“MACAM mana ni Aunty Elis? Erin masih belum sampai lagi ni?” aku panik. Aku tengok Aunty Elis pun gelabah juga. Mami Zan dan kakak-kakak aku pun nampak gelisah semacam. Ula sahaja yang tiada reaksi. Hanya melihat situasi sekeliling manakala Nadia pula hanya duduk di suatu sudut. Mungkin sedari tadi aku tidak layan bercakap dengannya. Permintaan Erin supaya kami bertiga berada di sini untuk majlis pertunangannya terpaksa aku tunaikan. Mahu atau tidak aku terpaksa berada di dalam bilik yang sama dengan Nadia. Buat masa ini, bukan hal aku dan Nadia yang aku fikirkan. Masalahnya, orang yang paling penting belum lagi muncul tiba. Ikutkan jadual asal, Erin akan tiba di KLIA kelmarin tetapi dua hari lepas Erin ada menelefon menyatakan pernerbangannya di tunda. Menurut kata Erin lagi, dia akan tiba pada hari pertunangannya dan mungkin akan terlewat sejam dua sahaja. Tetapi sekarang dia sudah pun lewat hampir tiga jam. Telefon dan mesej juga tidak berjawab. Aku tutup telefon buat kali ke berapa pun aku tak ingat bila panggilan sekali lagi masuk ke peti suara sambil aku gelengkan kepala kepada semua. Hampa. Semakin panik.
“Lah. Semuanya berkumpul di sini ke? Patutlah di luar tu macam ada yang kurang sahaja kaum perempuan. Jadi macam mana ni?” soal Uncle Omar yang tiba-tiba masuk ke dalam bilik. Agaknya dia hairan kenapa satu per satu kaum perempuan keluarganya menghilang. Rupa-rupanya semua bersembunyi di bilik Erin yang dihias indah ini.
“Itu yang kami tengah bincangkan. Erin belum sampai ni. Apa kita nak beritahu keluarga Ikram. Tadi kita dah minta mereka tunggu sejam, kemudian sejam lagi. Sekarang sudah tiga jam mereka menunggu. Kita suruh mereka makan dahulu sedangkan jamuan sepatutnya selepas kita berbincang. Apa kita nak buat ni,” aku dengar Aunty Elis mengadu kepada suaminya.
“Itulah yang abang nak beritahu. Keluarga Ikram sedia maklum tentang hal penerbangan Erin tu. Mereka minta suruh teruskan sahaja perbincangan. Ini bukannya majlis akad nikah. Kedua-dua bakal pengantin tak perlu pun ada di sini,” terang Uncle Omar.
“Tapi Uncle, Erin kata dia nak ambil gambar Mama Ikram sarungkan cincin ke jarinya. Itulah saat-saat yang dinanti-nantikan.”
Aku lihat Uncle Omar berfikir sejenak. Tiba-tiba dia memandang aku semacam sahaja. Kemudian dia berpaling kepada isterinya.
“Yang,” katanya kepada Aunty Elis dengan panggilan manja. “Kejap lagi Yang keluar jumpa dengan keluarga Ikram. Beritahu mereka yang kita akan teruskan majlis tanpa Erin seperti yang mereka cadangkan.”
Aunty Elis aku mengangguk dan terus bangun dari birai katil yang dia duduk sejak dari tadi lagi. Tiba-tiba dia berhenti.
“Hal sarung cincin tu macam mana abang?”
“Biar Chaya gantikan Erin?”
“Hah!??” Terkejut aku. “Tak naklah Uncle,” aku membantah.
“Uncle nak minta Chaya tolong Uncle kali ini sahaja? Takkan kita nak biarkan keluarga Ikram tunggu Erin. Dia lambat sangat ni. Chaya sajalah yang ganti dia. Bukannya Uncle nak Chaya ganti dia sampai ke akad nikah. Cuma untuk acara sarung cincin ini saja,” kata Uncle Omar. Sempat juga dia mengusik aku di saat-saat aku tengah panik begini.
“No, no Uncle. Nanti Chaya takut Erin kecil hati pula. Dia yang nak bertunang, Chaya pulak yang disarungkan cincin. Betul tak Ula?” Aku meminta pendapat Ula. Kalau ada orang yang kenal tentang Erin, orang seterusnya ialah Ula.
“Err..rasanya ok. Elok juga kalau Chaya yang ganti Uncle. Ula rasa Erin tak kisah kalau Chaya berkorban untuk dia sekali sekala,” kata Ula kepada seluruh keluarga di bilik. Dia senyum padaku. Aku harapkan dia boleh tolong aku. Ini tidak. Dia bersetuju pula dengan Uncle Omar.
“Aunty pun rasa Erin tak akan marah dengan Chaya. Apa yang Uncle Omar cakap tu betul. Chaya jadilah penyelamat Erin kali ini. Aunty rasa Erin akan berterima kasih dengan Chaya,” kata Aunty Elis dengan penuh harapan. Mungkin Aunty Elis berpendapat apa yang Uncle Omar katakan masuk akal juga.
“Boleh tak Chaya? Kesian dekat Aunty dengan Uncle,” kali ini Mami Zan pula bersuara.
“Chaya boleh tolong Uncle, tapi boleh tak kalau Chaya call Erin dahulu. Bincang dengan dia dahulu.”
Bila Uncle Omar angguk kepala, aku terus telefon Erin. Entah tiba-tiba talian berjaya disambungkan. Terhenti nafas seketika bila aku dapat dengar suara sepupuku itu.
“Chaya!! Oh Chaya! What to do?? What to do??” aku dengar suara Erin resah dan separa hendak menangis. Aku terangkan perlahan-lahan yang keluarga Ikram masih berada di rumah menunggu kehadirannya.
Aku dengar Erin bersyukur. Uncle Omar terus mengambil telefon pintar dari tanganku.
“Hi Sayang. Papa ni. Kenapa lambat?” Soal Uncle Omar. Dia diam mendengar penjelasan anaknya sambil menganggukan kepala beberapa kali.
“Begini sayang. Calm down and listen to apa Papa nak cakap..….” Aku dengar Uncle Omar menjelaskan situasi yang sedang berlaku.
“Sayang ok kalau Chaya ganti for just that?” Soalan Uncle buat semua diam.
Aku tidak meneruskan kata-kata. Hanya menanti balasan Erin walaupun aku dan seluruh warga di dalam bilik tidak dapat mendengar jawapan Erin. Suasana sunyi seketika seperti sama-sama menanti jawapan Erin. Uncle Omar mengangkat telefon dan menekan butang output suara. Uncle Omar ulang soalan buat kali kedua. Selang sesaat, Erin bersuara. Aku dengar dengan teliti. Bila kami tamatkan perbualan, aku lihat semuanya memandang aku.
“Erin setuju cadangan Papa. Chaya saja boleh ganti Erin. No one else! It’s ok. Erin faham. It is the best we can do for now. Erin minta maaf sebab lambat,” suara Erin teresak-esak menangis.
Mereka di situ menarik nafas yang panjang.
Uncle Omar cuba menenangkan Erin sebelum meletakkan talian.
“She cannot make it today. Masih di transit,” terang Uncle Omar.
“Kita teruskan ye Bang?” Soal Aunty Elis.
Uncle Omar angguk dan terus mengarahkan Kak Kasih untuk membantu aku untuk menggantikan Erin untuk upacara menyarungkan cincin.
“Nadia atau Ula, minta tolong cari mamat yang bawa kamera tu. Beritahu dia, bila ambil gambar masa wakil masuk bilik sarung cincin nanti, jangan ambil muka Chaya langsung. Lepas tu pesan pada dia, jangan balik selagi Erin belum sampai. Faham?”
Kak Kasih mengangguk manakala Nadia yang mempelawa diri untuk melaksanakan permintaan Uncle Omar yang kedua.
“Perlu juga ke uncle nak sarung cincin ni? Tak boleh ke postpone je atau nanti Erin balik, kita bawa je dia ke rumah dorang,” soalku yang tidak faham kenapa perlu aku ganti Erin semata-mata untuk acara sarung cincin ni. Bukan perkara wajib pun.
“Uncle pun cadangkan begitu juga Chaya, but it’s like the tradition of the family to put a ring on the finger of the family in this house. On the day itself.”
“Kalau begitu, sarung ke jari Aunty Elis je lah.”
Aunty Elis ketawa manakala Uncle Omar tersenyum hanya melihat aku yang resah semacam.
“Jari aunty ni pun tak muat nak masuk cincin tu,” kata Aunty Elis sambil menunjukkan jari kelingkingnya.
“Susah sangatlah kau ni. Bukannya kau yang nak bertunang. Kau berlakon sajalah. Tak sampai sepuluh minit pun kau nak serahkan jari kau tu.” Kak Suri menegur.
“Jangan risau uncle. Biar Suri pep talk Chaya and she will be ready in fifteen,” kata Kak Suri lagi. Uncle Omar angguk sahaja.
“Mari kita keluar, Yang,” ajak Uncle Omar kepada Aunty Elis. “Kita kena beritahu keluarga Ikram tentang plan terbaru ni.”
Sebaik sahaja semua yang berada di dalam bilik itu keluar, aku melihat ke arah Ula. Dia sudah siap memegang baju yang sepatutnya dipakai oleh Erin untuk majlis ini. Kakakku segera mengarahkan aku untuk menukar pakaian. Dengan rasa berat hati, aku buat seperti yang diarahkan.
Share this novel