Bab 15

Romance Completed 8896

PAGI-pagi lagi aku sudah bangun. Hari ini merupakan hari kedua aku di banglo mewah ini. Hari untuk aku mengambil alih tugas bibik yang tidak sempat aku kenali itu kerana dia akan berangkat pulang ke Jawa awal petang nanti. Kelmarin, Aunty Jah dan Umi mengajak aku berbual-bual sambil minum petang dengan mereka. Mereka suruh aku rehat sahaja dan jangan mulakan kerja dulu. Duduk dan berbual dengan mereka sahaja. Sampai ke lewat petang aku masih bersama-sama dengan mereka. Aunty Jah menerangkan kepadaku yang aku bukannya ke sini untuk mengambil alih tugas bibik. Sebaliknya, mereka hanya mahu aku menjaga rumah dan memastikan orang-orang yang diupah untuk melakukan kerja rumah dan orang yang menjaga Han melakukan tugas-tugas mereka. Dengan erti kata lain, jaga orang yang menjaga keperluan Han sepanjang ketiadaan mereka nanti.

Setiap hari akan ada pembantu yang datang mengemas rumah. Jadi aku tidak perlulah untuk susah-susah mengemas rumah. Lega juga aku kalau hal-hal mengemas dan lain-lain berkaitan rumah ini diambil alih oleh orang lain. Bukannya aku tidak boleh buat, cumanya, ini bukan rumah. Ini mahligai yang sebesar-besar aku pernah jumpa. Kalau menyapu, entah-entah dari pagi sampai ke petang, belum tentu aku boleh siap menyapu. Pak Mus pula menjadi peneman di malam hari. Betul juga jalan cerita sebegini. Mana boleh hanya aku dan Han berdua-duaan di waktu malam. Lain pula ceritanya nanti.
Aunty Jah juga menerangkan bahawa aku tidak perlu memasak kerana Pak Mus akan menghantar bekal tengahari sekaligus bekal malam setiap hari. Aku cuma masak nasi sahaja untuk makan tengahari dan malam. Selain itu, aku juga perlu menyediakan sarapan pagi. Menurut Aunty Jah, Han tidak banyak kerenah dalam hal makan. Kalau diberi roti dengan air milo pun dah cukup untuknya. Aku angguk sentiasa bila Aunty Jah memberi panduan penjagaan anak bujangnya. Sambil aku dengar cerita Aunty Jah, sambil itu juga aku makan mee goreng yang disediakan oleh Aunty Jah untuk sarapan pagi. Uncle Mi sudah pun selesai bersarapan pagi dan meninggalkan kami bertiga di meja makan sebentar tadi. Umi pula senang membaca. Aku terfikir akan bau yang kurang senang ketika masuk ke dalam bilik yang didiami Han. Mulut aku pun bukannya jenis tidak bertapis. Pantas sahaja aku bertanya.
“Sorry Aunty kalau Chaya nak tanya sikit. Aunty jangan kecil hati pulak. Han tak pernah mandi ke sepanjang dia sakit ni?”
Aku dengar bunyi buku diletak perlahan di atas meja. Takut pula soalan aku buat Aunty dan Umi berkecil hati.
“Bau busuk ye Chahaya?” Umi menyoal sambil tersenyum.
Aku angguk.
“Entahlah Chaya. Dia tak mahu bangun langsung kalau kami suruh mandi. Kalau nak buang yang kecil tu, dia pakai alat tu je. Kalau yang besar, pandai pulak kan, Mak?” Aunty Jah nampaknya membuat kenyataan sambil mengadu tentang Han.
“Tak lap badan langsung?” Aku tanya lagi.
“Kenapa? Chaya nak buat ke?” soal Umi.
“Er…er..mana boleh Umi. Haram,” balasku.

“Eh, bolehlah Chaya. Kalau niat Chaya jadi seperti jururawat atau doktor, diharuskan. Tapi kalau Chaya ada niat lain, itu barulah harammmmm,” balas Umi sambil tersenyum.
“Tak apalah Umi. Chaya tanya saja. Lagipun, itu yang kakak Chaya pesan. Kalau susah nak mandi, lap saja badan. Kalau macam tu, pesakit pun segar setiap hari. Takut nanti berjangkit kuman atau apa ke.”
Aunty Jah ketawa.
“Dia lap,” terang Aunty Jah. “Dia buat sendiri. Cuma macam payah nak masuk mandi. Kalau kecemasan dia gagah seorang diri. Nak tunjuk yang dia boleh buat sorang diri. Ada sekali dia terjatuh dalam bilik air. Uncle Mi bagi ceramah, merajuk satu hari tak nak bercakap dengan kami.”

“Mungkin bila dia rasa kurang selesa nanti baru dia fikir nak mandi, Aunty,” aku mencelah.
“Han dah biasa mengembara Chaya. Masa dia kecil-kecil, dia memang suka aktiviti lasak dan berkhemah. Kami ingatkan bila dia besar dia akan masuk ke Universiti bila dapat keputusan yang baik. Rupa-rupanya, dia lebih suka mengembara. Bila kawan sebaya dia dapat tawaran untuk sambung belajar, dia pula dapat tawaran jadi pembantu penyelidikan di Lahad Datu. Setahun dia di sana. Lepas tu dia balik ke sini semula. Sejak dari hari itu, dia akan berada di sini beberapa bulan dan kemudian dia akan ke luar negara. Bukan bekerja, tapi mengembara. Katanya dia nak tengok negara orang. Banyak ilmu yang dia boleh dapat daripada belajar di universiti. Mula-mula Aunty dengan Uncle tak kisah. Mungkin dia masih muda. Sekarang rasanya kalau boleh kami nak tengok dia settle down.”
“Aunty dah slow talk dengan dia tak?”
“Mmm..berbuih mulut, Chaya. Bukan dia nak dengar. Lagi lama dia keluar merantau tu adalah.”
“Mungkin dia belum dapat apa yang dia nak agaknya Aunty. Mungkin bila dia dah puas merantau betul-betul, dia akan settle down akhirnya,” entah kenapa aku dengan tak semena-mena membela Han. Mungkin aku dapat rasakan keinginan Han merantau sama seperti keinginan aku suatu ketika dahulu. Aku juga ingin merantau tetapi selalu aku tunda keinginan aku itu. Apatah lagi ketika bercinta dengan Nizam, langsung aku kuburkan hasrat hatiku itu.
“Chaya rasa macam tu ke?”
“Ada orang yang suka ikut peraturan Aunty. Ada orang yang menyimpang dari laluan kebiasaan hanya untuk mendapat kelainan dalam hidup. Contohnya macam Chaya ni Aunty. Kalau orang lain, mungkin mereka terus bekerja di tempat kerja Chaya dulu tu. Kerja tetap dan gaji pun kira ok jer. Mungkin kalau Chaya di sana tiga empat tahun lagi, Chaya boleh naik pangkat. Itu yang semua orang mahukan. Kestabilan dalam hidup. Bila Chaya berhenti, keluarga Chaya ada yang tak setuju tapi bila Chaya beritahu yang Chaya tak suka kerja begitu dan Chaya teringin nak cuba benda lain, mereka biarkan sahaja. Chaya tahu suatu hari nanti Chaya tahu apa yang Chaya nak sebenarnya. Bila tiba hari itu, pasti Chaya tak akan rasa menyesal sebab Chaya dah buat apa yang Chaya nak,” jelasku.
“Chaya rasa Han pun mungkin akan berubah. Dah tak keluar mengembara suatu hari nanti?” Umi bertanya kepadaku.
“Chaya tak kenal cucu Umi. Chaya kata kalau dia dah puas nanti atau ada sesuatu yang boleh buat dia berubah, mungkin dia akan berubah,” kataku.
Umi dan Aunty Jah mengangguk
“Soalannya, bila?” aku menambah sambil ketawa kecil.

“Itu yang Aunty dah lama tunggu tu Chaya,” adu Aunty Jah kepadaku.
“Tak apalah Aunty. Orang boleh berubah Aunty. Haa…nanti bila Aunty ke Tanah Suci, Aunty di sana. Mana tu? Hah. Kawasan yang ada karpet hijau tu. Chaya tak ingatlah tapi Aunty doa di situ. Mana tahu Allah dengar permintaan Aunty,” balasku.

“Tahu juga Chahaya hal karpet hijau tu ye?” tanya Umi.

“Ingat-ingat lupalah Umi. Arwah Tok Mi Chaya pernah bercerita pasal tempat tu. Katanya masa ke Mekah dulu dia sempat juga berdoa di situ supaya cucu-cucu dia jadi wanita muslimah, perempuan solehah. Kakak-kakak Chaya semuanya dah berhijrah. Chaya seorang yang liat sikit. Tak tahulah Aunty, Umi. Hati ni keras juga rasanya,” kataku berseloroh. Memang aku tahu haram dan halal. Pasal solat, aku cuba sebaik mungkin untuk menjaga lima waktu, tetapi hal bertudung, aku memang payah sedikit. Nak kata belum sampai seru, itu alasan sahaja sebab aku memang tahu kewajipan itu. Seperti tahu apa yang aku fikirkan, Umi katakan sesuatu yang buat aku rasa senang sekali.

“Nanti Umi cuba pijak karpet hijau tu untuk doakan Chaya.”

Aku ucapkan terima kasih atas ingatan Umi kepadaku di saat itu.

