KELUARGA Farid dan keluarga Nora sudah berkumpul di rumah seawal tengahari pada hari itu untuk sama-sama pergi ke KLIA menyambut kepulangan keluarga mereka. Aku tanya kalau Han mahu turut serta konvoi ke KLIA. Aku kata aku sudah cukup yakin untuk bawa kereta ke sana. Pada mulanya Han kata lebih baik kalau mereka tunggu di rumah. Biar abang dan adiknya sahaja yang pergi menyambut di sana. Saat-saat akhir bila Pak Mus datang untuk mengambil kereta dan mereka yang lain sudah bersiap sedia, Han berubah fikiran pula. Dia mahu ikut sekali. Bila Farid mengajaknya naik keretanya ataupun kereta Nora, Han memilih kereta Nora kerana Nora hanya bersama suaminya sahaja.
Dia suruh aku tunggu di rumah.
Bila Farid dan Kak Maiza ajak aku sekali, aku kata biar aku tunggu sahaja. Sebaik sahaja semua kereta keluar dari perkarangan rumah, aku terus masuk dan menangis. Kecil hati dengan Han. Aku pun teringin juga hendak menyambut kepulangan Aunty Jah dan Umi. Kalau boleh, aku pun hendak jadi antara orang yang terawal untuk memeluk mereka. Dapat berkat dari mereka. Biarlah. Aku bukannya sesiapa bagi Han. Sekadar orang yang menjaganya buat sementara sahaja. Aku hanya seorang pembantu. Terkilan aku dengan sikap Han.
Bila tangisan aku mulai reda, aku baru boleh gunakan fikiranku yang rasional. Aku bukannya keluarga Han. Hanya orang luar. Sepatutnya aku berada di rumah. Siapkan apa yang patut untuk menyambut kepulangan keluarga itu nanti. Jadi, itulah yang aku lakukan. Aku pastikan rumah dalam keadaan yang baik. Mujurlah, semalam dua orang pembantu ada datang untuk mengemas dan membersihkan apa yang patut. Aku ke dapur. Aku sediakan air minuman dan sejukkan di dalam peti sejuk. Aku panaskan air untuk aku sediakan minuman air panas kelak. Aku keluarkan cawan dan gelas di atas meja. Selepas itu, aku menunggu sahaja di ruang tamu. Dan aku menangis lagi.
---
“CHAYA apa khabar? Sihat ke?” tegur Aunty Jah. Dia peluk dan cium aku beberapa kali. Segar bau Aunty Jah. Bau orang yang baru balik dari Tanah Suci. Wajahnya pun nampak sedikit berubah. Dulu aku rasa wajahnya bulat, tapi sekarang aku nampak macam bujurlah pulak. Aku hanya bersalaman dengan Uncle Mi yang sudah botak kepalanya. Selepas itu aku nampak Umi. Dia pun nampak lain sedikit. Wajahnya putih bersih betul. Aunty Jah masih memelukku ketika Umi datang kepadaku. Dia peluk dan cium aku.
“Chahaya sihat?” tanya Umi.
“Sihat Umi,” balasku. Air mata sudah pun mengalir. Kononnya tadi aku cuba tunjuk gagah. Tidak mahu menangis. Nampak sahaja Aunty Jah, berjela-jela air mata aku keluar. Walaupun mereka tiada pertalian darah daging denganku, aku rasa mereka orang yang istimewa. Bukan kerana mereka keluarga Han tetapi kerana mereka melayan aku seperti anak dan cucu sendiri. Itu yang buat aku rasa terharu.
Semua orang berkumpul di ruang tamu. Masing-masing bertanyakan itu dan ini. Aku ambil kesempatan itu untuk membawa keluar jus oren ais dan juga teh panas yang aku sediakan. Umi mengajak aku duduk dekat dengannya supaya bersama mendengar pengalaman mereka di Tanah Suci. Orang yang banyak bercerita ialah Uncle Mi. Sekali sekala kami ketawa dengan telatah dia bercerita. Aku lihat Han juga turut ketawa. Aku suka lihat dia ketawa tetapi hari ini aku merajuk dengan dia.
Kami makan malam dengan nasi briyani yang dibeli oleh Farid. Aku dengan rela hati menghidangkan makan malam itu. Nora sedang mengandung, manakala Kak Maiza pula melayan anak-anaknya. Ketika aku sedang sibuk membasuh pinggan mangkuk, Aunty Jah menghampiriku.
“Kesian Chaya nak kena layan kami semua.”
“Tak adalah Aunty. Chaya memang nak tolong pun. Semua baru balik ke sini. Rehatlah dulu. Kerja rumah yang sikit ni biar Chaya yang tolong buatkan.”
“Aunty tengok Han dah semakin sihat. Nasib baik Chaya tolong jaga dia. Risau juga masa Aunty di sana. Bila dah balik ni, baru aunty tahu yang aunty tak perlu risau sangat.”
“Han baik Aunty. Tak bagi banyak masalah. Chaya senang kerja dengan dia.”
“Kerja?”
“Ye lah. Kerja jaga dia,” balasku.
“Oh macam tu,” balas Aunty Jah. Aku nampak raut wajahnya berubah sedikit.
“Lepas Chaya habis basuh ni nanti, join balik di ruang tamu ye. Kami semua tak mahu tidur lagi sebab ada yang belum selesai lagi tu.”
Bila aku sertai semula keluarga itu, barulah aku tahu Uncle Mi dan Aunty Jah tak sabar-sabar untuk mengedarkan buah tangan yang mereka bawa balik dari sana. Selain kurma dan air zam zam yang menjadi kemestian, kami yang perempuan termasuk aku mendapat sepasang jubah yang sungguh cantik manakala kaum lelaki menerima beberapa barangan lain.
Semua anak-anak Aunty Jah tidur di sini. Aku berikan semula bilik Nora kepadanya. Tambahan pula aku kata sepanjang mereka sekeluarga ke Mekah, aku tidur di ruang rehat sahaja dan aku gunakan bilik bibik untuk urusan lainnya. Jadi tiada masalah kalau aku gunakan bilik bibik sepanjang Nora ada di sini.
Sepanjang tiga hari kemudiannya, rumah itu mula dibanjiri oleh sanak saudara dan juga rakan taulan yang datang melawat keluarga itu. Farid dan Nora sudahpun kembali kepada tugas mereka masing-masing pada hari kedua. Jadi tinggallah aku dan kadangkala dengan Mak Teh untuk membantu Aunty Jah melayan para tetamunya. Pak Mus pula akan sentiasa mendapatkan bekalan makanan dari luar untuk hidangan para tetamu atau pun untuk makan malam kami. Sekali sekala aku jenguk Han kalau-kalau dia perlukan apa-apa. Dia nampaknya sudah berubah sejak keluarganya pulang. Tidak lagi bergelak ketawa denganku. Sekali aku tanya, sepatah dia jawab. Aku rasa mungkin dia tidak suka dengan kehadiran tetamu yang ramai dan tidak putus-putus. Bukan sahaja para tetamu melawat keluarganya, malah dia juga terpaksa melayan tetamu. Itu yang kebanyakan waktu aku lihat dia terperuk sahaja di biliknya jika ada yang datang.
Masuk hari keempat bibik pun balik dari percutiannya. Bibik pun nampaknya beria-ria mengambil alih kerja semula. Mungkin bibik sudah puas bercuti. Seolah-olah dia dapat tenaga baru untuk bekerja. Memandangkan bibik sudah selesa dengan tugasnya, aku rasa sudah tiba masanya aku mengundurkan diri dari keluarga ini. Tambahan pula Han sudah boleh bergerak dengan sendirinya. Han sudah tidak perlukan khidmat aku dan keluarga ini juga tidak perlukan aku berada di sini lagi.
---------------------------------//--------------------------------------
PAGI-PAGI lagi bila aku lihat Uncle Mi sudah keluar, aku ketuk pintu bilik Aunty Jah. Bila aku dengar suara Aunty Jah suruh masuk, aku masuk ke dalam dan memberi salam. Aunty Jah mungkin sedang berehat di atas katilnya kerana aku lihat dia seperti baru bangun dari tempat dia berbaring bila melihatku masuk.
“Sorry kalau Chaya ganggu Aunty,” kataku.
“Tak apa. Masuklah Chaya. Aunty tak buat apa pun. Rehat sebentar. Sejak beberapa hari ni ramai yang datang sampaikan aunty tak ingat penat. Bila dah kurang yang datang ni, barulah aunty rasa penat balik dari sana. Itu yang Aunty nak rehat sekejap. Rasanya tengahari ni ada lagi yang nak datang melawat.”
Aku angguk sahaja. Faham. “Boleh Chaya cakap sebentar dengan Aunty?”
“Boleh. Mari duduk sini,” kata Aunty menyuruhku duduk di sebelahnya di atas katil itu. Aku pun berjalan dan duduk di sebelahnya.
“Chaya nak cakap sikit tapi Aunty jangan salah anggap pula ya. Chaya nak minta permission Aunty kalau Chaya boleh balik ke rumah Chaya…” belum sempat aku sudahkan ayatku, Aunty Jah sudah bertanya.
“Chaya nak balik sementara ke atau Chaya nak pergi dah?”
“Chaya nak pergi sebenarnya, Aunty. Han dah boleh bergerak sendiri dan bibik pun dah boleh tolong Aunty jaga Han,” kataku yang cuba menekankan aku di sini ialah untuk membantu Han. Aku lihat Aunty terdiam seketika.
“Chaya nak pergi bila?”soal Aunty.
“Mungkin Chaya pergi petang ni Aunty. Kalau Aunty tak kisah.”
“Cepatnya. Kenapa? Chaya ada kerja ke?”
“Aunty ingat tak kerja yang Chaya ceritakan dulu tu? Semalam Chaya telefon dan kawan Chaya kata dia perlukan Chaya untuk bantu di butik. Bulan November dan Disember nanti ramai yang nak buat kenduri. Jadi dia dapat banyak tempahan. Chaya kena pergi tolong dia, Aunty.”
“Oh macam tu ke. Aunty minta maaflah kalau tahan Chaya lama-lama di sini.”
Aku terus jawab yang aku sendiri rela untuk berada di sini.
“Aunty tak boleh nak halang kalau Chaya nak pergi. Lagipun, mungkin Chaya dah bosan sepanjang bulan duduk di sini. Kalau ikutkan hati, Aunty nak simpan saja Chaya di sini,” Aunty Jah ketawa. Aku juga ketawa tetapi di dalam hati aku menangis.
“Chaya janji yang Chaya akan lawat dan telefon Aunty dengan Umi.”
“Chaya dan beritahu Umi?”
“Belum lagi. Kejap lagi Chaya jumpa Umi. Tapi Chaya nak minta tolong Aunty beritahu Uncle Mi. Chaya seganlah dengan Uncle Mi,” kataku.
“Nanti Aunty beritahu dia.”
“Terima kasih. Aunty rehatlah. Chaya nak pergi jumpa Umi sekejap.”
UMI nampaknya seperti merajuk sedikit bila aku kata aku akan pergi dari sini. Dia suruh aku tinggal lagi seminggu dua, tetapi aku katakan kepadanya yang ada kerja sedang menunggu. Aku tidak bohong. Memang benar aku akan bekerja di butik Eid. Beberapa hari yang lalu sedang keluarga ini melayan para tetamu, aku buat panggilan kepada Eid. Katanya dia terima banyak tempahan. Kalau aku nak buat kerja sementara dengannya, aku patut datang segera. Kalau tidak dia terpaksa mengupah orang lain.
“Chaya janji dengan Umi yang Chaya akan telefon Umi selalu. Lepas tu kalau Chaya tak sibuk, Chaya akan datang lawat Umi.”
“Yelah. Umi nak buat macam mana kalau Chaya dah nak pergi,” balasnya. Dia bangun dari tempat duduknya dan pergi ke meja soleknya. Dia buka laci yang paling atas dan keluarkan sesuatu seperti kantung kecil berwarna hitam. Umi duduk di sebelahku dan keluarkan barang dari kantung itu. Aku nampak gelang emas berukirkan bunga. Umi tarik tanganku dan pakaikan gelang itu di tanganku.
“Eh! Apa ni Umi. Janganlah. Chaya tak boleh terima ni,” dan ketika aku kata begitu, Aunty Jah baru melangkah masuk ke dalam bilik Umi.
“Ini Umi yang punya. Ikut suka hati Umi nak bagi pada siapa. Umi ada banyak Chaya. Bagi satu pada Chaya bukannya habis barang kemas Umi tu,” kata Umi kepadaku.
“Ambillah Chaya,” kali ini Aunty Jah pula berkata. “Kalau tak ambil, nanti kecil pula hati Umi nanti.”
Gelang sudah terpakai di tanganku.
“Baiklah. Chaya terima,” kataku.
“Ini Aunty nak bagi pada Chaya sebab tolong jagakan Han,” kata Aunty sambil menyerahkan kepadaku satu sampul surat. Aunty tidak beri aku peluang langsung. Terus dia masukkan sampul itu ke genggaman tanganku. Bila aku lihat beberapa nota, aku terus hulurkan balik kepadanya.
“Tak naklah Aunty. Chaya jaga Han dengan ikhlas. Bukannya untuk dapat duit. Aunty ambillah balik. Malu Chaya macam ni.”
“Kau jangan ambil Jah. Biar dia ambil duit tu. Boleh buat tambang datang rumah kita selalu.”
“Tak seronoklah macam ni. Umi dah bagi Chaya gelang ni pun Chaya dah malu. Ini Aunty bagi duit. Malulah.”
“Terima sajalah. Dah. Tak payah malu-malu lagi. Umi nak tanya. Chaya nak pergi ni dah beritahu Han ke atau belum?”
Aku terdiam.
“Chaya belum bagi tahu dia lagi.”
Aku lihat wajah Aunty Jah dan Umi. Entah kenapa aku rasa sebak sedikit. Tanpa semena-mena, air mata aku mengalir.
“Kalau tak beritahu dia boleh tak?” Aku tanya Umi dan Aunty Jah. Mereka saling berpandangan.
“Chaya suka dengan Han ye?” soal Aunty Jah.
Aku tidak pasti apa jawapan yang aku perlu beri. Tak mungkin aku mahu mengaku yang aku sudah jatuh hati dengan anak dan cucu lelaki kesayangan mereka.
“Tak adalah Aunty,” aku cuba mengelak. “Chaya cuma tak mahu ganggu dia saja. Lagipun kalau Chaya duduk sini atau pergi pun bukannya ada beza sangat pada dia. Biar sajalah.”
“Ikut suka Chayalah. Nak beritahu atau tidak. Aunty dah cakap dengan Uncle Mi. Nanti dia minta Pak Mus hantarkan Chaya balik.”
Aku angguk. Aku ucapkan terima kasih pada Umi dan Aunty Jah kerana sudi menerima kehadiran aku yang tidak diduga pada awalnya. Aku juga minta maaf kalau aku ada buat salah.
Tengahari itu, selepas siap mengemas, aku ucapkan selamat tinggal sekali lagi. Han berada di dalam biliknya ketika itu.
Bagaimana setakat ini? Sudah jatuh cinta dengan Chahaya dan Han?
Share this novel