“ABANG nak bawa Ya pergi mana malam-malam ni?”
“Ya tunggu dan lihat saja,” balas Han. Dia memandu melalui lebuhraya. Di sebelah kanan ialah Putrajaya tetapi aku tidak kata apa-apa. Aku tekan butang radio di dalam kereta. Tiba-tiba, ada satu lagu yang ku suka dimainkan. Secara spontan aku menyanyikan lagu itu.
“Ya mungkin suka lagu ni. Sebab Ya boleh ingat lirik lagu,” kataku kepada Han bila menyedari aku menyanyi lagu yang berkumandang itu.
“Tak sangka Ya boleh ingat lirik dia.”
“Mungkin lirik itu ada dalam fikiran Ya. Sebab tu secara semulajadi Ya boleh nyanyikan lagu ni,” kataku lagi. Lagu itu masuk bahagian korus. Aku teruskan menyanyi sehingga selesai lagu itu berkumandang.
“Lagu ni sedap, tapi suara Ya…” Han gelengkan kepalanya beberapa kali.
“Tak sedap?”
"Boleh tahan. At least pitching tak lari.”
“Jadi Ya boleh masuk contestlah kan?”
“Boleh, tapi tak ada harapan untuk dapat tempat.”
“Kenapa pula?”
“Ya tak ada pakej.”
“Kalau Ya tak ada pakej, bagaimana abang boleh kahwin dengan Ya?”
“Itu Ya kena ingat sendiri nanti. Abang tak mahu cerita. Kalau Ya tak ingat sampai kita tua bangka pun abang takan cerita.”
“Abang kahwin dengan Ya sebab abang sukakan Ya ke?”
Han tidak menjawab soalanku. Dia hanya tersenyum melihatku.
“Kenapa abang tak mahu jawab?”
“Sebab abang tak rasa masanya sesuai.”
“Sesuai untuk apa?”
“Untuk luahkan perasaan abang.”
Hatiku berdebar-debar. Bila lagi harus ku nanti? Dua hari aku bersama dengannya, aku dapat rasakan perasaan Han yang mendalam terhadapku. Walaupun sepatah kata tentang cinta belum lagi dia ucapkan kepadaku, kecuali semalam ketika dia ucapkan sesuatu sebelum aku tidur. Aku tidak kisah. Malam ini juga aku akan berterus terang dengannya tentang hal hilang ingatanku ini. Aku berdoa Han tidak akan marah atau pun berkecil hati. Takut juga aku untuk hadapinya nanti.
STUDIO milik Han. Hiasan dalaman yang amat berbeza. Aku simpan komenku. Di dalam hati aku terpegun dengan hiasan serba moden itu. Aku berpura-pura melihat keadaan sekeliling seperti baru pertama kali aku melihat unit itu. Padahal aku mencari kelainan yang ada. Dinding putih yang dahulunya kusam kini dicat kembali. Langsir baru kosong berwarna coklat pekat tersusun menghiasi cermin sliding balkoni. Katil yang lama sudah bertukar baru. Malah cadar krim dan coklat nampak baru sahaja dipasangkan ke tilam. Terdapat sebuah almari empat pintu di ruang yang dulunya penuh dengan ampaian dan kain baju. Seluruh kawasan diletakkan dengan kemasan lantai papan. Paling jauh berbeza ialah wangian bau di seluruh unit itu.
“Cantiknya tempat ni,” kataku. Bukan aku berbohong tetapi itulah hakikatnya. Han memandangku seperti mahu melihat reaksi dan juga persetujuanku.
“Ya suka?”
“Suka. Rumah siapa ni?”
“Rumah kita.”
“Kita tinggal di sini? Bagaimana kita tinggal di sini? Tak ada bilik ni.”
Aku dengar Han ketawa.
“Apa yang Ya risaukan. Kita kan suami isteri. Anyway, malam ni kita tidur sini.”
“Hah? Nak bermalam di sini?? Kenapa nak tidur sini pula? Kita balik ke rumah sajalah,” aku mula rasa tidak selesa.
“Abang dah beritahu Mama yang malam ni kita di sini. Apa yang Ya risaukan?”
“Ya tak bawa apa-apa pun. Kita kena balik. Ya perlukan berus gigi Ya, baju tidur dan kalau tidur sini, esok Ya nak pakai apa? Takkan nak balik pakai baju yang sama. Nanti apa kata Mama dengan Umi. Tak naklah. Lain kalilah kita tidur sini.”
Bila aku cakap, suamiku buat tak endah sahaja. Dia ke almari dan menarik beberapa helai pakaian yang bergantungan. Kemudian dia dapatkan beberapa barang lagi. Semuanya dilonggokkan di atas katil. Dia ajak aku ke katil. Aku tahu apa yang ada di atas katil itu. dengan berat hati, aku berjalan beberapa langkah sehingga sampai di sisi katil.
“Abang dah sediakan semuanya untuk Ya. Kalau nak pakai baju apa esok, Ya ada beberapa pilihan. Abang dah beli semuanya.”
Aku saling berpandangan dengan Han sebab dia berhenti bercakap dan memandangku. Aku melihat pakaian di atas katil. Helaian baju T, kemeja dan seluar ala-ala yoga seperti yang selalu aku pakai. Dan beberapa helai selendang, Kemudian dia sambung semula percakapannya.
“Kalau Ya nak tidur, pakaian tidur pun ada di sini. Tuala, berus gigi, pencuci muka, pelembab muka. Apa yang Ya mahu semuanya ada. Kalau tak cukup, kita boleh cari di mall. Sekarang pun belum pukul sepuluh malam. Rasanya ada kedai yang masih buka,” panjang lebar suamiku menjelaskan kepadaku.
“Tak apalah. Kalau dah ada semuanya di sini, kita tidur sajalah malam ni di sini,” kataku. Aku pegang pijama lembut bewarna coklat. Aku lihat Han gantung semula pakaian-pakaian lain yang dilonggokkan tadi. Kemudian dia serahkan kepadaku sebuah beg kertas dengan suatu jenama pakaian dalam.
“Abang minta Erin tolong belikan sebab abang tak berapa pandai hal ni.”
Aku sambut pemberiannya.
“Abang guna dulu bilik air. Lepas dah siap nanti, kita layan movie. Ada cerita menarik. Kita boleh tengok sama-sama.”
Han terus masuk ke dalam bilik air. Sementara itu aku keluarkan barangan dari beg kertas. Beberapa pakaian dalam. Aku rasa bangga. Suami aku yang dulunya tidak pernah minta bantuan, kini tidak segan untuk dapatkan bantuan. Semata-mata kerana aku.
KAMI menonton sebuah cerita percintaan. Aku tidak pasti apa motif Han menayangkan cerita itu padahal aku tahu dia tidak minat genre seperti itu. Mujur juga ada komedi diselitkan di dalam cerita. Sekurang-kurangnya aku dapat mengawal perasaan gemuruh kerana sepanjang menonton, Han asyik memelukku sahaja. Bila Han menutup televisyen dan mengajakku tidur, aku semakin tidak tenteram.
“Kenapa Ya. Pucat saja ni. Dah penat ye?”
“Err…tak..Ya rasa tiba-tiba lapar pula.”
“Ada buah dalam peti sejuk tu. Ya nak abang ambilkan?”
“Ya rasa macam nak makan benda beratlah bang. Macam burger.”
“Ya nak keluar pergi makan ke? Kalau nak kita boleh pergi sekarang.”
“Ya malas nak keluar…” kataku perlahan.
“Kalau begitu, Ya tunggu sini. Abang pergi beli. Ya terasa nak makan apa?”
Aku sebutkan burger daging yang aku mahu. Han salin seluar tidurnya sebelum mencapai kunci kereta, telefon dan beg dompetnya. Selepas dia keluar, aku terus tarik nafas sedalam-dalamnya. Sebenarnya, bukan aku lapar tetapi aku diserang rasa takut. Kecut perut untuk berdua-duaan dengan Han. Apatah lagi untuk berterus terang dengannya tentang keadaan sebenar diriku aku. Tiba-tiba aku jadi patah semangat. Bila Han keluar, barulah aku rasa lega. Mungkin aku tidak bersedia. Aku segera panjat naik di atas katil. Cuba untuk lelapkan mata sebelum Han kembali. Aku agak perjalanan Han mungkin lama untuk mencari burger yang kuinginkan. Perlahan-lahan aku pejamkan mata. Tidur mula mengambil alih diriku.
AKU rasa seperti ada tangan yang mengejutkanku. Namaku dipanggil perlahan-lahan. Aku sedar Han sudah pun kembali. Dalam keadaan yang masih diselubungi rasa mengantuk, aku beritahu yang aku tidak lapar. Sebaliknya, aku lebih rela untuk tidur. Han tidak menggangguku. Selang beberapa lama, aku tahu dia sudah baring di sebelahku. Aku terus pejamkan mata. Bila Han mula mengalihkan bantal peluk yang berada di antara kami, aku tersedar. Bila dia letakkan bantal itu dibelakangku, aku masih sedar tetapi aku pejamkan sahaja mataku. Kemudian dia memelukku sehingga kepalaku terletak di bahu kanannya, aku buka mataku besar-besar. Tanganku yang sakit dialihkan ke pinggangnya. Manakala tangan kirinya mengusap-usap belakangku. Aku kaku seketika. Panik pun ada. Kedudukan ini terlalu intim. Terlalu rapat. Terlalu sukar untukku melelapkan
“Abang?”
“Mmm..”
“Buat apa ni?”
“Tidur dengan Ya.”
Aku menggigil apabila tangan Han membelai rambutku. Aku semakin tidak menentu. Aku soal perbuatannya.
“Apa..apa abang buat ni?”
“Buat apa?”
“Sekarang ni,” kataku.
“Saja, nak manjakan Ya.”
Aku suka dengan jawapan Han. Belum sempat aku kata sesuatu, bibirnya merangkul lembut bibirku. Aku terkejut seketika.
“Abang?”
“Mmm…”
“Ya tak pasti.”
“Kenapa sayang. Cuba Ya relax. Mungkin dengan cara ni, Ya boleh ingat bagaimana kita bersama dahulu. Mana tahu, Ya akan ingat.”
“Tapi, kita tak pernah bersama kan?”
“Bagaimana Ya tahu? Ya tak ingat apa-apa pun.”
Tangan Han sudah berani menjalar. Aku terus bangun dari katil serta merta. Panik seketika. Aku tidak mahu perkara indah yang Erin dan keluarga perempuan aku ceritakan berlaku sedangkan aku dalam keadaan berbohong dengan suamiku. Han hanya memandang aku dengan suatu senyuman.
“Aa..abang.”
“Mmmm…”
“Please, kita bincang dulu. Ya tak mahu kita begini.”
“Begini bagaimana, Sayang?” katanya sambil memandang aku penuh kehairanan.
“Kan saya tak ingat apa-apa antara kita,” balasku.
“Kalau begitu, kita lakukan sahaja. Ingat abang kata sebelum ini, kalau Ya tak ingat, abang akan terima Ya seadanya.”
Tangannya menarikku sehingga aku rebah di atasnya. Han memelukku erat. Tanganku terasa sakit seketika. Aku menjerit namanya.
“Sharhan!”
Kali ini Han berhenti. Dia berhenti memelukku.
“Yes, Puan Chahaya?”
Dalam kesamaran cahaya malam, aku tanya satu soalan kepadanya. Mendengar soalan itu, Han duduk menyandar ke kepala katil. Dia menarik nafas yang panjang. Dia mencapai suis lampu tinggi yang berada di sisi katil. Lampu terpasang. Aku bangun dari pembaringan dan duduk di sebelahnya. Buat seketika kami diam sahaja.
“Awak sayang saya tak?” aku ajukan soalan yang sama kutanya sebentar tadi. Soalan yang sentiasa bermain di fikiranku sejak kami disatukan beberapa minggu yang lalu.
“Sepenuh hati saya Puan Chahaya,” Han menghela nafas yang panjang.
