Bab 7

Romance Completed 8896

“APA yang kau duduk tak diam ni Chaya?” Kak Kasih menegurku.

“Baju ni ketat sangatlah kak. Nak berjalan pun susah,” keluhku.

“Siapa suruh kau jalan. Duduk saja atas katil. Sekejap lagi keluarga Ikram dah nak masuk ni.”

“Nak duduk pun ketatlah kak,” kataku semula.

“Bulatnya badan kau! Takkan frust dengan Nizam, kau bela badan sampai macam ni,” tegur kakakku.

“Ini kira dah kurus kak. Baju ni saiz Erin. Dia tu memang tiang lampu, tak ada isi!”

“Dah diam….orang dah nak masuk tu.”

“Kau sabar sajalah Chaya. Aku ada di sini,” kali ini Ula pula yang bersuara.

Eh? Apa aku nak buat ni? Aku duduk di atas katil yang serba putih krim itu. Aku cuba alih kaki ke kiri atau ke kanan. Ternyata, kain ala ikan duyung itu terlalu ketat bagiku. Aku luruskan sahaja kaki aku. Payahlah kalau begini. Tidak nampak ayu langsung. Kak Kasih melihat cara duduk aku yang tidak sesuai itu terus menolak kakiku ke tepi. Kakiku membalas kembali ke tengah. Kakak aku tolak lagi. Berkerut dahinya menolak dan membetulkan kain duyung itu. Berkerut juga dahiku untuk cuba menahan supaya kakiku mengikut kemahuan Kak Suri. Aku minta bantuan Ula dan akhirnya aku tarik nafas kerana kakiku berjaya menyenget seperti mengikut arahan Kak Suri. Aku duduk kaku sahaja di situ. Badan tegak, dada ke depan!

“Cubalah kau relax sikit,” tegur Ula.

“Ha’ah la..cubalah kau relax sikit dik.”

“Chaya tengah cubalah ni, kak,” balasku. Aku menarik selendang yang menutupi rambut pendek yang hanya di semat beberapa pin rambut. Tata rias wajah pun ala kadar sahaja kerana ia tidak akan masuk langsung melalui lensa kamera. Aku menunggu dengan penuh debar. Seolah-olah aku pula bakal pengantin perempuan. Ish! Perasan pula aku kali ini. Beberapa deruan tapak kaki kedengaran di luar. Aku semakin berdebar. Peluh dingin terasa di bilik yang ada penghawa dingin. Aku cuba tanamkan semangat yang aku lakukan ini untuk sepupu yang aku sayangi. Aku memandang ke arah pintu masuk. Orang pertama yang melangkah masuk ialah mamat bertocang yang memegang sebuah kamera. Aku dan dia saling berpandangan tetapi aku seperti tidak mampu tersenyum. Potong stim betul. Mamat itu pula hanya melihat sekeliling bilik. Mungkin mencari sudut dan pencahayaan yang sesuai untuk mengambil gambar aku nanti. Ehem! Gambar aku menggantikan Erin.

Beberapa orang mula memenuhi ruang bilik Erin yang sememangnya agak besar. Aku dengar perbualan di sana sini seperti sudah maklum yang aku hanya pengganti Erin. Aku bukan jenis pemalu, lalu aku memandang semua yang mengelilingi katil. Kebanyakan wajah wanita yang aku lihat cantik belaka. Aku baru beberapa kali berjumpa dengan Ikram. Orangnya memang semula jadi kacak. Jadi tidak hairanlah kalau ahli keluarganya yang lain pun cantik juga. Aku tidak tahu dan tidak dapat meneka yang mana satu Mama Ikram. Aku nampak seorang wanita yang sudah berusia. Wanita tua berselendang kemas tersenyum memandangku. Saat mata kami bertaut hatiku rasa berdebar-debar seperti orang yang jatuh cinta. Seperti debaran kali pertama aku berpandangan dengan Ismail, Idham dan Nizam.

Mungkinkah ini nenek Ikram yang selalu diceritakan oleh Erin? Tiba-tiba aku jadi seronok tak tentu pasal. Mungkin terlalu suka sehingga aku tidak perasan yang aku terlebih pandang wanita berselendang itu. Lain macam aura wanita berusia ini. Dia menuju menghampiriku. Sah! Ini nenek Ikram. Aku terus menghulurkan tangan bersalaman dengannya. Sekali tanganku menyentuh tangan tua yang selembut sutera, aku dapat rasakan seperti ada satu ikatan yang sukar ditafsirkan antara aku dan nenek Ikram.

“Jadi inilah orangnya yang ganti tempat Erina? Siapa ni?” soal nenek Ikram.

Alahai! Ucap suaranya pun lembut dan lunak. Aku semakin terpikat.

“Anak saudara saya, Umi,” balas Aunty Elis. “Namanya Chahaya. Panggil saja Chaya.”

“Chahaya….” Nenek Ikram yang bergelar Umi itu menyebut namaku dengan lembut sekali. Aku terpaku melihat wajahnya. Bukan kerana nenek Ikram kelihatan muda, tetapi sesungguhnya dia wanita tua yang paling jelita pernah aku temui. Tiba-tiba nenek Ikram membelai wajahku. Aku biarkan sahaja. Aku dapat menghidu wangian yang melekat di tangannya. Seseorang menghampiri nenek Ikram lalu menyerahkan sesuatu. Aku nampak nenek Ikram mengambil barang itu. Sebuah kotak baldu hitam. Kotak cincin.

“Chahaya,” nenek Ikram memanggilku. “Terima kasih sebab gantikan Erin untuk majlis ni. Err…Chahaya ni dah berpunya ke belum?”

Soalan yang tidak dijangka olehku tetiba keluar dari mulut nenek Ikram.

“Masih single. Baru putus cinta.” Siapa pula yang mulut tempayan ni? Kedengaran seperti antara suara Kak Kasih atau Kak Suri. Aduh! Malunya aku.

“Oh, iye ke? Tak apalah. Taka ada jodoh. Mungkin ada yang lebih baik untuk Chahaya,” balas nenek Ikram. Dia membuka kotak dan mengambil cincin pertunangan emas yang bertatahkan permata biru. Sebaik sahaja kotak dibuka, bunyi petikan kamera mula kedengaran. Tidak berhenti petikan berbunyi mengikuti aksi nenek Ikram menyarungkan cincin di jari manisku. Cincin yang disarung singgah hanya separuh jalan kerana jari Erin sememangnya lebih kurus dari jariku. Nenek Ikram cuba menolak sedikit lagi. Ternyata tidak berjaya.

“Tak boleh masuk lagi ni,” Nenek Ikram berbisik di telinga ketika dia mencium dahiku. Sekali lagi wangian bunga-bungaan menusuk ke hidungku. Aku ikut cakap nenek Ikram. Tangan yang dihulur disambut dan dicium. Lama juga aku mencium tangannya kerana ada arahan untuk mengambil gambar. Selepas itu, aksi gambar aku bersalaman dan mencium tangan dengan Mama Ikram, diikuti oleh beberapa lagi saudara mara Ikram. Aku ikut sahaja aliran permintaan.

Sekejap sahaja upacara menyarung cincin itu. Aku rasa nafas yang aku tahan untuk mengawal baju yang ketat itu semakin perlahan. Aku bingkas bangun. Kakiku juga lenguh mengawal kedudukan tadi. Aku nampak nenek Ikram tersenyum sebelum keluar dari bilik. Sekejap sahaja bilik kosong kerana semua sudah keluar meninggalkan aku sendirian. Bukan sendirian. Mamat yang memegang kamera itu masih lagi bertugas. Dia sibuk mengambil gambar-gambar hantaran pertunangan yang dibawa masuk sebentar tadi. Terdapat lima dulang hadiah pemberian daripada Ikram. Kebanyakannya adalah barangan yang akan digunakan ketika di majlis akad nikah kelak.

“Cik nak ambil gambar yang nampak muka tak?”

Tiba-tiba mamat cameraman itu bertanya kepadaku. Aku tengok dia tengah tunggu jawapan daripadaku yang sedang tercegat di tepi tingkap. Aku tercegat di situ pun kerana aku mahu melihat lagi nenek Ikram. Aku nampak dia bersalaman dengan Aunty Elis sebelum masuk ke salah sebuah perut kereta yang bersusun di hadapan banglo mewah bapa saudaraku ini.

“Er..apa awak cakap?” aku tanya mamat cameraman tanpa langsung memandang ke arahnya. Mataku masih tertumpu kepada rombongan keluarga Ikram.
Klik. Aku dengar satu petikan kamera.

“Eh! Jangan ambil gambar sayalah,” aku menjerit.

“Oppss..dah terambiklah Cik,” balas mamat tu.

“Kalau dah ambil, padamlah. Tu kan kamera digital. Boleh padamkan?”

“Maaf Cik, saya ada banyak kamera. Yang ini kamera filem. Tak boleh padam.”

“Kalau macam tu, awak jangan cuci. Faham?”

“Err..saya cubalah Cik,” katanya.

“Jangan cuba-cuba. Nanti kalau sepupu saya nampak, dia sedih nanti,” kataku menyakinkan yang gambar aku tidak sesuai dicuci.

“Baiklah Cik. Nanti saya tak cuci.”

“Awak boleh keluar sekarang. Pergi minum di bawah dulu ke? Jangan ke mana-mana. Kalau nak ke mana-mana beritahu uncle saya dulu sebab awak nak kena ambil gambar sepupu saya nanti. Bila tu saya tak tahu. Apa-apa pun tanya uncle saya tau!”

Mamat itu hanya mengangguk sahaja dan berlalu pergi dari situ. Aku menutup pintu rapat. Tersenyum mengingatkan nenek Ikram. Macam mana ni? Pertemuan tadi masih terbayang-bayang di ingatan. Masalah betul. Aku rasa aku sudah jatuh hati dengan nenek Ikram.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience