Bab 30

Romance Completed 8896

AKU main PSP lama yang ku ambil daripada Mika apabila dia dapat PSP baru sebagai hadiah untuk keputusan cemerlang ketika darjah enam. Bila aku bermain permainan video, terutamanya seperti sekarang ini, aku tidak akan berfikir. Sebenarnya, aku tidak tahu bagaimana untuk berbual dengan lelaki yang berada di sebelahku ini. Aku langsung tidak perasan bila dia tarik tanganku masuk ke dalam keretanya. Aku ingat Eid berlari untuk menyerahkan tas tangan dan beg sandang yang ku bawa bercuti di Kedah. Apa yang aku tahu, aku sudah pun berada di dalam keretanya. Bukan kereta tetapi jip yang penuh dengan tanah lumpur yang mungkin sudah kering. Entah ke mana jip ini pergi. Mungkin masuk ke hutan agaknya.
Aku teruskan satu permainan. Cuba untuk tidak fikir apa-apa tetapi aku tahu, aku terlalu terkejut. Kenapa Papa atau Mami Zan tidak berterus terang sahaja bahawa keluarga Han yang datang merisik dan masuk meminang. Ini tidak. Mereka kata kawan Uncle Omar. Mati-mati aku ingat kawan Uncle Omar. Kalau diberitahu siapa yang melamarku, pasti aku tidak berfikir langsung. Di dalam hati, aku rasa teruja kerana beberapa minit yang lalu aku dapat tahu aku tunang kepada Han. Itu bermakna aku bakal menjadi isteri Han. Bakal isteri lelaki yang aku suka sekarang ini dan mungkin selama-lamanya.
“Boleh tak kalau kau jangan main benda tu. Aku nak cakap dengan kau ni,” tegur Han sambil dia memandu kereta. Aku lihat kami baru lepas tol Shah Alam. Aku tutup PSP dan simpan di dalam tas tanganku.
“Betul saya tak tahu. Saya tak tahu keluarga awak yang masuk meminang,” balasku.
“Inilah yang aku nak bincangkan. Aku pun tak tahu Mama dengan Papa aku memandai pergi cari calon isteri untuk aku. Tiba-tiba, Mama aku telefon cakap aku dah bertunang. Bila aku balik sini, aku dapat tahu kau yang terima lamaran aku”
“Eh! Bukan saya yang terima. Parents saya yang terima. Saya pun tak tahu family awak yang pergi berjumpa dengan parents saya.”
“Sebab tu bila aku tahu kau orangnya, aku terus cari kau. Aku pergi rumah kau di Taman Melati tapi tiada orang. Mama kata kau baru balik bercuti. Dia kata mungkin kau ada di tempat tadi. Itu yang aku buat keputusan untuk cari kau juga. Kita kena selesaikan masalah ini. Aku tak mahu bertunang, apatah lagi dipaksa kahwin macam ni. Aku harap kau faham?”
Aku faham. Dia tidak sukakan aku. Tidak ada perasaan terhadapku. Baiklah. Aku pun boleh cakap dengan dia benda yang sama juga. Ingat aku nak sangat dengan dia.
“Saya pun sama saja. Saya pun tak nak kahwin. Saya nak hidup bebas,” kataku. Aku dapat rasa suaraku seperti merajuk sedikit. Untuk elakkan dari dia fikir aku merajuk, aku tambah lagi.
“Saya ingat memandangkan kita sama-sama tidak mahu terikat, apa kata kalau kita jumpa keluarga kita baik-baik dan minta putus sahaja. Lagipun, haritu saya ingat saya tak tahu siapa tunang saya. Sekarang saya dah tahu, senanglah sikit.”
Han melihatku dengan pandangan sisi. Lebuhraya persekutuan disirami cahaya lampu malam. Tidak banyak kereta di atas lebuhraya ketika ini. Han membelok ke arah laluan masuk ke Subang Jaya. Dia tidak membalas apa yang aku cadangkan. Bila dia menghampiri suatu kawasan, aku perasan jalan itu menuju ke kondominiumnya.
“Ini bukan jalan ke rumah saya,” kataku.
“Aku nak bawa kau balik ke rumah aku.”
“Gilalah. Saya tak mahu pergi rumah awak. Ingat saya ni apa? Boleh bawa ikut suka hati awak saja?”
“Kalau kau boleh ikut tiga jantan tu sampai ke Kedah, takkan aku tak boleh bawa kau balik ke rumah aku pulak?”
“Saya pergi cutilah. Awak stop kereta ni sekarang juga. Kalau tak saya terjun.”
“Kalau kau berani, kau terjunlah.”
“Ok. jangan cabar saya,” kataku sambil membuka kunci pintu jip dan bila sahaja aku cuba buka pintu, Han terus menarikku tanganku.
“Sakitlah!” marahku bila tanganku direntap sebegitu sekali.
Han memberhentikan kereta di tepi jalan. Baru dia tahu siapa aku. Aku tak kisah kalau aku nak terjun. Sekarang ini aku rasa aku benci sangat dengan sikap Han. Bila kereta berhenti, aku cuba buka semula kereta.
“Nanti Chaya!”
Terus aku berhenti.
“Aku bukan nak buat apa-apa dengan kau. Aku penat. Aku tahu kau pun penat juga. Aku malas nak bawa kereta sampai ke rumah kau. Sekarang ni, aku nak rehat. Aku hantar kau ke rumah aku dahulu. Kau rehatlah di sana. Esok pagi aku ambil kau dan kita duduk berbual pasal hal kita ni. Boleh tak? Untuk malam ni, kau ikut sajalah cakap aku.”
“Oklah. Saya pun penat juga ni. Esok saya kena kerja,” balasku.
Han tidak kata apa-apa. Aku nampak wajahnya yang kelihatan penat bila aku jeling dia sebentar tadi. Elok juga kalau aku dapat rehat di rumahnya. Bila kami sampai di depan unit kondo, dia tolong bukakan pintu tetapi dia tidak masuk langsung. Dia serahkan kepadaku kunci dan dia kata akan ambil aku pukul lapan pagi nanti. Aku masuk ke dalam dan dapati keadaan rumah sama sahaja seperti yang aku tinggalkan dahulu. Aku terlalu penat. Untuk tidur di katil Han, terlalu intim bagiku. Tambahan pula aku rasa cadar dan sarung bantalnya seperti berzaman tidak bertukar. Malangnya, di dalam unit studio itu, tiada tempat yang lebih sesuai lagi kecuali katil yang satu itu. Apa yang aku buat ialah aku tarik cadar sehingga aku bogelkan tilam itu. Studio itu tiada almari. Yang ada kain baju bergantungan. Sudah pasti tiada cadar pengganti. Aku ambil salah satu baju kemejaku yang besar dan aku bentangkan di atas tilam. Kemudian aku ambil barang keperluan untuk mencuci muka dan menggosok gigi. Selesai dengan semua itu, aku terus baring di atas katil. Tilam yang agak selesa itu buat aku senang sahaja melelapkan mata.

BILA Han ketuk pintu di pagi hari, aku sudah pun bersiap sedia. Aku nampak dia masih lagi dengan baju T hitam dan seluar jeans yang sama. Dia minta izin aku untuk masuk sekejap.. Dia suruh aku tunggu di luar. Selepas beberapa minit, aku nampak wajahnya sudah pun segar dan dia sudah pun menukar pakaiannya. Bila aku masuk ke dalam jip, baru aku perasan sesuatu.
“Awak tidur dalam kereta ke semalam?” soalku. Han hanya angguk sahaja. Kesian pula bila kau fikir yang aku dapat tidur dengan selesa di atas katil tetapi dia pula tidur semalaman di dalam kereta. Ah! Lantaklah dia mahu tidur di mana pun. Apa aku kisah.
“Kita nak ke mana?” soalku sekali lagi
“Kita pergi makan dekat-dekat sini,” katanya. Aku diam. Sekali sekala aku dengar Han bersin. Dia gunakan tisu untuk mengelap hidungnya.
Kami sampai di sebuah kedai mamak. Aku memesan tosai dan Han dengan nasi lemak. Sementara pesanan kami di hantar, Han memulakan bicara.
“Aku sudah berfikir sepanjang malam. Aku tahu kau tak setuju dengan pertunangan ini. Aku pun sama saja. Tetapi aku ingat kita teruskan sahaja pertunangan ini”
“Saya minta maaf tapi saya tak setuju,” kataku perlahan. Kenapa pula tiba-tiba nak teruskan pertunangan ini sedangkan dia sendiri tidak suka. Semalam beria ajak aku putus tunang. Aku pun ada harga diri. Aku iidak mahu terpaksa, memaksa dan dipaksa. Aku nyatakan pendapat aku.
“Bukankah lebih baik kalau kita batalkan sahaja. Kalau teruskan pun bukannya ada faedah untuk kita berdua.”
“Itu aku tahu. Bila aku jumpa kau semalam, aku ingat lebih baik kita putuskan saja. Kemudian bila aku hantar kau balik, dan aku berjaga sepanjang malam, aku rasa kita terpaksa teruskan juga. Kau dan aku kena fikirkan tentang perasaan keluarga kita.”
“Saya tak ada masalah nak uruskan Papa saya,” balasku.
Han tersenyum melihat kedegilan aku.
“Itu aku tahu. Masalah aku sekarang ialah untuk beritahu pada Mama dan Umi. Aku tahu Papa aku tiada hal kalau aku batalkan pertunangan ini. Aku cuma fikirkan perasaan Mama dan Umi sahaja.”
Aku terdiam. Memang betul apa yang Han katakan. Aunty Jah dan Umi mesti makan hati kalau aku membatalkan pertunangan ini.
“Tapi saya rasa mereka boleh terima kalau kita berterus terang yang kita bukannya saling bercinta. Mereka tentu faham.”
Han ketawa. Kali ini aku lihat wajahnya berubah menjadi tenang seketika.
“Zaman sekarang ni Cik Chahaya, bila keluarga pergi meminang tanpa pengetahuan anak lelaki bujang mereka, itu maknanya mereka yang nakkan pihak perempuan tu jadi menantu mereka. Bukan kehendak pihak lelaki itu sendiri. Lepas tu, mereka ingat lelaki dan perempuan itu boleh bina hidup bersama.”
“Zaman sekarang ni Encik Sharhan, kalau pihak keluarga perempuan terima pinangan mana-mana lelaki tanpa persetujuan anak perempuan mereka, maknanya mereka dah tak larat nak bela budak perempuan tu. Itu cara mereka nak lepas tangan,” kataku pula.
“Lagi pun, saya dengan awak memang tiada persamaan,” tambahku lagi. Ketika itu pelayan berkulit gelap menghampiri kami untuk menghantar pesanan kami. Dua milo panas turut disajikan. Aku lihat milo Han. Dia lihat milo aku. Dia dahulu yang mula berkata.
“Nampaknya bukan semua. Kita berdua minum milo sekarang ini.”
“Itu kebetulan. Saya memang minum milo sejak dari kecil lagi. Lagi pun, kalau saya nak kahwin, saya cari suami yang mithali, yang boleh bimbing saya dua puluh empat jam. Bukan macam awak, yang macam tiada tujuan,” kataku.
“ Mana kau tahu kalau aku ni tidak boleh jadi suami mithali? Kau baru saja kenal aku. Kau belum tahu siapa aku.”
Aduh! Terkena aku dengan jawapannya.

“Beginilah Chaya. Keluarga aku tengah gembira sekarang ini terutama sekali Umi dengan Mama. Demi mereka, aku minta kau tolong aku kali ini. Kita teruskan saja perhubungan ini.”
“Saya rasa susah sikitlah. Kalau lama-lama nanti lagi susah nak lepaskan diri. Saya ada rancangan lain untuk hidup saya ini. Saya tak mahu kalau hubungan ini jadi halangan untuk saya lakukan apa-apa. Saya baru sedar. Walaupun saya dah lama dewasa, saya tak ada banyak pengalaman macam Erin ataupun Nina. Saya nak buat macam-macam. Saya nak lihat dunia. Awak juga yang bagi nasihat pada saya dulu,” kataku. Memanglah kalau hendak melihat satu dunia mungkin lama tempohnya. Tetapi aku ingin buat sesuatu untuk hidupku dan bukan untuk orang lain.
“Aku tak akan halang kau untuk buat apa yang kau mahu. Aku akan sokong apa yang kau nak buat. Malah, kalau kau nak, aku boleh tanggung bagi duit belanja apa saja kau nak buat. Asalkan kau tolong aku kali ini. Amacam?”
Aku ketawa sedikit sambil mengunyah tosai.
“Awak cakap macam awak ni banyak duit betul. Sanggup tanggung saya sampai macam tu sekali,” kataku.
“Aku adalah duit sikit kalau setakat nak tanggung kau,” katanya.
“Kalau awak tanggung saya, rasa macam saya ada sugar daddy pulak,”
Han ketawa.
“Aku tak main-main. Kalau kita nak batalkan pertunangan ini, aku rasa kesannya besar terhadap keluarga aku. Aku pun kena fikir juga pasal keluarga kau sebab kau tu anak perempuan. Kalau orang tahu kau baru sahaja bertunang, tiba-tiba putus, malu keluarga kau. Perempuan yang putus tunang ni, selalunya orang akan mengata macam-macam. Kau fikirlah hal ini. Kemudian itu, barulah kita fikir cara yang sesuai untuk buktikan kepada keluarga kita yang memang kita tidak serasi bersama.”
“Awak kena bagi saya masa untuk berfikir. Kalau ikut hati saya sekarang juga kita putus. Biar saya fikir dulu apa yang awak kata ini.”
“Kau tak boleh fikir lama sangat. Sehari sahaja sebab esok keluarga aku buat majlis. Aku pasti kita berdua tetamu yang wajib berada di sana,” kata Han.
“Ye. Saya akan fikir. Janganlah paksa. Saya tahu otak saya ni lembab sikit tapi saya kena fikir perkara ni dengan serius. Kalau saya buat keputusan yang salah, nanti siapa yang malu? Saya dan keluarga saya juga,” kataku kepadanya.
Kami teruskan makan tanpa sepatah pun kata yang keluar selepas itu. Han kembali ke tempat duduknya selepas membasuh tangan dan menghabiskan air milo.
“Lepas ni kau masuk kerja juga ke?”
“Saya kena cari duit juga. Buat part time di situ agak menarik. Sambil tu saya boleh belajar sikit-sikit tentang dunia fesyen.”
“Kau nak jadi designer ke?’
“Tak adalah. Saya nak belajar saja. Tengok apa yang saya boleh buat. Sambil kerja sambil belajar. Lepas tu saya ingat saya nak pergi melancong. Macam yang awak suggest dulu. Saya nak tengok dunia orang lain.”
Han melihatku dengan suatu pandangan yang berbeza sungguh.
“Apa yang aku kata tadi, aku tak tipu. Kalau kau nak minta apa-apa kau mintalah, aku boleh bagi kau apa sahaja yang kau nak,” kata Han kepadaku.
Saya nak hati awak. Kataku di dalam hati. Mengharap.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience