Bab 36

Romance Completed 8896

PETANG Khamis Han telefon dari KLIA. Dia baru sahaja mendarat. Katanya dia ingin berjumpa denganku segera. Ketika itu aku masih lagi bekerja. Aku suruh dia tunggu aku sahaja di rumahnya di Kajang. Nanti aku jumpa dia di sana sahaja. Aku naik komuter dan belanja besar dengan Grab. Aunty Jah dan Umi sudah bersedia menungguku kerana sebelum aku datang tadi aku telefon dahulu memberitahu bahawa aku baru sahaja keluar dari butik. Aunty Jah yang menyambut panggilanku awal tadi dan katanya Han baru masuk tidur kerana keletihan.
“Mari masuk rehat dulu di sini. Umi dengan Aunty tengah tengok cerita ni. Susah tak nak dapat transport tadi?” soal Aunty Jah kepadaku. Aku beritahu sekarang ni senang saja. Guna aplikasi tekan sana tekan sini. Kereta sewa depan mata. Umi sedang mengunyah buah kismis sambil menonton sebuah rancangan seram di ruang rehat rumah itu. Umi mengajak aku duduk di sebelahnya. Sambil bersalaman, aku menegur Umi.
“Umi tengok juga cerita seram macam ni?”
“Umi suka tengok pelakon tu. Pandai dia bawa watak,” kata Umi sambil menunjukkan pelakon wanita utama cerita itu.
“Chaya ni penakut sikit,” aku beritahu Aunty Jah and Umi.
“Chaya nak Han ada sekali, ye. Baru tak takut kan?”
“Ish Aunty ni. Apa kena mengena Chaya takut dengan Han ada atau tak pulak? Chaya memang takut tengok cerita seram. Takut nanti mimpi ngeri bila tidur,” balasku.
“Ni mesti masa kecil tengok cerita hantu. Sampai dah besar pun takut lagi.”
“Ha’ah. Chaya tengok cerita vampire hisap darah masa umur empat tahun. Sampai sekarang Chaya tak boleh terima cerita seram ni.”
Aku terdiam bila bunyi menakutkan kedengaran. Aku buat-buat tak tengok tapi aku lihat Umi dengan Aunty Jah selamba sahaja menonton. Bila bunyi semakin klimaks, tiba-tiba anti-klimaks pula. Ntah apa-apa cerita seram itu.
“Han tidur lagi ke Aunty?”
“Tidur lagilah tu. Penat dia balik tadi. Lepas Maghrib, dia terus masuk bilik. Eh. Malam ni Chaya tidur sini ye?” ajak Aunty.
“Aunty tak ajak pun, Chaya nak tumpang tidur juga. Han suruh Chaya datang sini juga. Entah apa dia nak pun Chaya tak tahu,” balasku.
“Kalau nak, Chaya pergilah kejutkan dia. Kalau tak beritahu Chaya dah ada di sini, nanti mengamuk pula dia.”
Aku tersenyum di dalam hati mendengar kata-kata Aunty Jah. Seperti tahu sahaja niat dihatiku ini.
“Nanti lepas dah berbual tu, Chaya jumpa Aunty balik sebab ada perkara yang Aunty nak bincang dengan Chaya.”
“Kalau macam tu, Chaya tumpang solat Isyak dulu. Lepas tu baru Chaya jumpa Han. Nanti Chaya datang balik jumpa Aunty.”

AKU ketuk biliknya berkali-kali tetapi tiada jawapan. Aku tolak pintu biliknya dan masuk ke dalam. Aku jenguk dahulu dan dapati Han berada di atas katil dalam keadaan yang sempurna berpakaian. Kalau tidak, aku lari jumpa Aunty Jah dahulu. Pintu bilik itu aku buka seluas mungkin supaya sesiapa yang lalu di situ boleh nampak aku hanya mahu kejutkan Han. Aku rapat ke katil. Setiap kali aku jumpa dia, pasti dia penuh dengan jambang. Kali ini pun sama sahaja. Dia tidur meniarap dengan memeluk bantal tidurnya. Aku senyum seorang diri melihat Han. Aku lihat ada sesuatu di hujung tangannya. Sebuah buku. Penat-penat pun masih sempat juga dia baca buku, fikirku dalam hati.
Aku terus berdiri tercegat memandang Han. Bukan senang aku hendak dapat peluang sebegini. Aku lihat sahaja Han. Dalam keadaan dia tidur pun, dia masih nampak kacak. Aku tidak sampai hati untuk mengejutkannya. Aku rasa hendak biarkan dia tidur sepuasnya. Esokkan masih ada. Aku masuk kerja pun dalam pukul sepuluh. Kalau dia cukup rehat, aku boleh minta dia hantarkan aku keesokan pagi.

Awak nak tengok saja ke atau awak nak kejutkan aku?”
“Saya tengah fikir nak tinggalkan awak supaya awak dapat cukup tidur atau nak kejutkan awak saja tadi,” balasku.
“Awak jangan pergi lagi,” katanya. Dia alih dan tidur melentang. Han mula menggeliat. Nampak melekap tubuh sasa pada baju-T putih yang dipakainya. Aku mengalih pandang ke tempat lain. Mataku tertumpu ke arah buku yang tidak lepas dari tangannya.
“Baca buku apa tu?” soalku untuk menukar topik bila aku dengar permintaannya tadi.
Han melihat buku berkulit tebal berwarna merah gelap di tangannya. Aku lihat buku itu tidak bertajuk. Han melihatku memandang buku itu.
“Buku yang paling aku suka sekali. Kalau boleh aku nak tengok buku ini setiap malam.”
“Best ke buku tu? Minta saya tengok.”
“Tak boleh. Orang perempuan tak boleh tengok buku ni,” katanya sambil menyimpan buku itu ke dalam beg sandangnya yang berada tidak jauh dari katil itu.
Baru aku dapat tangkap.
“Eeiii…baca buku kotor. Gelilah,” aku mula hendak patah keluar dari bilik.
“Nanti dulu, Chahaya,” ujar Han. “Mana ada aku baca buku kotor. Buku ni istimewa. Aku seorang saja yang boleh tatap. Marilah sini. Aku nak jumpa awak. Aku rindukan awak.”
Memandangkan aku membelakangkan Han, dia tentu tidak dapat lihat wajahku yang teramat suka dengan pengakuannya sebentar tadi. Kemudian aku buat muka selamba dan pusing mengadapnya.
“Oh ye ke? Saya ok je,” balasku.
Han ketawa. Bukan main kuat dia ketawa sehinggakan aku naik hairan. Sebaik sahaja dia kawal ketawanya itu, dia terangkan sesuatu kepadaku.
“Tu,” katanya sambil menunjukkan cermin yang berada tidak berapa jauh dariku. “Aku nampak reaksi awak tadi. Bukan main suka bila aku kata aku rindu. Lepas tu awak control pulak. Pandai betul awak berlakon.”
Merona merah mukaku. Aku terus tutup muka dan ingin keluar dari bilik itu.
“Chahaya,” Han memanggilku. Tidak tahu bagaimana, dia sudah bangun dari katil dan kini berada di sisiku.
“Kata nak jumpa. Dah jumpa dahlah. Saya nak turun bawah. Mama awak kata dia nak bincang something,” kataku kepada Han. Aku langsung tidak memandang wajahnya. Malu.
“Awak pergi jumpa Mama dululah. Awak tidur sini kan? Nanti aku turun cari awak, kita berbual ok?”
Aku angguk dan berlalu begitu sahaja. Keluar sahaja dari bilik, aku terus tersengih. Betulkah dia rindukan aku? Aku pun rindukan dia juga. Aku turuni anak tangga dan berjumpa dengan Aunty Jah. Umi pun masih ada lagi di situ.
“Hai. Sekejap saja Chaya. Dah kejutkan Han ke tidak?”
“Dah Aunty. Dia suruh Chaya turun. Nanti dia join sekali.”
“Elok sangatlah tu. Chaya duduk dengan Aunty kejap.”
Aku duduk bersimpuh di lantai yang berkarpet tebal itu. Tempat tidurku dahulu. Aku mengadap Umi dan Aunty Jah.
“Aunty nak bincang pasal apa?”
“Aunty dengan Umi ada tanyakan pasal kamu berdua dengan Han,” Aunty Jah memulakan bicara. Maksud ‘kamu berdua’ itu pasti aku dan Han. Apa yang aku dengar seterusnya buat aku sukar untuk berfikir.
“Han minta kami berbincang dengan keluarga Chaya supaya satukan kamu berdua cuti sekolah penggal pertama nanti. Nampaknya Han benar-benar dah bersedia. Jadi kami ni nak tanya Chaya macam mana? Dah bersedia ke belum?”
Biar betul Han cakap begitu dengan keluarganya. Kenapa dia tidak berbincang dahulu dengan aku. Mungkin itu sebabnya dia minta aku ke mari. Walau bagaimanapun, Han patut berbincang dengan aku dahulu sebelum buat sebarang keputusan. Dia perlu tanya pendapat aku dahulu. Jangan ambil sebarang keputusan. Mana tahu aku belum lagi bersedia. Tambahan pula hubungan kami, walaupun semakin rapat, aku rasa kami belum lagi cukup mengenali hati budi masing-masing. Mungkinkah aku yang belum bersedia sekarang?
“Diam saja tu. Bagaimana Chahaya?” tegur Umi bila melihatku hanya diam. Serba salah aku dibuatnya. Bagaimana aku nak ceritakan pada Umi dan Aunty Jah yang aku belum seratus peratus bersedia. Aku sebenarnya belum dapat kepastian tentang perasaan Han terhadapku. Aku jelas yang aku sudah menyayangi Han.
“Tak..tak..begini Aunty, Umi. Chaya terkejut sikit bila Aunty bagi tahu yang Han cakap macam tu. Han pun belum lagi cerita apa-apa dengan Chaya. Kalau ikutkan, kami ingat nak bertunang lama sikit. Ini kalau penggal pertama tu macam cepat sangatlah pulak.”

“Chaya takut tak ada masa nak buat persiapan ke? Atau Chaya belum bersedia nak kahwin dengan Han? Kalau hal persiapan Aunty ikut saja. Han pun kata yang dia nak majlis sederhana sahaja.”
“Han sendiri yang mahu majlis sebegitu Jah. Bukannya si Chahaya ni. Kita patutnya ambil kira apa yang pengantin perempuan mahu. Kalau ikut anak bujang kamu tu, mmm…semuanya nak ambil mudah.”
“Ini yang Jah nak bincang dengan Chahaya, Umi. Sempat ke dia nak merancang majlis yang dia nak. Kalau Chaya rasa cepat sangat, kita buat yang wajib dahulu macam sepupu Chaya, Erina tu. Akad nikah. Majlis kahwin kemudian.”
“Aunty, Umi. Biar Chaya berterus terang sahaja. Han baru je balik. Chaya pun baru tadi je jumpa dia. Kami belum lagi duduk berbincang pasal hal ni. Kalau boleh Aunty dengan Umi beri sikit masa untuk Chaya. Biar Chaya bincang dulu dengan Han. Boleh tak?”
“Eh boleh sayang. Malam ni Chaya bincang elok-elok dengan Han ye. Lepas tu kalau dah ada kata putus, beritahu pada Aunty ye,” balas Aunty Jah.
“Baik, Aunty.”
“Mulai malam ni, jangan panggil Aunty tau. Chaya dah nak rasmi masuk ke keluarga ni. Kena belajar panggil Aunty, Mama. Betul tak Umi?” kata Aunty Jah kepadaku.
“Nantilah Aunty. Chaya tak biasa,” balasku.
“Chahaya kena biasa-biasakan,” balas Umi pula.
“Chaya cuba Umi, tapi kenalah bagi Chaya masa,” balasku dengan lembut.
Perbualan kami terhenti seketika apabila Umi mengucap panjang.
“Umi ingat Umi nak masuk dulu. Dah mula rasa mengantuk ni.”
“Mama pun nak masuk juga. Papa kamu tu balik lewat malam ni. Mari Umi, kita naik,” kata Aunty Jah selaku Mama Jah seraya membantu ibu mertuanya bangun dari sofa.
“Kalau Chaya nak makan, cari saja di dapur tu. Inikan rumah Chaya juga,” tambah Mama Jah sebelum pergi dari situ.
Bila Mama Jah sebut sahaja pasal makanan, perut aku tiba-tiba lapar. Memang aku belum makan apa-apa lagi sejak aku keluar dari butik petang tadi. Aku sempat membeli dan makan roti bungkus sebelum aku naik komuter tadi. Sekarang baru aku perasan yang perut aku perlukan perhatian. Aku menuju ke ruang dapur untuk mencari kalau ada biskut yang boleh ku makan. Aku tidak rasa aku buat bising di dapur tetapi bibik bergegas keluar dari biliknya.
“Saya ganggu bibik tidur ke?” soalku.
“Tak apa bu. Ada apa yang saya boleh bantu. Ibu lapar ya?”
“Ha’ah. Saya nak cari kalau ada biskut. Bibik tidurlah. Saya boleh buat sendiri,” balasku bila aku lihat bibik sudah pun mendekati peti sejuk.
“Tak susah bu. Sini ada lebihan apa itu, pagetik yang Ibu Jah buat tadi. Saya panaskan untuk ibu ya?”
“Pagetik? Apa tu?” terasa musykil dengan perkara yang bibik sebut, aku pergi ke sebelahnya melihat mangkuk yang dikeluarkan. “Oh! Spagetti, bibik,” balasku.
“Getik getik bu. Saya kurang pasih.”
“Bibik masuklah tidur. Biar saya buat. Nanti saya kemaskan semuanya,” aku suruh juga bibik masuk tidur. Aku berjanji yang aku akan kemaskan semuanya nanti. Mungkin dia bangun sebab dia hendak pastikan dapur jajahannya itu tidak bersepah. Selepas dia pasti dengan janjiku, dia pun masuk ke dalam biliknya.
Aku masukkan spaghetti ke dalam pinggan Corelle bercorak bunga. Lebihan spagetti cukup-cukup untuk perutku. Aku panaskan di dalam ketuhar microwave. Bila aku buka sahaja pintu ketuhar, bau spaghetti yang berkuah putih itu begitu membuka selera. Bila aku letak sahaja di atas meja dan mula untuk menjamah, Han sudah pun berada di situ.
“Awak buat satu untuk aku. Bau Mama masak ni memang aku tak boleh tahan,” kata Han lalu duduk di kerusi hujung meja. Bersebelahan denganku.
“Errr..tinggal sikit ni je,” balasku. Garpu yang ku pegang sudah berjuntai dengan spaghetti. Hanya tunggu untuk masuk ke mulutku sahaja.
“Makanlah,” katanya.
Segumpal spaghetti yang tertangguh itu terus masuk ke mulutku. Lebihan kuah tercalit sedikit di bibirku. Aku bangun untuk mendapatkan tisu yang berdekatan. Bila aku duduk semula, mulut aku ternganga. Han makan spaghetti yang aku tengah makan tadi. Sedap betul aku tengok dia mengunyah.
“Kalau awak cakap awak nak juga tadi saya boleh ambil pinggan. Bahagi dua,” kataku kepadanya.
“Tak payah susah-susah. Bahagi dua ke atau kongsi ke sama saja. Mari makan,” ajaknya. Han makan buat kali kedua. Aku keberatan. Pada masa yang sama, aku lapar. Aku bangun untuk mendapatkan garpu yang kedua. Aku ambil bahagian yang paling tepi sekali dan makan. Aku dengar Han ketawa sambil mulutnya tertutup mengunyah makanan. Tiba-tiba dia buat satu perkara yang buat aku geram. Dia ambil juga dari bahagian yang aku ambil sebentar tadi.
“Ini bahagian sayalah. Awak ambillah di situ,” arahku kepadanya.
“Aku nak bahagian sini juga,” katanya sambil makan kali ketiga.
“Saya lapar tahu tak? Saya tak makan dinner lagi.”
“Kesian,” katanya tapi dia tetap juga buat suapan yang keempat.
Mahu atau tidak aku teruskan makan. Dapat juga dalam lima suapan.
“Kalau awak lapar, kita boleh keluar,” ajaknya.
“Tak nak. Dah lewat sangat ni. Esok saya kena kerja,” kataku sambil mengangkat pinggan ke sinki. Aku pastikan pinggan dan juga bekas isi spaghetti tadi dicuci dengan baik. Kemudian aku lap tanganku. Aku beralih dan melihat Han yang sedang memandangku. Dia masih bersandar di kerusi dengan kedua-dua tangannya diletakkan di belakang kepala. Aku terus kembali ke tempat dudukku.
“Tadi Mama awak kata yang awak nak kahwin dengan saya cuti penggal nanti. Kenapa begitu? Bukankah kita dah setuju yang kita perlukan masa untuk kenal satu sama lain dahulu sebelum buat keputusan?” aku memulakan bicaraku.
“Aku dah bersedia nak kahwin dengan awak. Aku tak nampak apa masalahnya.”
“Masalahnya, saya belum lagi bersedia nak kahwin,” balasku.
“Awak belum bersedia nak kahwin atau awak belum bersedia nak terima aku?”
“Saya tak tahu macam mana nak cakap tapi saya rasa macam kita belum lagi sampai ke suatu tahap lagi untuk ambil keputusan untuk kahwin.”
“Tahap mana? Awak tahukan aku sukakan awak? Apa lagi yang awak nak?”
Aku diam. Cinta. Sayang. Itu yang aku perlukan sekarang ini.
“Saya perlukan lebih dari itu. Saya perlu tahu adakah perasaan awak lebih dari suka kepada saya,” kataku tidak berdalih.
“Maksud awak, cinta?” soal Han.
Aku angguk.
“Look Chahaya. Let us be realistic here,” balas Han. Dia cuma memegang tanganku tapi aku mengelak. “Tak cukupkah yang aku kata aku suka awak? Aku tahu awak pun suka aku. Jadi, tak bolehkah kita biarkan perasaan kita itu terbina perlahan-lahan. Tidak kira sekarang atau pun selepas kita kahwin nanti?”
“Itulah masalahnya. Saya takut…,” kataku.
“Takut? Takut gagal?” soalnya dan aku anggukkan kepalaku. “Chahaya, awak dengar sini. Aku berjanji yang aku akan sentiasa bersama awak tak kira apa. Aku tahu perasaan aku semakin mendalam terhadap awak. Aku tahu yang aku tidak mahu kehilangan awak. Aku minta maaf sebab aku mungkin bukan lelaki romantik atau pun lelaki yang pandai mengayat untuk mengambil hati perempuan. Aku pasti yang aku tahu apa yang aku mahukan. Dan aku mahukan awak. Aku mahu awak jadi kawan baik, isteri dan ibu kepada anak-anak aku nanti. Awak faham tak?”
Air mataku mula mengalir. Ya Allah! Aku amat cintakan lelaki ini.
Han mengelap air mataku dan aku biarkan saja. Dia memandangku. Aku dapat lihat kasih di dalam renungannya.
“Awak setuju? Kita kahwin?”
Aku anggukkan kepala. Han tersenyum. Aku tahu aku telah mengambil langkah yang besar dalam hidupku tetapi aku pasti pengakuan yang dibuat Han sebentar tadi adalah ikhlas dari hatinya. Aku pasti suatu hari nanti, hatinya akan terbuka sepenuhnya untukku.

Bila saya tulis bab ni, kadang-kadang ada yang berbisik di telinga... Nak bagi saya serba salah ler tu....tapi saya cuba kekal kan Chaya sebagai seorang gadis yang bijak berfikir...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience