BAU kambing golek sipi-sipi menerjah masuk sehingga ke dalam bilik pengantin yang aku diami. Hasil permintaan Uncle Omar dan Aunty Elis, kenduri untuk majlis pernikahanku dan Han diadakan di rumah banglo bapa saudaraku. Bilik yang dijadikan bilik tetamu dihias cantik. Katil besar dihias dengan juraian kain organza putih di setiap penjuru. Cadar pengantin berwarna krim dan putih tampak kemas dan mendamaikan. Langsir dan permaidani juga dipasang dengan warna yang sedondon. Beberapa kumpulan jambak bunga segar menghiasi ruang bilik yang serba putih dan krim itu manakala sejambak mawar merah jambu di letakkan di dalam balang kaca di atas meja mekap.
Aku duduk di kerusi membelek wajahku yang baru sahaja selesai dimekap. Atas kehendakku sendiri, jurumekap aku tidak lain dan tidak bukan ialah Erin. Ketika kecil kami bermain mekap-mekap. Biar bila aku kahwin, dia mekapkan aku. Sempena memperingati saat-saat ketika kami kecil dahulu.
“Kenapa kau nampak lain hah?” soal Ula bila dia lihat kiri dan kanan wajahku.
“Sebab aku jurumekap profesional. Nampak tak perubahan Chaya?” kata Erin yang cukup bangga merias wajah aku.
“Perasan!” bantah Ula.
“Kau kalau nak aku mekapkan aku masa kau bertunang ke kahwin ke, kau booking aku awal-awal. Aku takut in future, I have no time, babe.”
“Ye lah tu,” balas Ula sambil membetulkan jatuhan selendangku. Dia lihat aku sekali lagi. “Kau sure nak pakai baju bunga-bunga macam ni?”
Aku pakai salah satu pakaian yang dibeli oleh Han suatu ketika dahulu. Sepasang kurung berwarna biru muda bermotifkan bunga. Potongan lengan yang keseluruhannya lebar dan mengecil di bahagian pergelangan tangan yang dihiasi mutiara putih. Keluarga aku tak setuju kerana kata mereka, majlis akad nikah selalunya pengantin berbaju putih atau krim. Aku kata aku nak mulakan trend baru. Aku menang sebab aku pengantin.Sebagai hiasan kepala, selendang satin kelabu cerah menjadi pilihanku.
“Ada sebablah dia nak pakai baju tu. Biarlah dia Ula. Kita support je dia,” kata Erin.
“Bukannya apa, aku rasa pelik sikitlah sebab tak matching betul dengan tema bilik ni. Kau set sama kaler dengan Han tak?”
Aku enjutkan bahuku. Aku sendiri tak tahu baju apa yang akan dipakai oleh bakal suamiku itu. Memang kami hilang hubungan sejak hari itu. Tiada panggilan, tiada mesej dan tiada pesanan.
“Dah pukul berapa ni? Kenapa tader yang panggil kita lagi?” soal Ula. Dia bangun melihat-lihat ke arah luar tingkap.
“Sabarlah sikit. Kejap lagi sampailah tu,” kata Erin sambil melihat jam tangannya. Aku lihat jam di dinding. Sudah hampir pukul tiga petang. Rombongan Han akan tiba sebentar lagi. Aku duduk diam. Tapi hatiku mula resah.
“Hai, takkan nak berkahwin sampai berkerut macam tu sekali.”
“Aku rasa macam susah nak bernafaslah.”
“Hah sudah. Takkan panic attack ni? Nak aku panggilkan kakak kau? Ke kau nak main game? Aku panggilkan Mika.”
“No need. Kau orang berbual dengan aku je. Biar aku lupa ingatan jap. Kalau aku fikir apa yang nak berlaku kejap lagi, aku macam pening sikitlah.”
“Ok, ok. Kami tanya kau soalan. Apa kau nak pakai malam ni?”
“Ha? Apa punya soalan ni, Erin. Lagilah aku pening.”
“Mmm….kau nak bulan madu di mana?” Nad menyoal.
“Aku tak tahu aku ada bulan madu ke tidak?”
“Susahlah nak tanya. Kita ambil gambar sajalah. Chaya pun tengah manis rupawan tu,” Ula memberikan cadangan. Kamera Canon yang siap di atas kaki tiga sudah disediakan sebelum itu oleh Ula selaku jurugambar di bilik ini. Bila keluar nanti, dia jadi juruapit. Aku beri peluang kerana Nad pernah menjadi pengapit Erin.
“Itu aku boleh terima. Jom ambil gambar. Bukan senang nak ambil gambar aku kahwin ni.”
“Mmm…akhirnya kau kahwin juga kan. Ingatkan kau akan membujang selamanya.”
“Dah jodoh Ula. Jangan jealous. Cepatlah.”
“Ok. Cepat posing!” jerit Ula. Dia menekan kamera. Aku dan sahabat bertiga mula memandang kamera. Menanti saat penentu petikan berbunyi. Klik!
SEBENTAR tadi aku sudah selamat diijabkabulkan. Suasana diam menyelubungi seluruh ruang tamu Aunty Elis. Saat untuk Han menyarungkan cincin di jari manisku. Han berbaju Melayu putih dengan samping hitam bersulam benang perak. Songkok hitam kelihatan seperti baru keluar dari kedai. Aku duduk di atas hamparan baldu. Aku curi pandang wajah Han. Tiada emosi di wajahnya. Tiada senyuman sedikit pun. Aku cuba berikan senyuman yang manis. Untuk diriku dan untuk Han. Juga untuk keluarga kami yang cuba menunjukkan wajah yang berselang suka dan resah. Aku nampak keadaan itu bila ku lihat Papa dan Mami Zan. Aku lihat riak yang sama di wajah abang Farid, Kak Maiza, Kak Suri dan Aunty Elis. Hanya Umi dan Mama Jah saja yang asyik tersenyum dari tadi.
“Pakaikan cincin di jari manis tu,” Mama Jah cuba memberi bantuan kepada Han bila Han sudah duduk di depanku. Ula yang berada di sebelah menarik tangan kananku dari genggaman tangan kiriku. Aku nampak tanganku terketar-ketar. Anak mataku mengekori tangan Han yang mengambil cincin di hadapan kami. Bila tangannya menyentuh tanganku untuk menyarungkan cincin, aku rasa tidak senang duduk. Tanganku masih terketar-ketar. Aku lihat tangan Han tenang sahaja. Mungkin kerana tanganku yang tidak stabil itu, Han letakkan tanganku di atas ribaku semula. Dari situ, dia mula menyarungkan cincin batu berlian itu.
Acara menyarung cincin tidak tamat begitu sahaja. Ada bahagian kedua pula. Bahagian di mana pengantin perempuan mencium tangan pengantin lelaki diikuti oleh pengantin lelaki mencium dahi pengantin perempuan. Aku tidak pasti ini acara yang wajib tetapi amalan ini sudah menjadi kebiasan orang Melayu. Aku sauk tangan Han dan aku berikan satu ciuman yang penuh keikhlasan. Bau tangannya sesuai dengan deria bau aku. Beberapa ketika aku dalam keadaan menunduk mencium tangan kerana ada yang ingin mengambil gambar.
Kini tiba pula ciuman yang seterusnya. Aku hanya menunduk malu. Menanti ciuman dari suamiku. Debaran semakin kencang. Aku menunggu. Han mula rapat. Tangannya menyentuh daguku. Aku mendongak. Mataku bertembung dengan matanya. Aku beri senyuman. Bibirku terketar-ketar. Han memandangku seketika. Aku tunduk semula sementara menanti ciuman di dahi. Orang di sekeliling sudah minta Han segerakan upacara. Kamera sudah bersedia. Lama juga aku tunggu ciuman yang tidak kunjung tiba. Ake dengar Han ketawa kecil. Aku dongak sekali lagi melihatnya. Kali ini, aku nampak senyuman sinis Han. Lama kami bertentang mata dan tanpa aku duga, dia bangun meninggalkanku begitu saja. Malah dia buat tidak kisah bila Mama Jah memanggil dan memujuknya untuk kembali kepadaku. Aku yang duduk kaku seperti patung cendana. Sampai hati Han kenakan aku.
“KAU jaga diri kau ye Chaya. Apa-apa yang berlaku selepas ni, kau tabahkan sahaja. Jangan dia terkam kau macam harimau malam ni sudahlah,” kata Ula ketika memelukku. Siang sudah berganti malam. Aku lihat Ula pun kelihatan penat. Dia yang setia menemaniku sejak dua hari lepas. Nad sudah pergi. Erin dan Ikram akan bermalam di sini. Sekurang-kurangnya Han ada kawan yang boleh diajak berbual. Sejak dari tadi Han belum masuk ke bilik ini. Hanya keluarganya sahaja yang berjumpa denganku sebelum mereka mengucapkan selamat tinggal.
“Kau pun jaga diri. Sampaikan salam aku pada Malik. Suruh dia drive elok-elok sikit.”
“Kau ok kan?”
“InshaaAllah.”
“Aku balik dulu. Congratulations sekali lagi dan aku doakan kau bahagia hingga ke akhirat.”
“Thanks Ula. Kau jangan lupa datang sebelum tengahari esok.”
Ula keluar. Aku duduk di hadapan cermin meja solek sekali lagi untuk menanggalkan solekan. Bila ku lihat cermin, terbayang-bayang perlakuan Han kepadaku sebentar tadi. Wajahnya selamba sahaja. Selepas itu, dia kembali untuk acara makan. Kalau majlis yang pernah kuhadiri, pengantin lelaki akan melayan pengantin perempuan ketika makan. Maklumlah, pengantin perempuan sepatutnya malu-malu untuk mengambil makanan. Ini tidak. Dia buat tak kisah aku yang berada di sebelahnya. Dia makan seperti tidak ingat dunia. Terpaksalah aku ambil sendiri lauk yang paling hampir denganku. Nasib baik Papa ada di sebelah. Papa mungkin faham situasi diriku. Papa genggam tanganku. Aku rasa ada kekuatan.
Aku bangun dan mengambil tuala dan persalinan lalu masuk ke bilik mandi. Aku perlu mandi air panas untuk menyegarkan tubuh badanku yang kepenatan. Sepanjang aku di hujani semburan air, aku asyik berfikir tentang Han. Kalau dia sudah menerimaku, aku bersyukur. Kalau dia masih belum dapat menerimaku, aku akan sebaik mungkin untuk buat dia kembali kepadaku. Seperti yang Umi pesan kepadaku tadi sebelum balik. Han sungguh degil orangnya. Jangan aku berputus asa. Umi dan Mama percaya hanya aku sahaja yang boleh buat Han berubah. Aku juga percaya yang aku boleh buat Han berubah. Aku bukan orang yang cepat putus asa. Kalau aku mahukan sesuatu, aku usaha sehabis boleh. Kalau aku tak suka, memang senang aku buang jauh-jauh.
Apa yang aku risau ialah kalau Han buat keputusan untuk mengembara, lari pergi entah ke mana-mana. Kalau dia buat perangai merajuk seperti itu dan terbang ke negara dunia ketiga, susahlah aku nak jejak kasih. Aku bukannya pandai sangat nak merantau ke negara orang. Pergi Kemboja pun berteman. Puas aku berfikir sambil aku kenakan pakaian tidur yang dihadiahkan oleh Erin. Mujurlah Erin hadiahkan pijama berseluar panjang. Pandai dia pilih sebab dia memang sepupuku yang bijak. Kalau tidak, malam ini pula aku yang angkat kaki lari dari rumah.
TIADA ketukan atau pun salam yang diberi ketika Han masuk ke dalam bilik. Ketika itu aku sedang berdiri memandang ke luar tingkap. Beberapa orang pekerja sedang mengemas khemah dan meja makan. Sebuah lori besar berada berdekatan. Hanya tinggal beberapa buah kereta sahaja termasuklah kereta Papa dan kereta Kak Suri. Untuk majlis ini aku sedikit terkilan kerana Kak Kasih tidak dapat bersama. Abang Lan terpaksa batalkan cuti kerana ada menteri dari Malaysia yang akan datang melawat. Aku faham dan Kak Kasih ada menelefonku sebelum itu untuk mengucapkan salam tahniahnya kepadaku.
“Han perlukan apa-apa?” tanyaku tanpa segan silu.. Aku tak kisah kalau Han marah atau beri senyuman yang sinis seperti apa yang dia buat sekarang ini. Aku cuba dekati Han. Dia sedang mengambil sesuatu dari beg kecil yang dibawa bersamanya. Sehelai T dan seluar tidur panjang. Suamiku masih berbaju Melayu tetapi sampin dan songkoknya entah ke mana pun aku tidak tahu. Bila dia cuba hendak masuk ke bilik air, aku segera capai tangannya.
“Lepas!” katanya perlahan tapi tegas.
“Duduklah dulu. Kita berbincang,” gesaku kepadanya.
“Aku kata lepaskan tangan awak tu.”
Aku tidak boleh memaksa. Tangan yang kupegang kulepaskan. Sebaik sahaja aku lepaskan tangan, ada satu ketukan di pintu bilik. Han terus masuk ke bilik air sementara aku pergi buka pintu bilik. Kelihatan Mami Zan, Aunty Elis, Erin dan Kak Suri berada di hadapanku.
“Ada apa?” soalku.
“Semuanya baik-baik ke Chaya?”
“Mmm…semuanya ok.”
“Chaya boleh keluar sekejap tak? Kami ada hal nak bincang sikit,” kata Mami Zan.
Aku agak Han mungkin akan mengambil masa yang di dalam bilik air. Jadi aku pun keluar mengikut kumpulan perempuan keluargaku sehingga kami sampai di sebuah ruang rehat. Kami mengambil tempat masing-masing.
“Sekejap je Mami dengan Aunty nak berbual dengan Chaya. Kelam kabut pasal majlis ni dari awal sehingga ke hari ini, Mami lupa nak ajak Chaya berbual seperkara.”
“Pasal apa Mami?”
“Malam ni malam pengantin Chaya. Errr.. Chaya dah tahu ke tidak?” soal Aunty Elis sambil merendahkan suaranya takut didengar sesiapa yang tiba-tiba lalu di kawasan itu.
“Oh! Pasal tu ke? Chaya ada baca sikit-sikit,” balasku. Malu juga bila disoal sebegitu. Sekarang ni senang sahaja nak dapatkan ilmu. Tekan-tekan sahaja di telefon.
“Eloklah kalau Chaya dah tahu. Tak perlulah kami beri tunjuk ajar,” Kak Suri pula yang menyindir.
“Malam ni janganlah terjerit-jerit sampai semua orang tak boleh nak lelap. Ingat tu,” kata Erin pula. Kemudian dia menjerit. Rupa-rupanya Aunty Elis berikan satu cubitan di pehanya.
“Mami, Aunty, malam ni tak ada apa yang akan berlaku. Chaya rasa tertekan sangat pasal majlis ni sampai terus datang bulan. Dah tiga hari dah pun,” kataku sambil menutup mulut untuk menahan ketawa.
“Ummph …tak jadi apa-apalah. Buang masa kita saja,” balas Erin.
“Mengata orang pandai. Awak tu bila lagi perut nak berisi,” tegur Kak Suri kepada Erin pula.
“Tengah tunggu akaklah,” balas Erin.
“Akak dah ada.”
“Ye ke?!!” semua yang di situ terkejut dan gembira pada masa yang sama.
“Bila Su? Kenapa tak beritahu kami semua?” soal Mami.
“Saja nak surprise. Lagipun hari ni kan hari bahagia Chaya.”
“Yang lain dah tahu ke belum?”
“Rizal dah tahu. Papa pun dah tahu.”
“Pandai betul Papa kamu simpan rahsia dari Mami. Siap dia nanti. Ni dah berapa bulan?” soal Mami Zan.
“Dah nak masuk empat bulan.”
“Kecilnya perut. Tak nampak pun macam orang mengandung,” kata Aunty Elis sambil memegang dan mencari perut Kak Suri.
“Mungkin jenis kecil, Aunty,” balasku.
“Keluarga kita memang macam tu Chaya. Kak Kasih kamu tu pun walaupun kembar tak adalah besar sangat pun. Dahlah Chaya. Kamu tinggalkan kami di sini. Pergi masuk tengok apa keperluan suami kamu tu. Esok pagi jangan bangun lambat pula. Isteri kena bangun siapkan sarapan untuk suami tahu tak?”
“Baiklah Aunty. Chaya masuk tidur dulu,” kataku.
“Sweet dream, Chahaya,” jerit Erin kepadaku.
Bila aku masuk ke dalam bilik, Han sudah pun berbaring di atas katil. Tetapi dia membelakangiku. Jadi, aku lalu di hadapannya untuk melihat sama ada dia sudah tidur atau pun tidak. Hampir terkejut aku kerana matanya masih terbuka. Aku bukan hendak mengganggu saat-saat dia hendak tidur, tetapi aku hanya ingin menjadi seorang isteri yang menghormati suaminya.
“Minta maaf Han, Chaya hanya nak salam dengan Han,” kataku sambil menghulurkan tanganku. Han hanya melihat sahaja. Dia senyum sinis sekali lagi. Kemudian dia beralih membelakangiku semula. Kalau beginilah cara layanannya, aku tidak akan mengalah. Tunggulah Plan A aku beberapa hari nanti.
Selepas menutup lampu, aku mengambil tempatku di sebelah Han di atas katil dan sebaik sahaja aku baring, dia alihkan badan kembali. Aku tidak berkata apa-apa. Takut kalau aku buka mulut, mungkin Han akan beralih terus dari katil itu. Aku hanya diam dan cuba untuk tidur. Setengah jam berlalu tetapi aku masih tidak dapat tidur. Aku pasti suamiku di sebelah sudah masuk ke alam lain. Nafasnya ketika tidur kedengaran tenang. Dengan cahaya samar-samar yang masuk menerusi tingkap bilik, aku memandang ke langit siling. Di dalam hati aku berdoa agar aku akan sentiasa bersamanya. Doa itu kubawa ke dalam tidurku.
Finally!!!! Kahwin juga... Tapi cerita belum tamat ya... Just few more chapters lagi..
Share this novel