SUDAH seminggu berlalu sejak aku menanam bakau di Kampung Sungai Haji Dorani tetapi cerita itu masih lagi diulang sekali sekala bila aku bersama dengan Eid. Cerita yang paling terbaru ialah kawanku ini sudah mula berhubungan dengan pelajar perempuan yang banyak bercerita tempoh hari. Namanya Rina dan sudah dua kali dia ke butik ini mencari Eid. Menurut kata Amy, Eid nampaknya sudah mula jatuh hati dengan Rina. Mungkin kali ini Eid sudah berjumpa dengan seorang perempuan yang sesuai dengan jiwanya. Seorang perempuan yang mungkin mengubah pendirian hidupnya. Sama seperti Han yang sudah sedikit sebanyak mengubah haluanku yang kononnya hidup tanpa seorang lelaki.
Seharian aku bekerja, aku asyik memikirkan tentang rancangan malam ini yang perlu aku tempuhi. Si kawan karibku, Nadia telah menghantar mesej mengingatkan kami semua, aku, Ula dan Erin untuk berjumpa dengannya. Kami pastikan kami berjumpa sekurang-kurangnya sebulan sekali. Pada awal-awal tahun kami di KL, tiada masalah untuk berjumpa sekali sebulan. Apabila semuanya semakin sibuk, kadang-kadang dalam sebulan pun sukar untuk kumpulkan kami berempat. Kali ini kami akan berkumpul di Wangsa Maju dan tempat yang dipilih ialah sebuah kafe berdekatan dengan pusat membeli belah Wangsa Walk. Menurut kata Nad, tempat itu selesa untuknya berbincang tentang majlis pertunangannya dengan Nizam.
Kami bersahabat dari kecil lagi. Kami telah sama-sama berjanji. Kami akan berada untuk satu sama lain pada setiap hari yang penting. Harijadi, pertunangan, perkahwinan, kelahiran dan sebagainya. Aku akan berpegang pada janji itu. Sememangnya aku sudah memaafkan Nad dan Nizam. Kalau tidak kerana aku kecewa dengan Nizam, mungkin aku tidak berhenti kerja dan membantu Erin. Kalau aku tidak tolong Erin hari itu, aku mungkin tidak akan berjumpa dengan Han. Bagiku, mungkin apa yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Mungkin Nizam bukan jodohku.
Sudah lama juga aku tidak bersua muka dengan Ula. kami hanya berbual di talian sahaja. Aku rindukan Ula dan Erin. Aku juga tidak boleh menipu diriku sendiri. Aku juga rindukan Nadia. Temujanji kami ialah pada pukul lapan malam. Aku masuk kerja awal seperti yang aku bincangkan dengan Amy supaya aku boleh balik awal. Rancangan aku untuk sampai ke Wangsa Walk sebelum Maghrib supaya aku boleh bersolat di sana. Itu rancangan asalku tetapi Han beritahu yang dia akan datang menjemputku sebelum jam enam petang. Dia mahu mengajak aku makan malam bersama. Disebabkan aku sudah ada rancangan, dia mahu tolong menghantar dan mengambilku pulang sahaja. Bab makan malam, dia akan cari sendiri nanti.
AKU dengar Amy memanggilku. Aku sedang menyikat rambut. Aku dengar suara Amy dan Han sedang berbual. Bila aku keluar aku nampak Han dengan baju T hitam dan seluar jeans biru. Kacaknya tunang aku seorang ini. Aku menghadiahkan sebuah senyuman. Aku minta izin dahulu dari Amy dan keluar mengekori Han dari belakang. Kemudian aku perasan. Jip Han tidak ada di hadapan butik itu. Yang ada hanyalah sebuah motosikal besar berwarna hitam dan merah.
“Na..nak naik ni ke? Mana jip?”
“Aku hantar awak naik motor,” balas Han.
“Awak dah boleh bawa motor ke? Tak fobia lepas accident hari tu, ke?”
“Lepas aku dapat kaki aku balik, aku terus cari motor. Lepaskan gian.”
"Jadi ni motor barulah?”
“Motor yang accident tu dah hancur. Daripada baiki lebih baik aku sedekahkan pada workshop untuk guna spare part,” balas Han.
“Saya tak pernah naik motor,” kataku.
“Tak pernahlah nak kena cuba. Awak takut ke? Aku janji aku bawa perlahan saja.”
“Rasanya tak takut tapi macam tak selesa,” kataku tersengih.
“Tak selesa?”
“Sebenarnya saya malu la nak naik dengan awak.”
Han ketawa kecil.
“Aku tak kisah kalau awak nak ambil kesempatan masa membonceng nanti,” katanya.
“Mengada-ngada,” balasku.
“Nah pakai ni.”
Han menyerahkan sebuah jaket kepadaku. Aku ambil jaket itu. Bau kedai. Saiznya juga muat untukku. Aku malu nak bertanya kalau dia belikan untuk aku semata-mata untuk naik motosikal. Han pun turut memakai jaket yang lebih kurang sama sepertiku. Kemudian dia mengambil topi keledar. Aku hanya menunggu. Han pakaikan topi itu ke kepalaku. Ketika itu, aku rasa begitu disayangi sekali. Romantiknya.
Bila Han selesai pakai topi keledar, dia naik atas motosikal dan menghidupkan enjin. Kuat betul bunyi motosikal itu. Seolah-olah dentuman guruh dapat kudengari. Han minta aku serahkan tas tanganku dan menyuruhku naik sekarang. Naik motor itu senang sahaja tapi bila Han serahkan tangannya untuk aku pegang ketika naik, aku terima sahaja. Bila Han tanya samada aku selesa atau tidak, aku jawab aku baik-baik sahaja. Han serahkan tas tanganku dan aku letakkan di ruang antara kami berdua.
Han mula masukkan gear pertama untuk gerakkan motosikal. Aku tersentak sedikit ke hadapan. Kedua-dua tanganku secara spontan menolak Han supaya badanku tidak berlanggar dengannnya. Han hentikan pergerakan motosikalnya. Aku pegang jaketnya. Dia menoleh kebelakang sambil membetulkan kedudukannya. Kemudian, dia menarik tanganku sehingga bertemu kedua-dua tangan kiri dan kanan. Memaut pinggangnya. Agak intim. Aku malu. Dalam hati, aku teramatlah sukanya. Bila Han mula membawa motosikal itu, aku letakkan kepalaku di belakang badannya. Aku mula berangan. Selaju mana motosikal itu bergerak, fikiran aku sudah melayang entah ke mana-mana.
HAN hantar aku betul-betul di hadapan kafe tempat pertemuan. Aku serahkan jaket dan topi keledar kepadanya. Han hanya membuka cermin penutup topi keledar ketika bercakap denganku. Dia minta aku pastikan telefonku sentiasa beroperasi dan telefon dia bila semuanya selesai.
Aku masuk ke dalam kafe. Nadia sudah berada bersama-sama Ula. Aku yang masih seronok dengan pengalaman menaiki motosikal besar tadi, memberikan senyuman yang meleret kepada mereka. Aku mengambil tempat. Kedua sahabatku mungkin sedang berbual sahaja kerana masih belum ada makanan atau minuman di atas meja.
“Seronok nampak?” tegur Ula.
“Tahu tak apa pun,” balasku.
“Kau datang dengan apa?” tanya Nad.
“Dengan tunang aku. Dia hantar tadi.”
“Kenapa tak ajak dia masuk? Kau ni pun satulah Chaya, bertunang tak ajak kami. Erin saja yang kau jemput,” balas Nad lagi.
“Bukan tak mahu ajak Nad, aku pun tak tahu yang aku ni dah jadi tunang orang masa tu. Tetiba keluarga Han buat majlis untuk aku. Erin pun tak adalah time tu. Apa-apa pun aku pastikan korang semua ada masa aku kahwin nanti.”
“Kau dah ada tarikh ke Chaya?” tanya Nad.
“Mungkin cuti sekolah nanti. Tengoklah dulu. belum confirm lagi. Mana Erin ni?”
“Dia call kata dia lambat sikit. Dia suruh kita jangan mula sampai dia ada. Jadi aku cadangkan kita order makan malam dulu. Kalau nak tunggu Erin, takut perut aku yang merana nanti,” balas Ula.
“Malik dengan Nizam mana?” soalku.
“Diorang ada berdekatan. Makan mana pun aku tak pasti. Asalkan jangan ganggu kita sudahlah,” balas Nad.
“Kau bertunang ni nak buat di rumah kau ke?” soalku.
“Ikut plan macam tu. Parents aku dah sibuk merancang. Mengalahkan orang nak kahwin lagi. Siap nak pasang khemah bagai,” jelas Nad.
“Sekarang memang macam tu lah Nad. Trend orang bertunang sama macam nak kahwin. Manalah tahu time tu ada yang berubah fikiran, boleh terus akad nikah,” tambah Ula.
Sedang kami berbual, pintu kafe dibuka dan Erin meluru masuk ke dalam. Kalau Erin masuk, suasana kafe terus jadi diam. Beberapa orang pelanggan, tidak kira lelaki atau perempuan melopong melihat Erin. Sebaik sahaja dia duduk, sudah ada pelayan berdiri di sebelahnya padahal tempat ini layan diri. Kami sudah biasa dengan keadaan seperti ini. Memang hebat penangan Erin. Mungkin wajahnya bertambah berseri bila sudah bergelar isteri. Kami mengambil kesempatan untuk memberikan pesanan makan malam masing-masing. Ula ke kaunter untuk membayar bagi pihak kami.
“Aku dalam dilemma sekarang ini. Ikram suruh aku berhenti kerja. Entah tak pasal-pasal dia jealous bila aku berbual tak kisahlah dengan sesiapa pun. Dulu tak macam ni, tapi lepas kahwin, terus buat perangai cemburu dia tu.”
“Kes serius ni. Apa alasan dia?”
“Dia nak aku duduk rumah dan mula jaga anak.”
“Kau dah pregnant ke Erin?” soal Nad.
“Belum lagi. Aku masih dalam kontrak. Mana boleh nak mengandung,” balas Erin.
“Kalau macam tu kau bincanglah dengan Ikram. Aku rasa dia dah teringin sangat nak jadi bapa tu. Dia pun dah lebih tiga puluh tahun. Dah sampai serulah tu.”
“Aku tahu. Itulah. Dulu kami dah berbincang lepas dua tahun baru nak mula berkeluarga. Since dah kahwin awal, mana aku tahu yang dia teringin nak anak pula. Dah la tu. Tak yah cerita pasal aku. Nad, apa yang kau nak kami buat? Cakap saja.”
Nadia mula menerangkan satu per satu rancangan hari pertunangannya nanti. Kami bertiga tidak perlu buat apa-apa selain daripada menemaninya ketika majlis nanti. Memandangkan Ula sahaja yang belum ada apa-apa ikatan, dia telah diberikan keutamaan untuk menjadi pembantu. Ala-ala pengapit kepada Nad. Manakala aku dan Erin pula bebas buat masa itu nanti.
Kami berbual sambil makan di kafe. Aku memesan kepingan sandwish sahaja. Cukuplah untuk perutku ini. Erin terima mesej. Katanya Ikram sedang makan dengan Han di restoran di hujung deretan bangunan ini. Kalau aku dan dia sudah selesai, kami boleh cari mereka di sana.
“Kau bertunang berapa lama Nad?” soal Ula.
“Setengah tahun agaknya. Tak mahu lama-lama. Apsal?”
“Ni kawan kita ni dah nak kahwin dah,” kata Ula sambil menunjukkan kepadaku.
“Betul Chaya? Kau dah nak kahwin dengan Han?” kali ini Erin pula yang bertanya.
“Maybe,” balasku
“Bila?” soal Erin.
“Cuti sekolah nanti.”
“Awal tahun atau tengah atau akhir tahun?.”
“Awal. Akad saja. Bulan enam nanti aku dengan Han tumpang majlis kahwin kau saja. Ok kan?” kataku sambil ketawa.
“Oh, dipersilakan. Tapi kau duduk bebaik dengan Han bawah pelamin. Aku dengan Ikram di atas pelamin,” balas Erina.
“Aku pun nak beritahu satu berita dekat korang semua,” kali ini Ula pula bersuara.
“Kau nak bertunang dengan Malik juga ke?” tanya Nad.
“Tak lah. Aku nak sambung belajarlah.”
“Ye ke? Betul ke ni Ula? Kau nak buat Master ke? Mana?”
“Taklah. Aku nak sambung buat professional accounting. Buat sini saja. Aku dah enroll ke kolej TAR.”
“Kau buat full time ke part time,” soal Erin.
“Part time. Kerja tetap kerja. Kalau tak mana aku nak cari duit bayar yuran.”
“Lama lagilah Malik kena tunggu kau,” kata Nad.
“Kalau dia sayang aku, dia tunggulah tapi tu tak penting. Paling penting ialah aku dapat belajar. Full stop.”
“Baiklah Ula. Friends, mari kita doakan agar kawan kita yang seorang ini akan menjadi yang terpandai dan terbaik antara kita semua,” kata Erin menutup perbincangan.
AKU dan Erin berpegangan tangan bila berjalan menuju ke hujung blok bangunan untuk ke tempat Han dan Ikram. Kami berpisah dengan Ula dan Nad di kafe tadi kerana mereka akan menunggu Nizam dan Malik di situ. Jam sudah pukul sepuluh lebih. Aku pun tidak mahu Han menunggu lebih lama lagi. Kalau kami berempat bercerita, sampai ke pagi belum tentu habis cerita. Mujurlah Erin yang terlebih dahulu minta diri. Katanya dia ada banyak kerja rumah yang masih belum diselesaikan. Erin si Pengemas. Sudah pasti dia mahu keadaan rumahnya sentiasa tersusun dan kemas. Bertuah Ikram dapat isteri seperti Erin. Cantik, baik hati dan pandai buat kerja rumah.
“Kau dah fikir masak-masak pasal nak kahwin dengan Han, Chaya?”
“Entahlah.”
“Kau dengan dia dah sampai tahap mana?”
“Tahap macam mana tu?”
“Tahap suka sama suka atau cinta sama cinta?”
“Suka sama cinta.”
“Kau cinta, dia suka?”
“Lebih kurang macam tulah.”
“Dia tahu tak?”
“Selisih malaikat empat puluh empat. Selagi dia tak declare, tak jelas dengan perasaan dia pada aku, selagi itulah aku tak akan cakap dengan dia.”
“Apa salahnya kalau kau cakap pada dia dulu?”
“Biarlah Erin. Bila tiba masanya nanti, aku cakap dengan dia.”
“Tapi kau dengan dia dah nak kahwin.”
“Itu lagi satu hal. Aku tak tahu macam mana aku nak kata tidak. Tengok saja Han, aku ikut je apa dia kata. Dia kata nak kahwin, aku setuju saja. Lagi satu, Aunty Jah pun dah beria-ria suruh aku panggil Mama. Umi pun bersemangat semacam. Itu baru keluarga dia. Papa dengan Mami lagilah. Dah siap tempah itu ini.”
“Bila kau sebut pasal Umi, teringat aku pada Tok Mi. Nanti bila kau kahwin dengan Han, kita kongsi Umi. Macam dulu-dulu juga kan?”
“Umi tu sikit-sikit macam Tok Mi kan? Cuma versi moden sikit.”
“Kau untunglah Chaya. Umi tinggal dengan keluarga Han. Bila kau kahwin nanti, kau boleh jumpa dia selalu.”
“Dan kau boleh datang lawat kami. Sama macam dulu juga kan?”
“Sebenarnya aku gembira bila kau terima Han.”
“Kenapa pula?”
“Sebab bila keluarga tu berkumpul, sekurang-kurangnya aku tahu aku ada kawan baik aku bersama. Dunia aku kalau ada kau akan lebih ceria.”
“Kalau aku tanya sikit, kau jangan marah ye Erin. Kau dengan Ikram ada problem ke?” tanyaku. Aku boleh perasan kalau Erin ada sebarang masalah.
“Kau ni memang boleh nampak saja, kan. Susah betul nak berlindung. Lain Chaya. Masa kita bercinta memanglah lain. Bila dah kahwin ni, barulah aku tahu menjadi isteri kepada seorang juruterbang, banyak betul cabarannya. Kadang-kadang kami tak berjumpa langsung. Macam masa kami jadi boyfriend girlfriend dulu. Silap cakap sikit pun dah naik angin. Sekarang lebih-lebih lagi.”
“Kau ke dia?”
“Aku dengan dia sama saja.”
“Kau kena lihat juga dari pandangan Ikram, Erin. Kalau aku jadi dia, susah juga jadi suami kepada seorang pramugari yang cantik macam kau ni.”
“Apa pendapat kau? Aku patut berhenti macam tu saja?”
“Aku tak suruh kau berhenti dua puluh empat jam. Pada fikiran aku, kalau kau ada alternatif yang lebih baik, kau buatlah. Aku bukan nak kutuk kerja pramugari ni. Kalau perempuan tu single, tak ada hal. Tapi kalau dah kahwin ni, seelok-eloknya jaga suami.”
“Kau ni cakap sebijik macam Mama aku.”
“Aku ni anak saudara dia, babe.”
“Nantilah aku fikirkan. Aku pun dah bertahun-tahun terbang. Mungkin sudah tiba masanya aku berpijak di bumi yang nyata.”
“Ayat power habis. Aku ingat kau boleh cuba jadi novelislah Erin.”
“Apa pulak novelisnya. Aku jadi pelakon lagi baik.”
Kami ketawa kuat sekali seperti ingin menghilangkan rasa tekanan diri masing-masing. Han dan Ikram sedang berbual ketika kami sampai. Suasana yang riuh, semakin perlahan bila sahaja aku dan Erin melangkah masuk. Seperti biasa. Penangan Erin. Aku berdehem dan memandang kepada Erin supaya dia faham maksudku. Orang yang cantik sepertinya patut menghadiahkan kecantikan diri kepada suaminya sahaja. Bukan untuk dipamerkan kepada lelaki lain. Erin geleng dan angguk kepala pada masa yang sama. Dia faham pandangan mataku.
“Nak balik? Jom,” tanya dan ajak Han kepadaku. Aku angguk kepala.
“Aku jumpa kau next time,” katanya kepada Ikram pula. Mereka bersalaman dengan cara mereka tersendiri. Aku peluk cium sepupuku. Sambil peluk aku bisikkan kepadanya supaya ambil keputusan dengan gerak hatinya sendiri. Bukan kerana orang lain. Erin pun bisikkan sesuatu kepadaku. Dia minta aku kahwin dengan Han bukan sebab aku sudah jatuh cinta tetapi sebab aku inginkan yang terbaik untukku.
Kami beredar dari situ. Kali ini Han bawa aku melalui lebuhraya yang kosong. Dia tanyakan kepadaku sama ada aku berani kalau dia bawa laju sedikit. Aku kata aku tak kisah asalkan aku tak masuk hospital atau mati awal sebab kemalangan motosikal. Dia suruh aku peluk kuat-kuat. Aku buat tapi aku kata yang dia hanya mahu mengambil kesempatan untuk aku memeluknya. Belum sempat aku sudahkan ayat, motosikal besar itu sudah bergerak laju. Begitu laju sehingga aku menjerit. Bukan takut tetapi terlalu seronok. Terlalu seronok sehingga aku lepaskan pelukan dan angkat tangan ke atas. Sama seperti yang selalu aku lakukan kalau naik roller coaster.
Han membrek mengejut sedikit. Aku bertindak balas memeluknya. Aku rasa badan Han terenjut-enjut seperti orang yang sedang ketawa. Aku pastikan melalui cermin sisi. Han tidak menutup muka dengan penutup topi keledarnya. Sah dia sedang ketawakan aku. Tanpa rasa bersalah, aku cubit peha kanannya. Malangnya seluar jeans yang dipakai Han tebal. Jadi aku rasa dia tidak dapat merasai cubitanku itu. Sengaja betul dia. Orang baru nak bersuka-suka, dia kacau daun pula.
Han hantar aku sehingga masuk ke ruang lif kondo. Dia membawa tas tanganku sehingga sampai ke pintu studio. Bila sampai aku ambil tas tanganku itu dan ucapkan selamat malam kepadanya. Han berdiri sahaja melihatku berdiri untuk melambainya pergi. Dia cuba hendak masuk ke dalam tetapi aku menolak badannya.
“Bagilah aku masuk,” katanya.
“Mana boleh. Dah jauh malam ni. Nanti jiran nampak, tak eloklah,”
Han ketawa kecil.
“Awak kenal ke jiran kita siapa?”
“Tak kenal, tapi tak eloklah kalau awak masuk dalam.”
“Ini kan rumah saya juga,” katanya. Kami masih berdiri bertentangan di pintu masuk. Han sudah mula membelai rambutku. Berdebar jantungku dengan perlakuan Han kali ini. Entah kenapa dia asyik memandangku sahaja. Otakku pula seperti lembab berfungsi.
“Baliklah. Esok kita jumpa lagi,” pujukku.
“Esok aku tak ada di sini. Aku ke Australia lagi”
“Pergi lagi? Nak buat apa pula kali ini?”
“Aku ada hal,” katanya. Kali ini tangannya menjalar ke pipiku. Apa aku nak kata pula sekarang ini.
“Pukul berapa flight?”
“Pagi,” balasnya.
“Awak pergi berapa lama kali ini?”
“Dalam seminggu sahaja.”
Aku angguk kepala faham. Han memegang mukaku. Dia semakin dekat denganku. Kali ini aku mula takut dengan tindakannya.
“Awak akan rindukan aku? Mmm?”
Aku angguk sahaja.
“Awak akan sentiasa ingat aku?”
Aku angguk sahaja.
“Boleh aku cium awak?”
Aku angguk sahaja. Eh, nanti. Apa dia? Aku melihat Han. Dia hanya senyum sahaja.
“Mana boleh!” terus aku tolak badannya.
“Tak apa. Nanti bila kita dah sah bersama, semuanya boleh bukan?”
Aku terus tunduk malu.
“I’ll miss you, Cahaya.”
“Saya pun.”
Aku menutup pintu bila Han beredar dari situ. Malam ini pasti aku berangan sampai ke pagi. Cara Han tadi buat aku pasti dengan keputusanku untuk menjadi suri hidupnya. Itupun kalau Han betul-betul ikhlas denganku.
Share this novel