AKU duduk di ruang tamu banglo agam keluarga Han. Keluargaku ada bersama. Aku jemput Ula untuk menemani aku. Semalam, ketika Han sampai di KLIA, dia terus telefon untuk berjumpa denganku. Beribu kali aku dan Ula berbincang dan kami berpendapat yang aku akan berjumpa dengan Han bersama-sama keluarga masing-masing. Biar apa yang dia hendak katakan kepadaku, dia katakan di hadapan keluarga kami. Aku minta dia tunggu di rumahnya. Aku dengar dia berlembut denganku supaya bertemu dengannya ketika itu juga. Bila gagal, dia tengking aku. Dia kata aku tidak rasional langsung. Bila suara tingginya tidak berjaya, dia berlembut semula. Aku terus letak telefon dan bila dia telefon lagi, aku biar Ula yang menjawab. Sahabat baik aku itu dengan tegas meminta Han menunggu sahaja aku esok jam sepuluh pagi. Sebelum Han mendarat lagi, aku telah pun menelefon kedua-dua belah pihak keluarga untuk minta berkumpul pada masa yang sama.
Aku dan Ula yang paling akhir tiba. Sebaik sahaja kereta Ula berhenti berdekatan dengan pintu pagar, aku sudah nampak Han menungguku. Dia tidak sabar dan meluru ke arahku sebelum aku sempat buka pintu kereta. Dia minta aku dengar penjelasannya. Jangan libatkan dahulu keluarga kami. Namun, hati aku sudah remuk semenjak perbualan aku dan dia tempoh hari. Aku memang sudah merajuk diri. Perjumpaan ini hanya untuk mengesahkan sahaja berita yang aku dengar. Sebaik sahaja aku dengar penjelasannya, aku akan pergi dari situ. Aku akan pergi dari hidup Han dan juga keluarganya. Ula menghalang Han sekaligus memboloskan aku ke dalam rumah. Kedua-dua keluarga sedang berbual. Mereka berhenti apabila melihat wajah aku yang nampak keresahan dan mungkin yang lebih jelas, mataku yang bengkak menangis. Umi memandang aku dan wajah tuanya nampak risau. Sama perasaan sepertiku. Kini semuanya sudah berkumpul. Aku mengambil tempat di sebelah Mami Zan. Ula di sebelahku dan aku lihat Han sedang berdiri memerhatiku sahaja. Aku mulakan bicara. Terketar-ketar suaraku kedengaran bunyinya.
“Chaya minta maaf sebab terpaksa kumpulkan semua di sini. Chaya tahu perkara ini agak mengejut tetapi Chaya rasa semua orang perlu tahu cerita yang sebenar.”
“Ceritalah Chaya. Kenapa tiba-tiba begini. Apa yang Han buat kali ini?” soal Papa Mi.
“Chaya tak tahu apa cerita yang sebenarnya sebab tu Chaya ajak semua berkumpul,” balasku sambil melihat melihat keluarga Han dan keluargaku.
“Begini. Chaya ada berjumpa dengan kawan Han. Melalui mereka, Chaya dapat tahu sebenarnya Han sudah pun ,” aku tarik. “Berkahwin.”
Aku dengar pelbagai bunyi. Mama Jah menarik nafas dan mengucap panjang. Papa Mi turut mengucap. Umi hanya mendiamkan diri manakala kedua-dua orang tuaku pula sama reaksi seperti bakal mertuaku.
“Betul ke apa yang Chaya kata tu?” soalan Papa Mi ditujukan kepada Han.
“Chaya minta maaf, tapi Chaya sendiri perlu tahu dari mulut Han.”
Han masih berdiam diri.
“Apa ni Han. Jawablah nak. Betul Han dah kahwin? Dengan siapa? Kenapa nak berahsia pula? Jawablah Han,” kali ini Mama Jah yang merayu-rayu pula.
Aku pula tidak dapat menahan diri. Air mata yang mengalir begitu sahaja. Tersedu-sedu aku menangis. Aku rasa tertekan.
“Apa Mama nak Han jawab?”
Aku dengar Han buka mulut. Aku seka air mata dan bila aku pandang Han, dia balas pandanganku sambil berkat, “Mama nak Han mengaku? Baiklah. Han pun tak mahu berahsia lagi. Biar Chaya dan semua orang di sini tahu perkara sebenar. Memang Han dah berkahwin. Han dah ada isteri.”
Aku terasa bagai hilang nafas seketika. Ula memegang tanganku. Aku tak berupaya untuk membalas pandangan Han selepas pengakuannya.
Aku dengar Mama Jah mengucap panjang.
“Siapa dan bila Han?” soal Uncle Mi pula.
“Papa ingat lagi Marini?”
Uncle Mi angguk.
“Han kahwin dengan dia. Dah hampir setengah tahun Pa, Ma, Umi,” kali ini Han mengaku bahawa dia sudahpun berkahwin dengan seorang perempuan yang bernama Marini.
“Astagfirullahaladzim. Dah lama Han. Kenapa Han rahsiakan dari Mama, dari Papa? Kenapa Han? Kalau Han dah kahwin, kenapa Han terima saja bila kami pinang Chaya?” soalan Mama Jah bertubi-tubi. Aku juga mahu dengar alasan Han. Kenapa dia ajak aku teruskan pertunangan, ajak aku kahwin kalau dia sudah ada isteri? Kenapa? Aku perlu tahu kenapa.
“Pada mulanya Han memang tak setuju sebab Han ada tanggungjawab lain. Han pernah bincang dengan Chaya untuk putuskan pertunangan kami. Kemudian,, Han tak dapat nafikan yang Han ada perasaan pada Chaya. Dan kini, perasaan itu semakin lama semakin kuat. Tapi, Han nak buat macam mana? Han dah beristeri ketika itu.”
Aku terkedu mendengar pengakuan Han kali ini.
“Han tahu tak keputusan yang Han ambil ni tak adil buat Chaya. You have one person already and you want another? Papa tak faham apa yang Han fikirkan. You should have come clean and tell us about this,” Uncle Mi menegur Han. Riak wajah Uncle kelihatan hampa.
“Kenapa Han tak bawa Marini berjumpa dengan kami?” soal Uncle Mi kembali.
“Marini di Sydney Papa. Kami bernikah di sana bila Han pergi sana selepas Han sembuh dari kemalangan dulu tu.”
“Ya Allah. Patutlah Han selalu ke sana. Rupa-rupanya, dia di sana dan Han ke sana untuk berjumpa dengan dia?” tanya Mama Jah.
Kerja. Itu yang Han selalu kata. Aku ingat dia ke sana kerana kerja. Rupa-rupanya, isteri dia yang berada di sana. Memang aku kena tipu hidup-hidup. Sakit betul rasa hati aku ini.
“Jadi kita nak buat macam mana ni bang?” Kali ini Mama Jah bertanya pula kepada suaminya.
“Kita nak buat macam mana lagi? Semuanya terpulang kepada Han dan Chaya. Ibrahim, bagaimana?” soal Uncle Mi kepada Papa.
“Saya pun tak tahu nak kata apa-apa. Ini berkaitan dengan anak saya juga. Saya mahukan yang terbaik untuk dia, Abang Mi. Jadi, biarlah dia sendiri yang buat keputusannya. Saya terpaksa menurut sahaja,” kata-kata Papa seperti membakar semangat untukku. Aku faham maksud Papa. Dia akan menyokong apa saja keputusan yang bakal aku ambil.
“Izinkan Han kata sesuatu. Sepatutnya Han katakan ini kepada Chahaya sahaja tetapi memandangkan dia tidak mahu jumpa Han, biar Han berterus terang. Biar semua orang tahu. Han akan sokong apa sahaja hukuman yang bakal Chahaya jatuhkan pada Han. Semua yang berada di sini akan menjadi saksi bahawa Han cintakan Chahaya lebih daripada diri Han sendiri. Han sayang Chahaya dan Han tidak akan berjumpa seorang perempuan yang dapat Han cintai sepenuh hati seperti Chahaya. Perempuan yang ada di hadapan Han ini adalah jodoh Han yang sebenarnya. Bukan Marini walaupun dia adalah isteri Han yang sah.”
Berlinangan air mata aku tanpa henti. Han mencintaiku. Dia mengaku dia cintakan aku. Ya Allah. Aku tidak tahu. Aku keliru.
“Layakkah Han cakap begitu dengan Chahaya sedangkan Han sebenarnya dah duakan dia?” kali ini Umi yang sedari tadi diam, bersuara.
“Han layak Umi, Han layak sebab Han tahu perasaan Chahaya pun sama seperti perasaan Han,” balas Han.
“Chahaya? Chahaya sayang Han?” soalan Umi mendesak ak bersuara. Biar semua orang pun tahu apa yang aku rasakan.
“Chaya sayang Han,Umi. Sayang sangat, tapi Chaya tak boleh terima semua ni. Kalau dari awal lagi Han dah beritahu yang dia sudah beristeri, mungkin perkara ini tidak akan terjadi. Dia tidak akan jatuh cinta dengan Chaya dan Chaya juga tidak akan jatuh cinta dengan dia.”
“Chahaya,” Han mula menghampiriku. Dia melutut di depanku. Dia minta aku dengar apa yang ingin dia katakan. “Han minta sangat-sangat kalau Papa, Uncle dan yang lain-lain berikan Han peluang untuk berbincang dengan Chahaya.”
Kedua-dua keluarga begitu memahami. Mereka beredar meninggalkan kami berdua di ruang tamu itu. Termasuklah Ula yang berpesan kepadaku supaya memanggilnya kalau aku perlukan dia. Aku tidak tahu bagaimana hendak berhadapan dengan Han seorang diri. Aku hanya tahu menangis sahaja.
“Please, Sayang. Jangan hukum diri Han,” katanya kepadaku. Luluh hati aku mendengar rayuannya. Han masih melutut di hadapanku. Dia cuba mendapatkan tanganku tetapi aku menepis. Lalu digunakan tangannya itu untuk menyeka air mataku.
“Maafkan Han sebab Han rahsiakan hal ini dari Chaya. Han perlu ceritakan sesuatu. Lepas Chaya dengar, Chaya buatlah keputusan. Apa sahaja yang Chaya putuskan, Han akan terima,” katanya. Aku menunggu pengakuannya. Sesekali aku tarik nafas kerana sukar untuk aku mengawal perasaanku.
“Marini ialah teman wanita Han ketika sekolah dahulu. Selepas mula bekerja, kami ingat kami akan hidup bersama. Kami berpisah sebab dia memilih kerjaya dan lelaki lain dalam hidupnya. Sejak itu Han memang bencikan perempuan seperti dia. Chaya ingat lagi Lisa?”
Aku angguk.
“Lisa ialah kakak Marini. Ingat dahulu ketika dia datang ke majlis Erin? Dia nak beritahu Han tentang Marini, tapi Han tak mahu dengar ketika itu. Kemudian, bila Han hampir sembuh, Han dapat email dari Lisa. Pada mulanya Han tak baca. Entah kenapa suatu hari, Han baca juga email itu. Han dapat tahu yang Marini berada di Australia untuk rawatan. Dia sakit, Chaya.”
Aku melihat Han yang kini sedang memegang kedua-dua tanganku sambil cuba menceritakan kepadaku apa yang sebenarnya berlaku. Adakah cerita ini yang ingin dia sampaikan sebaik sahaja dia mendarat semalam? Aku dipukul rasa bersalah. Aku dengar dia teruskan ceritanya.
“Han dapat tahu yang dulu dia tinggalkan Han, bukan sebab kerjaya atau pun lelaki lain. Ketika itu, Marini dapat tahu dia mengidap kanser. Dia tak mahu bebankan cinta kami dengan penyakitnya. Jadi, dia buat keputusan untuk tipu Han. Dia ke Australia untuk melakukan pembedahan kerana kalau dia buat di Malaysia, dia takut Han dapat tahu dan dia tahu yang Han tak akan tinggalkan dia. Han setuju sebab Han tahu Han sayang dia, Chaya. Marini tinggalkan Han tujuh tahun yang lalu. Sejak itu, Han tak percaya lagi pada erti kata cinta. Hati Han tertutup untuk perempuan, sehinggalah Han jumpa Chahaya.”
Aku mendengar sebutir demi sebutir luahan perasaan Han. Namun, tiada sebarang kata yang dapat aku keluarkan. Perasaanku begitu berkecamuk. Aku biarkan dia terus bercerita. Masanya akan tiba bila aku pula yang berbicara nanti.
“Masa majlis Ikram, Lisa nak minta Han jumpa dengan Marini. Tetapi Han degil. Sebut sahaja nama Marini, Han langsung tidak mahu ambil peduli. Sehingga Han baca keseluruhan email Lisa. Marini sihat buat jangka masa beberapa tahun sehinggalah dia dapati kanser kini merebak pula ke bahagian tulang. Han ke sana kemudian. Niat Han hanya nak jumpa dengan dia. Han tak jangka apa yang berlaku selepas itu. Bila Han lihat Marini dalam keadaan sebegitu, Han tak sanggup tinggalkan dia. Selama ini, demi cinta Marini berkorban untuk Han. Dulu dia tidak mahu bersama Han sebab dia tahu jodoh kami tidak akan panjang. Dia tidak mahu Han menderita. Semalaman Han teman Marini. Kami berbual tentang kisah-kisah dahulu di saat kami bersama. Chaya kena faham. Ketika itu, Han masih bujang dan tiada sebarang ikatan dengan sesiapa pun. Jadi, Han buat keputusan untuk menikahi Marini. Supaya Han boleh berkorban untuk dirinya. Sayang faham bukan?”
Suasana diam buat seketika. Aku rasa kini tiba giliranku pula.
“Hari pertama awak jumpa saya, awak minta kita putuskan pertunangan ini. Kalau kita putus ketika itu, mungkin perkara ini tidak berlanjutan sampai ke hari ini. Tapi salah saya juga sebab saya tidak mendesak,” kataku. Memang aku tidak patut menyalahkan Han seorang dalam hal ini kalau aku tidak berkeras ketika itu. Aku tambah lagi.
“Kenapa lepas kita buat keputusan untuk teruskan pertunangan, awak tak ceritakan tentang Marini kepada saya?”
“Untuk apa Chaya? Untuk beritahu yang Han sudah ada isteri dan pada masa yang sama, abang mahu hidup dengan Chaya? Boleh Chaya terima? Tahu yang Chaya bakal menjadi isteri kedua?”
“Kalau awak beritahu saya awal-awal, bolehlah saya teruskan berlakon dan sampai masanya kita putuskan pertunangan ini. Kalau begitu saya taklah….” Aku tidak dapat melafazkan kata-kata seterusnya.
“Taklah apa Chaya? Jatuh cinta dengan Han? Sayang Han? Mengaku sahajalah Chaya. Han tahu perasaan Chaya.”
Aku terus menangis. Han cuba memelukku tetapi aku menolaknya.
“Saya sedih. Memang betul saya dah sayangkan awak. Tapi bila saya tahu hal ini, awak tahu tak betapa hancurnya hati saya. Hati saya ni bukan kebal. Banyak kali saya kecewa. Saya dah tak mampu nak tanggung rasa kecewa lagi. Saya dah buat keputusan. Lebih baik kalau kita putuskan sahaja hubungan ini. Awak masih ada Marini. Saya faham awak perlu beri perhatian kepada dia. Biarlah dia dapat sepenuh cinta daripada awak.”
“Jangan degil Chaya! Han sayangkan Marini tetapi abang lebih sayangkan Chaya. Han boleh hidup tanpa Marini. Tetapi Han pasti, hidup Han tak akan sama kalau Chaya tiada di sisi Han. Inilah kenapa Han tak ceritakan tentang Marini. Han lebih rela kalau Chaya tidak tahu tentang Marini sampai bila-bila pun sebab Han tahu Chaya tidak akan terima perkara seperti ini.”
“Awak ingat awak boleh rahsiakan perkara ini selama-lamanya daripada saya?”
“Han akan cuba Chaya. Keluarga Marini tahu tentang hubungan kita. Bila abang ceritakan dengan Lisa tentang Chaya, dia sendiri yang minta abang jangan ceritakan tentang Marini. Malah dia minta abang lepaskan sahaja Marini. Abang ada tanggungjawab dan Marini sudah sah sebagai isteri abang. Tak mungkin abang akan lepaskan dia.”
“Awak memang tamak. Saya tak sanggup lagi. Saya datang hari ini hanya untuk dapatkan kepastian daripada awak. Sekarang, bila saya sudah dengar penjelasan yang sebenar, saya rasa saya tak sanggup lagi untuk teruskan hubungan ini. Saya harap awak faham. Saya tidak mahu terlibat lagi. Tolonglah. Jangan tambah lagi rasa sakit saya ini.”
“Sayang, sayang…please, listen. Han sayangkan Chaya. Han mahu kita hidup bersama. Tak cukup lagikah pengakuan Han ini? Han minta maaf kalau hal ini buat Chaya terlalu sedih.”
“Maafkan saya kerana saya tidak sanggup. Saya minta maaf kalau saya tidak dapat teruskan hubungan ini lagi. Saya harap awak jangan ganggu hidup saya lagi selepas ini,” kataku muktamad.
“Chaya sanggup tinggalkan Han walaupun Chaya sayangkan Han? Kenapa Chaya? Kenapa mahu seksa hidup kita sedangkan kita tahu kita saling memerlukan.”
“Saya dah penat. Tolonglah. Biarkan saya sendirian.”
Han menarik nafas sedalam yang mungkin.
“Betul ini yang Chaya mahukan?”
Aku angguk sahaja.
“Kalau betul inilah permintaan Chaya, tiada apa lagi yang Han boleh katakan. Han janji Han tak akan ganggu hidup Chaya lagi. Han lepaskan Chaya. Kita putuskan hubungan ini. Han harap Chaya akan bahagia kerana Han tahu Han tidak mungkin akan bahagia tanpa Chaya. Izinkan Han peluk Chaya kerana Han tahu Han akan merindui Chaya,” katanya.
Tanpa mendapat izinku, Han terus memeluk dan mencium dahiku. Aku teruskan menangis. Han bangun dan berlalu dari situ. Dia terus keluar daripada rumahnya. Bila pintu tertutup kuat, ahli keluarga yang lain masuk kembali ke ruang tamu. Aku mencari Ula untuk menangis sepuas hatiku. Hubungan yang aku ingat dapat berlanjutan akhirnya tamat begitu sahaja. Semuanya kerana permintaan aku sendiri.
Share this novel