“KAU ok ke Chaya?” soal Fazura atau nama panggilannya Ula, sahabat merangkap rakan serumah menegur sebaik sahaja aku melangkah masuk ke dalam apartmen yang kami sewa bersama. Sewa apartment di kawasan Taman Melati agak murah dan aku hanya perlu berjalan lebih kurang sepuluh minit untuk ke stesen LRT. Mujur juga ada LRT. Kalau tiada LRT, aku perlu keluar seawal enam pagi untuk mendapatkan bas bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas supaya tidak terlambat ke pejabat.
“Kau tak kerja ke Ula?” aku pula menegur Ula yang bekerja di Jabatan Akauntan Negara. Pelik juga kerana dia sudah ada di rumah ketika ini. Kebiasaannya, dialah yang paling lewat sekali pulang dari tempat kerja.
“Aku ambil cuti semata-mata nak beri sokongan moral pada kau. Err…kau ok ke?” soalnya.
Aku terkejut mendengar pengakuan Ula. Rasa seperti hendak menangis pun ada. Baik sungguh dia sehingga sanggup ambil cuti yang berharga untuk beri sokongan moral kepada aku. Ula adalah sahabat yang paling rapat denganku. Dia bijak sedikit daripada aku. Dia masuk Universiti Kebangsaan Malaysia dan aku pula masuk kolej swasta di Negeri Sembilan. Bila aku mula kerja di Kuala Lumpur, dia ajak aku tinggal serumah dengannya. Kami satu sekolah dari sekolah rendah sampai sekolah menengah. Begitu juga dengan dua orang lagi sahabat baik aku, Erin dan Nadia. Kami berempat sedari kecil lagi memang tidak dapat dipisahkan.
“Kenapa kau tengok aku semacam? Kau rasa terharu ye sebab ada kawan macam aku? Aku tahu hari ini hari terakhir kau di situ. Aku ingat nak ambil kau tadi tapi aku rasa kau mungkin perlukan sedikit ruang. Jadi aku tunggu kau di sini. So, kau rasa nak keluar tak? Kita pergi tengok wayang ke atau apa saja supaya kau rasa lega sedikit?”
“Thank you Ula. Aku rasa macam nak pergi Universal Studio naik roller coaster sampai aku pengsan.” Aku teringat percutian keluarga ke sana. Memang boleh lupa dunia kalau naik jentera sambil tengok dunia tunggang terbalik.
“Kalau aku kaya, aku bawa kau terbang ke Singapura masuk Universal Studio. Masalahnya, aku tak kaya. Aku bawa kau pergi Legoland nak? Kita boleh pergi sekarang. Nak tak?”
“Kau biar benar Ula?”
“Aku serius ni. Apa guna kawan kalau kita susah pun tak boleh tolong?”
“Mmmm…tapi ada kawan yang jenis makan kawan kan?”
Ula diam sahaja. Aku agak dia fikirkan Nadia. Aku tahu dia pun berbelah bahagi. Nadia pun kawan baiknya juga. Sebenarnya, Ula seperti sudah mengagak yang Nizam sudah main kayu tiga bila aku balik mengadu tempoh hari. Ula ini jenis yang suka berimaginasi dan dia banyak melayari rancangan-rancangan realiti. Bila aku ceritakan hal aku dengan Nizam, dia kata Nizam mungkin hilang minat dengan aku. Dia nyatakan fakta-fakta berdasarkan cerita aku. Dia juga ada menyatakan yang Nizam berkemungkinan ada orang lain. Bila aku dengar kata-kata Ula, aku tidak percaya. Mungkin aku ini lurus bendul juga orangnya. Lagipun, aku dan Nizam sudah beberapa tahun berpasangan. Mana mungkin ada orang ketiga. Mungkin ada betul juga pepatah Melayu. Aku pun tidak pasti pepatah Melayu yang mana satu. Kalau tiada angin masakan pokok bergoyang. Kalau tiada Nadia, tiadalah Nizam berlaku curang. Ada lagi satu perumpamaan yang aku percaya sekarang. Harapkan pegar, pegar makan padi. Si ayam pegar tu Nadialah tapi paruh ayam pegar tidaklah seperti bibir juih Nadia itu. Lagi satu ialah jangan sangka air yang tenang itu tiada buaya. Itu Nizam. Memang buaya. Bukan buaya tembaga tetapi buaya karat. Kurang asam punya kekasih!
