Bab 16

Romance Completed 8896

AKU dengar bunyi bising-bising datang daripada bilik Han. Selesai sahaja solat Maghrib aku bergegas turun ke bawah. Seram juga aku duduk di atas seorang diri. Ketika bersolat tadi aku cuba juga fokus. Bacaan aku lebih kuat dari kebiasaan. Mungkin Syaitan yang laknat itu hendak mengganggu kekusyukan aku bersolat. Seperti ada bisikan di telinga aku yang rumah ini ada penunggu. Aku tahu, Syaitan sentiasa mahu sesatkan pemikiran manusia, tetapi kalau aku lawan juga, aku boleh menang. Padan muka Syaitan. Aku hampiri bilik Han yang kosong dan gelap. Masuk saja, bau penghawa dingin yang segar sedikit segar. Berbeza dengan sebelumny. Aku petik suis dan cahaya mula menerangi bilik itu.
“Kau pergi mana. Macam nak mampus aku panggil kau tadi,” suaranya separuh menjerit. Aku tergamam seketika. Sudah tidak ada misai mahu pun jambang. Malah rambut yang selekeh itu pun sudah pendek dikerjakan Uncle Mi. Aku berdiri tidak lepas pandang. Boleh tahan kacak juga lelaki ini. Bukan boleh tahan, memang kacak. Kalau begini bukan kata pelakon Hindustan yang kakak aku minat, malah hero Korea yang aku berkenan pun boleh kalah dengan rupa Han sekarang ini. Perut aku rasa semacam. Jantung aku pun laju semacam. Ketika itu juga aku nampak bibir Han. Wajah Han cerah rupa-rupanya. Mungkin sebelum ini bersaki daki sampai aku tidak perasan rupa parasnya yang sebenar. Aku dapat rasakan Si Syaitan yang berlegar di sekeliling aku sudah mula hendak buat hal. Aku terus baca perlahan, A’uzu billahi minash Shayta-nir-rajeem, kemudian barulah bersuara.
“Saya di atas tadi. Tak dengarlah.”
“Kau pekak ke? Suara aku bagai nak pecah Stadium Merdeka pun kau tak boleh dengar langsung?”
A’uzu billahi minash Shayta-nir-rajeem. Rasa macam nak baca dan tiup saja ke arah muka lelaki itu. Harapkan muka saja lawa. Suara dan bahasa Han yang biadap sudah cukup buat aku hilang minat. Namun, aku masih tidak boleh bertentangan mata dengannya. Entah kenapa ya?
“Betul Encik Sharhan. Saya dengarlah bising-bising tadi. Saya ingat Encik Sharhan tengok TV. Kenapa? Encik Sharhan nak makan ke?”
“Bukan. Aku nak melepas sekarang tapi benda yang aku selalu guna tu di sana. Kau pergi ambil sekejap.”
“Oh…oh…ok,” panik aku seketika. Dia nak membuang rupanya. “Tunggu Pak Mus sampai kejap lagi boleh?”

“Kau ingat benda ni ada butang pause ke? Tolong aku sekarang!”

“Bukan sebelum ni awak kata boleh buat sendiri ke?”

“Memang aku boleh buat sendiri tapi selepas bapa aku kerjakan aku tadi, terus kaki aku ni sakit balik!” jerit Han. Bunyi marah. Bunyi putus asa pun ada. Kesian pula aku rasa.
Aku terus masuk ke bilik air dan mencari barang yang dimaksudkan. Barang yang sama dia baling ke kepalaku tempoh hari. Geli juga aku mengangkat benda itu dan menyerahkan kepadanya. Tidak perlu risau. Lepas ini aku bilas tangan aku dengan sabun.
“Apa yang kau terpacak di situ. Nak tengok aku melepas?”
“Tak..tak..tak..saya pergi ni,” merona merah muka aku dikatakan teringin nak melihat dia membuang. Tak kuasa aku. Sebelum aku melangkah keluar, aku dengar dia berkata.
“Hoi pompuan. Lepas lima minit kau datang balik sini,” katanya.
Tanpa menoleh ke belakang, aku angguk kepala. Macamlah dia nampak aku angguk kepala.
Aku mundar mandir di ruang tamu sehingga cukup lima minit. Aku pergi semula ke bilik Han dan sebelum aku masuk, aku beritahu yang aku akan masuk ke biliknya. Manalah tahu kalau dia belum bersedia. Tak pasal-pasal aku juga yang akan malu nanti.
“Encik Han nak saya buat apa sekarang?”
“Tu. bawa bende tu pergi basuh,” katanya.
Terpaku aku tidak bergerak dengan arahannya itu. Dia tersengih. Seronok melihat aku dalam keadaan seperti seseorang yang tidak berupaya.
“Sa…saya basuh tu?” aku tunjuk bekas tadi yang sudah berisi cecair kuning.
“Habis tu siapa yang nak buat. Akukah? Kau kan volunteer nak jaga aku. Cepat pergi basuh. Aku perlukan benda tu malam nanti.”
Nak saja aku ulang kata yang aku tak jaga dia. Aku jaga rumah ni saja. Sekarang belakang tengkuk aku memang terasa gatal. Anak tengkuk aku memang terasa geli. Aku teringatkan Kak Suri. Mungkin inilah yang dia hadapi ketika belajar untuk menjadi doktor dahulu. Apa nak buat sekarang. Aku bukannya ada sarung tangan. Kalau nak menyentuh secara langsung, sanggupkah aku?
“Kau nak tunggu apa lagi tu?” Han mendesakku.
“Kejap. Saya akan buat. Nanti ya,” balasku. Suaraku senada sahaja sepertinya aku tiada masalah dan tidak cemas untuk membuat kerja seperti itu. Aku keluar ke dapur dengan harapan ada sarung tangan yang aku boleh guna. Sehingga ke pantri aku mencari sarung tangan plastik tetapi tidak berjumpa. Lantas aku ambil sehelai beg plastik dan kembali ke bilik. Aku sarungkan tangan aku dengan beg plastik dan tanpa berlengah, mengangkat bahan kumbahan itu. Panasnya pun masih lagi terasa. Harapan aku sekarang ini ialah aku dapat membawa ke bilik air tanpa menjatuhkannya. Aku kawal muka supaya kelihatan tenang. Tidak mahu diketawakan oleh lelaki yang sedang membuli aku sekarang. Sampai di bilik air, aku tuang terus ke dalam lubang tandas. Terbaling aku alat itu ke lantai. Lepas itu aku jirus dengan air puas-puas. Selesai sahaja, aku bawa masuk ke bilik dan letakkan di bawah katil. Agak-agak dekat dan boleh dicapai nanti. Tanpa berlengah aku terus pergi dari situ.
Tiga kali aku guna sabun untuk cuci sehingga ke pergelangan tangan aku. Selepas itu aku sediakan makan malam Han. Aku bawa kepadanya.
“Pak Mus ada di luar tengah mengaji,” aku beritahu Han supaya dia maklum yang ada orang lain di dalam rumah itu.
Han tidak ambil peduli. Aku mula mencedok nasi. Kali ini pengalamannya lebih mendebarkan. Aku berhadapan dengan seorang lelaki dewasa yang agak cantik mata memandang. Tiba-tiba terlintas di fikiran, kenapa pula aku tak minta tolong Pak Mus saja yang suapkan nasi kepada Han. Kan senang. Tak perlulah aku berhadapan dengan lelaki ini. Aku rasa macam nak hentak kepala aku sendiri sebab lembab berfikir. Apa nak buat. Tak kan aku nak hentikan Pak Mus mengaji pula sekarang.
Aku suapkan suapan pertama ke mulutnya. Lauk yang tersedia ada ialah kari ikan dan sayur. Aku langsung tidak memandang ke matanya. Takut. Aku hanya memandang ke arah mana sudu itu patut pergi. Kalau aku tidak memandang mulutnya, risau pula sudu itu masuk ke lubang hidung pula nanti. Aku sendiri perasan tangan aku menggigil ketika menyuapnya.
“Kau ni apa masalahnya. Nak suap aku pun terketar-ketar. Kau takut aku ke?”
“Ish mana pula saya takut, Encik Han. Tangan saya ni terkejut sedikit. Tadi kan pegang benda yang tak pernah pegang. Jadi tangan saya ni macam kena culture shock. Sampai sekarang terketar-ketar.”
Aku tidak nampak dan tidak mahu tengok tapi aku dengar macam Han ketawa sedikit. Aku cedok nasi seterusnya dan suapkan ke mulutnya. Setiap kali dia makan aku mengucap di dalam hati. Berat dugaannya kalau kena buat begini setiap hari. Aku ambil nota di kepala supaya tugasan ini perlu diambil oleh jururawat yang akan datang nanti.

Selang seminit aku suap aku tengok dia sibuk menaip di komputer. Guna dua jari sahaja pun laju juga dia menaip. Sekali sekala dia ketawa. Aku hendap sikit. Rupa-rupanya dia tengah sembang di talian dengan seseorang. Mungkin membaca apa yang dihantar oleh orang itu. Aku rasa seperti mengganggu privasi bila berada di situ. Aku hanya tahu bila dia nak makan, dia alihkan badan mengadapku. Kemudian dia teruskan dengan menaip semula. Aku terasa seperti robot Jepun sahaja. Berdiri di sebelahnya untuk suap dia makan. Kalau asyik begini, lenguh juga kaki aku berdiri menunggu. Mataku nampak kerusi yang ada bersebelahan katil. Nasi masih lagi setengah mangkuk. Sebaik sahaja aku beri suapan, aku letakkan mangkuk ke atas meja dan pergi mendapatkan kerusi. Aku nampak Han melihatku mengangkat kerusi itu sehingga ke tempat yang aku berdiri tadi.

“Sorry. Lenguhlah berdiri tunggu Encik Han. Selalu cepat je habis nasi. Kali ni Encik Han asyik dengan phone tu, lama sikit nak settle makan ni.”

“Baru tunggu lama sikit dah merungut. Kalau kau tak mahu buat kerja ni, lebih baik kau berambus saja.”
Aku makan hati tapi aku kuatkan semangatku yang sememangnya kental.

“Saya bukan merungut. Saya takut nasi kembang nanti,” balasku.
“Mama dan Papa aku kata mereka balik bila?”
“Malam sikit tapi tak sebut pula pukul berapa.”
“Kau ni memang dah confirm ke nak jaga aku?”
“Kira confirm buat sementara saja sampai keluarga Encik Han balik dari Haji. Tapi saya tak jaga Encik Han. Saya jaga rumah ni saja,” aku tegaskan kepadanya tugas hakiki aku di sini.
“Kenapa adik kau rosakkan motor aku?”
“Dia tak sengaja. Dia ingat Encik Han pukul saya walaupun saya dah ceritakan perkara yang sebenarnya. Cuma dia tu kecil lagi. Tak fikir panjang. Saya minta maaf bagi pihak dia.”
“Aku dengar ini idea bapak kau untuk jaga aku. Macam nilah. Kita biarkan family aku pergi Haji, lepas tu kau boleh blah dari sini. Pandai-pandailah aku jaga diri aku sendiri. Kau tak payah nak ambil kisah.”
Aku tercabar. Kalau nak suruh aku pergi dari sini, memang aku alu-alukan sangat pelawaan itu tetapi kalau suruh aku lari dari tanggungjawab yang Papa amanahkan kepadaku, maaf! Aku tak boleh layan. Apatah lagi aku tahu Aunty Jah dan Umi sebenarnya berbelah bahagi untuk ke Mekah disebabkan hal kemalangan ini. Kalau aku pergi begitu saja nanti dan tinggalkan Han, apa pula kata mereka kepadaku. No way.
“Tak ada hal. Encik Han jangan bimbang. Sampai masa nanti, ok.”
“Jadi kau setuju nak pergi?”
“Saya kata sampai masa nanti,” aku pergi dari situ dengan mengangkat dulang. Biar dia fikir aku akan pergi. Sampai masanya nanti, itu cerita lainlah pula.

----//---------

HUJUNG minggu, anak Aunty Jah yang sulung datang melawat. Perwatakan Farid sungguh berbeza daripada Sharhan. Bersopan santun dan berbudi bahasa. Malah, aku tengok Farid lebih ceria berbanding adiknya yang suka merungut itu. Farid sudah pun berkahwin dan mempunyai sepasang cahayamata bersama isterinya Maiza, seorang wanita yang tinggi lampai dan putih melepak. Mukanya ada iras-iras keturunan Cina. Bila dia senyum, matanya memang sepet. Anak-anaknya pun ikut Kak Maiza daripada Abang Farid, panggilan yang mereka minta aku gunakan. Menurut kata Aunty Jah, memang seperti tradisi Abang Farid akan datang melawat mereka setiap hujung minggu kalau dia tidak bertugas luar atau pun mempunyai hal lain. Kak Maiza juga rajin melawat mereka kalau ada masa yang terluang.
“Mari minum Maiza,” ajak Aunty Jah. Aku membantu membawa dulang air. Anak-anak Kak Maiza semuanya bermain di laman luar manakala Abang Farid dan Papanya berada di bilik Han.
“Macam mana Chaya jaga Han? Boleh tahan ke dengan fi’il dia tu?” soal Kak Maiza.
“Setakat ni Chaya masih boleh bertahan.” Aku malas hendak betulkan Kak Maiza yang aku di sini untuk menjaga rumah bukan anak tuan rumah.
“Chaya ni sabar orangnya Maiza. Lepas tu jenis tak ambil kisah sangat. Mama tengok macam mana teruk Han buli dia pun, dia buat tak tahu saja,” jelas Aunty Jah. “Rasa lega sikit rasanya nak tinggalkan Han di sini.”
“Mama dah siap berkemas semua ke?”
“Dah. Tunggu masa saja.”
“Sibuk sangat ke Maiza sekarang ni? Mama tengok dari tadi asyik menjawab telefon sahaja.”
“Sibuk juga Mama. Rasa macam menyesal tukar kerja baru. Ingatkan boleh rehat sedikit dari kerja dulu. Ini tidak. Waktu cuti pun orang cari.”
“Dah rezeki Maiza. Terimalah saja. Mungkin baru lagi Maiza pegang jawatan tu. Kalau lama-lama nanti, dah boleh biasakan diri,” balas Aunty Jah memberi galakan kepada Kak Maiza.
“Orang perempuan ni kena pandai berdikari barulah suami tak boleh pijak sesuka hati. Zaman sekarang ni bukannya boleh percaya sangat suami sendiri. Kalau sayang tu sampai ke senja, syukurlah. Tapi kalau ada yang mengganggu di tengah jalan dan kita yang jadi mangsa, sekurang-kurangnya punca rezeki itulah yang kita boleh harapkan,” Umi mula bersuara.
“Cakap Umi tu betul Maiza. Walaupun kami tahu Farid sayangkan Maiza, kita orang perempuan kena pandai cari duit sendiri.”
“Itu Maiza tahu Mama, tapi bila difikirkan masa dengan budak-budak dah jadi kurang sikit, rasa macam nak balik semula ke tempat kerja lama. Kesian diorang tu. Malam baru jumpa dengan Maiza. Nasib baiklah emak Maiza yang jaga mereka. Abang Farid tu setakat ni belum kata apa-apa. Maiza takut je dia sound nanti.”
“Tak apalah Maiza. Banyak-banyak bersabar. Kadang-kadang kita kena tengok yang mana lebih penting. Kalau Maiza rasa lebih baik ada kerja yang beri lebih masa untuk mereka, Maiza ambil saja kerja tu, walaupun gaji kurang sikit.”
“Maiza cuba sesuaikan diri dulu dengan kerja ni, Mama. Kalau dalam beberapa bulan Maiza tak boleh nak handle juga, Maiza balik buat kerja dulu atau pun berehat macam Chaya buat sekarang ni, betul tak Chaya?”
“Nak rehat anytime Kak Maiza, tapi macam Aunty dan Umi katalah, kena berdikari. Macam Chaya ni single lagi. Senang nak berdikari. Yang penting kena ada duit.”
“Chaya nak rehat berapa lama?” soal Kak Maiza.
“Chaya tunggu lepas semua balik dari Haji, Chaya continue kerjalah,” balasku.
“Chaya dah ada kerja yang menanti ke?” soal Aunty Jah.
“Ada Aunty. Kerja dengan kawan masa kolej dulu. Buat part time saja,” balasku.
“Chaya tak cerita pula yang Chaya dah ada kerja menanti. Kesian Chaya kena jaga Han. Kalau Aunty tahu, taklah Aunty sekeluarga setuju dengan Papa Chaya. Ganggu je rancangan Chaya.”
“Laa…tak ganggu langsunglah Aunty. Kerja tu bila-bila saja boleh tunggu Chaya. Lagipun dia setuju bila Chaya kata Chaya join hujung tahun nanti.”
“Ini mesti kawan special ni sampai boleh tunggu-tunggu,” usik Kak Maiza.
“Tak adalah. Kami kawan baik je,” balasku.
“Oh, betullah. Kawan lelaki,” usik Kak Maiza lagi.
Aku hanya tersenyum. Kalau menyampuk lagi, panjanglah pula ceritanya nanti.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience