dah pesan tadi supaya awak jangan buat kerja lebih-lebih. Tinggal sikit saja lagi. Biar bibik buat esok. Mari,” katanya. Tanganku terus dipegang dan aku ditarik pergi. Aku ikut Han menaiki anak tangga. Kami masuk ke dalam bilik. Berdua-duaan di dalam bilik.
“Han nak bincang tentang apa?”
“Tentang kita.”
“Saya kan dah janji saya akan ikut apa yang awak nak saya buat. Berlakon depan mereka semua. Saya tak kisah. Mungkin sekarang awak tak boleh nak terima saya lagi. Mana tahu kalau suatu hari nanti…,” kataku.
“Simpan harapan awak tu. Aku nak bincang tentang hal kita selepas ini. Pertamanya, Mama dan Umi mahu kita tinggal di sini. Aku kata aku akan fikirkan tentang itu. Sebenarnya, kalau boleh aku tak mahu berada di sini. Buat sementara waktu. Jadi kalau mereka tanya awak, jawab yang kita akan tinggal di Subang untuk mulakan hidup kita.”
Aku hanya angguk sambil mendengar apa yang dikatakan oleh Han.
“Kedua, kita akan keluar dari rumah ini esok atau lusa. Aku akan beritahu Mama dan Papa. Alasan kita untuk pergi berbulan madu. Dari situ kita akan buat haluan kita sendiri.”
“Kita …err…awak kata kita akan pergi berbulan madu?”
“Awak jangan harap sangat. Aku buat keputusan pergi sebab keluarga aku dah mendesak. Selagi aku tak bawa awak pergi, selagi itulah mereka akan menyoal.”
“Jadi ke kita ke Cameron Highlands?”
“Mm…,” hanya itu sahaja balasan Han. Dia sudah pun bersiap-siap untuk berbaring di atas katil yang besar itu. Lagaknya seperti dia hendak terus tidur. Sama seperti ketika di rumahku semalam. Aku mengambil persalinan untuk tidur dan masuk ke dalam bilik air. Bila aku keluar, bilik itu hanya ada cahaya lampu sisi sahaja. Han nampaknya seperti sudah lelap tidak sedarkan diri. Aku mengambil tempat di sebelahnya di atas katil. Sepanjang malam itu aku tidur sambil memikirkan pelan untuk mendapatkan hati suamiku semula.
---------------------------//-----------------------------
“KITA nak ke mana sebenarnya?” soalku bila jip meluncur laju di lebuhraya menuju ke arah lebuhraya Karak. Melalui pengetahuan aku, kalau ke Cameron Highlands, laluan yang perlu diambil ialah Lebuhraya Utara Selatan.
“Kau tunggu sajalah,” balas suamiku.
“Kita nak ke Cameron Highlands kan?” soalku juga kerana aku mahukan kepastian ke mana destinasi yang ingin di tuju. Sehari sebelum, Han memberitahu keluarganya tentang rancangan untuk membawaku berbulan madu. Dengan gembiranya, aku buat sedikit persiapan. Memandangkan aku tiada pakaian sejuk, aku telefon dan minta bantuan pakaian sejuk daripada Erin. Petang itu juga Erin datang ke rumah mertuaku untuk menghantar beberapa persalinan.
Kami bertolak sebelum Subuh lagi. Bila ditanya oleh ahli keluarganya pada malam sebelum itu, Han nyatakan hasrat untuk melihat matahari terbit. Bila aku dengar aku buat satu kesimpulan. Oh! betapa romantisnya melihat matahari terbit di Cameron Highlands. Kami baru sahaja berhenti untuk mengerjakan solat Subuh di sebuah stesen minyak sebelum kereta masuk ke tol Gombak menuju ke Lebuhraya Karak.
“Han. Kita nak ke mana ni?” kataku. Aku bangun sejak pukul empat pagi tadi. Aku perlu tahu ke mana aku akan pergi.
“Bagi tahulah,” aku semakin terdesak bila Han hanya diam memandu.
“Awak tunggu sajalah. Kalau nak tidur, tidurlah. Bila sampai nanti aku kejutkan.”
Bagaimana aku hendak tidur sedangkan banyak soalan tidak terjawab. Aku memandang ke luar tingkap. Lebuhraya kelihatan lengang. Keadaan masih belum lagi disinari cahaya sepenuhya. Mungkin kerana tidurku terganggu kerana terpaksa bangun pagi, aku mula terasa mengantuk. Tanpa kusedar, aku pun tertidur.
Mungkin tidurku agak nyenyak kerana aku terbangun bila terasa seperti kereta berhenti. Bila aku lihat melalui tingkap, kami sudah pun sampai ke suatu tempat. Aku melihat deretan kereta bersusun. Hari pun sudah cerah. Nampaknya Han melihat matahari terbit tanpaku. Aku menggeliat. Lenguh kerana tidur di dalam kereta. Han tiada di sebelah dan aku dapati dia sedang berada di luar. Aku betulkan tudung dan buka baju sejuk yang kupakai sejak bertolak pagi tadi. Sambil menutup mulutku yang sedang menguap, aku keluar mencari Han yang berada di bahagian belakang jip.
“Hi. Dah sampai ke?” tegurku dengan suara yang sedikit garau. Aku melihat sekeliling. Bukan seperti Cameron Highlands.
“Dah bangun pun. Siaplah. Kita dah nak kena naik bot sekejap lagi.”
“Naik bot?” aku menjengah sekeliling. Barulah aku nampak sesuatu.
“Mmm…cepatlah siap. Kita nak ke Taman Negara sekarang.”
Aku berdiri dengan hati yang agak terkilan. Segala persiapan yang aku buat semuanya untuk berbulan madu di Cameron Highlands. Beg yang ku bawa pun beg troli. Tidak sesuai langsung untuk di bawa ke Taman Negara. Patutlah aku nampak Han hanya bawa beg sandang besar dan suatu sarung panjang yang besar. Bila aku nampak dia keluarkan batang pancingnya, barulah aku sedar, kami bukan ke Cameron Highlands. Sebaliknya kami ke Taman Negara. Hatiku sedih kerana rasa tertipu. Mungkin Han sengaja hendak mengenakan aku. Tidak mengapa. Aku tidak ada masalah untuk menyesuaikan diri. Selagi ada daya, aku akan tabahkan hati ini.
“Ada tandas tak?” soalku. Aku tidak tunjuk langsung rasa kecewa. Sebaliknya aku ikut sahaja rentaknya. Han berhenti seketika dan memandangku. Mungkin dia sedikit terkejut kerana jeratnya tidak menjadi.
“Dekat jeti di sana. Biar aku buat selesaikan sekejap. Kemudian kita pergi sama-sama,” katanya.
Aku menghampirinya. Tanpa banyak cakap, aku keluarkan beg troliku untuk mendapatkan berus gigi dan kain tuala kecil. Hanya itu yang aku mahu gunakan. Aku tutup semula beg dan letakkan di sisiku. Menunggu Han sambil memandang ke arah jeti yang disebutkkan. Terdapat ramai juga orang yang sudah menuju ke arah jeti itu. Aku mengikut sahaja bila Han mengajakku ke sana.
KAMI berada di sebuah kawasan jeti yang ada restoran untuk makan. Barulah aku sedar yang aku memang kelaparan. Tanpa menghiraukan Han, aku masuk ke restoran terapung itu dan melihat kalau ada makanan yang boleh ku beli. Ada nasi goreng ala kadar sahaja. Kerana memikirkan perutku yang kosong dan sangkaku dapat makan di tanah tinggi, aku beli juga sepinggan nasi dan sebotol air mineral. Itulah nasi goreng dan air mineral yang paling mahal pernah kubeli. Aku bayar sahaja kerana kalau aku lihat Han masih lagi dengan telefonnya. Ada talian ke kalau nak guna telefon itu? Aku berfikir sambil mulutku mengunyah nasi goreng yang berminyak itu. Seketika aku nampak Han duduk semeja denganku.
“Makan cepat sikit. Kejap lagi nak ambil bot,” katanya kepadaku.
“Nak naik bot ke mana?” soalku. Aku lihat beg troliku yang ku angkat tanpa bantuan Han masuk ke dalam bot tadi masih berada di suatu bahagian. Mungkin ke resort yang luas di hadapan mata dan dipisahkan oleh sungai? Sebentar sahaja, kataku di dalam hati tapi oleh kerana rasa tidak sedap hati, aku mula bertanya.
“Tempat kita nak tinggal empat hari ni,” kata Han.
“Kita tinggal di mana tu?” soalku.
“Camping dalam hutan.”
Aku terus berhenti makan. Aku nampak muka Han serius. Kali ini aku rasa perit untuk menelan nasi goreng itu.
“Serius?” soalku dengan wajah yang begitu serius.
“Kenapa?” soal Han dengan wajah yang tenang. Aku percaya Han memang boleh buat apa yang dia nak buat tanpa peduli tentang aku. Wajahnya kelihatan seperti menyembunyikan senyum. Dia juga cuba mengalihkan pandangan.
“Awak tipu,” kataku. Aku terus makan semula nasi goreng itu.
“Aku tak tipulah! Cepat sikit makan. Bot dah sampai tu,” katanya dan terus bangun dari situ. Aku telan suapan yang terakhir sebelum mencapai air botol dan mengekori Han ke sebuah bot. Aku tengok lebih kurang macam sampan sahaja. Bezanya, ‘bot’ ini berbumbung. Kali ini pembantu kepada pemandu bot itu menolongku dengan beg troliku. Kami menaiki bot hampir lima belas minit sehingga sampai di sebuah tempat penginapan. Sampai sahaja di jeti penginapan, pakaianku sudah separuh basah terkena air sungai. Aku berdiri tercegat sementara menanti Han selesai berbual dengan pemandu bot. aku dengar sesuatu yang berkaitan dengan tempat memancing.
Bila kedua-dua mereka berjabat tangan, aku ikut berjalan di belakang Han, dengan menarik troliku sendiri. Kami masuk ke tempat yang kelihatan seperti rumah orang Melayu. Lobi untuk kami mendaftarkan diri. Kemudian kami di bawa ke tempat tinggal yang Han telah dapatkan untuk penginapan kami. Alhamdulillah. Bukan kawasan perkhemahan seperti yang dikatakannya sebelum itu. Aku masuk ke dalam chalet papan yang betul-betul berhadapan dengan sungai. Masuk sahaja, bau rumah lama dapat kuhidu. Terdapat dua katil berasingan. Nampaknya, ini semua rancangan Han untukku. Aku tidak kisah. Tanah tinggi atau tanah rendah, aku akan redah juga. Sebaik sahaja aku meletakkan beg, Han sudah mengucapkan selamat tinggal kepadaku.
“Awak nak ke mana?” soalku. Panik juga kerana baru sampai sudah ditinggalkan.
“Aku nak pergi memancing. Aku rasa awak tak payah ikut. Lagi pun awak mungkin penat. Apa kata awak rehat sahaja. Kalau lapar, awak pergi sahaja ke tempat yang kita singgah tadi tu. Sebelahnya ada tempat makan. Saya dah uruskan semuanya. Awak beritahu sahaja nombor bilik ini,” pesan Han kepadaku sebelum dia pergi dari situ.
Aku termangu-mangu seorang diri. Seketika kemudian, aku bangun keluar ke beranda chalet yang berhadapan sebatang sungai. Sungai Pahangkah ini? Soalan geografi yang aku tidak mungkin dapat jawab dengan tepat. Perjalanan yang kuambil dari awal pagi sehingga kini memang memenatkan. Apa jenis manusia suamiku itu? Tidak kenal penatkah dia? Aku mengalih pandangan kembali ke dalam bilik. Komputer pun tiada dan talian telefon yang kulihat tadi pun tiada. Satu sahaja perkara yang boleh aku lakukan. Ikut cakap suamiku. Masuk bilik dan tidur sepuas yang kumahu. Aku masuk dan salin pakaian basahku. Nasib baik bilik itu ada penghawa dingin. Nyaman sungguh rasanya. Aku mula baring di atas katil.
Share this novel