Sebagai pembantu peribadi, Erin minta aku pergi ke resort keluarga Ikram di Cherating bagi memastikan persediaan tempat untuk majlis akad nikah berjalan lancar walaupun aku tiada kaitan dalam hal penyediaan majlis tersebut. Seronok juga menjadi pembantu sepupu aku ini. Tiga hari sebelum majlis berlangsung, aku naik kapal terbang ke Kuantan. Sampai sahaja di lapangan terbang Kuantan, sudah ada kereta keluarga Ikram yang menunggu. Hampir sejam perjalanan, aku pun sampai ke resort peribadi milik keluarga Ikram yang berada di hujung sebuah persisiran pantai. Menurut kata Pak Musa yang merupakan pemandu kepada bapa saudara Ikram yang mengambil aku tadi, resort ini diuruskan oleh anak perempuan bapa saudara Ikram. Resort yang cuma kalau dinilai bertarafkan tiga bintang itu pada asalnya hanya dibuka untuk ahli keluarga, sanak saudara dan rakan-rakan mereka sahaja pada mulanya. Kemudian, sejak sepupu Ikram mengambil alih lima tahun lalu, dia telah membesarkan resort dan membukanya kepada orang ramai.
Menurut kata Pak Musa sepupu Ikram itu yang bernama Nora mungkin sebaya atau tua setahun dua daripadaku. Terpegun aku bila mendengarnya. Muda-muda lagi sudah menguruskan resort. Hebat betul. Banyak juga aku menyoal Pak Musa tentang keluarga Ikram. Aku tanya lebih-lebih tentang nenek Ikram sebab aku mahu tahu tentang siapa dia sebenarnya. Pak Musa nampaknya seronok bercerita dengan aku sebab dia kata nenek Ikram memang digemari oleh semua lima pasang anak menantu dan kesemua lapan belas cucu dan tujuh orang cicitnya. Nenek Ikram tinggal dengan keluarga anak sulungnya di Kajang. Pak Musa sebut nama kawasan tempat tinggal itu. Aku tahu tempat itu hanya untuk para jutawan dan hartawan sahaja. Anak sulung Nenek Ikram ialah seorang pengarah kepada sebuah syarikat pelaburan hartanah. Gempar juga aku dengar cerita Pak Musa tentang kaum keluarga Ikram. Semuanya menjadi belaka. Untung sepupu aku kahwin dengan Ikram. Kalau Erin berhenti kerja pun, dia masih boleh bersenang lenang. Sebenarnya kalau tak kahwin dengan Ikram pun dia boleh bersenang lenang kerana bapa saudara aku pun kaya raya juga.
Sampainya aku di resort yang berdepan dengan pantai biru yang cukup indah itu, aku dihantar ke salah sebuah chalet berkembar paling dekat dengan bangunan lobi dan kafeteria resort. Pak Musa membantuku mengeluarkan sebuah beg troli besar dan sebuah beg troli kecil daripada MPV mewah yang berwarna putih itu. Beg besar itu mengandungi sebahagian kecil barang Erin manakala keperluan lain akan dihantar esok dan aku perlu ada di sini terlebih dahulu untuk menerima barang-barang tersebut. Aku ucapkan terima kasih kepada Pak Musa. Seronok berbual dengannya ketika duduk di kerusi penumpang bersebelahan walaupun Pak Musa minta aku duduk di belakang. Aku yang tidak mahu dan memilih untuk duduk di sebelahnya. Aku bukannya Cik Puan yang mahu berlagak besar.
Baru sahaja aku melangkah masuk ke chalet yang sudah pun dipasang penghawa dingin itu, ada seseorang menegur.
“Hi. Ini kawannya si Erin kan?” soal gadis yang berkaca mata tetapi nampak betul kecantikannya berasal dari keluarga Ikram. Aku angguk sahaja. Mungkin terpegun melihat kecomelan gadis yang tinggi lampai itu. Aku menyambut salamnya.
“I Nora, cousin Ikram. Selamat datang,” katanya lagi.
“Chaya….” Aku memperkenalkan diri.
“I tahu. Chahaya kan? I harap you suka bilik ni. Kalau ada apa-apa yang you perlukan, minta sahaja tau. Ikram pesan dengan I suruh jaga you baik-baik and that is what I am doing,” katanya tersenyum.
“So far saya tak perlu apa-apa. Rasa-rasanya semua dah ada,” kataku sambil melihat sekeliling bilik itu. Apa lagi yang aku perlukan. Bilik yang dihias serba serbi cantik. Malah katil kayu yang bercadar putih bersih itu mengundang aku untuk baring sahaja. Apatah lagi dengan deruan ombak yang kedengaran membuatkan aku ingin melelapkan mata seketika. Nora seperti tahu apa yang aku fikirkan bila dia bersuara.
“Kalau you penat, tidurlah. Sejam dua ke? Kalau nak, nanti I tolong kejutkan,” katanya.
“It’s ok Nora. Saya ni tengah bekerja. Kena uruskan juga beberapa perkara dahulu. Lepas tu barulah boleh bersuka ria.”
“Ish. Tak perlulah tergesa-gesa. Rehat dulu. Kalau nak minum atau makan petang, you datanglah ke kafeteria tu. I ada di sana. Lagi pun resort dah ditutup kepada orang ramai sehingga majlis akad nikah selesai. So, it's all family and you are part of this family too.”
Bila Nora cakap begitu. Aku pun terasa seperti ahli keluarga juga. Aku tanya satu soalan yang dari tadi ingin ku tanya.
“Nenek you ada tak?”
“Umi ke? Ada. Umi duduk di banglo di belakang lobi. You nak jumpa Umi ke. Kalau nak I boleh bawa you pergi sana sekarang.”
Aku berfikir sejenak.
“Tak apalah Nora. Biar saya rehat dahulu. Nanti saya cari you ok?”
Nora mengangguk dan meninggalkan aku di chalet itu. Selepas menutup pintu chalet, aku terus terkam tilam. Arghhh…nikmatnya dapat baring seketika. Penat betul badan aku ini. Aku pejamkan mata buat seketika.
PERLAHAN-LAHAN aku bangun dan buat senaman ringan. Bila lihat jam tangan, aku tertidur tidak sampai sejam. Mindaku sudah terasa segar. Power Nap namanya. Tidur sekejap tetapi berkualiti. Aku bangun dan membuka beg troli kecil dan mengeluarkan barang-barang keperluan untuk mandi dan sepasang pakaian untuk dipakai nanti. Selepas mandi aku sarungkan seluar sendat hitam dan baju kemeja labuh. Sememangnya aku ada banyak koleksi pakaian seperti ini. Seluar sendat dan baju kemeja. Selesai menyisir rambut, aku keluar dari bilik. Buka sahaja pintu, aku nampak laut membiru. Niat aku untuk ke dewan lobi dan berjumpa Nora ditunda seketika. Aku memakai sandal dan berjalan menuju ke pantai.
Pasir pantai Cherating memang putih dan halus. Pohon-pohon kelapa membarisi sepanjang persisiran pantai. Berdasarkan carian Google, Pantai Cherating ada berpuluh-puluh resort dan pantainya jauh nun memandang. Aku berjalan keluar melalui pintu pagar yang sedia ada. Resort keluarga Ikram dipagari dengan pagar kawat. Ada dua pintu pagar untuk keluar ke pantai. Aku ambil yang paling dekat. Ramai juga pengunjung kulihat berada di sepanjang pantai utama tetapi untuk resort yang sedikit jauh ini, agak lengang juga. Mungkin kerana ianya ditutup sementara, jadi tiadalah pengunjung di sekitar kawasan ini. Aku tinggalkan sandalku di suatu sudut dan berjalan menuju ke arah pantai sehingga kakiku mencecah pasir yang basah. Ombak Cherating tidak berapa kuat. Malah tidak nampak ombak yang memukul. Kawasan yang cukup selamat kalau kanak-kanak kecil ingin bermain air. Aku menguis-guis air dengan kakiku. Airnya panas. Selesa sungguh kalau dapat berendam di pantai ini.
Aku melangkahkan perlahan menuju ke arah hujung pantai yang semakin tidak berpenghuni. Mataku tertumpu kepada kedamaian dan keindahan warna biru laut dan langit Cherating. Sambil memandang ke arah laut, aku menarik nafas untuk menghidu bau laut yang nyaman. Tiada orang di kiri kanan aku. Jadi aku mengeliat sepuas hati. Bukan sekali tetapi beberapa kali. Kemudian aku ketawa seorang diri. Aku ketawa dan menjerit dengan sekuat hati. Wah! Seronoknya! Yahoo!! Laungan dan jeritanku ditenggelami oleh deruan angin yang lebih kuat. Sangkaku tidak ada yang mendengar atau melihat perbuatanku itu. Tiba-tiba, ada pula yang bersuara. Terkejut aku seketika.
“Hoi! Engkau ni terencat akal ke apa? Bising tak tentu pasal!”
Aku mencari suara itu. Rupa-rupanya, di hujung pantai berdekatan dengan kawasan seperti pertemuan antara air masin dan air tawar, seorang lelaki berpakaian selekeh dengan rambut dan jambang serabai serta berkaca mata hitam menegur aksiku. Di tangannya seperti jaring ikan. Terkejut aku melihat lelaki itu. Mukanya garang betul. Mungkin aku menganggu dia yang sedang memancing.
“Minta maaf ye Encik. Saya ingat tiada orang tadi,” aku menjerit sedikit kerana takut dia tidak dengar dek angin yang mendayu.
“Pergi mampus dengan minta maaf kau,” jeritnya kembali. Biadap sungguh. Terkejut betul aku mendengar kata-kata seumpama itu. Takut pun ada. Aku tidak mahu ada konfrontasi dengan orang yang kelihatan seperti orang gila. Lebih baik aku pergi dari situ. Aku berpaling dan mulakan langkah dengan pantas.
“Woi perempuan! Ke sini kau!” jerit lelaki itu. Entah kenapa, arahan itu buat langkahku terhenti seketika. Apa hal pula tetiba nak panggil aku. Aku buat tidak dengar dan meneruskan saja perjalanan. Tidak sampai beberapa saat, aku perasan ada orang di sebelah aku. Lengan bajuku direntap kuat. Lelaki serabai itu yang sedang memegang tanganku. Takutnya! Sudahlah kawasan itu tiada orang lain. Aku melawan dengan menepis tangan yang sedang memegang tanganku itu.
“Eh, lepaskan sayalah!” kataku menjerit kuat namun tidak dia lepaskan.
Aku panik. Satu saja yang aku terus buat. Kakiku pantas naik ke atas. Hasil tunjuk ajar cikgu Taekwondo ketika di sekolah dahulu. Dus! Satu tendangan hadapan, tepat di bahagian yang aku sendiri pun tidak terfikir. Aku rasa geli tetapi reaksi spontan manalah boleh dikawal. Aku lihat lelaki serabai itu melompat-lompat mengerang kesakitan sambil kedua-dua tangannya memegang ke tempat yang kutendang tadi. Segala makian dalam kedua-dua bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris kedengaran keluar dari mulutnya walaupun ketika itu aku sudah berlari dengan pantas menuju untuk kembali ke resort. Tercungap-cungap aku bila sampai di tempat untuk aku mengambil kasut. Aku paling ke belakang untuk melihat kalau-kalau lelaki itu mengejarku. Aku nampak dia masih lagi memegang bahagian yang sakit. Tersenyum puas aku. Padan mukanya. Jangan main-main dengan perempuan yang bernama Chahaya. Dia ada tali pinggang merah. Bukan sebarang amatur!
Aku terasa bangga kerana dapat mengawal keadaan yang menakutkan. Bangga kerana aku mampu menjaga diri daripada orang gila tadi. Aku mengibas pasir yang melekat di kaki dan mengenakan semula sandalku. Seterusnya, aku berjalan menuju ke arah kafeteria untuk bertemu dengan Nora. Dari jauh aku nampak ada beberapa orang tetamu di kafe itu. Sampai sahaja di hadapan kafe, Nora sudah menjemputku. Ketika masuk ke kafe, aku terpandang seseorang yang aku ingin sangat berjumpa. Nenek Ikram. Nora membawa dan memperkenalkan aku kepada saudara mara yang berkumpul di situ sehinggakan aku lenguh mengukir senyuman. Akhir sekali, Nora bawa aku berjumpa dengan neneknya.
“Chahaya. Duduklah dengan Umi,” tegur nenek Ikram sambil mengajak aku duduk dengannya.
“Assalamualaikum Umi,” sapaku. Sebelum duduk aku bersalaman dahulu dengannya.
“Chaya duduk dulu. Nora ambilkan cawan. Makanlah apa yang ada. Jangan malu,” kata Nora kepadaku. Nora beredar dari situ sebelum meminta salah seorang pekerja menghantarkan cawan kepadaku. Aku tertarik dengan Nora. Pengurus resort yang ada kebolehan tersendiri.
“Nora yang jaga resort ni Chahaya,” kata Umi.
“Chaya tahu. Pak Musa ada beritahu semasa datang tadi,” balasku.
Aku lihat Umi hanya berselendang di kepalanya. Orangnya masih kurus seperti yang aku ingat dahulu. Wajah Umi putih bersih walaupun dengan kedut-kedut tua jelas kelihatan. Aku dapat melihat rambut putihnya disanggul kecil melalui selendang jarang. Wajah perempuan tua seperti Umi kalau dipandang sejuk di mata, senang di hati. Aku rasa sebab itulah aku tertarik dengan Umi bila kali pertama aku melihatnya di rumah Erin.
“Bilik Chahaya ok?” soal seorang perempuan semeja dengan kami. Nora memanggilnya Mama. Ada seorang lagi semeja dengan kami. Kedua-dua wanita lebih kurang dalam lingkungan usia Aunty Elis aku. Aku amati seorang demi seorang. Mama Nora seorang perempuan yang tinggi lampai. Cara pakaian dan perwatakannya seperti seorang perempuan yang cukup adab tertibnya. Wanita di sebelah pun lebih kurang sama sahaja.
“Bilik ok sangat Aunty,” balasku kepada Mama Nora.
“Ikram dan Erin yang minta kami berikan bilik yang terbaik untuk Chahaya. Cantik nama Chahaya. Siapa yang berikan?”
“Nama kami adik-beradik, Papa yang berikan. Panggil Chaya. Pendek sikit,” aku ceritakan yang Papaku mungkin mat jiwang yang berjiwa seni sehingga nama-nama kami adik-beradik agak kedengaran klasik.
“Semasa kecil memanglah pelik. Kawan-kawan selalu ejek nama kami. Bila dah besar, kami tahu nama kami agak istimewa. Chaya sendiri pun suka dengan nama ni,” jelasku.
“Aunty pun suka nama Chaya. Lain daripada yang lain,” beritahu wanita yang duduk bersebelahan dengan Mama Nora itu.
“Terima kasih. Cucu aunty ke ni?” soalku kepada wanita yang tidak bernama yang sedang mengendong seorang bayi.
“Ya. Cucu sulung aunty,” katanya kepadaku.
“Ini mak saudara Ikram,” jelas Mama Nora.
Emak saudara Ikram itu tersenyum mengangguk. Geram aku tengok bayi itu. Mungkin dalam lingkungan empat bulan. Bulat dan montel. Rasa macam nak cubit-cubit pipinya.
“Chaya suka baby ke?” soal Mama Nora.
“Suka. Chaya ada seorang adik. Masa dia baby, Chaya yang selalu kena jaga dia,” balasku. Memang benar aku yang selalu mengasuh si Mika. Sebab itulah aku dan Mika memang rapat.
“Dah lama ke Chaya jadi pembantu Erin?”
“Bidang terjun Aunty. Chaya in between jobs. Jadi bila Erin minta tolong, Chaya tolong saja. Keputusan dan pilihan semuanya Erin buat. Chaya cuma bantu saja.”
“Dulu kerja apa?” soal Mama Nora lagi.
"Kerja di sebuah syarikat swasta.”
“Kenapa berhenti pula? Berapa lama Chaya kerja di sana?”
“Lebih kurang dua tahun. Chaya frust putus cinta, sebab tu Chaya berhenti,” aku jawab sambil ketawa. Aku tengok wanita-wanita yang duduk semeja terkejut sedikit mendengar jawapanku. Lalu aku menambah supaya mereka tidak salah sangka.
“Sebenarnya itu bukan alasan Chaya nak berhenti tapi bila jadi macam tu, Chaya buat je sebagai alasan. Chaya sebenarnya tak suka kerja yang asyik terperuk dalam pejabat. Chaya ingat nak cuba kerja lain yang lebih mencabar.”
“Lepas ni, Chaya nak kerja di mana?” soal Umi pula.
“Chaya ada kawan yang buka butik. Mungkin Chaya mula di sana. Tolong sikit-sikit. Kalau suka, Chaya join terus. Itupun kalau mereka terima Chaya,” kataku. Entah kenapa aku terasa begitu mesra pula berbual dengan keluarga Ikram. Patutlah sepupu aku kata yang dia seronok kalau bercuti dengan kaum keluarga Ikram. Keluarga kaya raya tetapi aku rasakan seorang pun tidak menyombong atau bercakap besar.
“Chaya tak nak fikir pasal kahwin ke? Chaya ni kan cantik. Kalau putus sekali, tak semestinya tak ada yang suka. Itu mungkin bukan jodoh Chaya. Mungkin ada yang lebih baik untuk Chaya…” belum habis emak saudara Nora bercerita, matanya terpandang sesuatu.
“Kak Jah. Anak Kak Jah tu,” kata emak saudara Nora sambil menunjukkan ke arah belakangku. Aku simpan dalam minda Mama Nora boleh ku panggil dengan panggilan Aunty Jah. Setakat itu dahulu kerana nama penuh Aunty Jah belum dikenal pasti lagi.
“Umi tengoklah cucu kesayangan Umi tu,” adu Aunty Jah kepada Umi. “Jah tak tahu macam mana nak nasihatkan dia lagi.”
“Biarlah Jah. Nanti bila dia rasa dia nak berubah, dia berubahlah,” balas Umi sambil turut berpaling memandang ke arah yang sama. Aku rasa aku tidak patut masuk campur perbualan mereka. Jadi aku tidak menoleh ke belakang untuk melihat ke arah anak Aunty Jah itu.
“Nak berubah bila lagi? Umur pun dah tiga puluh lebih. Dah besar panjang pun. Kadang-kadang Jah rasa menyesal pula. Jah silap mana masa membesarkan dia?”
Apa masalah Aunty Jah kali ini. Teruk sangat ke perangai anak dia? Aku pasang telinga. Mereka nampaknya tidak kisah menceritakan masalah di hadapan aku.
“Bukan salah kau Jah. Dia nak enjoy lagi tu. Orang muda. Biarlah,” balas Umi. Aku tidak berani untuk mengikut melihat walaupun rasa di hati mahu saja aku tengok siapa orangnya. Takut dikatakan menyibuk. Aku minum air teh kosong panas yang sediakan oleh pelayan kafe sebentar tadi. Sedang aku perlahan-lahan menghirup air, aku mendengar Umi menegur seseorang. Hampir nak tersembur air panas yang ku minum itu. Perit betul tekak aku bila air teh yang panas ku paksa telan jua ketika melihat orang yang sudah berdiri di hadapan meja mencium kepala Aunty Jah.
Lelaki yang aku cederakan sebentar tadi berada betul-betul di hadapan aku. Kini tanpa berkaca mata hitam, dia memandangku dengan pandangan yang tajam. Bukan tajam, tapi marah semacam.
“Eeiii…busuk betullah Han. Apasal yang Han basah sampai macam ni?”
“Han terjun kuala tadi sebab fishing rod tersangkut. Ada orang gila jerit sorang diri tadi sampai Han terlepas pegang fishing rod tu.”
Aku telan air liur. Akukah itu?
“Kalau ya pun, pergilah mandi sebelum ke sini. Tu, dah menangis si Nana tengok kamu. Takut baby tu nanti,” tegur Aunty Jah kepada lelaki serabai yang dipanggil Han. Panggilan pendek kepada apa ya? Izhan, Suhan, Farhan atau pun Hantu?
“Biar Nana tu takut sikit dengan lelaki Mama,” balasnya. “Tak nampak ayu langsung kalau perempuan terlalu berani sangat. Nanti bila dia dah besar panjang tak ada lelaki yang berkenan dengan dia.”
Hai. Macam mengata aku nampaknya. Aku diam saja. Aku tunduk meniup air teh panas.
“Umi, My Love,” kata lelaki itu sambil mencium pipi Umi. “Sorry, Han busuk sikit. Han pergi mandi dulu. Kita berbual kemudian. Ciow.”
Lelaki serabai itu pergi dari situ. Lega sedikit. Aku terus mendengar keluhan Aunty Jah tentang anak lelakinya itu.
“Kali ni Han pergi mana?”soal Mama Nora.
“Dah sebulan lebih dia ke Nepal. Kami suruh dia balik segera pasal hal Ikram nak kahwin dan pasal kita nak ke Mekah nanti.”
“Kan aku dah pesan dengan laki kau suruh biar je dia duduk sana Jah. Lagipun Han bagitahu kita seminggu dua lagi dia baliklah,” Umi bersuara.
“Jah tak mahu dia terlepas majlis Ikram. Dia dengan Ikram tu rapat Umi. Nanti kalau dia tak tahu, terkilan pulak. Lepas tu kita yang kena marah dengan dia.”
“Dia tahu,” balas Umi. “Ikram pun faham kalau dia tak boleh balik. Kawan tengah naik gunung tu. Lagipun, Han kata dia akan balik sebelum kita pergi buat Haji. Dia dah janji. Mi pun kata perkara yang sama,” Umi menambah lagi.
“Jah tak faham kenapa abang Mi tu tak risau pasal Han. Dia kata Han independent. Kenapalah dia tak macam Farid atau Nora? Kerja macam orang lain. Ini tidak. Kalau tidak melepak di Malaysia, dia pergi luar negara. Tiga empat bulan baru balik semula.”
Oh, patutlah serabai. Penganggur macam aku rupanya.
“Apa susah Kak Jah. Kahwinkan aje Han. Habis cerita.”
Aunty Jah tergelak.
“Nak kahwin macam mana kalau perangai macam tu Ina. Bila aku bawa beberapa orang gadis anak kenalan aku jumpa dengan dia, ramai yang suka bila tengok dia. Tapi lepas sehari keluar, ramai yang lari tak sanggup dengan perangai dia.”
Ok. emak saudara Nora ialah Aunty Ina.
“Takkan dia tak ada girlfriend langsung?”
“Ada juga beberapa orang. Tapi Kak Jah tak berkenan sangat. Ada seorang tu yang dia selalu keluar. Pakaian dia, MasyaAllah. Kita ni pun dah nak ke Mekah. Kalau dapat menantu bertudung macam Maiza tu, sejuk sikit hati ni kan Umi?”
“Jangan memilih sangat Kak Jah. Ikram dengan Hafiz yang lagi muda daripada dia pun dah nak kahwin. Yang kurang sopan tu mungkin bersopan kalau dah ada laki nanti.”
“Entahlah Ina. Kita tengok sajalah. Kalau dia dah suka sangat dengan budak perempuan tu, apa kami nak buat? Terima sajalah.”
Aku yang mendengar perbualan itu, dicuit oleh Umi di sebelah. Matanya seperti menyuruh aku makan karipap di hadapanku. Aku lihat Umi tersenyum sambil mengunyah karipap berintikan daging dan kentang. Aku semacam tidak puas memandang wajah Umi. Entah kenapa aku teringat arwah Tok Mi. Mungkinkah aku boleh bermesra dengan Umi seperti dengan Tok Mi dahulu? Aku dapati Umi ini memang favourite semua sanak saudara yang ada di situ. Sesiapa sahaja yang lalu di sebelah meja kami pasti akan menciumnya atau memeluknya. Sehinggakan kanak-kanak kecil pun singgah sebentar untuk memeluknya. Sambil makan aku dengar lagi perbualan di meja itu. Kali ini, Umi bersuara lagi.
“Dia masih muda Jah. Biarlah dia berseronok dahulu.”
“Muda apa? Farid kahwin pun masa dia dua puluh lapan. Ikram yang muda setahun tu pun esok lusa dah jadi suami orang. Jah tahu dia rapat dengan Umi. Jah minta tolong Umi nasihatkanlah dia sikit. Dia selalu dengar cakap Umi. Suruhlah dia berubah. Jah minta tolong sangat.”
“Kau nak mak buat apa? Sayang, sayanglah, tapi kalau aku cakap pun bukan dia nak dengar sangat. Ikut suka dia nak buat apa.”
“Umi tanyalah dia apa yang dia nak buat sebenarnya. Jah dah tanya banyak kali. Sikit-sikit dia kata ‘Tengoklah’. Tu saja yang dia pandai cakap.”
Kemudian perbualan terhenti begitu sahaja. Umi melihatku.
“Chaya sama umur dengan Erina ke?”
Aku mengangguk.
“Chaya tua tiga bulan daripada Erin,” jelasku.
“Erin ada kata dia nak kerja lagi ke lepas dia kahwin ni?”
“Chaya rasa dia masih nak kerja, tapi tak pula dia cerita lebih lagi.”
“Orang perempuan tak apa Chaya,” kata Aunty Ina. “Bila dah kahwin, tak perlu nak kerja.”
“Eh tak boleh Aunty. Perempuan kena independent juga,” balasku sambil ketawa.
“Kalau macam tu Chaya cari suami yang banyak duit. Kalau buat kerja rumah dan layan dia seorang sahaja, itu kira bekerja jugalah kan, ye tak Kak Jah?”
Belum sempat Aunty Jah membalas, Umi pula yang terlebih dahulu menjawab.
“Biarlah si Chaya nak buat apa yang dia nak. Lagi pun dia masih muda tu. Kamu berdua lain. Lepas tamat belajar, anak-anak mak dah cekup, takut melepas nanti menyesal pula. Budak-budak zaman sekarang ni lain. Mereka nak ada kebebasan.”
Tepat sekali Umi, kataku dalam hati.
“Chaya ada berapa orang saudara semuanya?” soal Aunty Jah.
Aku ringkaskan semula kisah aku, Kak Suri, Kak Kasih, Papa, Mami Zan dan Mika dalam masa tiga minit.
“Mama Chaya meninggal kerana apa?” soal Aunty Jah.
“Mama kemalangan,” balasku. Tiba-tiba hatiku sedih. Aku tidak tahu ceritanya dan tidak teringat bagaimana mama meninggal dunia. Ketika itu aku berusia tiga atau empat tahun. Entahlah. Bila aku tanya pasal Mama, mereka semua kata Mama sudah tiada. Dia meninggal akibat kemalangan jalan raya. Aku tidak sekali pun pernah tanya dengan lebih terperinci kerana aku takut keluargaku akan sedih.
Umi memegang tanganku.
“Dah … jangan sedih. Umi rasa kalau Mama Chahaya ada, dia pasti bangga dengan anak-anaknya yang sudah berjaya, cantik dan pandai menjaga diri.”
Aku angguk. Nora datang menghampiriku. Seorang lelaki bergaya berada di sebelahnya. Nora memperkenalkan aku kepada pengurus majlis akad nikah Ikram dan Erin. Sebaik sahaja berjumpa, lelaki yang meminta aku memanggilnya K mengajak aku berbincang. K mahu aku tahu apa yang sudah dilakukan dan apa yang akan dijangka berlaku ketika majlis akad nikah nanti. Dia mengajak aku melawat dewan di mana akan berlangsungnya majlis. Aku bangun mengekorinya. Entah kenapa sebelum aku keluar daripada kafe, aku ternampak anak Aunty Jah yang bernama Han itu. Mungkin sudah mandi kerana pakaiannya sudah bertukar. Namun, dia masih lagi serabai.
Share this novel