BARU sejam sahaja Nina pergi, aku terasa seperti kehilangan seorang kawan yang boleh menjadi penyeri kehidupan aku yang membosankan ini. Sebelum Nina pergi, dia beri aku sebatang gincu bibir yang juga berfungsi untuk penjagaan bibir sebagai hadiah. Dia nampak aku tidak pernah mengenakan sebarang alat solek ke mukaku. Katanya, aku perlu jaga bibirku tidak kira siang atau malam.
Untuk Han, Nina hadiahkan sepasang topang ketiak. Katanya Han senang untuk bergerak menggunakan alat itu daripada sentiasa di tolak dengan kerusi roda. Han mencuba kedua-dua topang itu dan dia sendiri merasakan mudah untuknya bergerak. Han bertopang ketika melambai kepada Nina yang hilang daripada pandangan takala kereta yang Pak Mus bawa bergerak keluar dari kawasan perumahan itu. Bila pintu ditutup, barulah aku sedar sesuatu. Aku dan Han akan kembali semula kepada kehidupan kami yang asal sebelum kedatangan Nina.
Aku kembali duduk di kawasan rehat, tempat aku tidur dan berehat bersama-sama dengan Nina sambil membelek gincu yang diberikan kepadaku. Aku buka penutup dan menarik keluar bahagian yang digunakan untuk mengoles bibir. Aku dapat lihat lapisan jernih sahaja. Aku buat sapuan ke bibirku. Terasa bibirku seperti panas sedikit. Mungkin itulah fungsi penjagaan yang dikatakan. Bibirku yang kering terasa lembab dan licin sahaja. Aku bermain-main bibirku dengan jari tanpa aku sedar aku sedang diperhatikan. Aku mendongak dan aku nampak Han sedang melihat dan mentertawakan aku. Terus aku mengetap bibir.
“Tak baik datang tak bagi salam,” aku menegurnya.
“Lah, nak kena bagi salam ke? Kalau aku di luar memang sah kena bagi salam, tapi kalau dalam rumah buat apa nak bagi salam pula?” katanya.
Aku buat muka bosan.
“Nak apa?’ soalku.
“Kau boleh bawa kereta?”
“Err..tak berapa pandai la,” balasku.
“Kalau aku minta kau bawa aku ke Subang Jaya, boleh tak?”
“Ada apa di sana?”
“Rumah sewa aku. Ada beberapa benda yang aku nak ambil di sana.”
“Kita tunggu Pak Mus balik sajalah.”
“Tapi aku tak mahu tunggu Pak Mus. Sekarang juga aku nak kena ambil barang aku. Kalau tak aku tak boleh buat kerja aku.”
Aku terkejut. Bila masa pula dia bekerja.
“Awak ni ada kerja ke?”
“Ada. Kenapa? Kau ingat selama ni aku makan duit mak bapak aku ke?”
“Err..tak adalah. Saya dengar awak tak habis belajar, itu yang saya tanya.”
“Oh..kau tahulah yang aku ni belajar sampai sekolah menengah saja, ye. Kenapa? Kalau nak kerja nak kena belajar sampai ke universiti macam kau ke?”
“Tak..tak..saya tanya saja. Tak apalah kalau tak nak bagi tahu.”
“Merajuklah tu.”
“Tak kuasa saya nak merajuk. Forget it.”
“Kau ni cepat sangatlah menjawab. Kau selalu merajuk dengan boyfriend kau macam ni ke dulu? Patutlah dia tinggalkan kau.”
Aku tak mahu jawab apa-apa. Han ketawa melihat aku terasa hati.
“Kau jangan pula terasa dengan apa yang aku kata tadi. Memang benar pun kau ni kuat merajuk. Sudahlah. Aku nak kau bawa aku ke rumah aku sekarang. Kau pergi cari kunci kereta Mama aku di tempat simpan kunci. Kereta mak aku yang warna merah tu. Aku tunggu kau depan pintu dalam masa lima belas minit lagi,” kata Han tanpa memberi kata putus kepadaku.
BERPELUH juga aku bawa kereta. Dari garaj ke depan pintu rumah. Aku nampak Han geleng kepala. Entah apa yang dia nak katakan kepadaku. Bukan aku tidak beritahu tadi yang aku tidak berapa cekap bawa kereta. Dia sendiri tidak mahu dengar cakap aku. Lima minit aku mengadap kereta merah milik Aunty Jah itu untuk cuba belajar cara membawanya. Hendak membuka penghawa dingin pun aku terkial-kial. Sekurang-kurangnya aku berjaya juga bawa ke hadapan pintu. Aku keluar untuk membantu Han masuk ke dalam kereta. Panas telinga aku mendengar rungutannya.
