Bab 11

Romance Completed 8896

Makan malam secara buffet. Masuk sahaja kafe, aku tidak nampak Umi. Sebaliknya aku nampak K. Jadi aku mengambil makanan di meja buffet dan duduk semeja dengan K. Ada beberapa soalan yang aku perlu tanya untuk dapatkan kepastian. Hidangan aku cuma nasi putih dan ayam masak merah. Tiada sayur langsung. Bersama-sama K ialah dua orang pembantunya yang dia kenalkan dengan aku petang tadi. Sambil makan, kami berbual tentang rancangan akad nikah yang bakal menjelma dua hari lagi. Esok adalah hari yang pasti sibuk kerana kaum keluarga aku dan Erin serta kawan-kawan kami akan berkumpul di sini. Keluarga Ikram turut menempah beberapa bilik di resort berdekatan untuk ahli keluarga dan tetamu yang lain.
Sedang aku mengunyah nasi, aku nampak kelibat lelaki serabai itu. Terus aku rasa tidak lalu makan. Lelaki serabai itu perasan aku memandangnya. Wajahnya garang sahaja. Tiba-tiba aku kecut perut. Maklumlah, aku sudah sakitkan dia petang tadi. Aku takut dia balas dendam. Mulai saat yang aku tahu dia juga akan berada di sini, aku terus berhati-hati bila hendak keluar dari chalet. Manalah tahu, kalau dia muncul di saat aku tengah menyendiri dan buat perkara tidak elok terhadapku. Mataku mengekori langkah lelaki serabai itu sehingga dia duduk di meja yang jauh daripada pandangan.
Selesai makan, aku lepak-lepak berbual dengan K. Aku dengar pengalamannya buka agensi pengurusan perkahwinan di Kuantan. Malah majlis perkahwinan keluarga ini banyak juga diadakan di resort ini. Seperti satu tradisi untuk keluarga ini. Untung mereka ada tempat percutian seperti ini. Senang untuk ahli keluarga berkumpul. Menurut K, dia sudah lama dengan keluarga Umi, jadi dia tahu selok belok kehendak keluarga itu. Malah ketika cucu sulung Umi berkahwin di Hotel Istana Kuala Lumpur sedekad yang lalu pun, dia turut sama terlibat. Semakin K bercerita semakin menarik aku rasa kerjaya menguruskan kerja kahwin orang. Sama seperti Eid bercerita. Kalau mengikut pengalaman aku di dalam bidang terjun ini, apa yang aku pelajari memang menyeronokan. Aku mula terfikir kalau aku boleh mencuba bekerja seperti K dan Eid. Nampak free and easy walaupun aku tahu lebih penat daripada berehat.
Bila jam hampir sembilan setengah malam, aku meminta diri dahulu untuk masuk tidur. Esok adalah hari yang panjang. Papa, Mami Zan dan Mika dijangka sampai di sebelah petang. Begitu juga dengan Erin dan keluarganya. Jadi aku mahu pastikan kebanyakan kerja selesai sebelum aku bersenang lenang di majlis keraian untuk Erin. Tempahan bilik di hotel berdekatan sudah aku selesaikan. Kami akan daftar masuk ke sana pukul tiga petang esok untuk bergembira. Aku tidak pasti bagaimana aku hendak bergembira sedangkan aku tahu Nad akan ada bersama. Aku masih ada Ula. Biar dia jadi orang tengah kalau Nad cuba hendak berbual dengan aku kelak.
Aku berjalan menuju ke arah bilik chalet. Suasana sunyi sepi. Aku terasa seperti ada yang mengekori di belakang. Aku cepatkan langkah. Cahaya suram sepanjang laluan ke bahagian chalet walaupun ia yang paling terdekat dengan tempat makan. Sampai sahaja aku di hadapan bilik, aku nampak lelaki serabai di belakangku. Terus aku pasang kekuda. Kedua-dua tangan bersedia dengan penumbuk.
“Awak jangan nak buat apa-apa. Saya menjerit nanti biar semua orang tahu perangai awak yang sebenar,” aku bagi amaran.
Lelaki serabai itu memandang aku semacam sahaja. Pandangannya sinis. Dia tidak kisah langsung dan terus berlalu melepasi diriku. Pelik sungguh apabila dia tidak melawan aku. Agaknya dia sudah lupakan peristiwa petang tadi. Tiba-tiba aku nampak lelaki itu terus masuk ke dalam bilik yang berkembar dengan bilikku. Apa yang berlaku sebenarnya ini? Kenapa dia boleh duduk di sebelah bilik aku? Kali ini aku panik tetapi lelaki itu masuk terus dan menutup pintunya. Aku pun masuk ke bilik dan menutup pintu rapat dan mengunci dengan pantas. Tidak cukup dengan itu aku tolak kerusi rotan ke bahagian pintu supaya kalau aku tidur dan ada cubaan memecah masuk, aku boleh dengar kerusi itu ditolak.

Masih rasa tidak cukup selamat, aku letakkan beg troli besar Erin di hadapan kerusi rotan itu. Aku belek dinding pemisah antara bilik aku dengan bilik bersebelahan. Nasib baik pemisah adalah dinding batu sehingga ke bumbung. Aku masih tidak puas lagi. Aku pastikan tiada sekecil lubang pun pada dinding itu. Manalah tahu kalau ada lubang yang boleh digunakan oleh lelaki itu untuk mengintai aku. Puas dengan pemerhatian bahawa tiada sebarang lubang di dinding, aku pun duduk di katil. Rasa selamat sedikit.
Aku menguap. Rasa mengantuk menyelubungi diriku. Cepat sahaja aku menukar pakaian, menggosok gigi dan mencuci muka. Selepas itu aku ambil komputer riba untuk melihat nota-nota kerjaku. Semakin lama aku lihat semakin malap cahaya. Lama-lama aku pasti aku sudah enak dibuai mimpi.
Dalam mimpiku aku terasa seperti lelaki serabai itu sedang berada di atasku dan memegang kedua-dua tanganku erat ke katil sehinggakan aku tidak boleh bergerak langsung. Rupanya yang berjambang itu amat menggerunkan. Dia ketawa melihat aku berhempas pulas cuba untuk melepaskan diri. Aku semakin takut. Aku merayu dan meminta maaf kerana mengasari dirinya. Semakin lama semakin kuat dia ketawa. Sehinggakan aku menjerit sekuat hati. Sedar-sedar aku masih di atas katil di bilik. Tiada lelaki berjambang yang menakutkan. Jam dua pagi. Aku bermimpi rupanya.

--------//-----
PAGI-PAGI lagi pintuku diketuk kuat. Aku baru selesai mengeringkan rambut. Pasti lelaki serabai di sebelah sengaja hendak mencari pasal. Aku baling tuala di katil dengan geram. Aku bersiap-siap hendak keluar mengamuk. Bila sahaja pintu dibuka aku dengar Ula menjerit namaku. Terus aku rasa malu kerana tersalah sangka. Pintu di sebelah kelihatan masih tertutup rapat.
“Laa…kau ke Ula. Macam mana kau boleh sampai pagi ni? Kata petang ni baru sampai. Kau drive ke?” soalku bila melihat Ula sudah muncul di depan bilik.
“Jangan terkejut. Malik drive aku ke sini semalaman. Malik patah balik ke kampung dia di Temerloh. Nanti lepas akad nikah, dia datang ambil aku balik.”
“Masuklah dulu Ula. Berani betul kau ni drive dengan lelaki tengah-tengah malam. Dibuatnya kereta kau tu rosak tengah jalan, tak pasal-pasal aku dengar berita pekerja jabatan akauntan negara ditangkap basah kerana berdua-duaan di lebuhraya.”
“Kau ni memang tak sayang mulut la Chaya. Malik tu baik tau. Kami balik dengan adik perempuan dialah. Aku sendiri pun tak berani nak balik berdua. Parents aku tahulah. Awal-awal aku minta permission. Siap video call tunjuk segala isi dalam kereta. Tapi kan, kalau kena kahwin paksa dengan Malik, aku setuju saja.”
“Gatal betul kau ni. Ish….kau dah makan ke belum?”
“Dah. Sebelum sampai sini tadi.”
“Tak kisah kau makan ke belum, kau temanlah aku breakfast. Aku kenalkan kau dengan Nora, sepupu Ikram yang jaga tempat ni. Lagi satu, kau tak payah masuk bilik kat luar tu. Kau duduk je dengan aku di bilik ni,” pujukku.

“Aku pun ingat nak menumpang saja dengan kau. Dekat sikit. Senang sikit. Pengantin dah sampai sini ke belum?”
“Belum lagi. Erin kata dia bertolak pagi ni. Mungkin awal petang baru sampai. Ikram dengan family dia ada di resort berdekatan sejak semalam lagi,” kataku.
“Malam ni jadi ke kita ke buat parti tu?”
“Jadi,” balasku.
“Betul ke Erin suruh kita pakai pakaian tidur paling seksi malam ni?” Ula berbisik.
“Itu yang dia kata.”
“Kau dah ada ke pakaian tu?”
Aku angguk. Sebenarnya aku tiada pakaian malam. Ikutkan hati, pakai sahaja kemeja labuh dengan pakaian dalam tetapi Erin kata dia ada belikan satu untuk aku. Jadi aku pakai sahaja yang dia beli nanti.
“Kau letak beg kau dalam tu. Aku tunggu,” kataku pada Ula.
Sebaik sahaja Ula melangkah masuk ke dalam bilik, tiba-tiba pintu di sebelah terbuka. Aku jadi kelam kabut pula. Hendak masuk ke dalam bilik, nampak sangat aku melarikan diri. Jadi aku pura-pura tengok laut di depan chalet. Lirik mataku mengekori gerakan lelaki itu. Dalam hati aku mengata. Kenapalah buruk sangat cara mamat itu berpakaian. Pakai T-shirt lusuh dengan seluar jeans pendek separas lutut. Itu pun nampak macam sepuluh tahun tidak berbasuh. Nampak sangat mamat ni jenis pengotor.

Lelaki itu langsung tidak melihatku. Dia berjalan di hadapan seperti aku tidak wujud langsung. Aku ikut memandang lelaki itu dari belakang. Tubuh badannya ada persamaan dengan sepupunya Ikram. Aku nampak otot sasanya. Lagi menarik daripada Eid. Aku menelan air liur. Selalu aku telan air liur bila nampak lelaki sasa. Aku tahu hukum haram, tapi kalau depan mata, kadang-kadang susah hendak dikawal. Ini semua salah Tok Mi – semoga roh Tok Mi dicucuri RahmatNya. Selalu juga Tok Mi layan rancangan gusti ketika kami kecil dahulu. Sejak itu aku peka dengan kewujudan lelaki selain daripada Papa. Bila ada cerita Hindustan, Tok Mi layan juga. Bila ada cerita Amerika Latin pun Tok Mi layan. Bila aku besar, aku layan cerita Korea sama macam orang lain. Mungkin sebab aku suka lelaki, sebab tu aku senang jatuh cinta. Tapi kalau orang bagi aku mamat tadi secara percuma, ‘No, Thank You’.
-------//-----
PADA sebelah petang, hampir semua suku sakat aku dan Erin tiba di resort. Suasana riuh rendah apabila ahli keluarga berkumpul. Walaupun keluarga kami tidak seramai keluarga Ikram, apa yang pasti rombongan Negeri Sembilan sememangnya banyak bercakap bila berkumpul. Keluarga Umi yang sudah berada di situ juga mesra dengan keluarga kami. Anak-anak kecil berlari ke sana ke mari. Aku lihat adikku Mika juga sudah mendapat seorang kawan yang sebaya dengannya. Salah seorang anak saudara Uncle Omar. Yang paling ceria sekali tentulah Erin. Kesian juga aku tengok dia asyik tersenyum sahaja. Boleh lenguh tulang rahang. Namun, senyuman itu dari seorang pramugari yang profesional, tentulah sudah biasa baginya.
Aku sudah menyerahkan tugas aku yang terakhir iaitu hiasan dan tepak hantaran kepada saudara Uncle Omar yang ditugaskan untuk menjaga hantaran. Maka, tamatlah sudah tugas aku dengan rasmi sebagai pembantu peribadi dan bermulalah tugas aku sebagai tetamu dan pengapit Erin. Yahoo! Aku berteriak suka di dalam hati apabila Erin ucapkan terima kasih kepada aku sebentar tadi. Sebelum aku dan Ula ikut Erin ke hotel untuk majlis keraian, aku mencari K yang mungkin berada di sekitar dewan. Erin minta bantuan aku untuk beritahu K supaya mengubah tempat hantaran betul-betul di hadapan pelamin berdekatan dengan tempat duduknya nanti. Kalau ikutkan rancangan, barang hantaran akan disusun berdekatan dengan kawasan akad nikah. Perubahan itu adalah cadangan jurugambar yang diupah Uncle Omar kerana dari sudut pandangannya foto pengantin akan nampak lebih menarik bergambar berhadapan barang hantaran.
Aku masuk ke dewan yang tidak jauh dari situ. Keriuhan tetamu yang berkumpul masih kedengaran. Dewan yang dapat memuatkan hanya kurang tiga puluh orang itu tiada berpenghuni. Aku melangkah keluar mencari-cari kalau K berada di kawasan sekitar. Aku ingin patah balik bila aku terdengar suara orang sedang bergaduh. Rasa ingin tahu aku menjelma dengan tiba-tiba. Aku mengendap untuk melihat apa yang sedang berlaku.

Aku melihat disebalik dinding belakang dewan dan nampak Han si mamat serabai. Tergamam aku ketika itu kerana menyaksikan seorang perempuan menampar Han. Tepat pada masa dan ketika tangannya mengenai muka lelaki serabai itu. Aku tidak nampak wajah perempuan itu sebab dia membelakangi aku tetapi tersirap darah aku mendengar bunyi tamparan sebegitu. Rasa macam pipi aku yang kena tampar. Ada apa hal sampai main tampar-tampar? Dan siapa pula perempuan itu?

Pada mulanya aku tidak mahu masuk campur tapi bila aku nampak Han menolak kasar perempuan yang bertubuh kecil itu, aku rasa aku tidak boleh berdiam diri. Aku perlu masuk campur. Pesan arwah Tok Mi – semoga rohnya dicucuri RahmatNya, kalau berlaku ketidakadilan di hadapan mata, jangan tutup mata. Perlu celik mata dan lakukan sesuatu. Memang dasar aku tidak berkenan Han dari awal lagi, aku melangkah kakiku ke situ. Memang sah mereka tengah bergaduh. Suara perempuan itu meminta Han bertanggungjawab. Han kata padanya pergi mampus. Aku berdehem. Han nampak aku. Matanya tajam membenci.

“Hoi perempuan. Kau blah dari sini. Jangan gatal nak masuk campur.”
Sekali lagi darahku tersirap. Perempuan itu sudah rebah ke tanah. Aku bukannya mahu bergaduh. Aku hanya mahu membantu perempuan itu sahaja. Aku tidak peduli dengan amaran Han. Aku pergi mendapatkan perempuan itu untuk membantu dia bangun.

“Kau ni memang bengap. Aku kata jangan masuk campur.”

“Aku pun tak mahu masuk campur,” kataku berani. “Kalau nak marah pun, janganlah sampai pukul-pukul. Kalau kepala dia kena paku ke, batu ke, apa ke? Tak ke jadi kes nanti.”

“Yang kau menyibuk tak tentu pasal ni kenapa? Ada aku kacau kau? Kalau kau tak tahu apa yang berlaku, janganlah nak sibuk,” katanya dengan penuh marah.

Betul juga katanya. Buat apa aku nak menyibuk. Lagi pun ini bukan urusan aku dan mungkin mereka bergaduh pasal hubungan mereka. Aku buat tidak kisah. Marahlah sekuat hati. Lepas aku tolong perempuan ni bangun, aku blah.

“You ok ke?” aku tanya perempuan itu.
Han sudah mula bergerak meninggalkan kami.

“Han…please…ini tanggungjawab. You kena tolong I,” perempuan itu merayu. Itu sahaja yang aku dengar. Kemudian perempuan itu berulang kali merayu kepada Han. Aku terpanggil untuk membantu perempuan itu kali ini.

“Hoi En Han!” kali ini aku pula bersuara. “Awak ni manusia ke? Tak dengar dia merayu. Dahlah awak tolak dia macam tu saja.”

Aku nampak Han berhenti dan melangkah kembali. Dia jeling aku tapi kata-katanya ditujukan kepada perempuan yang sedang aku pimpin.

“Kau baliklah Lisa. Jangan cari aku lagi.”

“I tak nak Han. I kena bawa you jumpa family I. Mereka nak sangat jumpa you. Please Han. I beg you.”

“Aku tak ada masa nak layan perkara macam ni. Sebelum aku mengamuk atau kata benda yang aku tak mahu nak kata, lebih baik kau balik saja Lisa. Mulai hari ini, aku tak mahu ada kaitan dengan kau, dia atau semua keluarga kau!”

Han memandang perempuan yang bernama Lisa dengan rupa yang tiada belas kasihan. Kemudian dia berpaling dan melangkah pergi. Sekali lagi.

Perkara yang berlaku seterusnya memang aku sendiri pun tidak dapat menduga. Lisa cuba mendapatkan
perhatian Han dengan menarik lengan Han. Aku tercegat berdiri tidak sampai sepuluh sentimeter pun dari situ. Han pusing dan belum kemas pegangan Lisa, Han sudah pun menolak Lisa. Sekali lagi. Spontan aku meluru supaya Lisa tidak terjatuh lagi. Ingatkan Lisa akan jatuh tetapi tangannya sempat merentap baju T yang dipakai Han. Mungkin ketika itu Han cuba mengelak dari dipaut Lisa, tangannya dikuak untuk mengelak. Ketika itu juga aku berada di belakang Lisa. Tangan yang dikuak itu tidak semena-mena mengenai mukaku. Secara terperincinya, bahagian bawah muka aku betul-betul bertemu dengan siku Han yang keras itu. Lalu aku pula yang jatuh terduduk. Dagu terasa seakan-akan dipukul benda keras. Sakit bukan kepalang. Berdenyut-denyut. Namun, aku masih nampak Han memboloskan dirinya daripada Lisa. Perempuan itu juga jatuh terduduk lalu menangis. Dalam kesakitan, aku pergi ke arah Lisa. Han melihat kami berdua. Ingatkan dia menyesal dan ingin membantu. Rupanya aku silap. Han hanya menyatakan yang kami berdua menyusahkan hidupnya sahaja. Tanpa bercakap panjang lebar, dia berlalu pergi dari situ.

“You ok?” tanyaku kepada Lisa. Sakitku masih ada tapi aku lupakan sementara walaupun tanganku meraba-raba tempat yang berdenyut itu.

“Maaflah. You terpaksa tengok kami begini. I tak sangka dia tak mahu tolong I,” teresak-esak Lisa menangis.

“You nak rehat di bilik I sekejap?” tanyaku. Aku malas untuk menyoal cerita selanjutnya. Mungkin konfrontasi dengan Han melemahkan tenaga Lisa. Aku sendiri pun penat semacam. Sudahlah bibirku masih lagi berdenyut. Aku tengok Lisa ni seperti orang yang baik-baik sahaja. Tidak salah kalau aku pinjamkan bilik aku kepadanya. Sekurang-kurangnya dia boleh tenangkan dirinya sendiri sebelum ambil tindakan yang seterusnya.

“Its ok…” dia teresak-esak lagi. “I nak pergi…tak..mahu….kalau orang lain nampak,” katanya lagi.

“You datang sini dengan apa?”

“My…friend ada di luar..terima kasih tadi. Maaf sebab…sebab… you terlibat sama. I …pergi dulu,” katanya.

Aku membiarkan perempuan bernama Lisa itu berlalu lemah pergi dari situ. Aku nampak dia mengesat airmatanya dan mengangkat muka. Mungkin dia tidak mahu ada yang nampak dia menangis. Aku juga turut pergi dari belakang dewan itu dan masih tertanya-tanya apa yang berlaku sebenarnya. Sedang aku fikir, tiba-tiba seseorang memanggil aku. Aku menoleh.

“Oh Hi Mika,” balasku. Mika dan kawannya menghampiriku. Matanya membulat melihat keadaanku.

“Sis, what happen to you?”

“Tak ada apa,” aku menjawab.

“Kak Chaya. Kenapa ni? Kenapa sampai boleh berdarah macam ni?” gesa Mika tidak puas hati dengan jawapanku.

“Berdarah?” aku baru perasan bibirku sedikit terasa sengal. Aku menyentuh bibirku. Barulah aku terasa bibirku pecah sedikit dan ada sekelumit darah di situ. Aku menyapu darah dengan tapak tanganku.

“Siapa yang pukul akak?” soal adikku. Suaranya yang baru sahaja serak-serak bertukar ke alam lelaki dewasa kedengaran sedikit kelakar. Namun, nadanya seperti orang yang marah.

“Tak ada yang pukul. Akak nak tolong orang tadi, tapi terkena tepis pulak,” kataku berseloroh. “Mika jangan buat bisinglah. Kak Chaya ok.”

“Siapa buat akak sampai macam ni kak? Cakaplah.”

Aku pun malas juga nak panjangkan cerita. Aku bagi ringkasan pada adikku yang tadi aku tolong orang tengah bercinta bergaduh. Orang itu secara tidak sengaja mengelak dan terkena aku. Bukan salah dia, tapi salah aku yang masuk campur. Mika tanya aku lagi siapa?

“Tu ha…jiran sebelah bilik akak yang serabai habis tu,” kataku tanpa berfikir panjang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience