Bab 51

Romance Completed 8896

“GOOD morning, Mr Papa,” aku duduk di meja makan untuk bersarapan pagi. Aku tuang air kopi yang disediakan oleh Mami Zan ke dalam cawan. Nasi goreng cili api sudah tersedia untuk aku jamah. Bila Mami Zan baru saja hendak duduk bersama, Mika minta pula sekeping telur goreng. Aku suruh Mami duduk sementara aku melayan keperluan adik kesayanganku itu. Sebentar sahaja telur digoreng dan diletakkan di pinggan Mika. Sambil makan adikku tanyakan aku satu soalan.
“Hari ni akak dating lagi ke?”

“Hari ni hari Sabtu kan?” balasku.
Mika angguk. Tidak menjawab sebab makanan berkunyah dalam mulut.
“Maybe. Kalau boyfriend akak balik sini, akak keluarlah. Kalau dia tak balik minggu ni, akak lepak sajalah dengan Mika.”
“Chaya tak kerja ke hujung minggu ni?” tanya Mami Zan.
“Dah tak kerja Pa. Kerja promoter tu dah tamat pun. Tengoklah kalau diorang panggil lagi, Chaya pergi je.”

“Tak nak cari kerja lain ke?” soal Papa pula.
“Tengah carilah ni Pa. Bukan senang nak dapat kerja di sini. Kalau nak suruh Chaya ke KL, terus terang Chaya kata, Chaya tak nak. Biar gaji rendah pun tak apa, asalkan Chaya duduk sini.”
“Papa tak kisah. Kalau Chaya nak duduk terus pun tak jadi masalah. Bunyi handphone Papa tu. Chaya tolong ambilkan. Atas kabinet TV,” pinta Papaku bila telefon bimbitnya berdering beberapa kali.
Aku bangun. Bila aku pegang sahaja telefon itu, nada deringan tiba-tiba berhenti. Aku serahkan kepada Papa.
“Miss call,” kataku.

Papaku membelek telefon. Dia melihatku dan kemudian melihat Mami Zan.
“Ini nombor Abang Mi, bapa Sharhan,” katanya.
Aku yang tengah menyuap nasi goreng terus berhenti.
“Kenapa pula Abang Mi telefon?” Papaku menyoal diri sendiri.
“Papa return baliklah call tu,” balasku.
“Nanti Papa balas. Kita makan dulu,” kata Papa. Sebaik sahaja Papa letakkan telefon bimbit di atas meja makan, ia berdering semula. Papa lihat nombor yang tertera. Sambil memandangku, dia menjawab panggilan itu. Aku diam mendengar.
“Walaikumsalam Abang Mi,” Papaku menjawab. Dia mendengar kemudian dia balas.
“Tak..tak ganggu. Saya baru selesai sarapan,” Papa bohong sunat. Makanan di pinggan baru separuh jalan.
“InshaaAllah kami ada di rumah dan saya pun tak kerja hari ni,” diam seketika.
“Oh ye? Boleh. Jemputlah,” Papaku terhangguk-hangguk sambil berbual di telefon.
“Kami tunggu. Baiklah. Waalaikumsalam.”
Papa terus letakkan telefon bimbitnya di atas meja.

“Papa Sharhan telefon untuk apa Pa?” suaraku yang mula keluar untuk bertanya.
“Papa Sharhan telefon tadi katanya mereka sekeluarga nak datang melawat kita.”
“Bila?”
“Petang ni. Lepas Zohor.”
“Ada dorang cakap pasal apa dorang nak datang melawat kita?”
“Papa tak tanya Chaya. Mereka kata nak datang melawat, Papa terima sahaja.”
“Sharhan datang?” soalku menaruh harapan.
“Papa tak tahu Chaya.”
Aku diam seketika. Pelbagai soalan yang sedang bermain di dalam fikiran. Perasaan ingin tahu sama ada Han akan bersama-sama dengan keluarganya nanti.
“Agaknya dorang nak meminang akak sekali lagi tak?” Mika bersuara. Kemudian dia menjerit kesakitan. Rupa-rupanya Mami Zan mencubit pehanya.
“Sakitlah Mami.”
“Tahu pun sakit. Jaga sikit mulut tu. Jangan nak pandai cakap. Kakak kamu di depan tu. Ingat sikit,” balas Mami Zan.
“Terlepaslah Mami. Sorry ye Kak Chaya. Mika terlepas cakap tadi.”
“It’s ok. Mika tak sengaja pun.”
“Dah..dah…sambung makan tu,” tegur Papaku. Kami teruskan makan dalam keadaan yang diam. Sehingga selesai makan pun aku masih tidak bersuara. Aku hanya dengar Papa pinta Mami Zan sediakan sedikit makanan petang untuk menyambut kedatangan keluarga Sharhan.

“SAYA minta maaf Shah. Petang ni saya tak boleh keluar dengan awak. Ada tetamu nak datang. Mungkin lepas tu kita jumpa.”
Aku dengar Shah menjawab di sebelah sana.
“Awak tengok sajalah. Tak payah nak tunggu saya. Lepas tetamu saya balik, saya terus keluar jumpa awak di sana.”
Shah beritahu aku sesuatu.
“Tahu tak apa. Itulah. Lain kali kalau nak angkut anak dara orang, janganlah angkut malam-malam. Kan dah kena sound. Sekarang siapa yang susah. Saya juga.”
Shah kata sesuatu.
“Jangan bimbang. Saya tolong awak. Jumpa awak lepas Maghrib nanti. Bye.”
Aku tutup telefon bimbit. Teman lelaki aku sudah semakin berani. Ingatkan dia tidak akan menyahut cabaranku. Ternyata, dia semakin hampir dengan misinya. Pesan arwah Tok Mi – semoga Tok Mi sentiasa diRahmatiNya, hanya orang yang betul-betul berusaha sahaja akan berjaya. Orang jenis Shah memang kuat berusaha. Semoga dia akan berjaya juga akhirnya nanti.
Mika datang mengetuk pintu bilik walaupun pintu itu terbuka luas. Dia tengok aku seperti panik semacam. Bila aku bangun, dia terus meluru ke arahku. Menahan aku dari keluar dari bilik.
“Kenapa ni Mika?”
“Family abang Sharhan dah datang kak. Sekarang di luar, baru nak masuk rumah. Er..abang Han pun ada. Papa pesan suruh akak duduk diam-diam dalam bilik.”
“Kenapa Papa suruh akak buat macam tu?”
“Mika tak tahu kak, tapi akak ikut je lah. Akak duduk sini. Biar Mika jadi spy. Mika tutup pintu ni ye kak. Ingat duduk diam-diam tau. Bersin pun jangan.”
Aku geleng kepala sehingga Mika menutup rapat pintu bilikku. Patutlah aku dengar orang beri salam tadi. Keluarga Han ada di sini. Han juga ada di sini. Kenapa pula dia di sini? Baru seminit sahaja, aku sudah rimas. Tidak tentu arah. Tertunggu-tunggu penyiasat peribadi kembali membawa berita. Aku risau. Aku hantar mesej kepada Ula. Kalau aku hantar kepada Erin, satu batalion di Seremban akan ke sini. Ula tidak membalas, sebaliknya dia terus menelefon. Bunyi deringan telefon kumatikan segera. Kalau didengari mereka di bawah sudah pasti terbocor rahsia yang aku bersembunyi di atas. Aku ceritakan kepada Ula kedatangan keluarga Han secara tiba-tiba itu. Ula memang ada banyak teori. Masalahnya teori-teori Ula lebih membingungkan aku. Akhirnya sebelum aku berhenti berbual, Ula minta aku sentiasa menghantar mesej berita terkini.
“Akak,” bisik adikku sebaik sahaja dia membuka pintu bilikku.
“Apa yang berlaku sekarang?”
“Macam Ice breaking session. Mukadimah tanya pasal kesihatan atau buat apa dan sebagainya. Uncle Mi yang banyak bercakap.”
“Siapa lagi yang datang?”
“Uncle Mi, wife dia, Umi tu, Abang Han dengan abang Abang Han. Itu je.”
“Abang Farid?”
“Ye agaknya. Mika tak ingatlah. Mika nak update tu je. Mika turun dengar lagi.”
Sebaik sahaja adikku turun, aku semakin resah. Aku buka almari dan mengeluarkan semua kain baju yang sudah berlipat. Aku sepahkan di atas katil dan mula duduk melipat semula satu per satu. Sekali sekala aku bangun untuk membuka pintu bilik. Kononnya untuk mendengar perbualan tetamu dan keluargaku. Malangnya, bilikku di tingkat atas semi-d dua tingkat ini. Kalau aku menyelinap keluar dan mencuri dengar di tangga mungkin akan ada hasilnya. Baru sahaja aku hendak melangkah menuju ke tangga, aku bertembung dengan adikku. Dia jeling dan suruh aku masuk ke bilik segera. Aku ikut cakapnya. Dia ikut di belakangku.

“Akak jangan panik sebab Mika dah cakap dah.”
“Cakap pasal apa?”
“Pagi tadi Mika cakap semua orang tak percaya. Dorang di bawah tu nak akak kahwin dengan Abang Han.”
“Hah????”
“Relaxlah akak. Mika turun sekarang.”
Belum sempat aku menarik nafas dan berfikir, Mika masuk semula ke dalam bilikku. Termengah-mengah dia hendak bercakap.
“Akak. Mami suruh get ready. Dorang nak jumpa akak. Pasal yang Mika cakap tadi, akak pura-pura tak tahu apa-apa tau.”
Aku masih tercegat berdiri. Mika baru hendak keluar dia terus meluru masuk semula ke bilik. Katanya keluarga Han sedang naik ke atas dan menuju ke biliku sekarang ini. Aku terus mengambil dan memakai sehelai selendang. Pemakaian aku dengan sehelai T dan seluar jeans hitam sudah kemas dan bersopan. Mami Zan yang muncul dahulu sebelum Umi dan Mama Jah masuk ke dalam.
“Chaya, Umi nak jumpa dengan Chaya ni. Masuklah Umi, Kak Jah,” kata Mami Zan sambil menarik tangan Mika keluar dari bilik. Aku bangun dan bersalaman dengan Umi dan Mama Jah. Memandangkan bilikku ada sebuah kerusi, aku jemput mereka duduk di birai katil. Longgokan kain baju yang bertaburan tadi, aku anjakkan ke hujung kepala katil.
“Chaya tengah melipat baju ke tadi?” soal Mama Jah.
“Ha’ah,” balasku. Tak mungkin aku nak mengaku aku terlalu risau sampai keluarkan semua pakaian.
“Mama dengan Umi nak minta maaf kalau ganggu Chaya. Kami sebenarnya ada hal yang nak dibincangkan,” jelas Mama Jah sambil melabuhkan punggungnya di atas katil kecilku. Umi pula duduk di suatu bahagian. Yang tinggal hanyalah ruang di antara mereka. Bila Umi menarik tanganku untuk duduk, aku pun duduklah di antara mereka.
“Kami ni nak tanya Chaya sesuatu. Kalau boleh Chaya beritahu kami dengan jujur.”
“Mama dan Umi nak tahu pasal apa tu?”
“Kami dengar Chaya dah ada seseorang sekarang ni. Betul ke?”
“Mama dengar dari siapa?”
Mama Jah ceritakan berita yang diberitahu oleh keluarga Ikram ketika keluarga itu datang melawat mereka beberapa hari yang lalu. Aku buat kesimpulan Erin tentunya ceritakan sesuatu kepada Ikram dan Ikram sampaikan kepada keluarganya. Akhirnya, cerita itu sampai ke pendengaran keluarga Han.
“Betul ke Chaya? Mama dengar ada yang datang merisik Chaya. Lepas tu sekarang ni Chaya dan lelaki tu dah pun buat keputusan untuk berkahwin?”
“Mana Mama dengan Umi dengar ni?” Aku tergelak sedikit. Entah apa yang Erin ceritakan kepada keluarga mertuanya sampai begini jalan ceritanya. Mungkinkah sebab hal itu, keluarga Han datang ke sini sekarang?
“Tapi memang betulkan?”
“Memang betul Chaya ada jumpa seseorang Ma, Umi. Nama dia Shah. Tapi kami berkawan saja. Bila pula Chaya nak kahwin dengan dia. Kalau Shah dengar, malu Chaya nak jumpa dia nanti.”
“Habis tu, kata keluarga Ikram, Erin kata Chaya dah setuju nak ikut lelaki tu ke Terengganu. Nak mulakan hidup baru di sana. Jadi cerita ni tak betullah?”