“So? Kau nak pergi tak?” Ula tanya aku lagi.
“Kalau kau sanggup drive sampai ke sana, aku ok sahaja tapi aku ingat tak payahlah sampai ke Johor tu. Kita pergi mandi air panas di Sungkai je esok. Petang ni aku nak duduk rumah,” aku balas semula.
Ula duduk berhadapan dengan aku. Senang sedikit hati aku bila melihat ada orang yang prihatin dan ambil berat terhadap keadaan diri aku sekarang.
“Family kau dah tahu ke tidak yang kau dah berhenti kerja?”
“Aku dah beritahu pada Kak Suri sahaja,” balasku ringkas. Kak Suri ialah kakak sulungku. Kalau aku ada masalah, selain sahabat aku yang tiga atau kini dah jadi dua sahaja, Kak Surilah orang pertama yang akan aku hubungi. Aku memang bertuah kerana dikurniakan Kak Suri sebagai kakak kandungku. Dia bukan sahaja seorang kakak yang bertanggungjawab dan penyayang. Dia juga bersikap terbuka. Dia akan menyokong keputusan aku asalkan aku dapat hidup berdikari. Contohnya, masa aku telefon Kak Suri untuk beritahu keputusan untuk berhenti kerja, dia tanya aku beberapa soalan sahaja. Bila aku berikan jawapan, kakak aku suruh aku teruskan kehidupanku. Kakak sulung aku amat praktikal orangnya. Lagipun aku kenal sangat dengan Kak Suri. Aku pasti aku boleh harapkan dia untuk membantu aku sama ada dari segi mental atau pun wang ringgit.
“Jadi kau tak cerita pada yang lainlah?” soal Ula yang sememangnya kenal sangat dengan keluargaku.
“Aku tak cerita lagi pada Kak Kasih dan papa. Tengoklah nanti,” balas aku selamba. Kakak aku yang kedua ialah Kasih. Kak Kasih dua tahun lebih tua dari aku. Orangnya agak pendiam tetapi paling bijak antara kami tiga adik beradik. Hubungan kami begitu rapat. Kemudian, Kak Suri ke India untuk belajar jadi doktor dan Kak Kasih menyusul ke utara Semenanjung. Cuma aku yang malas belajar ini sahaja masuk kolej swasta di negeri sendiri. Namun, hubungan kami adik beradik masih istimewa juga walaupun kedua-dua kakakku sudah pun berumahtangga. Semenjak kami kecil, kami hanya ada satu sama lain. Papa sibuk bekerja dan Mama pula meninggal dunia ketika aku baru hendak mencecah umur empat tahun. Memang pelik nama yang diberikan oleh Papa dan Mama kepada kami. Suri, Kasih dan Chahaya. Agaknya kalau aku ada adik perempuan, silap-silap namanya Ratu atau Indah. Nasib baik ibu tiri aku dapat anak lelaki. Namun begitu, namanya ada sedikit pelik juga. Mika. Bukan dari singkatan Mikail. Hanya Mika.
Sejak kehilangan Mama, kami bertiga dibesarkan oleh Tok Mi iaitu emak kepada Papaku. Tok Mi garang dan tegas orangnya, tetapi dia amat menyayangi kami bertiga. Sejak dari kecil lagi kami di ajar berdikari dan menjaga diri. Aku amat berterima kasih dengan arwah Tok Mi – semoga rohnya diRahmati Allah. Tanpa dia, aku mungkin bukan seperti aku yang ada pada hari ini. Aku yang tegas dengan keputusan berhenti kerja. Bukan kerana kecewa bercinta, tetapi kerana manusia perlu berubah untuk lebih berjaya dalam hidup. Itu juga pesan arwah Tok Mi – semoga rohnya sentiasa diRahmati Allah, Amin.
“Nad ada telefon aku,” kali ini kata-kata Ula masuk betul ke telingaku. Aku sabar sahaja. Perkara sudah lepas. Aku malas hendak berdendam. Mana tidaknya. Puas lima hari lima malam aku menangis tidak berhenti. Akhirnya, aku rasa keputusan yang paling baik ialah mendoakan kebahagiaan Nadia dan Nizam.
“Apa dia nak?”
“Dia nak jumpa dengan kau.”
“Aku tak naklah.”
“Tapi kau masih nak kawan dengan dia kan?”
“Kena ambil masa Ula. Mana boleh senang-senang aku kawan balik dengan dia. Dah tikam aku dari belakang, dia nak harap aku baik dengan dia macam dulu. Kalau aku buat dekat kau macam dia buat dekat aku, kau cuba fikir apa rasanya?”
“Takkan kau nak si Malik aku?” naik sikit suara Ula bila aku sebut tentang hal itu. Mungkin Malik kurang kacak berbanding Nizam. Sebenarnya Malik memang kurang kacak. Sekurang-kurangnya Malik baik hati dan aku tahu orang seperti Malik tidak akan curang seperti Nizam.
“Aku baru buat contoh saja, kau dah naik suara. Hah! Baru kau tahu sikit apa yang aku rasa,” aku membalas.
“Habis tu, kalau dia telefon atau jumpa aku lagi, apa aku nak kata?”
“Kau kata pada dia yang Chaya kata selamat berbahagia. Itu cara aku bagi greenlight dan maafkan dia dengan Nizam.”
“Dia dah tahu ke yang kau dah tahu pasal dia dengan Nizam?”
“Belum lagi.”
“Lah. Ingatkan Nad dah tahu yang kau dah tahu. Rupa-rupanya kau simpan sorang-sorang. Apa kau nak buat sebenarnya?”
“Aku nak dia beritahu aku sendiri.”
“Mmm…kau benar-benar ok ke ni Chaya? Pasal hal Nizam dan sekarang kau dah tak kerja. Kau nak aku tolong apa-apa tak?”
“Aku ok Ula. Kau jangan bimbang. Aku ada duit simpanan. InShaaAllah, aku boleh bayar sewa rumah ni bulan-bulan. Kau janganlah bimbang ok?”
Ula mengangguk. Dia memang tahu aku ada simpanan. Sejak aku di tingkatan lima lagi aku sudah ada akaun KWSP. Aku ikut jejak langkah kakak-kakakku yang selalu buat kerja sambilan bila cuti sekolah ataupun bila kelapangan. Semenjak aku berada di Kuala Lumpur, aku sungguh berjimat cermat. Aku tiada pinjaman untuk bayar kereta. Kalau keluar temu janji dengan Nizam, selalunya Nizam yang bayar. Duit aku hanya ke sewa rumah dan belanja aku hari-hari. Awal-awal lagi Papa pesan yang dia tidak mahu duit kami adik beradik. Dia suruh kami guna untuk kegunaan kami sendiri. Katanya, dia pun ada simpanan. Nampaknya keluarga aku memang ada simpanan. Semuanya hasil didikan Tok Mi. Pesan arwah Tok Mi - semoga rohnya diRahmati Allah, kena sediakan payung sebelum hujan. Kalau menyimpan, kita juga yang senang. Itulah pesanan Tok Mi bila dia ajak aku ke bank untuk menyimpan duit yang Papa dan ibu saudara selalu beri kepadanya.
“Terima kasihlah pasal kau ajar serba sedikit pasal bab duit ni. Sekurang-kurangnya keputusan aku berhenti kerja ini pun atas panduan kau tu,” aku berikan kredit kepada Ula. Memang dia juga sedikit sebanyak mengajar aku tentang hal kewangan. Ada sekali dia ajak aku buat kerja sampingan jadi wakil jualan produk kesihatan. Kami buat betul-betul. Namun, kami hanya mampu buat dalam enam bulan pertama. Ula sibuk dengan kerja dan aku sibuk bercinta. Aku menyerah kalah untuk mencari ahli. Hasilnya aku dapat tiga ahli sahaja dan mereka pun sepertiku. Bertahan separuh jalan.
“Aku tahu kau ada duit Chaya dan aku sokong tindakan kau untuk berhenti kerja. Aku cuma nak kau tahu yang aku akan sentiasa ada untuk bantu kau. Begitu juga dengan Erin dan aku pasti Nadia pun sama.”
Aku agak Ula masih mahu mencuba untuk aku berbaik dengan Nadia. Baik aku layan sahaja. Takut dia terasa hati pula.
“Aku tahu. Aku tahu,” hanya itu sahaja yang aku mampu berkata.
Share this novel