AKU dengar ketukan di pintu. Perlahan-lahan aku bangun. Entah berapa jam lama aku tidur? Sambil menggosok mata dan menyarungkan kain tudung, aku bangun membuka pintu. Bila aku nampak Han yang sedang berada di luar, aku terus ke katilku semula. Penat. Lebih baik aku sambung tidurku yang terganggu sebentar tadi.
“Dah makan tengahari ke belum?” soalan Han aku dengar gitu-gitu sahaja.
“Mmm…” balasku. Malas untuk melayan cakap. Agaknya masa sudah melewati tengahari. Kalau tidak, dia tidak tanya soalan itu kepadaku. Mataku pejam rapat. Cuba untuk tidur semula dan aku rasa aku hampir berjaya kalau tidak kerana soalan seterusnya.
“Kalau awak belum makan, mari temankan aku makan,” katanya.
Teman suami atau tidur? Teman suami atau tidur? Teman suami atau tidur? Mataku pejam tetapi akalku berfikir.
“Saya malaslah. Saya nak tidur. Kalau awak nak makan, awak makanlah,” kataku.
“Betul awak tak nak makan?”
“Betul. Saya nak tidur sikit lagi,” balasku.
Aku terus layan perasaan untuk tidur. Dalam aku sedang dibuai tidur yang nyenyak, aku rasa badanku digoncang-goncang.
“Apa?” tanyaku malas.
“Bangunlah. Makan sikit. Aku ada bungkuskan untuk awak ni.”
Aku dengar suara Han memanggilku bangun. Bungkus makanan. Aku tersenyum dalam tidur. Sayang juga dia padaku. Kalau tak sayang, dia tak mungkin nak bungkuskan makanan untukku. Aku mula rasa bersemangat untuk bangun. Aku senyum sebaik sahaja aku bertemu pandangan matanya. Suka lihat akulah tu. Tunggu malam nanti. Katil yang dua ini akan jadi satu nanti. Kataku dalam hati.
“Saya pergi cuci muka dulu ye,” kataku lalu bangun dan menuju ke bilik air. Sebaik sahaja aku dapatkan bungkusan itu, aku terus rasa lapar sekali lagi. Ada nasi goreng di dalamnya. Aku makan sehingga licin.
“Mmmm…sedapnya,” kataku dengan penuh perasaan. Aku dengar Han ketawa kecil. Nampaknya ada perkembangan walaupun dia masih mahu jual mahal. Dia masuk ke dalam bilik air. Mungkin hendak mandi selepas keluar membuat aktiviti. Aku keluar dari chalet. Dua batang joran bersandaran di dinding chalet. Aku pegang salah satunya. Teringat aku ketika kali pertama bertemu dengan Han. Disebabkan joran pancinglah, aku telah tersalah anggap padanya. Kesian dia kerana terkena tendanganku ketika itu.
“Awak nak buat apa sekarang?” soalku bila aku dapati Han keluar dari bilik air. Tanpa memakai baju. Aku telan sahaja air liur melihat tubuh sasa suamiku.
“Aku ada hal sikit malam ni. Awak buatlah apa yang awak rasa nak buat,” katanya dan bicaranya tidak mengundang soalan lain daripadaku. Dan sepanjang petang itu, aku ditinggalkan lagi sendirian.
SELESAI menunaikan solat jamak di dalam waktu Magrib, barulah aku nampak kelibat suamiku semula. Dia masuk ke dalam chalet dan terus ke bilik air manakala aku pula keluar mengambil udara malam. Suasana hutan berbeza sungguh dengan kehidupan di bandar. Hanya bunyi angin, pokok dan binatang kecil yang kedengaran. Aku tutup mataku untuk menghayati dengan lebih jelas lagi. Pada masa yang sama juga aku dapat dengar bunyi seekor nyamuk di telingaku. Hutan sebegini memang banyak nyamuk. Aku segera masuk semula ke dalam chalet. Sebaik sahaja aku melangkah masuk ke dalam chalet, Han baru sahaja selesai menunaikan solat. Hatiku sayu bercampur bangga melihat Han. Juga bersyukur kerana aku berkahwin dengan seorang lelaki yang dapat membimbingku dalam urusan agama, InshaaAllah.
“Banyak dapat ikan?” tanyaku sambil memberikan senyuman. Aku agak dia keluar seharian untuk memancing.
“Boleh tahan juga,” balasnya.
