BAJU kurung hijau itu memang kena denganku. Itulah kata Mami Zan ketika melihat aku menyarungkan baju itu ke badanku. Aku sepitkan rambutku ke sisi dan kenakan solekan yang ringkas sekali. Aku mahir juga kalau menyolek diri sendiri. Inilah untungnya berkawan dengan seorang pramugari. Walaupun aku tidak bersolek selalu, sekali sekala bila aku kenakan mekap, nampak juga perubahan wajahku ini. Dengan solekan tumpuan di bahagian mata, aku rasa aku nampak segar dan ringkas. Langkah pertama aku untuk berhadapan sebagai tunang Han.
Sejak Han hantar aku balik ke Seremban, telefon pintarku sering berdering. Selain daripada kakak-kakakku yang menelefon, Erin antara orang pertama yang terlalu gembira mendengar berita pertunanganku. Katanya malam ini dia tidak dapat bersama kerana dia baru sahaja selesai dengan penerbangan dan kini berada di luar negara. Bila Erin sudah tahu, bermakna Nadia juga mendapat berita yang sama. Dia juga buat panggilan memberitahu yang dia gembira dengan pertunangan aku. Mungkin dia rasa lega sebenarnya. Nizam kini miliknya seratus peratus. Memandangkan aku bertunang lebih awal daripadanya, dia ingatkan aku supaya membawa Han sekali ke majlis pertunangannya nanti. Aku kata tengoklah, sebab bakal ‘suamiku’ itu terlalu sibuk..
Keluarga aku berangkat sebaik sahaja selesai solat Maghrib. Keluargaku termasuklah abang-abang iparku. Uncle Omar dan Aunty Elis akan menunggu kami di persimpangan masuk ke tol lebuhraya. Perjalanan ke Kajang tidak lama. Kami sampai di perkarangan rumah Han lebih kurang pukul lapan setengah malam. Seperti masa yang dijanjikan. Setibanya di situ, kellihatan banyak kereta di kiri dan kanan jalan. Hatiku berdebar. Aku sangkakan majlis itu kecil sahaja. Hanya keluarga Han dan keluargaku. Melihatkan jumlah kereta, aku syak jemputan keluarga Han lebih ramai daripada jangkaanku.
Papa meletakkan kereta jauh sedikit dari pintu masuk utama. Cahaya kelihatan menerangi kawasan laman di luar rumah. Kawasan yang sama aku dan Han anjurkan majlis kecil untuk Nina. Suasana kedengaran meriah. Sebaik sahaja tiba di depan pintu pagar besar itu, Uncle Mi dan Aunty Jah sudah pun menunggu kedatangan kami. Keluargaku bersalaman dengan mereka. Mereka memelukku dengan penuh kasih sayang. Malu pula aku kali ini. Dahulu aku datang sebagai tetamu yang menjaga anak mereka. Kini aku datang sebagai bakal isteri anak mereka.
Han tiada bersama. Sekali sekala mataku liar mencari. Majlis makan semuanya di bahagian laman tetapi Aunty Jah memimpin aku masuk ke dalam rumah. Umi sedang duduk di sofa. Han sedang berbual dengannya. Sebaik sahaja aku masuk, Umi mendepakan tangannya. Aku terus masuk ke dalam pelukannya. Tidak menghiraukan orang di sekelilingku. Aku rindukan Umi. Dia memeluk dan mencium aku. Tidak lekang mulutnya berbisik terima kasih kerana aku menerima cucunya itu. Aku kini faham permintaan Han dahulu tetapi pada masa yang sama aku rasa bersalah. Bagaimana dengan Umi kalau hubungan aku dan Han berakhir nanti?
Aku bangun. Umi pun bangun apabila Uncle Mi mengajak kami keluar untuk memulakan majlis. Bila aku mula bergandingan dengan Umi, tiba-tiba dia berhenti. Dia tersenyum dan melihat ke arah belakangku. Tidak menoleh pun aku sudah tahu. Han berada di belakangku. Aku berpura-pura seperti biasa padahal kaget juga melihat dia segak berpakaian kemas lengkap berbaju Melayu. Tiada jambang atau pun kumis. Mukanya bersih sekali. Rambutnya pendek disisir rapi. Senyumannya, walaupun sesaat ketika aku bertembung mata dengannya, buat aku terpesona. Terpaksa aku cari fokus lain untuk hilangkan rasa gugup. Apa nak buat. Aku pandang Umi.
Umi pandang aku ketika itu. Senyumannya bagaikan tahu masalah yang aku hadapi. Ingatkan dia faham. Sekali dia panggil Han berdiri di sebelahku. Lagi dekat dengan aku. Beranikah aku? Kenapa tidak? Aku menoleh dan memberikan senyumanku yang paling manis kepada Han. Mata kami bertembung buat seketika. Seperti suatu kejutan elektrik dapat kurasai sehingga meremang seluruh badan. Aku terus berpaling dan berjalan perlahan keluar menuju ke laman.
Aku melihat Uncle Mi dan Aunty Jah berdiri di hadapan laman. Mereka yang berada di situ secara spontan berkumpul mengelilingi kawasan, memberi perhatian kepada Uncle Mi dan Aunty Jah. Uncle Mi mengalu-alukan kedatangan semua yang berada di situ. Dia kata dia sungguh gembira pada hari ini.
Han bisik betul-betul di telingaku.
“Aku suka kau pakai baju ini. You look lovely.”
Nafasku berhenti seketika.
Aku dengar ucapan Uncle Mi yang memberitahu tetamu bahawa hari ini dia mendapat hadiah yang terbaik untuk hari jadinya. Oh. Rupa-rupanya hari jadi Uncle Mi.
“You smell nice too,” bisik Han perlahan lagi.
Kali ini aku rasa seperti hampir terkena serangan panik. Jantung berdebar kencang dan nafas tidak terkawal.
Uncle Mi katakan bahawa anak lelakinya sudah ada calon yang sesuai. Seorang gadis yang lain daripada yang lain. Akukah itu?
“Kau memang lain Chahaya.”
Tolonglah. Jangan berbisik lagi. Telinga aku geli tiba-tiba.
Uncle Mi memanggil nama Han dan aku. Eh! Kenapa tiba-tiba panggil ni? Aku semakin panik. Han menarik tanganku. Aku berjalan sehingga kami berada di sebelah Uncle Mi. Aku hilang ingatan buat seketika. Aku sedar yang Han menyarungkan cincin di jari manisku dan tetamu bertepuk tangan. Lagi riuh tepukan bila Han menarik tanganku dan mencium cincin di jariku. Berlakon. Ini semua lakonan sahaja.
Ramai yang menghampiriku dan mengucapkan tahniah. Ada wajah yang ku ingat ketika di Cherating dahulu. Aku hanya mampu tersenyum. Daripada berdiri bersebelahan, Han mula pegang-pegang tangan. Kini, Han sudah berani memaut pinggangku. Aku curi pandang Papa dan kakak-kakakku. Mereka buat tak kisah. Aku beri signal kepada Kak Suri supaya datang menyelamatkan aku. Namun, Kak Suri hanya menghenjut bahu tanda malas nak membantu.
“Saya minta maaf. Saya rasa tunang saya ni kurang sihat sikit malam ni. Dia kerja lewat semalam,” aku dengar Han memberi alasan kepada beberapa saudara yang sedang berbual dengan kami. Han memimpinku. Kami menaiki tangga, menyusuri laluan tangga yang penuh dengan budak-budak remaja melayan telefon masing-masing. Aku ikut Han sehinggalah aku sedar yang aku sampai ke sebuah bilik.
“Masuklah. Kau rehat dalam bilik ni. Nanti aku ambilkan kau makanan. Kau mesti lapar, bukan?”
Aku angguk sahaja. Aku lihat di sekelilingku. Aku belum pernah masuk ke bilik ini semasa aku tinggal di sini dahulu. Sekali lihat sahaja, aku sudah tahu bilik ini milik Han. Peta dunia terpampang luas di dinding bilik. Aku menuju ke meja tulis yang berhampiran dengan tingkap. Aku lihat beberapa buah buku pelancongan. Tersenarai beberapa negara di Asia Tenggara. Pasti Han sudah ke sana kerana aku lihat setiap buku seperti bertanda. Seterusnya aku melihat beberapa hiasan rak meja. Gambar Han ketika remaja dengan beberapa orang rakannya. Aku nampak Lucifer dan Sam. Memang Sam kelihatannya seperti ulat buku dengan kaca mata besar dan wajah Lucifer nampak nakal. Dua kali pandang baru aku nampak Han. Aku hampir tidak percaya. Han di dalam gambar ini sungguh bulat sekali. Walaubagaimanapun, aku masih nampak iras Han remaja dan Han sekarang.
“Umur aku enam belas tahun masa tu.”
Aku berpaling memandang Han dengan dulang di tangannya.
“Awak dah berubah. Malam ni pun awak nampak lain sikit,” kataku.
Mesti kau terkejut tengok tunang kau ni handsome, kan?” soalnya pelik sedikit.
“Jangan nak perasan. Malam ni, awak baik sikitlah.” Aku maksudkan layanan dia agak berbeza berbanding biasa tetapi aku tak tahu bagaimana untuk menyatakan apa yang kufikirkan.
“Semua orang ada sini. Takkan aku nak buli kau. Lagi pun kalau aku tak layan kau dengan baik, mampus Umi jeling aku nanti,” kata Han.
Aku ketawa kecil.
“Eh, okay ke kalau saya duduk di sini. Mereka tak cari ke nanti?”
“Semua orang tahu kau ada dengan aku sekarang. Perkara biasakan untuk orang yang baru bertunang. Kalau kahwin nanti pun tak kan mereka nak kacau kita juga.”
“Eh sorry. Siapa nak kahwin dengan awak? Kita kan berlakon saja,” kataku.
“Aku acah saja. Nak tengok reaksi kau. Ni aku ada bawakan makanan untuk kau. Makanlah kalau kau lapar.”
“Sebenarnya lapar juga. Apa dia? Mmm…nasi briyani. Sedapnya. Awak dah makan ke belum?”
“Aku makan awal tadi lagi. Kau makanlah. Aku keluar sekarang. Kau rehat puas-puas. Kalau nanti kena berkumpul balik, aku cari kau.”
Aku makan briyani yang ada. Ayam bakar dengan rencah yang sungguh menyelerakan. Sambil aku makan, sambil aku tatap gambar Han. Makin lama aku tatap makin aku suka lihat wajah bulatnya. Tentulah aku suka wajahnya yang sekarang. Tambahan pula layanan yang dia berikan kepadaku malam ini sungguh berlainan daripada Han yang aku kenali dahulu.
“NAK Chaya tidur sini? Seganlah Umi,” kataku kepada Umi sebaik sahaja keluargaku minta izin untuk pulang.
“Apa yang nak segan pula. Rumah ni pun nanti jadi rumah Chaya juga,” tambah Aunty Jah. Han hanya berdiri di belakang Mamanya sambil melihatku serba salah. Papa dan Mami Zan tidak ambil kisah langsung. Mika yang berada di sebelah tiba-tiba mencelah. Baik betul adikku ini kerana prihatin terhadap keperluanku.
“Kak Chaya mana ada bawa barang untuk bermalam di sinilah Papa.”
“Ha’ah. Chaya tak ada pakaian salinlah Papa. Chaya ingat lain kali sajalah Chaya ke sini. Boleh kan Aunty Jah, Umi?” balasku.
“Semalam sahaja Chaya,” pujuk Aunty Jah.
“Tidur sajalah Chaya. Semalam sahaja. Lagi pun inilah masanya Chaya nak berbincang dengan Han,” kata Papa.
“Nak bincang apa?” aku pula soal kembali.
“Bincang apa saja yang perlu dibincangkan.”
“Err….tak bolehlah Papa. Barang Chaya ada di Seremban. Lusa Chaya terus ke tempat kerja,” balasku.
“Alah, kalau pasal hal tu, esok pagi, Han boleh hantarkan Chaya ambil barang di Seremban, bolehkan Han?” tanya Aunty Jah kepada anak bujangnya.
“Han senang esok Mama. Nak minta Han buat apa saja pun boleh Mama.”
“Hah, Han dah kata ok tu Chaya. Bermalam sajalah di sini. Guna bilik Nora. Nanti kalau nak tidur, pakai saja mana-mana baju dia yang kamu berkenan.”
Hendak atau tidak, nampak seperti aku tiada alasan lagi. Dengan berat hati, aku ucapkan selamat malam kepada keluargaku. Mika siap menyoal aku sama ada aku mahu pulang kerana katanya dia ada banyak lagi idea untuk menolongku. Aku suruh dia simpan idea. Kelak mungkin berguna untukku.
Waktu sudah pun melewati pukul dua belas malam. Aku keluar dari bilik Nora. Kedengaran para pekerja masih lagi mengemaskan saki baki khemah dan kerusi majlis awal malam tadi. Aku turun bawah dan nampak Uncle Mi sedang berbual dengan dua orang lelaki di ruang tamu. Aku terus ke dapur. Aunty Jah sedang mengarahkan bibik untuk mengemas beberapa bekas berisi makanan. Tok Umi mungkin sudah tidur dan aku tidak nampak Han di mana-mana. Aku tegur Aunty Jah.
“Ada apa yang Chaya boleh tolong?”
“Laa..Chaya belum tidur lagi ke? Dah malam ni. Kenapa? Susah nak tidur?” katanya sambil membasuh tangannya di sinki.
“Belum rasa nak tidur lagi.”
Aunty Jah menyuruh bibik supaya menyimpan bekas makanan di dalam peti sejuk sebelum mengarahkan bibik masuk tidur.
“Aunty tak penat ke?” soalku.
“Penat tu adalah sikit tetapi nak kena buat juga. Uncle Mi yang beria-ria nak buat majlis ni. Alasan buat sambutan hari jadi tetapi yang sebenarnya nak sambut Chaya ke sini.”
“Malu Chaya Aunty.”
“Apa nak malunya? Takkan dengan kami pun nak malu?” kata Aunty Jah sambil memimpin tanganku ke ruang rehat keluarga. Tempat aku berkampung dulu. “Kita berbual sebentar ye. Ada perkara Aunty nak beritahu Chaya.”
Kami duduk berdua. Aunty Jah memegang tanganku. Aku tersenyum melihat wajahnya yang iras-iras kacukan Cina Melayu.
“Semasa kami pergi melawat bapa Ikram di Nilai, kami nampak gambar Chaya dalam album pertunangan Erin dan Ikram. Menurut cerita, gambar tu tersesat di dalam album. Erin terlupa nak serahkan kepada Chaya. Kami ambil gambar tu. Sepakat kami nak melamar Chaya selepas balik dari situ. Terus Uncle Mi telefon Papa kamu. Yang selebihnya, Chaya sendiri pun tahukan. Kami tak sangka Chaya terima pinangan kami. Aunty Jah sekeluarga bersyukur sangat yang Chaya dapat terima Han.”
Aku dengar sahaja cerita Aunty Jah dengan tenang.
“Aunty nak berterus terang. Semasa kami pinang Chaya, Han tak tahu menahu langsung pasal hal ini. Bila dia balik barulah kami beritahu yang kami sudah ada pilihan untuknya. Biasalah. Pada mulanya dia mengamuk sebab dia tak tahu siapa pilihan kami. Kemudian bila kami tunjukkan gambar Chaya yang kami ambil dari rumah Ikram, dia terus diam. Dia kata biar dia jumpa Chaya dulu. Kami ingatkan dia nak putuskan pertunangan ni. Ingat kami tak kenal perangai dia tu. Alhamdulillah, doa kami termakbul juga. Dia terima Chaya dan terima kasih kerana Chaya sanggup terima dia.”
Aunty Jah membelai rambutku yang pendek itu. Aku dapat rasakan belaian keibuannya. Aku tidak tahu bagaimana mahu membalas kata-kata Aunty Jah. Bagaimana pula nanti bila semuanya ini berakhir?
“Setakat ini, Chaya dengan Han baru nak kenal satu sama lain Aunty. Bagilah kami masa untuk kenal lebih lagi.”
“Ish…ingatkan dulu masa kami tinggalkan Chaya berdua, dah kenal satu sama lain.”
“Dulu lain, Aunty. Dulu taraf kami pekerja dan majikan. Sekarang dah naik pangkat sikit,” balasku.
Aunty Jah ketawa mendengar jawapanku.
“Apa yang ketawa sangat tu, Jah,” tegur Uncle Mi yang tiba-tiba muncul di ruang rehat melihat kami berdua.
“Ni si Chaya. Dia kata dia baru nak kenal anak bujang abang tu.”
“Eloklah tu. Chaya dengan Han dah ada tarikh ke belum?”
Aku garu tengkukku tiba-tiba.
“Ish abang ni. Biarlah mereka kenal hati budi dahulu. Nanti pandai-pandailah mereka tentukan tarikh tu sendiri. Orang muda sekarang ni semuanya nak buat sendiri. Kita yang dah tua ni ikut sahaja.”
“Apa-apa pun jangan ambil masa lama sangat tau,” kata Uncle Mi kepadaku. Kemudian dia beritahu isterinya yang semua kerja di luar sudah pun selesai dan dia ingin masuk berehat dan seterusnya tidur.
“Aunty ingat aunty pun nak masuk dulu. Kalau Chaya nak menonton, jangan berjaga lewat sangat. Tak elok untuk kulit tu. Aunty naik dulu ye.”
Sebaik sahaja Aunty Jah naik, aku ingat aku mahu menonton sahaja. Sebaliknya, aku terasa ingin ke bilik yang didiami Han ketika dia sakit dahulu. Bilik itu ada banyak bahan bacaan. Lebih baik aku membaca sesuatu daripada aku menonton televisyen. Aku masuk ke dalam bilik bacaan itu dan nyalakan lampu. Tiada lagi katil atau meja yang digunakan oleh Han suatu ketika dahulu. Aku melewati rak buku melihat kalau ada bahan yang boleh aku jadikan santapan minda. Banyak buku berkaitan dengan kewangan dan ekonomi. Ada juga beberapa buah buku perundangan. Aku ambil satu buku itu dari rak dan menyelak beberapa helaian. Kurang menyeronokkan kalau buku tiada gambar. Hanya tulisan sahaja. Aku letak kembali buku itu di tempat asalnya.
Aku ke sebuah rak almari. Ada pelbagai buku berwarna warni. Aku pasti buku-buku di dalam rak ini milik Aunty Jah. Aku lihat satu per satu senarai judul buku yang ada. Aku tersenyum seorang diri bila aku lihat satu tajuk buku ialah menjadi isteri solehah. Wah! Terlalu awal untukku membaca bahan sebegini. Sepatutnya kena ada satu tajuk buku untuk memikat hati bakal suami. Kalau begitu, barulah aku teringin untuk membaca. Aku lihat lagi buku yang ada. Akhirnya aku tarik satu buku keluar dari rak itu. Buku yang berkaitan dengan reka hias dalaman. Sebenarnya tiada kaitan dengan aku kerana aku memang tidak berminat bab hias menghias tetapi kulit buku itu menarik minat aku. Aku selak halaman pertama. Selak halaman kedua. Dan seterusnya. Kebanyakan halaman ada banyak gambar, aku ambil buku itu dan bawanya ke kerusi rehat di bilik itu. Aku duduk dan menyelak halaman seterusnya.
AKU sedar bila ada tangan kasar yang membelai pipiku. Sebaik sahaja aku buka mata, wajah Han betul-betul di hadapanku. Terkejut aku. Pantas aku anjakkan wajahku. Buku yang kupegang pun terjatuh ke lantai. Aku dengar Han ketawa kecil sambil mengambil buku yang jatuh. Dia berlutut di sebelah kerusi yang aku duduk. Aku kaku di tempatku yang hanya melihat gelagat Han di depanku. Bukan sekadar lemah sendi lutut. Malah urat sendi aku longgar semuanya bila aku lihat Han menatap aku sebegitu rupa. Aku was-was juga. Aku tertidur tadi. Mana tahu kalau aku hanya bermimpi. Namun, bila aku dapat rasa sentuhan Han sekali lagi ke mukaku, aku tahu aku tidak bermimpi.
Jari jemari Han bermain di pipiku dan terus membelai rambutku. Wajahnya dekat denganku .Matanya lekat melihat bibirku. Aku dapat bayangan yang dia ingin menciumku. Imiginasi akukah? Semakin wajahnya hampir, semakin aku tidak keruan.
“Jangan,” kataku kepadanya.
“Jangan apa?” soal Han sambil tersenyum. Jarinya masih di rambutku.
“Jangan buat apa yang awak nak buat.”
“Apa yang aku nak buat dengan kau?”
“Err…tak tahu dan tak pasti tapi saya takut kalau awak ada niat nak buat perkara yang tak senonoh pada saya.”
Han ketawa lagi.
“Aku suka tengok muka kau. Beberapa hari ini aku perasan aku suka tengok muka kau.”
“Tapi muka saya biasa-biasa saja. Tak ada apa yang menarik pun,” aku berdolak dalik Aku malu tapi aku suka bila Han berkata begitu padaku. Tentulah suka.
“Aku juga suka kalau kau bercakap. Ada saja jawapan yang kau berikan.”
“Saya cakap apa yang saya rasa nak cakap.”
“Itulah yang aku maksudkan. Kau bercakap ikut sedap mulut kau saja. Kau tak simpan apa yang kau nak kata. Itu yang buat aku sukakan kau.”
“Awak suka saya?” hatiku berdebar sungguh. Han buat pengakuannya di hadapanku sekarang dan pada, aku lihat jam, pada pukul hampir dua pagi. Dia suka aku yang bagaimana? Patutkah aku tanya dia?
“Awak….awak suka saya? Suka yang bagaimana?” soalku lagi. Han hanya menatapku. Matanya tepat memandangku.
“Aku suka. Betul sukakan kau. Aku selalu fikirkan kau. Kau buat aku tak senang duduk. Entah, aku pun tak tahu kenapa dan bagaimana.”
Pengakuan Han buat hatiku betul-betul cair. Aku tidak berdaya untuk berkata apa-apa.
“Aku ada cadangan,” kata Han sejurus kemudian. Baru nampak romantik, tiba-tiba dia kelihatan serius. Potong stim betul.
“Kita teruskan sahaja pertunangan ini sehingga kita betul-betul bersedia.”
“Ma..Maksud awak?”
“Aku sukakan kau dan aku tahu kau pun sukakan aku. Betul kan?”
Aku tidak menjawab. Aku tidak mengangguk. Aku tidak tahu bagaimana untuk membalas pertanyaan Han.
“Kalau kau tak mahu mengaku pun, aku tahu. Kalau kita rasa yang kita suka satu sama lain, apa kata kau dan aku beri peluang kepada diri masing-masing dan lihat sama ada kita boleh teruskan hubungan ini.”
“Awak nak kita terus bertunang dan kemudian kahwin?”
“Itu yang aku cadangkan, melainkan kau ingin tarik diri, kau beritahu aku sekarang,” kata Han. Tangannya mula menjalar membelai rambut pendekku. Bagaimana aku hendak berfikir sedangkan terganggu dengan belaian itu. Aku menepis perlahan tanganya. Bila aku tepis, tanganku pula yang menjadi mangsanya. Han mula menggenggam tanganku.
“Bagaimana?”
“Kita boleh cu…cuba,” kataku gagap.
“Baiklah. Kita cuba ya,” sambut Han. Dia menarik tanganku dan mula mencium jari jemariku. Aku separuh tewas bila diperlakukan begitu. Dengan kekuatan yang masih ada, aku menarik tanganku dengan pantas. Bahang disentuh bibir Han masih dapat kurasakan. Aku takut kalau aku lama berada di sini, aku tidak dapat mengawal perasaan. Kurang ajar syaitan, aku maki dalam hati. Aku terus bangun berdiri. Hanya ada kerusi rehat itu yang memisahkan kami berdua. Han turut bangun.
“Sa..saya masuk tidur dulu,” kataku.
“Kau takut dengan aku?”
“Saya tak takut dengan awak, saya takut dengan saya,” jawapanku yang pantas buat Han ketawa besar.
“Kau nak keluar, tak? Kita cari fast food dan kita boleh berbual di sana.”
“Sekarang ke?”
“Sekaranglah.”
“Tak mahulah. Nanti kita balik lambat, saya tidur lambat, bangun lambat. Malulah dengan keluarga awak nanti.”
“Apa nak malukan. Esok hari minggu. Mama dan Umi selalunya keluar lambat dari bilik. Mereka tak kisah kalau kau bangun lambat pun.”
“Mereka memanglah tak kisah. Tapi saya kisah.”
“Aku janji, kita keluar sejam dua sahaja. Lepas tu kita balik. Amacam? Nak tak?”
“Janji? Ok. Jangan lambat sangat.”
Share this novel