“I hope I don’t miss anything. Semuanya ada dalam buku ini. Senarai perkara yang kau nak kena buat seperti yang kau minta tempoh hari. Inilah dia!”
Sungguh aku tidak jangka. Ingatkan senarai pendek sahaja. Rupa-rupanya Erin menyerahkan sebuah buku skrap sebesar kertas A4 dan setebal buku novel cinta di hadapanku. Dua hari lalu, sejak Ula mencadangkan aku sebagai pembantu peribadi Erin, aku akhirnya bersetuju dengan beberapa syarat. Pertama, kalau aku buat silap, kami masih lagi sahabat dan saudara dunia akhirat. Kedua, aku hanya bekerja mengikut panduan yang diberikan tetapi dia perlu buat segala keputusan. Akhir sekali, dia tidak perlu bayar upah aku. Cukup untuk bayar makan minum dan pengangkutan aku sahaja. Anggap sahaja aku buat kerja kebajikan.
“Kau boleh siapkan ini dalam dua hari Erin?” terkejut aku bila membelek buku skrap yang Erin serahkan walaupun aku tahu perempuan ni memang cekap juga orangnya dalam bab-bab menguruskan sesuatu. Aku duduk di atas katil serba merah di dalam bilik yang serba serbi kemas. Segala perabot dan barangan Erin yang teratur nampak mewah. Walaupun aku bukan peminat beg tangan mewah, namun, koleksi yang dimiliki oleh Erin selalu buat aku terasa seperti meleleh air liur sahaja. Itu baru sahaja koleksi beg tangannya, belum lagi koleksi kasut Erin yang berjenama seperti Jimmy Choo dan Salvatore Ferragamo. Kasut aku pun berjenama juga. Adalah dalam dua pasang, Guess dan Nine West. Itu pun hadiah dari Kak Suri yang juga menghimpun kasut. Namun begitu, kasut kegemaranku ialah kasut sukan Nike yang aku beli ketika hari jadi dua tahun lepas. Kasut itulah yang aku pakai setiap kali aku naik turun LRT.
Aku ke kondominium Erin yang terletak di Cyberjaya yang disewanya dengan dua orang pramugari. Erin dan Ikram mengambil aku petang tadi. Aku tidak kerap ke sini. Jauhnya bukan main dari tempat tinggalku. Selalunya Erin dan Nadia yang kerap ke apartmen aku dan Ula. Aku tahu Erin ada dunianya sendiri. Dia ada dua kelompok kawan. Satu kelompok ialah kami dan satu lagi ialah kelompok kawan-kawan yang terbang sama-sama di udara. Kedua-dua kelompok pernah lepak bersama suatu ketika dahulu tetapi aku dan Ula dapat rasakan kami tidak dapat masuk langsung dengan cara hidup mereka yang dua puluh empat jam penuh dengan keseronokan.
Aku akan bermalam beberapa hari di sini sebelum Erin memulakan jadual penerbangan antarabangsanya. Masa yang terhad akan kami gunakan untuk mengulangkaji aktiviti-aktiviti yang perlu aku perlu lakukan sepanjang peninggalan Erin. Malah muka surat pertama sudah terpampang jadual Erin yang agak penuh. Tiga puluh Ogos merupakan hari yang bakal menjadi hari paling bahagia buat Erin kelak.
“Aku nampak kau dah tengok jadual aku. Kau sendiri nampak yang aku terlalu sibuk dengan penerbangan,” Erin duduk di sebelahku. Dia tunjuk hari-hari yang penting. “Kita akan berhubung melalui email atau telefon sahaja kalau kau perlukan aku.”
Aku sudah siap dengan komputer riba kecilku persis seorang sekretari yang bersedia untuk mengambil nota-nota penting.
“Perkara pertama. Keluarga Ikram akan datang ke rumah parents aku untuk merisik sekaligus untuk majlis pertunangan kami. Tarikhnya lima belas Julai sebab aku akan bercuti sebelum penerbangan seterusnya. Jadi kita ada tiga minggu sahaja lagi. Kau kena hubungi Mama aku, oh by the way, Mama aku setuju sangat kau jadi PA aku. So, kau call atau jumpa Mama untuk arrangement majlis itu. It will be just a simple ceremony. Hadiah hantaran untuk pertunangan belum beli lagi. Mungkin sehari dua ni aku kena cari. Untuk hantaran akad nikah, aku cari masa aku fly nanti. Kau perlu tolong aku cari bekas untuk isi hadiah-hadiah tu. Dalam buku tu ada beberapa samples yang kau boleh ikut. Apa-apa pun hiasan hantaran untuk majlis nikah mesti lagi glam dari majlis bertunang. Kau dapat tak semua ni?”
“Dapat. Aku tengah menaip ni. Kau cerita saja. Aku masukkan semua dalam nota aku. Kau ada tema tak warna apa ke atau apa sajalah untuk bertunang dan nikah ni?”
“Untuk majlis bertunang, tiada tema. Baju pun aku akan pakai baju mak aku masa dia bertunang. Cuma kena buat fitting sikit. Untuk nikah, aku dan Ikram setuju masa akad warna cream dan purple.”
Sedih pula aku tengok wajah Erin bila dia ceritakan apa yang dia inginkan. Aku simpan impian yang aku akan jadikan majlis pertunangannya suatu peristiwa yang tidak mungkin dapat dilupakan. Aku bertekad dan nekad untuk menjayakan majlis Erin walaupun aku tidak pandai sebenarnya. Majlis hari jadi adik aku sendiri pun aku tidak pernah uruskan, apatah lagi untuk menguruskan majlis yang gilang gemilang ini.
“Ok. Untuk majlis akad nikah, kau dapatkan senarai jemputan yang akan hadir di majlis from Mama. Only family and close friends. Sebelah Mama is just your family and sebelah Papa aku pula his part of the family. Kalau campur tolak semuanya tidak sampai dua puluh orang. Mmm…sikit betul family keluarga kitakan?” Erin mengeluh.
Aku mencongak. Keluarga aku campur abang-abang ipar aku semuanya sembilan orang. Sebelah Erin dan papanya pun lebih kurang sembilan sepuluh orang begitu. Memang betul kaum keluarga kami kecil.
“Aku akan jemput kawan-kawan. Jadi semuanya daripada pihak aku ada dalam empat puluh orang. Kita budget tiga puluh sahaja yang datang sebab kawan-kawan aku mungkin ada yang tidak boleh hadir sebab kena fly.”
“Kalau macam tu, kau kena bagi aku list kawan-kawan kau juga.”
“Nanti aku sediakan. Aku nak kau tolong carikan kad jemputan. Ada beberapa contoh dalam scrapbook aku tu. Dapatkan beberapa contoh untuk aku pilih salah satu. Nanti kau tolong hantarkan semua kad jemputan tu. Buat yang boleh hantar online sekali.”
“Kita buat acara di Seremban ke?” aku berhenti menaip dan memandang Erin untuk jawapan.
“Tak. Aku lupa nak cakap dengan kau. Kita buat majlis akad nikah di resort family Ikram.”
“Ikram ada resort?!! Mana?” soalku. Ini kali pertama aku dengar yang Ikram ada pusat peranginan. Aku tahu Ikram anak orang kaya, tapi tidak pula menjangka yang dia ada resort.
“Haah….family resort keluarga dia di Cherating. Nenek dia suruh buat di sana supaya keluarga mereka pun boleh berkumpul untuk berbincang tentang hal nak ke Mekah tu selepas majlis akad nikah nanti. Lagi pun nenek Ikram kata, pasal keluarga mereka yang nak buat cepat-cepat, jadi biarlah mereka yang sponsor tempat dan makan minum.”
“Wah …untungnya kau Erin. Resort tepi laut ke?” soalku lagi. Satu kelemahan aku adalah air laut. Bukan lemah semangat, tetapi aku memang pantang kalau jumpa laut. Kalau aku dapat sebuah rumah di tepi laut, aku sanggup tinggalkan dunia yang sesibuk Kuala Lumpur ini.
“Aku dah pernah ke sana beberapa kali bila Ikram ajak bercuti. Family uncle sulung dia yang uruskan resort tu. Aku suka dengan family Ikram, Chaya. Sebab tulah, kalau aku fikirkan, aku tak kisah nak kahwin dengan Ikram cepat-cepat. Adik-beradik dan anak-anak saudara Ikram pun mesra dengan aku. Family members yang lain pun sama. Wait till you meet Nenek Ikram. Macam arwah Tok Mi kita. Aku paling sayang Tok Mi. Kalau kau jumpa nenek Ikram, mesti kau rasa kalau Tok Mi ada best friend, it will definitely be her.”
Tersentuh hati aku bila Erin sebut pasal Tok Mi. Aku pun rindu juga pada Tok Mi. Sudah hampir sembilan tahun Tok Mi meninggalkan kami. Aku tidak rasa terkilan sebab aku berkesempatan untuk menjaga Tok Mi ketika hari-hari sakit tuanya. Agaknya, kalau Tok Mi masih ada, mungkin aku gunakan Plan C aku untuk hidup bersama-sama dengan Tok Mi. Kini, bila Erin cerita tentang nenek Ikram, aku teringin sangat hendak berjumpa dengannya. Mana tahu kalau aku boleh ambil nenek Ikram jadi nenek angkat aku.
Share this novel