MEMANG mulut aku bengkak sedikit. Sesiapa sahaja yang berjumpa denganku pasti akan tanya soalan yang sama. Lebih-lebih lagi Mami Zan dan Papa. Malas untuk mengulang cerita yang sama, aku katakan aku tersadung lalu daguku mengenai bucu katil di bilik. Huraian itu sudah cukup untuk orang lain bersimpati dan tidak menyoal lebih-lebih lagi. Hanya dengan Ula sahaja aku ceritakan kejadian di belakang dewan itu dengan terperinci.
“Kau ingat apa sebenarnya yang berlaku?” soal Ula kepadaku.
“Mungkin dorang dah terlanjur, lepas tu perempuan tu suruh dia bertanggungjawab.” kataku sambil mengawal bibir supaya tidak bergerak sangat. Sakit ketika terkena pukulan tadi tidak seperti sekarang. Peritnya berbeza.
“Tak baik tuduh macam tu.”
“Habis tu apa lagi kalau dah parents dia nak jumpa,” balasku.
“Mungkin jugalahkan. Tak sangka sungguh. Ada juga orang yang nakkan orang utan macam tu?” Ula menggeleng-gelengkan kepalanya.
Aku gelarkan Han lelaki serabai. Ula pula panggil dia orang utan. Sama saja. Serabai atau pun orang utan.
Sejak aku dan Ula masuk bilik tadi, kami tidak nampak pun batang hidung orang utan itu keluar atau masuk ke biliknya. Mungkin dia merayau di sekitar tempat dia memancing hari itu. Aku lihat joran yang disandar ke dinding pun sudah tiada.
Aku dan Ula sudah siap berkemas apa yang patut. Kami berjalan menuju ke arah tempat letak kereta untuk mencari kereta milik keluarga Erin yang akan kami naiki untuk ke hotel. Kami terserempak dengan Mika dan kawannya sedang asyik bergelak ketawa. Gembira sungguh aku tengok mereka berdua. Aku pun menegur Mika.
“Amboi, senang hati nampak hero akak seorang ni.”
“Mestilah kak. Kali ni, Kak Chaya jangan sedih lagi. Semuanya kami dah bereskan. Kak Chaya mesti suka punya.”
Hairan. Apa pula yang Mika buat kali ini.
“Mika buat apa? Apa yang Kak Chaya suka?”
“Adalah,” balasnya. Dia melihat kawannya di sebelah. Mereka sama-sama ketawa. Aku geleng kepala. Apa pula konspirasi budak berdua ni. Ada- ada sajalah.
“Kak Chaya nak ke mana? Nak ikut boleh?”
“Eh! Mana boleh. Orang perempuan je boleh tau.”
“Lagilah best kak!”
“Amboi…dah pandai menggatal nampak?”
Adikku hanya tersenyum.
“Akak enjoy jelah. Kami nak pergi mandi laut.”
“Ha?!! Dah beritahu Mami ke belum. Kalau belum, tanya dulu boleh ke tidak mandi laut tu. Jangan sampai nanti dia cari. Lepas tu jaga diri baik-baik,” pesan aku beria-ria tapi adikku dan kawannya sudah pun jauh berlari meninggalkan aku dan Ula. Aku hanya gelengkan kepala. Sambil itu hatiku terdetik berdoa semoga budak lelaki berdua itu dalam keadaan yang baik sebelum dan selepas mandi laut. Kami menunggu di persekitaran tempat letak kereta selama hampir tujuh minit. Kemudian, barulah Erin muncul dengan Uncle Omar untuk menghantar kami ke hotel.
----//------
SYARAT Erin untuk kawan-kawan pengapit ialah tidak boleh pakai baju dalam. Kami semua terkekek-kekek ketawa mendengar undang-undang itu. Maklumlah kerana ada yang bawa pakaian yang begitu jarang. Seorang sahaja pengapit Erin tidak dapat datang. Nad pun ada bersama tetapi aku buat layan tak layan sahaja.
Kami duduk di lantai selepas seorang demi seorang membuat pertunjukan fesyen menayangkan baju-baju tidur yang dipilih sendiri. Erin memakai baju tidur aka korset berwarna merah jambu mengejut atau shocking pink dalam Bahasa Inggeris. Siap ada bulu-bulu di sekelilingnya. Kawan-kawan pramugarinya yang berdua lagi mengenakan baju tidur lengan pendek dengan pelbagai rupa. Salah seorang asyik menutup sahaja di bahagian dada kerana agak jarang juga bajunya. Ula pula kenakan kimono satin pendek berwarna biru. Nad dengan baju tidur maxi jarang. Aku pula Erin belikan baju satin bercorak harimau bintang berlengan pendek. Sepupu aku itu ada citarasa yang tinggi tetapi baju tidur ini memang sesuai untukku. Gaya baju kemeja dan yang penting, paling sopan antara semua.
Semua duduk bertentangan di karpet bilik hotel. Cahaya lampu dimalapkan supaya perbualan kami nanti nampak lebih mengujakan. Antara kami enam orang yang ada di sana, aku rasa aku seorang sahaja yang masih belum berpunya. Kami main satu permainan. Kawan pramugari Erin yang menyediakan permainan itu. Kami perlu mencabut sekeping kad di dalam sebuah kotak hitam. Kad yang dicabut akan tercatat soalan-soalan tertentu dan kami hanya perlu jawab sahaja. Aku pasti permainan ini mereka dapat dari luar negara kerana soalan-soalannya berbaurkan hubungan antara lelaki dan perempuan. Selepas diundi, orang pertama yang perlu mencabut ialah Ula. Soalannya dialihbahasakan ke dalam bahasa Malaysia.
Soalan 1: Kalau si dia mahu melakukannya ketika kedua ibu bapamu melawat di rumah, adakah anda akan melayan permintaannya? Apakah alasan anda?”
Menjerit kami mendengar soalan seperti itu. Aku rasa muka Ula merah padam dalam kesamaran cahaya lampu. Keluarga Ula bukannya moden seperti keluarga aku dan Erin.
“Jawablah cepat,” gesa Erin sambil ketawa.
“Layan sajalah,” kata Ula.
“You nak bagi alasan apa pada parents you?” tanya seorang kawan Erin.
“I cakap I kena buat draft accounting sekejap. Lepas tu I pasang sinetron Indonesia for my parents while I do it, lah,” katanya.
Semua yang ada ketawa sakan. Amboi! Lain betul perangai Ula malam ini. Selalu dialah yang paling logikal antara kami berempat.
Orang kedua yang mengambil kad ialah Nad.
Soalan 2: Anda ingin berbulan madu di negara Eropah tetapi dia mahu ke negara dunia ketiga. Apa yang anda akan lakukan supaya dia mengikut cakap anda?
“I tak bagi je apa yang dia nak,” Nad menjawab dengan penuh keyakinan.
Yang lain kata wooo…aku yang nak termuntah dalam hati. Nasib kaulah Nizam kalau kau kahwin dengan dia. Jadi Pak Turut sajalah nanti.
Selepas Erin dan seorang kawannya mencabut kad mereka, kini tiba giliran aku.
Soalan: Ketika sedang berasmara dia terkentut. Apa reaksi anda?
Kami gelak sampai menangis bila dengar soalan itu. Kenapa pula dalam banyak-banyak soalan, aku dapat soalan tak masuk akal sebegini?
“Hah! Jawab kau Chaya”
“Aku kata itulah bunyi paling seksi pernah aku dengar,” balasku.
“Not bad jawapan kau,” kata Erin.
“Itu kalau dia terkentut. Kalau you yang terkentut macam mana?” soal seorang rakan Erin.
“Kalau I, I kata itu bukan kentut. I kata itu bunyi-bunyi cinta,” kataku.
Sekali lagi, semua berderai ketawa.
------//-----
ADA yang tidur dan ada yang sedang melayan telefon masing-masing. Si Ula tengah kemaruk berbual dengan Malik. Aku pula sedang melayan perasaan. Memikirkan tentang nasib diriku seterusnya. Pilihan aku ialah untuk bertemu terus dengan Eid bagi menyatakan kesudian aku untuk bekerja sementara dengannya. Andai kata kalau aku tidak gembira bekerja di sana, aku boleh balik ke Seremban. Mungkin tolong Mami Zan dalam urusan jual hartanah sementara aku fikirkan apa yang aku mahu buat untuk mencari rezeki. Sedang aku merancang di fikiran, aku dapat rasakan seseorang menghampiri. Cium bau minyak wanginya aku sudah tahu. Kalau hendak mengelak diri, sudah terlambat rasanya.
“Chaya….boleh Nad bincang dengan Chaya kejap?” soal si perempuan perampas itu. Lembut betul suaranya. Aku sabar sahaja. Berminggu-minggu memendam rasa sehingga sudah tiada perasaan lagi. Mungkin aku sudah lama berkawan dengan Nad. Sebab itu aku ada rasa pemaaf sedikit kepadanya. Kalau si Nizam yang berada di hadapanku, mungkin aku boleh bertukar menjadi serigala jadian. Semua yang aku pendam sehingga hari ini akan aku luahkan dengan penuh perasaan. Apa tidaknya. Dalam hal aku-Nizam-Nad, aku salahkan pada Nizam kerana dia lelaki curang. Nad si perampas, aku cuba anggap sebagai mangsa walaupun aku suspek dia juga memainkan peranan. Kalau tepuk sebelah tangan tidak mungkin berbunyi. Kalau guna dua-dua belah, tepuk perlahan pun, pasti ada bunyinya.
“Nak bincang pasal apa?” soalku seolah-olah tidak ada apa yang berlaku. Aku tahu Nad belum tahu yang aku sudah tahu hubungan dia dan Nizam.
“Kenapa Chaya sekarang ni macam mengelak saja dari Nad. Masa Nad datang pagi tadi, Nad tegur pun Chaya macam tak suka saja. Nad ada buat something pada Chaya?”
Eh! Perempuan ni. Sudah tahu bertanya pula. Aku pandang dia seperti biasa. Kalau dalam hal Nizam, aku mahu dia yang berterus terang dahulu.
“Tak ada apa-apalah. Chaya penat saja uruskan hal Erin,” balasku. Aku pura-pura menguap dan mengeliat. Kononnya mengantuk semacam.
“Betul tak ada apa-apa?”
Aku malas nak jawab. Aku angguk sahaja.
“Kalau tak ada apa-apa kenapa Chaya diam? Nad ada buat salah ke pada Chaya?”
Kali ini aku tidak diam. Aku balas balik untuk tengok reaksi kawanku itu.
“Nad rasa Nad ada buat salah pada Chaya ke?”
Aku tengok muka Nad berubah sedikit. Bibir dia bergerak-gerak. Kalau gaya dia begitu, sah dia ada buat salah. Aku tunggu dia nak mengaku saja.
“Err..Chaya dah lama tak keluar dengan Nizam ke?”
“Kenapa tanya pasal Nizam?”
“Tadi Nad tanya Ula kenapa Chaya nampak semacam je. Dia kata Chaya ada problem sikit. Nad tanya Ula, Chaya ada problem dengan hhal Chaya tak kerja atau Chaya ada problem dengan Nizam ke? Ula kata dia tak pasti. Dia suruh Nad tanya sendiri. Kalau Chaya nak berbual dengan Nad pasal tu, Nad sudi nak dengar.”
Nizam atau engkau bukan masalah aku. Aku sudah cuba untuk melupakannya. Kalau Nad mahu cuba ungkit, silap haribulan aku sekarang juga aku bertukar menjadi serigala jadian.
“Chaya tak ada problem dengan apa atau siapa pun,” balasku singkat.
“Nad bukan nak sibuk hal orang lain. Hari tu Nad ada terjumpa dengan Nizam…”
Berjumpa ke terjumpa?? Soalku dalam hati. Nadia menambah semula.
“Dia tanya kenapa dia dah tak boleh hubungi nombor telefon Chaya. Nad pun tak dapat telefon Chaya. Lepas tu dia kata bila dia hantar email pun, Chaya tak jawab. Jadi, dia ada minta Nad tolong tanyakan kenapa Chaya dah lama tak contact dia. Masa dia cari Chaya di pejabat sebelum Chaya berhenti, Chaya larikan diri daripada dia. Nizam nak tahu kenapa Chaya cuba mengelak diri daripada dia. Chaya dah tak nak kawan langsung ke dengan dia?”
Macam mana aku nak jawab dekat perempuan ini? Kau dah rampas boyfriend aku, lepas itu, kau boleh tanya kenapa aku tak hubungi bekas boyfriend aku itu. Yang si Nizam ni pun satu. Apa yang aku ingat, sebelum aku lari, aku ada beritahu Nizam yang aku tidak dapat lagi teruskan hubungan kami. Aku bagi alasan aku sudah bosan dengan hubungan kami yang tidak ke mana itu. Aku masih ingat muka Nizam ketika itu. Tidak nampak marah atau pun sedih. Dia cuma angguk dan kata kalau itu yang aku mahukan, dia ikut sahaja. Aku pasti sangat, dalam hati dia bersorak gembira kerana aku melepaskannya. Bolehlah dia bersama-sama dengan Nadia.
“Nizam tahu,” balasku.
“Aaa…Nizam tahu?” soal Nadia. Cara dia pandang aku macam nak suruh aku ceritakan lagi. Apa pula yang dia nak korek lagi daripada aku sebenarnya?
“Nizam tahu yang Chaya dah tak boleh kawan dengan dia lagi,” kataku.
“Kenapa Chaya tak boleh kawan lagi dengan dia. Kenapa sampai macam tu Chaya?”
Alahai. Kenapa kau tanya banyak soalanlah pula, Nad. Kalau begini, tak boleh jadi. Sampai ke pagi pun perbualan tidak boleh tamat. Bukannya aku mengantuk sangat, tapi hati aku sudah kecewa dengan sikap kau Nad. Kerana kaulah, aku dan Nizam berpisah. Sedang aku berkata-kata seorang diri di dalam hati, aku baru perasan sesuatu. Selama ini Nad belum pun mempunyai teman lelaki istimewa. Sepanjang aku kenal Nad di sekolah dahulu, ramai juga lelaki yang ingin mengenalinya dengan lebih dekat tetapi Nad sentiasa menjauhi diri dengan alasan dia ingin belajar dari memikirkan tentang cinta. Lainlah dengan aku yang sentiasa mencari cinta. Nad tetap mesra dengan mana-mana lelaki sahaja tetapi aku tidak pernah pun lihat atau tahu dia pernah menyukai seseorang pun. Malah, ketika dia belajar di Australia, aku tidak pernah dengar yang dia ada seseorang yang istimewa. Adakah ini kali pertama akhirnya seorang lelaki berjaya membuka hati Nad untuk menerima cinta? Aku fikir, mungkin lebih baik kalau Nad bersama dengan Nizam. Sebenarnya, Nizam itu baik orangnya. Aku mengaku sepanjang dia dengan aku dia memang balik. Bahagian tak baik bila dia curang dengan aku. Mungkin cinta aku dan dia tidak sesuai. Bukan jodoh namanya.
Memandangkan di saat ini aku sudah pun menerima hakikat yang aku tiada jodoh dengan Nizam, aku bukannya mahu menyakat Nad, tetapi aku geram juga dengan perbuatan mereka di belakang aku. Apa salahnya kalau mereka berdepan dan berterus terang saja dengan aku. Mungkin aku akan marah mereka, tetapi sekurang-kurangnya tidaklah aku rasa tertipu. Sekarang masanya aku membalas. Tengok apa reaksi Nad. Aku jelaskan kepada Nad kenapa aku dan Nizam berpisah.
“Nizam ada kekasih lain,” kataku.
“Dia cerita pada kau ke? Siapa dia? Kau tahu ke?”
Amboi! Bertubi-tubi nampak soalan dari kau, Nad.
“Ntah. Aku tak tahu siapa dia. Nizam tak beritahu aku, tapi aku syak dia ada kekasih lain sebab cara dia layan aku pun aku boleh tahu.”
Nad diam sahaja. Cepat-cepat, mengaku sajalah. Kataku dalam hati.
“Kenapa kau tak tanya dia siapa saja?”
Baiklah Nad. Let us just stop this.
“Aku tunggu dia sendiri beritahu aku, itu pun kalau dia nak beritahu akulah.”
Nadia hanya mengangguk. Mungkin tengah fikir sesuatu agaknya.
“Kalau dia dah beritahu kau nanti, apa kau nak buat?”
“Kau rasa apa aku nak buat?”
“Mestilah kau marah, kan?” kata Nad sambil ketawa kecil. Lebih kepada ketawa orang bersalah sahaja bunyinya.
“Aku tak marah kalau dia beritahu aku yang dia betul-betul cintakan perempuan tu, aku akan terima alasan dia. Mungkin itu yang terbaik bagi dia kan?” soalku pula pada Nad. Aku nampak muka dia macam berubah sedikit tetapi dia pandai kawal perasaannya. Aku malas untuk bercerita panjang. Cukuplah dengan pengakuan aku padanya.
“Oklah Nad. Aku rasa aku nak cuba tidur. Esok hari yang panjang untuk kita semua. Apa kata kau pun tidur juga.”
Aku pura-pura menguap buat kali kedua. Nad ucapkan selamat malam kepadaku lalu pergi ke tempat tidur yang dia sediakan di sebelah sofa hotel. Sebelum aku tutup mata, aku ucapkan tahniah kepada diriku kerana pandai mengenakan orang.
Share this novel