“Awak buat apa bila dapat ikan?”
“Lepaskan balik. Yang besar tu bagi pada pemandu bot. Ikut dialah nak buat apa.”
Aku hanya jawab O panjang sahaja. Malam ini aku memakai baju T dan juga seluar panjang. Aku kenakan juga sehelai baju kemeja berlengan panjang kerana ingin mengelak daripada digigit nyamuk. Mujur juga di Taman Negara ketika ini, cuaca di waktu malam tidaklah panas seperti yang kusangkakan. Jadi aku masih dapat gunakan kemeja yang kubawa. Kecuali baju sejukku. Agak melampau kalau aku pakai baju sejuk yang hanya sesuai untuk dipakai di kawasan tanah tinggi.
“Mari pergi dinner,” bila Han ajak, aku ikut sahaja. Kami makan nasi campur dengan tiga jenis lauk yang di tempah Han. Terdapat beberapa kumpulan pelancong tempatan yang turut berada di situ sedang makan dan duduk berbual. Kesempatan itu kuambil untuk berbual dengan Han. Malangnya, dia seperti malas untuk berbual. Jadi, aku simpan sahaja soalanku di keesokan hari nanti.
Selesai makan, aku ikut sahaja Han balik ke bilik. Bila sampai di tangga kecil chalet, Han suruh aku masuk dahulu kerana dia hendak melihat kawasan di sekeliling. Bila aku nyatakan hasrat untuk ikut, Han kata dia mahu berjalan seorang diri. Aku ditinggalkan tanpa banyak kata. Sementara menunggu Han pulang, aku mengelamun memanjang. Talian internet pun bukan ada dan aku pula sayang nak gunakan data. Aku tukar baju T kepada sehelai singlet les hitam. Aku rasa pakaian singlet ni pun sudah seksi.
Pintu bilik yang sedang dibuka. Han masuk dan dia berhenti. Dia kelihatan terkejut sedikit. Aku nampak riak wajahnya. Selepas menutup pintu bilik, dia menoleh ke belakang dan terkejut sekali lagi melihat aku yang dekat dengannya. Cukup dekat sehingga kalau boleh diukur, hanya seinci sahaja jarak di antara kami berdua. Aku mengangkat mukaku melihat suamiku. Dia hanya berdiri dan melihat sahaja apa yang akan kulakukan seterusnya. Aku nampak lekuk senyuman yang cuba dia sembunyikan.
“Chahaya sayang Han,” kataku. Aku dapati suaraku terketar-ketar. Keadaan bilik rasanya semakin sejuk. Meremang bulu romaku. Kedua-dua tanganku terasa kebas. Han hanya diam. Aku cuba lagi. Kali ini, aku memeluk Han. Bau yang kucium sungguh mendamaikan. Suamiku hanya membiarkan sahaja apa yang kulakukan. Tiada reaksi daripadanya. Aku semakin berani.
Dengan menggunakan kedua-dua tanganku, ku tarik wajahnya perlahan-lahan supaya menghampiri wajahku. Tentulah aku tidak berani memandang Han ketika ini tetapi hanya inilah yang akan ku lakukan. Bibirku menyentuh bibirnya. Buat seketika. Aku lihat dia hanya mengangkat kening. Aku cuba sekali lagi. Cuba mendapatkan balasan dari suamiku. Pada mulanya dia seperti tidak melayanku. Aku berusaha untuk mendapat kerjasama daripadanya. Aku rasakan ada perkembangan bila dia mula membalas ciumanku.
Han mula memelukku. Tangannya juga sudah memainkan peranan. Perlakuannya yang tiba-tiba membuatkan aku takut sedikit. Jantungku semakin kencang. Malah aku dapat dengar degupan jantung Han. Aku dengar juga pernafasan Han seperti sukar dikawal. Aku sudah tidak berdaya. Han memandangku dan aku dengar ketawa kecilnya. Dia terus mengangkatku dan membawaku ke katil. Perlahan-lahan dia letakkan aku di atas katil. Aku malu untuk bertemu mata dengan Han apatah lagi memikirkan apa yang akan berlaku malam ini. Aku berbaring manakala Han berdiri melihatku. Apa yang berlaku seterusnya memang di luar jangkaan. Han mengambil baju kemejaku dan dia duduk di birai katil.
“Nice try, Chahaya. Tapi aku penat sangat ni. Kau pakai baju ni supaya kau boleh tidur selesa sedikit. Aku nak tidur sekarang. Good Night,” katanya kepadaku dan terus ke katil di sebelah selepas menutup lampu. Suasana menjadi gelap. Aku tidak percaya Han menolak diriku begitu saja. Jangan menangis, kataku dalam hati. Jangan tunjukkan kelemahanku. Kataku lagi. Mungkin rancanganku tidak berjaya kali ini. Sekurang-kurangnya aku pasti tentang suatu perkara. Suamiku semakin terbuka menerima aku kerana aku dapat perasaan itu ketika dalam pelukannya dan dalam ciumannya. Malam itu, aku sukar untuk tidur. Hanya dengkuran tidur Han yang nyenyak dapat kudengar sehinggalah mataku turut tutup. Semuanya yang berlaku seharian itu lenyap dalam tidurku.
BILA aku bangun, aku tahu Han tiada di tempat tidurnya. Mungkin dia keluar memancing lagi. Dengan pantas aku bangun dan segera menunaikan solat Subuh. Doaku panjatkan kepada Ilahi. Memohon keampunan dengan kealpaan aku pada perkara yang lepas. Masih dalam keadaan bertelekung, aku duduk memikirkan apa rancanganku seterusnya. Suamiku masih berkeras lagi.
Sejam kemudiannya, aku sudah berada di tempat makan. Menjamu selera dengan saki baki nasi goreng yang ada di situ. Sambil makan aku melihat beberapa orang pelancong tempatan yang terdiri daripada anak-anak muda. Tiga lelaki dan lima perempuan sedang berbual-bual tidak jauh dari tempat dudukku. Mungkin kerana aku sedang memandang ke arah mereka, salah seorang gadis terpandangkan aku lalu memberikan senyuman kepadaku. Aku membalas senyumannya. Selesai makan, aku ke kaunter lobi untuk melihat apakah aktiviti yang boleh aku lakukan. Tanpa Han. Penyambut tetamu memberikan aku beberapa cadangan.
“Cik boleh buat jungle trekking. Tempat tu sesuai nak tengok burung-burung. Kalau tak berhenti, ambil masa kurang sejam untuk sampai ke puncak. Itupun kalau Cik tak takut dengan pacat,” kata budak perempuan yang menjadi penyambut tetamu itu.
Pacat pun aku tak pernah lihat seumur hidupku. Perlukah aku takut?
“Saya boleh trekking sendiri ke?”
“Boleh tu boleh Cik. Tapi elok kalau ada orang bersama. Kalau cik nak, cik boleh join kumpulan di sana tu. Mereka pun tengah bersiap nak pergi sana.”
“Oh ye ke?” kataku.
Dengan perasaan yang cukup berani, aku menghampiri sekumpulan anak remaja itu.
“Tumpang tanya, you all nak buat jungle trekking ke hari ni?”
“A’aa. Nak ikut ke?”tanya salah seorang anak muda lelaki.
“Boleh tak? Boring sikit sebab tak tahu nak buat apa-apa,” balasku.
“Kita orang tak kisah, kan?” kata lelaki itu semula sambil melihat rakan-rakannya yang lain. Mereka yang lain menyahut tidak kisah.
“Kita orang nak pergi lepas main ni.”
“Ok. kalau macam tu, saya tinggal pesan kejap,” kataku kepada mereka. Aku pergi semula ke kaunter.
“Boleh saya tinggalkan pesanan untuk suami saya?” aku soal budak di kaunter itu.
“Boleh,” dia serahkan pen dan kertas. Aku menulis sesuatu kepada Han. Aku beritahu apa yang aku lakukan dan aku tamatkan dengan menulis ‘I Love U’ sebagai tandatangan.
“Awak kenalkan suami saya? Yang datang dengan saya kelmarin tu,” aku beri juga nombor bilikku.
“Oh kenal. Yang suka pancing tu?”
Oh yang suka pancing tu. “Betullah tu,” balasku.
Bila ku serahkan lipatan kertas itu kepadanya, aku pun kembali kepada adik-adik muda dan duduk berkenalan dengan mereka. Aku rasa aku sudah bersedia untuk mendaki bukit. Aku memakai kemeja dan seluar panjang. Bezanya aku tiada kasut sukan. Hanya memakai sandal. Bila disoal, sama ada aku boleh mendaki bukit dengan kasut seperti itu, aku jawab tiada masalah.
Bila tiba masanya, kami pun berjalan menuju ke kaki bukit yang disebutkan. Aku memandang dari bawah sehingga ke atas. Ini memang betul-betul bukit yang dipenuhi hutan. Kumpulan itu bergambar. Sebagai membalas budi, aku tawarkan diri untuk mengambil gambar mereka sebelum memulakan pendakian. Selesai bergambar, dua orang lelaki memulakan dahulu di depan diikuti kaum perempuan dan diakhiri dengan seorang lelaki lagi. Bagus budak-budak lelaki ini. Mereka ini cukup arif tentang keselamatan menjaga kaum perempuan.
Aku mula mendaki. Menyusuri denai yang meninggi. Kaki ku rasa lenguh. Permulaannya sudah mencabar. Aku lihat ada budak perempuan berdua sudah mengadu kerana mula terasa keletihan. Tetapi kami masih bersemangat untuk meneruskan perjalanan. Tiba di suatu bahagian, kami terpaksa melalui denai yang berakar dengan pokok-pokok hutan hujan. Aku dan mereka yang lain menggunakan tangan untuk memaut kepada akar-akar pokok untuk memanjat. Suasana ceria disebabkan gurau senda di antara mereka. Jadi, aku tidak memikirkan sangat perasaan penat itu. Seketika kami berehat. Mujurlah aku sempat membeli sebotol air mineral kecil sebelum bertolak tadi. Aku minum beberapa teguk. Takut kehabisan bila sampai ke puncak nanti.
Hampir setengah jam lebih, kami pun sampai ke puncak. Pemandangannya sungguh indah sekali. Aku dapat melihat rimbunan hutan hujan Tropika dan juga aliran air sungai. Kawan-kawan baruku sedang bergambar. Sekali sekala aku masuk bergambar dan sekali-sekala aku mengambil gambar mereka. Kami berehat sebentar untuk melepaskan penat. Aku berdiri berhadapan dengan suasana hutan. Tiba-tiba, aku nampak sesuatu. Seekor burung berwarna hitam dengan paruhnya yang besar. Aku tidak kenal spesis jenis apa burung itu tapi aku segera memanggil mereka yang lain untuk melihat haiwan itu. Ada yang segera mengambil gambar. Mungkin juga tidak pernah melihat burung seperti itu secara dekat seperti ini. Buat beberapa lama, kami semua melihat burung itu terbang di awan biru dan menghilang di sebalik rimbunan pokok. Satu pengalaman yang perlu kuceritakan kepada Han bila aku balik nanti.
Cabaran yang sama kami hadapi seperti mendaki naik ke bukit, kami tempuhi ketika ingin turun dari bukit itu. Ada kawan baruku yang terduduk merungut kerana sedikit takut untuk turun. Aku pun takut juga tetapi aku tidak luahkan sebab takut dipandang serong. Sudahlah menumpang, ini hendak merungut pula. Aku diamkan diri sambil memikirkan bagaimana untuk mulakan penurunan bukit itu. Kawasan penurunan yang curam ada disediakan tali-tali untuk membantu pendaki turun. Aku lihat salah seorang lelaki memegang tali untuk turun manakala seorang daripada perempuan pula hanya menuruni bukit dengan cara duduk. Mungkin cara duduk itu lebih sesuai untukku. Aku pun ikut dengan akar-akar pokok kujadikan tempat untuk bertaut.
Sampai di satu bahagian yang semakin hampir dengan kaki bukit, kami beratur untuk turun. Seperti biasa, perjalanan didahului oleh dua anak muda lelaki diikuti oleh seorang kawan perempuan mereka. Aku pula selepasnya. Si perempuan itu menghadapi kesukaran, jadi kawannya cuba membantu. Aku pula diminta turun. Keadaan agak curam. Apa yang berlaku selepas ini adalah sesuatu yang tidak dapat ku duga. Aku tersadung dengan sebatang akar pokok. Aku terjatuh dan cuba untuk berpaut kepada akar-akar pokok yang ada. Ketika itu aku dengar jeritan kawan-kawan baruku. Aku juga dengar jeritanku. Aku tahu aku sedang jatuh dan rasa sakit di seluruh badan. Seketika, aku tidak dapat mendengar apa-apa bunyi pun. Mataku pejam rapat.
Oh tidak!!!! Jangan panik... Ahahhahaha...
Share this novel