“Memang lembab. Setengah jam aku tunggu kau.”
“Mana ada setengah jam,” aku membantah. “Saya berjaya apa bawa ke depan pintu seperti yang awak suruh. Saya dah kata saya tak cekap bawa kereta tapi awak tak percaya. Awak nak teruskan ke nak cancel?”
“Apa pula cancel. Bawa sajalah” balasnya.
Aku buka pintu belakang tetapi dia nak masuk ke depan. Bila aku tanya muat atau tidak, dia kata tiada masalah. Jadi aku pastikan kerusi penumpang itu ditolak sehingga ke belakang. Han bukannya kecil. Aku takut sangat kalau kakinya tidak muat. Tapi bila dia masuk ke dalam kereta dan duduk dengan selesa, baru aku rasa yakin sebab akan ada orang di sebelahku bila aku bawa kereta nanti.
Jangan ketawa. Jangan kata apa-apa. Aku kata dalam hati. Aku baru sahaja bawa kereta keluar daripada kawasan rumah . Pintu pagar dibuka dan ditutup secara automatik. Sebaik sahaja kereta bergerak, aku membilang di dalam hati. Aku tahu Han tengah panas melihat cara aku membawa dan mengendalikan kereta. Tidak sampai ke bilangan tujuh belas, aku dengar suaranya.
“Perlahannya kau bawa kereta. Berapa kilometer tu?”
Aku lihat meter kereta.
“Empat puluh kilometer sejam.”
“Aduh! Kalau kau bawa macam ni, lepas Maghrib pun belum tentu kita sampai.”
“Kan saya dah kata saya tak cekap bawa kereta. Kalau rasa saya bawa lambat, lebih baik patah balik sahaja,” aku melenting sedikit.
“Hah tengok. Merajuklah tu. Kau tak cekap bawa atau kau takut bawa kereta?”
“Saya tak pandai kalau kereta tu bukan kereta Papa saya. Saya takut juga sebab kalau jadi apa-apa, teruklah nanti. Kalau tercalar kereta ni, mesti mahal nak baiki. Kalau jadi apa-apa pada awak, lagi teruk saya nak kena jawab dengan keluarga awak.”
“Kau jangan risau. Kalau tercalar, aku uruskan nanti. Tapi kalau jadi apa-apa dekat aku, kau tanggung je aku selama-lamanya.”
“No thank you,” balasku.
Han menekan sesuatu di bahagian dashboard kereta. Aku terasa hembusan penghawa dingin. Han arahkan aku naikkan tingkap kereta. Tangan kanannya di letakkan di belakang kerusiku. Dekat dengan kepalaku. Ketika memandu aku seperti terasa rambutku disentuh. Samada aku perasan atau ia benar-benar berlaku, aku tidak pasti. Kalau aku angkat tangan, pura-pura menyisir rambutku, nampak sangat aku perasan. Jadi kubiarkan sahaja dan berpura-pura fokus memandu.
“Cuba tekan minyak sikit lagi Chaya. Beranilah sikit.”
Permintaannya dan sebutan namaku sekaligus membuatkan aku hilang ingatan seketika. Aku beranikan diriku dan menekan pedal minyak. Han dekatkan kepalanya kepadaku untuk melihat meter minyak.
“Tekan sedikit lagi Chaya. Berani lagi.”
Aku tarik nafasku bukan kerana aku ingin menekan minyak tetapi kerana kepala Han betul-betul di sebelahku.
“Ok,” aku jawab dengan nada tertekan.
Aku tekan minyak lagi dan nampak meter naik dari lima puluh ke enam puluh. Aku tanya Han laluan mana yang aku patut ambil. Han menunjukkan jalan melalui sebuah lebuhraya menghala ke Putrajaya. Katanya ada lebuhraya yang tidak sibuk dan aku akan lebih yakin untuk memandu. Betul kata Han. Sampai sahaja di lebuhraya yang agak lengang itu, aku menekan pedal minyak dan berjaya naikkan meter dari enam puluh ke tujuh puluh kilometer sejam.
“Tak boleh laju lagi ke?”
“Mmmm…tak laju lagi boleh tak?” aku pula yang bertanya. Setakat kelajuan ini, aku sudah seram sejuk. Apatah lagi aku naik kereta dengan seorang lelaki yang dapat mengganggu ketenteraman jiwaku. Buat saat dan ketika ini.
“Tak apalah kalau kau tak berani. Bawa sampai jumpa exit Subang Jaya. Ikut signboard saja.”
“Awak tunjukkanlah exit tu nanti. Saya bawa saja. Nak fokus ikut signboard payahlah.”
“Teruk betul kau bawa kereta. Aku ingat lepas ni tiap-tiap petang kau belajar bawa kereta. Kita ronda-ronda di kawasan rumah. Kalau duduk dalam rumah pun bukannya ada faedah sangat,” Han memberikan cadangan.
“Awak nak ajar saya bawak kereta ke? Boleh ke?”
“Apa pulak tak boleh? Mama aku tak kisah kalau kau guna kereta ni,” katanya.
“Kalau tak kisah, saya pun nak juga belajar free,” balasku.
“Siapa kata free?”
“Kalau nak kena bayar saya tak mahulah!” balasku.
“Tengok! Tunjuk merajuk lagi. Cuba tukar cara jawab tu.”
“Baiklah Encik Sharhan. Kalau kena bayar, saya tak mampu dengan keadaan saya yang tidak berpendapatan ini. Lagipun saya ni hanya menumpang teduh sahaja. Saya kena jaga anak hartawan yang perlukan perhatian. Mana ada masa untuk belajar bawa kereta. Lagi pun kalau saya guna duit simpanan untuk bayar, saya takut saya terpaksa angkut tilam pindah balik ke rumah Papa saya?”
Puas aku menjawab. Han ketawa berdekah-dekah. Kereta itu bergegar dengan hilai ketawanya. Dengan tidak semena-mena, dia serabutkan rambutku dengan tangannya yang berada di belakang kerusi. Aku terjerit dan nasib baik tidak hilang kawalan stereng dengan tindakannya itu. Dia minta maaf tanpa menghiraukan aku yang membebel panjang lebar tentang kelakuannya sebentar tadi. Siap ceramah tentang adab dan kelakuan.
AKU nampak kemewahan pangsapuri yang begitu ketat kawalannya. Lokasinya begitu strategik. Ia berhadapan dengan bangunan membeli belah yang dikunjungi ramai di Subang Jaya. Han menggunakan pas keselamatan untuk masuk ke dalam kawasan parkir kereta. Dia minta aku berhenti di hadapan sebuah parkir yang sudah ada sebuah kereta di situ. Takut mengganggu laluan kereta itu nanti, aku ajukan soalan itu kepadanya. Kata Han, itu keretanya. Jadi aku tidak banyak bicara.
Bila kereta diberhentikan, ada seorang pengawal yang lalu di situ. Aku membantu Han keluar dan menyerahkan topang kepadanya. Pengawal itu menegur Han, bertanyakan tentang kakinya. Nampaknya mereka saling mengenali. Selepas seminit dua, kami pun beredar menuju ke lif.
Sebaik sahaja aku melangkah masuk ke dalam unit pangsapuri Han, aku rasa seperti masuk ke dalam kawasan pembuangan sampah atau pun ke dalam tempat yang baru dilanggar puting beliung. Ruang rehat dan ruang makan dipenuhi dengan pelbagai barang. Baunya pun kurang menyenangkan. Tak sanggup aku hendak melangkah masuk.
“Apa yang kau tercegat di situ? Masuklah. Tolong aku alihkan barang-barang. Kalau tidak susah aku nak jalan.”
“Selamat ke nak masuk dalam ni?” soalku. Takut pula kalau ada jerangkap samar yang menanti tatkala aku masuk.
Han berdeham.
“Ok..ok..saya masuk dalam,” kataku sambil membuka kasut sandal. Aku tawakal sahaja apa yang akan berlaku. Mula-mula aku tolak beg sandang besar ke tepi. Beg itu masih berat lagi. Aku pasti isinya pun belum dikeluarkan lagi. Seperti membaca fikiranku, Han kata dia balik dari Nepal dan terus bergegas ke Cherating. Itu yang dia tidak sempat untuk mengemas. Aku angguk sambil mengubah barang seterusnya. Sebuah kotak. Entah apa isinya pun aku tidak mahu tahu. Beberapa barang lagi yang aku alih termasuklah baju jaket kulit hitam dan sebuah beg yang mengandungi barang-barang seperti alatan menyelam.
“Awak ni buat kerja outdoor ke atau jual barang outdoor,” soalku.
“Aku rajin buat aktiviti outdoor,”
“Busuklah rumah ni,” kataku sambil menutup hidung. “Saya buka balkoni boleh. Tak tahan sangat bau ni.”
“Bukaklah apa yang kau nak buka,” kata Han.
Aku jeling Han yang tersenyum melihatku sebelum aku bergerak menuju ke balkoni yang langsirnya pun nampak sudah ditelan zaman. Aku selak langsir itu sampai habis dan buka balkoni. Pemandangan di hadapan hanya jalan raya yang dipenuhi kereta sahaja. Aku masuk semula ke dalam pangsapuri itu. Aku nampak Han sedang berada di tepi katil. Unit Han ialah unit studio. Dari pintu masuk boleh lihat ruang dapur, ruang tamu, ruang makan dan ruang tidur dengan sekali pandang. Hanya satu sahaja bilik yang berpintu iaitu bilik air. Orang bujang seperti Han mungkin selesa dengan unit seperti ini. Tidak banyak yang diperlukan untuk memenuhi ruang seperti ini. Meja makan pun tiada. Yang ada hanyalah yang asas sahaja. Tiba-tiba keluar sahaja soalan dari mulut aku.
“Berapa bayar sebulan kalau unit begini?”
“Seribu lebih,” katanya tanpa melihat aku langsung. Aku perhatikan sekeliling. Kawasannya kecil sedikit daripada unit flat yang aku diami. Unit ini mahal mungkin disebabkan kedudukannya di peta Subang Jaya. Satu daerah yang serba serbi mahal di Selangor. Han sibuk mencari apa ke entahnya. Kalau bersepah sebegini, manalah senang nak jumpa kecualilah kalau dia betul-betul tahu di mana nak dicari. Seperti tahu aku sedang memerhatikannya, Han pun berkata.
“Aku dah jumpa apa aku nak. Aku nak lepak sini sekejap. Boleh tak kau tolong kemaskan barang-barang aku. Mana yang perlu basuh, kita bawa balik Kajang.”
“Nak suruh saya buat apa?” Aku menyoal dengan agak keliru seketika dengan permintaan itu.
“Kemas. Cari pakaian atau apa saja yang nak kena basuh.”
Malapetaka.
Aku jeling dan cuba kawal dari merajuk.
“Kata saya kuat merajuk. Awak tu lagilah teruk. Suka buli!” keluhku.
“Kalau kau nak upah, aku bagi kau seratus ringgit,” katanya.
“Ok. saya nak seratus sekarang juga,” kataku pantas kerana tidak percaya dengannya.
Han berhenti dari meneruskan kerjanya. Dia keluarkan dompet dari sakunya dan tarik dua helai nota lima puluh ringgit.
“Nah! Aku tak tipu kau,” katanya.
Aku rasa malu pula nak ambil tapi kalau tak ambil, lagilah malu. Aku singgah ke sebelahnya dan mengambil duit yang dihulurkan.
“Terima kasih. Saya akan buat apa yang patut.”
Sementara Han sibuk dengan kerjanya dan sekali sekala membuat panggilan telefon, entah kepada siapa pun aku tidak ambil kisah, aku sibuk menjadi ‘Makcik Cleaner’. Han kata aku guna saja apa yang patut. Kumpul saja apa yang patut dan kemas saja apa yang patut.
Aku pun tak tahu nak mulakan daripada mana dan bagaimana. Terlalu banyak benda yang berselerak. Mula-mula aku mengutip kertas atau majalah atau suratkhabar atau buku yang bertaburan. Majalah dengan majalah. Buku dengan buku. Kertas dengan kertas dan suratvkhabar dengan surat khabar. Baru sahaja aku buat operasi itu, aku tanya samada dia perlukan semua itu atau kira boleh buang saja. Han melihat aku sedang memegang beberapa kertas di sebelah tangan dan sebuah majalah di sebelah kiri. Dia suruh aku simpan apa saja kertas yang ada tetapi boleh buang majalah, surat khabar dan kalau aku rasa buku itu penting untuknya, simpan. Kalau tidak buang. Memandangkan tiada plastik sampah yang boleh aku gunakan, aku susun semua yang boleh dibuang pada satu tempat. Sempat juga Han beritahu aku bahawa ada tempat sampah tidak jauh dari unit itu. Aku angkut mana yang mampu untuk aku buang di tempat yang dikatakan.
Tiga kali aku ulang alik. Barulah aku nampak lantai yang sepatutnya jadi ruang makan dan ruang rehat. Selesai dengan pengumpulan sampah tidak berguna itu, aku uruskan pula beg sandang yang paling besar di tengah-tengah ruang unit itu. Sekali aku buka, MasyaAllah, pening lalat aku. Bukan kata bau, aku rasa apa yang ada di dalam tu dah berkulat semuanya. Menyesal aku pergi buang semua kertas surat khabar tadi. Aku keluar semula untuk ambil beberapa helai daripada tempat pembuangan sampah dan aku tebarkan di luar balkoni. Lepas itu, aku tuang segala isi kandungan beg besar itu. Lepas tuang semuanya, aku tengok saja apa yang ada. Kalau basuh pun semua pakaian ini, macam buang masa saja.. Beberapa baju T sudah tidak macam baju lagi. Aku masuk bersemuka dengan tuan empunya pakaian.
“Rasanya pakaian awak dah tak boleh diselamatkan lagi. Kalau biar sehari dua lagi, awak dah boleh buat perusahaan kulat dan cendawan.”
“Teruk sangat ke?”
“Teruk sangat,” balasku.
“Mungkin pasal aku tak keluarkan masa balik dulu. Mana aku nak tahu lepas Ikram kahwin, aku pulak tak boleh bergerak.”
“Jadi. Nak buat apa sekarang? Nak buang ke atau nak cuba selamatkan? Tapi kalau selamatkan pun rasa-rasanya macam buang karan saja.”
“Buang. Tapi kau tolong tengok kalau ada apa-apa dalam poket. Manalaha tahu kalau ada yang aku tertinggal. Aku pun tak ingat.”
“Beg?” soalku.
“Kau basuhlah. Lepas tu kau jemur di luar. Biarkan saja. Kalau kau bimbang hujan, tempat tu selalunya kena tempias sikit saja. At least kalau aku balik ke sini selepas seminggu dua ke, beg tu masih lagi boleh pakai.”
Aku keluar ke balkoni. Aku pijak seluar dan baju kalau ada benda yang keras. Dua kali aku pijak. Yang aku dapat pungut ialah duit syiling Nepal. Rasanya tiada apa lagi. Jadi aku bungkus kain baju itu dengan surat khabar yang sedia di bawah itu. Aku angkut semuanya keluar. Terbersin aku beberapa kali. Memang sah pakaian itu semuanya berkulat. Aku tahan nafas sehingga aku buang semuanya ke dalam tong sampah besar yang tersedia ada.
Aku lihat beg di balkoni berkali-kali. Tak sanggup aku untuk buang tenaga basuh beg tersebut. Jadi aku tinggalkan sahaja di balkoni itu. Aku masuk dan lihat Han masih lagi dengan kerjanya. Jam di tangan sudah hampir ke pukul tujuh. Tak lama lagi masuk waktu Maghrib. Bagaimana aku nak bersolat? Aku tertanya-tanya dalam hati. Tidak mungkin tempat sebegini ada surau. Aku rasa paling dekat ialah pusat membeli belah berdekatan.
“Han. Dah nak masuk waktu ni. Kalau saya pergi mall sekejap tak apa ke?”
“Dah nak masuk ke? Kalau begitu, kau ambil kad dan kunci tu. Pandai-pandailah kau cari jalan ke sana dan balik ke sini.”
Han tunjuk kad akses dan kunci di atas meja.
“Kalau awak lama lagi, saya solat Isyak terus di sana boleh ke?”
Aku tengok Han angguk sahaja. Aku terus capai kad dan kunci. Tanpa buang masa, aku terus bergegas mencari untuk mencari laluan ke pasaraya berhadapan dengan kondominium Han.
AKU resah dan gelisah. Hari hujan lebat. Hujan turun sejak separuh dalam perjalanan balik ke kondo. Aku redah juga hujan itu untuk sampai ke kondo Han. Malas untuk patah balik ke pasaraya untuk beli payung. Aku rasa teramatlah mencabar membawa kereta di dalam keadaan hujan lebat seperti itu. Hampir setengah jam bersesak oleh kerana lampu trafik, akhirnya kami sampai ke destinasi. Restoran KFC terletak bersebelahan dengan stesen minyak Petronas. Kami buat keputusan untuk pesan makanan melalui pandu laju sahaja. Dapat sahaja makanan, aku terus makan kerana kelaparan seperti sehari buat kerja kasar. Baik hati juga Han bila dia hulurkan air untukku. Seketul dada ayam sudah cukup buat aku rasa kenyang. Bila Han tanya kalau aku mahu makan lagi, aku geleng kepala. Aku hanya nak balik rumah dengan segera.
Pak Mus dan Mak Teh menjemput kami sebaik sahaja tiba di rumah. Aku tak sempat nak bercerita dengan mereka apa yang berlaku hari ini tetapi aku dengar Han beritahu yang dia balik ke Subang. Setakat itu sahaja aku dengar sebab aku minta diri untuk naik ke bilik. Aku penat mental dan fizikal kerana bawa kereta di waktu malam dan bawa kereta di dalam hujan. Aku rasa kaki aku sudah lari marathon sahaja. Malam itu aku terus pengsan tertidur di bilik Nora. Aku lagi rasa penat dari takut tidur bersendirian.
Share this novel