Bab 2

Romance Completed 8896

HAMPIR lima hari aku berkurung di bilik selepas Ula bawa aku mandi air panas di Sungkai. Entah berapa kali aku beratur dan gelongsor masuk ke dalam air, tetapi aku masih terasa murung juga. Mungkin aku patut keluar dari rumah ini sebagai permulaan hidup baru yang aku inginkan. Falsafah hidup baru aku ialah bebas dari cinta dan lelaki. Itulah plan C aku. Plan A dan Plan B aku gagal dengan cemerlang sekali. Kak Suri selalu pesan jangan buat dua plan sahaja. Mesti ada sekurang-kurangnya tiga plan. A, B dan C. Nasib baik aku membesar dengan mengikut nasihat-nasihat orang yang lebih tua daripada aku. Maka dalam hal bercinta, aku buat tiga plan juga. Aku ingat aku akan lancarkan plan A bila aku di universiti, tetapi cinta datang terlebih awal. Oleh kerana awal, aku tidak anggap ia sebagai Plan A.
Aku jatuh hati dengan seorang budak lelaki di kejiranan aku. Ketika itu, aku masih lagi di Tingkatan 3. Orangnya tinggi lampai dan putih melepak. Dia setahun lebih tua daripada aku. Namanya Ismail. Nama Papaku Ibrahim. Aku berangan, kalau aku kahwin dengan dia suatu hari nanti, seronok dengar orang menyebut, ‘Itulah Ismail menantunya Ibrahim’. Mungkin aku suka cerita Tok Mi tentang pengorbanan Nabi Ismail a.s. dan Nabi Ibrahim a.s. Sebab itulah bila aku mula berkenalan dengan Ismail, hati aku sudah terpaut. Rupa-rupanya, aku tidak bertepuk sebelah tangan. Sapaan dan senyuman yang aku berikan setiap kali Ismail naik basikal di hadapan rumah Tok Mi, dibalas dengan sapaan dan senyuman juga. Akhirnya, selepas beberapa minggu, Ismail berhenti dan mula berbual denganku.
Aku dapat rasakan cinta mula berputik. Cintaku yang pertama. Hendak aku katakan cinta monyet, aku sendiri tidak pasti bagaimana monyet bercinta sebenarnya. Aku sendiri tidak tahu bagaimana perasaan yang dinamakan ‘cinta’ itu. Apa yang aku tahu ialah aku tidak sabar untuk berjumpa Ismail dan setiap kali selepas berjumpa aku pasti tersenyum sampai di bawa tidur. Sekolah aku dan dia pun agak berdekatan. Kadangkala kami berjumpa di persimpangan jalan ketika balik dari sekolah. Aku tidak ceritakan kepada sesiapa kecuali Ula. Erin dan Nad. Kak Suri dan Kak Kasih pun tidak tahu menahu hal aku jatuh cinta itu. Selang beberapa lama, aku buat keputusan untuk kenalkan Ismail kepada sahabat aku bertiga. Itulah kesilapan pertama yang aku buat. Ismail terus terpana apabila melihat Erin. Sejak dari hari itu, bukan kata senyuman Ismail, malah bunyi basikal Ismail pun aku tidak dapat dengar lagi. Bila aku tanyakan kepada Erin, dia kata lebih baik aku jangan menaruh harapan dengan lelaki yang mata keranjang seperti Ismail. Aku pegang kata-kata Erin. Bukan sebab dia kawan baik aku. Dia juga sepupu aku yang paling, paling, paling rapat dan paling, paling, paling aku percaya. Jadi Ismail hanya tinggal kenangan sebagai lelaki pertama yang pernah bertaut di hatiku.
Berbalik kepada kisah cintaku. Aku rasa aku betul-betul jatuh cinta ketika menuntut di kolej pada tahun pertama. Idham. Jejaka dari Kedah. Kami ditugaskan buat tugasan bersama dan sejak hari itu kami mula berkawan rapat. Bila selalu bersama, timbul rasa sayang aku kepada Idham dan aku mula buat langkah pertama. ‘Saya rasa saya suka awak’. Itulah kata-kataku kepadanya. Idham hanya membisu. Dia kata dia baru mengenali aku dan dia belum bersedia lagi untuk bercinta. Katanya dia juga suka akan persahabatan kami. Namun, dia tidak mahu aku menaruh harapan yang tinggi terhadapnya. Aku sangkakan dia pernah putus cinta. Mungkin dia perlukan masa untuk melupakan cinta terdahulu. Bila dia sudah lupa, aku mungkin akan menjadi pilihannya. Jadi aku pun bersetuju untuk menjadi kawan baik sahaja. Sahabat lelaki pertama aku. Selang beberapa tahun bersahabat dan aku mula rapat dengan Nizam. Idham adalah plan A dan Nizam ialah plan B. Sejak berkawan dengan Nizam, barulah aku tahu kenapa dia tidak boleh menyambut cinta aku. Idham hanya selesa berkawan dengan perempuan kerana dia mempunyai kelembutan seperti perempuan. Panggilan Idham akhirnya sudah menjadi Eid. Namun, aku pasti dia masih berada di jalan yang benar. Aku yakinkan diri yang dia hanya seorang lelaki yang masih keliru dengan identiti.

Kawan tetap kawan. Kami masih berhubungan. Dia juga tahu kes aku dengan Nizam dan keputusan aku berhenti kerja. Sebagai kawan, dia usulkan agar aku membantunya dengan urusan butik di Shah Alam. Katanya, dia perlukan seseorang untuk buat kerja promosi dan tolong dia dalam projek-projek tertentu. Aku pun tidak pasti kerja apa yang dimaksudkannya, tapi Eid minta aku berjumpa dengannya kalau aku berminat. Awal-awal lagi Eid sudah berpesan yang upah mungkin tidak banyak. Lagipun katanya, aku tidak akan tertakluk kepada waktu bekerja seperti kerja pejabat. Free and easy. Bunyinya agak menarik. Ada baiknya aku jumpa Eid sementara aku fikirkan apa yang aku mahu lakukan seterusnya dalam hidupku ini.
Aku menyisir rambut yang sudah paras telinga. Tiga hari lalu, rambut aku melepasi bahu. Aku simpan rambut panjang bertahun lamanya. Konon-konon aku mahu kelihatan ayu bila keluar dengan Nizam. Tapi impian aku tidak menjadi kenyataan. Rambut aku turut menjadi mangsa. Aku belek cermin semula. Aku tarik baju kemeja petak hitam putih kebelakang sehingga menampakkan susuk tubuh badanku. Bukan tidak ada bentuk. Pinggulku menarik. Pinggang ramping dan dada walaupun saiz C, masih ada keindahan tersendiri. Aku lihat wajah di cermin. Paras rupa pun boleh tahan juga. Berambut pendek atau berambut panjang, aku masih ada rupa yang menarik tetapi kenapa Nizam beralih arah kepada si Nadia. Apa beza antara aku dan Nadia? Paras rupa hampir sama saja. Bentuk badan dan ketinggian pun lebih kurang sama. Jadi, apa kelebihan Nadia yang aku tiada? Apa silapku dalam hubungan kami?
Apa hebatnya Nadia di mata Nizam? Mungkinkah kelincahannya atau kenakalannya atau pun saiz D miliknya? Memang Nadia lebih lincah dan spontan berbanding aku yang lebih praktikal. Mungkin itu yang memikat hati Nizam. Tambahan pula, Nadia memang pandai bergaya. Sesiapa pun pasti terpikat dengannya.

Aku tidak nafikan antara kami empat bersahabat, aku mungkin akan dapat tempat ketiga dalam pertandingan kategori cantik dan bergaya. Tempat pertama pasti dimenangi oleh sepupuku Erin. Sepupu dan sahabat baik aku itu ada pakej yang amat lengkap, selengkap namanya, Puteri Erina Alisa. Mama Erin ialah adik Papaku. Abah Erin pula keturunan raja-raja. Aku tidak pasti kerabat raja dari negeri mana. Apa yang pasti, Uncle aku itu ialah lelaki paling menawan yang pernah aku lihat ketika aku kecil dahulu. Erin mewarisi genetik kecantikan keturunan abahnya. Siapa yang tidak kenal dengan Erin ketika sekolah dahulu. Cantik, kaya, peramah dan serba boleh. Ramai yang ingin berkawan dengannya dan aku tidak nafikan yang ramai juga membenci dirinya. Bagi aku yang lebih mengenali Erin sejak kami masih memakai lampin lagi, aku tahu dia seorang yang baik hati. Mungkin kerana keadaan dirinya yang serba serbi lengkap, orang salah anggap akan dirinya. Selepas tingkatan lima, Erin terus mohon bekerja dengan sebuah syarikat penerbangan Malaysia. Sekarang dia seorang pramugari yang terbang hampir ke serata dunia.

Nadia semestinya orang kedua yang mendapat perhatian lelaki selepas Erin kalau kami keluar bersama. Dia anak bongsu daripada dua orang adik beradik. Papanya seorang arkitek manakala ibunya seorang pendidik di sebuah tadika. Ketika kami kecil-kecil dahulu, tadika itulah yang menjadi tempat pertemuan kami semua. Dia lebih dua inci daripada ketinggian 5’4” aku. Selepas tingkatan lima, Nadia melayakkan diri untuk menuntut di luar negara. Dia ke Melbourne, Australia. Bila dia balik ke Malaysia, dia terus bekerja dengan salah sebuah syarikat telekomunikasi. Penolong pengurus jualan atau yang seangkatan dengannya. Seingat aku akan jawatan yang tertera di kad bisnesnya. Aku pernah melihat Nizam membelek kad bisnes itu ketika aku bawa Nizam keluar melepak dengan sahabat-sahabat aku. Mungkin Nizam dan Nadia punya minat yang sama. Sebab itulah Nizam lebih serasi dengan Nadia yang berkongsi minat yang sama. Sama level.

Fazura atau Ula ialah sahabat yang selalu berpasangan dengan aku. Kalau dalam kelas, aku selalu duduk sebelah Ula manakala Erin akan duduk dengan Nadia. Dialah tutor tidak bertauliah kami bila kami menelaah bersama kerana dia yang paling bijak antara kami semua. Aku memang kagum dengan orang seperti Ula. Walaupun dia nampak macam anak cina dengan rambutnya yang lurus dan mata yang sedikit sepet, Ula tetap manis dan menawan. Malah semakin menawan pula sejak dia bercinta dengan Malik.

Ula sudah ada Malik dan Nadia sudah ada Nizam. Erin pula bakal bertunang dengan Ikram, seorang juruterbang yang berjaya menambat hatinya. Aku seorang sahaja yang keseorangan. Plan B sudah tidak menjadi. Nampak gayanya aku perlu laksanakan Plan C, iaitu pelan untuk menjadi wanita yang bebas tanpa sebarang ikatan dan komitmen. Bukan dengan cara hidup ala-ala ‘hippies’ tahun 70-an dahulu. Aku masih perlu bekerja untuk menampung kehidupan aku. Tidak kisah kalau gaji yang kecil pun asalkan aku dapat sesuatu yang lebih besar daripada itu. Aku sudah dapat bayangkan diri aku di masa hadapan walaupun aku belum pasti lagi kerja apa yang aku akan lakukan di masa hadapan. Apa yang aku bayangkan ialah aku akan mengambil kerja berdasarkan projek. Mungkin sesuatu berkaitan dengan teknologi maklumat atau pun sesuatu yang baru. Cara komunikasi aku kebanyakannya melalui Internet, jadi aku tidak perlu keluar selalu. Kalau keluar pun, mungkin aku tidak perlu berebut-rebut dengan orang ramai yang bekerja di waktu pejabat. Aku akan mengambil masa aku sendiri dan penampilan aku juga ikut suka hati aku tanpa perlu risau sama ada orang yang aku jumpa itu suka atau tidak dengan gayaku.
Menurut kata Ula yang mengambil kata-kata nasihat seorang pakar dalam satu rancangan realiti, kalau aku ingin melaksanakan pelan baru, aku perlu tukar sesuatu dalam diriku. Bila perkara itu berjaya, barulah aku mampu untuk lakukan apa sahaja. Mulai hari ini, aku berikrar bahawasanya cinta dan mencari lelaki untuk dicintai itu tidak penting lagi dalam hidupku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience