“CHAYA! Kau pergi Kemboja ke kau pergi Umrah? Macam tak percaya aku yang kau dah pakai tudung. Sejak bila ni? Padanlah kau tak mahu datang ke KL jumpa aku bila kau balik. Asyik main mesej. Rupanya nak buat surprise. Ceritalah dengan aku.”
Sebaik sahaja aku buka pintu bilik hotel, Ula berlari memeluk aku. Katanya, semasa dia berjumpa dengan Erin di lobi sebentar tadi, Erin sudah memberitahu yang aku akan buat dia terkejut. Bila dia nampak aku, terus dia bertindak begitu. Aku sudah boleh meneka reaksi Ula. Mungkin reaksi Nad pun lebih kurang sama juga nanti. Memang aku mahu buat kejutan untuk sahabatku ini. Aku ceritakan kepada Ula bagaimana hatiku terbuka untuk memakai tudung kepala. Seru yang tiba beberapa hari setelah aku berada di Kemboja. Mungkin mereka yang mengenaliku juga akan terkejut dengan perubahan ini. Terutama sekali keluarga Han. Hanya aku tidak boleh mengagak bagaimana reaksi Han bila melihatku sekarang ini.
“Aku tak sangka Chaya tapi aku seronok tengok kau begini.”
“Terima kasih sebab sokong aku pakai tudung Ula.”
“Apa yang kau merepek ni Chaya. Memang perkara ni wajib pun. Aku je yang belum sampai seru. InShaaAllah suatu hari nanti aku ikut jejak langkah kau.”
“Aku akan doakan yang terbaik untuk kau Ula. Kau kawan aku dunia akhirat.”
“Aku rasa hiba pulak bila kau cakap macam ni. Sentimental habis. Terima kasih sebab ingat aku dalam doa kau. So, what’s the plan!”
“What plan?”
“Kau ke sini dah bersedia nak jumpa Han, bukan? Apa rancangan kau. Tak nak bagi tahu pada aku ke?”
“Aku akan jumpa dia, Ula. Kalau aku dapat jumpa dia sebelum wedding Erin, aku jumpa. Kalau tak, aku pasti akan cari dia lepas wedding ni nanti.”
“Ish, kenapa pula aku yang tiba-tiba tension pasal kau dan Han ni?”
“Entahlah Ula. Kenapa pula kau yang terlebih ni? Sepatutnya aku yang makan tak kenyang, tidur tak lena.”
“Aku tahu Chaya. Mungkin pasal aku tahu cerita kau dengan dia dan sekarang kau nak jumpa dia. Kalau aku buat-buat tak fikir pun, perkara tu pasti bermain dalam fikiranku.”
“Kau sayang sangat dengan aku tu. Sampaikan hal aku pun dah jadi masalah kau. Kita lihatlah bagaimana cerita ni berakhir. Aku redha dengan apa yang bakal berlaku. Tapi aku akan cuba berjuang. Aku sayangkan dia.”
“Kalau aku nak tolong pun, aku hanya boleh tolong doakan kau saja. Well, nak keluar join tengok orang siapkan dewan ke tak?”
“Aku rasa sekarang tak banyak yang nak dibuat. Dorang start pagi esok. Lagipun dah lewat sangat ni. Kau tak risau ke nanti muka tak cantik sebab tidur lambat.”
“Aku nak kisah apanya. Bukan kita yang jadi pengapit. Si Nad tu yang perlu rehat awal. Kalau kita siap cantik-cantik pun, bukan kita yang jadi tumpuan. Si Erin dan si Nad juga yang orang tengok.”
Memang betul pun. Kataku di dalam hati.
“Mesti meriah kan wedding ni. Aku dengar dewan besar,” kata Ula sambil membelek dirinya di cermin meja solek. Membuka ikatan rambut dan mengikat semula dengan lebih kemas.
“Dorang combine. Buat satu grand wedding. Lagipun family sebelah kami bukannya ramai sangat macam family si Ikram tu,” balasku.
“Betul juga. Kalau dua-dua buat, kira membazir je.”
Selesai mengikat rambut dan sambil bercekak pinggang, Ula memandangku.
“Jomlah kita turun je. Mana tahu rezeki kau boleh jumpa Han,” ajaknya kepadaku.
AJAKAN Ula memang tidak sia-sia. Aku benar-benar nampak Han. Ketika aku dan Ula sedang melayan berbual dengan beberapa orang saudara mara Uncle Omar yang membantu di dewan itu, aku ternampak kelibat Han di pintu utama dewan mencari-cari seseorang. Aku pasti dia sedang mencari Ikram yang turut sama mendaftar masuk awal di hotel. Malah beberapa ahli keluarga Ikram turut berkumpul di dewan untuk melihat-lihat sekeliling dewan atau berbual-bual. Jarak kedudukanku dan di mana dia berdiri tidak jauh. Hanya beberapa puluh meter sahaja. Aku dapat melihat wajahnya dengan jelas.
Seperti merasai seseorang melihatnya, Han mengalih perhatiannya ke arahku. Kami saling berpandangan. Sekejap sahaja kami bertukar pandangan kerana Han terus menoleh ke arah bertentangan dan pergi dari situ. Seolah-olah dia tidak melihat aku. Seolah-olah aku tidak wujud di situ. Seolah-olah aku tiada erti baginya ketika itu. Aku hanya mampu menutup mata. Cara aku menahan dari memikirkan yang bukan-bukan. Mungkin dia tidak kenal dengan penampilanku yang terkini. Atau mungkin dia tidak dapat melihatku dengan jelas sebentar tadi. Pelbagai alasan yang kuberikan kepada diriku. Alasan yang memihak kepada tindakan Han.
“Pergilah cari dia Chaya. Inilah peluang kau,” bisik Ula di telingaku.
Kakiku pantas melangkah. Mengejar Han yang baru beberapa saat hilang dari pandanganku sebentar tadi. Sejurus selepas aku keluar dari dewan aku nampak susuk tubuhnya yang berjalan melalui koridor menuju ke arah tempat meletak kereta. Aku terus mengejar sehingga aku berdiri beberapa langkah daripadanya.
“Han,” aku memanggil namanya. Aku nampak dia berhenti. Tetapi dia tidak memusingkan badannya. Hanya berdiri buat seketika sebelum dia berjalan semula.
“Han!” kali ini dia berhenti. Perlahan dia memusingkan badannya. Pertemuan pertama aku dan Han sejak perpisahan kami. Semenjak aku sedar aku memerlukan Han di dalam hidupku, saban hari aku sering memikirkan apa yang akan aku katakan kepadanya tatkala aku berjumpa dengannya. Aku turut berlatih ucapan yang akan aku sampaikan. Entah kenapa saat dan ketika ini, aku seperti hilang ayat dan buah bicara apa yang ingin kukatakan. Aku memberikan sekuntum senyuman kepada Han. Dia pula hanya melihat dan menanti untuk aku katakan sesuatu. Tiada senyuman daripadanya.
“Hi,” itu yang mampu kukatakan. Senyumanku semakin menguntum mekar.
“Kau nak apa?” bukan itu yang aku harapkan perkataan yang dikeluarkan daripada mulut Han.
“Han sihat?” soalku tanpa menghiraukan soalannya sebentar tadi. Han hanya mengangkat kedua-dua bahunya. Mukanya tampak tidak gembira. Aku tidak akan berputus asa. Han sudah ada di hadapan mata. Sepatutnya aku katakan sahaja apa yang terbuku di dada selama ini.
“Chaya minta maaf Han. Chaya silap. Chaya tak patut hukum Han. Chaya tak beri peluang pada Han. Chaya harap Han dapat maafkan Chaya,” kataku kepadanya tanpa ku lepaskan pandangan.
Han senyum seketika. Aku tidak dapat meneka senyuman jenis apa yang dia baru sahaja berikan kepadaku itu.
“Kenapa dengan kau ni? Kalau maaf yang kau mahukan, aku dah lama maafkan kau. Jadi, kau tak perlulah nak minta dengan aku sekarang,” katanya kepadaku. Sebaik sahaja dia ucapkan kata-kata itu, dia terus mahu beredar dari situ.
