PAGI yang dijanjikan, aku dan Eid sudah berada di kampus UITM untuk berkumpul dengan sekumpulan dua belas penuntut UITM yang akan turut serta dalam program penanaman pokok bakau. Ada juga tiga orang yang bukan pelajar seperti kami. Kiki telah memberikan secara ringkas penerangan tentang program yang bakal kami tempuhi. Tujuan program ini diadakan ialah untuk memberi kesedaran dan pendedahan betapa pentingnya pokok bakau di untuk dipelihara di persisiran pantai. Kiki juga ada menerangkan kepada kami tentang kejadian tsunami pada tahun 2004 dahulu yang telah banyak memusnahkan ekosistem pantai. Oleh itu banyak usaha yang telah dilakukan oleh beberapa pihak tertentu untuk memastikan ekosistem pantai akan sentiasa terkawal. Program kali ini dirancang dan akan dilaksanakan dengan Persatuan Pencinta Alam Malaysia. Kiki juga menerangkan aktiviti yang akan diadakan serta memastikan semua peserta memakai pakaian yang sesuai serta dalam keadaan yang sihat.
Kami bergerak secara konvoi. Empat buah kereta semuanya. Ada dua orang pelajar perempuan yang menumpang kereta Eid. Kedua-duanya dari Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka. Jadi banyaklah topik yang kami bualkan sepanjang perjalanan itu. Pada mulanya mereka ingat aku dan Eid ialah suami isteri. Setelah dijelaskan hubungan kami yang sebenar, barulah salah seorang daripada pelajar itu kata yang dia ada peluang untuk mengenali Eid dengan lebih lagi. Amboi! Berani betul budak yang seorang itu. Aku tengok dia jenis yang lincah dan berani. Sama seperti Nad. Eid pun aku lihat melayan juga budak perempuan itu. Aku biarkan Eid melayan mereka berbual. Aku masuk sahaja sekali sekala. Fikiranku sebenarnya berada di tempat lain.
Fikiranku hanya pada Han.
Hatiku hanya pada Han.
Sejak malam itu, hubungan kami sudah ada sedikit kelainan. Aku tidak tahu sama ada aku sendiri yang perasan tetapi aku dapat rasakan Han semakin prihatin terhadap keperluan aku. Pagi kelmarin, dia sudah bersiap menungguku untuk sarapan pagi bersama keluarganya. Buat kali pertama dia ambilkan nasi goreng untukku. Malu betul aku bila Papa Mi mengusik kami. Katanya aku bukan sahaja menambat hati anak bujangnya. Malah aku berjaya mengubah anaknya itu bersifat lebih berkemanusian. Mungkin selama dia belum manusia sepenuhnya.
Mama Jah dan Umi sudah bersemangat bercerita tentang majlis akad nikah kami bila Han katakan yang kami sudah bersedia untuk mengambil langkah yang seterusnya dalam hubungan kami. Mereka katakan yang mereka akan berhubungan dengan Papa dan Mami Zan untuk berbincang langkah seterusnya.
Berbalik kepada agenda tanam pokok bakau, kawasan yang dituju ialah kampung Sungai Haji Dorani. Hampir sejam lebih perjalanan, kami pun sampai ke destinasi yang dituju. Sampai sahaja di sana, sudah ada beberapa kumpulan kecil yang sudah menunggu. Semua peserta kali ini lebih kurang lima puluh orang yang terdiri daripada sukarelawan. Rata-rata peserta dikumpulkan oleh Kiki dan rakan-rakannya. Kami berkumpul di suatu kawasan restoran untuk taklimat selanjutnya. Setiap orang akan ada peluang untuk menanam sekurang-kurangnya lima anak pokok bakau. Kami diajar cara menanam pokok. Bunyinya mudah sekali. Bawa anak pokok bakau, masuk dalam kawasan bakau dan tanam. Kami juga diberitahu tentang langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil. Taklimat ringkas dan pada itu sekejap sahaja kerana penganjur tidak mahu membuang masa. Semata-mata tidak mahu kami terdedah kepada panas terik kelak. Bukan itu sahaja. Jika hari panas, lumpur akan mengering dan menyukarkan kami menanam.
Selesai taklimat, kami pun berjalan beramai-ramai ke kawasan yang disasarkan. Anak-anak bakau sudah siap menunggu kedatangan kami. Aku terkejut besar. Menurut seorang peserta yang mungkin pernah ke sini, kawasan ini bukan bersisiran. Tempat sasaran kali ini agak jauh untuk menanam anak bakau. Bau lumpur sudah dapat kuhidu. Aku redha dengan keputusanku.
Kami telah diberikan sepasang kasut but setiap orang untuk masuk ke dalam kawasan yang berpaya itu. Jika ada yang tidak biasa memakainya, boleh juga menggunakan kasut yang dipakai sekarang. Namun, kami dinasihatkan untuk tidak membuka kasut but kerana takut terpijak bendasing yang boleh mencederakan kami.
Masing-masing mengambil anak bakau. Aku juga ambil satu. Kemudian kami diarahkan untuk masuk ke dalam paya. Aku dan beberapa peserta yang lain menunggu dan melihat mereka yang lebih berani masuk dahulu. Eid, Kiki dan budak perempuan yang banyak bercakap di dalam kereta sudah pun berada di dalam lumpur. Ada yang sudah masuk menjerit bila tidak dapat bergerak. Ada pelajar perempuan yang berpaut pinggang untuk bergerak bersama. Nampak macam sukar sahaja untuk berjalan. Bila Eid memanggil menyuruhku masuk, aku mulakan langkah pertamaku.
Kakiku terus terbenam ke dalam lumpur sehingga ke buku lali. Rasa sejuk dan geli sekaligus dapat kurasakan bila kakiku berada di dalam lumpur. Perasaan yang sama seperti bila masuk ke dalam sawah di Kedah. Bezanya lumpur ini lebih melekat dan baunya lebih memeningkan kepala. Aku lihat Eid di hadapan sudahpun terbenam sehingga ke lutut. Aku gagah juga bergerak di dalam lumpur itu. Memang sukar sekali. Rasanya setiap kali aku gerakkan kaki, setiap kali itulah tenagaku gunakan sepenuhnya. Baru beberapa langkah, aku sudah kepenatan. Aku berhenti berehat sebentar. Apatah lagi tanganku juga semakin lenguh memegang anak pokok bakau. Ada seorang peserta lelaki lalu di sebelahku.
“Akak ok ke? Nak saya tolong?”
“Akak ok. Slow and steady,” balasku.
Budak lelaki itu bergerak meninggalkanku. Setakat yang aku dapat lihat, masih belum ada yang sampai ke hujung kawasan di mana anak-anak bakau perlu ditanam. Matahari sudah mula meninggi. Aku melangkah setapak dan berhenti seminit. Langkah setapak berhenti lagi. Dari paras buku lali sehingga ke pangkal betis. Semakin menggigil aku kerana takut kalau ada haiwan yang menjalar. Namun, aku teruskan juga usahaku. Agak-agaknya hampir setengah jam di dalam lumpur itu, barulah aku berjaya sampai ke kawasan penanaman semula. Ramai yang sudah berjaya menanam anak bakau yang pertama. Eid juga sudah memulakan perjalanannya yang kedua. Aku berpatah balik. Sama seperti aku berjalan pergi, perjalanan pulang juga memakan masa. Bila aku sampai sahaja di permukaan jalan yang berkonkrit, aku berehat seketika. Ramai juga yang sepertiku. Kepenatan dalam perjalanan pertama masing-masing.
Aku mencapai beg galas, mencari botol air yang kubawa bersama awal pagi tadi. Sementara aku berehat, aku melihat karenah para peserta. Ada yang menggunakan pelbagai cara untuk berjalan di dalam paya bakau itu. Gelak ketawa, gurau senda dan laungan putus asa turut didengari. Dalam masa aku berehat itu, ada pula suara-suara yang memanggil supaya kami tidak membuang masa. Supaya kami teruskan perjuangan menanam bakau atas nama pemuliharaan alam sekitar. Beberapa orang pelajar perempuan bangun menyahut cabaran. Aku juga bangun dan pergi mendapatkan anak pokok yang kedua. Bila kali kedua aku masuk ke dalam lumpur, semangat baru wujud untuk aku harungi laluan itu. Namun, lima minit terasa seperti lima belas minit. Peluh sudah mencurah-curah di belakangku. Mujur baju T yang ku pakai berwarna hitam. Bukan masa untuk malu dengan peluh atau bau badan. USaha perlu diteruskan. Lagipun, nanti boleh mandi dan salin pakaian.
Aku berselisih dengan Eid ketika dia hendak kembali dari pusingan keduanya. Eid, jejaka idamanku suatu ketika dahulu itu tidak pun nampak letih tetapi bajunya kelabunya habis berbasah dan berselut. Dia tersenyum melihat aku terkapai-kapai mengimbangi badan di dalam selut paya.
“Chaya boleh lagi ke?”
“Boleh tu bolehlah tapi rasa macam nak pengsanlah. Ni tengok ni,” aku tunjukkan bajuku yang sudah penuh berlumpur. “Bau lumpur ni lagi teruk dari bau lumpur di kampung Eid. Confirm malam ni Chaya pengsan.”
Kata-kataku tidak mendapat sebarang balasan daripada Eid. Sebaliknya Eid sedang memandang ke hadapan. Dia melihatku semula.
“Chaya ada bagitau dekat Han ke yang Chaya nak mai sini,” soalnya.
“Tak,” aku geleng kepalaku.
“Dia di sini. Depan tu,” kata Eid sambil menunjuk dengan kepala dan anak matanya.
Aku toleh ke belakang. Tidak jauh dari situ aku nampak Han sedang memandang kami. Aku angkat tangan melambainya. Kemudian aku tunjukkan anak bakau yang kupegang dan kawasan yang perlu kutanam. Dan aku tunjukkan isyarat sebentar. Aku nampak Han mengangkat ibu jarinya. Mungkin dia kata ok kepadaku.
“Chaya nak Eid sampaikan apa-apa ke pada Han?”
“Kalau Eid sampai sana, Eid cakap dengan Han yang Chaya tak boleh nak patah balik. Kena tanam anak bakau ni dulu.”
“Ok”
Eid berlalu dari situ dan aku teruskan perjalananku meredah lumpur. Kali ini lebih nekad untuk maju supaya aku dapat berjumpa dengan Han dengan segera. Secepat mana aku usaha, aku masih seperti sebelum ini juga. Ada seseorang yang ingin memintas. Aku jeling ke tepi dan dapati orang itu semakin hampir denganku.
“Awak boleh jalan lagi tak?”
“Lah! Awak ke? Ingatkan siapa tadi. Macam mana awak boleh sampai cepat macam ni?” soalku pelik kerana sekejap sahaja Han sudah berada di sebelahku.
“Saya memang pandai berjalan dalam tempat berpaya seperti ini. Awak tahu tak bagaimana nak jalan dalam paya?”
Aku geleng kepala.
“Cara awak jalan tu salah. Awak kena angkat kaki dan teruskan berjalan. Pada masa yang sama pastikan awak imbangkan badan. Dengan cara tu barulah awak tak tersekat”
“Cakap senanglah, cuba tunjukkan pada saya”
Aku lihat Han berjalan di hadapanku. Terbeliak biji mataku melihat cara dia berjalan di dalam paya. Macam pakar rentas paya. Sekejap sahaja, dia sudah sampai ke kawasan sasaran. Dia suruh aku cuba. Aku gunakan teknik yang sama tetapi aku masih tersekat-sekat juga. Han kembali menghampiriku.
“Tak bolehlah. Stuck juga ni,” keluhku.
“Bagi sini anak pokok tu. Aku pergi tanam untuk awak.”
“Tak naklah. Saya nak buat sendiri”, balasku.
“Awak bagi aku pegang. Kita pergi sama-sama lepas tu awak tanamlah,” katanya.
Aku menyerahkan anak pokok bakau itu kepada Han. Kemudian aku mula bergerak ke arah kawasan penanaman. Han di sebelahku. Beberapa orang peserta menegurku betapa untungnya aku ada pembawa bakau. Aku senyum sahaja. Aku berjaya menanam pokok yang kedua dan juga anak bakau ketiga kalau dikira bakau yang dibawa Han tadi.
“Kalau awak dah penat, aku boleh buatkan untuk awak,” kata Han.
Memanglah aku penat. Matahari pun dah semakin terik. Pasti aku bukan sahaja penat tetapi aku juga bakal jadi udang bakar hari ini. Walaubagaimanapun, aku tidak mahu mengalah begitu sahaja. Aku mahu teruskan juga.
“Tak perlu. Saya nak habiskan juga. Saya nak rehat sekejap sahaja,” balasku.
“Ada lagi dua kan? Awak buat satu dan aku tolong awak bawa yang satu itu.”
“A’ah,” balasku. Aku meneguk air lagi. Aku hulurkan botol air itu kepadanya dan dia menyambut lalu minum beberapa teguk. Selepas berehat seketika, kami bangun untuk pusingan yang terakhir.
Selepas berjaya menamatkan pusingan dan menanam kelima-lima anak bakau dengan bantuan Han, aku duduk dengan kaki menjulur di atas jalan menunggu beberapa peserta menghabiskan tugasan mereka. Eid baru sahaja melangkah keluar dari pusingan keempatnya dan dia juga sedang mengambil nafas di sebelahku. Ada beberapa peserta perempuan yang sanggup baring di tengah-tengah jalan melepaskan rasa penat di badan. Masih ada beberapa lagi anak bakau yang belum bertanam. Aku terlalu penat untuk berbual. Selang beberapa minit, Eid bangun untuk pokok yang terakhir. Dia mengajak Han kalau Han ingin membantu yang lain-lain. Han angguk dan aku lihat kedua-dua mereka mengambil pokok dan masuk semula ke dalam kawasan bakau yang sudah kelihatan semakin memekat. Mungkin dalam proses mengering disebabkan matahari.
Bila kesemua anak-anak pokok berjaya di tanam lewat tengahari itu, kami bergerak ke suatu kawasan berair untuk membilas dahulu lumpur paya dari pakaian masing-masing. Selesai dengan membilas, kami bergerak pula ke satu kawasan berdekatan untuk mandi dan menukar pakaian. Kumpulan sukarelawan berkumpul semula di restoran yang sama untuk makan tengahari dan mendengar ucapan terakhir dari ketua penganjur. Tepat dua tiga petang, kami pun bersurai dengan suatu pengalaman yang cukup menarik.
“KENAPA awak tak beritahu aku apa yang awak buat ni?”
“Saya rasa perkara tu tak penting untuk awak ambil tahu.”
“Aku nak tahu apa bakal isteri aku nak buat. Mulai hari ini, apa yang awak nak buat, awak beritahulah. Mana tahu, aku pun nak join sekali,” katanya.
“Macam mana awak boleh sampai sini?”
“Aku ingat nak ajak awak breakfast. Aku telefon tapi awak tak angkat. Aku terus ke butik. Kawan awak yang lembut sikit tu beritahu apa awak buat. Aku terus ke sini.”
“Lain kali kalau ada projek sukarelawan, saya beritahu awak.”
“Awak sukarelawan paya bakau ke?”
“Baru jadi je,” aku ceritakan kepada Han bagaimana aku tertarik dengan cerita Kiki, si pensyarah yang aku kenalkan dengan Han tadi sehingga aku mendaftar diri sebagai seorang sukarelawan. Aku ceritakan organisasi yang aku daftar untuk menjadi ahli dan juga aspirasiku pada masa hadapan. Biar Han tahu yang aku juga ingin menimba pengalaman sama sepertinya. Cuma cara sahaja yang berbeza.
“Awak dah buat projek apa lagi?”
“Alah, baru projek tadi tu. Baru nak try try,” balasku. Aku mendepakan tanganku ke hadapan dan membuat senaman ringan dengan kepalaku juga. Aku balik naik jip Han. Eid tidak kisah. Lagipun, dia masih ada dua pelajar perempuan yang menumpang keretanya itu. Han tiada persalinan. Dia masih dengan seluar separas lutut yang masih basah dengan bilasan air. Aku pasti bakal suamiku ini pun jenis tidak kisah dengan apa yang dia pakai atau buat. Ikut suka dia sahaja.
“Kalau awak penat, awak tidurlah Chaya.”
“Memang saya penat pun. Kalau saya tidur, awak tak kisah kan. Nanti kalau dah nak sampai, tolong kejutkan saya ye. Saya nak kena masuk kerja juga petang ni juga. Awak hantar saya ke tempat kerja saya ye. Kalau awak nak, awak boleh balik ke studio. Awak rehat di sana. Malam ni, awak datang ambil saya, boleh kan?”
Han faham dengan permintaanku.
Jom kawan-kawan semua. Kita sama2 jaga alam sekitar ya. Bawa beg kitar semula bila keluar beli barang2. Jadi macam Chaya.....bantu alam jadi lebih indah...
Share this novel