Bab 3

Romance Completed 8896

“CHAYA!” Aku dengar suara Erin separuh menjerit bila aku buka pintu apartmen. Sepupuku yang tinggi lampai, cantik jelita dan putih gebu mengalahkan pelakon Malaysia kelam kabut melangkah masuk ke ruang tamu sehinggakan salah satu sepatu tinggi merahnya yang hampir lima inci itu turut terpelanting masuk ke dalam apartmen.
“Assalamualaikum Erin,” tegurku.
“Eh, walaikumsalam. Sorrylah babe. Aku tengah panik ni. Lupa nak bagi salam.”
“Kau datang seorang sahaja ke?” soal aku sambil mengangkat sepatunya itu dan meletakkan di sebelah pasangannya sebelum menutup pintu.
“Aku minta Ikram drop aku ke sini. Sorrylah kalau aku kacau kau Chaya, tapi aku tahu kau tak buat apa-apa kan harini? Kau kena tolong aku kali ni babe.”
“Kalau ye pun kau duduklah dulu. Kau nak minum tak?”
Erin menggelengkan kepalanya. Dia meletakkan beg galas Louis Vuittonnya ke atas sofa. Namun Erin masih lagi berdiri sambil mundar mandir di ruang tamu yang kecil itu.
“Kau kena tolong aku babe! Aku dah tak tahu nak minta tolong siapa. Aku hanya ada kau dengan Kak Suri dan Kak Kasih sahaja. Tapi aku tak boleh minta tolong Kak Suri. Dia sibuk sambut baby dan jaga ibu-ibu mengandung. Kak Kasih pun tak boleh juga sebab dia tengah ada baby dalam perut. Benda last minute macam ni yang buat aku susah hati.”
Aku mendengar keluhan Erin. Memang benar Erin hanya ada aku dan kakak-kakakku Semasa membesar, kami sentiasa berempat di rumah Tok Mi. Erin anak perempuan tunggal. Keluarganya memiliki kedai perabot buatan luar negara dan hiasan dalaman. Semasa membesar, Erin selalu memilih untuk tinggal dengan kami dan Tok Mi bila kedua Mama dan Abahnya ke luar negara atas urusan kerja. Aku cukup seronok kalau Erin datang tidur rumah Tok Mi. Mana tidaknya, ada drebar dan kereta besar yang akan menghantar kami ke sekolah. Seronok dapat naik kereta besar dan pergi lambat ke sekolah sekali sekala. Berlainan sungguh daripada berhimpit dalam van sekolah yang selalu mengambil aku dan kakak-kakakku sesudah Subuh.
“Kau dengar tak apa yang aku cakap ni babe?” Erin menegurku.
“Err….Kau kata kau ada masalah,” aku main teka sahaja.
“Mummy dan Daddy Ikram suruh kami bernikah awal. Macam mana ni?”
“Aik? Belum bertunang lagi, dah nak menikah? Ikram macam mana?”
“Ikram suka sangat idea parents dia tu. Dia kata buang masa sahaja nak bertunang.”
“Eloklah kalau Ikram setuju. Bukan senang orang lelaki nak cepat-cepat kahwin. Selalunya, orang lelaki ni, kalau ajak kahwin je, macam-macam alasan diorang beri. Tak cukup duitlah, nak beli kereta dululah, nak beli rumahlah.”
“Ikram dah ada semua tu,” balas Erin. Matanya seperti memandang jauh seperti fikirannya tengah melayang memikirkan sesuatu. Dia masih lagi berdiri. Aku pula yang duduk selesa di sofa.
“Jadi bulan Ogos ni kau nak bertunang ke atau kau nak nikah?” soalku. Berterus terang. Sekarang baru bulan Jun. Kali terakhir kami bertiga, aku, Ula dan Erin berkumpul tanpa Nadia seminggu yang lalu, siErin sibuk bercerita yang dia hendak bertunang bulan Ogos nanti dan majlis pernikahan dalam bulan Mei tahun hadapan bersempena tarikh hari jadinya.
“Argghhh!!!!” Erin menjerit. Kali ini dia hempaskan badannya ke sofa. Aku tarik nafas lega. Mujurlah tubuh Erin kurus keding. Sofa second hand tuan rumah aku masih mampu bertahan.
“Sabar Erin. Banyak-banyak mengucap,” ayat yang biasa digunakan oleh arwah Tok Mi – semoga rohnya diRahmati Allah, terbawa-bawa oleh aku sampai sekarang. Bukan aku seorang. Kakak-kakakku pun sama juga. Kadangkala ayat yang sama juga keluar daripada mulut Erin.
Erin mendongak ke atas. Tangan kanan hinggap di dahinya. Aku melihat sahaja. Bersedia untuk mendengar dan membiarkan Erin mengambil masa untuk menyusun kata-kata.
“Aku tak tahu Chaya. Aku inginkan semua jadi seperti yang aku rancang. Kahwin tu perkara yang besar dalam hidup kita. Bukan perkara mudah dan bukan main suka sahaja.”
Aku mengangguk dan membiarkan Erin meneruskan lagi.