“Chaya nak Aunty doakan supaya Chaya bertemu jodoh tak?” Aunty Jah pula bertanyakan kepadaku.

“Tak payahlah Aunty. Dah berapa kali Chaya frust. Chaya pun give up juga. Dua tiga kali Chaya pasang line dan taruh harapan, kena tinggal juga,” kataku.

“Itu Chaya yang pasang line. Nanti Aunty doakan jodoh Chaya pula yang pasangkan line tu. Chaya tunggu je line tu mengena Chaya.”

Aku ketawa.

“Kalau macam tu, doa-doa yang handsome ye Aunty”

“Aunty doakan, tapi kalau jodoh tu macam orang utan, macam mana?”

Aku terkedu seketika.

------//-----

“NANTI Chaya tolong hantarkan makanan tu pada Han. Aunty kena pergi sekarang ni,” pesan Aunty Jah seraya mengambil tas tangannya. Aku sempat bersalaman sebagai tanda hormat. Aku melihat Aunty Jah masuk ke dalam kereta mengambil tempat di sebelah Uncle Mi, manakala aku lihat bibik duduk di depan di sebelah Pak Mus. Bibik melambaiku. Amboi, seronok bibik mau balik kampung. Majikan beri cuti selama dua bulan. Aku ada tanya tadi kalau-kalau Aunty Jah tidak risau kalau bibik tidak kembali sebab lama bercuti. Aunty Jah jelaskan, ini bukanlah kali pertama bibik balik. Bibik sudah lebih lima tahun bekerja dengannya dan nampaknya inilah bibik yang amanah Aunty Jah pernah dapat. Setiap tahun bila dihantar balik, dia pasti akan kembali semula ke sini. Aku rasa bibik tu mungkin selesa berada di sini. Aunty dan Umi melayannya dengan baik. Malah bilik bibik yang kukunjung ketika memanggilnya bagi pihak Aunty Jah sebentar tadi sebesar bilik di apartment aku.
Umi turut melambai kepada bibik di sebelahku. Aku menolak dan menutup pintu utama dengan rapat. Bila aku beralih, aku lihat Umi sudah mendaki anak tangga. Aku berdiri di kaki tangga memandang Umi yang sudah hampir sampai ke atas.
“Umi nak masuk bilik ke?” soalku.
“Umi nak tengok barang-barang yang Umi bawa masa ke Mekah dulu. Ntah cukup ke tidak pasal dua tiga hari ni Uncle Mi kamu tu nak ajak membeli belah apa yang patut.”
“Saya bawa nasi ke bilik Han sekarang ye Umi?”
“Yelah Chaya. Jangan mengalah kalau dia mengamuk. Apa pun dia kena makan juga.”
“Baiklah Umi.”

Aku tengok Umi laju saja masuk ke biliknya. Ingatkan tadi boleh ajak Umi temankan aku ke bilik Han. Nampak gayanya aku kena juga bersemuka dengan lelaki itu sendirian. Aku terus ke dapur. Atas kaunter di tengah-tengah dapur, aku dapat melihat hidangan sudah pun ada di bawah tudung saji yang berenda dan berhias bunga. Aku buka tudung saji dan lihat ada satu mangkuk kosong dan dua jenis lauk. Mangkuk kosong. Aku tengok sekeliling dapur yang gah itu. Mencari periuk nasi. Dapur kering yang bertemakan ala-ala Inggeris yang elegan berkayu cerah kelihatan rapi dan tersusun. Mana dia periuk nasi yang bakal menjadi sahabat baik aku nanti. Mata melilau sekeliling dapur. Akhirnya aku nampak periuk berdekatan cerek air. Sekali pandang aku tahu periuk elektrik aluminium berjenama itu bukan calang-calang periuk nasi. Canggih periuk nasi sebegini. Aku tengok punat yang pelbagai untuk tema masakan. Buat bubur pun senang.
Merata aku buka laci dapur untuk mencari senduk. Akhirnya, kutemui jua. Aku buka periuk nasi dan cedok tiga senduk. Agak-agak cukup untuk Han. Kalau untuk aku mungkin terlebih diet makan tiga senduk, tapi untuk Han, mungkin sesuai untuk keperluan tubuh badannya yang seingat aku agak sasa itu. Aku tengok mangkuk dan lauk pauk dua jenis di atas dulang dan rasanya aku tidak perlu bawa air kerana seingat aku juga ada bekas dan gelas air di bilik itu. Puas dengan penyediaan makan tengahari itu, aku mengangkat dulang menuju ke bilik Han.
Sepanjang beberapa puluh langkah ke bilik itu, aku buat persediaan mental untuk bersemuka dengan Han sekali lagi. Kalau ikutkan hati, aku harap sangat aku tidak perlu berjumpa dengannya. Tugas aku kelak ialah menjaga rumah dan bukan untuk menjaga dia. Namun, aku tahu yang aku tidak boleh lari daripada bertemu dengannya kerana dia adalah penghuni rumah ini. Aku buat keputusan tidak akan menggunakan sebarang kekerasan ke atas pesakit itu. Orang seperti Han perlu dilayan dengan cara diplomasi. Lagi pun, kalau dia tidak suka dengan kehadiran aku, dia bukannya boleh hentam aku dengan kaki atau tangannya. Aku pasti mulutnya sahaja yang akan melepaskan laser kepada aku. Tunggu dan lihat.
Belum pun melangkah masuk ke dalam bilik, bau busuk hancing menusuk ke lubang hidungku. Aduh! Rasa loya anak tekak aku. Terdetik sesuatu di hatiku. Tak mungkin dia laksanakan solat dalam keadaan seperti ini? Sah ke tidak? Aku memang pantang kalau hidup dalam keadaan kotor. Kalau kurang terurus tiada masalah asalkan menjaga kebersihan. Terus aku rasa nak buat sesuatu.Walaupun aku mungkin menumpang untuk membantu keluarga ini, aku tak mahu buat tak kisah saja. Aku tak mahu pejam celik pejam celik tak buat apa-apa dari keluarga ini pergi mekah sampai mereka balik kembali. Memang aku tak boleh mengelak. Aku ada caraku sendiri. Aku buka pintu pintu dan masuk. Pintu kubiarkan terbuka sedikit. Biar keluar bau yang kurang nyaman. Kedengaran televisyen menyiarkan rancangan sukan. Mungkin bolasepak.
“Assalamualaikum,” aku mulakan ayat. Kalau tak jawab berdosa, tambahku di dalam hati. Memang sah lelaki ini keras hati. Salam aku pun dia buat tidak layan. Aku masuk dengan tenang. Kalau panik, lagilah aku tercium bau yang busuk itu.
“Encik Sharhan,” tegurku. Encik ialah panggilan tanda hormat. Kira aku hormat lelaki itu. Lagi pun, aku anggap aku sedang bekerja menjaga keperluan dia.
“Saya bawakan makanan untuk Encik Sharhan,” sambungku lagi sambil meletakkan makanan di meja di sebelahnya. Dia diam sahaja. Matanya terus memandang kaca televisyen yang aku rasa diletakkan di bilik itu semata-mata untuk menghiburkannya. Aku biarkan sahaja dia dengan karenahnya. Aku mencari alat kawalan penghawa dingin tetapi tidak berjumpa. Aku berjalan menuju ke tingkap kaca yang terdekat. Aku singkap langsir dan buka tingkap itu. Aku dengar televisyen ditutup. Aku tunggu sahaja.
“Hoi pompuan. Siapa kata kau boleh buka tingkap tu?”
Aku buat tak tahu saja. Aku ke tingkap seterusnya dan buat perkara yang sama. Lantaklah kalau kau nak marah atau tengking aku. Kalau bab pekakkan telinga ketika kena marah cikgu sekolah menengah, akulah juara. Ula nombor dua.
“Hoi pompuan!”
Tung!
Aku rasa sakit betul belakang kepala. Aku raba-raba kepalaku sambil melihat apa yang mengena kepalaku itu. Terjegil anak mataku bila kulihat barang yang telah hinggap di kepalaku sebentar tadi. Kali ini aku tengok Han. Lelaki itu buat muka seperti orang hendak bergaduh. Aku lihat balik perkakasan yang berada tidak jauh dari kakiku. Celaka punya jantan. Ada ke patut dia balik kepala aku pakai barang untuk dia buang air kecil. Nasib baik tidak ada cecair kuning yang hinggap di rambutku, kalau tidak aku pasti menyeringai seperti singa. Pergi jahanam diplomatik. Melampau betul.
Aku cuba bertenang. Aku biar sahaja perkakasan itu di tempat ia jatuh. Aku teruskan membuka tingkap ketiga dan terakhir. Pada masa yang sama, aku tengok juga kalau lelaki itu mencapai sesuatu untuk dia baling kepadaku. Muka dia memang nampak geram. Ada alat kawalan Astro di tangannya. Dalam hati, aku kata kalau berani, balinglah.
“Tutup balik tingkap tu. Kenapa nak bukak?”
“Saya buka pasal nak dapat udara segar Encik Sharhan. Kalau lima minit lagi saya di sini, bukan saya seorang saja boleh dapat asma, lipas atau cicak yang bersembunyi pun boleh mati akibat pencemaran udara.”
“Dammit! Perempuan tak faham bahasa ke?. Aku kata tutup tingkap tu balik!”
Aku buat muka samseng aku. Ingat aku takut sangat dengan dia. Kaki pun kena simen sampai ke paha. Tangan pun tak boleh pakai. Betul kata Umi, Han bukan boleh apa-apakan aku. Melilau aku cari alat kawalan penghawa dingin sekali lagi. Aku jumpa dekat dengan meja di sebelah katil. Aku pergi dekat dengannya. Mak oiii! Busuknya. Kalau macam ni, entah-entah luka dia pun boleh terkena jangkitan kuman. Aku tidak fikir panjang, aku rampas alat kawalan itu dengan pantas lalu menutup penghawa dingin. Aku bergerak cepat untuk memetik suis kipas angin.
Mata aku bertembung mata Sharhan. Aku senyum bangga. Dia kecilkan matanya seolah-olah geram kerana kalah dengan aku. Kemudian dia senyum padaku. Aku musykil pula bila dia senyum sebegitu.
“Aku nak makan,” katanya sambil menunjuk dulang yang kuletak tadi.
Aku pergi mendapatkan dulang itu dan meletakkan di atas meja kecil sebelahnya. Meja itu aku tarik dekat kepadanya. Kira meja itu bertembung katilnya.
“Mana sudu?” katanya.
Ya tak ya juga. Aku lupa untuk bawa sudu. Macam mana dia mahu makan? Tangan kanan dibalut. Kalau makan dengan tangan kiri, kurang sesuai. Aku minta diri sekejap dan pergi untuk mendapatkan sudu.
“Nah, sudu,” kataku sekembali dari dapur sambil meletakkan sudu itu ke dalam mangkuk yang berisi nasi tadi. Aku tercungap-cungap juga kerana pantas bergerak untuk mendapatkan sudu sebentar tadi. Dalam rumah sebesar ini, jauh perjalanan ke dapur. Bila aku lihat dia tidak makan, aku soal dia semula.
“Ada lagi ke yang Encik Sharhan nak?”
“Aku nak makan.”

“Kan saya dah bagi sudu.”
Han senyum sahaja. Senyuman yang sinis.
“Tangan kanan aku patah. Tangan kiri aku luka.”
Dia tunjukkan tapak tangannya yang sememangnya luka kecuali jari jemarinya.
“Awak nak suruh saya suap ke?” tanyaku yang terkejut. Sampai hilang gelaran Encik Sharhan aku kepadanya. Tak mungkin selama ni makan dia disuap? Kata boleh buat sendiri.
“Habis, kau nak suruh aku suap sendiri?”
Aku cuba cari alasan.
“Tapi tadi awak baling saya dengan bende tu boleh saja. Nak makan, tak boleh pulak.”
“Aku geram sangat. Sekarang aku sakit sebab baling barang tu.”
“Padan muka!” balasku.
“Cepat! Aku nak makanlah.”
Aku garu belakang leherku yang tiba-tiba terasa gatal. Macam mana ni. Nak kena suap ke? Aku tengok nasi dalam mangkuk. Kalau aku angkat kaki, nanti Aunty Jah dengan Umi kecewa dengan aku. Kalau Papa tahu, papa pun mesti kecewa dan marah padaku. Aku angkat sudu. Sabar Chaya, sabar. Aku memberi semangat kepada diriku sendiri.
“Awak nak saya campur dengan lauk mana? Dua-dua ke?” tanyaku. Ada lauk ayam goreng halia dan sayur campur.
“Aku nak nasi dengan ayam saja,” katanya.
Sambil berdiri, aku pun menguis ayam sedikit dengan sudu dan gaul dengan nasi. Aku tadah di bawah camca dengan tapak tangan kiriku takut kalau nasi terjatuh, tidak mahu mengotorkan kawasan yang sememangnya kurang bersih itu. Cadar pun sudah nampak macam setahun tidak bertukar.
Aku dekatkan sudu berisi nasi dan ayam ke mulutnya yang serabai berjambang itu. Han hanya tersenyum. Dia tidak langsung membuka mulutnya,. Lama juga aku pegang dan tadah sudu.
“Cepatlah! Kata nak makan tadi,” aku mula hilang kesabaran.
Han melihatku dengan pandangan tajam. Sekali lagi. Dia membuka mulut dan makan makanan di sudu. Aku rasa semacam sahaja bila dia makan dari sudu itu. Aku dengar dia mengunyah. Entah kenapa aku tidak berani memandangnya. Aku segera mengambil nasi dan ayam sama seperti sebelumnya. Aku buat perkara yang sama. Han buat perkara yang sama. Nafasku sudah mula seakan tersekat. Bukan sebab bau busuk atau apa. Cuma perbuatan aku menyuap dan dia makan dari suapan seperti terlalu peribadi. Aku cuba kosongkan minda supaya tidak fikir yang bukan-bukan. Hanya satu perkara sahaja yang aku boleh bayangkan. Aku menyuap Mika. Bila aku buat seperti itu, barulah aku rasa selesa menyuap Han. Aku bangga kerana berjaya melepasi halangan ini. Hampir beberapa minit juga aku tempuh halangan itu. Nasi yang tiga senduk pun beransur tinggal sedikit lagi.
“So, adik kau yang rosakkan motor aku?” soal Han sambil mengunyah nasi. Kalau aku tengok mulutnya yang berjambang mengunyah, aku dapat bayangkan yang aku loya.
“Saya minta maaf. Adik saya tak sengaja,” balasku.
“Kau tahu aku bawa motor jenis apa?”
Aku geleng kepala
“Kalau awak nak kami bayar gantirugi, kami akan bayar. Sebut berapa harganya?”
“Kau mampu ke? Entah gaji bapak kau setahun pun belum tentu boleh bayar. ”
“InshaaAllah. Kalau setakat motor tu, kami sekeluarga mampu nak bayar,” aku balas dengan yakin sekali. Ingat Papa sengkek tak ada duit ke?
Han kelihatan tersenyum sinis lagi.
“Kenapa kau terima nak jaga aku?”
“Saya tak jaga awak. Saya jaga rumah awak ni saja. Saya buat sebab terpaksa dan amanah keluarga. Kalau boleh saya tak ingin pun.” aku berterus terang. Biar dia tahu keadaan aku.
“Aku pun tak ingin kau ada di sini. Kau berani ke duduk berduaan dengan aku nanti? Tak takut ke?” kata Han cuba untuk menakutkan aku.
“Nak takut apa pula? Bukan saya seorang saja di sini. Hari-hari ada orang lain. Lagipun, awak bukan boleh buat apa-apa dalam keadaan macam ni. Kalau pun awak nak kenakan saya, ingat lagi masa di Cherating dulu? Kalau awak berani buat something, saya nak awak ingat time awak kena dengan saya masa tu,” aku balas dengan sungguh yakin.
Han hanya memandangku.
“Aku nak minum,” katanya tiba-tiba.
Aku bergegas bangun dan menuang air ke dalam gelas yang sedia ada di situ. Sambil berdiri, aku seperti menghulurkan gelas itu kepadanya. Baru aku sedar, air pun aku kena suapkan ke mulutnya. Nasib baik ketika itu otakku sedikit cerdas. Aku minta diri sekejap dan berlari keluar. Satu dapur aku cari dan akhirnya aku jumpa. Sampai di bilik aku masukkan straw ke dalam gelas dan aku hulurkan ke mulutnya. Nampak sangat mukanya yang kurang puas hati. Baru kau tahu siapa aku.
“Nak lagi tak nasi?” soalku
“Dah. Aku dah kenyang. Kau tutup balik tingkap tu. Lepas tu kau buka balik aircon.”
“Nantilah saya buat. Biar udara segar ni masuk ke sini sikit,” kataku sambil mengambil dulang dan bergerak keluar dari bilik itu. Aku dengar keluhan dan jeritan memanggil aku. Perempuan gila dalam bahasa Inggeris.

------//----------------

“AUNTY tak percaya Chaya buat macam tu pada Han. Mengamuk dia tadi masa Aunty jumpa dia.”
“Chaya bukan buat apa pun. Buka tingkap bagi udara segar masuk sikit je. Chaya minta maaf kalau Aunty tak setuju ke Chaya buat macam tu.”
Aku berdebar-debar berdepan dengan Aunty Jah tapi aku faham yang semua mak mesti lebihkan anak dari orang luar. Aku bersedia sahaja kalau kena marah.
“Bukan tak suka. Aunty ni seronok sangat Chaya. Ada orang yang boleh kenakan Han,” tiba-tiba Uncle Mi menyampuk perbualan kami di balkoni yang terletak di bahagian belakang tangga utama. Ia sebuah balkoni besar yang mengadap kawasan taman di bahagian bawah. Aunty Jah mengajak aku minum teh panas sebelum masuk tidur.
“Sorrylah Aunty kalau Aunty tak suka cara Chaya tu. Chaya memang ikhlas datang sini tapi Chaya memang kurang selesa dengan bau di bilik tu,” itu belum lagi aku cerita bab aku kena baling dengan perkakas istimewa itu.
“Eh, Chaya jangan kecil hati pulak. Aunty setuju sangat Chaya buat macam tu. Han anak Aunty. Tentulah hati Aunty lembut. Semuanya nak ikut kata Han saja.”
“Chaya nak buat apa pun ikut Chayalah. Uncle Mi bagi kebenaran. Kalau Chaya nak jirus air atas Han pun Uncle Mi setuju. Budak tu susah sangat nak mandi. Asyik pakai pengelap hospital tu saja. Mana cukup satu badan. Saya sendiri pun tak tahan bau badan dia, Jah.”
“Abang tu bapanya. Abang tolonglah mandikan dia.”
“Abang ingat kita kena keraskan hati sikit macam Chaya ni. Abang ingat esok abang nak ajak Mus kerjakan budak tu sikit.”
“Abang nak buat apa?”
“Abang nak mandikan dia.”
“Tak risau dia mengamuk?”
“Kalau Chaya boleh kerjakan dia tadi, takkan kita mak bapak dia tak boleh buat?”
“Eloklah tu Mi,” Umi pula bersuara. “Alang-alang kau mandikan dia, kami boleh tukar cadar dengan bantal dia tu nanti. Aku ingat buang saja bantal yang dia pakai sekarang.

“Buang dalam tong sampah mak. Jangan pula baling ke kolam jiran sebelah. Kalau baling ke situ, mati pula ikan-ikan koi tu semua,” Uncle Mi cuba berjenaka. Menjadi juga Datuk Sri seorang ini buat lawak. Hebat juga aku duduk dengan Datuk Sri dan Datin Sri. Datuk atau Datin ke, Uncle Mi dan Aunty Jah sungguh bersahaja. Aku memang suka dengan manusia seperti mereka. Ada pangkat dan harta tetapi cara mereka bersederhana dan tidak menunjuk-nunjuk langsung. Malah banglo yang tersergam indah ini pun nampak sesuai mata memandang dan tidaklah gah yang teramat sangat seperti ada sesetengah banglo mewah.

“Bila kita nak buat operasi ni bang?”

“Esok sebelum kita keluar membeli barang keperluan. Mus datang saja, kita buat projek tu.”
Aunty Jah mengangguk tanda bersetuju.

“Esok Chaya kena bersedia lebih sikit dengan Han. Dia tentu naik angin lepas kami mandikan dia. Esok kami nak keluar cari barang sikit. Aunty nak aje bawa Chaya tapi nanti siapa pula nak jaga Han.”

“Lah, Aunty jangan risau. Aunty shoppinglah sepuas hati.”

“Ada satu perkara lagi, Chaya. Dalam tiga minggu ni sebelum kami berangkat ke sana, kami mungkin tak selalu akan berada di rumah. Kami ada majlis dan sebagainya. Lepas tu, minggu depan, kami buat majlis kesyukuran di rumah adik Uncle Mi sebelum berangkat. Chaya kenal adik Uncle Mi. Bapa Ikram. Dia dan isterinya pun nanti pergi sama-sama buat Haji. Kalau ikutkan, kami nak buat di sini sebab Umi ada di sini, tapi takut ganggu Sharhan. Selepas kami sekeluarga berbincang, apa-apa sahaja aktiviti, kami buat saja rumah bapa Ikram termasuklah berkumpul sehari sebelum kami berangkat nanti. Tapi Chaya jangan risau. Aunty dah minta Pak Mus temankan di sini kalau kami tak ada,” jelas Aunty Jah.
Aku angguk. Faham situasi keluarga itu.
----//-----
AKU rasa sukar untuk menahan ketawa apabila mendengar segala rungutan dan laungan marah Han bila Uncle Mi dan Pak Mus mengangkatnya masuk ke dalam bilik air untuk dimandikan. Aku juga dengar suara Uncle Mi memarahi anaknya itu. Sama-sama naik suara. Aunty Jah sibuk menyarung kain cadar yang baru. Aku turut membantu supaya kerjanya siap cepat. Umi hanya duduk di kerusi malas sambil melihat kami membuat kerja. Sekali sekala dia menyampuk dari luar menyuruh Han diam sahaja.
Aku mengambil bakul berisi cadar kotor itu keluar dari bilik setelah aku tanya Aunty Jah kalau dia mahu aku tolong masukkan ke dalam mesin basuh. Aunty Jah angguk setuju. Melihat cara Han mengamuk, aku agak dia mungkin anak manja keluarga itu. Maklumlah, antara ketiga-tiga anak Aunty Jah, dia seorang yang masih bujang. Seingat aku ketika di Cherating, banyak kali aku dengar Han ialah cucu kesayangan Umi. Pasti dia mendapat perhatian yang lebih daripada saudara mara yang lain. Kalau begitu ceritanya, memang sah dia terlalu dimanjakan. Selalunya budak yang manja sebegini semuanya boleh dapat.Jenis yang terlebih kasih sayang.
Aku menekan butang mesin pembasuh. Aku juga perlu buat cucian kain baju aku esok kerana stok baju yang kupakai juga tinggal sedikit. Aku bawa baju-baju yang kurasakan sesuai untuk di pakai di rumah ini. Kebanyakannya baju kemeja labuh berpetak-petak yang selalu aku pakai bila keluar dan beberapa helai T-shirt. Semuanya aku padankan dengan beberapa seluar atau pun seluar yang biasa orang gunakan untuk senaman yoga atau pilates. Sememangnya pakaian sebegitu selesa tetapi kalau selalu berpakaian begitu, tidaklah menarik untuk keluar dengan teman lelaki. Patutlah teman lelaki aku lari.
Aku menghampiri bilik Han. Dia masih di dalam bilik air tetapi suara marah-marah sama ada miliknya atau pun milik Uncle Mi sudah tidak kedengaran. Mungkin dia sudah pasrah dimandikan bapanya. Kalau terus menerus marah pun, bukannya dia boleh bertindak melawan dalam keadaan separa kekurangan begitu. Aku lihat tempat tidurnya pun sudah nampak elok tersedia. Aunty Jah berada di ambang pintu bilik air melihat keadaan anaknya di dalam. Aku bertanya kalau dia mahu aku buat sesuatu lagi.
“Kalau Chaya nak. Boleh buatkan oren jus untuk kami semua. Letak di ruang tamu.”
“Boleh Aunty,” balasku.

“Buat sejuk-sejuk ye.”
Aku angguk. Ketika aku melangkah pergi, aku perasan Umi mengekoriku.
“Teruk sangat ke dia nak mandi tu Umi,” soalku
“Hmm…mengalahkan kambing kena jirus sebelum kena korban Chahaya. Kalau kambing pun sekali jirus je kemudian diam,” Umi ketawa. Aku turut ketawa.
Kami ke dapur bersama-sama. Umi tunjukkan aku di mana pati oren, gula, jug dan sebagainya. Aku keluarkan jug dan enam biji gelas kristal seperti yang disuruh. Aku angkat setiap gelas dengan berhati-hati. Takut aku kalau gelas jatuh. Pada pendapat aku, kristal seberat begini memang mahal harganya. Aku bancuh jus di dalam bekas plastik dan kemudiannya aku tuang sedikit ke dalam gelas untuk Umi rasa. Manalah tahu terkurang manis atau terlebih manis ke. Anak dara yang bancuhlah katakan. Manalah biasa dengan citarasa tuan punya rumah. Umi menyuruh aku menambah sedikit lagi gula. Katanya kurang manis. Aku pun masukkan sesudu dua dalam mug dan tuang air panas lalu dicampurkan ke dalam jus tadi. Selepas kacau dan masukkan kiub ais, aku letak semuanya dalam dulang. Aku bawa dengan penuh sopan sehingga ke ruang tamu. Aunty Jah sudah pun berada di situ.
“Jemput minum Aunty, Umi,” kataku sambil menuang jus ke dalam gelas kristal.
“Nanti kejap ye Chaya. Aunty tunggu Uncle Mi. Dia basah lencun tadi mandikan si Han. Pak Mus pun basah juga. Nasib baik abang Mi dah pesan awal-awal suruh dia bawa baju salin.”
“Han macam mana?” Umi tanya Aunty Jah tentang drama yang berlaku setelah ikut aku ke dapur tadi.
“Tengah rehat dan tengah bengang. Habis Abang Mi kerjakan dia.”
Sejurus kemudian, Pak Mus keluar dari laluan ke bilik Han dengan pakaian yang kering sambil memegang beg plastik yang mungkin berisi pakaian basah. Selang seminit Uncle Mi pula turun menyertai kami. Perbualan mereka berkisar kejadian sebentar tadi. Aunty Jah seperti menegur suaminya supaya lebih lembut sedikit dengan anak mereka itu.
“Nak lembut macam mana Jah. Abang angkat dia pun aku nak termuntah. Busuk sangat anak Jah tu. Abang dah tua benar. Masa pegang dia tadi rasa macam peluk dia masa berkhatan dulu. Kalau dulu bolehlah doktor cadangkan kita bius saja dia sampai tertidur. Ini perkara mudah macam ni pun susah. Nanti kita carikan dia kerusi roda supaya senang sikit dia nak bergerak,” kata Uncle Mi panjang lebar sungguh.
“Elok juga kau beli kerusi roda. Boleh juga dia keluar dari bilik tu,” tambah Umi.
“Chaya tolong tengok-tengokkan Han petang nanti. Kami nak keluar beli barang sikit. Mungkin balik lepas Isyak sebab kami nak singgah rumah keluarga Ikram,” jelas Aunty Jah.
“Mus ada di sini lepas Maghrib. Kalau ada apa-apa, telefon Uncle,” tambah Uncle Mi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience