“KAU ni bila aku balik saja, aku tengok kau asyik mengunyah. Kalau gemuk nanti tak siapa pun nak pada kau,” Ula menegurku sebaik sahaja dia balik dari kerja.
“Eloklah tu. Aku kurus pun tak ada yang nakkan aku. Biar aku gemuk sikit. Manalah tahu ada yang jatuh hati padaku nanti.”
“Aku bukan nak tegur kau. Hari tu kau dah mengadu seluar yoga kau dah tak boleh pakai. Kalau kau masukkan lagi makanan dalam perut tu, jangan nak mengadu pulak yang kain batik pun dah tak boleh nak masuk nanti.”
“Oish…selama ni aku makan belum pernah aku sampai ke tahap tak muat kain batik. Aku tengah diet jugak ni. Makan jajan. Bukannya nasi ke apa ke. Gemuk sikit nampak cantik sikit kan?”
“Yelah tu. Orang lelaki sekarang semuanya nak tengok kecantikan luaran. Kecuali Malik,” kata Ula sambil bergelak ketawa.
“Ketawalah engkau puas-puas. Sekali Malik tinggalkan kau baru kau tahu.”
“Woit! Kalau nak buat lawak pun janganlah sampai Malik pun kau nak tarik sekali.”
“Sorry. Aku tengah bad mood. Aku tahu Malik tu sayangkan kau sangat. Entah apa ubat guna-guna yang kau masukkan dalam makanan dia tu.”
“Cakap baik sikit tau. Aku tak pernah nak guna-gunakan dia. Malik yang tergila-gila dengan aku. Lepas tu, aku pun samalah naik gila.”
“Eloklah kalau dua-dua dah gila. Bila lagi orang gila tu nak masuk meminang kau?”
“Tahun depanlah. Biar kami kenal hati budi dahulu.”
“Hai dah setengah tahun pun belum kenal lagi hati budi ke?”
“Kenal tu kenallah, tapi aku masih tak percaya lagi yang dia betul nak serius dengan aku.”
“Kau ambil iktibar kisah aku dengan Nizam sampai kau pun skeptikal. Kes aku dengan Nizam tu lain sebab ada yang jadi orang tengah. Beberapa kali aku jumpa Malik. Aku tengok dia betul-betul nakkan kau, Ula. Kau janganlah jual mahal pula. Nanti dia cari orang lain, menyesal dah tak berguna.”
“Aku tengah tunggulah masanya Chaya. Nantilah bila aku dah cukup bersedia.”
“Jangan tunggu lama-lama,” kataku.
“Tak lama. Kejap je lagi tu. Yang kau bad mood ni kenapa?” soal Ula.
Aku makan Twisties yang terakhir. Saki baki yang ada dalam pembungkus itu aku tuang masuk ke mulut.
“Aku baru telefon Umi tadi.”
“Oh kau rindukan si Orang utan tulah.”
“Mmm… nak buat macam mana. Aku seorang saja yang rindukan dia. Macam pungguk rindukan bulan.”
“Dah kau tak declare yang kau suka dekat dia. Kalau awal-awal lagi, sebelum mak bapak dia balik lagi kau dah cakap, mesti kau dah dapat kata putus dari dia. Taklah kau sampai malam pun termimpikan dia tu.”
“Kau gila nak suruh aku cakap macam tu? Sepanjang aku dengan dia, aku tak nampak pun sebarang tanda yang dia suka aku. Kalau aku pergi beritahu dia yang aku suka dia, silap-silap aku kena maki lagi. Sekarang ni, aku dah tak ada peluang langsung.”
“Kenapa pula?” soal Ula.
“Tadi Umi beritahu aku yang Han dah sihat sangat nampaknya sampaikan dia dah tempah tiket pergi oversea.”
“Hai, bukan kau kata kas kaki dia tu baru buka minggu lepas?”
“Itulah yang aku tanya Umi. Kata Umi, sebaik sahaja kas kaki dia dibuka, dia terus berjalan. Lepas tu dia terus buat keputusan nak pergi ke luar negara. Mana destinasi dia pun Umi tidak pasti. Entah Bali atau Itali.”
“Jauh beza Itali dengan Bali tu,” balas Ula.
“Nampak gayanya aku memang suka dia sorang-sorang,” balasku. Aku pernah ceritakan tentang pengalaman aku dengan Han kepada Ula dan apa yang aku katakan memang benar. Han tidak pun menunjukkan sebarang kelainan bila dia bersama dengan aku dan aku rasa dia anggap aku macam kawan biasa sahaja. Ula tahu sakit jiwa yang sedang aku alami ini. Sebaik sahaja aku balik ke pangsapuri kami, aku terus mengadu dengan Ula. Aku ceritakan yang aku mungkin sudah jatuh hati dengan Han tanpa aku duga, tanpa aku sangka. Sekarang ini sudah sebulan lebih lamanya. Aku masih belum dapat lupakan Han. Celik sahaja mata, aku nampak Han. Bila makan pun kadang-kadang aku nampak Han. Itu masa mula-mula aku gila bayang. Sekarang ini aku sudah boleh kawal. Aku nampak Han bila aku mahu lihat Han. Di kepalaku.
“Malam ni aku tak balik. Aku tidur di butik lagi. Banyak kerja nak buat,” kataku kepada Ula. Butik Eid sudah jadi rumah keduaku selepas pangsapuri ini. Memang banyak kerja yang aku perlu lakukan. Butik Eid bukan sahaja menerima tempahan baju, tetapi Eid dan kedua rakannya sudah mula menerima tempahan perkahwinan, sama ada menyediakan pelamin atau pun menjadi orang tengah menguruskan majlis perkahwinan. Sama macam kerja yang dilakukan oleh K di Cherating dahulu.
---
“CHAYA, you nak tidur di sini lagi ke malam ni?” Eid tanya kepadaku. Dia melihat kawannya selaku rakan niaganya yang biasa dipanggil sebagai Che sahaja. Seorang lagi rakan mereka ialah Amy. Lelaki, tapi namanya Amy.
"Tidur sinilah. Malas nak balik rumah. Lagi pun nak kena siapkan labuci ni sebelum tengahari esok,” kataku sambil menjahit lagi labuci di bahagian bawah tapak kain gaun. Sehelai gaun pengantin untuk jamuan makan malam. Cantik sungguh. Warna gaun merah jambu manakala labuci bermotifkan bunga-bunga menghiasi bahagian dada, pinggang dan hujung gaun.
“Kalau macam tu, you pastikan pintu berkunci dari dalam. Saya tak nak ada orang pula yang datang kacau you all nanti.”
“Tak payah risau. Munah ada tali pinggang silat gayung. Kalau ada yang datang kacau, Chaya suruh dia buka langkah je,” kataku kepada Eid. Munah ialah seorang lagi pembantu yang Eid ambil kerja. Budak baru lepas SPM dan tengah tunggu keputusan untuk masuk ke IPTA.
“Buka langkah tak apa, jangan dia langkah dulu sudahlah. Kami balik dulu. Jangan lupa. Kunci pintu tu,” pesan Che pula. Mereka berdua pun berlalu dari situ. Aku kembali dengan tugasan. Tiba-tiba telefon pintarku berdering. Aku lihat panggilan dari Papa. Terus aku angkat dan tekan butang penguat suara supaya aku boleh berbual sambil menjahit.
“Chaya di mana sekarang?”
“Chaya masih kerja di butik.”
“Dah pukul sepuluh tak balik-balik lagi ke?”
“Hari ni Chaya buat overtime sampai pagi. Papa jangan bimbang. Ada kawan perempuan yang sama-sama dengan Chaya,” kataku sebelum Papa kata apa-apa.
“Papa nak cakap dengan Chaya sekejap boleh tak? Papa suruh Chaya balik, Chaya kata Chaya sibuk memanjang. Papa nak beritahu, ada orang merisik pasal Chaya untuk anaknya.”
Jarum terkena jariku. Aku menjerit. Papaku tanya kenapa dan aku kata aku tercucuk jarum. Kali ini baru aku beri perhatian.
“Papa kata apa tadi?”
“Kawan Papa merisik Chaya untuk anaknya.”
“Kawan Papa yang mana satu?” Aku bukannya kenal sangat kawan papa tetapi aku nak tahu juga siapa pula yang datang merisik.
“Kawan baru Papa baru kenal. Dia tu kawan Uncle Omar kamu. Anak kawan Uncle Omar tu businessman. Bujang lagi. Jadi keluarganya nak carikan isteri. Masa mereka tengok album Erin dan Ikram, ada pula gambar Chaya tersesat di situ, jadi mereka berkenan sangat dengan Chaya. Itu yang mereka merisik. Papa nak suruh Chaya balik nanti sebab mereka buat keputusan nak datang melamar kamu. Kata mereka takut kamu kena sambar dengan orang lain.”
“Hensem ke anak diorang tu? Papa dah jumpa ke?”
“Ada ke patut kamu tanya hensem ke tidak. Kalau pendapat Papa, memang Papa berkenan sangat. Itu yang Papa nak ajak kamu sendiri datang tengok. Kalau kamu berkenan, Papa terimalah. Kalau tidak, Papa tolak. Minggu depan hari Selasa Chaya balik sini.”
“Chaya tak naklah Papa. Cakap dengan dorang Chaya tak mahu kahwin lagi sekarang. Chaya nak hidup membujang.”
‘Kamu ni biar benar. Balik sajalah. Nanti kamu sendiri yang cakap kamu nak atau tidak.”
“Chaya kata Chaya tak nak. Chaya nak enjoy hidup bujang.”
“Chaya janganlah main-main macam ni. Papa kata balik, balik. Jangan nak melawan. Kalau tidak Papa terima saja lamaran mereka.”
“Chaya tak naklah. Chaya busy.”
“Kalau macam tu, Papa terima saja nanti!” Papaku mula mengugut aku.
“Kalau Papa berani, Papa terimalah. Chaya cabar Papa.”
“"Eh...budak ni, orang cakap beboto dicabar eh lak den. Den teghimo pinangan eh nanti kok nyosa ko!” nada Papa seperti mengugut aku.
“Teghimo la!” balasku seperti melepaskan geram. Aku ucapkan selamat malam dan memutuskan panggilan telefon. Aku tahu Papa bukan berani kalau aku cabar dia. Selalunya dengan aku, Papa pasti mengalah. Siapa pula yang nak melamar aku ni? Hati aku dah ada pada orang lain, kalau aku kahwin pun, dia tidak akan mampu untuk membahagiakan aku. Hanya seorang sahaja yang kini bertahta di hatiku kini. Orangnya mungkin sudah pun lupa tentang diriku. Dia mungkin sudah jauh di negara orang.
-----------------------------///---------------------------------
BILA aku berhenti di hadapan pintu pangsapuri, ada dua pasang kasut. Sepasang kasut lelaki dan sepasang kasut perempuan. Aku baru sampai dari butik Eid. Hari Ahad memang butik tutup. Semalam aku tidur di sana lagi. Pendek kata, setiap hujung minggu aku akan tidur di sana. Pagi tadi aku terus balik ke sini. Aku nampak Nadia dan Nizam sudah berdiri menungguku. Ula juga ada bersama-sama. Aku masuk ke bilik tanpa menghiraukan mereka semua. Aku penat buat kerja sepanjang minggu. Aku mahu berehat. Aku mahu tidur..
“Nad nak jumpa kau tu,” tegur Ula yang mengekoriku masuk ke dalam bilik.
“Apsal nak jumpa aku pulak. Bawa Nizam sekali tu. Sah nak declare depan aku.”
“Kau jumpa sajalah. Lagipun dah tiba masanya kau confront dengan mereka tu. Mereka datang tu adalah yang nak dibincangkan. Selain daripada tu, aku rasa mereka nak minta maaf dengan kau sebab rahsiakan hubungan mereka.”
Aku bangun dari katilku yang baru sekejap aku singgah.
“Yelah. Yelah. Kau ikut aku. Bukan pasal aku takut dengan mereka. Aku risau kalau aku tiba-tiba mengamuk, tak ada siapa pulak yang nak tenangkan aku.”
“Jom,” kata Ula sambil menolakku keluar dari bilik. Aku berjalan agak lembab hanya untuk melengahkan masa. Sambil itu aku berfikir bagaimana untuk aku menghadapi kedua-dua makhluk yang sedang berada di ruang tamu aku itu. sampai sahaja aku di situ, aku pandang sahaja kedua-dua mereka. Pandangan yang terakhir aku tujukan kepada Nadia. Aku tidak mahu mulakan bicara.
“Kami datang nak jumpa kau,” kata Nadia.
“Untuk apa?” aku tanya.
“Kami nak minta maaf dan nak minta izin?”
“Haaa? Nak minta maaf pasal apa?”
“Pasal aku dengan Nizam. Kami nak beritahu hal yang sebenar.”
“Rasanya tak perlulah. Aku dah tahu pun.”
“Dah tahu?” tanya Nadia. Nizam hanya diam. Tidak cakap sepatah kata pun. Takut kalau-kalau aku melenting agaknya.
“Bila?” soal Nad.
“Masa hari jadi Nizam,” balasku.
“Jadi, selama ni kau dah tahu pasal kami tapi kau tak beritahu pun dengan aku?”
“Buat apa aku nak bagi tau kau,” kali ni suara aku dah naik tahap tujuh per sepuluh. Tinggi. Aku tarik nafas panjang supaya tidak nampak yang aku sedang mengawal kemarahanku. Ula hanya duduk diam di belakang. Haram tidak tolong urut belakang aku. Kata tadi nak tenangkan aku.
“Sudahlah Nad. Aku malas nak cerita panjang. Aku nampak Nizam pun dah gila sangat dekat kau sampai dia sanggup buang aku. Dua tahun aku tunggu dia, tapi dia anggap aku ni boleh buat main-main. Aku tak kisah kalau dia dah tak mahukan aku. Susah sangat ke nak berterus terang dengan aku. Ini tidak. Curi-curi bercinta di belakang aku. Rasa macam aku kena tikam di belakang,” Pehh!! Hebat ayat aku. Biar mereka semakin bersalah.
“Kami tahu kami bersalah. Kami pun tak jangka yang kami boleh tertarik antara satu sama lain. Sedar-sedar perasaan kami berdua dah terlalu dalam. Kami datang hari ni sebab nak berterus terang dengan kau dan kami nak minta maaf.”
“Ok. Aku maafkan korang,” aku mula hendak masuk ke dalam bilikku semula.
“Nanti Chaya,” panggil Nadia. Aku paling sahaja.
“Kami akan bertunang. Kami datang nak jemput kau dan Ula.”
“Tengoklah. Bila?” kataku selamba padahal dalam hati membuak-buat rasa macam nak gila dengar mereka berdua hendak bertunang.
“Pertengahan Februari. Empat belas Februari sempena hari Valentine. Bukan aku nak sambut hari tu tapi senang nak ingat bila dah tua nanti. Kau datang ye Chaya.”
“InshaaAllah,” balasku dengan tenang. “Kalau tak ada apa-apa, aku nak rehat dulu. Satu malam aku tak tidur. Aku minta maaf kalau tak boleh layan korang. Ula ada di sini kalau kau nak lepak lagilah,” selamba sahaja aku masuk ke bilik dan menguncikan pintu. Sebaik sahaja aku berada di atas katil, aku tekup muka aku dengan bantal. Aku menangis sepuas-puas yang aku mahu.
MENJELANG petang Papaku telefon lagi. Dia tanya kenapa aku degil sangat. Keluarga yang mahu datang merisik aku sudah tiba di rumah kami. Mami Zan tengah melayan mereka. Kakak aku juga ada di situ. Aku kata aku tidak akan balik ke sana. Papa marah sungguh dengan perangai aku yang macam budak kecil. Mungkin aku tengah angin dengan kehadiran Nadia dan Nizam tadi, suara aku tinggi sedikit bila aku bantah cakap Papa. Sebelum Papa putuskan talian, Papa kata Papa akan terima sahaja pinangan kawan Uncle Omar itu. Biar padan dengan muka aku. Kalau jadi isteri orang, mungkin suami aku itu nanti boleh jinakkan aku yang suka melawan cakap orang tua. Aku cabar Papa sekali lagi tapi kali Papa putuskan panggilan. Menjerit aku di dalam bilik seorang diri. Aku dengar Ula mengetuk pintu. Aku buka dan aku ceritakan hal yang baru berlaku. Ula tepuk dahi sahaja.
Share this novel