AKU memang seronok sungguh naik kereta dengan Eid dan kawan-kawan. Kami mulakan perjalanan pada pukul sembilan pagi dari Shah Alam. Kami singgah untuk sarapan lewat pagi di Rehat dan Rawat Sungai Buluh sebelum meneruskan perjalanan kami ke Utara. Aku duduk di belakang dengan Amy. Aku selesa dengan Amy sebab peribadinya agak lemah lembut sedikit. Seperti aku ada kawan perempuan tetapi dengan tubuh badan dan rupa paras lelaki tulen. Aku lihat Eid dan kawan-kawannya bukan jenis yang melaram berpakaian seperti perempuan. Mereka semuanya bertubuh sasa. Kecuali ketika mereka bercakap, mereka iras seperti cara Chef Wan, selebriti chef yang terkenal itu. Mungkin ini pilihan cara hidup yang mereka mahu. Apa-apa pun asalkan mereka tahu hukum halal haram, itu sudah baik untuk aku jadikan kawan.
Kami singgah di Zoo Taiping mengikut program yang direncanakan. Kami bersiar-siar sambil mengambil gambar. Che memang pandai melawak, jadi sepanjang perjalanan dan juga lawatan ke zoo, aku tidak kering gusi. Masuk sahaja ke dalam kereta, Che mengambil alih tugas Eid membawa kereta pula. Aku terus tertidur. Mungkin terlalu penat sangat dan juga gembira dapat melawat haiwan di zoo Taiping. Apa yang pasti, setiap saat aku bersama mereka sungguh menghiburkan. Aku tidak sabar untuk melakukan pelbagai aktiviti dengan mereka dalam tempoh beberapa hari ini di kampung Eid.
Bunyi telefon mengejutkan aku. Aku selongkar tas tanganku. Ada dua alat elektronik sahaja di dalam tas tanganku. Telefon pintar dan PSP yang aku pinjam dari Mika. Senang sahaja aku capai telefon Samsung yang ku beli ketika bekerja dahulu. Aku lihat nombor rumah Mami Zan tertera di situ. Kenapa pula Mami Zan menelefon aku? Selalunya, Papa sahaja yang telefon. Mungkin ada kecemasan. Aku lihat Amy sudah terlelap di sebelahku. Aku cepat-cepat jawab panggilan telefon itu. Suara Mami Zan kedengaran di sebelah sana.
“Chaya di mana ni?” tanya Mami Zan.
“Dalam perjalanan ke Kedah. Kenapa Mami?”
“Chaya ada call tak pasal nak batalkan pertunangan tu?” soal Mami Zan.
Ya Allah. Aku terlupa betul pasal hal tu.
“Chaya terlupalah Mami. Betul-betul terlupa,” terangku kepada Mami Zan.
“Keluarga tu datang sini Chaya. Papa dengan Uncle Omar ada di luar tu. Papa tengah marah sangat dengan Chaya. Mami call Chaya sebab Mami nak beritahu yang Papa dah terima pinangan keluarga tu. Sekarang Chaya dah jadi tunangan orang.”
“Apa!?” terjerit aku di dalam kereta. Aku nampak Amy di sebelah terbangun, terkejut. Aku buat tanda maaf. Eid pusing ke belakang melihatku.
“Mami tak boleh nak buat apa-apa Chaya. Papa baru saja terima cincin dari keluarga tu. Kami ingatkan mereka tak datang sebab kami ingat Chaya dah uruskan sendiri. Nasib baik kami tak keluar. Mereka datang dengan Uncle Omar. Mujur kami ada di rumah. Kelam kabut kami di sini Chaya. Kak Kasih kamu yang tengah sarat tu terpaksa berkejar pergi beli makanan untuk jamu mereka.”
“Alamak Mami. Macam mana ni?” aku sudah mula menangis. “Chaya betul-betul terlupalah Mami. Chaya terlupa. Mami tolonglah Chaya kali ni Mami. Tolonglah Chaya,” aku merayu sekian kali kepada Mami. Memang salah aku. Sepatutnya aku telefon keluarga itu. Aku yang terlupa. Sekarang aku sendiri yang mendapat balasannya.
“Mami nak buat macam mana Chaya? Ini pun Mami curi-curi telefon kamu. Kalau Papa tahu Mami telefon, habis Mami kena marah. Mami telefon nak beritahu kamu supaya kamu bersiap sedia sahaja nanti. Mami tak boleh berbual lama, Chaya. Mami kena keluar. Keluarga tu pun dah nak beredar. Kami tunggu kamu balik saja nanti. Kita bincang baik-baik. Chaya jaga diri ye.”
Aku ucapkan salam kepada Mami. Kali ini aku meraung di dalam kereta. Meraung sepuas-puasnya sambil menyalahkan diri sendiri. Kenapa aku bodoh sangat sampai terlupa untuk menelefon keluarga itu. Kalau aku nyatakan hasrat aku untuk tidak menerima bujang terlajak itu tempoh hari, tidaklah perkara ini akan berlaku. Aku berulang kali menyebut perkataan bodoh dalam aku meraung itu.
“Che, kau stop kereta kejap,” aku dengar Eid meminta Che memberhentikan kereta.
“Ni highwaylah Eid. Tak boleh stop.”
“Aku bukan suruh stop tengah-tengah jalan. Kau stop tepi jalan tu. Kejap je.”
Bila aku perasan kereta berhenti. Eid menyoal aku.
“Kenapa Chaya?”
Dalam raung tangis aku beritahu mereka tentang panggilan telefon tadi.
“Mami…..tunang…bodoh…lupa…”
“Apa yang Chaya nak kata ni? Tak fahamlah?” tegur Eid.
“Dia kata Mami dia telefon beritahu yang dia dah bertunang. Ada orang dah masuk meminanglah tu. Dia tak mahu. Sepatutnya dia telefon awal-awal bagitau yang dia tak mahu tapi dia lupa. Tup..tup ..family dia dah terima pinangan lelaki tu?” terang Amy kepada kedua-dua rakannya.
Aku semakin kuat menangis. Aku tak sangka Amy begitu cekap mentafsir kata-kataku yang tersekat-sekat itu.
“Sekarang Chaya dah jadi tunang oranglah maknanya. Chaya tahu ke siapa tunang Chaya tu?” tanya Eid.
Aku geleng kepala.
“Kesian Chaya. Jadi kita nak patah balik tak? Kami boleh hantar Chaya ke Seremban. Kami tak kisah kan Che?” tanya Eid kepada Che.
“Serius, aku tak kisah. Kalau nak patah balik kita keluar next exit,” kata Che.
Aku lagi kuat meraung. Aku kata kepada mereka.
“Ya…kodiang…nanti….bendang…”
Eid tengok Amy yang sedang menepuk belakangku supaya aku bertenang.
“Dia kata dia nak pergi juga ke Kodiang. Hal pertunangan tu nanti dia selesaikan sendiri. Sekarang dia nak gembira dulu. Dia selalu tengok bendang tapi tak pernah masuk bendang,” jelas Amy sekali lagi.
“Ok, tapi di Kodiang Tok aku ada kebun getah. Kalau Chaya nak masuk bendang juga, nanti Eid tanyakan orang kampung kalau ada yang boleh bagi kita masuk bendang. Sekarang kalau Chaya nak nangis, nangislah puas-puas,” terang Eid kepadaku.
---------------------------------//-----------------------------------
AKU tak senang duduk. Rumah kampung Tok Eid memang besar. Kawasan sekeliling pun memang luas. Jauh juga dari kawasan sawah padi. Aku ingatkan turun saja rumah aku boleh terus terjun ke sawah padi tetapi sekeliling rumah penuh dengan hutan. Dekat dengan hutan getah. Bila menjelang Maghrib, aku rasa gerun juga dengan bunyi-bunyi yang datang dari hutan berdekatan. Eid pula ada ceritakan tentang kisah seram yang pernah berlaku di kawasan rumah Toknya itu sepanjang perjalanan kami tadi. Mujurlah rumah tu penuh dengan manusia. Jadi aku tidaklah rasa takut sangat.
Tok Eid seorang perempuan tua yang kurus kering tetapi masih kuat betul. Bila dia peluk dan tepuk belakang aku, rasa macam sesak nafas. Eid kata Toknya sudah biasa bekerja di kebun. Sudah biasa buat kerja keras. Jadi tidak hairanlah kalau dia salam Che dan Amy pun, mereka pegang tangan kanan masing-masing, mungkin sakit digenggam Tok Eid dan Tok pun pandai juga buat lawak. Dia kata Eid, Che dan Amy masih belum cukup ‘macho’. Kena kuat lagi katanya.
Selain daripada Tok, aku berkenalan dengan keluarga Eid dan juga beberapa orang saudara mara Eid. Menurut Eid, kenduri akan diadakan esok pagi. Malam ini ada yang akan melepak sampai ke pagi. Dia jangkakan untuk kenduri esok, seramai hampir seratus orang saudara mana dan jiran tetangga akan hadir. Malam ini, aku akan tidur dengan adik perempuan Eid yang masih belasan tahun. Selepas makan kami berkumpul di kawasan luar rumah Tok. Aktiviti yang ada ialah berborak. Ada juga seorang saudara Eid yang bermain gitar. Suasana damai sahaja. Boleh hilang segala masalah dengan cerita Tok tentang kisah-kisah silamnya. Masalahnya, minda aku tidak boleh berehat. Minda aku bercelaru. Aku tidak percaya yang aku sendiri mengizinkan perkara ini berlaku terhadap diriku. Kenapalah aku bodoh sangat. Entah berapa kali aku menyalahkan diriku sendiri.
“Marilah join sini Chaya,” Eid memanggilku untuk duduk bersama di pangkin.
Aku memakai selipar yang ada dan berjalan menuju ke tempat pangkin berbumbung dengan cahaya lampu kalimantang. Wayarnya melilit ke sebatang pokok dan dihubungkan dengan plag panjang dari dapur yang dekat dengan kawasan pangkin itu. Aku memakai baju kurung Kedah, ihsan daripada mak Eid yang diberitahu aku inginkan pengalaman sebagai gadis kampung. Mulanya aku cuba sarungkan kain batik. Memandangkan aku tiada pengalaman dan takut kain terlucut, aku kenakan seluar panjang yogaku. Kain itu aku sarungkan juga sebab baju kedah pendek sedikit. Malu pula kalau punggungku kelihatan walaupun di waktu malam ini. Jaga adab jugalah aku.
“Chaya ni mai mana?” Tok tanya aku.
“Orang negeri sembilan Tok,” balasku.
“Dah ada bofren ka?”
“Dia dah bertunang Tok,” jelas Eid.
“Laa..awat tak bawak tunang sekali? Dia bagi hang mai sorang-sorang noo..dia tak jeles ke?” soal Tok yang agak fasih juga menggunakan bahasa Inggeris pasar.
“Dah ehh. Tunang dia tak kisah langsung. Dia bagi mai dengan kami pasai dia sayang sangat kat tunang dia ni. Apa dia nak, tunang dia ikut saja,” kata Eid kepada Tok. Aku tengok Che dan Amy dah mula nak ketawa.
“Macam tu ka? Bila nak nikah?”
Che dan Amy dah mula ketawa bila dia tengok muka aku yang pucat dengar soalan dari Tok.
“Awat yang hang pa dok gelak sakan ni?”
“Depa gelak pasai Chaya ni tak mau kahwin lagi. Dia nak sronok dulu Tok.”
“Laa…kawin la baguih. Hang pa tak kawin lagi tu yang tak meghasa. Kalau hang pa tau la, Tok paling suka masa kawin dulu. Tok bukan kenai Tok Wan hang, tapi bila kami jumpa, kami teghuih jatuh cinta.”
“Kalau macam tu Chaya ni kena …” belum sempat Eid cakap, aku cubit peha dia supaya diam sikit.
“Apa hang nak habaq?” Tok tanya.
“Dak eh. Nak tanya kot lera ni, sapa ada bendang. Chaya ni nak main lumpoq. Dia tak pernah masuk bendang lagi. Eid nak bawa dia la kalau Tok kenai sapa-sapa.”
“Kalau hang pa nak masuk bendang, hangpa masuk bendang Tok Ngah. Sat gi hang pi suruh Mak hang telepon dia. Habaq la bila hang pa nak pi.”
“Tok Ngah mana tok?”
“Tok Ngah tu dulu kira macam bofren Tok la dulu. Mak hang kenai aih. Kalau hang pa nak pi elok la pasai pa, la ni depa tak menamam lagi. Boleh la hang pa tolong tebas semak dalam bendang tu.”
“Kalau macam tu Eid pi habaq kat mak la. Kalau boleh kami nak masuk petang esok.”
“Hah pi la cepat noo…,” kata Tok.
Bila Eid masuk ke dalam rumah, aku melepak di luar dengan Tok. Ada seekor nyamuk yang berkeliaran sambil menyanyi di telingaku walaupun ada ubat nyamuk yang dinyalakan di situ. Nyanyian nyamuk buat aku leka seketika. Aku tidak mahu hal pertunanganku menganggu keseronokan aku berada di sini.
PAGI-PAGI lagi suasana sudah riuh rendah. Aku ingat akulah antara orang yang terawal bangun sebelum Subuh. Rupa-rupanya, kaum perempuan sudah mula berkumpul di ruang dapur. Aku minta izin untuk mandi. Terdapat dua tempat sahaja untuk mandi. Mujurlah giliran aku yang kedua. Selesai mandi aku terus solat Subuh. Aku kenakan sehelai kemeja labuh dan seluar yoga. Aku turun semula ke bahagian dapur untuk menghulurkan bantuan. Terkena kejutan budaya juga bila semua yang ada di situ masing-masing bercakap. Aku rumuskan yang mereka hanya mahu aku berehat sebab aku tetamu. Ada seorang dua termasuklah emak Eid yang ajak aku duduk potong sayur.
Sebaik sahaja aku duduk, banyak soalan yang keluar dari mulut mereka. Penat juga aku hendak menjawab satu per satu. Antara soalan kemestian ialah asal usul namaku. Aku juga dapat tahu bahawa kenduri ini lebih kepada kenduri akikah cicit sulung Tok. Anak kepada sepupu Eid. Anak tahun baru. Dengar cerita dua ekor kambing akan dikorbankan selepas Subuh nanti. Terliur aku dengar yang mereka akan masak gulai daging Utara. Aku rasa aku tidak pernah makan gulai utara tetapi dengar cara seorang perempuan itu bercerita, buat aku terliur tiba-tiba.
Lenguh juga kakiku bersimpuh lama di lantai yang beralaskan lapisan linoleum itu. Tiga kali aku beralih ubah bersimpuh. Lebih kurang setengah jam aku di situ, emak Eid suruh aku keluar minum pagi yang dihidangkan di pangkin luar. Patutlah aku rasa air liuh aku seperti menceceh ketika mendengar gulai daging tadi. Perutku kelaparan rupa-rupanya. Bila aku keluar, hari pun sudah cerah. Aku tidak nampak Eid atau Che. Aku nampak Amy sedang menjamu selera.
“Marilah Chaya. Ada karipap, nasi lemak dengan bihun goreng,” katanya.
“Yang mana sedap?”
“Kalau nak diet, makan karipap. Bihun goreng ni pedas, tapi sedap,” jelas Amy.
“Ye ke? Mana Eid dengan Che?” tanyaku. Sambil itu aku ambil pinggan yang disediakan dan kaut sedikit bihun goreng.
“Pergi surau tadi. Tak balik lagi,” kata Amy.
Aku angguk kepala. Kalau tak silap aku, korban akikah kambing dua ekor nak di buat di surau selepas Subuh. Mungkin sebab itu Eid ke sana. Ada beberapa orang saudara mara yang turut makan sama di situ bersama kami. Dua kali aku tambah bihun goreng itu. Bila nak minum, aku sampai tidak tahu hendak pilih yang mana. Kopi panas atau teh tarik. Dua-dua nampak sedap. Akhirnya aku pilih teh tarik sebab aku tengok teh itu pekat semacam. Pasti enak. Memang enak pun.
AKU turut jadi pelayan ketika majlis diadakan. Aku tolong edarkan bunga telur. Aku ingat kenduri kahwin saja yang buat begini. Aku tak tahu pula majlis sebegini pun ada bunga telur juga. Kak Suri belum dikurniakan anak lagi. Kak Kasih pula dijangka akan melahirkan anak awal bulan tiga nanti. Mungkin keluarga aku pun akan buat acara seperti ini tapi aku tidak tahu sama ada berbeza atau tidak sambutan antara negeri Kedah dan Negeri Sembilan.
Menurut kata Eid acara sebegini hanya akan selesai bila semua orang sudah tidur. Itu bermakna kenduri ini akan tamat di sebelah malam. Kalau ikutkan, bila bayi sudah selesai dengan cukur jambul dan bacaan doa, tamatlah majlis akikah itu. Namun begitu, orang masih akan datang sehingga ke petang dan malam. Mereka yang datang lewat mungkin kerana komitmen bekerja dan sebagainya. Jadi, Eid ajak aku dan kawan-kawannya naik motosikal ke bendang Tok Ngah. Emak Eid sudah bercakap dengan Tok Ngah pagi tadi semasa Tok Ngah datang menolong kerja kenduri. Tok Ngah kata kalau kita nak main air lumpur, mainlah.
Aku naik motor dengan Eid manakala Che naik dengan Amy. Macam samseng pula bila kami tidak kenakan topi keledar. Seronok kami ronda di kawasan kampung Eid. Lagak aku bagai orang yang hilang akal. Menjerit seronok sesuka hati. Eid kata aku jakun. Aku tak tahu apa maknanya. Aku kata tak kisahlah kalau aku jakun. Jangan rakun sudahlah. Selepas sepuluh minit naik motosikal, kami sampai di kawasan bendang yang dimaksudkan. Aku nampak ada kawasan berpetak yang tinggal lumpur dan ada kawasan yang penuh dengan semak samun. Eid memberhentikan motor. Aku turun dari tempat membonceng. Aku sedut udara. Konon-konon macam satu drama yang pernah aku tonton suatu ketika dulu.
“Macam mana Chaya? Nak masuk tak?”
“Ada ular, lintak atau pacat tak?”
“Kalau ada tu adalah. Kenapa takut nak masuk pulak ke?” soal Eid.
“Hi…hi…hi…tak beranilah pulak.”
“Kata nak cuba benda baru. Dah mai kat sini tak berani pulak. Jomlah,” ajak Eid. Dia sudah pun masuk ke dalam bendang.
“Kita masuk yang sana nak tak?” kataku sambil menunjukkan petak yang terang benderang tanpa semak samun seperti yang Eid masuk.
“Boleh. Tapi Chaya kena tarik Eid,” katanya.
Aku pun dengan penuh semangat menyambut tangan yang Eid hulurkan. Rupanya dia pun main tipu macam dalam cerita yang aku tonton itu, yang tarik hero masuk dalam bendang. Apa lagi. Habis seluruh badan aku terhumban ke dalam semak yang berlumpur itu. Aku geram, aku ambil segumpal lumpur dan baling ke muka Eid. Padan muka.
“Wei, apa kata kita tarik lalang ni keluar. Sekurang-kurangnya ini cara kita ucap terima kasih dekat Tok Ngah kau tu,” usul Che kepada Eid.
“Eloklah tu. Apa kata hang pun mai masuk sama,” ajak Eid kepada Che. Apalagi, Che sinting seluar dia dan turun ke bendang. Amy seorang saja yang mati-mati tidak mahu masuk. Dia bukan takut ular atau lintah. Dia geli hendak masuk ke tempat berlumpur. Terpacak dia seorang diri di atas batas bendang. Kami bertiga siap nyanyi lagu sambil bekerja. Dari lagu Lady Gaga sehinggalah ke lagu klasik Lenggang Kangkung pun kami nyanyi. Aku rasa sejam lamanya campur rehat sekali sekala, barulah kami dapat kosongkan satu petak dari lalang. Hendak mencabut lalang bukannya susah sebab ia tumbuh di tanah yang sedikit berlumpur. Mudah sahaja.
Itulah di antara perkara yang bagi aku cukup menghiburkan. Aku teringatkan Han. Betul katanya. Aku patut keluar untuk melihat kehidupan orang lain. Baru dua hari aku di sini, aku sudah dapat belajar banyak perkara. Aku tidak pernah terfikir akan pengalaman seperti ini. Aku berada di negeri Kedah dan aku sudah melawat zoo di Taiping. Aku mula bercita-cita untuk mencari pengalaman yang baru. Mungkin selepas balik nanti, perkara pertama yang akan aku lakukan ialah membuat passport antarabangsa. Sudah tiba masanya untuk aku menjelajah ke luar negara. Kalau kewangan aku mengizinkan, aku akan ke Singapura dahulu. Itu bermakna aku akan singgah di Johor. Dua tempat yang ada di peta Malaysia walaupun Singapura bukan di bawah jajahan Malaysia. Aku bersorak gembira di tengah-tengah bendang itu.
Share this novel