“Han, nanti dulu,” rayuku. Kenapa dia seperti ini? Kenapa mahu pergi begitu sahaja. Aku tidak puas hati. Mana kata-katanya ketika berpisah dahulu yang dia perlukan aku. Dia tidak akan bahagia tanpaku. Aku tidak boleh biarkan dia pergi. Han masih terus berjalan meninggalkanku. Aku terus mengejar mendapatkannya. Aku terus ke hadapan menghalangnya.
“Han, dengar. Chaya sayangkan Han. Sentiasa rindukan Han. Kalau Han sudi, Chaya ingin bersama dengan Han, selama-lamanya.”
Kali ini Han berhenti. Dia ketawa.
“Wait Cik Chahaya. Kau jangan buat macam ni. Kau juga yang minta aku jangan ganggu hidup kau. Jadi aku minta baik-baik dengan kau kali ini. Kau jangan ganggu hidup aku pula.”
“Han dengar tak? Chaya kata Chaya sayang Han. Kita lupakan sahaja apa yang berlaku dulu tu. Kita mulakan hidup baru.”
“Kau jangan buang tabiat. Kau tu dah pakai tudung. Kau ingat elok ke kau cakap macam ni? Dengan lelaki yang tiada kaitan langsung dengan kau.”
“Han tak suka Chaya pakai macam ni?” soalku kepadanya.
“Sudahlah. Aku malas nak layan kau,” katanya kepadaku. Tanpa menghiraukan aku, dia terus pergi. Aku biarkan sahaja kali ini. Mungkin kerana ada sesuatu yang membuatkan aku membiarkan dia pergi. Tegurannya tentang penampilanku dan soalanku yang tidak dijawabnya. Adakah kerana aku bertudung litup menyebabkan dia hilang minat denganku? Mungkinkah aku bukan lagi perempuan yang dia inginkan?
Malam ini aku sedar akan beberapa perkara. Pertama, Han seperti lelaki yang aku temui suatu ketika dulu. Tidak peramah dan kasar sekali. Kedua, dia kata dia sudah memaafkan aku. Ini bermakna, kemaafan yang ingin ku pinta daripadanya sudah pun aku dapat. Ketiga, aku dapat rasakan yang dia tidak dapat menerimaku dan dia juga tidak dapat menerima cara penampilanku sekarang ini. Pelik. Aku dapat menerima semua kenyataan ini dengan hati yang terbuka. Aku tidak langsung menitiskan air mataku padahal hatiku sememangnya terasa perit dengan penolakan Han sebentar tadi. Mungkin kerana akalku mula berfikir.
Aku kembali ke bilik hotel. Ula dan Erin sudah sedia menanti untuk mendengar cerita dariku. Untungnya aku kerana ada mereka. Aku amat memerlukan sokongan ketika itu. Kali ini walaupun tangisanku seketika sahaja, aku dapat katakan sesuatu kepada kedua-dua sahabat baikku. Suatu kenyataan yang aku harus terima. Hanya Allah yang Mengetahui. Betapa peritnya kenyataan itu. Aku dan Han sudah ditakdirkan tidak bersama. Hanya kerana tindakan bodoh yang kuambil suatu ketika dahulu. Hanya kerana aku seorang yang tidak tahu menghargai lelaki yang baik seperti Han.
---------------------//---------------------------
AKU dan Ula berdiri berdekatan dengan Erin dan Nad yang sudah bersiap sedia di ruang luar dewan. Kami berkumpul di bahagian sebelah kanan manakala kumpulan Ikram di bahagian sebelah kiri pintu dewan. Pakaian pengantin yang dipakai Erin ada kelainannya. Dia memakai sehelai gaun mengikut susuk badannya yang langsing itu. Kain organza krim yang bersulaman emas di keseluruhan gaun itu bercorak seperti ranting-ranting kayu kecil. Gaun berlengan panjang itu labuh sedikit di bahagian belakangnya. Erin hanya bersanggul ringkas. Sama seperti gaunnya, hiasan di kepala seperti ranting kayu-kayu yang dihiasi bunga-bunga dan mutiara. Hiasan yang dipegang di tangan juga adalah rantingan kayu yang diikat dan dihiasi bunga-bunga yang diwarnakan dengan warna keemasan.
Sebagai pengapit, Nad juga mengenakan warna baju kurung moden organza berwarna krim. Tiada corak ataupun sulaman. Namun, Nad kelihatan menawan. Melihat pasangan Erin dan Nad di bahagian kiri dewan, tema yang sama untuk pakaian pengantin lelaki. Ikram mengenakan sut blazer dan baju kemeja yang bewarna krim. Sut itu dihiasi dengan sulaman keemasan dari kolar mandarin sehingga ke hujung blazer. Corak sulaman yang hampir serupa dengan corak di gaun pengantin Erin.
Aku menerima arahan daripada ketua acara meminta aku dan Ula mula menyusun kumpulan pengantin kerana waktu untuk masuk ke dewan akan dimulakan sebentar tadi. Aku mula menyusun atur beberapa kanak-kanak perempuan dan lelaki yang berpakaian gaun dan sut supaya beriringan dengan pasangan masing-masing. Mereka akan menabur bunga-bunga berwarna emas ketika berarak masuk nanti. Kemudian, aku bantu Ula menyusun pengantin dan pengapit. Bila arahan diberikan, pintu dewan dibuka. Alunan lagu dengan petikan alat musik hap oleh seorang gadis yang berada di dalam dewan sungguh mengasyikkan. Para tetamu bangun untuk memberikan tepukan kepada pengantin yang sedang berarak masuk.
Majlis perkahwinan Erin begitu meriah sekali. Tema majlis malam itu ialah alam magika. Bayangkan pohon-pohon kayu yang dihiasi dengan lampu-lampu serta bunga-bungaan menghiasi ruangan dewan yang besar itu. Di bahagian bumbung dewan pula terdapat lampu-lampu yang digantung dengan ranting-ranting kayu. Rantai-rantai kristal berjuraian mengindahkan pencahayaan di dewan yang serba menarik itu. Meja dan kerusi dihiasi kain putih dengan ikatan reben besar berwarna keemasan. Di setiap meja ada hiasan ranting bunga dan mutiara mengelilingi lilin besar yang diletak kemas di dalam sebuah balang kaca. Sebelum Erin dan Ikram melangkah masuk, lampu utama ditutup dan bermulalah pencahayaan dewan yang seolah-olah berada di alam yang lain.
Kedua-dua pengantin berjalan menuju ke singgahsana pelamin yang dihias dengan lebih hebat. Mutiara, bunga dan kristal yang berjurai menghiasi tempat duduk pengantin. Erin dan Ikram mengambil tempat mereka. Seperti Raja dan Permaisuri yang sedang bertahta di Taman Magika mereka. Lampu kamera bersilih ganti berkilauan tatkala mereka duduk bersanding. Tetamu pula disajikan dengan persembahan oleh pihak hotel yang membawa masuk makanan ke setiap meja para jemputan.
Ketika itu, aku dan Ula yang masih berada di pintu dewan mula masuk mengambil tempat duduk kami. Sebaik sahaja kami duduk, lampu mula dipasang kembali. Suasana yang disirami keindahan cahaya sebentar tadi menjadi terang benderang. Meja aku adalah yang paling tepi tetapi paling hadapan. Meja yang paling dekat di bahagian pengantin perempuan tentulah dikhaskan untuk keluarga Erin dan juga saudara mara terdekat kami termasuk Papa dan Mami. Aku duduk semeja dengan sepupu Erin di sebelah Papanya. Mika juga duduk denganku. Dialah teman aku berbual kerana Ula sudah lupa kehadiranku sebaik sahaja dia duduk bersama Malik yang turut dijemput. Sebelah Malik ialah Nizam. Aku hanya senyum sahaja bila bersua dengannya. Malas untuk aku bertegur sapa dengannya.
Aku memandang ke bahagian jemputan pengantin lelaki. Aku masih mencari Han. Aku masih mengharap. Bila hati turut mencari, mudah untuk berjumpa. Walaupun jauh, aku nampak dia di meja dengan keluarganya. Umi, Mama Jah, Papa Mi, keluarga Farid dan Nora suami isteri. Mereka sedang asyik melihat majlis perkahwinan yang sedang berlangsung di atas pentas. Aku pula asyik memandang mereka. Tanganku dipegang perlahan-lahan. Aku berpaling dan melihat Mika sedang memandangku dengan mukanya yang comel dan segak itu. Mungkin dia tahu apa yang aku fikirkan dan cuba memberi sokongan sebagai seorang adik.
“Akak nak Mika roskakkan kereta Abang Han atau motosikal dia? Nanti boleh akak jaga dia sekali lagi,” bisiknya ke telingaku.
Aku ketawa sedikit mendengar niat Mika.
“Janganlah Mika. Akak ok ni,” balasku.
“Akak sure? Kalau akak ubah fikiran, Mika boleh ajak Rahman sekali lagi. Dia pun ada di sini,” kata Mika. Rahman. Budak yang sama-sama buat hal ketika majlis Erin dahulu. Aku hanya geleng kepala sahaja dan terus menyaksikan majlis yang sedang berlangsung. Ibu bapa Erin sedang naik ke pentas untuk acara menepung tawar selepas ibu bapa Ikram. Sebaik sahaja mereka turun, panggilan seterusnya ialah Umi dan kedua ibu bapa Han. Aku nampak ketiga-tiga mereka bangun dan berjalan perlahan menaiki pentas persandingan. Ketika itu, air mataku menitis seketika. Aku cepat-cepat sedar dan segera mengesatnya. Jangan sampai mereka semeja sedar kelemahan yang aku ada. Terutama sekali adikku Mika.
Sekali sekala aku perhatikan meja Han ketika aku menjamah makanan. Aku nampak dia makan dengan sopan. Wajahnya yang selalu ku rindu kemas tanpa sebarang jambang atau kumis. Dia berbaju Melayu. Kemas dan bergaya. Aku sekadar memandang. Aku tahu dia tidak akan memandang ke arahku. Hatiku masih berdoa. Kalau masih ada jodoh antara aku dan dia, biarlah malam ini yang menjadi penentu masa. Kalau tiada jodoh kami, aku masih akan teruskan kehidupan ku juga.
Aku lihat Umi. Aku lihat Papa Mi dan Mama Jah. Patutkah aku pergi dan menegur mereka? Aku patut. Sebagai tanda aku masih menghormati dan menyayangi mereka. Dan mungkin untuk aku katakan kepada mereka bahawa jodoh aku dan Han sampai di sini sahaja. Aku berjanji yang aku akan berhubungan dengan mereka. Aku hanya perlu tunggu sehingga majlis ini selesai dan sehingga Han tiada di sisi mereka. Kalau dia ada bersama, aku tahu aku tidak mampu untuk bersemuka dengannya. Jangan nanti aku dikatakan cuba mendekatinya dan mengambil kesempatan terhadap keluarganya.
MAJLIS selesai beberapa jam kemudiannya. Bila pengantin masuk kembali ke dewan selepas mengucapkan selamat tinggal kepada tetamu yang hadir, ramai yang bersedia untuk bergambar dengan mereka. Seperti pasangan selebriti yang akan bergambar dengan para peminat mereka. Bermula dengan keluarga Erin dan keluarga Ikram. Rakan-rakan pramugari serta juruterbang sedang beratur menunggu. Kami bertiga, sahabat yang setia juga turut menunggu. Aku pasti giliran kami akan tiba. Giliran yang terakhir sekali.
Keluarga Han masih berada di dewan itu. Begitu juga dengan saudara mara yang lain. Mereka baru sahaja selesai bergambar. Aku lihat Umi dan Mama Jah sedang bersalaman dengan Erin dan mula untuk pergi dari situ. Aku masih duduk jauh di mejaku melihat mereka. Aku pasti inilah masa yang sesuai untuk berjumpa. Apatah lagi Han tidak kelihatan bersama kumpulan itu. Aku bangun dan segera menghampiri mereka. Aku menyapa Umi sebelum dia melangkah keluar dari dewan. Dia berpaling melihatku. Mama Jah juga sedang melihatku. Aku agak mereka tidak perasan aku. Kemudian aku lihat Umi tersenyum sambil menarikku dalam pelukannya. Tangan Mama Jah juga dapat kurasakan menepuk-nepuk bahagian belakangku.
“MasyaAllah. Umi tak perasan Chahaya tadi. Patutlah kami cari tak berjumpa. Rupanya Chahaya dah bertudung,” Umi mula melihatku dari atas sehingga ke bawah. Seronok aku dengar yang dia mencariku. Dia kemudiannya memelukku buat kali kedua.
“Kenapa tak jumpa kami dari tadi Chaya?” soal Mama Jah perlahan-lahan.
“Chaya kena jaga Erin. Jadi tak sempat nak jumpa tadi. Chaya minta maaf,”
“Mmph…dapat juga kami jumpa Chaya. Bagaimana? Chaya sihat?” soal Mama Jah.
“Sihat. Alhamdulillah.”
“Cantik sungguh Chahaya sekarang. Sejak bila ni? Hari tu kata Chahaya dah balik. Kenapa tak datang rumah?”
“Minta maaflah Umi. Bukan Chaya tak nak datang. Chaya tengah cari kerja masa tu. Bila Chaya senang nanti, Chaya datanglah.”
“Chaya dah jumpa Han?” soal Mama Jah.
Aku berikan satu senyuman dan angguk kepala pada soalan Mama Jah.
“Jadi, bagaimana?”
“Chaya dah jumpa dia semalam. Chaya nak minta maaf. Chaya dah cuba tapi Han tak boleh nak terima Chaya.”
“Ya Allah. Kenapalah budak tu degil sangat Umi?” keluh Mama Jah.
“Mama janganlah marahkan Han,” kataku.
“Mungkin dia tak boleh nak terima Chaya sebabkan hal dulu tu. Sekurang-kurangnya dia sudah maafkan Chaya. Itu dah cukup baik untuk Chaya. Mungkin sampai di sini saja jodoh kami berdua,” tambahku lagi.
“Macam inilah Chaya. Apa kata Chaya datang je rumah esok lusa. Biar kita duduk sama-sama dengan Han bincang pasal hal kamu berdua,” kata Mama Jah.
“Chaya tak pastilah Umi. Han tak akan suka,”kataku.
“Datang sajalah. Tak pun kita berbual-bual.”
“Chaya teringin Mama. Tapi Chaya tak mahu disebabkan Chaya nanti, Han pergi lagi. Tinggalkan rumah,” Aku tersenyum tetapi air mataku mula bergenang. Tangan tua Umi memegang pipiku.
“Dah..shhh..sshhh..dah…dah. Kami faham Chaya. Biar Umi cuba pujuk Han ye,” kata Umi sambil memujuk aku supaya jangan menangis. Berkali aku menarik nafas panjang. Ketika itu aku dengar namaku dipanggil-panggil. Aku menoleh dan melihat Ula sedang melambai ke arahku.
“Chaya minta maaf. Nak kena pergi dulu. Mereka dah panggil untuk bergambar,” kataku sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Umi.
“Jangan lupakan kami Chaya,” pesan Umi. Wajahnya tampak sayu. Dia tidak bersalaman denganku. Sebaliknya dia tarik aku di dalam pelukannya kembali. Satu ciuman hinggap di pipiku. Begitu juga dengan Mama Jah. Selepas itu aku melihat mereka berdua keluar dari dewan. Aku kesatkan air mata sebelum aku berjalan dengan pantas menuju ke persada pelamin untuk bergambar dengan pengantin yang sedang menunggu.
Setakat ni OK kan cerita ni? Tunggu 10 bab saja lagi...
Share this novel