Bab 17

Romance Completed 8896

BEBERAPA hari sebelum keluarga angkat baruku ini berangkat untuk menunaikan rukun Islam yang kelima, keadaan rumah sudah semakin suram. Aunty Jah kadangkala tidak lalu makan dan Umi juga aku lihat lebih banyak termenung dari berbual. Aku yang sentiasa bersama mereka waktu makan atau pun waktu rehat pasti menjadi pendengar luahan hati mereka. Aunty Jah sedih hendak meninggalkan anak-anak dan cucu-cucunya manakala Umi pula asyik teringat waktu dia ke Tanah Suci bersama arwah suaminya. Mungkin Uncle Mi sahaja yang kelihatan ceria untuk ke sana.
Kelengkapan dan barang keperluan sudah pun berada di dalam beg masing-masing yang kini teratur sahaja di perkarangan ruang tamu. Aku pun naik sedih juga. Pertamanya, kerana aku rasa aku sudah bergaul rapat dengan keluarga ini, terutama dengan Umi. Keduanya, selepas mereka pergi, aku tidak tahu apa reaksinya bila dia tahu aku tidak akan berganjak dari rumah ini seperti yang dimintanya.
“Chaya jaga diri dan Han elok-elok ya, Sayang,” perkataan ‘Sayang’ sudah mula digunakan oleh Aunty Jah untuk gelaran kepadaku sejak kebelakangan ini.
“Pasal Han, Aunty jangan risau. Chaya dan Pak Mus kan ada. Kalau ada emergency, Chaya janji Chaya call Abang Farid.”
“Nanti Chaya temankan Han buka cast di tangan dia tu. Uncle dah buat appointment dengan doktor di Gleneagles. Pak Mus akan ambil pagi-pagi lagi.”
“Err…itu minggu depan kan Aunty?” kataku. Takut kalau-kalau bertukar tarikh pula.
“Ha’ah. Aunty dah pesan banyak kali ke?”
“Dah banyak juga Aunty. Tapi tak pe. Aunty panik ni,” kataku sambil cuba berlawak.
“Itulah. Aunty memang panik. Kesian Han. Aunty risau kalau Han takut bila doktor nak buka kas tu. Dulu masa dia kecil, dia terjatuh sampai berdarah dahi. Aunty yang temankan dia masa doktor jahit luka tu. Aunty pegang tangan dia sampai semuanya selesai. Han kalau nak jumpa doktor pasti nak pegang tangan Aunty. Sampaikan nak cabut gigi dulu pun Aunty nak kena masuk juga.”
Ish. Aunty Jah cerita semua ni nak aku pegang tangan Han ke? Dia dah besar panjang. Memang sah manja Han ni berlebihan.

“Aunty nak saya pegang tangan Han ke nanti?” soalku dengan wajah yang selamba.
“Chaya boleh ke?” soal Aunty kembali dengan penuh harapan.
“Boleh. Nanti Chaya pinjam glove doktor. Chaya pegang tangan dia kalau dia takut.”
“Chaya ni memang berani ye dengan Han. Tak takut bila dia naik angin pun.”
“Chaya dari kecil dulu memang selalu kena marah. Masa sekolah rendah, sekolah menengah dan masa kolej.

Dah jadi perkara biasa. Dengan anak Aunty tu perkara kecil kena marah ni, asal jangan ambil hati sangat. ”
“Kesian Chaya. Aunty betul-betul berterima kasih dengan Chaya. Rasanya kalau Chaya terus tinggal dengan kami pun lagi bagus.”

“Kalau macam tu kau pinang je Chaya ni jadi menantu kau Jah. Apa yang susah sangat. Mak pun suka juga kalau Chaya di sini tiap-tiap hari,” kata Umi.

Nauzubillahiminzalik. Aku pandang Umi semacam. Aku buat muka sampai berkerut-kerut dahi sambil menggelengkan kepala. Cadangan Umi tu ibarat aku menempah maut. Adakah aku nak disatukan dengan lelaki berperangai seperti orang utan itu?
“Chaya nak ke anak bujang saya tu, Umi?”
“Tak naklah!” aku pula yang menjerit.
“Teruk sangat ke anak Aunty tu sampai Chaya tak sudi?” usik Aunty Jah ketika melihat aku seperti tidak senang duduk.
“Chaya tak nak terlibat dengan siapa-siapa pun sekarang ni. Chaya nak remain jadi anak dara sampai tua,” balasku.
“Mulut tu kena jaga sikit Chaya. Kalau jadi betulkan nanti tak ke menyesal,”
“Chaya tak kisah pun.”
“Sekarang mungkin tak kisah. Nanti bila Umi, Aunty dan Uncle tinggalkan kamu berdua duduk sama-sama dalam rumah ni, silap haribulan Chaya tersangkut. Haa..lepas tu baru nak rasa menyesal minta doa nak jadi anak dara tua.”
“Kenapa Umi cakap macam tu? Tak seronoklah. Hati Chaya baru nak lega dari kena lanyak steamroll tempoh hari. Chaya tengah kecewa ni. Mana ada chance nak sangkut-sangkut. Sebelum tersangkut, Chaya lari dulu Umi,” kataku hanya sekadar cuba melawak.
“Lagi pun Chaya rasa Han dah ada yang special. Cuba Aunty tanya siapa orang tu. Boleh Aunty pinang buat menantu”
“Betul ke Chaya? Macam mana Chaya tahu?”
“Hari tu masa Chaya bagi dia makan, dia tengah mesej-mesej dengan seseorang. Lepas tu senyum sorang-sorang. Awek dialah tu Aunty. Orang tengah bercinta selalunya macam tu. Kawan Chaya, Ula macam tu. Erin pun sama. Chaya pun macam tu juga suatu ketika dulu”
“Betul ke Han dah ada? Macam mana Aunty tak tahu pula. Siapa orangnya? Jangan-jangan budak perempuan yang dulu tu tak Umi?”
“Yang mana Jah? Han ramai kawan perempuan.”
“Alah mak, yang jadi model tulah. Budak tu yang saya selalu nampak Han asyik bawa balik. Siapa ye nama dia. Hah, Nina. Kawan si Nora masa sekolah dulu. Dia selalu ke sini juga. Lepas tu, tiba-tiba dia berhenti sekolah. Tup tup dah jadi model di UK. Selalunya kalau balik ke Malaysia, dia mesti jumpa Han. Masa buat majlis ulang tahun kami yang lepas, Han ada bawa dia juga. Agaknya budak Nina tu yang si Chaya ni katakan tak mak?”
“Yang datang bawa bunga besar tu ke? Yang rambut panjang berkilat tu? Kalau budak perempuan tu mak ingat sangat. Han asyik berkepit saja dengan budak tu.”
“Yang itulah.”
“Kalau Han berkenan si Nina tu, mak tak ada masalah. Cantik juga.”
“Mak nak ke perempuan pakai terdedah sana sini macam tu?”

“Budak tu baik sebenarnya. Mak tengok cara dia dengan perwatakan dia berlainan sungguh. Mungkin itu yang Han nampak. Alah, bab dia pakai terdedah tu, biarlah. Kalau Han nak juga, biarlah Han sendiri yang bimbing dia nanti.”

“Jah bukannya apa mak. Anak Jah tu dah lama sangat membujang. Kalau dapat menantu, bolehlah temankan kita di sini. Lepas tu kalau dah kahwin, Jah harap sangat Han boleh jalankan tanggungjawab sebagai seorang suami dan kemudiannya jadi bapa. Ini kalau dia tak bekerja, nak bagi makan apa anak-anak nanti?”

“Mungkin belum masanya lagi.”
“Nak tunggu sampai bila Mak?”
“Kita tunggu sahaja lepas balik dari Tanah Suci nanti,” balas Umi.

Aku melihat Umi merenung jauh seperti ada sesuatu yang bermain di fikirannya. Aku suka melihat wajah Umi. Lembut dan putih bersih. Sejuk mata memandang. Dalam beberapa minggu ini, Umi melayanku seperti salah seorang cucunya. Aku tertanya-tanya apakah yang Umi sedang fikirkan. Ingin sangat aku penuhi segala hajatnya. Kalau aku mampu.

---------------------------//----------------------------

KERETA Alphard hitam milik keluarga Uncle Mi bergerak keluar dari perkarangan rumah dan menuju ke laluan utama. Pintu pagar automatik perlahan-lahan menutup rapat. Akhirnya mereka sudah pun berangkat pergi untuk berkumpul di rumah keluarga Ikram di Nilai. Ikut perancangannya, malam ini akan diadakan majlis tahlil bersempena majlis untuk meraikan pemergian mereka ke Tanah Suci. Esok pagi, mereka akan berangkat ke lapangan terbang KLIA.
Umi dan Aunty Jah menangis sepuas hati sebelum mereka pergi sebentar tadi. Kalau ikut rasa hati, aku cuba tahan daripada menangis, tetapi sebaik sahaja Aunty Jah memelukku, aku terus sebak. Kalau bab menangis, aku memang sukar untuk mengawal perasaan. Aku pun turut menangis. Berderai air mata. Apatah lagi apabila Umi memeluk dan mencium aku. Pesanan mereka untuk jaga diri dan jaga Han tidak lekang sehingga mereka masuk ke dalam kereta. Aku mengelap air mata dengan tisu dan mengangguk sahaja.
Aku tengok tadi semasa Aunty Jah peluk anaknya itu, aku nampak wajah sedih Han. Lelaki itu seorang yang cukup tabah. Dia masih mampu tersenyum dan berjenaka tentang pemergian keluarganya ke Mekah. Watak Han sungguh berbeza sekali. Bila dia bersama keluarganya seperti sebentar tadi, aku nampak watak seorang anak yang penyayang. Sikapnya tidak terbuka apabila dia bersama dengan orang lain, terutamanya orang yang dia tak suka. Dia lebih suka menyendiri dan membuat hal sendiri daripada bergaul dengan orang lain.
Aku berjalan masuk ke dalam bilik Han. Aku ingin tahu kalau dia ada sesuatu yang diperlukan sebab aku ingin berehat di dalam bilik sehingga ke petang. Mentalku agak lemah akibat perpisahan sebentar tadi. Aku memberi salam lalu terus menuju untuk mengambil mangkuk dan pinggan lauk pauk yang sudah tinggal sisa. Luka di tangan Han sudah baik dan sejak seminggu yang lalu dia sudah pun menyuap makan sendiri. Han sedang tekun menggunakan komputer ribanya. Aku angkat dulang dan sebelum aku menuju keluar aku tanyakan kepadanya kalau dia perlukan sesuatu. Lama aku tunggu jawapan tetapi tidak ada bunyi langsung yang keluar daripada Han. Baru aku hendak menapak pergi, dia bersuara.
“Lepas kau dah kemas semua barang tu, aku nak kau berambus dari sini.”
Aku buat tak dengar sahaja. Aku tahu aku akan mengundang marahnya nanti. Namun untuk berganjak keluar daripada rumah ini tidak sekali-kali.

“Dia suruh saya pergi dari sini,” aku mengadu dengan Pak Mus dan isterinya yang sedang duduk berbual di dapur. Kini, tinggal aku dengan Han di dalam rumah bersama-sama dengan Pak Mus dan isterinya, yang aku kenali sebagai Mak Teh.

Mujur ada Pak Mus dan Mak Teh. Boleh aku luahkan perasaan. Pak Mus memang rajin melayan aku bersembang kalau dia tengah tunggu Uncle Mi atau tengah mengemas kereta. Aku tahu Pak Mus sudah lama bekerja dengan keluarga Uncle Mi. Pernah aku tanya Pak Mus tak kisah ke nak temankan aku dengan Han sebab kalau Han tak kemalangan, mesti Pak Mus dah boleh bercuti rehat sementara Uncle Mi pergi haji. Pak Mus kata dia tak ada masalah. Kalau dia duduk rumah pun, dia tak banyak kerja nak buat. Elok juga kalau dia ke sini. Boleh jaga pokok-pokok Aunty Jah. Dia pun dah biasa juga sekali sekala jadi tukang kebun di rumah ni. Mak Teh pun selalu ke sini menolong kalau ada majlis kenduri.

Rumah Pak Mus dan Mak Teh tak jauh dari kawasan elit ini. Dia kata seberang jalan sebelah kawasan Sungai Ramal. Aku pun tak pasti kawasan mana sebab aku bukan tahu sangat kawasan Kajang-Bangi ni. Kata Pak Mus, tak sampai sepuluh minit saja kalau naik motosikal. Cumanya, Mak Teh tak boleh datang meneman waktu malam kalau anak mereka bertugas shif malam.

“Biarlah. Han tu dari sekolah lagi memang susah nak berkawan. Selalu menyendiri. Kawan pun tak ramai. Chaya biarkan saja. Bukan dia boleh buat apa pun,” kata Pak Mus.
“Chaya malaslah nanti kalau dia bising dekat Pak Mus. Tapi kalau dia suruh Pak Mus halau Chaya, Pak Mus jangan layan dia ye,” aku pesan pada Pak Mus.
“Seingat Mah Teh, Han tak pernah nak susahkan orang. Itu yang Mak Teh rasa dia tak nak Chaya di sini. Dia tak nak susahkan Chaya, agaknya,” jelas Mak Teh.

Aku diam. Aku minum air teh yang Mak teh sediakan. Mungkin betul juga kata Mak Teh. Dia kenal Han lagi lama daripada aku.
“Kejap lagi Pak Mus pergi jumpa dia. Nak tanya dia nak makan apa malam ni.”
“Kalau order goreng-goreng, Chaya tumpang kirim nasi goreng USA satu. Nanti Chaya bagi duit kat Pak Mus ye.”

“Eh, tak payah. Datuk dah bagi awal-awal duit belanja makan. Anak saudara Pak Mus ada kedai makan. Datuk dah minta Pak Mus uruskan dengan anak saudara Pak Mus untuk bekalkan makanan kamu dengan Han. Hari-hari mereka akan hantar makanan. Tapi kalau Chaya dengan Han teringin nak makan yang lain, order saja. Tak ada masalah pun.”
“Wah! Baguslah kalau macam tu. Kalau boleh nasi goreng USA satu Pak Mus. Lama Chaya tak makan.”

MENJELANG Maghrib, aku rasa tidak sedap hati. Memang aku agak penakut sedikit. Bilik Nora memang luas. Walaupun aku pasang lampu, rasa seram tetap ada. Selesai solat Maghrib, aku buat keputusan yang aku akan berkampung tidur setiap malam di ruang keluar banglo ini sehingga keluarga Uncle Mi kembali. Sekurang-kurangnya aku dekat dengan semua orang. Pak Mus dan Mak Teh memang guna bilik bibik dekat dengan dapur. Asalkan Pak Mus berada di dalam kawasan yang sama, aku rasa selamat sedikit. Tadi aku tolong Mak Teh kemaskan bilik tu. Aku ambil dua bantal dan cadar dari bilik stor. Aunty Jah dah pesan awal-awal dengan aku. Dia kata kalau dia pesan pada Pak Mus, Pak Mus mesti tak akan pakai bantal dan cadar dari rumah ni. Mesti dia angkut dari rumah dia. Mujur aku pantas cantas niat Pak Mus. Mak Teh pun teragak-agak tadi tapi aku memang boleh yakinkan orang supaya dengar cakap aku. Yang aku susah nak yakinkan dengar cakap aku ialah Papa seorang saja.
Aku turun tangga dengan bantal dan selimut dan letakkan di atas sofa di ruang keluarga yang mempunyai skrin tv pintar yang besar. Kawasan ini tertutup sedikit, jadi aku rasa sesuai untuk aku berkampung. Pada mulanya aku ingat hendak berkampung di ruang tamu utama sebab ia dekat dengan bilik Han tetapi kerana aku rasa ruang tamu itu tiada tv dan juga terlalu eksklusif untuk aku, ruang keluarga ini menjadi pilihan. Aku ingat nak jadikan sofa sebagai tempat tidur, tapi aku fikir mungkin Aunty Jah tidak suka sembarangan orang tidur di sofa. Jadi aku buat keputusan tidur di atas karpet sahaja. Aku bertegur sapa dengan Mak Teh yang tolong menghidangkan makan malam untuk kami. Aku kata aku akan makan kemudian. Biar aku hantar dulu makanan kepada Han.
Han terkejut melihat aku yang masuk seraya memberi salam.
“Aku suruh kau blah dari sini, kenapa kau masih nak lepak lagi?”
“Saya tak boleh pergilah Encik Han. Saya kena jaga amanah keluarga Encik Han.”
“Jaga amanah? Amanah apa yang kau cakapkan ni?”
“Pastikan Encik Han ok sepanjang keluarga Encik Han ke Tanah Suci. Pesanan orang yang nak pergi buat ibadah ni saya tak boleh ambil mudah. Jadi saya harap Encik Han bersabar sajalah selama sebulan ni sehingga mereka balik dari sana. Bila mereka balik nanti, saya janji saya akan pergi.”
“Masalahnya aku tak suka tengok kau di sini. Kalau aku tengok muka kau tiap-tiap hari, aku rasa aku boleh sakit jiwa.”
Kalau lelaki ini mahu cari pasal, memang silap oranglah.
“Saya boleh faham perasaan orang macam Encik Han. Terkurung dua puluh empat jam dalam bilik ni. Lepas tu dengan orang luar pula. Mungkin orang yang Encik Han tak suka. Kalau saya jadi macam Encik Han, saya sendiri pun boleh sakit jiwa.”
“Pandai betul kau bercakap. Kalau kau rasa kau pun boleh sakit jiwa, lebih baik kau jangan layan aku. Kau pergi sahaja dari sini. Keluar enjoy dunia kau di luar sana tu. Aku pasti ada banyak benda yang kau nak buat yang lebih baik daripada menjaga aku di sini.”
“Memang betul tu, Encik Han. Saya memang prefer buat benda lain, tapi seperti yang saya katakan, ramai yang menaruh kepercayaan dan harapan untuk saya pastikan kebajikan Encik Han terjaga.”
“Aku kata aku tak perlukan bantuan sesiapa pun. Aku boleh jaga diri aku sendiri. Aku bukannya budak kecik yang perlukan babysitter macam kau.”
“Itu saya tahu. Saya boleh nampak Encik Han bukan budak kecil lagi tetapi kaki dan tangan Encik Han tu …”
“Aku kata aku tak perlukan kau. Lebih baik kau kau buat hal kau sendiri.”
“Encik Han pasti nak saya buat macam tu?”
“Kau ingat aku tak boleh jaga diri aku sendiri?”
Aku geram dengar jawapan orang yang begitu yakin dengan dirinya sendiri tetapi tidak sedar diri. Baiklah. Kalau dia tidak perlukan bantuan aku, biar aku ajar sikit anak manja Aunty Jah dan Uncle Mi ini.
“Baiklah. Encik Han nak jaga diri sendiri kan? Encik Han tak perlukan bantuan saya, kan? Macam inilah. Mulai hari ini saya tumpang tinggal di rumah Encik Han sampai keluarga Encik Han balik sebab saya tak mahu lepas tangan tanggungjawab saya. Encik Han boleh buat ikut cara Encik Han dan saya tak akan masuk campur langsung. Saya minta maaf kalau kedatangan saya di sini menyusahkan Encik Han. So with that, please excuse me.”
Aku terus keluar membawa dulang sehingga ke dapur. Tekanan jiwa betul dengan lelaki seperti itu. Biarkan dia. Kalau dia nak sangat jaga diri dia sendiri. Biarkan. Aku teringin sangat tengok macam mana dia jaga diri dia sendiri. Aku ingin tunggu dan lihat. Ligat otakku berfikir apa alasan kalau Mak Teh atau Pak Mus tanya kenapa Han tak makan. Kalau buang, membazir pula. Akhir sekali, aku sembunyi di suatu sudut dan berusaha menghabiskan makanan Han dengan cepat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience