AKU lihat nombor yang tertera di skrin telefon ialah nombor rumah Han di Kajang. Selalunya aku yang rajin menelefon ke sana. Kali ini tanpa disangka-sangka, ada orang di sebelah sana pula yang membuat panggilan. Ketika itu aku sedang mengeluarkan baju untuk dibawa ke ampaian. Tugas yang aku lakukan dengan relahati kerana menumpang di rumah orang tuaku. Sekaligus aku dapat meringankan beban Mami Zan dalam kerja-kerja rumah. Aku letakkan bakul berisi kain baju yang basah itu. Mungkin ada perkara yang mustahak yang ingin dibual. Aku jawab panggilan itu segera.
“Hello?”
“Assalamualaikum Chaya. Mama ni,” aku dengar suara Mama Jah di talian. Sehingga sekarang, dia masih membahasakan dirinya sebagai Mama denganku.
“Walaikumsalam Ma,” balasku.
“Chaya tengah sibuk buat apa tu? Mama nak cakap sikit boleh tak?”
“Eh! Boleh Ma. Chaya baru nak jemur kain, tapi tak apa. Kemudian je. Ada apa Ma?”
“Umi dengan Mama dah berbincang tadi sebab tu Mama terus telefon Chaya. Kami nak beritahu Han dah balik pagi tadi.”
Aku tidak terkejut tetapi berdebar-debar.
“Chaya??? Chaya??”
“Ya Mama. Chaya ada ni.”
“Dia dah balik Chaya. Tak ada ribut tak ada angin, tiba-tiba dah sampai dalam rumah lepas Subuh tadi. Dia tak cakap banyak. Terus masuk dalam bilik. Sampai sekarang tak keluar-keluar. Chaya nak datang ke sini tak? Boleh jumpa dengan Han.”
Aku berfikir seketika. Bersediakah aku untuk bertemu dengan lelaki yang sentiasa dalam igauan sehingga ke hari ini?
“Chaya ingat biar Han rehat dulu Mama. Chaya dengar dia di London selama ini. Agaknya dia baru balik dari sana tu. Mungkin Han penat naik kapal terbang lama-lama. Biarlah dia berehat dulu. Kalau Chaya tak dapat datang pun dalam beberapa hari ni, Chaya akan jumpa dia juga. Wedding Erin hujung minggu ni. Chaya jumpa dia di sana saja,” aku rasa lebih baik aku tidak mengganggu Han. Kalau benar dia baru balik dari London, tentulah perjalanannya memenatkan. Sedangkan aku yang beberapa jam sahaja balik dari Kemboja pun boleh penat sehari semalam, inikan pula dia yang naik penerbangan berbelas jam. Pasti penat dari segi mental mahupun fizikal.
“Chaya tak mahu datang sekarang ke? Chaya tunggu sajalah di sini sampai Han jaga nanti? Chaya jangan risau kalau Han marah-marah. Mama dengan Umi semuanya ada di sini.”
“Bukan begitu Mama. Abang Han baru saja sampai. Biarlah dia jumpa Mama, Umi dan Papa. Lagipun Chaya tahu semua di sana pun dah lama tak jumpa dengan Abang Han.”
“Pasal kami janganlah Chaya fikirkan sangat. Hal Chaya dengan Han lebih penting lagi. Kami sebenarnya masih berharap Chaya dengan Han dapat berbaik-baik.”
“Terima kasih Mama sebab menyokong Chaya. Mama jangan risau. Chaya akan selesaikan hal kami berdua tetapi bukan hari ini. Itu saja yang Chaya minta.”
“Baiklah kalau begitu Chaya. Apa-apa pun, kalau Chaya perlukan pertolongan, Chaya jangan lupa beritahu kami.”
“InshaaAllah Mama.”
“Mama minta diri dulu. Chaya jaga diri baik-baik. Assalamualaikum.”
“Walaikumsalam.”
.
TELEFON bimbit masih kupegang. Han sudah ada di Malaysia tiga hari lamanya. Patutkah aku menghantar serangkap mesej kepada Han yang aku ingin sangat bertemu dengannya pada hujung minggu nanti? Kalau aku hantar pun, belum tentu dia akan menjawabnya. Banyak mesej yang kukirimkan tidak pernah berjawab. Inikan pula untuk minta dia berjumpa denganku. Sambil aku berfikir aku sempat memohon kepada Allah supaya dipermudahkan segala yang kuhajatkan. Aku sebenarnya tidak tahu bagaimana caranya untuk menghadapi Han atau apa yang sepatutnya aku lakukan bila berjumpa dengannya nanti. Apa yang kuharapkan ialah Han dapat menerima kehadiranku dan sekurang-kurangnya dapat mendengar penjelasanku.
Aku melihat karangan surat yang aku taip di skrin komputer sebentar tadi. Surat yang kukarang untuk Han sebagai Plan B kalau Plan A aku tidak berjaya. Plan A aku ialah bersemuka dengan Han dan meluahkan perasaan sebenarku kepadanya dari hari pertama kami berjumpa sehinggalah ke hari ini. Kalau dia tidak mahu mendengar luahan hati dan perasaanku, aku akan serahkan surat ini kepadanya. Surat yang ada isi kandungan yang sama dengan ucapanku nanti. Terpulangkah kepada Han kalau dia ingin membacanya atau pun tidak. Kalau aku ada Plan A dan Plan B, pastinya aku ada Plan C. Namun begitu, aku masih belum memikirkan lagi apa Plan C yang ingin aku sediakan.
Ada beberapa perancangan di dalam fikiranku. Entah kenapa imaginasiku ialah untuk menempatkan Han kembali ke katil sebagai pesakit dan aku sebagai penjaganya. Antaranya ialah mewujudkan kemalangan kecil supaya Han terpaksa ‘dijaga’ semula olehku. Tapi bila difikirkan, kalau kemalangan menjadi parah atau boleh menyebabkan maut, aku juga akan menyesal seumur hidup. Aku fikir juga kalau aku masukkan ubat cirit birit ke dalam makanan atau minuman Han supaya dia sakit perut. Tapi aku takut dia akan asyik ke bilik air sehingga tidak sempat untuk mendengar penjelasanku nanti. Guna bomoh? Oh tentu sekali tidak. Aku manusia yang sedang kembali ke pangkal jalan. Sepatutnya perkara syirik seperti ini tidak boleh terlintas langsung di fikiranku.
Pesan arwah Tok Mi – semoga rohnya dirahmati Allah. Buat sesuatu mestilah ikhlas. InShaaAllah, Allah akan memberkati apa yang kita lakukan. Berbalik kepada Plan C. Apa yang aku perlu buat? Berserabut kepala aku memikirkan tentang strategi-strategi yang boleh aku gunakan untuk Plan C tetapi semuanya seperti tidak memberansangkan. Mungkin kali ini aku tiada perancangan lain. Aku hanya boleh berserah sahaja.
“KAK ERIN dah ada di luar tu kak,” panggil Mika dari bawah.
“Kejap. Akak turunlah ni,” Aku mengangkat beg sandang dan bergegas turun dengan segera. Bukan Erin sahaja yang menunggu aku. Uncle Omar dan Aunty Elis juga ada bersama. Walaupun aku bukan pengapit di majlis Erin keesokan hari, aku akan bertindak sebagai pembantu kepada Erin sebelum dia aku serahkan kepada pengapit untuk acara masuk ke dewan. Itu bermakna aku bukan sahaja akan memegang telefon bimbit dan menjawab sebarang panggilan. Aku juga akan memastikan waktu dari dia mandi sehingga selesai bersolek dapat dilaksanakan tanpa sebarang gangguan.
Aku terus menuju ke kereta Mercedes milik Uncle Omar. Papa dan Mami Zan mengekoriku dari belakang. Pemandu sedang berdiri di luar bersama dengan Uncle Omar. Bila aku sampai, pemandu Uncle mengambil beg dari tanganku dan memasukkan ke dalam but kereta.
“Hi Uncle,” sapaku kepada Uncle Omar dan kemudiannya kepalaku menerjah sedikit ke dalam kereta untuk menegur Aunty Elis dan Erin. Uncle berjabat tangan dengan Papa sebelum masuk ke dalam kereta.
“Pa, Mami, Chaya pergi dulu ye. Kita jumpa di sana nanti,” kataku sambil bersalaman dengan kedua orang tuaku.
“Masuklah Chaya,” kata Uncle Omar yang turut masuk dan duduk di bahagian hadapan kereta. Aku masuk di belakang dan duduk di sebelah Erin. Kereta Uncle Omar memang luas. Kereta Uncle Omar memang sentiasa luas seingat aku ketika aku kecil lagi.
“Boleh kita pergi sekarang? Ada yang tertinggal Chaya?”
“Tak ada Uncle. Chaya dah bawa semuanya,” balasku.
Kereta Uncle Omar mula meluncur laju. Kami dijangka akan sampai di hotel lewat petang ini. Beberapa buah bilik sudah pun ditempah terlebih awal untuk majlis perkahwinan ini. Aku, Erin dan Ula akan menghuni di salah sebuah bilik. Nad pula akan sertai kami keesokan hari. Pelik juga kerana Erin dan Ikram tidak tinggal sebilik. Bila aku ajukan soalan itu kepadanya, dia kata ini memang rancangan mereka. Sudah hampir dua minggu mereka tidak berjumpa. Biar majlis ini lebih mendebarkan untuk kedua-dua mereka. Untuk majlis yang ulung ini juga, Nad akan menjadi pengapit rasmi. Aku tiada masalah. Malah aku bersetuju dengan pilihan Erin.
“Uncle dengar Chaya tengah cari kerja sekarang. Kalau Chaya tak kisah sangat, datanglah kerja dengan Uncle.”
“Terima kasih Uncle tapi sekarang Chaya dah ada pun kerja sambilan. Dua kerja Uncle! Mami tengah ajar Chaya buat kerja jadi agen. Setakat ini, Chaya dah temankan Mami jumpa dua client. Chaya rasa Chaya boleh buat. Lepas majlis ni, Chaya akan start part time nombor dua. Uncle dengan Aunty janganlah ketawa. Chaya jadi promoter perfume. Buat sementara saja untuk beberapa minggu.”
“Kau tak cakap pun kau jadi promoter,” Erin menegur aku.
“Buat apa aku nak bising-bising. Bukannya kerja tetap pun.”
“Tak patutlah kau ni. Buat kerja lain tak bagi tahu aku. Mana tu?”
“AEON.”
“Oh, dekat sajalah.”
“Eloklah kalau Chaya dah ada sesuatu yang Chaya nak buat. Tawaran Uncle masih terbuka. Kalau Chaya nak kerja dengan Uncle, anytime sahaja.”
“Kalau tergerak hati Chaya nak kerja dengan Uncle, Chaya cari Uncle. Tapi Chaya- ingat bila Erin dah join dengan Uncle barulah Chaya terbuka hati agaknya,” kataku sambil melemparkan pandangan aku kepada Erin. Kalau benar Erin berhenti menjadi pramugari dan ambil alih bisnes keluarganya, sudah pasti aku akan merayunya mengambil aku bekerja. Jadi sekretari pun aku sanggup.
“Yelah. Kalau aku dah sedia nanti, aku make sure kau kerja dengan aku.”
Share this novel