Bab 50

Romance Completed 8896

“BAGAIMANA Chaya? Aunty cuma sampaikan niat orang,” soal Aunty Elis kepadaku beberapa minggu selepas persandingan gilang gemilang Erin dan Ikram. Aku singgah ke pejabat urusan Uncle Omar dan Aunty Elis sebaik sahaja selesai tugasku di AEON Seremban. Kata Aunty, ada perkara yang dia nak bincangkan dengan aku. Ingatkan dia hendak tawarkan aku bekerja di sana. Kalau benar, aku ingat aku akan terima sahaja sebab tugasku sebagai promoter di AEON akan berakhir tidak lama lagi. Aku juga dapati kerja sebagai agen hartanah pun agak mencabar. Untuk mencari kerja lain pun bukannya senang. Adakalanya kelayakan aku tidak bersesuaian dengan kerja yang ditawarkan. Aku dapat kerja promoter ini pun disebabkan aku petah bercakap.
“Chaya. Aunty tanya tu?” kali ini Mami Zan pula yang mendesak. Bila aku sampai tadi, Mami sedang menjamu pisang goreng dengan Aunty Elis di ruangan rehat pejabat yang berada di tingkat atas. Bahagian bawah ialah kawasan jualan serta ruang pameran perabot bisnes keluarga ibubapa saudaraku.
“Sabarlah Mami, Aunty. Chaya tengah fikir ni.”
Berbalik kepada soalan Aunty Elis. Dia panggil aku ke sini kerana ada perkara penting yang ingin disampaikan. Keluargaku di Seremban dan juga di Kemboja sudah maklum dengan jodoh aku yang tidak kesampaian dengan Han. Sebab itulah Aunty Elis dan Mami Zan berani untuk mengajukan pertanyaan ini sebagai wakil Papa dan Uncle Omar. Menurut Aunty, ada seorang rakan Uncle Omar ingin merisikku untuk anak bujangnya, seorang jurutera Petronas yang sedang bertugas di Terengganu. Menurut kata Aunty lagi, anak kawan Uncle Omar itu lulusan luar negara dan boleh tahan juga rupa parasnya. Mereka nak tahu kalau aku ingin cuba berkawan dahulu. Mana tahu, kalau sesuai, bolehlah kawan Uncle Omar masuk meminang.
“Chaya peliklah. Kalau muka dia ok, lepas tu kerja pun baik, apasal dia tak ada girlfriend. Ini mesti ada kes lain ni aunty.”
“Ish kamu ni. Janganlah fikir yang bukan-bukan pula. Budak tu baik. Mungkin dia pemalu. Itu yang tak ada girlfriend sampai sekarang. Macam mana Chaya? Hujung minggu ni kalau Chaya setuju, boleh jumpa.”
“Nantilah Chaya fikirkan dulu Aunty,” balasku.
“Nak fikir apanya lagi? Cubalah Chaya keluar dengan dia. Sekali saja. Tengok macam mana lepas tu nanti,” kali ini Mami Zan pula yang bersuara.
“Malulah Mami,” balasku.
“Nak malu apanya? Bukan nak suruh kamu terus kahwin ke. Kenal dululah.”
“Kenal tak apa Mami. Kalau Chaya tersangkut nanti, Mami juga yang sedih. Sebab nanti Chaya tinggal di Terengganu. Jauh tu.”
“Dah sampai ke situ kamu fikir ke?” soal Aunty.
“Sengaja. Nak usik Mami,” balasku.
“Jadi ke tak ni? Aunty nak telefon Mak budak tu lepas ni. Keluarga dia pun berkenan sangat dengan kamu. Mana kami tahu mereka nampak kamu dengan Erin masa wedding dulu tu. Siap buat enquiry dengan Uncle Omar kamu lepas tu. Tanya itu, ini. Mulanya Uncle kamu tu berahsialah juga sebab dia tak pasti hubungan Chaya dengan Han. Bila dia dah pasti barulah dia kata yang kamu tu tengah single.”
“Pandai betul Uncle jadi broker cari jodoh.”
“Amboi! Jangan nak mengata Uncle kamu tu. Kecil hati dia nanti,” tegur Mami Zan.
“Macam nilah Aunty, Mami. Chaya menurut saja. Chaya tak kisah. Lagipun nak berkenalan saja kan? Bukannya nak terus kahwin kan?” balasku.
Aunty dan Mami saling berpandangan dan tersenyum mendengar jawapanku. Terlintas di fikiranku tadi bila Aunty ceritakan peribadi lelaki yang ingin dikenalkan kepadaku. Mana tahu, kalau ada jodoh aku dan lelaki itu, aku boleh mulakan hidup baru di tempat orang. Jadi surirumah sepenuh masa. Selang setahun lahirkan lima orang anak untuk dibesarkan. Dua lelaki dan tiga perempuan. Mungkin aku boleh lupakan Han. Mungkin itulah satu-satu caranya aku boleh hilangkan Han dari ingatanku.

“HI. Saya Shah,” tegur jurutera Petronas bila Aunty Elis kenalkan aku dengannya. Tempat pertemuan yang dijanjikan ialah di ruang pameran kedai perabot Aunty Elis. Aku rasa lebih selesa berjumpa di situ daripada membuat temujanji di tempat lain. Sebaik sahaja aku membalas sapaannya, Aunty Elis pergi tinggalkan kami berdua. Shah masih berdiri lagi. Memang betul seperti yang Aunty gambarkan. Shah, sesuai dengan namanya, seorang lelaki yang boleh tahan tampan dan segak bergaya. Orangnya tinggi dan kurus. Walaupun kurus, aku boleh nampak tubuh badannya yang sasa. Mungkin dia selalu buat kerja luar. Rambutnya pendeknya dipotong kemas. Bila dia senyum, kelihatan lesung pipit di kanan pipinya.
“Nak kita berbual di sini ataupun awak nak keluar. Mall dekat sini. Kita boleh minum di sana,” katanya kepadaku.
“Boleh juga. Sekejap ye. Saya jumpa Aunty saya,” kataku tanpa ragu-ragu. Nada suara Shah yang penuh keyakinan buat aku sedikit tertarik untuk mengenalinya dengan lebih baik lagi. Aku mengambil tas tanganku dan mencari Aunty untuk memberitahu yang aku akan keluar dengan Shah. Aunty siap berpesan supaya aku jaga diriku baik-baik.
Shah mempelawa aku masuk ke dalam keretanya. Sebuah kereta buatan negara Jerman. Sekali pandang sahaja aku tahu Shah sukakan kereta yang laju. Aku masuk dan duduk di dalam kereta yang masih lagi berbau kedai.
“Selesa?’ soal Shah.
“Kereta baru ye?” soalku.
“Pandai pun awak.”
“Bau kedai masih ada ni. Ada kereta macam ni mesti bawa laju sampai tak sedar diri kalau masuk highway.”
“Awak suka kereta laju ke?”
“Saya suka roller coaster,” balasku.
Shah ketawa kecil.
“Shall we go?” soalnya.
“Jom!” balasku.

KAMI minum di kafe Starbuck sambil bercerita serba sedikit tentang diri masing-masing. Sepanjang aku berbual dengan Shah aku dapati dia seorang yang menyenangkan. Tidak ada sebarang bunyi bongkak atau berlagak sombong pun dalam tatabahasa yang dia gunakan. Malah aku dapati dia seorang yang berbudi bahasa. Hairan juga kenapa lelaki sepertinya masih belum berpunya sedangkan orang yang ada kelayakan sepertinya sudah pasti bersusun perempuan yang ingin berkenalan. Aku ajukan soalan itu kepadanya. Dia ketawa sambil minum bancuhan kopi sejuk yang dibeli hampir sepuluh minit tadi.
“Saya ada ramai kawan perempuan. Janganlah ingat saya ni playboy pula. Mungkin belum sesuai masanya lagi.”
“Belum sesuai masa atau belum jumpa yang sesuai?” soalku.
“Mungkin kedua-duanya. Mungkin saya lebih minat nak bekerjaya dulu. Lagipun beberapa tahun lepas, kerja saya di offshore. Ramai yang tak faham. Sekarang ni dah balik bekerja di darat. Barulah ada masa sedikit.”
“Saya tahu kerja offshore ni mesti susah nak ada teman. Siapalah nak faham kalau asyik kena tinggal saja,” aku balas. Aku faham.
“Betul tu. Dulu masa lepas belajar saya dah berjaya tackle seseorang untuk jadi kawan special. Sebab kena tinggal selalu, last sekali dia yang tinggalkan saya,”
“Lah…sekarang ni kenapa tak cari dia balik?’
“Dah kahwin. Anak pun nak masuk tiga.”
“Kesian awak ye. Sekarang ni awak buat kerja apa kalau dah tak ke offshore?”
“Adalah buat itu ini,” katanya.
“Tak nak cerita pun tak apa. Aunty saya dah cakap. Awak jadi consultant.”
“Dah tahu tapi tanya pula.”

“Nak dijadikan topik berbual,” balasku.
“Mak saya kata awak ni kerja di KL dulu. Kenapa berhenti?”
“Saya tak faham betullah family kita ni. Kata nak suruh kita berkenalan, tapi dorang dah cerita pada kita masing-masing. Saya rasa awak pun dah tahu kan pasal apa saya berhenti?” aku menyoal.
“Sebenarnya saya dah tahu hampir semua cerita. Pasal awak putus tunang pun Mak saya dah pun ceritakan.”
“Iye? Pelik juga. Kenapa nak jumpa saya pula kalau dah tahu semuanya?”
“Saja-saja. Tak salahkan? Awak pun setuju nak jumpa saya.”
“Kalau saya tak jumpa awak, sampai bila-bila pun dorang asyik kacau saya.”
“Oh jadi awak jumpa saya sebab terpaksalah.”
“Lebih kurang macam tu. Tak salahkan?” balasku.
“Honestly. Saya tak sangka saya boleh duduk berbual dengan awak macam dah lama berkawan. Kita boleh berkawan. Tak salahkan?”
Aku ketawa kecil. “Of course. Tak salah kalau nak berkawan. Ini negara yang bebas.”
“Jadi, awak sudilah nak berkawan dengan saya?”

“Kira-kira begitulah,” kataku sambil mengangkat tanganku untuk melihat jam di tangan. Sudah hampir masanya.
“Shah. Saya tak boleh lama-lama. Saya kena ambil adik saya dari kelas tuisyen dia. Boleh awak hantar saya balik ke kedai Aunty saya?”
“Boleh. Marilah,” ajaknya.

Sampai di hadapan kedai Aunty, Shah keluar dan menghantar aku sampai ke hadapan kereta Mami Zan yang ku tinggalkan sebelum itu. Aku ucapkan terima kasih atas pelawaan dan minuman tadi. Sebelum aku masuk ke dalam perut kereta, Shah ajukan soalan kepadaku sama ada dia boleh menghubungi aku lagi. Soalnya, kalau dia balik ke Seremban, adakah aku sudi keluar dengannya lagi. Aku jawab yang aku tiada masalah kalau sekadar ingin berkawan. Tak salahkan?

AKU dan Shah selalu juga berhubungan melalui panggilan telefon. Kami juga kerapkali bertemu sejak beberapa minggu kemudiannya setiap kali dia balik ke Seremban. Shah kata dia tak ramai kawan di Seremban kerana dulu dia bersekolah di sebuah asrama penuh. Lepas belajar dia terus ke luar negara. Tamat di luar negara dan setahun lebih bekerja di negara orang, dia terus masuk bekerja dengan Petronas bila balik ke Malaysia. Katanya, bukan ada kesempatan untuk berjumpa kawan dahulu, nak bercinta pun tidak ada ruang. Sekarang barulah dia ada peluang untuk berjumpa orang dan mungkin berkenalan dengan bakal-bakal teman wanita.
“Berapa ramai bakal teman wanita yang awak nak cari?” soalku kepadanya dalam salah satu pertemuan kami.
“Mungkin empat orang agaknya. Kenalah ada pilihan betul tak?”
“Saya setuju sangatlah tu. Hidup ni mesti ada pilihan. Kena pilih yang terbaik. Cuma satu saja. Saya takut awak ada masalah nanti”.

“Masalah?”
“Iyelah. Kalau empat-empat orang tu nakkan awak nanti, payah awak nak pilih.”
“Apa yang susahnya. Saya pilih empat-empatlah.”
“Oh, ada hati nak kahwin empat rupanya.”
Shah ketawa besar.
“Tak adalah Chaya. Saya gurau saja. Adik laki Mak saya, Pakcik saya. Dia ada dua isteri. Seorang tu dah dua puluh tahun kahwin dan seorang lagi tu baru masuk dua puluhan. Bila abah saya tanya seronok ke kahwin bini muda. Uncle saya jawab, mula-mula memanglah seronok. Lepas tu, hari-hari makan luar. Bini muda tak pandai masak dan bini tua pula sampai sekarang merajuk tak mahu masak. Kesian Pakcik saya tu. Sampai ke hari ni dia pesan kepada kami atau sesiapa yang nak pasang lebih dari satu, supaya fikir seribu kali. Takut terjerut macam dia tu.”
“Kalau awak nak, boleh saja Shah. Asalkan awak mampu nak bahagiakan kedua-dua atau pun keempat-empat sekali,” balasku.
“Tak apalah. Saya ni jenis one man one woman. Setia pada yang satu.”
“Untung bakal isteri awak kalau dengar macam ni.”
“Awak nak jadi bakal isteri saya tak?”
Soalan Shah kuanggap satu jenaka sahaja.
“Saya rela jadi bakal juri.”
“Bakal juri?”
“Yelah. Awak kan nak cari empat calon. Biar saya jadi juri yang mana satu sesuai dengan awak nanti.”
“Awak tak nak jadi salah seorang ke?”
“Mmm….nanti saya fikirkan. Hal berat ni. Maklumlah, ada persaingan kalau ada tiga lagi perempuan lain,” balasku.
“Itulah. Saya offer awal-awal tak nak.”
“Kenalah fikir betul-betul. Ini hal hati dan perasaan. Bukan boleh main tangkap muat je. Perempuan yang awak cerita dulu tu dah ada perkembangan ke belum?” soalku kepadanya tentang seorang gadis yang dia temui ketika menerima jemputan seorang rakan sekerja.
“Masih dalam proses. Nampak macam dia jual mahal.”
“Biasalah kalau perempuan macam tu. Kalau jual mahal tu maksudnya dia nak tengok sejauh mana usaha awak nak berkenalan dengan dia.”
“Iye ke perempuan semua macam tu. Awak tak pulak.”
“Perempuan ni banyak kategori. Kalau dia muda dan cantik macam yang awak ceritakan, tentulah saham tinggi sikit. Usaha nak kena lebih. Lagi pun awak jumpa dia di majlis keramaian. Tak ada sesiapa yang initiate. Jenis saya lain. Cantik tu cantik juga kan? Tapi awak jumpa saya melalui broker cari jodoh. Keluarga kita. Itu yang lainnya.”
“Tapi saya dah lama cuba pikat dia ni. Nampak macam tak ada response saja.”
“Jangan putus asa, Shah. Cuba awak tanya orang yang kenal perempuan ni. Dia tu macam mana. Suka apa dan sebagainya. Nak pikat orang kenalah tahu apa kesukaannya. Mudah nak ambil hati nanti.”
“Pandai awak bagi nasihat. Dah pernah cuba untuk orang yang awak suka?”
Aku minum sambil berfikir.
“Kalau diikutkan, saya ada cuba sekali dua tapi tak menjadi. Tapi bukan orang yang saya betul-betul sayang. Kalau orang tu, mmm…rasa-rasa macam tak pernah cuba lagi.”
“Ini mesti si Hantu awak tu kan?”
“Nama dia Sharhan,” aku tegur Shah. Selalu panggil Han, Hantu.
“Kalau dia lepaskan perempuan macam awak ni, memanglah dia hantu. Kalau saya jumpa dia, saya kasi lecture cukup-cukup.”
“Jangan nak beranganlah Shah. Han tu lebih besar dan lebih tinggi dari awak tahu tak? Belum sempat awak bagi lecture, silap-silap dia dah tutup mulut awak.”
“Wooo..kalau dia samseng, saya tak boleh tolong awaklah, Chaya.”
“Tahu tak per.”

“AMBOI. Aku dengar bukan main lagi kau sekarang. Tiap-tiap minggu asyik keluar dengan Shah saja. Dah dekat sebulan lebih dah ni. Ada perkembangan terbaru ke?” Erin menegurku sebaik sahaja aku masuk ke dalam rumah Aunty Elis. Erin menelefon mengajakku aku datang ke sini. Suaminya bekerja dan dia pula bercuti. Jadi kesempatan itu diambil untuk tinggal dengan ibubapanya.

“Apa salahnya aku keluar dengan dia. Kalau kau yang ajak aku keluar, aku keluar juga. Tapi kau sibuk memanjang.”
“Ceritalah Chaya. Apa perkembangan kau dengan mamat tu?”
“Macam biasa. Kawan biasa.”
“Kau tak mahu serius ke dengan dia? Mama kata Mak dia call tanya Mama kalau kau dengan Shah dah ada cerita.”
“Apa Mama kau jawab?”
“Mama aku seperti biasalah. Dia akan soal siasat kau. Jadi kau bersiap sedialah kejap lagi. Adalah soalan yang dia nak tanya kau tu.”
“Kalau Mama kau tanya pun aku jawablah sejujurnya. Aku dengan Shah tu tak ada apa-apa. Sekurang-kurangnya, di sebelah akulah. Sebelah Shah tu aku tak tahu.”
“Habis tu kalau Shah tu berkenan dengan kau macam mana?”
“Kalau dia ok, aku ok je.”
“Kau serius?”
“Kenapa tak pulak. Kalau difikirkan, mungkin aku terima je Shah kalau dia pinang aku. Itu pun kalau dia naklah. Aku kahwin dengan dia, menetap di Kerteh. Lepas tu aku buat anak saja. Jadi surirumah sepenuh masa. Jaga anak, jaga suami. Pergi belajar masak makanan sedap-sedap untuk anak suami aku. Lepas tu setiap pagi hantar suami aku di pintu untuk lambai dia pergi kerja. Cuba bayangkan aku dukung anak seorang, lepas tu ada dua berdiri di kiri kanan kaki aku. Bye-bye Papa diaorang. Aku rasa aku boleh hidup macam tu.”
“Aku tanya kau serius ke ni? Kau nak kehidupan macam tu?”
“Apa salahnya, kan? Lagi pun kalau aku kahwin dengan Shah, kami masih balik ke Seremban. Inikan kampung kami berdua. Nanti kau bolehlah jumpa anak-anak saudara kau. Lima orang semuanya.”
“Kau jangan nak merepek Chaya. Kau dah dapat lupakan Han ke?”
“Aku mana boleh lupakan Han, Erin. Dia akan sentiasa di hati aku. Malah aku rasa dia dah ambil hati aku ni. Sekarang ni pun aku dah tak ada hati. Kau tahu tak? Tapi aku kena teruskan hidup aku. Tak kisahlah macam mana aku ends up. As long as aku tak menyusahkan semua orang terutama Papa aku.”
“Jadi kau ambil jalan yang mudah. Kalau Shah nak kahwin, kau terima sajalah? Macam tu?”
“Shah tahu pasal aku dengan Han. Kalau dia nak terima aku, dia kena terima hakikat hati aku yang sudah jadi milik Han. Kita tak boleh nak agak masa depan tu macam mana. Mungkin bila aku dah ada kehidupan baru, aku boleh lupakan Han dan akhirnya dapat semula hati aku. Kalau tak dapat semua, dapat sebahagian pun jadilah. Boleh aku beri kepada suami aku kelak.”
“I don’t believe I’m hearing this from you, Babe.”
“Lah…tadi kau juga yang tanya aku pasal ni. Aku cerita sajalah apa kemungkinan yang akan berlaku. Jadi tak jadi tu lain hal. Yang sekarang kau macam nak marah-marah ni apsal? Kau datang bulan ke?”
“Er…bukan datang bulan. Tak datang bulan.”
“Apa maksud kau? Pregnant ke?”
“Aku suspek. Aku belum check lagi.”
“Ikram dah tahu ke? Mama kau?”

“Semua belum tahu lagi ni. Aku baru cerita dengan kau.”
“Kau dah delay berapa hari?”
“Baru tiga hari.”
“Ish kau ni. Aku ingatkan dah dua tiga minggu.”
“Aku paniklah.”
“Kau? Puteri Erina Alisa panik? Ini perkara baru yang aku dengar. Sejak bila pula kau tahu apa erti panik ni? Pramugari mana boleh panik. Kena stay calm walaupun aeroplane nak terjunam.”
“Ini hal besar Chaya. Bukan hal main-main.”
“Aeroplane nak terhempas pun hal besar Erin.”
“Aku tahulah. Tapi soal mengandung ni. Aku tak tahu aku dah bersedia ke belum.”
“Hai Erin. Kenapa nak fikir macam ni. Anak tu kan rezeki dari Allah. Sedia atau tidak kau dengan Ikram dah tahu, kan? Kalau kahwin, isu anak ni mesti dah awal-awal lagi korang bincangkan.”
“Ikram tu memanglah nak sangat timang cahayamata. Aku ni yang tak tahu nak buat macam mana. Lagipun aku anak tunggal. Mana ada pengalaman nak jaga baby.”
“Nak jaga baby tak yah pengalamanlah. It will come naturally bila kau dah jadi mak nanti. Mama kau dengan mak Ikram kan ada. Dorang boleh turunkan ilmu nanti. Percayalah. Everything is going to be alright. Kau tak nak buat test ke?”
“Belum lagi. Aku baca kalau awal lagi tak nampak. Kena tunggu beberapa minggu baru boleh dapat keputusan yang tepat.”
“Kalau macam tu, kau update akulah nanti.”
“Hal aku mengandung tak mengandung ni, kau jangan beritahu sesiapa ye, babe. Aku tahu kau ni boleh simpan rahsia. Aku nak sahkan dulu baru bagi tahu semua orang. Kang aku cakap awal-awal, semua dah excited, tetiba tak ada apa-apa pula. Buat malu je nanti.”
“Apa-apa pun kau kena start fikir pasal kau juga Erin. Kalau kau mengandung ni, kerja kau macam mana?”
“Itu pun satu hal aku tengah fikir. Tengoklah Chaya. Kalau aku kena berhenti kerja, aku berhenti sajalah.”
“Sekarang ni aku nak fikir kalau aku boleh bayangkan kau tengah dukung anak. Lepas tu ada sorang sebelah kiri dan sorang sebelah kanan. Tengah bye-bye pada Ikram….menarik tu Erin. Lepas tu badan kau pun dah tembam semacam sebab kau tengah mengandung anak keempat. Eh bukan keempat saja. Kelima juga. Kembar macam Kak Kasih,” kataku kepada Erin dengan wajah yang serius.
“Kau gila babe nak aku beranak sampai lima orang macam yang kau berangan tu. Aku nak dua saja cukuplah. Lepas tu body aku ni kalau beranak lima pun masih macam anak dara tau!”
“Hello! Kau tengok Mama kau tu. Anak satu pun, badan comel montel. Orang kata, anak akan ikut badan mak suatu hari nanti.”
“Ish! Kau ni memang suka sakat akulah. Jomlah turun bawah. Mama aku sure tak sabar-sabar nak kahwinkan kau dengan Shah.”
“Aku tak ada hal kalau nak kahwin dengan Shah. Aku terima nikahnya….” kata-kataku terhenti sebaik sahaja aku turun anak tangga mencari ibu saudaraku yang tercinta.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience