AKU dengan suka hati mencipta satu platform media sosial untuk memperkenalkan Butik Amaya di dunia Internet. Zaman sekarang ramai yang suka membeli belah melalui talian. Kalau kena pada masanya, barangkali butik ini boleh mara setapak lagi. Pada pendapat aku, penggunaan media sosial adalah cara yang termudah dan tidak memerlukan kos. Apa yang penting ialah isi kandungan untuk menarik perhatian peminat. Untuk beberapa hari, Che telah mengambil gambar pakaian-pakaian yang ingin dijual. Amy pula memberi konsep bagaimana pakaian itu boleh disesuaikan dengan beberapa item dan aksesori untuk kesempurnaan pemakaian fesyen. Tugas aku ialah menggunakan kreativiti untuk menghasilkan gambar dan konsep yang ingin diketengahkan. Eid memang pandai mengayat. Jadi tugasnya lebih kepada mengarang ayat dan cerita di dalam platform tersebut.
Selepas hampir seminggu bertungkus lumus, Amaya Online sudah dapat direalisasikan. Untuk sehari selepas pelancaran, kami sudah mendapat komen daripada beberapa peminat. Pemasaran talian melalui saluran komunikasi sosial media juga. Mudah saja konsep pemasaran melalui talian ini. Kami dapat komen pertama yang datangnya daripada gelaran MissLookLook. Bila aku baca komen dari MissLookLook, Eid adalah orang yang pertama suka hati. Baru kami tahu MissLookLook dan Rina, iaitu kekasih tidak rasmi Eid, adalah orang yang sama.
Selain menguruskan Amaya Online, aku juga dipanggil untuk buat kerja sukarelawan yang kedua. Kawan kepada Kiki ada menghantar email kepada semua yang terlibat dalam aktiviti paya bakau. Katanya, kalau ada yang berminat untuk memberi makan kepada orang gelandangan atau mereka yang tiada tempat tinggal di sekitar Lembah Klang, boleh memberikan nama kepadanya. Tanpa berfikir panjang, aku berikan namaku. Tiga hari lepas, aku laksanakan kerja amalku. Aku tidak sangka yang aku hampir hilang akal ketika menjalankan tugas itu.
Tempat yang dijadikan tapak untuk pembahagian tugas dan juga makanan ialah di pusat bandaraya Kuala Lumpur. Waktu yang dijanjikan ialah antara pukul lapan hingga jam sembilan malam supaya semua sukarelawan berkumpul. Pada mulanya aku berbelah bahagi kerana aktiviti di waktu malam dan aku akan berseorangan kerana Eid tidak berminat. Dia pesan supaya aku pakai kasut sukan dan kalau boleh, jangan bawa beg tangan. Selepas memberikan butiran tempat untuk berkumpul kepada Eid, dia minta aku menghantar mesej kepadanya supaya dia boleh datang mengambil aku kerjanya selesai. Katanya, selagi aku bekerja dengannya, dia akan jaga aku sebaik yang mungkin. Tambahan pula, ini aktiviti ini ada risikonya tersendiri.
Begitu mudah untuk aku jumpa tempat sukarelawan berkumpul. Bila sampai aku tengok begitu ramai yang sudah beratur panjang. Aku perasan sekumpulan orang ramai yang beratur itulah golongan gelandangan yang menanti pembahagian makanan. Aku terus ke kumpulan sukarelawan. Mereka yang aku jumpa rata-rata jenis prihatin dan peramah. Jadi mudah untuk aku bergaul. Kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Ada sekumpulan lelaki yang ditugaskan untuk menjaga barisan mereka yang sudah berbaris. Setengah jam kemudiannya, ada dua van putih masuk ke pekarangan kawasan itu. Sebelum aku ke sini, aku bayangkan golongan orang yang selalu aku nampak di kaki lima meminta sedekah. Rupa-rupanya lebih daripada itu. Ada ibu dengan dua orang anak kecil. Ada beberapa orang tua yang sudah uzur dengan pakaian selekeh. Ada juga yang kelihatan seperti penagih. Malah, ada juga ibu-ibu yang sedang mengandung. Mereka datang dari pelbagai bangsa. Ramai juga yang hidup di ibukota ini.
Seorang kenalan perempuan yang biasa membuat tugas berbisik kepadaku bila dia nampak aku seperti terpaku melihat keadaan di depanku. Tuga aku hanya menyerahkan bungkusan makanan daripada dalam van kepada seorang rakan setugas. Kata kenalan baru aku itu, dia dulu pun sama juga sepertiku. Sudah dua tahun dia menawarkan dirinya untuk menjadi sukarelawan. Ramai yang miskin dan tiada tempat tinggal. Itulah hakikat kehidupan di kotaraya yang penuh dengan cabaran. Kenalan aku minta aku berhati-hati kerana ada di antara yang datang ke situ juga mungkin orang yang sakit mental. Mungkin mengalami tekanan emosi yang keterlaluan. Bulan lepas sahaja ada seorang lelaki yang dikatakan kalah judi dengan teruk dan menjadi gila menyerang sukarelawan kerana lambat menerima bekalan. Takut juga bila aku mendengar ceritanya.
Terdapat juga beberapa orang sukarelawan yang lebih berpengalaman. Pada pendapat aku mereka ini bukan sahaja berpengalaman tetapi berani. Aku diberitahu selain bantuan makanan, sukarelawan juga memberi khidmat nasihat. Contohnya, ibu yang membawa dua anak kecilnya itu ada datang meminta bantuan untuk menyekolahkan anak-anaknya. Cadangan yang diberikan agar dia berpisah dengan anak-anaknya itu buat sementara waktu. Anak-anak itu akan dihantar ke sebuah rumah kebajikan untuk memastikan penjagaan yang lebih baik. Manakala ibu pula akan dinasihatkan untuk mencari pekerjaan yang lebih baik. Kalau difikirkan, ibu mana yang sanggup berpisah dengan anak-anak. Inikan pula anak-anak yang sentiasa menagih kasih sayang seorang ibu. Namun begitu, cara ini bukan untuk memisahkan mereka selama-lamanya, tetapi supaya ibu belajar untuk menjaga dirinya dahulu sebelum dia mampu menjaga anak-anaknya.
Kami bekerja sehingga lewat malam. Tiada seorang pun diberikan bayaran. Beberapa minit sebelum tamat waktu, aku nampak Eid dan Che berdekatan dengan tempat berkumpul. Rasa lapang dada bila aku fikirkan yang aku tidak akan balik berseorangan. Barulah terbuka mata aku kepada hakikat kehidupan. Mulai malam itu, aku berjanji tidak akan keluar malam seorang diri. Aku takut juga bila buat kerja seperti ini. Nampaknya, inilah kali pertama dan kali terakhir aku relakan diriku untuk memberi makan kepada golongan tersebut. Aku akan buat kerja sukarela yang lain asalkan bukan yang seperti ini. Kalau suruh aku tanam anak bakau setiap minggu pun aku rela.
PETANG ini Han sepatutnya balik ke Malaysia, tetapi semalam dia telefon ketika aku tengah tidur. Memang ikut suka masa dia sahaja. Dia kata yang dia akan tinggal di Sydney untuk beberapa hari lagi. Mungkin aku terlalu mengantuk ketika itu, jadi aku tidak tahu apa yang dia cakap padaku. Aku iyakan sahaja apa katanya. Aku pun tidak pasti apa yang berlaku selepas itu. Bila aku bangun pagi, aku perasan ada mesej daripada Han.
I am missing you. So much.
Terus aku tidak waras selepas itu. Aku menjerit kegembiraan di dalam studio. Dinding bangunan kondo tebal, jadi aku pasti tiada jiran yang mendengar jeritanku itu. Sampai sahaja ke butik, aku seperti tidak tentu arah. Patutkah aku balas mesejnya atau aku hanya perlu tunggu Han sehingga dia kembali ke sini untuk aku balas rindunya? Aku berangan sampai terbawa-bawa ketika bekerja.
“Hoi, Cik Chaya….tu pelanggan dah masuk pun kau boleh tak perasan. Pergi tolong layan cepat, aku ni ada kerja di sini,” Amy menegurku. Aku buat muka bersalah lalu pergi kepada pelanggan. Rupa-rupanya pelanggan yang tahu tentang Amaya Online. Dia datang kerana ingin tahu kalau kami boleh mengambil tempahan untuk majlis rasmi. Aku bawa pelanggan itu kepada Amy kerana dia lebih arif tentang dunia fesyen. Eid berlalu di sebelah kami dengan memegang kunci kereta. Aku tinggalkan pelanggan dengan Amy dan menghampiri Eid.
“Nak pergi mana tergesa-gesa ni?” soalku.
“Nak pergi renew passport. Hari tu tempah tiket nak pergi Bandung. Baru perasan dah nak mati. Takut terlupa. Jadi bila tak sibuk ni nak pergilah.”
“Boleh tolong Chaya tak? Ambilkan borang satu.”
“Chaya nak melancong juga ke?”
“Sekarang belum lagi, tapi kalau dah ada passport senang nak pergi mana-mana, betul tak?”
“Dah fikir nak pergi honeymoon dengan Hanlah tu.”
Aku sengih.
“Eid tolong ambilkan ye. Thank you.”
PASSPORT sedang berada di dalam tanganku. Baru tiga minit tadi aku ke kaunter untuk mengutipnya. Wajah aku fotogenik juga. Kira bolehlah. Aku keluar untuk mendapatkan teksi. Tidak ramai orang kalau datang pada hari bekerja. Asalkan datang awal pagi, semuanya cepat sahaja. Hari ini aku cuti. Butik Amaya buka enam hari seminggu. Tutup pada hari Isnin sahaja. Aku pekerja sambilan tapi kadang-kadang kalau cuti pun aku datang bekerja. Aku rasa bosan duduk rumah seorang diri. Kalau aku balik ke Seremban pun, Mika ke sekolah dan yang lain sibuk bekerja. Aku hanya balik melawat bakal mertuaku kalau Han ada. Kalau tidak, aku hanya menelefon Umi atau Mama Jah sekali sekala.
Ke mana destinasiku yang pertama? Soalan yang sentiasa bermain di fikiran sejak aku buat passport. Aku boleh melawat Nina di UK. Masalahnya cuma satu. Aku tak ada duit untuk beli tiket kapal terbang. Mungkin kalau Han ke Sydney sekali lagi, aku boleh ikut dia. Biarlah dia buat urusan dia dan aku boleh melawat negara orang. Hal tiket kapal terbang, aku boleh minta Han tanggung. Dia banyak duit. Takkan tak mahu bazirkan untuk bakal isterinya. Aku ingat lagi ayat dia yang dia kata dia akan berikan apa sahaja yang aku mahu. Inilah masanya aku minta dia kotakan janji dia itu.
Aku masukkan passport ke dalam tas tanganku dan nair LRT ke KL Sentral. Han hantar mesej yang dia akan tiba lebih kurang pada pukul dua nanti. Dia suruh aku tunggu di rumah keluarganya. Memandangkan aku ada banyak masa, aku naik keretapi berkelajuan tinggi ke KLIA. Biar aku tunggu saja dia di sana. Untuk menghabiskan masa, aku ke beberapa kaunter untuk mendapatkan risalah negara luar. Sambil membaca, aku perhatikan manusia di sekeliling. Aku lihat seorang ibu sedang memujuk anak kecilnya yang mungkin terjatuh ketika bermain. Fikiran aku kembali kepada malam ketika aku memberi makan gelandangan. Sampai sekarang aku masih terbayang wajah ibu dan kedua anak-anaknya. Apakah nasib mereka sekarang? Memang kena cekal hati kalau hendak jadi sukarelawan untuk orang-orang seperti mereka.
Lebih kurang masa Han dijangka tiba, aku turun ke bahagian kedatangan penumpang antarabangsa. Bila aku sampai, rupa-rupanya penumpang dari Sydney sudah pun keluar. Aku perhati seorang demi seorang sehingga aku nampak Han. Baru sahaja aku hendak melambai kepada Han, aku nampak pula perempuan di sebelahnya. Wajahnya seperti pernah aku lihat. Kalau tak silap aku, perempuan ini ialah perempuan yang sama di Cherating dahulu. Perempuan yang bersama Han di dewan. Siapa nama dia? Lisa. Kalau tidak silap aku, nama perempuan itu ialah Lisa. Bagaimana Han dan Lisa boleh bersama? Hati kecilku mula ragu-ragu. Jangan perkara yang sama berulang lagi kepadaku. Aku letak tangan di dada. Kenapa tiba-tiba bahagian itu terasa perit sekali. Aku pejamkan mata. Kepalaku seperti berpinar. Ada bayangan lain yang bermain di fikiran. Aku hanya nampak Nizam dan Nadia. Bila aku buka mata, bukan Nizam di hadapan sana.
Aku masih berdiri kaku di khalayak ramai, memandang ke arah Han dan Lisa yang sudah berada di suatu sudut. Mereka masih berbual. Suara hati aku berbisik supaya aku pergi dari situ. Aku lari ketika aku nampak Nizam dan Nadia. Patutkah aku pergi dari situ juga seolah-olah tidak ada apa yang berlaku? Seperti aku tidak nampak siapa dan siapa? Namun, aku masih berdiri memandang sahaja Han. Akal fikiranku mula berfungsi. Kenapa aku perlu lari lagi. Sepatutnya aku berdepan sahaja dengan mereka. Biar mereka sendiri jelaskan hubungan mereka berdua. Aku pasti aku dapat tangkap kalau Han cuba membohongiku. Pergilah. Pergi jumpa mereka. Aku meniup semangat kepada diriku sendiri. Aku berjaya berganjak tiga langkah. Ke belakang. Dengan perlahan. Buat kali terakhir, sebelum aku pergi, aku lihat ada seorang lelaki mendekati Han dan Lisa. Lelaki itu rapat di sebelah Lisa. Aku berhenti melangkah. Aku pandang mereka.
Mungkin Han dapat rasakan sesuatu. Dia mencari-cari dan akhirnya dia nampak aku. Mulanya dia ingin senyum kepadaku tetapi agaknya dia nampak riak wajahku, dia terus kata sesuatu kepada Lisa dan lelaki itu. Lisa memandang ke arahku dan mengangkat tangannya. Lelaki di sebelahnya juga memandangku. Setakat itu sahaja. Segera Han berjabat tangan dengan mereka sebelum dia berjalan ke arahku. Mungkin aku keliru. Aku patutnya pergi dari situ. Aku tidak patut menunggunya di sini. Sebaliknya aku patut tunggu di rumah seperti yang dijanjikan. Aku pusing ke belakang tetapi aku masih tidak bergerak dari situ. Hanya tunduk memandang kasutku. Seketika masa berlalu, Han sudah berada di sebelahku. Dia meletakkan beg troli yang ditariknya. Tanpa menghiraukan di mana kami berada atau apa status kami ketika ini, Han terus menarikku masuk ke dalam pelukannya. Aku biarkan sahaja. Mungkin kerana aku perlukan perhatian daripadanya di saat dan ketika ini. Aku sandarkan kepalaku ke dadanya. Degupan jantung dapat kudengari. Han bisikkan sesuatu yang membuat hatiku berbelah bahagi.
“I am so glad you are here.”
Betul ke?
“I miss you so much.”
Aku pun. Tapi aku tengah keliru ni.
“Tadi tu Lisa dan suaminya. Jadi jangan fikir yang bukan-bukan.”
Tak. Tak fikir pun. Terkejut sikit tadi. Tapi bila dah tahu, saya ok je.
“I’m very tired but I need you to be here with me.”
Kali ini aku keliru kembali.
Kenapa pula Han tiba-tiba lain macam sahaja. Dia bawa aku ke kerusi berdekatan. Dia suruh aku tunggu di situ sementara dia pergi dapatkan secawan kopi. Sekembalinya dia dengan cawan kopi, aku perasan wajahnya yang nampak seperti orang tidak cukup tidur. Jambangnya juga seperti sudah beberapa hari tidak bercukur. Teruk sangatkah kerjanya di sana sehinggakan tidak sampai cukup rehat.
Kami berjalan menuju ke tempat menunggu, menanti kereta yang ditempah melalui aplikasi Grab. Selepas beberapa orang, tiba giliran pula giliran kami. Sepanjang perjalanan, dia minta izin denganku untuk tidur. Aku biarkan sahaja bila dia menggenggam tanganku ketika tidur. Malah bila kepalanya menumpang bahuku, aku biarkan juga walaupun bahuku lenguh beberapa minit kemudiannya. Han tersedar bila aku cuba menolak badan dan kepalanya ke arah bertentangan. Bukan aku tidak mahu tumpangkan bahuku tetapi aku sudah rasa kebas di bahagian tanganku. Han minta maaf dan bersandar di hujung dinding teksi. Tidak semena-mena, dia menarikku masuk ke dalam pelukannya. Dia teruskan tidur. Aku segera kembali duduk sopan. Malu aku dengan pemandu yang melihat gelagat kami. Pemandu pun nampaknya seperti tidak kisah. Mungkin dia ingat kami ini suami isteri.
Aku kejutkan Han bila kereta sampai di hadapan rumah. Han bingkas bangun dan untuk mengambil beg trolinya. Kami masuk ke dalam rumah. Mama Jah menjemput kami dan menyuruh bibik membantu meletakkan beg troli ke dalam bilik Han. Aku bersalaman dengan Mama sebelum ditarik duduk di sebelah Han. Sebaik sahaja duduk, Mama Jah bersuara.
“Mama tengok Han macam tak cukup makan. Cengkung sikit muka Han. Buat apa lama-lama di sana tu?”
“Han sihat. Mama jangan risau. Han ada banyak kerja. Kadang-kadang tak cukup tidur. Apa nak buat. Kerja.”
“Han ke sana buat kerja apa?” soal Mama.
“Adalah sikit-sikit Mama,” balas Han yang masih berahsia. Aku syak begitu.
“Kalau penat sangat, pergilah mandi. Kalau nak tidur dulu, pergi tidur. Biar Mama temankan Chaya.”
“Han pun ingat Han nak masuk tidur. Mama tolong jaga menantu Mama ni. Jangan sampai dia pergi pula. Nanti Chaya tolong kejutkan Han dua jam lagi ok?”
Aku dengar arahan yang diberikan tetapi aku rasakan ada kelainan dengan Han. Kenapa dia lain macam sahaja? Adakah sesuatu yang berlaku di Sydney? Adakah dia sakit? Aku tiba-tiba naik risau. Aku lihat dia perlahan sahaja menaiki anak tangga. Aku tidak mahu fikir yang bukan-bukan. Aku hanya mahu Han sihat dari hujung rambut sampai ke hujung kaki. Sihat akal dan sihat fikiran.
“Teruk betul Mama tengok Han. Dia ada cakap dengan Chaya apa yang dia buat di sana?” kali ini Mama Jah tujukan soalan kepadaku.
“Tak tahu Mama. Han tu berahsia juga orangnya. Chaya pun tak mahu tanya lebih-lebih. Takut nanti dia marah,” balasku.
“Kalau macam tu kita biarkan saja. Kalau dia nak cerita, dia cerita. Dia memang dari dulu lagi perangai macam tu. Chaya nak tolong Mama buat kuih untuk minum petang?”
“Mama nak buat apa?”
“Karipap je.”
“Boleh, tapi Chaya belum solat lagi. Chaya pinjam bilik Nora. Lepas tu Chaya turun tolong Mama.”
“CHAHAYA intai apa tu?”
“Eh Umi! Tak perasan Chaya tadi. Han minta Chaya kejutkan dia tapi Chaya tengok dia macam tidur mati. Tak sampai hati Chaya nak kejutkan dia.”
“Masuk kejutkan dia. Asar dah lama masuk. Suruh dia bangun.”
“Iyelah Umi. Chaya kejutkan dia sekarang.”
“Lepas kejutkan, cepat turun. Tak elok lama-lama dalam bilik tu,” jelas Umi kepadaku sebelum dia beredar dari situ. Aku tunduk dan angguk. Malu pun ada. Betul cakap Umi, aku dan Han masih belum ada ikatan yang sah.
Aku masuk ke dalam bilik Han. Aku kejut dengan cara memanggil namanya perlahan-lahan. Sharhan…bangun…kataku berulang kali. Tiada reaksi. Aku tidak mahu kuatkan suara. Takut terperanjat pula Han nanti. Aku tepuk-tepuk bahagian kaki yang masih berseluar jeans sambil memanggil namanya lagi. Kali ini ada reaksi.
“Bangunlah,” kataku kepadanya.
Han bangun tetapi dia memegang kepalanya.
“Pukul berapa sekarang?” soalnya
“Pukul lima lebih. Dekat pukul enam,” balasku. Aku berdiri di hujung katil.
“Lain kali kalau nak kejutkan, jangan pukul kaki aku. Cuba awak buat begini,” katanya sambil menunjukkan bahunya, “dan kata dengan lembut, bangun Sayang. Haa…macam tu barulah aku ada mood nak bangun tidur.”
“Mmm…lain kali saya suruh Umi je yang kejutkan awak. Saya pasti dia mesti buat macam yang awak nak,” balasku. “Awak bangun tau. Saya turun dulu.”
“Kejap.”
“Apa?”
“Sini.”
“Tak naklah.”
“Sinilah. Duduk kejap dengan aku.”
“Saya kata tak nak.”
“Aku bukan nak buat apa-apa pun.”
“Saya tak nak. Tengok kawan sebelah awak tu? Saya tak naklah.”
“Kawan sebelah aku?”
“Tak nampak ke? Setan tanduk dua. Dia duduk sebelah awak tu. Tengah bisik di telinga awak. So, saya turun dululah.”
“Kejap Chaya. Sebelah awak pun ada juga tu. Apa kata kita suruh diaorang berkenalan? Jadi diaorang tak sibuk nak ganggu kehidupan kita?”
“Lagilah saya tak nak.”
“Kenapa pula?”
“Sebab awak belum solat Asar. Nanti Malaikat kiri tulis dalam rekod yang saya buang masa awak. Nanti kurang pahala saya hari ini.”
“Esok awak kerja?”
“Kerja.”
“Ambil cuti esok.”
“Tak bolehlah. Hari ni saya boleh temankan awak. Tiga hari lagi saya dah minta off. Tapi saya nak balik Seremban. Kawan saya nak bertunang.”
“Aku ikut.”
“Nak buat apa?”
“Hai, takkan tunang pun tak boleh ikut?”
Macam mana aku nak beritahu Han perkara yang sebenar? Kawan aku Nadia akan bertunang dengan bekas teman lelaki aku.
“Saya nak balik rumahlah. Lepas tu saya pergi majlis tu sekejap je. Tak penting pun.”
“Kalau macam tu, aku hantar awak balik Seremban.”
“Tengoklah macam mana. Saya pergi dulu ni,” kataku kepadanya. Lama-lama aku di dalam bilik ini, nanti Umi perli aku pula. Lebih baik aku segera turun ke bawah.
Belum sempat aku bergerak ke pintu, tiba-tiba Han bangun dan sudah berada di hadapanku. Dia cuba menghalang aku untuk keluar dari biliknya. Aku suruh dia ke tepi tetapi dia buat tidak endah sahaja. Aku panik sedikit bila dia asyik memandang seperti hendak makan aku sahaja. Bila aku terus ke kiri, dia hadang ke kiri. Kemudian, aku ke kanan. Dia hadang ke kanan pula. Aku garu kepalaku sambil merungut.
“Tepilah. Tak baik buat saya macam ni.”
“Boleh pergi tapi dengan satu syarat.”
“Syarat apa pula?”
“Cakap yang awak rindukan aku.”
Itu mudah saja.
“Saya rindukan awak dan saya nak keluar sekarang,” senang sahaja perkataan itu keluar dari mulutku tetapi ketika aku beritahu, aku langsung tidak memandang wajahnya.
“dan…”
“dan apa?”
“What is the magic word?”
“Please?”
“Please what?”
“What?”
“Please what?” ulangnya sekali lagi.
“Please Sharhan,”
“Close. Tapi bukan perkataan yang aku nak dengar. Cuba lagi”
Aku jeling Han.
“Jangan main-mainlah. Nanti Umi tegur saya sebab lama di bilik awak. Malulah saya nanti,” aku cuba merayu sekali lagi.
“Kalau awak nak keluar, kenalah cakap sesuatu yang saya nak dengar.”
“Ok. ok. I miss you very much.”
“Nice. But not the word I’m looking for.”
Aku asah kepala otakku. Apa lagi?
“I miss you, sayang?” Panjang perkataan ‘sayang’ itu aku sebutkan. Aku sengaja hendak menduga. Selaluya perkataan itu selalu aku dengar dalam drama swasta.
Kali ini Han senyum. Dia ke tepi dan memberi laluan untukku.
“Lain kali, cakap biar dengan penuh yakin. Hati-hati turun tangga, Sayang.”
“Gatal!” balasku.
Share this novel