SEMINGGU selepas itu, aku duduk bersebelahan dengan Mami Zan di ruang tamu milik keluarga Uncle Mi dan Aunty Jah. Papa menelefon aku semalam menyatakan yang dia sudah pun berjanji dengan keluarga Han untuk ke rumah mereka. Papa suruh aku tunggu di hentian komuter di Nilai supaya dia boleh ambil aku di sana nanti. Katanya, dia malas untuk bawa kereta ke Taman Melati yang terletak jauh daripada laluan ke rumah keluarga Han. Bila aku masuk di kawasan yang Papa katakan terletaknya rumah Han, aku geleng kepala. Kawasan ini jauh lebih mewah daripada kawasan banglo Aunty Elis. Dahsyat-dahsyat kebanyakan rumah di sini. Seperti mahligai pun ada.
Papa sedang berbual dengan Uncle Mi. Nampaknya mereka ada minat yang sama. Cerita bola sepak yang tengah hangat diperkatakan. Kami yang lain melopong mendengar sahaja perbualan mereka. Bukannya aku faham sangat tentang bola sepak, tetapi kalau menonton, aku boleh naik suara juga. Sedang Uncle Mi dan Papa berbual, Umi pun keluar berjumpa kami dan memberi salam. Mami Zan dan aku bangun bersalaman dengannya. Bila aku nak beredar duduk ke tempatku kembali, Umi menarik tanganku untuk duduk dekat dengannya. Aku ikut sahaja dan duduk di sebelahnya.
“Boleh kami jumpa Han?” tanya Papaku. “Mika di sini nak minta maaf.”
“Boleh,” balas Uncle Mi.
Ketika itu seorang bibik keluar membawa hidangan air dan kuih muih. Aunty Jah mengarahkan bibik supaya pergi melihat samada Han sudah bersedia atau tidak. Bibik itu berlari-lari segera melalui anak tangga yang tersergam indah di hadapan ruang tamu itu menuju ke sebuah laluan berdekatan. Kami meneruskan perbualan sehinggalah bibik kembali dan berbisik ke telinga Aunty Jah. Aku berada berdekatan dengan Aunty Jah, dapat mendengar dengan jelas sekali apa yang dikatakan oleh bibik itu. Aunty Jah tersenyum.
“Minta maaflah Ibrahim, Ja. Rupa-rupanya si Han tengah tidur. Tadi saya jumpa dia tengah letih, tetapi mungkin lepas makan ubat tadi dia tertidur.”
Tertidur apanya. Aku dengar sebutir-sebutir patah perkataan bibik walaupun kurang jelas. Aku dengar bibik kata Han bilang kalau kami masuk bilik, dia campak semua benda yang dekat dengannya. Dia tidak mahu ada sesiapa pun yang jumpa dia sekarang. Kalau tidak dia mengamuk. Biar semua orang malu. Melampau betul. Aku faham kenapa Aunty Jah beri alasan kepada semua yang Han masih lagi tidur selepas ubat penahan sakit. Takut tak pasal-pasal keluarga aku kena baling barang dengan anak lelaki dia.
“Oh, kalau begitu lain kali kami ke sini. Biarlah dia rehat. Lagi pun baru seminggu dia kemalangan. Badan pun baru nak adjust,” kata Papaku.
“Kaki dia kena simen kan?” soal Mami Zan.
“Kaki dia patah. Doktor kata mungkin ambil masa dua atau tiga bulan nak sembuh semula. Tangan dia pun patah juga, tapi doktor kata dalam sebulan lebih, InshaaAllah dah boleh buka. Yang lain tu hanya luka-luka kecil sahaja.”
“Yelah. Apa-apa pun yang penting dia beransur sihat. Risau juga kami. Mika ni sejak balik ke Seremban, tak habis-habis rasa bersalah.”
“Nanti kalau Abang Han dah sihat betul-betul, Mika datanglah lagi ye. Nanti Aunty telefon Mama Mika kalau Abang Han dah betul-betul sihat,” kata Aunty Jah.
Adik aku mengangguk sahaja.
“Eh! Jemputlah minun Ibrahim,” pelawa Uncle Mi. Kami minum perlahan-lahan.
“Chahaya bagaimana sekarang?” tegur Umi pula.
“Chaya sihat Umi. Tengah rehat dahulu lepas Erin kahwin ni. Nak merasa jadi orang menganggur buat sementara waktu. Tengoklah nanti, Chaya buat part time dengan kawan yang Chaya ceritakan dulu tu.”
“Inilah perangai anak perempuan saya ni. Saya suruh dia balik Seremban sahaja. Kalau di sana, dia boleh tolong makcik dia di kedai perabut atau tolong Mama dia ni, tapi budak ni degil betul. Nak berdikari katanya.”
“Budak sekarang Ibrahim. Semuanya begitu,” balas Uncle Mi.
Sedang kami berbual, tiba-tiba ada panggilan masuk ke telefon Uncle Mi dan Uncle Mi mohon maaf sebentar untuk mengambil panggilan tersebut. Sekejap sahaja dia berbual, dia sudah pun duduk kembali ke sofa.
“Siapa yang call tu?” soal Aunty Jah.
“Salim, pasal urusan ke Mekah tu.”
Aunty Jah hanya mengangguk dan tidak tanya lebih-lebih.
“Jadi juga Abang Mi sekeluarga nak ke Tanah Suci tahun ni?” soal Papaku pula.
“Jadi. Kami dengan dengan adik-adik yang lain dapat pergi tahun ni. Itulah sebabnya keluarga si Ikram nak sangat cepatkan majlis. Yang elok itu biar disegerakan.”
“Berapa ramai semuanya? Bila nak berangkat?”
“Tiga pasangan dan Umi sahaja. Adik-adik yang dua lagi tak dapat pergi. Mungkin tiada rezeki kali ini. Kalau tiada aral, bulan depan sahaja.”
“Mi, kan umi dah pesan suruh kau batalkan sahaja bahagian umi. Lagi pun umi dah pun pergi dulu,” kali ini Umi bersuara.
“Mana boleh Umi. Kali ini kami niat nak bawa Umi bersama.”
“Han kan tengah sakit. Kesian dia nanti. Lagi pun, kalau umi pergi, siapa yang nak jaga dia. Si Muna tu pun kamu dah nak hantar balik bercuti.”
“Han dah besar Umi. Bukan budak kecil lagi,” balas Uncle Mi.
“Kenapa pula Abang Mi?”
Uncle Mi melihat Papaku.
“Umi ni tak mahu ke sana sebab kesiankan si Han. Umi nak jaga Han pulak.”
“Tak ada yang menjaganya ke nanti bila semua ke sana?” soal Papaku.
“Ada. Kami dah uruskan supaya ada jururawat peribadi datang menjaga sebab bibik kami dah bagi cuti. Dia nak balik Indonesia. Nanti bila kami ke sana, saya suruh Abang Mus, pemandu kami tu datang sini tiap-tiap meneman setiap malam dan hantarkan makanan. Semuanya dah saya uruskan. Umi saja yang tetap nak jaga cucunya tu.”
“Mak masih kuat lagi Mi. Boleh jaga anak kau tu. Lagi pun kita bukan kenal dengan jururawat yang nak datang menjaga tu nanti. Dibuatnya apa-apa dengan Han nanti, menyesal tak sudah kita semua.”
“Nak kena jaga dia bukannya senang Umi. Tahulah perangai dia tu macam mana?” balas Uncle Mi.
“Abang Mi. Kalau saya cadangkan sesuatu boleh tak?” soal Papaku tiba-tiba sahaja.
Uncle Mi memandang Papa. Aku juga pandang Papa. Semua yang ada pun memandang bila Papa bersuara.
“Memandangkan Mika yang buat hal sehingga Han kemalangan, saya rasa elok juga kalau saya tanggung bahagian saya. Anak saya Chaya ni tengah menganggur. Biar dia pun tolong jaga Han nanti.”
Hah! Terbeliak anak mata aku dengar kata-kata Papa. Biar benar Papa. Semua di situ turut memandangku.
“Papa!?”aku cuba membantah.
“Dah. Papa dah buat keputusan.”
“Tak perlulah Ibrahim. Pasal hal Mika tu kami dah maafkan pun,” balas Uncle Mi.
“Mana boleh Abang Mi. Biarlah kami tanggung juga hal ini. Sudahlah saya rasa bersalah. Kalau Abang Mi dengan Kak Jah tak dapat terima tawaran saya ni, ish… rasa tak senang hati pula. Biarlah Chaya yang tolong sama-sama jaga Han. Itulah saja yang saya minta.”
“Chaya nak ke Ibrahim?”
“Chaya akan ikut cakap saya Abang Mi. Lagi pun, tak kerana dia tidaklah Mika bertindak begitu. Biarlah dia jaga si Han bagi pihak saya sampai Han dah boleh berjalan nanti. Lagipun, Chaya ni masuk kelab Bulan Sabit Merah masa sekolah dulu. Lepas tu kakak dia, anak saya yang sulung pula seorang doktor, jadi bolehlah dia tanyakan kakaknya tu kalau ada kecemasan.”
“Kalau nak tunggu Han berjalan, entah-entah dua tiga bulan tu. Chaya nak ke?”
“Dia nak,” balas Papa sebelum aku menjawab. Papa terus pandang aku dengan pandangan Hitlernya. Kepala otak aku blur sekali lagi. Aku tak terkata-kata.
“Kalau Chahaya yang menjaga Han, senang sikit rasa hati umi sebab umi dah kenal dia. Kalau jururawat yang kau ambil tu belum tentu kita tahu macam mana nanti. Kau terima sajalah pelawaan Ibrahim tu Mi. Kalau dalam sebulan ni Chahaya dapat tolong jaga Han elok-elok, Mak janji Mak pergi ke Mekah dengan kamu”
Sebaik sahaja Umi kata begitu, aku sudah tahu nasib aku akhirnya.
----//----
BELUM masuk minggu kedua selepas pertemuan dengan keluarga Sharhan, aku sudah dikerah oleh Papa untuk ke banglo agam Uncle Shuhaimi. Aku ingatkan pelawaan Papa ditolak kemudiannya oleh mereka. Baru sahaja hendak bergembira, Papaku menelefon memberitahu bahawa bibik keluarga Uncle Shuhaimi akan dihantar balik bercuti. Jadi eloklah kalau aku pergi seperti yang Papa janjikan kepada keluarga itu. Lagipun aku dah kalah berdebat dengan papa pasal hal aku perempuan nak jaga lelaki dan mungkin duduk berduaan sebumbung. Tapi papa kata dia akan tanggung dosa aku asalkan hati dia tenang atas hal yang berlaku. Tambahan pula, rumah itu akan sentiasa ada orang. Jururawat, tukang cuci dan Pak Mus akan sentiasa ada untuk menemani aku dan Han.
Tak keruan aku memikirkan tugasan ini. Ula bukannya mahu beri semangat kepadaku. Katanya silap hari bulan aku terus jadi menantu keluarga itu. Minta simpanglah kalau aku nak jadi isteri si orang utan itu. Kereta sewa yang aku naik sampai di hadapan pintu pagar banglo itu. Pintu pagarnya sahaja sudah tinggi lapan kaki. Aku sudah merasa seperti hendak masuk ke penjara. Tekan sahaja loceng, pintu pagar terbuka secara automatik. Papaku kata keluarga Han akan menunggu kedatanganku nanti. Sebaik sahaja aku melangkah masuk, Aunty Jah menyambut aku dengan bibiknya. Siap peluk cium lagi. Aku bawa beg pakaian dan beg sandang. Kali ini aku rasa macam betul-betul hendak masuk ke kawasan perkurungan. Bukan banyak sangat keperluanku tetapi aku tidak boleh ke mana-mana tanpa komputer riba dan juga beberapa bahan bacaaan.
“Chaya naik apa tadi?” soal Aunty Jah.
“Chaya ambil Grab,” balasku.
“Marilah masuk. Beg tu biarkan di luar. Nanti bibik bawa masuk. Seronok betul Aunty dapat tahu Chaya nak datang semalam bila Uncle Mi beritahu. Dah lama rumah ni tak ada orang lain. Anak-anak Aunty semuanya duduk tempat lain. Farid duduk dengan keluarga dia di Ampang. Seminggu sekali diorang ke sini. Nora dah memang di Cherating. Lagi jauh. Sharhan pula bukannya duduk di sini. Dia ada rumah sendiri tapi pasal dah sakit macam ni, kami bawa dia ke sini. Chaya masuklah. Umi tengah tunggu Chaya di dalam tu.”
Aku pun melangkah masuk ke dalam rumah yang akan menjadi tempat berteduh aku dalam masa sebulan dua nanti. Suasana rumah itu memang sunyi sepi. Ruang tamunya dua kali ganda lebih besar dari apartmen tiga bilik aku. Aku lihat Umi bangun menyambutku. Sama seperti menantunya sebentar tadi. Peluk dan cium yang aku dapat. Seronok juga kalau orang tua peluk. Sejuk rasa hati.
“Chahaya dah bersedia ke nak jaga Han?” Umi bersuara.
Sedia atau tidak, aku kena lakukan amanah Papa.
“InshaaAllah Umi,” balasku.
“Chaya janganlah terkejut pulak bila tengok Sharhan tu nanti. Aunty nak beritahu Chaya awal-awal. Anak Aunty tu keras kepala sedikit. Garang pun iya juga. Bibik pun dua tiga kali menangis. Segarang-garang Sharhan tu, hati dia baik. Cuma perangai saja yang buruk. Aunty harap Chaya janganlah ambil hati sangat dengan perangai dia tu,” jelas Aunty kepadaku.
“Tak apa Aunty Jah, Umi. Hati Chaya ni pun kebal. Chaya cuba.”
Umi dan Aunty Jah tersenyum mendengar jawapanku.
“Mari Chaya. Aunty nak tunjukkan bilik Chaya,” ajak Aunty Jah. Aku mengikutinya sambil berpimpin tangan dengan Umi. Banglo mewah ini seperti berada di kawasan yang berbukit sedikit. Kalau masuk ke ruang tamu rumah itu, aku akan nampak tangga besar menuju ke bahagian atas rumah. Menurut Aunty Jah, di bahagian kiri rumah ialah dapur dan tempat makan manakala ruang rehat di sebelah kanan. Ada sebuah bilik rehat merangkap bilik tetamu tetapi sekarang bilik itu dijadikan bilik sementara Han. Aunty Jah bawa aku naik ke tingkat atas ke sebuah bilik dan mengajakku masuk ke dalam.
“Haa..ini bilik Chaya. Dulu bilik Nora. Dia dah kahwin. Balik pun sekali sekala sahaja. Selalunya Aunty dan Uncle yang naik ke Cherating.”
Aku masuk ke bilik yang berhias kertas dinding yang cukup menarik coraknya. Serba krim dengan warna-warna pastel. Pintu kaca dihiasi oleh jendela labuh berwarna coklat muda merupakan pintu kepada sebuah balkoni kecil. Kelihatan samar-samar kehijauan rimbunan pohon di luar. Katil bersaiz Queen dihiasi dengan cadar berwarna merah jambu yang lembut. Kamar yang sesuai untuk anak gadis remaja.
“Chaya janganlah segan pula ya. Nora yang suruh Aunty berikan bilik ni kepada Chaya. Bilik Umi dan Aunty di sebelah sana. Chaya nak rehat dulu ke atau Chaya nak turun jumpa Sharhan?”
Aku pun menyoal diri sendiri ketika itu. Nak berjumpa ke atau tidak?
“Elok juga kalau Chaya jumpa Han. Chaya bukan kenal sangat dengan dia pun. Macam gitu-gitu je,” ulasku.
“Kalau macam tu marilah. Kalau Chaya jumpa Han nanti, Chaya janganlah terkejut pula. Anak Aunty tu…macam mana nak cakap ni mak?” Aunty Jah tiba-tiba terhenti berbicara. Dia memandang ibu mertuanya.
“Kau cakap sajalah anak bujang kau tu pemalas, perengus dan sangka dia boleh buat semuanya sendiri sedangkan kaki dan tangan pun tak boleh nak bergerak,” balas Umi.
“Itulah Chaya. Anak Aunty tu ada kekurangannya. Kalau Chaya jumpa dia dan Chaya rasa Chaya nak tarik diri dari menjaga dia, Aunty dan Umi faham. Kami dah pun berbincang. Chaya tak perlu rasa bersalah kalau tak boleh jaga dia.”
Dua kali aku dengar Aunty Jah kata aku tak perlu jaga dia kalau aku mahu. Teruk sangatkah Han sampai emak sendiri pun berkata begitu.
“Chahaya,” kali ini pula Umi bersuara. “Kalau Chahaya tak kisah dengan perangai Han, kami harap sangat Chahaya dapat jaga dia sampai kami balik dari Mekah nanti.”
Aduh! Aunty cakap lain, Umi cakap lain. Kata-kata Umi buat aku rasa serba salah pula.
Dup. dap. dup. dap. jantungku berdebar ketika menuruni anak tangga.
Dududududu Dap Dap Dap…semakin laju semakin berdebar jantungku bila menghampiri bilik yang katanya didiami Han.
“Inilah bilik dia,” jelas Aunty Jah menghampiri sebuah bilik yang sudah terbuka pintunya.
Dup..dup…dup…aku tarik nafas. Aunty Jah masuk ke dalam dahulu.
Dup! Dapppp…. Aku tahu kenapa jantungku sudah tidak penting lagi. Hidungku menangkap bau yang amat busuk bila berada di bilik itu. Aku kerutkan dahi. Umi nampaknya menutup mulut menahan ketawa. Aunty Jah juga begitu. Mungkin inilah yang mereka cuba maksudkan sebentar tadi.
“Kan Aunty dah kata. Minta maaflah Chaya.”
“Mmm…it’s okay Aunty. I’ll survive,” balasku. Kesian aku lihat wajah Aunty Jah yang sebaik mungkin cuba kelihatan tenang.
“Well said Chahaya,” balas Umi. Wah! Hebatnya. Umi fasih berbahasa Inggeris. Bunyinya pun ada slang.
“Hello Han sayang,” aku dengar Aunty Jah menegur anaknya. “Lihat siapa yang datang nak jaga Han.”
Dari hujung bilik aku nampak sebuah katil diletakkan di tengah bilik yang dipenuhi dengan beberapa rak buku. Aku lihat lelaki dengan misai dan jambang yang sama seperti aku jumpa di Cherating berada di atas katil itu. Separa baring. Kaki kirinya dibalut dengan kas simen manakala tangan kanannya juga begitu.
Aku mengikut Aunty Jah dan Umi menghampiri Han. Dia berhenti dari membaca majalah yang dipegangnya. Dia memandangku dengan pandangan yang tajam. Dari atas sehingga ke bawah. Nampaknya seperti dia tidak suka kehadiranku. Dahinya masih ada luka yang disapu ubat kuning. Begitu juga beberapa bahagian di badan memandangkan baju kemejanya tidak dibutang dan dia nampak selesa berkain pelikat. Seram sejuk aku bila aku hampir ke katilnya.
“Hi,” aku ucap ringkas sambil menghadiahkan kepadanya suatu senyuman yang penuh keikhlasan.
“Mama suruh dia balik,” kata Han lantas meneruskan pembacaannya.
“Han…Chaya akan tolong tengok rumah ni dan pastikan jururawat datang tengok Han bila Mama dengan Umi ke Mekah nanti. Abang Farid kerja, bibik pun lusa Mama dah hantar dia balik bercuti.”
“Pak Mus kan boleh tolong Han,” balasnya ringkas.
“Pak Mus ada tapi tak kan nak suruh dia tengok Han dua puluh empat jam. Dia pun nak berehat juga.”
“Papa kata Pak Mus nak tolong jaga Han, tapi Mama dan Umi yang suka-suka nak ambil orang lain.”
“Memang Pak Mus akan tolong Han. Pak Mus akan bawa makanan hari-hari untuk Han. Jadi, hari-hari Han boleh jumpa Pak Mus. Siang hari bila jururawat datang, Chaya ada. Malam pula Pak Mus datang teman Han. ”
Han memandangku semula dengan pandangan yang sinis.
“Kalau begitu, kenapa ambil orang yang tak pandai masak?”
“Alahai Han ni. Kan Mama dah cakap tadi. Chaya tolong jaga rumah kita. Kalau Chaya nak tolong Han pun, apa salahnya. Lega hati Umi kalau ada ramai orang dalam rumah ni,” kali ini Umi pula bersuara.
“Umi nak pergi juga ye. Umi kan dah pergi dulu. Umi tak nak jaga Han ke?”
“Umi jadi pergi. Umi nak melawat sekali lagi,” kata Umi selamba.
“Kalau macam tu. Suruh perempuan ni balik. Pak Mus seorang pun dah cukup,” balasnya. Nampak sangat macam merajuk. Melampau betul. Sudah besar panjang, lagi nak merajuk dengan orang tua macam Umi. Memang dasar lelaki manja. Tidur bawah ketiak mak, kataku di dalam hati.
“Jangan macam tu Han. Chaya ni ikhlas nak tolong tunggu dalam rumah ni sampai Mama selesai ke sana. Papa dah buat semua persediaan. Tak lama mana pu. Sekejap saja,” tambah Aunty Jah lagi. Aku tengok Han buat tak ambil peduli kata-kata Aunty Jah. Aku pula terpacak dengan senyuman yang menyakitkan jiwa.
“Marilah Chaya,” ajak Aunty Jah. “Jangang ambil hati sangat dengan Han.”
Aku angguk dan ikut Aunty Jah keluar meninggalkan Umi tinggal untuk melayan Han. Sampai sahaja di luar, aku rasa udara yang segar. Mujur aku tak payah nak jumpa lelaki ni selalu. Menurut kata Papa, ada jururawat lelaki yang akan datang setiap hari untuk menguruskan Han. Mujur lelaki. Kalau perempuan, aku tak tahu sama ada boleh tahan dengan Han yang memang bau pun macam orang hutan.
Share this novel