“Awak cintakan saya?”
Han toleh ke arahku. Dia memandang tepat ke mataku.
“Aku cinta awak, Chahaya. Cinta awak sepenuh jiwa dan raga. Aku cintakan awak, kalau itu yang awak mahu dengar selama ini sayang,” katanya.
Melalui matanya, aku nampak jiwanya. Tanpa ku pinta, air mata mengalir mendengar pengakuan Han. Aku tahu aku sudah mendapat jawapan yang aku inginkan. Pengakuan Han memberikan aku satu semangat baru. Aku terus duduk di atas ribanya. Aku mula memeluknya. Aku bisikkan ke telinganya.
“Chahaya cintakan abang. Sepenuh hati Chahaya.”
Aku cium bibirnya pula. Biar dia tahu aku ikhlas mencintainya kerana dirinya. Han menarikku lebih rapat kepadanya. Memelukku dan aku dengan sepenuh hati masuk ke dalam pelukannya.
“BANGUN Sayang. Hai…bagaimana nak jadi isteri solehah kalau lambat bangun Subuh ni?” Aku terus terbangun apabila ditegur seperti itu. Bila aku sedar aku tidak berpakaian senonoh, aku menjerit dan bersembunyi di sebalik comforter. Han menarik comforter sehingga kepalaku saja yang kelihatan.
“Abang nak pergi beli breakfast. Cepat sikit. Waktu dah nak habis ni,” katanya kepadaku. Sebelum dia keluar dari kondo, dia ucapkan terima kasih kepadaku kerana buat dia jadi manusia paling bahagia di dunia ini. Aku malu bukan kepalang. Aku terus bergegas mandi dan menunaikan solat.
Berdebar-debar jantungku bila Han memberi salam ketika dia membuka pintu. Aku berdiri hampir dengan kaunter bar yang menjadi ruang makan kami. Han menghadiahkan sebuah senyuman. Dia bawa beg plastik merah dan letakkan di kaunter.
“Abang beli nasi lemak. Ya ambilkan pinggan dalam kabinet di atas sana,” katanya kepadaku. Aku pun turut permintaannya dan buka kabinet yang berada di bahagian atas. Bila tanganku mencapai pinggan yang ada, Han memelukku dari belakang dan mencium leherku. Terus aku menjerit. Mujurlah pinggan tidak ku capai seratus peratus.
“Abang! Eee…geram betul Ya. Nasib baik tak jatuh pinggan ni,” marahku manja.
“Ya dah ingat semuanya atau ingat yang semalam sahaja? Kalau Ya tak ingat lagi, abang boleh cuba buat Ya ingat lagi semuanya.”
“Ingat semuanya?” aku segera mengelak. Aku memandang Han yang sedang ketawakan aku. Ada sesuatu yang tidak kena. Mataku membulat bila aku rasa dia tahu aku menipunya dengan situasi hilang ingatan.
“Abang tahu?”
Dia angguk.
“Abang tahu Ya tak hilang ingatan?”
Dia angguk lebih kuat lagi.
Dia diam dan aku pun diam. Kami mula makan.
“Bila sebenarnya abang tahu?”
“Yesterday.”
“Jadi, semalam…semalam, masa kita itu…err…abang dah tahulah Ya tipu abang?”
“Masa bila tu Sayang. Cuba cerita pada abang sikit?”
“Semalamlah,” kataku kepadanya. Han menangkap mataku melihat ke arah katil.
“Semalam apa tu?” dia juga melihat ke arah katil.
“Bagaimana abang tahu? Ya rasa Ya tak tunjuk pun sebarang tanda-tanda. Macam mana abang boleh tahu? Abang teka ke?”
Han mengambil tiga keping pinggan makan. Dia letakkan di atas kaunter bar. Dua bungkusan nasi diletakkan di setiap satu pinggan. Manakala satu lagi diletakkan beberapa pakej sandwich dari sebuah kedai dua puluh empat jam.
“Mulanya abang pun tak perasan, tapi bila abang ingat semula, abang rasa ada sesuatu yang tak kena dengan Ya. Jadi abang buat ulang tayang semua perkara yang Ya lakukan atau kata sejak Ya bangun di Hospital tu. Abang rasa Ya berbohong pasal hilang ingatan. Abang tak tahu kenapa tapi abang agak Ya ada asalan sendiri.”
Aku mendengar permulaan penjelasan dari suamiku tapi aku ingin tahu apa yang membuat suamiku pasti aku berbohong ketika itu.
“Abang terdengar perbualan Ya dengan Umi yesterday. Abang tak dengar semuanya tapi sikit saja yang buat abang fikir balik.”
Han mula menjamah nasi lemaknya.
“Jadi abang ingat balik sejak dua hari. Bila abang fikir keadaan Ya, memang tak masuk akal. Kalau abanglah yang hilang ingatan, tentu abang pilih untuk tinggal dengan keluarga abang. Tapi Ya macam ok je nak duduk dengan abang. Lagi satu, kalau Ya tak ingat semua orang, mesti Ya tak cuba dekat dengan sesiapa. Abang tengok Ya dengan Umi rapat saja. Lepas tu Umi tak serisau Mama bila kami duduk berbual tentang Ya.”
“Jadi abang teka Ya tak hilang ingatan sebenarnya?”
“Abang buat perkara yang lebih munasabah. Abang telefon pakar.”
Aku ketawa kecil bila kes aku terpaksa dirujuk ke pakar.
“Ketawa ye” perli Sharhan.
“Ye lah. Berat betul kes Ya sampai kena rujuk pakar.”
“Tak susah apa pun kalau pakar tu Kak Suri.”
“Hah?!” tersentak aku.
“Kak Suri tak berapa pandai menipu. Rahsia Ya bocor juga akhirnya.”
“Sampai hati Kak Suri beritahu abang tapi dia tak beritahu Ya pun,” sedih sikit bila tahu rahsiaku dibocorkan Kak Suri.
“Jangan nak salahkan Kak Suri. Abang hanya nak tahu kenapa Ya buat begitu? Pura-pura hilang ingatan.”
“Sebab Ya nak tahu abang cintakan Ya atau abang kahwin dengan Ya kerana keluarga abang yang suruh abang kahwin dengan Ya dan sebab abang tak layan Ya.”
“Abang nak kenakan Ya dan Abang minta maaf.”
“Ya kecik hati tahu tak, itu yang Ya buat hal ni.”
“Tahu dan abang dah beritahu pun semalam. Abang cintakan Ya.”
“Abang marah sebab Ya tipu abang pasal kes hilang ingatan ni?” soalku dengan tenang. Manalah tahu, suami aku ni pun sama kuat merajuk dengan aku.
“Memang marah. Sekarang ni pun Abang tengah kawal perasaan marah abang.”
“Kalau macam tu, Ya minta maaf.”
“Ya bukan tipu abang seorang saja tau. Ya tipu semua keluarga kita.”
“Err..sebenarnya selain Kak Suri, Umi pun tahu yang Ya pura-pura hilang ingatan.”
“Ini yang buat abang marah lagi ni. Lepas ni, kita balik Kajang. Abang nak Ya minta maaf dengan semua orang. Abang tak nak tolong Ya. Kali ini Ya tanggung semuanya sendiri.”
“Lepas Ya dah minta maaf dengan keluarga kita, abang temankan Ya cari BFF Ya?”
“Hah! Kalau mereka pukul Ya, abang akan biarkan saja.”
“Abang tak kesiankan Ya?”
“Ya sendiri yang cari pasal, kan?”
“Mmm..Ya tak lalu makanlah.”
“Abang pun tak lalu nak makan,” kata Han, padahal nasi lemaknya sudah tinggal sesuap sahaja lagi.
“Abang dahaga ye. Nak Ya ambilkan air?”
“Abang tak dahagakan air. Abang dahagakan kasih sayang Ya.”
“Ya sambung makanlah!” balasku.
Aku dengar suamiku ketawa. Dia kata dia bagi aku masa setengah jam sahaja untuk aku selesai makan.
Share this novel