KEESOKAN harinya Mami Zan telefon aku. Dia soal siasat apa yang aku cakap dengan Papa sehingga Papa mengamuk kelmarin. Aku berterus terang dengan Mami Zan supaya dia faham matlamat hidup aku sekarang. Aku tidak mahu terbabit dengan sesiapa buat masa ini, apatah lagi menjadi tunang atau isteri orang. Aku mahu tumpukan perhatian kepada kehidupan aku sekarang.
Aku juga mahu memperbaiki diri dan meluaskan pengalaman aku. Aku ingin melawat tempat-tempat yang belum pernah aku lawati. Aku bagi contoh kepada Mami Zan yang aku belum pernah lagi sampai ke Perlis. Aku teringin hendak ke sana. Aku tidak pasti Mami Zan dapat atau tidak mesej yang ingin aku sampaikan. Aku minta bantuannya untuk sampaikan mesej itu pada Papa.
Kak Suri juga menelefonku bertanyakan kenapa aku tidak balik dan kenapa aku serah bulat-bulat kehidupan aku di tangan Papa. Kak Suri memang jenis yang punya pendirian sendiri. Jadi dia menyokong aku kalau aku ingin teruskan matlamat hidupku ini. Dia cadangkan aku bersemuka dengan Papa sendiri supaya Papa tahu apa yang aku inginkan dalam hidup ini. Katanya lagi, jangan sampai aku jadi anak derhaka. Tidak akan ada untung dan bahagia hidup aku kelak. Aku setuju dengan pendapatnya dan aku kata aku akan jumpa dengan Papa pada awal tahun depan.
Sementara itu aku teruskan kerja aku di butik Eid dengan rela hati. Upah yang aku dapat pun agak memuaskan. Tidaklah mencecah ribuan ringgit pun. Sekadar cukup untuk perbelanjaan harian aku. Jadi aku tidak perlu keluarkan duit simpanan aku. Duit yang Aunty Jah berikan pula akan aku gunakan untuk beli hadiah untuk Aunty Jah dan Umi kalau aku jumpa mereka kelak. Buat masa sekarang, aku belum berkesempatan untuk melawat mereka. Mungkin bila awal tahun nanti, aku boleh buat satu lawatan ke sana. Aku tidak rasa Han akan berada di Kajang sehingga ke bulan Februari. Itu yang Umi katakan kepada aku. Kalau aku ke sana, aku tidak mungkin berjumpa dengannya. Mungkin itu yang terbaik untukku. Rindu tetap rindu. Asalkan dapat berjumpa dengan keluarganya pun sudah cukup bagiku.
“Tahun baru ni Eid nak balik Kedah. Che dengan Amy pun nak pergi juga. Chaya nak ikut tak? Kami nak balik tiga malam? Ada kenduri tapi bukan kenduri kahwin, majlis cukur jambul macam tu saja.”
“Nak tidur mana? Kerja kita tak tertangguh ke?” soalku.
“Kerja kita setakat ni semuanya tak ada masalah. Kita tidur kampung Eid. Chaya jangan risau. Kat situ ramai sedara perempuan Eid. Kalau Chaya teringin nak turun bendang, jomlah ikut. Kami balik naik kereta. Oklah kalau kita berempat, kan?”
“Keluarga Eid tak kisahkah kalau Chaya ikut?”
“Alah, depa tak kisah punya. Depa dah biasa terima orang luar. Adik Eid pun rajin juga bawa kawan dia balik kampung. Tok, Mak, Pak Eid, semua dah biasa. Jomlah,” katanya lagi.
Aku rasa teruja pula. Kalau dulu ke mana saja aku pergi, pasti berempat dengan kawan perempuanku. Kini, aku punya tiga kawan lelaki. Walaupun aku tidak rapat sangat dengan mereka kecuali Eid, aku memang suka berkawan dengan mereka bertiga. Aku teringin nak pergi. Soalannya, Papa bagi izin atau tidak? Walaupun aku dah besar panjang, aku masih kena minta izin Papa.
“Nanti Chaya confirm. Nak kena tanya Papa dulu. Bila cadang nak pergi?”
“Kami plan nak bertolak lepas projek budak perempuan yang nak kahwin satu haribulan satu tu. Kira dalam minggu pertama juga. Kampung Eid kat Kodiang.”
Sebelah kutub mana Kodiang itu pun aku tak tahu. Nanti aku cari guna encik Google.
“Oklah. Nanti Chaya bincang dengan Papa dulu. Chaya nak ambil cuti sehari lepas Krismas ni. Chaya nak balik kampung juga. Ada hal yang Chaya kena uruskan.”
BILA aku balik ke Seremban sehari sebelum Krismas, Papaku tiada. Mami Zan dan Mika sahaja yang ada di rumah ketika itu. Aku duduk di bilik Mika dan kami mula bermain satu permainan video. Mika selalu sahaja ada permainan yang baru. Jadi aku terpaksa ambil masa untuk belajar dahulu. Kami main permainan perang versi yang terbaru. Mika ajar aku apa yang terbaru dalam permainan itu. Sedang aku buat serangan, aku tanya Mika satu soalan.
“Mika tahu tak siapa yang datang dua minggu lepas?”
“Datang mana sis? Rumah kita ke?” tanya Mika sambil tangannya memegang alat permainan. Aku lihat muka adikku sudah ada sebiji dua jerawat.
“Datang rumah kitalah. Tanya pasal Kak Chaya.”
“Oh yang Mami kata datang nak tanya pasal akak tu?”
“Ha’ah. Mika tahu tak siapa?”
“Tak tau la. Mika tader pun masa tu. Pergi rumah Danial.”
“Aisey. Akak tanya Mika sebab Mika selalu jadi spy akak.”
“Kenapa akak tak tanya Mami?”
“Malulah akak. Hari tu masa Papa suruh balik, sampai bergaduh akak dengan Papa. Sekarang nak tanya pula.”
“Mika dengar cerita diorang nak datang ajak akak kahwin. Betul ke?”
“Itu yang akak tak pasti tu.”
“Nanti Mika cuba korek dari Mami.”
“Mika pergilah korek sekarang. Pura-pura pergi minum air. Lepas tu tanya Mami.”
“Game ni?”
“Kita pause sekejap,” kataku.
Adik aku memang selalu ikut cakap aku. Kami hentikan seketika permainan video itu sementara adikku pergi untuk mendapatkan maklumat daripada Mami Zan. Selepas beberapa minit, dia kembali kepadaku.
“Dapat sikit. Mami tahulah niat kita. Mami suruh akak tanya Papa sendiri.”
“Apa yang Mika dapat?”
“Uncle Omar ada jumpa kawan dia. Diorang ada anak lelaki bujang terlajak. Sedang cari calon isteri. Uncle teringatkan akak. Dia rekomen akak. Lebih kurang macam tu.”
“Mami cakap macam tu ke?”
Mikan angguk.
“Mentang-mentanglah akak sorang saja yang belum kahwin lagi. Tak baik tau Uncle Omar ni. Dah la tu. Dia pergi jodohkan akak dengan bujang terlajak pulak.”
“Mami kata dia businessman. Kaya kak. Senang hidup akak nanti. Tak payah nak kerja.”
“Akak bukan nak cari orang kaya lah. Akak nak cari orang yang boleh bahagiakan akak. Faham tak?”
“Err ..faham. Boleh kita sambung balik main?” soal adikku.
Aku tekan semula permainan itu. Kali ini aku tidak beri peluang langsung kepada Mika. Aku tembak sahaja apa yang ada di depan mata. Selepas pusingan kedua, Mika kata dia rasa lapar. Dia nak pergi makan. Aku tahu dia takut dengan akulah tu. Kalau dah kalah mengaku sajalah. Ini nak lari daripada aku pula.
“MACAM mana? Chaya nak terima atau tidak?”
“Chaya tak mahu terima,” balasku. Aku berpeluk tubuh sambil duduk di sofa berhadapan dengan Papa. Mami Zan dan Mika berada jauh di ruang makan. Aku tahu mereka tidak mahu campur. Hanya pasang telinga sahaja mendengar perbualan aku dan Papa.
“Kalau macam tu, bila mereka datang dua minggu lagi, kau bagi tahu sendiri yang kau tak mahu bertunang dengan anak mereka.”
“Mana boleh Papa buat macam tu? Papa yang terima masa mereka merisik, Papa sendirilah yang jawab.”
“Papa suruh kamu balik, kamu degil. Papa kata papa terima, Chaya siap cabar papa lagi. Sekarang bila papa dah terima, Chaya tak nak, Chaya sendirilah yang cakap dengan keluarga tu,” kata Papa. Suaranya sudah keras sedikit.
“Chaya tak boleh baliklah Papa. Chaya kena outstation.”
“Kerja part-time pun ada outstation juga ke?”
“Eh, mestilah ada Pa. Ingat kerja Chaya simple ke? Kena pergi banyak tempat tau. Ikut orang yang nak kahwin atau bertunang.”
“Kamu ni kerja di butik ke atau apa?” soal Papa.
“Business Eid dah berkembang Papa. Ikut peredaran masa,” balasku.
“Kamu bercinta dengan Eid ke sampai kau tak mahu terima lamaran orang?”soal Papa yang pernah tahu kisah aku dan Eid.
“Oish Papa ni. Eid tu buat sementara ni bukan spesis macam Papa. Dia masih cari identiti sendiri. Dia tak minat perempuan. Dia kawan baik je dengan Chaya. Kalau dia jenis yang suka perempuan, dah lama dia kahwin dengan Chaya. Tak payah Chaya nak tackle Nizam tak guna tu.”
“Papa dengar Nadia nak bertunang dengan bekas boyfriend kamu tu. Betul ke?”
“Wah cepatnya Papa dapat cerita. Mengalahkan Internet. Biar Chaya teka. Ula atau Nadia sendiri cerita dekat Erin, lepas tu Erin cerita pada Aunty Elis, Aunty beritahu Mami dan Mami beritahu Papa.”
“Kalau dah Nizam nak kahwin dengan Nadia dan Eid tu kamu kata bukan anak jantan, kamu terima sajalah lamaran ni. Kamu tu pun bukannya muda lagi. Takkan nak tunggu sampai jadi anak dara tua? Nanti tak ada langsung yang nak meminang. Lagipun, ini pinangan pertama. Orang kata kalau tolak, sampai bila-bila kau susah nak dapat jodoh.”
“Chaya tak kisahlah Papa. Kalau Chaya membujang sampai tua pun Chaya reda. Zaman sekarang ramai yang kekal single sampai tua. Apa yang penting hidup kena bermakna. Itu yang Chaya nak buat sekarang ni Papa. Err…boleh tak kalau Chaya pergi outstation?”
“Kamu nak pergi mana? Habis tu siapa nak cakap dengan keluarga pihak lelaki tu? Papa tak mahu. Kalau tak, kamu telefon mereka sekarang juga. Beritahu yang kamu tak mahu kahwin dengan anak mereka. Nah. Ni nombor telefon mereka,” kata Papaku sambil menghulurkan telefon bimbitnya.
“Papa ni! Takkan nak telefon sekarang. Chaya mana pandai nak cakap. Papa tu yang pensyarah. Papa kan pandai cakap. Papalah beritahu pada mereka.”
“Aku kata aku tak mahu masuk campur. Hari tu lagi aku dah bagi tahu kamu. Nah! Telefon mereka sekarang,” ugut Papa.
Aku garu kepalaku. Gatal tiba-tiba.
“Hi..hi….hi…nanti Papa wassap Chaya nombor tu. Chaya tak bersedia lagi Papa,” kataku.
“Dah aku dah wassap,” balas Papaku yang baru selesai menekan butang di telefon bimbitnya. Aku dengar bunyi mesej masuk ke telefonku yang berada di dalam beg tanganku, yang berada di ruang dapur.
“Sis, ada mesej masuk,” jerit Mika dari dapur. Aku dengar Mami Zan marah Mika agar jangan menyampuk. Sah. Dorang tengah dengar perbualan aku dan Papa.
“Ok. Nanti akak check,” balasku kepada Mika.
“Jadi kalau Chaya telefon family tu kata yang Chaya tak setuju, Papa benarkan Chaya pergi outstation kan?” soalku kepada Papa.
“Kamu nak ke mana?”
“Chaya ada jemputan ke Kedah. Kodiang. Ada kenduri di sana. Jadi Chaya pergi kerjalah,”
“Kedah? Bukan tu kampung Eid?”
“Memang kampung Eid pun. Itu yang kami semua pergi tu. Ada event.” aku berselindung.
“Siapa lagi yang pergi?”
“Eid, Che, Amy. Tak pastilah kalau ada yang nak ikut lagi,” aku berdoa saja yang Papa tidak tanya siapa Che dan Amy. Aku juga harap Papa ingat mereka perempuan. Jadi aku boleh dapat lampu hijau dari Papa.
“Berapa lama Chaya nak pergi?”
“Empat hari.”
“Tidur mana pulak nanti?”
“Chaya dengan kawan-kawan tidur rumah Tok Eid. Semua saudara mara dia akan berkampung di situ. Kalau Papa tak percaya, sampai sana, kita buat video call.”
“Kalau macam tu, Papa benarkan. Kamu pandai-pandai sikit jaga diri kamu tu.”
Dalam hati aku melonjak gembira. Aku akan ke ekspedisi pertama menjelajah Kedah tanpa keluargaku.
Share this novel