“Chaya main-main dengan Erinlah, Ma. Biasalah. Kalau Chaya dengan Erin melayan cakap sampai macam tu. Bukannya betul pun.”
“Kami dengar juga yang Chaya keluar dengan lelaki tu tiap-tiap minggu.”
“Yang itu memang betul. Chaya dengan Shah berkawan saja. Tak lebih dari tu. Masa mula kami kenal, awal-awal lagi Chaya dah ceritakan hal Chaya dengan dia. Mungkin Shah selesa berkawan dengan Chaya, sebab tulah kalau dia balik ke sini, dia akan jumpa Chaya. Dan satu perkara lagi, Shah dah ada pun perempuan yang dia suka. Tengah dalam proses nak kenal lebih dekat.”
“Betul apa yang Chaya ceritakan ni?” soal Umi
“Betul Umi. Kalau Mama dengan Umi tak percaya, hari ni Chaya akan keluar jumpa dengan Shah dan perempuan tu.”
“Bukannya kami tak percaya. Nak dapatkan kepastian dari Chaya sebelum kami tanya tentang hal yang lain pula.”
“Umi nak tanya hal lain? Tentang apa?”
“Chaya masih sayangkan Han?”
Aku tunduk melihat tangan Umi yang masih berpaut dengan tanganku.
“Chaya masih lagi sayangkan Han. Sampai bila-bila pun.”
“Kalau sayang, kenapa tak cuba pikat dia sampai dapat?”
“Sebab Chaya dah cuba tapi dia tolak Chaya mentah-mentah.”
“Kalau ada peluang, nak cuba lagi?”
“Apa Mama cakap ni?”
“Ni Mama nak tanya. Mana buku yang Chaya ambil dari bilik Han?”
“Ada atas tu,” kataku sambil menunjukkan buku yang terletak baik sahaja di atas meja kecil di bilikku.
“Penting sangatkah buku tu?” soal Mama Jah.
“Buku tu tak penting Mama. Kandungannya yang penting,” balasku.
“Apa dia?”
Aku pun bangun dan mengambil buku itu lalu diserahkan kepada Mama Jah.
“Ada gambar Chaya dalam tu,” kataku sambil melihat Mama dan Umi masing-masing membelek gambar yang ditemui di celah-celah buku itu.
“Patutlah dia macam tu Jah. Rupa-rupanya ada yang penting. Mak dah agak dah,” kata Umi kepada Mama Jah.
“Itulah. Mengamuk tak tentu pasal mesti ada sebabnya. Saya ingat lagi si Chaya yang ambil buku ni,” balas Mama Jah pula.
“ Han mengamuk pasal buku ni ke Mama?” soalku.
“Hah, ini yang Mama nak ceritakan pada Chaya. Masa dia mula-mula balik hari tu, dia ada tanya Mama ada nampak tak buku kulit merah tua ni. Mama kata tidak, padahal Mama tahu kamu yang ambil. Ingatkan dia biarkan saja. Hari Ikram kahwin, dia mengamuk. Habis satu bilik berkecah. Dia selongkar semuanya. Bilik bacaan pun dia cari buku ni, Chaya. Sekarang barulah kami tahu kenapa. Bila dia dengar Chaya dah ada yang berpunya, beberapa hari ni terus macam mayat bergerak. Makan pun tidak. Keluar pun tidak. Asyik berkurung dalam bilik. Mama dan Umi berbincang. Main teka-teka. Han ni masih sayangkan Chaya tapi keras kepala tak mahu nak mengaku. Itulah yang kami buat keputusan datang ke sini. Nak jumpa Chaya.”
“Mama salah sangka agaknya. Kalau Han nak buku ni, Chaya pulangkan sajalah.”
“Kami pasti bukan buku ni yang dia mahu. Benda yang ada dalam buku ni yang dia cari. Dan yang paling penting, orang dalam gambar tu yang dia nak.”
“Chaya minta maaflah kalau pasal buku ni dah menyusahkan Mama dan Umi sekeluarga datang ke sini. Han ada di bawah kan? Biar Chaya turun minta maaf dengan dia sendiri.”
“Nanti dulu Chaya. Kami datang ni bukan pasal buku ni, Sayang, Kami ada hajat lain.”
Aku berdebar menunggu sahaja.
“Kalau Chaya sudi, kami nak Chaya terima semula Han. Jadi isteri Han seperti yang kita rancangkan dahulu,” ulas Mama Jah.
“Mama dan Umi nak Chaya kahwin dengan Han?” aku letakkan kedua-dua jari telunjuk di bahagian dahiku. Menekan di pelipis kepala. Rasa pening seketika dengan permintaan itu.
“Dia nak kahwin dengan Chaya ke?” soalku lagi. Aku ingat kembali malam sebelum majlis perkahwinan Erin.
“Kalau dia setuju, Chaya setuju tak?” soal Mama Jah.
“Chaya tak faham langsung? Kenapa tiba-tiba pula?”
“Kami yang desak dia Chaya,” balas Mama Jah.
“Paksa Han terima Chaya?” soalku.
“Bukan paksa, tapi minta dengan cara yang baik,” terang Mama Jah. Tiba-tiba Umi di sebelahku ketawa. Kenapa pula Umi tiba-tiba ketawa?
“Mak tak bolehlah Jah. Kau kena ceritakan semuanya pada Chaya. Biar dia dengar sendiri apa kita dah buat.”
“Betul Mak nak Jah cerita sekarang?”
“Kalau tak cerita sekarang, susah kalau terbongkar. Chahaya saja yang boleh betulkan semuanya,” balas Umi.
“Baiklah. Dengar sini Chaya. Bila kami benar-benar pasti Han masih sayangkan Chaya, kami buat satu rancangan.
Ada sekali Umi terseliuh sebab terjatuh dalam bilik air. Tapi tak ada yang serius. Umi ambil kesempatan untuk pura-pura sakit. Rindukan Chaya. Masa tu Umi minta Han kahwin dengan Chaya sebab kalau tidak, Umi kata dia tak akan aman bila mati nanti. Umi pandai berlakon sampaikan Mama pun ingatkan betul,” jelas Mama Jah.
“Kenapa Umi cakap benda-benda macam tu. Tak baik tau cakap macam tu.”
“Umi akan mati juga suatu hari nanti Chahaya. Ajal maut tu semuanya sudah termaktub. Apa salahnya kalau Umi buat permintaan tu pada Han.”
“Sekarang Umi dah sihat ke? Kaki yang terseliuh tu?”
“Dah baik pun. Tak teruk mana. Mereka ni yang lebih-lebih suruh Umi berehat atas katil. Alang-alang Umi rehat, Umi pura-pura tak sihat. Lepas tu teringat pula tentang Chahaya jaga Han dulu. Jadi Umi buatlah rancangan sendiri. Semua orang pun tak tahu tapi Umi cerita dengan Mama kamu ni kemudiannya. Yang lain sampai sekarang pun tak tahu.”
“Datang sini tadi pun, Umi pura-pura batuk, mengeluh sana sini, kalau Chaya nak tahu. Mama pun join sekalilah pura-pura macam Umi tak sihat. Panik juga Papa dengan Han.”
“Susahlah macam ni. Chaya tak sangka Umi buat macam tu Kalau Han tahu, teruk Umi dengan Mama nanti. Bukannya kata satu rumah, satu Kajang dia mengamuk.”
“Itulah yang kami datang ke sini. Han ingat Umi betul-betul sakit. Dia setuju semua yang Umi minta termasuklah kahwin dengan Chaya. Jadi, lepas ni Chayalah yang kena ambil alih semuanya dari kami.”

“Nak ambil alih apa pula ni Mama. Chaya tak fahamlah.”
“Chaya ambil alih kalau Han mengamuklah nanti bila dia tahu Umi dan Mama tipu dia. Kami beri peluang untuk Chaya pujuk Han sekarang. Hati dia tu memang dah lekat dengan Chay tapi dia merajuk sangat pasal hal dulu tu. Beginilah. Yang lepas tu jangan nak dikenang lagi. Chaya terimalah Han kali ini. Apa yang penting ialah kamu berdua saling sayang menyayangi.”
“Chaya risau,” aku masih tidak pasti sama ada Han akan menerima aku.
“Kami ada Chaya. Walau apa pun yang berlaku kemudian hari nanti, kami sentiasa ada untuk Chaya. Terimalah saja pinangan kami buat kali kedua ini, ye.”
“Chaya kena fikir dulu Umi, Mama.”
“Nak fikirkan apa pula? Lagi lama Chaya fikir, lagi lama Chaya nak mulakan usaha tambat hati anak Mama tu.”
“Terima sajalah Chahaya,” desak Umi pula.
“Setuju?” soal Mama.
Aku tarik nafas dan angguk sahaja. Mama dan Umi saling memelukku.
“Kita turun jumpa dengan semua orang di bawah. Mereka mungkin tertunggu-tunggu jawapan dari Chaya sekarang ni. Chaya jumpa dengan Han. Bincang perkara ini dengan baik. Kalau boleh biar kita segerakan majlis ni.”
“Buku ni nak bawa bagi balik pada Han ke?”
“Tak payah. Chaya simpan saja. Biar dia cari sampai jumpa.”
Aku nampak Mama Jah terus mendekati suaminya dan menceritakan tentang persetujuan yang baru dicapai sebentar tadi. Aku tidak berani memandang Han. Sebaliknya, mataku mencari Papa. Aku lihat Papa ketika itu juga sedang memandangku dengan pandangan yang penuh tanda soal. Satu senyuman dan anggukan yang kuberikan kepadanya buat Papa kelihatan selesa sedikit.
“Nampaknya Chahaya sudah bersetuju. Jadi saya cadangkan supaya kita bincangkan tentang tarikh untuk majlis pernikahan dan keperluan lain kita sekeluarga, kalau boleh saya katakan kita sekeluargalah, sebab tak lama lagi pun kita akan jadi keluarga besar, betul tak Ibrahim,” kata Uncle Mi. Papa mengiyakan kata-kata Uncle Mi. Aku hanya mendengar perbincangan yang berlangsung. Perbualan kebanyakannya didominasikan oleh dua orang sahaja iaitu Uncle Mi dan Papa. Tarikh yang dipinta ialah tiga minggu daripada hari ini. Mengucap juga bila aku dengar masa yang singkat itu. Sepertinya keluarga Han tidak mahu menangguh lagi.
Papa minta masa dalam sehari dua untuk buat keputusan tentang tarikh itu. Dia perlu berbincang dengan keluarga kami yang lain dan perlu mendapat pandangan mereka. Keluarga Han bersetuju tetapi mereka berharap agar hubungan ini dapat disegerakan. Dalam diam, aku memandang Han. Dia hanya tunduk memandang ke lantai sahaja. Sekali sekala dia main dengan telefon pintarnya. Air yang disediakan untuknya tidak bersentuh langsung. Tidak sudikah dia sebenarnya? Aku mula rasa bersalah.

“Kalau tiada apa-apa lagi, kami minta diri dulu. Kami sekeluarga berharap sangat Chaya dapat masuk ke dalam keluarga kami segera, Ibrahim,” kata Uncle Mi.
“InshaaAllah abang Mi. InshaaAllah.”
Papa Mi dan keluarganya mula bangun dan bersalaman dengan ahli keluargaku. Umi dan Mama Jah memeluk dan menciumku. Aku salam dengan Uncle Mi dan buat seketika aku berhadapan dengan Han. Kami saling berpandangan. Semua yang berdiri di keliling kami pun diam. Seperti ternanti-nanti apa yang akan kami lakukan.
“Jaga diri,” itu yang aku mampu katakan kepada Han. Aku nampak bibirnya naik sedikit. Tapi dia angguk sahaja. Tiada suara yang keluar dari mulutnya.

Shah dan Sharhan.... Kebetulan nama dekat2 pulak.. Entah kenapa lah saya tak boleh lari dari lelaki nama dekat2 ni... Enjoy reading ya

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience