Bab 29

Romance Completed 8896

SEPANJANG aku bercuti di Kedah, aku cuba menghubungi Papa tetapi Papa tidak mahu menjawab langsung panggilanku. Kalau aku tidak dapat hubungi Papa, aku akan telefon Mami Zan. Nampaknya, Papa masih dalam mod marah. Kata Mami Zan, Papa merajuk teruk denganku. Dalam perjalanan balik, aku hubungi Mami Zan sekali lagi sebab dua panggilan yang aku buat untuk bercakap dengan Papa masuk ke dalam peti simpanan suara. Aku dengar suara Papa di sebelah yang tidak mahu bercakap denganku. Aku minta Mami Zan beritahu Papa yang aku dalam perjalanan balik dari Kedah. Aku berjanji yang aku akan balik ke rumah pada cuti hari Ahad nanti.
Tidak lama selepas panggilan yang aku buat, aku pula menerima satu panggilan. Nombor telefon yang tertera ialah rumah Han. Pastinya Aunty Jah yang menelefon. Aku jawab panggilan telefon sambil meminta Che perlahankan bunyi radio kereta.
“Chaya apa khabar?” suara lembut Aunty berkumandang di cuping telingaku.
“Sihat Alhamdulillah. Aunty apa khabar? Uncle dan Umi semuanya sihat? soalku semula.
“Kami sihat Chaya. Chaya di mana ni? Bunyi macam dalam kereta saja.”
“Ha’ah, Chaya dalam kereta. Pergi outstation.”
“Oh jadi, Aunty ganggu Chayalah ni?”
“Tak adalah Aunty. Chaya dah nak balik pun.”
“Ye ke. Chaya sibuk ke sekarang ni?”
“Chaya sibuk sikit Aunty. Kena dera dengan bos Chaya,” balasku. Aku nampak Eid jeling melalui cermin memandu. Aku jelir lidah kepadanya.
“Tapi bos Chaya tu baik. Dia bayar gaji ikut time. Sekarang ni kurang sikit kerja. Jadi Chaya bolehlah lepas tangan,” aku ketawa.
“Oh, jadi Chaya tak sibuk sangatlah, kan? Aunty sebenarnya nak jemput Chaya datang ke rumah. Kami nak buat majlis kesyukuran sedikit.”
“Bila tu Aunty?”
“Hari Sabtu ni.”
“Sabtu ni ye? Siang ke malam Aunty?”
“Malam. Kenapa? Chaya tak boleh datang ke?”
“Chaya baru bercadang nak balik Seremban. Ahad ni.”
“Oh ye ke? Kalau macam tu, Chaya datang sajalah. Abang Farid, Kak Maiza dengan Nora pun ada. Kami jemput semua. Sepupu Chaya, Erin pun ada nanti. Kalau Chaya nak tidur sini pun lagi bagus. Nanti Aunty suruh Han hantarkan Chaya ke Seremban.”

Dadaku tiba-tiba berdebar bila dengar aunty sebut nama Han.
“Han dah balik ke Aunty?”
“Dah. Baru dua hari dia balik ke sini. Dia ada di depan tu. Chaya nak cakap dengan dia ke?” soal Aunty Jah.
“Eh, tak pe lah Aunty. Pasal majlis tu, InshaaAllah, kalau tiada aral, Chaya datang.”
“Datang, jangan tidak pula. Kami semua dah lama tak jumpa dengan Chaya.”
“InshaaAllah, Aunty,” balasku. “Kirim salam dengan Umi dan Uncle Mi.”
“Baiklah. Tak mahu kirim salam dengan Han juga ke?” Aku dengar Aunty Jah ketawa. Dia kenakan akulah tu.
“Boleh juga Aunty,” balas ku sambil ketawa. Gatal juga aku ni.
Aku tamatkan perbualan. Sambil tersenyum aku menyanyi di dalam hati. Han sudah balik ke Malaysia. Mulalah aku berangan untuk ke rumah Aunty Jah. Alasan aku untuk berjumpa Umi tetapi aku tahu kalau aku dapat lihat Han walau sesaat pun aku akan puas.

EID ingin menghantar aku balik ke Taman Melati tetapi aku cadangkan supaya mereka hantar aku ke butik sahaja. Lagi pun kesian pula kalau mereka terpaksa mengharungi kesesakan jalanraya yang ketika itu memang waktu orang balik kerja. Aku ada kunci untuk masuk ke dalam butik tersebut. Esok butik akan dibuka seperti biasa. Memandangkan cara kerja aku flexible, aku boleh balik pagi esok dan datang lewat tengahari dan kerja sampai malam.
Sampai sahaja di hadapan butik, aku terus masuk ke dalam dan mengunci pintu sebelum melambai kepada mereka. Eid kata dia akan datang jemput aku makan malam nanti dan kalau aku hendak balik ke rumahku, dia boleh tolong hantar. Aku masih lagi segar walaupun lebih enam jam perjalanan. Mungkin aku dapat nafas baru apabila bercuti di Kedah. Tok Eid menghadiahkan aku sepasang baju Kedah yang aku pakai tempoh hari. Kami juga dibekalkan dengan rendang dan pelbagai macam kuih muih. Aku rasa seluar aku sudah semakin ketat sepanjang empat hari itu. Bila teringatkan Han, aku rasa aku kena jaga sedikit badanku. Takut juga kalau aku tergemuk nanti. Macam Ula kata, kalau dah berisi nanti, tak ada pula yang inginkan aku. Sementara menunggu hari malam, aku ambil keputusan untuk menyusun atur baju-baju di butik itu. Malah, aku ubah meja hiasan dan sofa ungu yang berada di tengah-tengah kedai supaya pelanggan yang datang, boleh nampak terus hiasan itu bila mereka masuk ke kedai.
Eid dan yang lain datang tepat pukul lapan malam untuk mengajakku makan. Aku ingat dekat sahaja untuk makan, rupa-rupanya mereka bawa aku makan ikan bakar di Klang. Aku memang seronok bersama ketiga-tiga lelaki ini. Contohnya, seperti ketika aku masuk ke tempat makan di Rehat dan Rawat, aku perasan ramai yang memandang kami. Mungkin mereka hairan kenapa ada seorang gadis sepertiku ada tiga jejaka yang bersama. Bukan itu sahaja, Eid dan yang lain memang gentlemen. Apa aku mahu, semua mereka tolong ambilkan. Aku terasa dilayan seperti seorang puteri.
Sama juga pada malam ini. Eid dan Che memakai seluar khaki dan berbaju T yang sedikit ketat sehingga menampakkan susuk tubuh mereka. Seperti yang aku katakan, aku tidak kisah apa hubungan mereka, asalkan jangan hubungan yang dilaknat sudahlah. Aku tidak pernah bertanya tetapi aku lihat hubungan mereka bukan seperti pasangan yang kadangkala aku nampak di sekitar Kuala Lumpur. Mereka termasuk Amy lebih kepada kawan yang akrab. Kawan yang memahami siapa diri mereka dengan erti kata yang sebenar. Kawan yang mungkin dapat bersama sehingga ke hari tua. Kompleks untuk aku memahaminya. Namun begitu, aku senang hendak bergaul dengan mereka.
Aku memesan udang masak cili manakala lauk yang selebihnya adalah ikan pari bakar, sayur kangkung belacan dan sotong goreng tepung. Kami makan sambil berbual. Sambil mendengar deruan ombak yang memukul pantai. Ada juga yang berkaraoke di situ. Aku rasa kehidupan baru seperti ini yang aku mahukan. Jiwaku bebas. Banyak perkara yang aku boleh belajar. Banyak pengalaman yang aku boleh dapat. Seperti ada sesuatu yang aku mahu lakukan untuk diriku. Aku ingin cadangkan sesuatu. Aku utarakan kepada Che kerana dialah yang paling senior antara ketiga-tiga lelaki itu.
“Chaya nak tanya cadangkan sesuatu boleh tak, Che?” soalku.
“Apa dia Chaya?”
“Ada terfikir tak nak jual pakaian secara online? Jual melalui Internet?”
“Ada tu memang dari dulu lagi, tapi we all ni tak ada masa dan satu lagi tak cukup kaki dan tangan ni, hah. Kenapa Chaya tanya? Nak tolong we all buka website ke?”
“Itu yang Chaya nak cakap. Rasanya kalau promote melalui Internet bukan guna modal yang banyak sangat. Boleh guna FB atau Insta. Lepas tu, kalau orang teringin nak beli, dia boleh datang ke butik atau kita boleh buat delivery,”
“Cadangan tu memang menarik. We all pun tahu ramai pereka yang gunakan Internet untuk jual. Cuma kalau nak explore bende ni, kena sit down dan fikir betul-betul. Tak mahulah kalau sekadar ada tapi tak selalu aktif,” tambah Eid.
“Masa I dengan Che nak mulakan bisnes ni dulu pun we all tak ada modal. Lepas tu we all buat dari rumah saja. Bila dah ada modal, barulah we all dapat buka butik tu sampailah jadi macam sekarang. We all ni cuma tahu cari makan dengan jahit baju. Nasib baik ada Eid. Boleh juga dia buat pemasaran tu. Kalau dapat kembangkan perniagaan, lagilah we all suka,” jelas Amy pula.
“Apa kata lepas makan ni kita balik butik. Duduk bincang tentang ni. Kalau ikut apa yang kita dah buat dalam sebulan dua, nak cuba masuk bidang urus orang kahwin banyak juga yang kita masih kekurangan, tapi kerjanya pula mak oii…tak kira masa,” balas Che.
“Chaya tak kisah. Tapi esok kena bagi Chaya off lah,” balasku.
“Boleh kalau nak off. Gaji pun off jugaklah,” balas Eid.
“Tak kisahlah. Sekarang ni Chaya tak kisah sangat pasal duit. Chaya nak belajar banyak perkara. Che, Amy dan Eid boleh tolong ajar Chayakan? Kiranya macam Chaya belajar sambil bekerja.”
“Chaya nak belajar apa? Menjahit ke”
“Yang itu, Chaya kena bagitahu Chaya tak ada talent. Kalau boleh ajarlah Chaya pasal fabrik, nak kenal fabrik apa yang sesuai untuk apa.”
“Kalau yang itu kena suruh Amy jadi cikgu Chaya. Dia dapat senarai dekan masa di UITM dulu,” balas Eid.
“Tak kisahlah sesiapa pun yang ajar.”
“Kalau macam tu, lamalah Chaya dengan we all,” balas Amy.
“Itu pun Chaya tak kisah. Chaya rasa Chaya nak terjun bidang ni jugak. Kalau Chaya sampai seru buat benda lain, Chaya buatlah benda lain. Tapi buat masa sekarang, pada malam ni, Chaya nak jadi macam you all.”
“Boleh, tapi tak boleh tukar jantina, haram!” kata Amy sambil ketawa. Aku pun ketawa juga.



---------------------------------///-------------------------------

KAMI baru sahaja duduk berbincang dalam sejam lebih apabila pintu butik diketuk kuat dari luar. Ketika itu kami berkumpul di ruang bilik yang berada di belakang butik. Ruang inilah yang digunakan oleh Che dan Amy untuk mengubah dan menjahit di butik kalau mereka tidak menjahit di rumah mereka. Tempat ini juga menjadi ruang untuk aku membuat kerja sambilan menjahit labuci dan sebagainya. Tempat ini terlindung dari pandangan pelanggan. Aku panik juga. Manalah tahu kalau ada penguatkuasa yang datang. Dahulu kalau aku bermalam di sini pasti ada rakan sekerja perempuan yang lain. Ini tidak. Aku bersama dengan tiga orang lelaki. Kecut perut juga. Maklumlah, aku bukan biasa buat perkara seperti ini. Lepak dengan tiga lelaki sekaligus lewat malam sebegini. Dibuatnya pencegah maksiat yang datang, lagilah parah. Amy sudah pun terlentuk tidur di suatu ceruk. Che nampak biasa sahaja ketika melangkah keluar dari bilik belakang untuk melihat siapa yang datang. Sekejap kemudian, dia masuk ke dalam dan memandang aku.
“Chaya, ada seorang lelaki nak jumpa. Dia tunggu di luar.”
“Lelaki? Kejap ye,” kataku kepada Che dan Eid sambil bangun untuk keluar dari situ. Eid memandang Che dan mereka buat keputusan untuk mengekori aku keluar dari bilik. Aku terkejut bila melihat lelaki yang aku rindu selama ini berada di hadapanku. Aku tahu aku kaku kerana terkejut yang amat. Aku tak jangka Han akan muncul di depan mataku. Dia mengenakan sehelai baju T hitam dengan seluar jeans. Bila Han berdiri di hadapanku ketika ini, barulah aku nampak ketampanan dan ketinggian yang dia miliki.
“Eh, Encik Han. Cari saya ke?” soalku seolah-olah kehadirannya di situ tiada kaitan langsung dengan perjalanan jantungku yang laju itu. Aku perasan Eid dan Che sudah ada di belakangku. Han melihat mereka dan kemudiannya dia bersuara.
“Aku nak kau ambil barang kau dan ikut aku sekarang juga. Aku ada hal nak cakap dengan kau,” katanya. Suaranya keras dan wajahnya tiba-tiba menakutkanku. Kenapa jadi begini pula?
“Ada apa? Umi dan Aunty sihat ke?” tanyaku. Pantang juga di pagi buta ini orang naik suara padaku. Tapi takut juga kalau dia datang sebab sesuatu berlaku kepada Umi atau pun Aunty Jah.
“Aku datang bukan pasal dorang. Kau ikut aku sekarang juga. Mana beg tangan kau?”
“Nanti. Ada apa awak cari saya ni. Tiba-tiba nak marah ni.”
“Kau ni pekak ke apa? Ikut aku sekarang atau aku heret kau keluar.”
“Hello brother.,” Eid mencelah.
“Apa brother? Bila pulak kau jadi adik aku?” katanya. Terus terdiam Eid seketika.
“Minta maaflah Encik Han ye? Kalau nak bercakap dengan Chaya, minta janganlah tinggikan suara. Dia ni perempuan. Kita yang lelaki ni kena berlembut dengan mereka,” jelas Che pula. Aku nampak muka Han berubah bila Che menegurnya.
“Kau apa kisah. Ikut suka aku nak cakap macam mana. Kau tak ada hak nak masuk campur dalam hal aku dengan dia. Kalau kau prihatin sangat, kau tahu kan yang kau bawa anak dara orang keluar malam tu bukannya baik. Nak tegur aku konon. Cermin dulu diri kau tu,” kata Han. Belum sempat ada yang membalas, dia sudah pandang aku.

“Kau ni tak ada harga diri ke? Tak ada maruah ke? Duduk dengan dua orang jantan sampai ke pagi. Tak malu sungguh!”
Darah aku sudah naik ke kepala. Belum sempat aku nak keluarkan kata-kata, Amy pula keluar dari belakang dengan rungutannya.
“Hoi! Apa yang bising-bising ni. Nak tidur pun tak boleh!” kemudian dia terdiam bila ternampak Han. Aku tahu Amy jenis yang suka tengok lelaki seperti Han. Tambah-tambah lagi Han berjambang seperti pertama kali dahulu. Kali ini wajah Han langsung nampak marah. Dia melurut jambangnya yang seinci dua itu.
“Tiga jantan Chaya? Hebat betul kau. Tapi yang ketiga ni nampak lembik sikitlah.”
Aku terus berpeluk tubuh. Gerak badanku mula menunjukkan reaksi ingin menentang. Mempertahankan apa yang patut dipertahankan.
“Kalau datang nak marah saya seorang, saya tak kisah. Tapi tolong jangan buat andaian dan tolong jangan mengata kawan-kawan saya tanpa usul periksa. Saya hormat awak dan sebelum saya pula yang naik suara, sila keluar dari sini dengan segera. Sekarang juga, please,” kataku kepadanya.
Han berjalan dan berhenti betul-betul di hadapanku. Aku terpaksa kawal debaran jantungku supaya tidak siapa yang mendengarnya.
“Ikut aku sekarang. Kita perlu berbincang,” kali ini suaranya lembut sedikit.
Aku tetap dengan pendirianku. Masih berpeluk tubuh.
“Kalau ada apa-apa yang awak nak cakap, cakaplah. Saya dengar,” kataku.
“Aku kata kita bincang di luar boleh tak? Mari,” ajaknya.
“Cakap di sini sajalah,” kataku.
Han tidak beri aku peluang. Dia tarik tanganku. Terkejut aku dengan perlakuannya. Aku meronta dan menarik balik tanganku.
“Apa awak nak buat ni?”
“Ikut suka akulah aku nak buat apa. Aku ada hak terhadap kau?”
“Excuse me?” soalku.
“Kau tu tunang aku, kau tahu tak?”
Hah! Aku terkejut sehingga naik suaraku menjerit kecil. Kepalaku pening-pening lalat. Berpinar-pinar. Aku salah dengar ke atau tidak?

“Apa ..apa awak cakap?”

“Kau tu tunang aku, faham tak?”
Aku terus terpaku dan terdiam seperti patung bernyawa.

Panik juga time ni saya nak mengarang bagaimana nak beritahu Chaya siapa tunang dia...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience