Bab 46

Romance Completed 8896

AKU amat berhati-hati ketika menyeberang jalan menuju ke kawasan pejalan kaki sepanjang Sungai Tonle Sap. Memang sukar bila jalan raya dipenuhi dengan kereta dan motosikal yang bertali arus tidak berhenti. Cuaca petang awal Mei di Phnom Penh agak panas dan kering berbanding kali pertama aku ke sini. Aku sentiasa pastikan aku sentiasa membawa sebotol air bersamaku. Perlahan langkah kakiku menyusuri laluan yang mempunyai pelbagai pemandangan yang menarik buat aku yang pertama kali menjejakkan kaki ke negara orang. Hotel, restoran, bar dan kedai yang menjual pelbagai barangan tersusun di sepanjang jalan. Bunyi lagu, kenderaan dan perbualan sekeliling bercampur baur. Orang Kemboja tidak jauh berbeza dengan masyarakat Malaysia. Rupa paras dan kulit mereka lebih kurang sama dengan orang Malaysia. Yang berbeza mungkin budaya dan bahasa mereka sahaja.
Aku berhenti seketika. Melihat pemandangan sungai yang terbentang luas di hadapan mata. Sudah hampir dua bulan aku berada di Kemboja. Aku ke sini atas cadangan Papa dan kakak-kakakku. Untuk aku tenangkan fikiran. Aku ingat lagi hari aku dan keluarga Han berjumpa dengan keluarga Marini. Selepas hari itu, aku ingin sangat tinggal di rumah Han untuk menunggunya pulang tetapi aku tidak tahu berapa lama dia akan pulang. Selepas menenangkan diri, aku minta izin daripada keluarga Han untuk pergi dari situ. Pada mulanya Umi dan Mama Jah seperti keberatan untuk mengizinkan aku pergi. Namun bila aku beri alasan yang aku tidak boleh tinggalkan tanggung jawab aku untuk bekerja di butik, mereka merelakannya. Aku juga berpesan supaya mereka segera menghubungiku jika Han balik nanti.
Apa yang aku buat seterusnya juga di luar kawalan. Aku pergi ke tempat kerjaku dan memohon untuk berhenti dari kerja sambilan itu. Alasan yang aku berikan ialah aku mungkin tidak dapat memberikan perhatian bekerja kerana akal fikiran aku tidak dapat berfungsi dengan baik. Aku juga tidak mahu menerima upah yang sepatutku terima dengan alasan aku tidak layak bila berhenti serta merta sebegini. Tidak adil untuk Eid, Amy dan Che. Mujurlah mereka memahami. Malam itu, aku naik komuter dan kembali semula ke pangkuan Papa dan Mami Zan di Seremban.
Beberapa hari berada di sana, aku tidak produktif langsung. Asyik memerap di dalam bilik. Mika juga cuba menghiburkan aku tetapi ternyata aku tidak ada kesungguhan untuk berbual atau pun berhubungan dengan ahli keluargaku. Seolah-olah aku berada dia dalam duniaku sendiri. Kalau dulu Han mungkin bertemankan sekeping fotoku, kali ini aku juga mempunyai sekeping foto miliknya. Aku ambil gambar di atas meja tulisnya. Gambar ketika dia belasan tahun dengan wajah bulatnya. Aku tatap gambar itu setiap saat yang berkesempatan. Gambar itu sahaja yang jadi peneman. Han tidak wujud di media sosial dan aku menyesal kerana tidak sekali pernah aku guna kamera telefon pintar untuk mengambil gambar Han. Kalau tidak bolehlah aku melayan perasaanku dengan wajah terkininya. Hidup aku tiada semangat lansung.
Kemudian Kak Kasih mencadangkan untuk aku menenaminya ke Kemboja kerana dia dan anak kembarnya akan ke sana untuk menyertai Abang Lan yang sudah pun memulakan tugas di sana. Kak Kasih telah mengambil cuti tanpa gaji sepanjang menemani Abang Lan di Kemboja. Kata Kak Kasih, dia mungkin bercuti selama-lamanya memandangkan selepas ini dia dan Abang Lan mungkin akan selalu ke luar negara. Cadangan Kak Kasih disokong oleh ahli keluargaku yang lain terutama sekali Papa. Mungkin dengan cara beralih angin itu, aku boleh menenangkan fikiran. Di samping itu, aku boleh membantu Kak Kasih menjaga kedua-dua bayinya sementara mereka membiasakan diri tinggal di tempat baru untuk dua tahun yang akan datang.
Kini aku sudah pun menjejakkan kakiku di bumi Kemboja. Hatiku tenang. Kesibukan membantu Kak Kasih berpindah ke sini membuatkan aku lupa seketika tentang masalahku walaupun saban malam aku merindui Han. Aku cuba baiki diriku. Ketika aku tidak dapat lelapkan mata, aku akan bangun dan buat solat sunat. Mengadap diri kepada Ilahi dan meminta agar ditenangkan hatiku yang sentiasa resah. Aku bersyukur kerana dengan beribadat sebegitu, hasil yang diperoleh membuatkan aku terasa lebih damai. Lebih tenang dalam kehidupanku sekarang.

Sudah empat jam aku keluar ke merayau-rayau di sekitar pekan Phnom Penh. Aku berjalan dengan segera menghala ke arah bangunan kompleks kedutaan Malaysia dan masuk ke dalam kawasan perumahan di belakang kawasan bangunan kedutaan. Rumah Kak Kasih terletak di situ. Tempat aku menumpang teduh. Aku gunakan kunci yang Kak Kasih sediakan untukku. Masuk sahaja di dalam rumah, aku sudah dengar tangisan salah seorang anak saudaraku.

“Assalamualaikum,” aku beri salam kepada isi rumah Kak Kasih. Aku tahu waktu sebegini Abang Lan masih lagi belum pulang dari kerja. Bila aku masuk aku nampak pembantu kakakku sedang menggendong salah seorang daripada anak kembar kakakku. Pembantu Kemboja yang kami panggil Chuai baru sahaja tiba beberapa hari di rumah ini. Dia tahu sikit bahasa Melayu kerana dia berketurunan Melayu Champa. Dia juga boleh berbahasa Inggeris. Broken English tapi kami boleh faham bila berkomunikasi dengannya dengan campuran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris pasar. Kalau susah hendak faham, kami guna bahasa isyarat sahaja.

“Pergi berjalan ke mana hari ni?” tegur kakakku dari anjung dapur. Dia kulihat sudah ramping seperti anak dara. Mungkin kerana penat berjaga malam menjaga kedua-dua anak kembarnya itu.

“Chaya pergi pasar Samai,” balasku. Sebenarnya pasar yang dimaksudkan ialah Pasar Thmei dalam bahasa Kemboja tetapi aku sebut ikut suka bahasa aku sahaja. Aku terus pergi berjumpa dengan kedua anak saudaraku. Mereka sedang berguling-guling di atas lantai ruang tamu dengan beralaskan gebar tebal.

“Alahai Princess…kenapa sweetheart Chik Ya ni nangis saja. Nanti si Puteri pun nangis juga. Kesian Mami. Nak rehat pun tak boleh,” kataku sambil cuba memujuk anak saudaraku yang paling sulung. Yang itulah yang paling suka buat perangai.

“Yang mana satu Princess yang mana satu Puteri, Chaya? Ke Chaya pakai taram saja panggil Maya dan Sahara,” soal kakakku. Memang benar anak kembar seiras kakak bernama Maya dan Sahara. Aku saja yang mahu beri panggilan lain kepada mereka.

“Si Maya ni Princess dan adik dia ni Puteri,” balasku.

“Confuse budak-budak tu nanti. Dapat hasil apa hari ini?”

“Chaya pergi beli souvenir lagi. Entahlah kak, Chaya dah nak pokai dah ni.”

“Chaya beli souvenir untuk Han lagi?” tenang saja dia menyoal aku.

“Mmm…belikan dia baju T hari ni,” tenang sahaja aku menjawab.

“Itu je?”

“Taklah. Untuk orang lain pun Chaya beli juga. Tudung pun beli jugak,” kataku.

“Tak ape Chaya. Buat koleksi banyak-banyak.”

Aku buka selendang yang kubelit sekeliling kepala. Yang tinggal hanya anak tudung sahaja. Aku letakkan selendang itu di lengan kerusi kayu yang ada di dalam rumah kakitangan kerajaan itu.

“Akak dah nak sediakan makanan ke? Tadi Chaya ada belikan buah betik. Bukan apanya. Hari tu Chaya beli sedap betul buah betik tu. Hari ini yang Chaya beli lagi.”

“Suruh si Chuai tu potongkan,” kata kakakku.

Aku ambil beg plastik berisi sebiji buah betik dan serahkan kepada Chuai sambil aku beri arahan ringkas menyuruhnya memotong betik. Chuai hanya angguk-angguk menurut arahanku. Beg plastik bertukar tangan.

“Alahai sayang Chik Ya ni. Meh sini Chik Ya dukung,” aku mengajak Princess dengan menunjuk-nunjukan tanganku kepadanya seperti ingin mendukungnya. Princess baru belajar untuk meniarap. Berbanding dengan si Puteri, si Princess lebih aktif dan kuat menunjukkan perasaan. Aku acah-acah si Princess dan dia ketawa. Comel sungguh anak saudaraku ini.

“Nanti Chik Ya dukung ya. Chik Ya masuk mandi dulu. Badan Chik Ya berpeluh ni. Nanti Mami marah Chik Ya dukung Princess,” kataku semula. Princess macam faham sahaja apa yang aku kata. Dia terus menangis sekuat hati.

“Pergilah masuk mandi sekarang,” tegur kakakku. Dia mengangkat Princess dan memujuk anaknya itu. Aku terus mengambil selendang yang aku sidai tadi lalu masuk ke bilik kecil yang aku huni hampir dua bulan lamanya. Aku keluarkan baju T putih yang dibeli di pasar tadi. Baju untuk Han. Sejak aku berada di Kemboja, entah berapa banyak barang yang kubelikan sebagai hadiah untuknya. Hadiah berupa dari pensil kecil sehinggalah ke pelekat magnet peti sejuk. Semuanya untuk Han. Selesai mandi, aku keluar dari bilikku. Terus aku baring di sebelah si Princess yang sedang bermain dengan permainannya. Kakakku sedang menyusu si Puteri. Aku terus menyentuh si Princess sambil sekali sekala aku cium dia.

“Chaya jadi nak balik minggu depan?” soal kakakku.

“InshaaAllah, Kak. Chaya dah pun beli tiket. Hari tu Chaya dah cakap dengan akak kan?” balasku sambil cuba mengingatkan kakakku tentang perbualan kami beberapa hari yang lalu.

“Kita sembang saja hari tu. Mana tahu yang Chaya betul-betul dah beli tiket.”

“Chaya patut balik pun. Erin dah menjerit minta Chaya balik. Dia nak Chaya tolong dia dengan majlis dia tu nanti. Akak balik tak wedding dia?”

“Tak balik. Susah nak pergi balik dengan bebudak ni. Kalau seorang, akak gagahkan juga. Ini dua. Abang Lan pun baru kerja. Susah nak cuti. Kena ikut turn. Nanti pepandailah akak telefon dan cakap dengan Aunty Elis. Takut dia kecik hati pulak kalau akak tak call.”

“Chaya nak balik, kak dan Chaya harap masa tu Han pun akan balik juga.”

“Chaya berdoalah. Akak tengok Chaya dah banyak sangat berubah. Akak perasan sebab dari hari ke hari akak nampak perubahan tu. Chaya yang akak kenal dulu lain. Kalau Chaya nak buat apa saja, Chaya melulu je. Sekarang ni Chaya nampak lebih matang. Buat apa pun nampak relax habis,” kata kakakku.

“Chaya takutlah Kak. Mana tahu kalau Han tak mahu terima Chaya.”

“Kalau dia tak terima Chaya, apa Chaya nak buat?”

“Terima saja. Mungkin itu ketentuan untuk Chaya.”

“Ada tapinya Chaya. Apa yang kita bincangkan dulu?”

“Akak kata kena berusaha. Kalau dah berusaha tapi tak berjaya barulah berundur. Yang penting Chaya cuba.”

“Betul tu. Kalau Han tak sudi lagi dengan Chaya, jangan berputus asa. Chaya beri peluang untuk cuba lagi. Kalau Chaya dah rasa dah penat, then give up. At least you have tried your best.”

“Dengar tau Princess. Mami Princess ni memang pandai bagi nasihat. Agaknya sebab tulah dia berjaya pikat Papa Princess. Chik Ya dengar Mami Princess yang gatal mengurat Papa Princess tau sampai Papa Princess da tak boleh nak tengok perempuan lain,” kataku kepada anak comel yang sedang menghisap kain gebar. Habis basah kain itu dengan air liurnya.

“InshaaAllah, Chaya. Apa yang penting ialah Chaya cuba.”

“Chaya tak kisah kalau Han tak sudi dengan Chaya lagi. Chaya faham kak. Chaya hanya nak satu saja daripada dia kak. Chaya nak minta maaf dengan tindakan Chaya dulu tu. Chaya terburu-buru sangat. Tak beri peluang langsung dengan dia. Mungkin dia kecil hati dengan Chaya. Kalau ada peluang Chaya nak minta maaf dan berharap dia ikhlas dapat maafkan Chaya. Akak tolong doakan sama ye.”

“Yelah Chaya. Ni Chaya. Abang Lan ada beritahu dengan akak yang satu team dari uni di Malaysia nak datang ke sini esok lusa macam tu. Kumpulan tu nak ke satu perkampungan untuk buat program kemasyarakatan. Chaya berminat tak sebab salah seorang yang jaga rombongan tu kawan abang Lan masa belajar dulu.”

“Kampung di mana tu kak? Ada orang perempuan ke sebab ada sekumpulan yang dulu tu akak kata semuanya geng lelaki je.”

“Kali ni ada tiga orang perempuan. Kalau Chaya teringin nak join, akak bincang dengan abang Lan nanti.”

“Kalau Chaya join dan tak menyusahkan kumpulan tu, Chaya teringin sangat kak,” balasku. Aku berharap sangat kali ini aku boleh buat aktiviti sukarelawan sebab melalui kawan-kawan Malaysia yang sudah lama di sini, masyarakat Melayu Champa banyak yang ketinggalan. Kerap juga kumpulan tertentu yang datang ke Kemboja untuk membuat kerja amal seperti ibadat korban dan sebagainya.

KAMPUNG yang dituju adalah sebuah perkampungan orang Melayu Champa. Sebuah kampung di Wilayah Cham. Aku diperkenalkan oleh Abang Lan kepada rakannya yang ku panggil Encik Hassan sehari sebelum misi program yang dijalankan. Menurut kata Encik Hassan, kumpulan pelajar yang terdiri daripada lapan belas orang itu akan berada di perkampungan itu selama tiga hari. Sesetengah pelajar akan berkampung dengan keluarga angkat manakala selebihnya akan tinggal di surau atau dewan sekolah yang berdekatan. Aku pula hanya akan berada di kampung itu pada hari pertama sahaja. Hanya untuk turut serta dalam program tersebut. Lewat petang, Abang Lan akan datang menjemput aku. Kalau aku dapat buat acara itu sehari pun aku bersyukur. Sekurang-kurangnya, ada juga amal yang aku boleh jalankan di bumi asing ini.
Aku ikut bersama-sama kumpulan pelajar yang jauh lebih muda daripada aku menaiki bas daripada hotel penginapan mereka. Aku dapat lihat semangat mereka yang berkobar-kobar untuk membantu masyarakat Islam di Kemboja. Aku berkenalan dengan tiga pelajar perempuan yang akan menjadi kawan-kawanku sehari ini. Banyak yang kami bualkan sepanjang perjalanan itu. Pemandangan dari kota Phnom Penh menuju ke perkampungan Cham sungguh berbeza. Kiri dan kanan jalan terbentang luas sawah padi yang kebanyakannya sedang menguning. Hujan tidak kerap turun di sini. Rumah-rumah kayu bertiang tinggi dengan pohon seperti pohon palma menghiasi pemandangan. Haiwan peliharaan bebas berkeliaran. Pastinya, pemandangan yang belum dilanda pembangunan ada keindahannya tersendiri. Sambil melayan pemandangan, aku juga melayan perasaan.
Kami sampai ke destinasi yang dimaksudkan hampir dua jam perjalanan. Perkara pertama yang kulihat ialah keadaan kampung itu. Aku pernah mengalami kehidupan yang menarik di kampung Eid di Kedah. Walaupun kampung Eid berbeza dengan ‘kampungku’ di Seremban, kampung Eid sepuluh kali ganda lebih moden daripada kampung di Wilayah Cham ini. Betul seperti yang Kak Kasih katakan. Dia ingatkan aku jangan terkejut dengan kemiskinan yang terdapat di situ.
Sebaik sahaja kami turun dari bas untuk berjalan kaki ke kawasan perkampungan, kami sudah didatangi oleh beberapa orang budak yang mengucapkan ‘hello’ kepada kami. Beberapa orang pelajar lelaki membawa beberapa buah kotak dan beg besar. Sampai sahaja di hadapan pondok yang kusangka sebuah rumah tetapi rupa-rupanya sebuah dewan sekolah. Kedatangan kami disambut oleh ketua kampung dan beberapa orang penduduk di situ. Setelah beramah mesra, para pelajar dibahagikan kepada dua kumpulan. Sepuluh pelajar akan melakukan aktiviti di beberapa kawasan rumah angkat, manakala yang selebihnya termasuk aku akan melakukan aktiviti kumpulan di kawasan sekolah itu.
Kami mula mendapat tugas masing-masing. Tugas aku senang sahaja. Membantu beberapa orang pelajar untuk mengeluarkan barang-barang keperluan daripada kotak-kotak yang dibawa. Barulah aku tahu rupa-rupanya kebanyakan barang yang dibawa adalah buku-buku dan kain baju. Antara misi kumpulan pelajar ini selain daripada membantu dalam program kemasyarakatan, mereka juga akan menyumbang masa untuk mendidik anak-anak kecil di daerah itu untuk belajar Bahasa Inggeris yang mudah. Aku tertarik dengan agenda mereka sehingga ingin turut serta. Buku-buku dan kain baju seperti kain batik, kain pelikat, telekung serta sejadah akan diagih-agihkan pada malam ini. Aku buat apa yang termampu kerana aku tahu masaku terhad di sini.
Sekumpulan pelajar yang tinggal melihat keadaan dewan sekolah yang agak daif itu. Masing-masing menyatakan pendapat mereka. Ada seorang pelajar yang kemungkinan agak sensitif terus menangis kerana dia tidak sanggup berada di situ. Namun, bila dipujuk dan diberi semangat oleh ahli lain, gadis itu pun menyatakan hasrat untuk mencuba menghadapi situasi itu untuk beberapa hari akan datang. Baru sejam lebih berada di situ, aku juga insaf. Kalau aku rasa hidup aku malang, ada lagi yang kurang bernasib baik daripadaku.
Aku lalui hari itu dengan melibatkan diri dalam acara yang sudah disusun oleh ketua rombongan. Masuk waktu solat, kami berjemaah dengan ketua Imam di kampung itu. Selesai solat, kami mulakan aktiviti mengagihkan buku dan barang keperluan. Bekal makanan yang ditempah dan dihantar oleh sebuah restoran di Phnom Penh turut diagih sekali. Jelas terpancar kegembiraan di wajah penduduk-penduduk kampung terutamanya sekali kanak-kanak. Menurut kata salah seorang pelajar, pemberian seperti ini lebih meriah daripada sambutan Hari Raya. Malah, ketika Hari Raya yang disambut tahun lalu, mereka hanya menyambut dengan ala kadar sahaja. Sekali lagi aku insaf.

Aktiviti diteruskan dengan agenda mengajar kanak-kanak di situ berbahasa Inggeris. Perkataan Bahasa Inggeris asas daripada Hello sehinggalah ke Goodbye diajar sebaik mungkin supaya tidak membebankan kanak-kanak yang berada di dalam lingkungan lima hingga dua belas tahun. Kanak-kanak itu dibahagikan kepada kumpulan umur supaya lebih senang kaedah pengajaran dan pembelajaran. Aku akan membantu kalau aku nampak ada kanak-kanak yang lambat menangkap.
Beberapa minit selepas pukul enam petang, Abang Lan tiba bersama seorang kawannya untuk mengambilku pulang. Sekali lagi kami mengerjakan solat Maghrib sebelum aku mengucapkan selamat tinggal kepada kawan-kawan baruku. Pengalaman yang singkat tetapi membuka mataku supaya menjadi lebih matang untuk menempuh kehidupan di masa akan datang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience