“BETUL ke lelaki semalam tu tunang kau Chaya?” Eid menyoal ku sebaik sahaja aku letakkan tas tanganku di belakang kerusi sambil duduk mengadapnya. Dia sedang minum kopi panas yang dibeli di kafe berdekatan. Tiada pula kelibat Che atau pun Amy. Selalunya mereka datang bersama. Kalau seorang tiada, yang seorang lagi pun sama juga.
“Saya ambil satu,” kataku kepadanya bila aku lihat ada kentang goreng di hadapan mataku. Aku mengunyah kentang goreng itu sambil mengiyakan pertanyaan Eid.
“Awak meraung dalam kereta tempoh hari tu sebab tak mahu kahwin dengan dia ke?’
“Saya menangis sebab saya tak mahu bertunang dengan orang yang saya tak kenal. Tapi kalau dia tu, macam mana saya nak kata? Saya suka dia. Soalnya sekarang, dia tak suka saya,” kataku.
“Kalau dah suka dia, kenapa awak tak berterus terang sahaja?”
“Saya ada sebab kenapa Saya tak boleh beritahu dia yang saya suka dia. Awak tak akan fahamlah sebab tu.”
“Cer.. cerita..cer ..cerita. Manalah tahu kalau saya faham ke?”
Sambil aku mengunyah kentang goreng, aku ceritakan kepadanya kisah cintaku yang tidak tidak kesampaian.
“Tiga kali saya kenal lelaki yang saya suka. Sayalah orang pertama yang berterus terang dengan mereka. Lelaki pertama lebih berminat dengan sepupu saya. Lelaki kedua pula tak berminat nak bercinta dan confuse sikit agaknya. Ha’ah, awak la, sapa lagi. Manakala lelaki ketiga akan bertunang dengan sahabat baik saya?”
“So?”
“Jadi, kali ini saya rasa kalau ada orang yang suka dengan saya dan kalau saya pun suka orang itu, saya tunggu saja sampai dia menyuarakan hasratnya kepada saya dulu. Saya nak test teori saya. Kalau dia declare dulu mungkin kami ada harapan besar untuk bersama selama-lamanya.”
“Dan Han?”
“Harapan yang tipis tetapi saya berharap juga. Dia tak cakap apa-apa pun.”
“Jangan berharap saja. Kalau nak ada dua sahaja cara. Usaha dan doa.”
“Oh, kalau bab doa tu siang malam saya buat. Kalau usaha tu nanti nampak sangatlah pulak yang saya nak sangat dengan dia tu. Lagi pun saya kena buat keputusan. Nak teruskan atau tidak pertunangan ni?”
“Kenapa pulak sampai macam tu?”
“Semalam masa dia bawa saya pergi dia kata dia tak mahu nak bertunang dengan saya. Tup tup pagi tadi dia ajak saya teruskan dengan alasan kami kena fikir perasaan keluarga kami. Mulanya saya pun kata yang saya tak mahu terikat. So, sekarang ni turn saya pula untuk putuskan sama ada nak teruskan atau tidak.”
“Siapa dia tu Chaya?”
“Ingat tak masa saya nak kerja dulu tapi tak jadi sebab saya kata saya kena kerja di tempat lain. Saya jaga dialah sebab dia accident,” aku pun mula bercerita dengan Eid dari urusan perkahwinan Erin sehinggalah aku terjebak menjadi penjaga di rumah Han.
“Bunyi macam keluarga Han sukakan awak.”
“Saya bukan nak mengaku perasan. Tetapi rasa-rasa pun macam tu juga,” balasku dengan penuh yakin.
“Kalau saya jadi awak, saya cuba ambil kesempatan ni untuk tambat hati dia. Usaha untuk pikat diri dia.”
“Kalau saya pula jadi awak Eid, saya iaitu awak, akan beritahu saya macam mana nak buat macam tu tapi tak mahu nampak obvious yang saya nak dekat dia.”
“Bab ni tak boleh tanya saya sebab saya tak cekap hal-hal macam ni. Kena tanya Amy. Dia pro sikit.”
“Mmm… malas nak cakap lebih. Saya nak start buat kerja. Hari ini nak buat apa?”
“Hari ni awak kena tolong buka semua majalah baru tahun baru. Selalunya ada trend terbaru. Kalau awak boleh identify dengan mata perempuan awak, fesyen mana yang rasanya boleh tarik perhatian kaum perempuan, itu yang terbaik.”
“Oh itu senang saja.”
“Itu bukan kerjalah. Itu part time belajar. Kata nak belajar kan? Sekarang kerja yang sebenar. Saya nak awak kemas di belakang ni. Susun semuanya dan kalau ada barang yang awak rasa tidak perlu, letak setempat. Nanti Che akan check. Kita nak tempat ni clear. Stok baru nak masuk. Satu lagi, hal online tu. Lepas awak pergi semalam, kami dah berbincang. Idea awak tu bagus sangat. Saya akan buat kertas cadangan. Saya perlukan kepakaran awak dalam beberapa hal kalau kita nak buat online. Kalau Che dengan Amy bersetuju dengan kertas cadangan kita tu nanti, barulah on.”
“Ok. Saya suka sangat. Saya boleh tolong, tapi kalau Eid nak kita duduk dalam sehari dua ni tak boleh. Esok hari Ahad saya tak kerja. Mungkin hari Isnin kita boleh bincang?”
“Boleh je. Saya pun kena fikir banyak perkara dulu. Kita buat minggu depan. Sekarang kalau awak dah kenyang makan kentang goreng saya, silalah buat kerja ye,” katanya sambil mengangkat cawan kopi yang kosong untuk dibuang ke dalam tong sampah. Aku kunyah kentang yang terakhir. Rasa bersalah pula kerana makan keseluruhan kentang gorengnya. Aku bangun sambil mengemas kertas, bekas kentang goreng dan apa sahaja yang ada di atas meja bulat kecil itu. Selepas menyimpan beg tanganku, aku terus jalankan tugasku di butik itu.
AKU tersenyum ketika berpaling untuk menyambut pelanggan yang baru masuk ke dalam butik. Senyumku sekali lagi kaku. Han masuk ke dalam butik dengan wajah yang sudah bersih dari jambang dan pakaian yang aku kira baru keluar dari kedai. Amy terus datang dan berdiri di sebelahku. Dia berbisik, tapi aku rasa Han boleh dengar bisikannya itu.
“Handsome tunang you. Kalau tak mahu, boleh pass kat I,” katanya. Amy dan Che juga baru tahu siapa tunangku itu. Hatiku berdebar-debar ketika dia datang menghampiriku.
“Habis kerja pukul berapa?” soalnya.
“Pukul sepuluh malam. Kenapa tak telefon beritahu nak datang?” aku membalas. Sekarang baru pukul lapan setengah malam. Aku ingat pagi tadi ketika dia menghantarku ke sini, aku ada katakan kepadanya yang aku akan habis pada pukul sepuluh. Dia tak ingat atau pun dia buat tak endah? Soalku sendiri di dalam hati.
“Saja datang awal. Nak tengok apa awak buat di sini?”
“Dia tak buat apa-apalah dengan kami. Kalau you nak buat apa-apa, silakan saja,” Amy mencelah perbualan kami.
Aku nampak Han sedang mengawal dirinya. Aku siku Amy dengan tanganku.
“Lagi sejam lebih baru saya habis. Kalau awak nak tunggu, apa kata awak tunggu di luar saja atau awak pergi mana-mana dulu ke?”
“Kau dah buat keputusan ke belum?”
“Pasal hal kita?” aku jeling Amy supaya dia masuk ke belakang. Amy bos aku juga. Jadi aku jeling dia dengan manja dan pandangan yang seolah meminta dia beredar dari situ. Amy gelengkan kepalanya kepadaku. Dia beredar masuk ke belakang.
“Saya dah fikir tetapi saya masih tidak pasti lagi.”
“Apa yang kau risaukan?”
“Kalau kita teruskan, nanti bila kita nak putus, macam mana nak beritahu semua orang? Kalau boleh saya tak mahu nampak bersalah,” kataku tegas.
“Aku pun dah fikir. Bila kita nak putus nanti, kita akan buat macam kau tinggalkan aku. Biar aku yang nampak bersalah,” katanya.
“Awak serius? Awak tak kisah?”
“Apa yang aku nak kisahkan.”
“Tapi kalau saya tinggalkan awak, saya tak nak la pulak nampak macam saya yang jahat dalam hal tu nanti.”
“Ye. Aku akan pastikan aku jadi orang jahat. Kau je yang baik. Kau nak kahwin dengan aku tapi pasal aku buat jahat, kau terpaksa tinggalkan aku. Boleh?”
Aku angguk kepala beberapa kali.
“Kalau kena gaya macam tu, saya setuju kalau kita teruskan.”
“Hah! Cantik!” jerit Amy dari belakang.
Aku berikan senyuman paling manis pada Han.
“Kalau awak tak kisah, saya nak minta awak tunggu saya di luar sebab saya nak teruskan buat kerja.”
“Tak apa kalau nak tunggu di dalam ni pun. Sofa tu ada,” kata Eid dari belakang. Dia bawa satu mug berisi kopi panas dan letakkan di meja di sebelah sofa ungu itu.
“Ini air untuk awak kalau nak minum,” tambah Eid lagi. Bila dia letak air itu, dia terus ke belakang kaunter untuk buat kerjanya.
“Terima kasih,” balas Han. Dia duduk di kerusi lalu minum dari gelas itu. Aku sambung semula kerjaku. Berdiri di kaunter untuk menunggu pelanggan. Sambil aku berdiri, sambil itu aku menelaah majalah tahun baru untuk mencari fesyen yang mungkin popular. Aku sepatutnya lihat fesyen baju tetapi aku sudah tiga empat kali menatap muka surat yang sama.
“Kau dah ada baju untuk majlis esok?” Han tiba-tiba bertanya kepadaku.
“Apa dia?” soalku kembali.
“Esok. Rumah aku. Dah ada baju nak pakai ke belum?”
“Majlis kesyukuran kan? Pakai baju kurung sajalahkan?”
“Bukan majlis kesyukuranlah. Majlis pertunangan. Mama aku ajak kau datang majlis yang dia sebut tu sebab dia tak mahu kau tahu itu majlis untuk aku dan kau.”
“Apa?” aku mula panik. “Kenapa Aunty nak buat macam tu pulak?”
“Sebab masa mereka datang melamar kau dulu, kau tak ada. Jadi tak ada orang yang Umi nak sarungkan cincin. Kau punya hal, terus berubah tradisi keluarga aku sarungkan cincin di rumah orang perempuan.”
“Kenapa Papa saya tak beritahu pun pasal ni?” aku terfikir seketika.
“Aku agak keluarga kau dengan keluarga aku berkomplot. Kononnya nak buat majlis kesyukuran. Nasib baik aku dengar mereka berbual. Aku beritahu kau ni pun supaya kau bersedia. Tak terkejut pula nanti. Dan aku rasa ada kalau kau sampai nanti, baik kau pura-pura terkejut. Buat macam mereka dah scam kau.”
“Habis tu semua saudara mara awak pun akan ada di sanalah?”
“Tak adalah sampai satu kaum seluruh Malaysia berkumpul. Cukup dengan keluarga aku dan family yang dekat saja. Dan family kau.”
Aku berfikir sekejap. Satu hal pula majlis ini diadakan untuk meraikan aku dan Han.
“Saya tak biasalah macam ni. Kalau tak pergi boleh tak. Awak kata sajalah yang saya demam ke atau apa ke?”
“Kalau kau deman, nanti satu batalion tu datang cari kau macam mana? Apa yang kau nak takut sangat. Anggap saja majlis biasa. Lagi pun untuk satu malam saja. Lepas acara bertunang tu kau pura-puralah pening kepala. Kau masuk rehat sampai orang semua balik. Settle?”
“Aku setuju dengan cadangan Sharhan. Memang boleh pakai idea tu. Chaya ni memang pandai berlakon,” kata Eid kepadaku tanpa diundang.
“Aku pun setuju. Apa-apalah yang kau orang bincangkan,” tambah Amy yang keluar untuk mencari sesuatu. Main pakai setuju saja.
“Ok kalau macam tu,” kataku. “Lepas kerja ni kena singgah rumah saya untuk ambil baju.”
“Tak perlulah. Ambil saja baju yang ada di sini,” kata Han.
Aku pandang Han. Ingat aku kerja di sini boleh pakai ambil sahaja ke baju di sini.
“Kita balik ambil sekejap saja.”
“Pilihlah satu Chaya. Kami tak kisah. Nanti tolak upah je,” kata Amy sambil ketawa kecil. Dia pergi ke satu rak baju dan mengambil sehelai baju berwarna hijau gelap. Baju kurung moden dengan hiasan sulaman perak.
“Apa kata kau cuba baju ni,” kata Amy. Aku geleng kepala.
“Cuba sajalah,” kata Eid pula.
Aku ambil baju itu dan bila aku hendak masuk ke dalam bilik persalinan, Amy datang dengan beberapa helai baju lagi.
“Laki kau suruh cuba semua ni.”
“Bukan laki sayalah.”
“Kalau dah bertunang dengan kau tu, tak lama lagi jadi laki kaulah.”
“Jangan panggil dia macam tu. Chaya tak sukalah.”
“Kata saja tak suka. Dalam hati suka sampai nak pengsan.”
“Shhh…cakap perlahan sikit. Nanti dia dengar malulah.”
Aku masuk ke dalam dan mencuba tiga pasang pakaian. Semua saiz masuk dengan tubuhku. Akhirnya, aku pilih maxi hitam yang tidak ada langsung hiasan kecuali tali lilit di pinggang sahaja. Lagipun aku tengok harganya yang paling murah.
“Macam mana? Ada yang berkenan?” soal Amy bila aku bawa baju kembali ke rak untuk digantung semula. Aku tahu Han sedang memerhati.
“Chaya ambil yang hitam ni. Nanti potong dari gaji ye,” kataku perlahan.
Han menghampiriku. Dia mengambil baju hitam itu dari tanganku. Dia pergi ke rak dan mengambil dua baju yang aku gantung tadi. Dia bawa ke kaunter. Eid berdiri bersedia menunggunya.
“Idham. Saya ambil semuanya,” kata Han. Kad kredit dikeluarkan dan diserahkan kepada Eid. Aku menerpa.
“Janganlah macam ni. Saya nak yang hitam tu saja,” kataku. Tanganku menahan tangan Han dari menyerahkan kad itu.
“Aku dah kata yang aku akan berikan kau apa saja yang kau nak kalau kau setuju tolong aku dalam hal ini.”
Aku diam. Pandangan yang Han tunjukkan padaku buat aku terdiam. Mataku bertembung dengan pandangan mata Han buat seketika. Aku hanya dengar Eid berdehem sehinggalah Han beralih kepadanya. Kad kredit di ambil untuk pembayaran tiga pasang pakaian. Tiga pasang. Yang mana satu aku akan pakai untuk majlis itu sekarang?
AKU terus dibenarkan pulang oleh rakan kongsi yang ada di butik itu memandangkan ‘tunang’ aku berbelanja besar di situ. Aku tidak berani untuk melihat atau mendengar amaun yang dibayar oleh Han. Aku terus ke belakang butik untuk mengambil beg tanganku. Beg sandang yang aku bawa bercuti ke Kedah berada di dalam jip Han. Dia suruh aku tinggalkan di situ. Agaknya sebagai alasan untuk berjumpa aku semula atau pun jaminan untuk aku berjumpa dengannya. Selepas aku ucap selamat malam kepada Eid dan Amy, aku terus masuk ke dalam jip Han. Tiga beg kertas dengan logo butik tersusun di belakang jip.
“Boleh tak hantar saya balik ke rumah saya sekejap?”
“Kita balik rumah Subang. Kau tidur di sana. Esok kita sama-sama ke Kajang.”
Aku telan air liur bila Han kata begitu. Pertama dia bahasakan diri aku dan dia sebagai ‘kita’. Kedua dia kata balik ke ‘rumah Subang. Seperti rumah kami berdua di Subang rasanya.
“Saya kena balik ke Taman Melati. Kalau awak malas nak hantar, saya boleh ambil LRT. Saya kena balik sana. Pertamanya, sebab saya ada banyak baju busuk dalam beg sandang yang besar tu. Kedua, saya tiada stok yang segar….” aku kata sambil tekankan perkataan segar itu. “…dan ketiganya, walaupun saya communicate dengan kawan saya Ula bagi alasan kenapa saya dah lama tak balik rumah, saya kena jumpa dengan dia, kalau tidak, dia akan hantar mesej SOS kepada Erin dan Nadia. Tanpa kita tahu, seluruh orang Seremban akan naik KL cari saya.”
“Ok. kalau kau terlalu terdesak, kita ke sana sekarang.”
“Thank you.”
Han tiba-tiba keluar dari kereta. Dia berjalan ke bahagian aku duduk, buka pintu kereta dan suruh aku keluar.
“Kenapa?”
“Kau bawa kereta. Aku malas nak masuk KL lepas tu nak bawa sampai ke tempat kau,” katanya kepadaku. Memang aku tidak percaya ada juga lelaki yang kurang budiman seperti Han wujud di dalam dunia ini. Aku turun dari tempat dudukku dan beralih ke tempat pemandu. Bila aku mahu mula masukkan gear barulah aku sedar jip itu bergerak secara gear manual dan bukannya automatik.
“Saya tak pandai bawa kereta ni,” kataku kepada Han yang baru sahaja duduk di tempat penumpang.
“Kenapa?”
“Gear manual. Saya tak belajar. Awak bawalah ye, please?” kataku dan tanpa memberi peluang dia menjawab, aku terus turun dan ingin menukar tempat dengannya semula. Dia juga turun dari tempat penumpang.
“Ingatkan aku untuk ajar kau bawa kereta manual,” katanya kepadaku bila dia mula bawa kereta itu keluar dari kawasan deretan rumah kedai di mana terletaknya butik, tempat aku bekerja.
Share this novel