Bab 45

Romance Completed 8896

LEBIH kurang pukul sepuluh pagi, Papa Mi menghubungi Sam bertanyakan kalau dia ada nombor Lisa atau Marini sekiranya kami ingin berhubungan dengan mereka Aku rasa pada mulanya Sam keberatan tetapi setelah dipujuk oleh Papa Mi, akhirnya kami dapat nombor Lisa. Tanpa membuang masa, Papa Mi menghubungi Lisa. Aku dengar perbualan mereka, dari Pihak Papa Mi. Kedengaran Lisa juga tidak tahu ke mana Han menghilang. Bila Papa terangkan situasi bahawa kami di sini sebenarnya sudah mengetahui hubungan Marini dan Han, Lisa minta kami tunggu kerana dia akan datang berjumpa dengan kami. Masa yang dijanjikan ialah pada pukul tiga petang.
Beberapa minit sebelum pukul tiga, kami semua sudah bersedia menunggu kedatangan Lisa. Aku duduk di sebelah Umi. Masing-masing tidak banyak berbual. Mungkin tertunggu-tunggu berita yang ingin disampaikan oleh Lisa nanti. Mama Jah pula asyik berulang alik ke dapur manakala sekejap-sekejap, Papa Mi masuk ke bilik bacaan. Aku masih lagi mencuba nombor Han. Sekali sekala tangan aku tetap menaip mesej. Aku pasti Han membaca mesejku. Aku pasti Han membaca setiap pesanan aku kerana aku nampak tanda mesejku dibuka dan dibaca.
Lisa tidak datang berseorangan. Dia datang dengan dua orang lelaki dan seorang perempuan. Aku cam salah seorang daripada lelaki itu. Suami Lisa di KLIA dulu. Manakala pasangan yang sebaya Mama Jah dan Uncle Mi sudah pasti orang tua Lisa. Semestinya ibu bapa Marini dan mertua Han. Lisa bersalaman dengan kami semua dan memperkenalkan suami dan ibu bapanya kepadaku dan keluarga Han. Kami duduk di ruang tamu mendengar cerita Lisa.
“Uncle, Aunty, Umi dan Chaya. Saya minta maaf kalau saya bawa keluarga saya ke sini. Mummy dan Daddy ingin sangat bertemu keluarga Han. Apatah lagi dalam keadaaan sekarang ini. Sebab itulah saya ajak mereka sekali. Biar Mummy dan Daddy sendiri yang ceritakan kenapa Han berkahwin dengan Rini.”
“Sebenarnya Lisa, kami pun baru seminggu lebih dapat tahu tentang hal ini. Han tidak langsung ceritakan kepada kami,” jelas Papa Mi.
“Saya minta maaf bagi pihak keluarga kami kalau berita ini menyusahkan keluarga Datuk Sri,” kali ini Daddy Lisa yang berbicara pula.
“Eh panggil saja saya Abang Mi, Encik Razi.”
“Kalau begitu, panggil saya Razi. Sebenarnya saya dan isteri ke mari sebab kami terlalu terhutang budi dengan Han. Sepatutnya kami jumpa keluarga Abang Mi bila Han nyatakan hasrat untuk bernikah dengan Rini, tapi Han tidak mahu perkahwinannya dihebohkan. Dia hanya mahu membahagiakan Rini di saat-saat akhir hayatnya. Itulah permintaan Han. Jadi, kami hanya menurut sahaja permintaannya. Sekarang Rini pun sudah tiada lagi. Jadi dapatlah kami berjumpa dengan Abang Mi sekeluarga.”
“Maafkan saya Razi. Tadi kata, Rini sudah tiada?”
“Ya. Anak saya sudah kembali ke Rahmatullah.”
“Innalillah…” Papa Mi mengucap panjang.
Suasana terkejut melewati sekitar ruang tamu itu.
“Bila tu Razi?”
“Sudah lebih dua minggu. Dia meninggal di hospital di Sydney. Han ada bersama anak saya ketika dia menghembuskan nafas yang terakhir. Rini juga selamat kami kebumikan di sana.”
Aku yang mendengar dari tadi terus mengalirkan air mata. Umi memelukku seperti tahu apa yang aku fikirkan. Kalau mengikut pengiraan aku, ketika aku buat keputusan berpisah dengan Han, dia mungkin baru sahaja mengucapkan selamat tinggal kepada isterinya. Disebabkan aku, dia mungkin terpaksa meninggalkan isterinya. Kerana aku, dia kembali ke sini. Kerana cintanya padaku. Kenapa aku rasa seperti hati ini pedih sekali. Rasa bersalah terhadap Han menebal. Rasa bodoh kerana aku terlalu angkuh.
“Beginilah Razi, Lisa. Saya kenalkan ini tunang Sharhan, Chahaya,” jelas Papa Mi. Aku masih tunangan Sharhankah?
“Kami tahu Abang Mi,” balas Encik Razi. “Han ada ceritakan yang dia bertunang dengan Chahaya. Memang kami teringin sangat hendak berjumpa dengannya. Kami ingin mohon maaf kalau Rini berkahwin dengan Han sedikit sebanyak mengganggu perhubungan Sharhan dan Chahaya.”
Aku geleng kepala. Hendak bercakap aku tidak mampu. Air mata asyik berlinangan sahaja. Aku harap keluarga Marini faham yang aku tidak menyalahkan anak mereka.
“Daddy dengan Mummy sebenarnya tak dapat nak halang niat Han bila dia kata dia nak kahwin dengan Rini. Han dan Rini pernah merancang untuk berkahwin dulu. Kemudian bila Rini dapat tahu dia sakit, dia terpaksa tinggalkan Han. Beberapa bulan yang lalu Han dapat tahu cerita yang sebenar. Kami pun tak tahu nak buat apa lagi. Doktor pun kata Rini dah tak ada masa. Asalkan Rini bahagia, kami terima saja. Han rasa lebih baik hal ini tidak sampai ke pengetahuan keluarga Uncle sebab dia tidak mahu hal ini jadi satu masalah nanti. Jadi dia minta kami semua rahsiakan sahaja. Kadang-kadang rahsia boleh disimpan. Tapi adakalanya, terbongkar juga. Ingatkan Australia tu jauh Uncle.”
“Apa nak buat. Ini memang sudah suratannya. Cuma kami di sini sebenarnya sudah seminggu lebih tidak berjumpa dengan Han. Puas kami cari. Kami ingatkan dia bersama Rini. Tak tahu pula Rini sudah tiada. MasyaaAllah. Mana pula dia pergi sekarang ni.”
“Masa pengkebumian Rini, Han ada datang Abang Mi. Itulah kali terakhir kami jumpa dia. Kalau tak silap, katanya dia nak keluar melihat dunia luar. Ke mana katanya Borhan?” soal Encik Razi kepada menantunya pula.
“Dia kata dekat saja Daddy. Samada Indonesia ataupun Thailand. Masa tu dia belum buat keputusan lagi,” balas Borhan.
“Hah…antara dua tempat tulah Abang Mi.”
“Susahlah kalau keluar negara. Nampak gayanya kita kena tunggu sajalah. Bila dia nak balik, baliklah dia,” kata Papa Mi sambil memandang ke arahku.
“Uncle dah cuba emel dia?” soal Lisa
“Itu yang kawan-kawan dia yang lain cadangkan. Saya akan cubalah nanti. Mana tahu itu saja cara kami boleh berhubungan.”
Bibik datang membawa hidangan untuk keluarga Marini. Uncle Mi menjemput tetamu minum. Suasana semakin diam tanpa sebarang kata-kata. Ketika minum ada sedikit perbualan tentang penyakit Marini dan bagaimana keluarga itu mengharunginya. Sekejap sahaja keluarga Marini berada di situ. Sebelum balik Mummy Marini menghampiri untuk bersalaman denganku.
“Aunty minta maaf sekali lagi bagi pihak Rini.”
Kali ini aku dapat bersuara.
“Aunty jangan bimbang. Chahaya harap Han dapat buat Rini gembira.”
Mummy arwah Marini ketawa kecil.
“Alhamdulillah. Dia gembira Chahaya. Sampai saat akhir pun aunty dapat lihat dia gembira sekali. Aunty berterima kasih sebab Chahaya boleh terima Rini walaupun dia dah tak ada. Han buat anak Aunty gembira. Aunty cuma berharap Han pula yang akan dapat kebahagian seterusnya dengan Chahaya. Dia ada tunjukkan gambar Chahaya pada kami sekali tu. Kami tahu dia kahwin dengan Rini bukan kerana cinta tetapi mungkin saki baki kasih sayang yang dia ada pada Rini. Kami tahu yang sudah ada seseorang yang berjaya mendapat hatinya. Aunty harap Chahaya dapat bahagiakan hidup Han mulai sekarang. Itu yang kami ingin doakan dan Aunty rasa kalau Rini tahu, itu juga yang dia mahu.”
Aku hanya mampu mengangguk sahaja. Apa yang Mummy Rini katakan kepadaku seperti satu lagi tikaman ke dada. Aku hanya melihat sahaja keluarga itu beredar dari situ. Sebaik sahaja mereka pergi aku terus berlari naik dan masuk ke bilik Han. Aku ambil wuduk dan sepanjang petang itu, aku berdoa supaya aku diberikan peluang kedua. Peluang untuk aku bersama Han semula. Aku akan menunggu Han selama-lamanya. Kalau ditakdirkan dia kembali sepuluh tahun lagi, aku akan cuba peluangku dengannya juga. Selagi hayat dikandung badan, selagi itulah aku akan menunggunya. Tidak kira apa yang bakal menanti suatu hari nanti

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience