Bab 52

Romance Completed 8896

“SORRY kalau awak terpaksa tunggu lama. Mana dia?” soalku sebaik sahaja aku bertemu dengan Shah. Keluarga Han pulang sekitar jam lima petang. Aku masih sempat untuk bertemu dengan Shah di Seremban 2 seperti yang dijanjikan.
“Dia ke toilet. Saya mesej awak banyak kali tapi tak berjawab dari tadi. Sibuk sangat ke sampai tak boleh nak balas balik. Dia asyik tanya saja mana awak.”
“Saya betul-betul minta maaf. Tak dapat balas. Kes saya serius juga tapi kes awak lagi penting. Apa-apa pun biar saya jumpa dengan dia dulu.”
“Saya betul-betul hargai apa yang awak buat ni.”
“Kita kan kawan,” balasku. Aku melihat seorang gadis mendekati Shah dari belakang. Orangnya sederhana tinggi. Kulitnya putih gebu. Matanya bulat dan bibirnya merah dengan hanya beroleskan pelembab bibir. Dia bertudung kemas dengan senyuman yang memikat. Aku pandang sekali sahaja, aku tahu kenapa Shah beria-ria hendak berkenalan dengan perempuan ini. Aku yang perempuan memandang pun rasa sejuk sahaja. Inikan pula lelaki seperti Shah.
“Kenalkan Ros. Ini kawan Shah, Chahaya,” Shah menyebut namaku satu per satu kepada Ros. Kami bersalaman. Aku sudah dimaklumkan sebelum ini oleh Shah yang Ros ada masalah pendengaran. Kecederaan yang dialaminya ketika di sekolah rendah suatu ketika dahulu menyebabkan dia tidak dapat mendengar seperti orang yang lain. Malah dia perlu membaca gerak bibir untuk memahami tutur bicara seseorang. Kekurangan itu tidak menghalang Ros untuk terus belajar sehingga ke menara gading. Sekarang ini, dia bekerja sebagai salah seorang arkitek di sebuah syarikat di Kuala Lumpur.
Shah bertemu dengannya ketika majlis perkahwinan kawan sekerjanya. Ros pula sepupu kepada kawannya itu. Cerita tentang gadis yang jual mahal ketika Shah mula ingin berkenalan dengan Ros bukanlah cerita sebenar. Tiada sesiapa pun yang beritahu kepada Shah keadaan Ros. Jadi bila Shah cuba mendekati dan berbual dengan Ros, tentulah Ros tidak dapat mendengar suara Shah. Bila Shah cuba berkenalan buat kali kedua, keadaan yang sama juga. Sehinggalah sepupu Ros yang berkahwin itu balik dari bulan madu. Barulah Shah dapat tahu cerita sebenar. Hati Shah sudah pun bertaut. Hal kekurangan Ros tidak menjadi halangan untuk Shah.

Hari ini Shah ingin kenalkan Ros kepadaku. Salah satu sebabnya ialah untuk mendapatkan sokongan aku. Keluarganya merisikku dan kini Shah sudah ada pilihan hati. Aku pun baru sahaja memilih buah hatiku. Sebab kedua, ialah Shah belum ceritakan lagi kepada keluarganya tentang Ros dan keadaan Ros. Dia risau kalau keluarganya tidak dapat menerima Ros. Perjumpaan ini lebih kepada berbincang bagaimana untuk menemukan Ros dengan keluarganya. Kalau keluarganya dapat menerima Ros, mudahlah semuanya. Tapi kalau aku menjadi sebab keluarganya tidak bersetuju atas alasan mereka merisik aku tempoh hari, jadi aku perlu memainkan peranan. Memaklumkan kepada keluarga Shah, melalui Uncle Omar yang aku tidak mahu meneruskan hubungan dengan Shah.


“THANK you atas nasihat awak dan juga terima kasih kerana sudi berkawan dengan Ros.”
“Ish! Jangan cakap macam tulah. Ros tu cantik dan dia baik tau. Saya gerenti family awak terima dia tak kisahlah dengan keadaan dia tu. Perkara kecil saja. Mak awak tengok dia nanti pun dah lupa pasal saya,” jelasku.
“I hope you are right about that. I’ll call you bila-bila,” balas Shah. Keretanya bergerak perlahan. Aku tunggu sehingga kereta itu hilang dari pandangan sebelum aku masuk ke dalam rumah. Sekarang pukul sepuluh lebih. Selalunya Papa dan Mami Zan sudahpun tidur tetapi lampu di ruang tamu masih terbuka. Aku masuk lalu memberi salam. Tiada Papa dan Mami. Yang ada hanya Mika. Dan Han. Aku pandang Han. Dia pandang aku. Patutlah ada motosikal besar yang tidak pernah kulihat sebelum ini tersadai di hadapan rumah tadi. Ingatkan jiran aku yang punya. Aku tidak jangka yang ia milik Han. Beli motosikal baru lagikah dia?
“Hah! Kak Chaya dah balik. Mika masuk dululah. Abang Han tidur di sini tau, kak.”
Aku yang masih tercegat terus mendapatkan Mika di anak tangga.
“Kenapa Mika tak call akak cakap abang Han ada di sini?”
“Dah cuba call tapi asyik dapat miss call je.”
“Ha’ahlah…akak silence tadi.”
“Yang akak ikut Mika ni apsal? Tu pergilah jumpa dengan abang Han. Dia tunggu dari petang tadi lagi.”
“Ye ke?”
Aku turun balik anak tangga yang baru dua langkah kunaiki. Mahu atau tidak aku mendekati Han.
“Saya..saya naik salin baju dulu. Awak boleh tunggu sebentar kan?”
“Mm…,” balas Han acuh tak acuh.
Aku terus berlari naik ke atas. Jantungku berdebar kencang kerana menaiki anak tangga dan mungkin kerana bersemuka dengan Han sebentar lagi. Kenapa pula dia boleh berada di sini? Ada perkara yang dia ingin bincangkankah? Bermacam soalan bermain di fikiran ketika aku menukar pakaian. Aku kenakan sehelai baju T labuh dan juga seluar panjang. Aku tarik selendang dan tutup kepalaku. Aku turun tangga perlahan-lahan. Han masih menonton TV di ruang tamu rumahku.
“Sorry kalau awak lama tunggu saya sebab saya tak sangka awak ada di sini.”
“Aku perlu jumpa awak.”
“Pasal petang tadi?”
“Mmm…”
“Saya minta maaf. Saya tak dapat fikir panjang. Jadi, saya setuju sahaja.”
“Awak pergi mana tadi?”
“Ah? Err..saya keluar dengan kawan saya.”
“Shah? Mika dah cerita tadi.”
“Ye. Kawan saya nama dia Shah.”
“Tiga minggu lagi kita nak kahwin, awak masih keluar dengan lelaki lain?”
“Jangan salah sangka. Dia kawan saja.”
“Itu yang aku hairan. Bukan diakah yang kau nak kahwin?”
“Mana ada. Saya dengan dia tak ada apa-apalah. Kawan saja,” aku ulang lagi.
“Mmm..aku tak kisah apa hubungan awak dengan dia sekarang ni. Bila aku kahwin dengan kau nanti, pastikan kau jangan jumpa dia lagi”
“Boleh,” balasku ringkas. Aku setuju kalau itu yang dia mahukan. Aku akan cuba pikat semula hatinya. Aku akan dapatkan semula cintanya.
“Duduklah. Aku perlu bincangkan sesuatu.”
Aku pula yang disuruh duduk di rumahku sendiri. Aku ambil tempat bersebelahan dengannya.
“Awak jangan salah sangka kenapa aku setuju nak teruskan hubungan ini. Aku ikut apa yang keluarga aku nak. Aku tak mahu jadi anak derhaka. Aku datang ni sebab aku nak beritahu awak sesuatu. Selepas kita nikah nanti, awak tak perlu nak susah-susah ambil tahu pasal aku. Kita buat hal masing-masing. Kalau dengan keluarga, kita buat seperti biasa.”
“Awak nak saya berlakon?”
“Lebih kurang begitulah.”
“Saya boleh berlakon kalau awak nak saya berlakon,” balasku. Aku terasa dalam hati tetapi aku tabahkan juga. Biar Han tahu aku tidak akan mengalah.
“Aku dah cakap apa yang aku nak cakap. Awak sampaikan salam pada keluarga awak. Aku balik dulu sekarang.”
“Awak nak balik malam ni juga? Tidur sajalah di sini. Ada bilik tetamu kalau awak nak bermalam di sini.”
“Tak perlu susah payah. Aku boleh jaga diri aku sendiri.”
Han mula berjalan keluar dari rumah. Aku biarkan sahaja. Bukannya boleh aku pujuk Han kalau dia mahu berperangai sebegitu. Seketika aku dengar deruman motosikal yang kemudiannya sayup-sayup kedengaran. Aku menutup pintu perlahan-lahan.


HARI ini aku pergi ke Shah Alam. Matlamat utama ialah untuk berjumpa dengan bekas majikanku. Eid dan rakan-rakan di Butik Amaya. Aku dan Han tidak saling berhubungan sejak malam itu. Mesej pun aku tak hantar. Aku tak mahu ganggu Han. Keluargaku, keluarga Erin dan Kak Suri sudah berbincang mengenai hubungan aku dan Han yang akan dirasmikan tidak lama lagi. Mereka sudah sebulat suara untuk melangsungkan pernikahanku seperti tarikh yang dipinta.
Dua minggu sudah berlalu. Aku hanya menghitung satu per satu hari-hari yang berlalu itu. Kadang kala aku berhubung dengan Mama Jah. Berbual tentang rancangan kedua belah pihak. Tidak sekali pun Han telefon atau hantar sebarang mesej. Apatah lagi bertemu denganku. Aku berserah. Aku sentiasa berdoa. Setiap malam aku bangun untuk menunaikan solat hajat. Memohon agar hati Han terbuka semula untukku. Amalan itu kulakukan hampir setiap hari. Hanya itu yang mampu aku lakukan.
Aku berjalan menuju ke butik Amaya. Selama aku tinggalkan tempat ini sejak perpisahan aku dengan Han dahulu, aku hanya mengirim berita melalui email sahaja. Hanya dua kali aku menelefon Eid. Itu pun untuk beritahu tentang perubahan yang aku lakukan untuk Amaya Online. Sesekali aku masuk ke situ untuk melihat kalau-kalau ada yang perlu diubah atau dikemaskinikan. Hanya ketika aku di Kemboja, aku sukar untuk masuk ke Internet. Mujur sebelum itu, aku ada mengajar Eid cara-cara untuk menguruskan Amaya Online di aplikasi e-dagang itu. Kini, aku lihat Amaya Online semakin menarik. Mungkin kerana Eid pakar dalam pemasaran dan sememangnya dia lebih pakar dari aku.
“Hello. Assalamualaikum,” aku memberi salam sebaik sahaja aku melangkah masuk ke dalam butik. Aku dengar salam dijawab. Suara Amy. Mampus aku kali ini.
“Amboi, amboi. Eid! Mari tengok siapa yang datang jumpa kita ni,” jerit Amy yang sedang bercekak pinggang di hadapanku. Aku tunjukkan barisan gigiku yang putih. Sejurus kemudian, Eid keluar dari belakang butik.
“Chaya. Kau ke? Hujan tidak, guruh pun tidak, mai-mai dah ada kat sini. Lama tak dengar cerita. Sihat ka? Wah! Kau ada gaya lainlah. Ingatkan siapa yang masuk butik tadi. Rupa-rupanya Cik Chahaya kita.”
“Amboi, perli nampak? Cantik tak saya pakai tudung macam ni?”
“Cantik Cik Chahaya oiii…elok sangatlah pakai macam ni. Taklah kami ni kalau berkawan tambah dosa sebab dok tengok selalu aurat awak tu. Yang awak ni satulah. Dah tiba-tiba menghilang, lepas tu tiba-tiba muncul. Apa cerita ni? Kenapa tak contact? Eid dengar Chaya dah lama balik Malaysia, kan?”
“Lama tak juga. Baru pun tak juga. Ni Chaya datang nak minta maaflah sebab tak beri khabar langsung. Eid dengan Amy kenalah faham. Masa tu tengah hilang akal.”
“Hilang akal tak per. Jangan hilang agama, sudah ler,” perli si Amy.
“Janganlah marah boss. Ni ha, saya bawa ole-ole dari Kemboja.”

“Mak oi. Dah lama kau pergi, hari ni baru nak bagi. Nampak sangat kau nak bodek kami, kan?” perli Amy lagi.
“Mana pula saya nak bodek. Saya memang beli untuk semua orang. Ni kain sutera Kemboja. Tak sama dengan negara lain tau. Saya beli untuk butik ni. Err..bukan untuk you all. You all lelaki. Mana boleh pakai sutera.”
Amy mendekati dan membuka beg kertas besar yang kubawa tadi. Ada lebih kurang tujuh pasang kain yang kubelikan ketika di Kemboja. Amy mengambil dan mencium bau sutera. Dia angguk-angguk sambil menelek corak salah satu kain itu.
“Cantik tak? Saya beli je. Mana tahu kalau boleh buat baju ke. Apa-apa ke?”
“Cantik tu memang cantik. Ni nak kena bayar ke?” soal Amy
“Eh tak lah. Memang souvenir untuk kedai ni.”
“Baiknya awak. Kalau macam ni frustlah bercinta selalu. Boleh kami dapat kain free.”
“Kau ni tak patutlah Amy. Ada ker doakan dia macam tu,” tegur Eid.
“Tak apa. Chaya oklah,” balasku.
“Nak minum tak?” soal Eid.
“Tak perlu. Che mana?”
“Dia pergi jumpa client. Hantar baju.”
“Oh. Ini saya datang sebab saya nak jemput Eid, Amy dengan Che.”
“Awak nak kahwin ke?” soal Eid.
Aku angguk.
“Wah cepatnya dapat pengganti. Siapa yang Chaya nak kahwin ni? Jumpa di Kemboja ke? Bila bercinta?”
“Amy jangan terkejut. Chaya kahwin dengan Han.”
“Han? Macam mana boleh jadi ni?” kali ini Eid pula yang menyoal.
“Panjang ceritanya. Tapi nak dipendekkan kami akan kahwin atas permintaan keluarga. Chaya dengan Han still tak….itu lagi…macam mana nak kata, dia masih makan hati dengan saya. Dia nak kahwin ni pun sebab dia nak tunaikan hasrat nenek dia.”
“Macam tu ceritanya. Aku rasa semakin menarik plot percintaan korang berdua ni. Eh bila korang nak kahwin ni?” kata Amy sambil menggelengkan kepalanya.
“Minggu depan.”
“Cepatnya. Baru sekarang kau datang jemput kami?” soal Amy lagi.
“Kira datang ni dah cukup bagus tau. Tiga minggu tu ingat senang Chaya nak buat semua benda. Kawan-kawan yang lain pun belum jemput lagi tau.” kataku padahal aku bukan ada kawan lain pun. Selepas ini aku akan berjumpa dengan Ula walaupun dia orang pertama yang aku jemput sebenarnya.
“Keluarga yang nak cepat ke atau awak yang nak cepat?”
“Saya sayangkan Han. So, lagi cepat lagi bagus. Biar kahwin dahulu. Lepas tu saya menguratlah dia habis-habisan.”
“Betul tu. Kalau dah kahwin, semuanya halal. Bukan Ha Rho Min. Haram,” tambah Eid lagi.

“Datang tau. Jangan tak datang pula. Majlis hari Sabtu ni, lepas Zohor.”
“Mana kad jemputannya? Takan jemput pakai mulut saja?” kata Amy pula.
“Tak sempat nak buat. Lagipun majlis kecil jer. Nanti saya mesej lokasi.”
“Kecil pun tak kisah, asalkan makannya besar,” balas Amy.
“InshaaAllah. Untuk awak Amy, saya sembelih dua ekor kambing buat kambing golek,” kataku sambil ketawa sehabis mungkin.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience