“BOLEH tolong saya tak?” aku menyoal Eid. Lelaki itu masih kacak macam dahulu. Badan dia pun semakin sasa. Mungkin selalu angkat berat. Namun, terserlah tertib-tertib kelembutan bila dia bercakap, mahupun berjalan. Macam mana dia boleh jadi sebegini pun aku masih tidak faham.
Aku naik LRT dan kemudian menempah kereta melalui aplikasi e-hailing untuk sampai ke butik Eid di salah satu deretan kedai di Seksyen 7 di Shah Alam. Butik yang diberi nama Amaya pada mulanya dibuka oleh dua orang kampung Eid yang berkelulusan UITM dalam rekaan fesyen. Salah seorang daripada mereka adalah saudara mara kepada Eid. Selepas tamat belajar, mereka mengajak Eid kerja dengan mereka untuk membantu dalam urusan perniagaan. Menurut katanya suatu ketika dahulu, tugasnya lebih kepada memberi idea, merancang pemasaran dan jualan. Setakat ini, butik mereka sungguh menjadi. Walaupun fokus mereka ialah menjahit pakaian yang ditempah dan menjual hasil rekaan mereka, kadangkala ada juga yang meminta mereka untuk menghias pelamin atau membuat hantaran.
Memandangkan permintaan selalu sahaja masuk dan agak tinggi bila tiba musim cuti sekolah, Eid akan membuat perancangan awal dan mengupah pelajar universiti atau kolej di sekitar yang berminat untuk buat kerja separuh masa. Kerja itulah juga yang Eid tawarkan kepada aku ketika aku mengadu berhenti kerja dahulu. Bila aku dengar cerita Eid, barulah aku faham. Kalaulah aku tahu dia boleh buat kerja berkaitan nikah kahwin ini, dari awal lagi aku datang cari dia.
“Awak nak tempah baju pengapit ke atau awak nak saya buat juga benda-benda lain yang awak ceritakan tu?” soal Eid.
“Yang lain tu nanti saya tanyakan dulu pada Erin. Untuk permulaan ni, pakaian pengapit dan hiasan hantaran. Eid free tak minggu depan. Saya bawa Erin jumpa awak. Biar Erin buat keputusan. Tapi saya tak berani janji sebab saya ada cari dua lagi kedai. Kenalah macam tu. Barulah Erin ada pilihan nak memilih.” Aku memang sudah berurusan dengan dua buah syarikat sebelum ini untuk penyediaan majlis nikah Erin. Tidak salah kalau aku masukkan satu lagi sebagai pilihan. Tambahan pula, kuasa memilih di tangan Erin.
“Bila tarikh majlis tu?”
“Hujung bulan Ogos. Kalau Erin pilih butik awak, awak kena buat betul-betul tau.”
“Okay. Sekarang awak nak saya buat apa?”
“Saya nak awak fikirkan tema baju pengapit yang sesuai untuk majlis akad nikah di resort tepi pantai. Ini baju yang dia nak pakai masa akad nikah nanti,” aku mengeluarkan gambar baju pengantin Erin yang ditempah di sebuah butik mewah. Eid bersiul melihat foto itu.
“Kelas design ni. Kenapa tak tempah sekali baju pengapit?”
“Awak rasa? Tengoklah siapa designer tu. Taraf anak raja saja yang boleh tempah. Kami-kami ni kenalah yang biasa-biasa. Kalau satu level, kang ramai yang confuse siapa pengantin.”
Eid ketawa.
“Untuk baju pengapit, dia suruh saya cari. Lepas tu saya kena cari tepak dengan hiasan hantaran untuk hadiah hantaran dia. Yang itu saya ingat saya nak sub contract kepada tiga kedai, dua yang saya dah jumpa dan satu lagi, butik Amaya ni”
“Ada Erin sebut budget dia?” soal Eid.
Aku bisik anggaran yang dicadangkan.
“Baiklah. Nanti saya fikir dan bincang dengan yang lain.”
Aku pun bangun daripada tempat duduk yang tinggi mengadap meja seakan bar itu dan menuju ke arah deretan baju berwarna-warni dengan pelbagai rekaan. Spontan tanganku merasai helaian kain dengan tekstur yang sejuk dan lembut. Aku teringin untuk memakai baju selembut dan secantik sebegini. Mungkin kalau aku pakai baju secantik ini, Nizam tidak tinggalkan aku. Aku melihat tanda harga sehelai baju berwarna hijau gelap. Harga tiga angka yang kulihat. Tertelan air liur aku. Patutlah Eid semakin bergaya. Aku perasan jam tangannya juga agak berjenama. Mungkin selalu untung besar kalau buat bisnes seperti ini. Aku mula berangan.
Pintu butik dibuka. Loceng ‘ting’ berbunyi. Aku tersenyum mendengar Eid melayan dua orang gadis yang bertanyakan kalau mereka boleh menempah baju untuk ke majlis makan malam. Eid membalas dengan mengajak mereka duduk berbincang. Aku melihat kedua-dua gadis itu saling berpandangan dan berkongsi rahsia melalui lirikan mata mereka. Aku boleh agak. Nampak sangat kedua-dua mereka seperti berkata, ‘Muka dan badan boleh tahan, tapi sayang sebab lembut, kan?’. Seorang lagi membalas, ‘Ye lah. Sayangkan.’
Aku senyum sahaja. Aku jenis yang berterus terang orangnya. Dulu aku pernah tanya Eid kalau dia kaum jenis yang dikatakan itu. Balas Eid, dia bukan begitu. Dia hanya seorang lelaki yang tengah keliru. Aku berpegang kepada kata-katanya. Bukan kerana aku masih menaruh harapan, tetapi aku mahu kawan aku ini sentiasa di jalan yang benar. Sedang aku asyik melihat Eid melayan kedua orang perempuan itu, ‘ting’ pintu berbunyi lagi. Masuk pula sekumpulan dua orang lagi. Aku tengok Eid seorang sahaja. Jadi aku ingat apa salahnya aku menolong Eid ketika itu. Aku perlukan persetujuan Eid. Aku bercakap hanya melalui pandangan mata. Eid angguk tanda setuju untuk aku membantu dia melayan pelanggan.
“Boleh saya tolong?” soalku kepada dua gadis yang mengenakan fesyen tudung longar, gerbang-gerbang begitu.
Mereka melihat aku dari atas sampai ke bawah. Mungkin tidak yakin dengan aku yang berpakaian kemeja petak, seluar jeans dan kasut sukan. Tidak nampak gaya pembantu butik. Lebih kepada gaya pekerja di kedai sukan.
“Akak kerja di sini ke?” soal salah seorang daripada mereka.
“Taklah. Akak kawan abang tu,” kataku sambil menunjukkan kepada Eid.
“Kami nak cari baju untuk majlis makan malam,” kata gadis yang sama. Oh, majlis makan malam. Sama macam dua gadis yang berbual dengan Eid. Mungkin majlis yang sama, agaknya.
“Boleh akak tahu majlis apa tu?” soalku. Iyelah, kalau nak mencadangkan pakaian, kenalah tahu tema majlisnya.
“Kami ada majlis lepas konvo kak. Macam small reunion untuk fakulti kami.”
“Dinner ke?”
Aku tengok kedua-dua mereka mengangguk.
“Ada budget tak?” aku berbisik.
“Antara tiga hingga empat ratus kak,” balas salah seorang. Juga berbisik.
Amboi! Banyak betul budget mereka. Mungkin anak orang berada. Kalau aku, belum tentu sanggup bayar sedemikian demi sebuah majlis yang mungkin sekali sahaja seumur hidup. Mungkin aku jenis tidak kisah kalau orang tidak ingat aku tetapi ada orang yang mahu diingati dan dikenangi. Aku faham.
Memandangkan aku sempat juga menelaah hampir kebanyakan baju di butik Eid tadi, aku masih boleh ingat beberapa pakaian mengikut budget yang dikatakan tadi. Menurut kata Eid, harga juga boleh dirunding.
“Macam nilah. Apa kata adik cari dan pilih yang mana adik suka. Pada masa yang sama akak tolong adik cari juga okay?” Aku memang faham kalau hendak mencari sesuatu, aku lebih suka cari sendiri. Kalau ada jurujual berdiri di sebelah memang aku tidak selesa. Lagi satu ialah tentang harga. Aku memang panik kalau terambil sesuatu yang di luar kemampuan kocek aku. Oleh itu, aku biar budak-budak perempuan itu sibuk dan aku pun sibuk juga. Biar mereka alami dan lihat harga pakaian dengan rasa selesa.
“Adik start sana. Akak pilih sini?” aku syorkan cara untuk memilih pakaian.
Kedua-dua mereka mengangguk dan berjalan bersama-sama menuju ke rak pakaian yang terdekat. Aku tengok seorang demi seorang. Kedua-duanya sama tinggi tapi yang seorang itu berkulit cerah. Aku hampiri rak pakaian yang hampir denganku dan mula mencari baju yang sesuai untuk kedua-dua mereka. Tidak sampai lima minit, aku dapat lima pasang baju di bawah angka lima ratus. Aku lihat mereka pun masing-masing ada sepasang dua baju yang lain. Aku hampiri mereka. Kesian. Budak masih belajar lagi. Kalau ada mak bapak kaya, bolehlah berbelanja. Kalau tidak, itulah duit simpanan yang ada.
“Ok. Untuk adik ni, akak pilih dua baju ni untuk cuba. Warna hijau dan warna hitam ni lebih elok dengan warna kulit adik yang cerah dan kalau adik nak nampak slim sikit.”
“Untuk adik sorang lagi, sini ada dua yang bercorak dan satu yang plain. Warna ni nampak dull sikit tapi kalau letak di badan memang boleh naik dan pakai dengan tudung yang warna kontras sedikit. Adik cuba dulu kalau tak percaya. Tempat cuba sebelah sana.” Aku tunjuk bahagian hujung kedai di mana ada bilik untuk mencuba pakaian.
Bila kedua-dua gadis itu pergi mencuba pakaian, aku menghampiri Eid yang sudah hampir selesai melayan pelanggan tadi. Aku duduk di kerusi tinggi berhampiran sambil mendengar tempahan mereka boleh siap dalam masa kurang seminggu kalau mereka memilih kain yang sedia ada di butik ini. Aku lihat Eid menunjukkan jenis fabrik yang ada melalui buku yang terletak di atas meja. Bila seorang gadis ingin melihat kain yang sebenar, Eid bangun dan membawa beberapa lipatan kain. Aku melihat Eid membuka lipatan dan mengenakan kain itu ke tubuh gadis yang bertanya tadi. Gadis itu melihat-lihat dirinya di cermin terbesar di butik itu. Dia mencuba beberapa helai sambil meminta pendapat rakannya. Akhirnya dia memilih kain sifon berwarna biru gelap. Kemudian, rakan yang seorang lagi ingin mencuba kain pilihannya. Sekali lagi, Eid masuk ke sebuah bilik dan kembali dengan beberapa lipatan kain lagi. Lama juga yang seorang ni memilih. Akhirnya, dia pun memilih warna biru. Hanya warnanya lebih cerah sedikit daripada rakannya yang seorang lagi dan mempunyai motif bercorak moden.
Selesai sahaja kedua-dua gadis itu keluar dengan gembira, Eid mendekati sambil memberikan aku satu bar coklat. Aku mengambil tanpa rasa ragu-ragu. Sambil mengunyah coklat, aku dapat dengar gelak ketawa kedua-dua gadis yang masih lagi mencuba pakaian dari tadi.
“Pandai Chaya cari baju untuk mereka,” Eid memuji aku.
“Saya memang pandai bab-bab ni. Cuma malas nak praktis,” balasku sambil sengaja tunjuk lagak tiup kuku jemari. Memang aku ada bakat sebab aku berkawan dengan orang yang minat fesyen sejak kecil lagi. Erin, Nad dan kakakku Suri.
“Saya tahu, tapi awak ada taste. Macam hari tu saya dah cakap, kalau awak nak buat part time, datanglah bila-bila masa. Sambil layan pelanggan, awak boleh tolong jahit labuci. Kalau tak pandai jahit, kawan saya boleh tolong ajar. Kalau awak nak kerja, awak datanglah. Kami memang nak pakai orang. Kami selalunya mula bulan Oktober. Jadi kalau free, awak beritahu awal-awal ok?”
Aku angguk sahaja. Lama lagi kalau bulan Oktober. Sedang aku tengah mengunyah saki baki coklat, kedua-dua pelanggan aku pun keluar. Masing-masing tersenyum gembira. Aku pun balas senyum mereka.
“Betul cakap kak. Saya pilih yang ini dan kawan saya suka yang ini. Cuma budget lebih sikit saja dan kena buat fitting sikit sebab yang saya punya labuh dan yang kawan saya ni longgar sikit di bahagian pinggang.”
Eid mendekati mereka berdua dan mengambil kedua-dua baju itu. Dia melihat harga yang dilekatkan.
“Pasal kawan abang ni yang tolong abang hari ini, abang Eid bagi diskaun kat adik berdua dan harga istimewa termasuk fitting sekali.”
Eid menyebut jumlah harga diskaunnya. Kedua-dua pelajar itu mengangguk bersetuju. Eid meminta mereka masuk semula untuk mengenakan baju bagi membolehkan dia ambil ukuran.
“Awak pandai ke ambil ukuran,” soalku.
“Saya main agak-agak saja. Kedai ni ada seorang pembantu perempuan. Selalunya, dia yang ambil ukuran. Kebetulan hari ni dia cuti.”
Aku angguk. Senang hati juga kalau ada pekerja perempuan yang aku boleh buat kawan kalau aku kerja di sini nanti.
“Eh. Anyway, terima kasih bagi diskaun pada budak-budak tu,” aku ucapkan terima kasih bila aku nampak diskaun yang ditulis oleh Eid memang cukup murah hati.
“Kami memang bagi harga yang menarik untuk students, just nice untuk cover kos. Kita pun pernah jadi students, kan. Bagilah peluang untuk mereka rasa seronok sekali sekala,” balas Eid.
AKU tunggu sahaja keputusan Erin. Rekaan baju pengapit dari ketiga-tiga butik yang aku cadangkan lebih kurang sama hebat. Malah idea untuk hiasan hantaran pun masing-masing ada kelebihannya juga. Nasib baik aku buat keputusan untuk mengurangkan pilihan daripada lima syarikat kepada tiga supaya Erin tidak pening kepala. Kalau dia pening, aku lagilah pening. Lagi pun, aku tengok rekaan ketiga-tiga syarikat semuanya menarik. Sebelum aku senarai-pendekkan tempat-tempat itu, aku ada meminta pendapat Ula tanpa memberitahu nama-nama lima butik terpilih. Ula memilih tiga termasuklah butik Eid. Pilihan Ula sama seperti pilihan aku juga. Berjam juga kami memilih, sampaikan kami terpaksa mencari makanan untuk melapangkan pilihan sebelum membuat keputusan. Aku dan Ula antara yang akan memakai pakaian pengapit ini. Pastinya selera kami perlu diambil berat sesuai dengan ketidakjelitaan kami. Kalau pengapit lain, pakai apa pun sudah nampak bergaya.
Aku ceritakan kepada Ula bahawa salah satu pilihan kami merupakan butik Eid. Sebagai seorang yang sentiasa mementingkan amanah dan keterbukaan dalam apa jua kerjannya, Ula menasihatkan aku supaya menceritakan senarai pendek yang dibuat ini. Lebih elok kalau aku tunjukkan semua lima idea dan terangkan apa pilihan yang menjadi senarai pendek kepada Erin. Aku juga perlu maklumkan kepada Erin bahawa salah satu kedai adalah milik kawan aku tetapi jangan beritahu kedai yang mana. Biar Erin sendiri yang membuat keputusan nanti. Itulah yang aku sedang lakukan sekarang. Berbuih juga mulut aku bercerita. Erin pula banyak bertanya. Nasib baik setiap soalannya dapat ku jawab dengan baik. Nampak sungguh aku buat kerja rumah untuk berhadapan dengan Erin hari ini.
“Apa pendapat you?” tanya Erin kepada tunangnya, Ikram.
Aku berjumpa dengan Erin di KLCC. Kami minum di salah satu outlet yang berhadapan dengan tasik KLCC. Ramainya orang tidak terkira sedangkan hari ini hari bekerja. Erin dan Ikram membincangkan tentang rekaan pakaian pengapit di antara dua buah butik. Aku tersenyum sebab kertas butik Eid sedang dipegang oleh Erin. Kalau dia yang pegang, maknanya ada peluang yang cerah. Bukan senang aku hendak memujuk kesemua kedai memberi rekaan mereka, jadi aku minta mereka lakar seringkas yang mungkin dan perincian yang lain aku terangkan sendiri kepada Erin.
“I ingat kita buat baju di butik ini sebab nampak kesungguhan design ni. On the hantaran, I prefer yang ini,” kata Ikram. Cair sungguh aku apabila memandang Ikram. Wajahnya sungguh menarik. Tinggi lampai dan kalau dia pakai kaca mata hitamnya, memang kacak tidak terhingga. Padan dengan Erin. Kenapalah orang cantik selalu dapat orang cantik? Mungkin orang cantik tertarik dengan yang cantik sahaja. Aku soal dan aku jawab soalan sendiri.
“I pun suka baju ni. Simple dan designer ni propose different colour tone but still match dengan baju akad nikah I”
“Jadi setiap orang akan ada baju tersendiri. Boleh pakai untuk acara lain sebab tak akan ada yang pakai warna yang sama, betul?”
“Pandai pun you bab-bab orang perempuan sekarang ye.”
“Mestilah. You yang ajar I kan?”
Erin mencuit Ikram dan cuitan dibalas kucupan layang.
Hello! Aku di sini. Seronok betul mereka bercinta. Nasib baik kucupan layang. Kalau dibuatnya kucupan bersentuhan, memang nak kena tarbiah si Erin ni.
“Hello! Ingat ada orang lain di sini. Yuhuu!” Aku segera hentikan adegan mesra mereka dan minta sepupuku segera beri keputusan. Aku perlu segera beri maklum balas kepada semua butik dan dapatkan pengesahan daripada butik yang terpilih. Kalau tidak, takut kami yang jadi pengapit nanti terpaksa pakai baju sponsor sendiri.
“Sorry Chaya. Aku ingat kita pilih butik ni saja. Aku suka dia buat design baju tu. Lagipun harga dia berpatutan juga. Kau tempah segeralah. Kau mesej alamat butik tu kepada semua pengapit minta mereka pergi buat ukuran dan fitting dalam minggu ini juga.”
“Bekas hantaran nak butik yang sama atau yang satu lagi?”
“Ingat better buat same place la babe. Nanti kau boleh tolong bincang kalau mereka boleh ubahsuai sedikit,” Erin mula menerangkan kepadaku idea untuk bekas hantaran yang dia inginkan berpandukan lakaran yang disediakan. Aku segera menggunakan aplikasi perakam telefon untuk merakam setiap butir perincian yang Erin tuturkan di samping mengambil nota di minda.
“Jangan lupa call bridesmaids. Kalau yang tak free, kau inform aku. Nanti kita buat arrangement dengan butik tu bagaimana nak handle kalau dorang tak dapat datang.”
“No issue,” balasku. Tiada masalah kecuali satu. Kalau yang lain aku boleh call atau hantar mesej. Kalau Nad, aku suruh Ula sahajalah. Aku minta semula kertas lakaran yang dipilih Erin. memandangkan kedai Eid menjadi pilihan, aku beritahu kepada Erin tentang butik kawan aku itulah yang dipilihnya.
Nampaknya aku ada potensi untuk bekerja di butik Eid nanti. Ini boleh dikira jualan aku yang kedua. Aku tidak mahu lepak lebih lama di situ. Biarlah dua merpati sejoli itu bermain cinta. Aku mahu kembali segera ke apartmen untuk menyelesaikan kerjaku.
Share this novel