“Of course, kita harap kita dapat kahwin dengan orang yang kita cinta dan hidup dengan dia sampai ke akhir hayat. Sekali Chaya. Kahwin sekali sahaja dalam hidup kita. Itu yang kita mahu. Jadi, kita rancang saat-saat indah itu dengan teliti. Ikut impian yang kita simpan dari zaman kanak-kanak lagi. Nak pakai baju warna apa, pelamin macam mana dan siapa yang kita nak jemput. Semuanya aku dah fikir Chaya. Kemudian, kita cari atau tunggu siapa dan bila dah jumpa orangnya, perkara yang seterusnya ialah bila.”

“Mmmm….” Aku setuju dengan kata-kata Erin. Aku pun macam dia juga. Aku rasa semua perempuan pun sama seperti Erin bila tiba soal jodoh dan kahwin. Namun, aku langsung tidak terganggu dengan kata-kata Erin. Maklumlah, aku sudah lancarkan Plan C.

“Aku dah susun Chaya. Bila nak bertunang, bila nak nikah dan bila nak kahwin. Sampai nak mengandung pun aku dah fikirkan bila masanya,” tambah Erin dan kemudiannya dia diam membisu. Mungkin masih fikirkan sesuatu. Kali ini dia memang nampak resah sungguh. Erin selalunya ceria. Dia dan Nadia adalah spesis perempuan ceria manakala aku dan Ula pula geng yang kalau ketawa pun belum tentu keluar suara.

“Kenapa tiba-tiba?” soalku bila teringat permintaan keluarga Ikram.

“Parents dia nak pergi Haji hujung tahun ni. Jadi dorang nak tengok kami menikah segera. Parents dia akan pergi dengan beberapa ahli keluarga yang lain termasuklah Umi Ikram walaupun ini kali kedua nenek Ikram tu buat Haji. Orang tua tu yang propose kami nikah dahulu. Katanya lepas naik Haji nanti, kalau kami nak buat kenduri sepuluh hari sepuluh malam pun tak tak ada problem.”

“Berbalik kepada satu perkara,” tiba-tiba aku terasa seperti seorang ahli kaunselor. “Apa rancangan dan apa keputusan kau?”

“Apa pendapat kau?”
Susah. Aku tanya soalan, dia tanya pendapat aku pula. Kaunselor profesional pun tidak mungkin akan menjawab soalan sedemikian. Aku ubah taktik lain.

“Kau bersedia tak nak kahwin?” soalku.
Erin hanya mengangguk. Pantas juga dia angguk. Itu bermaksud dia tidak berfikir panjang untuk menjawab soalan aku. Ia sesuatu yang memberangsangkan. Aku tanya soalan yang lain.

“Kalau kau buat majlis bertunang dan nikah serentak, ada masalah tak?”
Aku bangga dengan soalan aku. Mungkin aku patut jadi kolumnis penasihat di majalah wanita dan bukan graduan IT. Aku lihat mulut Erin muncung sedikit. Fikir mendalam sampai begitu sekali. Aku dengar Erin menarik nafas yang panjang. Belum sempat dia menjawab, Ula muncul di depan pintu sambil memberi salam.

“Hi. Ada masalah besar nampaknya kau Erin sampai muncung dah macam Donald Duck?”
Erin hanya tersenyum.

“Hi Ula,” balasnya. “Eloklah kau dah balik. Kau pun boleh tolong aku.”
Ula yang belum sempat berehat memandangku. Aku buat muka seperti menyuruhnya duduk sahaja tanpa perlu menyalin pakaian kerjanya seperti selalu. Ula menurut dan duduk di sebelahku.

“Apa problemnya?” soal Ula.

“Keluarga Ikram nak mereka kahwin segera sebelum diorang pergi Haji,” aku membalas.

“Ooo…itu bukan masalah besar. Kau kahwin sajalah Erin. Lagi pun kau dan Ikram tu dah beberapa tahun bercinta. Memang nak kahwin pun kan.”

“Kau cakap senang babe,” balas Erin. “Memanglah aku nak kahwin, tapi kalau cepat macam ni, aku tak sempat nak buat semua perkara. Nak tempah baju, nak buat hantaran semua tu.”

“Mama dan abah kau tak boleh tolong ke?”

“Memanglah boleh, tapi takkan aku nak serahkan bulat-bulat suruh mereka buat semuanya. Mereka pun sibuk juga dengan projek. Aku pula nak kena fly. Mana sempat. Tak sampai dua bulan babe kalau nak dapat yang perfect seperti yang aku mahu.”

“Aku ada cadangan,” kata Ula. Aku dan Erin memandang tepat ke wajah Ula. Kalau Ula ada cadangan, selalunya yang terbaik. Ula memandang Erin dan kemudiannya kepadaku sebelum berkata-kata.

“Kau sibuk tapi kau nak kahwin juga kan?” soal Ula.
Erin mengangguk.

“So, kau buat perkara yang biasa orang di seluruh dunia selalu buat. Dapatkan khidmat PA, personal assistant, pembantu peribadi atau wedding planner.”

Kali ini bukan Erin sahaja yang diam mendengar. Aku juga turut beri perhatian.

“PA ni perlu pastikan apa yang kau nak semuanya dapat. Kau hanya perlu bayar upah sahaja dalam dua bulan ni. Dengan erti kata lain, PA ini akan jadi proksi kau dalam semua perkara yang berkaitan dengan majlis kahwin ni.”

“Apa yang aku perlu buat babe?’ soal Erin.

“Kau hanya perlu relax dan berkomunikasi sahaja dengan PA kau.”

“Boleh percaya ke PA ni?” aku pula cuba tunjuk pandai.

“Mestilah,” balas Ula. Ramai orang sekarang dah pakai khidmat PA macam ni. Tak pun macam orang Barat, diorang ada wedding planner. Kalau kau browse di Internet, berlambak bukti yang kau dapat. It is so simple yet proven.”

“Sound interesting,” Erin mula berfikir. “But where can I get a good wedding planner di Malaysia ni yang aku rasa aku boleh percaya? Aku rasa aku tak kisah kalau kena bayar banyak sebab aku mampu pun.”

“Percaya is your keyword, Erin,” balas Ula.

“Ok. What do you mean?”soal Erin.
Ula hanya tersenyum. Matanya memandang aku.

“No way!” aku menjerit. Memang pandangan mata Ula buat aku terlebih faham.
Kali ini Erin pula memandang aku. Dia langsung tidak tersenyum tetapi aku lihat kepala otaknya sedang berkira-kira. Dia bertanya kepada Ula.

“Maksud kau, Chaya? Aku upah Chaya jadi PA aku?” jarinya ditunjukkan kepadaku. Namun, mukanya penuh tanda tanya.
Ula mengangguk. Kali ini aku nampak perubahan yang amat ketara pada wajah Erin.

“Kenapa aku tak boleh fikir macam kau fikir Ula. Cadangan kau menarik sungguh. In fact, it’s the best! Kau kena tolong aku Chaya. Kau kena jadi PA aku. Kau paling tahu apa yang aku suka. Lagipun kau in between jobs. Aku boleh gajikan kau Chaya.”

“Tak naklah. Mana aku tahu menahu pasal semua ni,” aku menolak.

“Aku tinggalkan korang berdua berbincang sebab aku nak mandi,” Ula mencelah seraya meninggalkan kami berdua. Kurang asam punya kawan. Pandai-pandai sahaja bagi cadangan. Lepas itu, aku pula yang jadi mangsa.

“Tolonglah aku Chaya. Betul kata Ula. Kalau aku upah wedding planner pun, aku tak boleh nak percaya seratus peratus. Kau lain. Kau sepupu aku. Kau sayang aku dan kau akan buat yang terbaik untuk aku.”

“Susahlah Erin. Hal kau kahwin ni bukan hal kecil. Kau kena cari orang yang profesional. Aku tak layak.”

“Kau yang paling layak Chaya. Please. Tolonglah aku, please, please, please, please….”
Aku naik pening bila Erin minta tolong cara dia. Bukan meminta tapi memaksa. Aku sayang dia, tapi aku takut kalau aku buat silap nanti, sepupu ke mana, sahabat ke mana.

“Biar aku fikir dululah,” balasku.

“Kau nak fikir apa lagi. Tak perlu fikir lagi. Aku dah tak ada masa ni babe. Kau setuju sajalah. Kau sebut saja berapa upahnya.”

“Bukan pasal upah Erin. Aku tak pandai bab-bab ni. Macam mana kalau aku buat silap? Cuba bayangkan kalau aku buat silap.”
Erin duduk berhadapan dengan aku.

“Buat silap tu perkara biasa Chaya. Bertahun aku jadi pramugari, kadangkala aku pun buat silap juga. Apa yang penting, kita dah berusaha. Aku tak akan menghukum kau Chaya sebab aku tahu kau akan buat yang terbaik untukku.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience