MANUSIA berhak membuat pilihan. Aku juga ada hak untuk membuat pilihanku sendiri. Aku percaya setiap keputusan yang dibuat dalam kehidupan seseorang itu ada kaitan dengan pilihan yang ada ketika itu. Setiap pilihan pula tentulah berlandaskan kepercayaan dan prinsip hidup seseorang. Hari ini aku sudah membuat pilihan yang mungkin akan mengubah hidupku di masa hadapan. Apa-apa pun persoalan yang bakal timbul kelak, keputusan yang aku buat hari ini adalah muktamad. Kalau diberi peluang untuk kembali semula pada waktu itu, aku pasti aku akan membuat keputusan yang sama.
Aku berjalan dengan pantas. Panas terik di Kuala Lumpur memang di luar jangkaan. Cuaca hari ini seperti melemahkan semangat aku untuk menyempurnakan keputusanku. Namun, aku nekad. Aku teruskan perjalanan tanpa menoleh ke kiri atau ke kanan. Kakiku melangkah satu per satu dengan kelajuan yang melebihi kadar kebiasaanku. Tercungap-cungap aku menarik nafas. Sesekali aku memarahi diriku yang malas bersenam. Aku nekad menuju ke satu destinasi.
Stesen LRT Masjid Jamek.
Matlamat aku ialah untuk sampai ke stesen itu dengan kadar segera. Aku gunakan pas bulanan di mesin imbasan untuk masuk dan berlari menuruni tangga apabila aku dengar bunyi LRT. Nasib aku agak malang. Sebaik sahaja sampai di ruang bawah kawasan menunggu, pintu gerabak LRT sudah tertutup. Aku cuba menahan sebak di dada. Jangan menangis. Aku mengucap perlahan-lahan. Berulang kali. Pasti mereka yang berdekatan ingat aku sedang berzikir.
Selang beberapa minit, satu gerabak transit aliran ringan pun sampai. Aku terus masuk mencari tempat duduk. Walaupun waktu bekerja masih belum tamat di pusat bandaraya itu, LRT empat gerabak itu sudah tiada tempat untuk aku duduki. Pilihan aku hanya berdiri sahaja di hadapan pintu dan melihat pintu tersebut tutup dengan perlahan.
Akhirnya aku dapat menarik dan menghela nafas dengan panjang. Mungkin lebih dari seminit aku tarik dan hela nafasku. Ok! Aku cuba menenangkan diriku sendiri. Mengingati diriku supaya jangan ada unsur-unsur menyesal. Semuanya tentang pilihan. Keputusan yang aku buat memang betul. Tiba-tiba, aku masih mendengar suara-suara rakan sepejabat tentang keputusan aku untuk berhenti kerja.
Kebanyakan pendapat mengatakan aku tidak berfikir panjang. Sekarang bukan senang untuk mendapat kerja. Kalau sudah bekerja di sebuah syarikat yang besar, semua pintu akan terbuka. Aku akan menyesal kalau berhenti sekarang. Banyak betul pandangan yang mereka berikan. Sampai aku hampir tergugat iman memikirkannya.
Namun begitu, aku tetapkan keyakinan. Bukannya sehari dua aku fikir untuk berhenti kerja. Hampir tiga bulan lamanya aku berfikir sehingga pipi yang tembam sudah mula menampakkan lesung pipit yang lama tidak kelihatan. Gara-gara memikirkan hal untuk berhenti kerja. Kalau dihitung hari, mungkin lama juga aku bekerja di situ. Dua tahun bukannya waktu yang singkat bagi diriku. Bidang yang diceburi itu bukanlah minat asalku. Selama waktu itu juga aku berjimat cermat menyimpan duit. Aku lakukan demikian semata-mata kerana seorang lelaki bernama Nizam. Aku menyimpan untuk hari bahagia kami suatu hari nanti. Hari yang amat aku dambakan seperti kebanyakan gadis. Hari untuk aku akhiri zaman bujang dan berkahwin dengan jejaka idamanku. Namun, mimpi aku hanya angan-angan sahaja. Aku kira jodoh aku dan Nizam tamat tiga bulan yang lalu juga.
Siapa sangka cinta yang disemai selama hampir tiga tahun lebih tinggal separuh jalan sahaja. Kami mula berpasangan di tahun akhir ketika belajar di kolej. Selepas tamat belajar, kami membuat keputusan mencari kerja di Kuala Lumpur. Hanya ada dua sebab sahaja. Pertama, aku dari Negeri Sembilan dan Nizam pula orang Perak. Oleh itu, Kuala Lumpur adalah tempat yang sesuai untuk kami bersama. Sebab kedua kerana Kuala Lumpur punya peluang kerja yang banyak dan memudahkan untuk kami mendapat kerja. Entah berapa banyak surat permohonan yang kami hantar dan beberapa seminar pekerjaan yang kami hadiri. Bagaikan pucuk dicita ulam mendatang. Kedua-dua kami mendapat tawaran kerja di sebuah syarikat yang sama. Nizam mendapat kerja terlebih dahulu. Aku pula masuk bekerja selang beberapa bulan selepasnya. Aku di bahagian Teknologi Maklumat dan Nizam di bahagian Jualan.
Hidup aku sungguh bahagia. Dapat bekerja dengan buah hati walaupun aku di tingkat 3 dan dia di tingkat 16. Beza ketinggian bangunan itu bukan halangan untuk aku berjumpa dengan Nizam setiap pagi, tengahari dan petang selepas kerja. Masuk tahun kedua, Nizam mula sibuk sehinggakan selepas waktu bekerja pun aku agak sukar untuk berjumpa dengannya. Sesekali, bila kami keluar di hujung minggu, aku perasan Nizam sudah tidak seperti Nizam yang dahulu. Yang biasa bergelak ketawa dengan aku. Bila aku tegur tentang perubahannya, dia jadikan tekanan di tempat kerja sebagai alasan. Bila aku cuba memberi pendapat untuk membantu dia menangani masalah tekanan tempat kerja, dia naik angin. Sejak itu aku tidak berani untuk bersuara. Maklumlah, baru dua tahun bekerja, dia sudah menjadi pemangku pengurus di bahagiannya. Ada peluang besar untuk jadi pengurus dengan cepat. Aku tumpang bangga. Nizam bukan calang-calang orangnya. Otak teman lelakiku itu boleh tahan bagus dan rupa parasnya pun tidak kurang juga. Masa di kolej dahulu, ramai juga yang agak cemburu padaku sebab dapat tangkap Nizam untuk dijadikan teman lelaki.
Aku membelek telefon bimbitku melihat beberapa gambar aku dan Nizam yang belum aku padam lagi. Kebanyakannya gambar ketika kami di kolej. Bermulalah cerita asal kenapa aku berhenti kerja. Hal itu berlaku ketika hari jadi Nizam yang ke 26 tahun. Ingin menjadi pasangan yang romantik, aku hadiahkan dia sejambak bunga. Aku tempah melalui Internet dan hantar ke pejabat. Bila aku telefon untuk ucapkan selamat hari jadi, dia seperti acuh tak acuh melayanku. Katanya terlalu sibuk. Aku sangkakan dia memang sibuk jadi aku hantar mesej mengajak dia keluar makan. Aku malas untuk terjah ke tingkat tiga. Aku biar sahaja. Bila jam hampir tamat waktu kerja, aku cuba buat panggilan lagi. Sama sahaja. Panggilan aku ke telefon bimbitnya tidak diangkat walaupun ada nada dering. Mesej aku juga tidak berbalas. Akhirnya, aku cuba nombor telefon rakan sepejabat Nizam. Menurut kata rakan kerjanya itu, Nizam baru beberapa minit keluar untuk balik kerja.
Tanpa berfikir panjang, aku bergegas keluar untuk cuba mengejar Nizam. Aku harap sangat dapat berjumpa dengan Nizam. Sememangnya lif agak sibuk ketika waktu itu. Aku tidak mahu membuang masa lalu menuruni anak tangga sehingga ke aras bawah. Aku tahu di mana dia selalu parkir keretanya. Lantas, aku segera ke sana.
Dari jauh aku nampak kelibat Nizam berjalan menuju ke arah parkir kereta berbayar yang berada di antara beberapa buah bangunan. Tangan kirinya memegang jambak bunga mawar dua belas kuntum yang aku belikan. Aku tersengih sendirian. Kali ini aku berbelanja sedikit untuk mengambil perhatian lelaki yang aku sayangi. Aku mampu tersenyum walaupun hanya melihat susuk tubuhnya. Buah hatiku kini sudah pandai bergaya. Malah stail rambutnya pun sudah berubah dari gaya yang biasa ke arah yang lebih hip, lebih bergaya. Aku mengekori dari jauh supaya kehadiranku tidak dia sedari. Aku lihat Nizam sedang sibuk dengan telefon bimbitnya. Mungkin urusan kerja masih belum selesai. Haluan Nizam berubah ke suatu arah. Tunggulah. Aku masuk ke laluan parkir di bahagian bertentangan. Aku mahu buat kejutan. Aku mengukir senyuman. Aku memandang semula ke arah Nizam. Aku nampak Nizam melambai ke arah seseorang. Mataku mencari arah lambaian. Aku nampak seorang perempuan yang membalas lambaian Nizam.
Senyumanku hilang. Langkahku terhenti. Kakiku berat untuk meneruskan perjalanan.
Aku hanya mampu melihat dari tempat persembunyian di sebalik kereta-kereta yang tersusun rapat itu. Nizam menghampiri perempuan tadi. Wajah perempuan itu nampak sungguh gembira. Tangan Nizam membelai dan membetulkan rambut perempuan yang kusut ditiup angin. Jambak bunga pemberianku bertukar tangan. Perempuan itu semakin gembira melihat jambakan bunga mawar itu. Mereka saling berpegangan tangan. Mereka berjalan beriringan sambil berbual dan bergelak ketawa. Seolah-olah tiada sesiapa yang mengganggu saat-saat bahagia mereka berdua. Seolah-olah mereka khusyuk dilamun cinta. Nizam dan perempuan itu mungkin tidak nampak aku yang sedang berdiri memerhatikan gelagat mereka sehingga mereka hilang dari pandangan aku.
Mungkin aku berdiri terpacak agak lama juga. Mungkin aku terlalu terkejut. Otakku tiba-tiba jadi lembab untuk membantu aku untuk bergerak pergi dari situ. Mungkin otakku juga terkejut sehinggakan tidak boleh berfikir. Terkejut melihat Nizam ada perempuan lain. Terkejut dan juga sakit hati kerana bunga yang aku beri kepadanya dijadikan hadiah untuk memikat perempuan lain.
Nadia. Perempuan yang bernama Nadia itu bukan sebarangan orangnya. Cantik, pandai bergaya dan juga lulusan luar negara. Bukan sekadar kenal begitu sahaja. Luar, dalam, atas, bawah tentang Nadia pun aku tahu. Nad. Itu panggilan manjanya. Siapa dia? Nad ialah salah seorang daripada tiga sahabat baikku. Sahabat yang berkongsi suka, duka, sedih dan gembira. Tidak terduga akal yang dia ingin berkongsi teman lelaki denganku. Nadia tahu Nizam miliku tetapi kenapa dia sanggup buat begini padaku? Malah, kami empat bersahabat pernah berjanji tidak akan mengambil teman lelaki atau pun bekas teman lelaki sahabat sendiri. Sejak bila pula mereka bersama dan apa pula salah aku pada Nizam? Patutlah sejak akhir-akhir ini dia dingin sahaja. Rupa-rupanya aku mengganggu cinta baru dalam hidupnya.
Puas aku memerah otak untuk mendapatkan jawapan. Kakiku mula melangkah dan tanpa aku sedar aku sudah kembali ke dalam menara bangunan tempat aku bekerja. Aku keluarkan pas kerja. Aku lepasi lif dan membuka pintu ke tangga. Aku mendaki anak-anak tangga sehingga aku masuk ke pejabatku dan seterusnya ke mejaku. Masih ramai lagi rakan setugas yang masih bekerja. Aku duduk. Mata tertumpu kepada meja yang berselerak. Aku tidak sempat mengemas tadi kerana hendak mengejar Nizam. Aku mula mengemas. Sambil itu, aku ingat pesan arwah nenekku, Tok Mi – semoga rohnya sentiasa dirahmati Allah. Kata arwah, kalau berlaku musibah dalam hidup, hadapilah dengan berani. Adakah putus cinta juga satu musibah? Aku membatu di tempat duduk sehingga aku sedar waktu sudah hampir malam. Sejak dari saat itu, aku buat satu keputusan.
Aku tersentak dek kerana LRT berhenti dengan mengejut. Aku sudah kembali ke alam yang nyata. Aku tinjau melalui tingkap kaca untuk melihat di mana hentian LRT. Aku akan tiba ke destinasi aku selepas dua lagi hentian. Sejak pertembungan yang tidak disangka itu, aku langsung tidak menghubungi Nizam. Aku juga tidak beri respon apabila Nizam cuba menghubungi aku. Itupun selepas aku rasa dia perasan bahawa sudah beberapa hari aku tidak menelefon atau berjumpa dengannya. Ada sekali dua dia cuba berjumpa aku di pejabat tapi aku pura-pura sibuk kerana ada mesyuarat. Sebenarnya aku berkurung di tandas wanita sehingga aku pasti dia sudah beredar.
Setiap kali aku ingat Nizam atau Nadia, hatiku seperti dirobek belati tajam. Kadangkala aku sukar bernafas. Aku ingatkan penyakit asma aku sudah kembali. Sebenarnya, aku terlalu banyak berpikir sehingga mengganggu saluran pernafasan. Mana tidaknya. Inilah kali ketiga aku bercinta. Aku harapkan cintaku kali ini akan kekal, tetapi manalah aku tahu cinta itu dirampas orang lain. Sebenarnya bukan orang lain pun, sahabat aku sendiri. Sahabat yang rapat dengan aku. Aku sayang Nadia sama macam aku sayang sababat aku yang lain dan kakak-kakak aku. Sampai hati Nadia buat aku begini. Sampai hati Nizam buat aku begini.
Susah hatilah kalau putus cinta kan, tetapi kita kena cari kebahagiaan...
Share this novel